ATTENTION !!!

Showing posts with label hobi. Show all posts
Showing posts with label hobi. Show all posts

Saturday, June 18, 2011

Pengumpul Botol Soda

(Post: Bahasa Melayu)
" Botol adalah tempat penyimpanan yang biasanya bahagian leher lebih sempit daripada badan sehingga ke mulutnya. "

Botol umumnya terbuat daripada kaca, plastik atau aluminium dan digunakan untuk menyimpan cairan seperti air, susu, minuman ringan, ubat, sabun cecair dan banyak lagi.

Sesetengah pihak mungkin menganggap botol tidak mempunyai apa-apa nilai setelah isinya habis digunakan.

Namun, seorang lelaki dari Bukit Jelutung, Shah Alam, Selangor mengubah pandangan itu setelah mula 'jatuh cinta' dengan botol minuman ringan. Cintanya itu telah bersemi sejak 15 tahun lalu.

Pemburu dan pencinta botol lama atau disebut juga botol soda, Megat Shazrin Khaled memberitahu, minat mengumpul botol tercetus sejak tahun 1996 semasa bekerja dengan sebuah produksi drama.

Menurutnya, ketika satu babak di Sungai Bil, Perak dia diarahkan menggali sebuah kubur. Ketika asyik menggali, cangkul terhentak sesuatu seolah-olah bunyi batu.

"Jadi apabila saya periksa, terdapat sehelai seluar lama seperti seluar tentera yang sudah reput berwarna coklat."

"Apabila saya menggoncang seluar itu ada sesuatu terjatuh daripada poket seluar dan saya dapati sebuah botol minuman Coke (Coca Cola) lama yang unik kerana botolnya pendek."

"Pada saat itu saya terus minat dan terjebak mengumpul botol minuman ringan jenis soda malah, sehingga kini keinginan mencarinya masih giat," katanya membuka bicara ketika ditemui Kosmo! di kediamannya.

Terang lelaki berusia 37 tahun itu, minat terhadap botol soda terus dikembang dan dikongsi bersama rakan-rakan sehingga wujudnya grup Botologi Malaya.

Selain berkongsi minat yang sama bersama rakan-rakan, Megat yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan turut membangunkan sebuah blog pada April tahun lalu dengan nama Botol Soda.

Katanya, blog yang telah menerima kunjungan seramai 12,247 orang memaparkan koleksi botol soda tempatan yang diperoleh dari seluruh negara kecuali Terengganu dan Perlis.

"Tujuan blog ini dibangunkan juga untuk saya berkongsi maklumat tentang variasi botol-botol soda yang mungkin belum pernah diketahui kewujudannya."

"Bukan itu sahaja, blog ini mempunyai keunikan tersendiri kerana saya mengetengahkan botol soda yang pelik dan belum dipos oleh sesiapa dalam laman blog," katanya.

Megat yang turut meminati motosikal custom berkuasa tinggi memberitahu, antara kelebihan membuat blog ini kerana ia dapat menarik minat pengumpul baru.

Daripada situ ujarnya, timbul proses perbincangan dan kajian mendalam mengenai sejarah sesuatu botol soda dihasil dan dipasarkan.

"Kadangkala mereka (pengumpul botol baru) tak tahu benda ini. Jadi apabila mereka tengok botol soda Malaysia yang saya pos di blog mereka tertarik malah, ada juga pengumpul baru menjadikan saya sebagai rujukan bila mereka memperoleh botol."

"Mana yang saya tahu saya akan beritahu tapi seronok sebab ramai memberi maklum balas."

"Selain itu, tujuan utama saya kumpul benda ini bukan untuk mencari keuntungan tetapi disebabkan minat yang mendalam," tuturnya.

Dia yang memiliki lebih 100 jenama botol soda berkata, antara jenis botol dalam koleksinya termasuklah Schweppes, Coca Cola, Pepsi, Fraser and Neave (F&N), Green Sport dan 7Up.

Sementara botol minuman soda lama keluaran tempatan pula seperti Kastori/Kasturi, Malayan Food Products, Kinta Aerated Water, Poh Siew Taiping Cap Udang, Red Lion dan banyak lagi.

"Sehingga kini, saya memiliki di antara 2,000 hingga 3,000 koleksi botol minuman ringan dari tahun 1800-an hingga sekarang."

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, June 5, 2011

Kristal Station DIY

(Post: Bahasa Melayu)
" Ramai tercari-cari aktiviti sekeluarga yang boleh merapatkan silaturahim. Trend terkini antaranya bersama teman mahupun keluarga membuat kek cawan atau belajar melukis batik. "

Tetapi Amrah Haron, 46, ada cadangan yang tidak kurang menyeronokkan. Mari bersama-sama membuat gelang ataupun kerongsang kristal!

Berkunjung ke kedainya, beli barangan dan Amrah akan mengajar sekali cara pembikinannya. Ia diajar langkah demi langkah sehingga terbentuk perhiasan kristal sendiri.

Perlukah seseorang itu mempunyai bakat?

"Tidak perlu berbakat besar atau daya sentuhan kreatif kerana membuat kristal hanya memerlukan kerajinan, kesungguhan serta minat."

"Pilih rekaan sedia ada supaya senang kita menirunya," ujarnya tersenyum sambil menunjukkan tiga jenis playar yang perlu ada bagi memudahkan pembuatan aksesori kita.

Playar itu pun tidak mahal, berharga RM10 saja seunit. Ketiga-tiga playar yang ditunjuk Amrah memang memudahkan kerja memasang cincin dan juga membengkokkan pin lembut, bahan penting dalam pembuatan aksesori.

Semua bahan untuk pembuatan aksesori ada di kedai Amrah. Mudah, tidak perlu tercari-cari di tempat lain.

"Buat sendiri gelang, kerongsang, rantai ataupun anting-anting memang lebih puas dan menyeronokkan. Hobi yang berguna sama ada sekadar suka-suka atau boleh dijadikan sumber perniagaan," kata ibu kepada seorang anak berusia 12 tahun itu.

Memakai hasilan daripada tangan sendiri memang memberi kepuasan maksimum. Sebaik selesai menghasilkan satu, kita tergerak untuk membuat yang lain pula. Belajar rekaan yang lebih rumit daripada sebelumnya menandakan ada peningkatan diri.

"Aktiviti bersama-masa membuat gelang atau kerongsang kristal memang bagus untuk sekeluarga. Ada yang datang ke kedai saya anak-beranak dan juga adik-beradik," cerita Amrah sambil menambah, gelang dan kerongsang adalah pilihan yang popular di kalangan pelanggannya.

Membuat gelang kristal sesuai dijadikan hobi baru atau sebagai mengisi masa lapang. Bagi yang sentiasa tertekan dengan kerja yang melambak-lambak tidak kunjung selesai, hobi ini juga boleh dijadikan penghilang tekanan kerana penulis sendiri sudah merasainya.

Dapat menyiapkan kerongsang walaupun sangat sederhana rekaannya, hati rasa lega dan gembira sekali. Ia umpama pencapaian yang besar buat diri sendiri.

Mencari masa berkumpul bersama keluarga dan kawan-kawan memang amat sukar pada zaman semuanya dihambat kesibukan.

Ramai yang suka memilih acara makan-makan sebagai cara pertemuan, tetapi sama-sama berkumpul di kedai Amrah sambil memilih warna kristal dan menyusunnya menjadi gelang juga bagus sebagai pengisi masa. Selepas handal membuat gelang, buat pula rantai dan kerongsang.

"Memang saya sendiri amat meminati bidang kraf aksesori kristal," akui Amrah yang mendapat pendidikan sarjana dalam bidang perancangan bandar daripada Universiti Louisiana, Amerika Syarikat.

Dia pernah berpengalaman bekerja selama lebih 10 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

"Setelah berhenti kerja, saya menumpukan sepenuh perhatian pada bidang kraf kristal ini," katanya.

Penciptaan perhiasan kristal semakin sebati di jiwa Amrah sehingga pelbagai rekaan diciptanya sesuai mengikut fesyen dan kegemaran terkini. Mempunyai kedai sendiri melengkapkan lagi apa yang disukainya itu.

Walaupun sekadar kedai kecil tetapi ia cukup sesuai kerana dipenuhi bahan dan peralatan yang diperlukan serta meja kerja diletakkan di tengah supaya senang pelanggan yang datang terus duduk di situ dan belajar dengan tuan punya kedai.

"Setiap Sabtu dan Ahad, saya mengendalikan kelas kraf kristal di kedai bermula jam 3 petang secara percuma kepada sesiapa saja yang berminat."

"Mula-mula belajar, tentu saja mengambil masa tetapi setelah biasa, 20 minit pun boleh menyiapkan satu-satu rekaan."

"Untuk mendapat kemahiran bagi kerja tangan, kena berlatih selalu," tegas Amrah yang mendapatkan stok bahan mentahnya dari China, Bangkok dan Korea.

Sebelum mempunyai kedai sendiri, Amrah bermula dari rumah di samping mempunyai laman web sendiri MegatDinCrystal bagi menjual pelbagai jenis barangan dan peralatan kraf kristal secara dalam talian.

Setelah dua tahun menguruskan perniagaan dari rumah secara talian, pada pertengahan Julai 2010 barulah Amrah membuka kedainya yang dinamakan Kristal Station DIY di Komplek PKNS, Shah Alam.

“Saya juga aktif mengadakan bengkel dan kelas kraf kristal di seluruh negara serta memenuhi undangan syarikat korporat dan agensi kerajaan untuk mengadakan kelas kraf kristal secara berkumpulan,” katanya.

Mengajar orang menghasilkan sesuatu yang cantik nampaknya memberi kepuasan kepada Amrah. Cara memegang playar dan membentuk untaian serta segala barang yang perlu supaya gelang atau kerongsang dihajati dapat dizahirkan perlu dilakukan penuh hati-hati.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 15, 2011

Pengumpul Basikal Antik

(Post: Bahasa Melayu)
" Minat menunggang basikal sejak kecil mendorong Musa Hussin, 52, mengumpul basikal lama sejak lima tahun lalu. "

Musa dari Kampung Aman, Lorong Fajar berkata, hingga kini dia mempunyai 15 basikal yang setiap satunya mempunyai keunikannya tersendiri termasuk harga mencecah ribuan ringgit.

"Oleh kerana terlalu minat mengumpul basikal lama, saya menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkannya, malah pernah membelinya hingga ke Indonesia."

"Basikal yang saya miliki ini pernah dipasarkan sekitar tahun 50-an hingga 70-an," katanya.

Antara koleksi basikalnya adalah daripada jenama British Small Arm (BSA), Royal Enfield, Raleigh, Hercules, Sunbeam, Robin Hood, Chopper, Hopper dan Road Puppy.

Setiap basikal itu memiliki keunikannya sendiri kerana setengahnya memiliki meter, jam, kunci tengkok, loceng tembaga, tayar dan kualiti badan basikal itu sendiri.

"Memang sangat susah mendapatkan alat ganti basikal ini kerana pihak kilang menghentikan pengeluarannya."

"Jadi, saya terpaksa mencari alat ganti dengan berhubung dengan persatuan basikal yang ada di dalam dan luar negara," katanya.

Katanya, ada pihak ingin membeli basikalnya menawarkan harga hingga mencecah RM3,000, tetapi menolaknya kerana sangat sukar mendapatnya kembali.

Musa berkata, selain mengumpul basikal antik, beliau turut menyertai pelbagai pertandingan basikal antik, malah pernah beberapa kali memenangi hadiah selain diundang Kelab Gerek Tua Alor Setar (Getuas) yang diwakilinya ke majlis perkahwinan, ulang tahun kemerdekaan dan perarakan sekolah.

"Selain mengumpul basikal lama sebagai hobi ia juga merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kerana semua anggota keluarga saya juga berminat dengan hobi ini selain mendapat lebih ramai kenalan," katanya.


Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, November 28, 2010

Knitting and Crocheting with Ran n Nong Creations

(Post: English)
" RAN & NONG Creations is no ordinary business. There's no work politics or sales targets to be achieved here. "

Instead, it is a prime example of how one housewife's pastime, her insightful children and the Internet can spiral outwards across communities to touch other women and rejuvenate a craft that seems outdated - knitwear.

"It all started as a hobby," Nur Rahmah Ranong Abdullah said in the backroom of her workshop at Twin Tower Centre in Kuching.

With a hubby whose career requires the family to travel, she found herself in Capetown, South Africa, with nothing to do. After nine years in the hotel industry, she wasn't prepared to just let her mind go idle.

Although she didn't know how to knit or crochet, she found friends and discovered the art.

"Raw materials were so accessible there," she said.

The next chapter in her exodus would be Jakarta, Indonesia, the home of artistic traditions.

She worked on baby booties initially, drawing inspiration from her children.

"I didn't think anything of it at first but when my children saw them, they asked: Mum! Why don't you sell it online?"

They created a website for her with her youngest daughter, Nadin, as her model. Much like any good idea, a simple sale of baby booties to a woman in Mexico grew into creating adult-sized shawls, and then creating to order.

Before long, her hobby turned into a viable, personal business.

"Since then, knitting has blossomed into something more than just a passion," Ranong said.

From crocheting and knitting, she also adds other skills to the list like smocking and tatting - skills she uses today to train and teach others.

"It's an on-going project. We got to know more people and I began teaching working mothers, housewives and adults of all ages."

When she noticed the trend of mothers bringing their children with them to her centre, she got the inspiration to open up to children as well.

"My husband and I learned that knitting, especially for kids, not only has a calming effect but also a physiological effect that enhances your motor skills," she said.

With the coming school holidays, her centre is open for children.

"What we want are the skills we can produce from here for the European market. That's our long-term direction. The shop is a spin-off from that. I also create my own designs and am looking to trademark my creations - Ran & Nong Creations."

For people who come to her classes and want to do more, she is also open to teach them to become independent and self-reliant businesswomen in their own right.

"I'm tapping into rural areas through the Kementerian Kemajuan and aiming at people who may be less academic but strong in vocational skills."

Ranong is always open to inspiration, new ideas and making use of her hometown's natural resources to make truly Sarawakian products.

"We have a lot of natural products and resources. When we go back to Ba Kelalan, we look around and think about what else can be done. They have the skills but they don't have the guidance or the direction. Or they may think that there's no market for their skills."

What Ranong does then is sell their products on her website.

"With the e-kasih programme, the rural people can benefit from the government programme. We help to spearhead and provide them a platform through which to sell their products," she said, adding that her ultimate goal is for these craftswomen to become self-reliant in business.

"Hopefully from there, they can learn the tricks of the trade like marketing, packaging and how to export their products."

She also looks forward to imparting her skills.

"If I had to go somewhere, I'd like to have somebody else here to take up where I left off. The skills aren't mine alone."

Meanwhile, she is also looking at expanding into a beauty and spa academy.

While she is already accredited with Mustika Ratu certification in spa management, she does not have the accreditation to teach others yet.

Much like her home-handicraft business, her massage therapy is also inspired by her daily life. She learned to massage her daughter from babyhood, and now she's looking to turning her spa into an academy.

"It's more focused on holistic wellness. Currently I have created a Murut hot-stone massage which will help warm and loosen up tight muscles. Since we have so many raw materials here, in time, I will look into creating essential oils from our natural resources."

Eventually she hopes to teach her skills in spa management and basic massage therapy to others.

"I want to streamline and project a better image on how a spa should be run," she said, relating that her small scale beauty house is open exclusively for women.

Ranong's modules and syllabi are based on basic, intermediate and advanced.

"Each of the basic classes comprises four sessions of an hour each. Within each module, they will produce handmade scarves and whatever they produce we market and retail it out."

Even though they may be called 'classes', her modest boutique provides a relaxing environment where people can find new business opportunities, renewed friendship and kinship.

Ran & Nong Creations is open daily from 9am to 6pm.

Source: Borneo Post Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 15, 2010

Galeri Art On Glass

(Post: Bahasa Melayu)
" Ekspresi diri yang dizahirkan ke atas kaca dengan bentuk lakaran menarik mampu menjadi kenangan terindah buat seseorang. "

Itu yang dibuktikan Salmiah Mohd Norin, 43, meskipun tidak pernah meminati bidang lukisan bahkan tidak pernah memegang berus lukisan atau kanvas.

Inisiatifnya untuk berkarya lahir apabila mengikuti kelas melukis atas kaca untuk memberi inspirasi baru ke atas minatnya yang dipupuk perlahan-lahan itu.

Kini, pemilik syarikat Art On Glass itu mampu memanipulasi hobinya sehingga ia lahir sebagai karya menarik untuk kepuasan peribadi.

"Mungkin semua ini atas dorongan sekeliling terutama suami. Saya berusaha sendiri mengikuti kelas melukis secara serius sehingga akhirnya tercetus semua ini."

"Apa yang menarik, cubaan melukis dan melakukannya secara komersial membuahkan kejayaan. Ia membuatkan hati teruja dan dari situ terhasil karya atas kaca, daripada bentuk kecil hinggalah kaca leper, mangkuk, botol, dulang, tempat habuk rokok, bingkai gambar dan segala yang boleh dijadikan perhiasan."

"Seronok melakukan kerja seni ini dan paling menyeronokkan, ia mempunyai kelompok penggemar tersendiri terutama mereka yang ingin menjadikannya sebagai barangan cenderahati," katanya ketika ditemui di kedai miliknya yang beroperasi di Selayang Baru, Selangor.

Melukis barangan mengikut kreativiti tersendiri dan dilukis di atas kaca yang diterbalikkan itu nyata menarik perhatian ramai.

Bahkan, pertama kali mengadakan pameran pada Perhimpunan Agung Umno lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi katalis buat wanita ini kerana ia membuka banyak mata pengunjung yang menyedari kehadiran lukisan kaca berkenaan.

"Lebih memberangsangkan apabila isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menempahnya dalam jumlah yang agak banyak dan ia membuatkan saya teruja campur terkejut."

"Sebenarnya, lukisan sebegini sesuai dijadikan barangan cenderahati untuk golongan korporat mahupun orang perseorangan. Peminatnya juga boleh menyimpan barangan sebegini sebagai koleksi indah."

"Bagi remaja sekolah, kebanyakan mereka menggemari bentuk ukiran kecil dan sederhana seperti piring kecil yang diperincikan dengan lukisan unik. Bagi kanak-kanak pula, kebanyakannya meminati lukisan kartun atau bunga-bungaan diabadikan di atas jubin," katanya sambil menambah hasil seninya itu boleh didapati pada harga antara RM30 hingga RM780.

Bukan hanya kepuasan melukis, Salmiah turut menterjemahkan nilai seni itu menerusi gubahan indah dalam bentuk bungkusan hadiah atau hamper menarik.

"Ia memberi kepuasan berganda kepada saya sendiri. Pertama, ketika menghasilkan lukisan tentunya terasa indah untuk memberi sentuhan menarik. Setelah lukisan kaca terhasil, lebih memberangsangkan apabila ia sempurna dibalut dengan gubahan menarik."

"Menerusi sambutan menggalakkan, saya kini mengumpul penggemar yang berhasrat mengkomersialkan bidang ini dengan mengadakan kelas khusus untuk memanfaatkan hobi ini sepenuhnya," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: 88db

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 24, 2010

Juara GP Joran 2010

(Post: Bahasa Melayu)
" Air mata kegembiraan mengalir di pipi juara keseluruhan Kategori Laut siri GP Joran 2010, Halim Mustapha, sebaik saja namanya diumumkan pemilik mutlak hadiah utama, Perodua Alza bernilai RM70,000 sekali gus mengetepikan enam peserta lain yang bersaing rapat untuk memenanginya. "

Masakan tidak, ketika ditemui sejurus balik ke jeti LKIM Kuala Dungun beberapa jam sebelum majlis penutup dan penyampaian hadiah, juruteknik Petronas di Kerteh berusia 44 tahun itu melahirkan kekecewaan kerana gagal memperoleh sebarang tangkapan, walhal pencabar terdekat, Alias Maulot, memperoleh jenahak seberat 7.8 kilogram.

"Rezeki itu ketentuan Allah dan tidak menyangka sama sekali memenangi Perodua Alza ini. Saya juga bernasib baik kerana 33 mata yang diperoleh Alias selepas menduduki tempat kelapan senarai GP Joran boleh cukup untuk memintas saya. Syukur kerana nasib menyebelahi saya," katanya.

Halim berkata, ini adalah kenderaan yang ketiga dimiliki selepas Toyota Unser dan Proton Iswara sekali gus menyifatkan nilai kereta Perodua Alza itu sangat sentimental - hadiah menjuarai Grand Slam Joran 2010.

"Semua peserta bercita-cita memenangi hadiah utama ini - begitu juga saya. Perodua Alza ini akan tetap digunakan sebagai kereta ketiga keluarga. Saya amat bangga dengan pencapaian ini dan ia adalah paling bernilai di antara hadiah pertandingan memancing yang pernah saya menangi," katanya.

Juara keseluruhan Kategori Pantai siri GP Joran 2010, Wan Mohd Arif Wan Ahmad, berkata beliau memang menyimpan hasrat untuk menukar Perodua Kancil yang dibeli sejak dua tahun lalu dengan kereta baru.

"Saya tahu hadiah GP Joran amat lumayan termasuk menawarkan kereta Alza tahun ini. Apabila menyertainya tiga tahun lalu, saya memang bercita-cita untuk memenanginya dan tidak menyangka tahun ini paling bertuah, terutama dalam pusingan akhir GP Joran di Pantai Teluk Lipat," katanya.

Sebelum pertandingan Ahad lalu, beliau meredah anak sungai dan alur di sekitar Kampung Batu Hitam, Kuantan untuk mencari umpan mujarab dalam usaha menjinakkan spesies ikan yang menghuni perairan Pantai Teluk Lipat.

"Alhamdulillah, umpan udang putih yang saya gunakan nyata berjaya memperdayakan pari seberat 6 kilogram sekali gus ikan kedua terberat pertandingan."

"Malah, saya tidak menyangka sama sekali tangkapan itu juga meletakkan saya sebagai pemenang hadiah utama keseluruhan - Perodua Alza yang menjadi idaman semua peserta," katanya girang selepas menerima replika kunci kenderaan itu daripada Pengarah Eksekutif Media dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad A Talib.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pegawai Daerah Dungun, Mustafa Abdul Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Zainal Abidin Hussein; Pengurus Besar UFL/ Coleman, Ahmad Termizi Mahmud; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Bernas, Roslan Othman; dan Pengurus Perodua Pantai Timur, Zainuddin Mohamad.

Sementara itu, Alias dan Mohd Rosdi Abdullah yang diumumkan sebagai naib juara Grand Slam Kategori Laut serta Pantai masing-masing membawa pulang sebuah bot getah Fish Hunter tajaan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd.

Pemenang ketiga keseluruhan diraih Abdul Subar Ali (Kategori Laut) dan Roslan Hamzah (Kategori Pantai) masing-masing memperoleh bot getah Sevylor.

Pusingan akhir GP Joran 2010 mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu.

Ia ditaja Perodua, TCE Tackles, Bernas, Gardenia, UFL Coleman, Adabi, Nescafe, Maggi, Noraini's Cookies, Boat Explorer, Superbest Power dan Raudhah Herb.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 17, 2010

Extreme Response Gears

(Post: Bahasa Melayu)
" "Dua ribu jenis barang, wow banyaknya," itulah reaksi pertama saya apabila diberitahu oleh si empunya pemilik kedai lasak, Extreme Response Gears, Raja Izdihar Raja Mohamede Kamil, 39, mengenai jumlah barangan di premisnya. "

Kedai yang baru memulakan operasinya awal tahun ini terletak di Festive Mall, Teluk Danga, Johor iaitu lokasi terkenal tarikan pelancong sama ada untuk membeli-belah, makan ataupun menenangkan fikiran dengan pemandangan panorama Selat Tebrau.

Pernah belajar di Universiti Belfast, Ireland Utara selama lima tahun dalam bidang perniagaan, Raja Izdihar tekad dengan azamnya untuk menjadikan bidang perniagaan yang diceburinya sebagai satu batu loncatan untuk terus maju.

"Selepas belajar saya bekerja di Eropah selama lima tahun untuk mencari pengalaman," katanya kepada Kosmo!

Menurut Raja Izdihar, beliau mula tertarik dengan aktiviti sukan lasak dan ketenteraan apabila menyertai askar wataniah Terratorial Army ketika di England.

"Bermula dengan menjadi Terratorial Army, hati saya mula berdetik betapa segaknya memakai pakaian seragam, selain menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Ia juga membuatkan saya mula jatuh cinta dengan sukan ekstrem," katanya lagi.

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Perak itu bertekad satu hari nanti apabila kembali ke Malaysia beliau akan membuka kedai sukan lasak.

Kini impiannya menjadi kenyataan apabila berjaya membuka kedai itu dengan bermodalkan RM100,000.

Kedai yang terletak di Festive Mall itu bukan saja menjadi tumpuan peminat sukan lasak bahkan tempat persinggahan anggota pasukan keselamatan yang ingin mendapatkan keperluan peribadi dan kerja.

"Saya turut mendapat galakan daripada anggota polis dan tentera supaya kedai saya ini menjual pelbagai peralatan untuk anggota beruniform," jelasnya lagi.

Antara barangan yang menjadi perhatian orang ramai di kedai itu ialah kasut taktikal, beg-beg galas, peralatan khemah, perkhemahan perubatan, peralatan paintball, tali pinggang keselamatan, peralatan memancing, pakaian seragam tentera dan juga barangan taktikal sukan lasak.

"Sebenarnya walaupun terdapat kira-kira 2,000 jenis barang di sini tetapi ia belum mencukupi lagi. Kalau ikutkan ia baru 70 peratus saja daripada sasaran saya."

"Insya-Allah pada akhir tahun ini semuanya akan lengkap 100 peratus," katanya lagi.

Bapa kepada dua cahaya mata itu menambah, pada kebiasaannya kaki-kaki pancing akan datang ke kedai itu untuk mendapatkan peralatan memancing, begitu juga dengan peminat mendaki gunung yang mahu mendapatkan keperluan mendaki seperti khemah dan beg galas.

Harga barang yang dijual di situ bermula dari RM30 hingga RM300.

Bagi mereka yang gemar berkhemah Extreme Response Gears menjual khemah lipat yang hanya memerlukan kira-kira lima saat untuk didirikan.

Anda hanya perlu mencampakkan khemah tersebut dan ia akan terbuka dan siap untuk digunakan. Harga khemah tersebut antara RM220 hingga RM290 bergantung kepada keluasannya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 31, 2010

Beg Tangan Daripada Penutup Tin

(Post: Bahasa Melayu)
" Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak kempen dan program mempromosikan kepentingan amalan kitar semula dilaksanakan dalam memupuk kesedaran agar masyarakat prihatin dengan situasi genting dunia berdepan pemanasan global. "

Amalan kitar semula juga merupakan usaha murni bagi memastikan generasi akan datang dapat turut mewarisi bumi hijau ini.

Bagi pemilik blog Mee Tan's Handicraft, May Oh, 50, dia mempunyai cara tersendiri dalam mempraktikkan amalan kitar semula bahan buangan.

Jika orang lain mengumpulkan tin minuman untuk dijual, bagaimanapun May menjadikan penutup tin dan kad plastik sebagai tas tangan moden menarik untuk digayakan.

"Semasa kecil lagi saya sudah meminati seni kraf tangan, malah akan membuat tas tangan ataupun bakul dengan menggunakan tali rafia. Ini kerana beg agak mahal untuk dimiliki sewaktu zaman kanak-kanak dahulu."

"Sejak empat tahun lalu saya mula berkecimpung membuat tas tangan menggunakan penutup tin minuman dan kad isi semula kerana minat mendalam terhadap seni kraftangan," katanya.

May sama sekali tidak menyangka produk keluarannya akan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang inginkan kelainan apabila menggayakan tas tangan tersebut.

"Pada mulanya, tas tangan ini hanya digunakan anak perempuan saya apabila melanjutkan pengajian di kolej swasta. Dari situ banyak kawan-kawannya berminat dengan produk tersebut sehingga membuatkan saya membuat laman blog," ujarnya lagi.

Dia yang agak cerewet dalam pemilihan penutup tin minuman berkata, kira-kira 250 sehingga 2,000 penutup tin akan digunakan untuk menghasilkan sebuah tas tangan tersebut mengikut kesesuaian saiznya.

Tambah May, semasa awal pembabitan menghasilkan tas tangan berkenaan penutup tin minuman akan diperoleh melalui kawan-kawan, sanak saudara dan kedai-kedai kopi berdekatan kejiranan rumahnya.

"Bagaimanapun, apabila permintaan semakin tinggi, saya akan membelinya atau mengutip sekali sekala untuk memudahkan lagi proses penghasilan tas tangan berkenaan. Penghasilan tas tangan ini memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana ia bukanlah satu proses yang mudah untuk dilakukan."

"Saya mengambil masa sehingga dua minggu untuk menghasilkan sebuah tas tangan tersebut agar ia kelihatan moden dan berkualiti. Bagaimanapun, jika terdapat permintaan serta perlu mengikuti tarikh akhir, saya akan memastikan disiapkan dengan cepat," katanya lagi.

May menambah, proses penghasilan tas tangan berkenaan dilakukan dengan beberapa langkah termasuk membersihkan penutup tin minuman dengan pencuci agar tiada kesan gula dan mengeringkannya di bawah sinaran matahari.

Katanya, ia juga perlu diketuk menggunakan tukul besi untuk meratakannya kerana terdapat penutup tin minuman yang berbentuk bulat dan empat segi.

"Selepas itu, barulah proses menjahit dan menghasilkan tas tangan itu dilakukan. Biasanya saya akan menggunakan benang kapas kerana ia lebih cantik dan memenuhi cita rasa pelanggan," ujarnya.

May menambah, selain dibuat sepenuhnya dengan tangan antara keistimewaan lain tas tangan itu ialah ia lebih ringan.

Dengan menggunakan tangan, tas tangan tersebut lebih kemas, cantik dan trendy.

"Selain itu, pelanggan juga tidak akan perasan bahawa tas tangan tersebut diperbuat daripada penutup tin minuman kerana kehalusan pembuatannya."

"Saya menjual produk-produk tersebut pada harga RM50 hingga RM350 bergantung kepada bahan yang digunakan semasa membuat tas tangan ini," katanya.

Sementara itu, May memberitahu dia juga ada menjual produk-produk yang dihasilkannya pada acara-acara kitar semula ataupun alam sekitar.

"Saya juga ada menyediakan kelas bagi mereka yang berminat untuk mempelajari teknik pembuatan seni kraf tangan ini."

"Mereka yang berminat hanya dikenakan RM300 seorang tetapi jika terdapat tiga orang pelajar, bayarannya tetap sama dan bermakna setiap orang hanya mengeluarkan RM100," katanya.

Walaupun tas tangan berkenaan mendapat perhatian, May masih menganggap seni kraf tangan yang dilakukan sebagai hobi.

"Ia dilakukan adalah untuk bersama-sama membantu memulihara alam sekitar dengan mengamalkan amalan kitar semula," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, November 26, 2009

Jual Beli Duit Lama

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat mengumpul wang kertas dan duit syiling lama semakin subur di Malaysia berbanding sekitar 1990an atau 1980an. Disebabkan sudah ramai pengumpul, mendapatkan koleksi wang juga semakin sukar. Harganya juga meningkat setanding nilai mata wang semasa."

Berapakah jumlah yang anda sanggup bayar untuk memiliki sekeping wang tinggalan zaman pentadbiran Negeri-Negeri Selat? RM10 atau RM100? Bagaimana kalau harganya mencecah RM1.2 juta?

Bagi kebanyakan kita, nilai sebegitu tinggi tidak munasabah. Bagaimanapun, bagi pengumpul wang lama, kepuasan melengkapkan koleksi lebih diutamakan. Justeru, RM1.2 juta untuk sekeping wang keluaran 1911 yang memiliki nombor siri A000001 sangat berbaloi.

Bagi pengumpul di Malaysia melengkapkan koleksi wang tempatan, termasuk Brunei dan Borneo ketika zaman penjajahan Inggeris hingga kini adalah satu kemestian. Dari situ, mereka akan melebarkan koleksi kepada wang negara lain, misalnya mata wang Eropah zaman sebelum pengenalan Euro.

Tidak kurang juga yang mengumpul wang negara bermasalah seperti Afghanistan dan Iraq selain negara miskin seperti Uganda atau Brazil kerana kos untuk memilikinya sangat murah.

Pengumpul mata wang, Lawrence de Souza, berkata sebelum merdeka, Malaysia atau Tanah Melayu menggunakan mata wang Dolar dan ia turut digunakan di British Borneo merangkumi Sabah, Brunei dan Sarawak.

Justeru, kata de Souza, melengkapkan koleksi mata wang dolar bermula 1901 hingga 1967 adalah antara impian besar pengumpul mata wang.

Pada 1901 hingga 1910, Tanah Melayu menggunakan mata wang dengan imej Raja Edward Ketujuh. Ia kemudian bertukar kepada dolar dengan gambar George V (1910-1936), George VI (1936-1952) dan Ratu Elizabeth (1952-1967).

"Pada 1967 Malaysia memperkenalkan mata wang dikenali sebagai Siri Parlimen dan ia kekal hingga 1988. Ketika itu, Malaysia memiliki wang kertas bernilai RM1,000 yang ditulis sebagai 'saribu'," katanya.

Kata de Souza, nilai sekeping wang saribu yang berkeadaan baik dan nombor siri menarik boleh mencecah hingga RM50,000. Bagaimanapun, dalam koleksi wang kertas lama Malaysia, wang dengan nilai saribu itu paling susah ditemui. Jika adapun, pemiliknya tidak akan menjualkannya kerana nilai sentimental yang ada pada wang itu.

Sebenarnya, dalam menilai kegilaan mengumpul wang lama, nilai muka tidak penting. Harga ditawar berdasarkan keadaan atau kualiti duit, tahun dikeluarkan dan nombor siri duit berkenaan.

Wang kertas RM2 yang berkeadaan baik, misalnya boleh mencecah hingga ratusan ringgit. Apatah lagi jika ia edisi khas, misalnya 10 keping RM2 yang tidak dipotong.

Selain wang era Siri Parlimen, wang zaman Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Bersekutu dan Negeri-Negeri Tidak Bersekutu juga adalah antara yang popular.

Duit syiling dan syiling peringatan juga mendapat permintaan tinggi. Duit syiling suku sen yang digunakan di Negeri-Negeri Selat, misalnya boleh mencecah hingga RM150,000. Selain keunikannya, syiling ini bersepuh emas.

Duit syiling setengah sen dan satu sen keluaran 1891 juga boleh mencecah nilai sama.

"Ada banyak sebab orang mengumpul wang lama. Mungkin keasyikan melengkapkan koleksi atau mungkin bermula dengan suka-suka tetapi akhirnya ketagih," katanya.

Bagi de Souza, dia mula mengumpul wang lama sejak remaja tetapi minatnya semakin bertambah apabila bertugas di bank komersial. Hari ini sebagai pesara bank, dia memiliki banyak koleksi wang lama terutama pada era pemerintahan Inggeris.

"Mengumpulkan wang lama pada hari ini tidak lagi seperti dulu kerana dulu jumlah pengumpul sedikit, manakala wang lama yang ada di pasaran banyak. Hari ini sebaliknya," katanya.

Selain membeli di kedai menjual mata wang lama, de Souza melengkapkan koleksinya dengan menghadiri lelong wang lama yang dianjurkan Persatuan Numismatik Malaysia.

Ada kala, jika acara lelongan itu tidak menemukannya dengan mata wang yang dicari, de Souza seperti pengumpul wang lama akan mencarinya pada acara lelongan mata wang lama di luar negara seperti di Hong Kong.

Pengumpul mata wang dengan modal besar pula boleh mendapatkan mata wang yang dikehendaki dengan membelinya melalui ejen mata wang yang berkhidmat secara bebas. Mereka biasanya warga asing yang mahir dalam selok belok urusan mata wang.

Walaupun dianggap sebagai hobi yang mahal bagi sesetengah orang, hobi mengumpul mata wang lama sebenarnya banyak bergantung kepada keadaan kewangan individu.

Ini kerana walaupun ada wang lama yang boleh mencecah nilai hingga ratusan dan jutaan ringgit, ada juga wang yang boleh dibeli pada harga RM3 saja.

Lebih istimewa, seni pembuatan wang itu sendiri berbeza walaupun datang dari negara sama selaras dengan perkembangan budaya dan kemajuan negara berkenaan.

Sesebuah negara, misalnya menukar mata wang yang digunakan lebih daripada sekali dalam masa 10 tahun. Semua ini dilakukan bagi memantapkan lagi mekanisme keselamatannya, selain perkembangan semasa yang menuntutnya berbuat demikian.

Apa yang membuatkan sekeping wang lama boleh mencecah hingga ratusan ringgit? Pengumpul dan pekerja kedai menjual mata wang lama, Tan Meng Fong, berkata antara faktor yang membuatkan wang lama bernilai tinggi ialah keadaannya yang masih baik, tidak berlipat, jauh sekali terkoyak.

"Ada juga wang lama sedikit terjejas, misalnya berlipat tetapi hanya satu lipatan. Dengan satu lipatan pun, ia berupaya menurunkan nilainya," katanya.

Kata Tan, satu lipatan pada wang boleh menjejaskan sehingga 50 peratus nilainya. Justeru, harganya akan terus menurun jika wang itu memiliki dua atau tiga lipatan.

"Pengumpul jarang memilih wang yang dilipat lebih dari sekali melainkan ia benar-benar sukar diperoleh. Namun, harganya tidak semahal harga wang sama tetapi masih elok," katanya.

Selain kualiti, wang yang dihasilkan dalam jumlah yang terhad juga melonjakkan harga. Misalnya, duit syiling keluaran 1971 memiliki nilai tinggi di kalangan pengumpul kerana ditempa di Jerman Barat. Duit syiling itu adalah duit syiling Malaysia yang terakhir ditempa di luar negara.

Pada tahun sama, sebahagian duit syiling ditempa di kilang wang Bank Negara Malaysia di Shah Alam.

Bagaimanapun, penempaannya terhad kepada syiling 10 sen saja. Banjir besar yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur menjejaskan operasi penempaan apabila limpahan banjir masuk ke dalam mesin pencetak.

Kejadian itu menyebabkan hanya 32,000 keping sempat ditempa. Jumlah yang sedikit melonjakkan permintaannya.

Kata Tan, sekeping duit syiling 10 sen yang dikeluarkan pada 1971 boleh mencecah harga RM2,500.

"Syiling peringatan juga memiliki peminat tersendiri. Lebih ramai peminat, lebih tinggi nilainya. Wang syiling peringatan RM5 boleh bernilai RM1,800," katanya.

Faktor sukar diperoleh juga meningkatkan nilai wang berkenaan. Bagi wang kertas Malaysia atau Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat, keluaran terhad menyumbang kepada nilainya.

Adakala edisi wang terhad disebabkan perkhidmatan Gabenor Bank Negara yang singkat melonjakkan harga wang lama. Misalnya, untuk 1981 hingga 1984, Bank Negara Malaysia diterajui Tan Sri Aziz Taha.

Dalam tempoh tiga tahun menjadi Gabenor Bank Negara, Aziz menandatangani dua siri wang kertas Malaysia (siri 4 dan siri 5). Faktor ini menjadikan nilai wang kertas pada era Aziz sangat mahal.

Apatah lagi jika wang itu memiliki nombor siri berturutan atau berlaku kesilapan pencetakan pada permukaannya.

Wang dengan nombor siri yang tersusun cantik juga sangat mahal. Untuk sekeping wang kertas RM50 era Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Don misalnya, ia boleh mencecah hingga RM1,000.

Wang dengan nombor siri bersusun, tiga, lapan dan sembilan mencecah RM1,000 sekeping, manakala wang dengan nombor siri BB888888 boleh mencecah RM10,000. Namun, urutan siri nombor empat tidak popular di kalangan pengumpul bangsa Cina. Ia hanya dibeli pengumpul Melayu atau India. Nilainya pula berlegar sekitar RM400 saja.

Nilai wang lama juga dipengaruhi oleh nilai mata wang semasa negara berkenaan. Sebagai contoh, wang kertas lama negara seperti Britain dan New Zealand serta wang negara Eropah sangat tinggi nilainya berbanding wang kertas dari Iraq atau Afghanistan.

Satu set wang Jerman sebelum pengenalan Euro boleh mencecah hingga RM12,000, manakala wang kertas era Saddam Hussein atau wang kertas era Taliban boleh dibeli pada harga RM3 saja.

Termasuk dalam kategori wang murah ini ialah wang kertas Kemboja keluaran 1972, wang Brazil keluaran 1980 dan mata wang Guyana dari 1966-1992.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, October 12, 2009

Fotografi Dasar Laut

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagai cinta pandang pertama, begitulah perasaan yang bersarang dalam hati Khairul Ariffin sebaik meneroka keindahan marin, terumbu karang dan hidupan laut berwarna-warni."

Keputusan nekad meninggalkan dunia teknologi maklumat untuk mendalami bidang fotografi yang diminati sejak zaman persekolahan, nyata tidak sia-sia.

Biarpun tiada siapa berani memberi jaminan, Khairul Ariffin Mohd Aris, 31, yakin dengan bidang fotografi biarpun hanya diceburi secara serius, kira-kira tiga tahun lalu.

Namun, bukan calang-calang bidang fotografi yang dipilih graduan bidang sistem komputer (teori dan analisis) dari Western Michigan University di Amerika Syarikat (AS) ini, sebaliknya Khairul Ariffin mengisi portfolio barunya dengan ilmu fotografi dasar laut.

Ditanya bagaimana terfikir beralih karier sebagai jurugambar dasar laut, Khairul Ariffin berkata, segala-galanya bermula selepas isterinya memiliki lesen selam skuba.

"Sebaik isteri memperoleh lesen selam skuba, saya nekad melakukan perkara sama beberapa bulan kemudian," katanya.

"Sebaik memperoleh lesen selam skuba, saya bagaikan pemuja aktiviti selam skuba. Lebih-lebih lagi berpeluang merakamkan gambar serta objek marin yang cukup eksotik."

"Mulai saat itu, saya nekad bergiat aktif dalam bidang fotografi dasar laut. Namun, saya juga aktif merakamkan gambar majlis, komersial dan pengiklanan," katanya.

"Saya tidak terus memilih subjek fotografi dasar laut dan mendalaminya. Sebaliknya, saya bermula dengan fotografi daratan sejak 2004. Daripada pembabitan awal itulah saya menemui sesuatu yang cukup istimewa dengan dunia fotografi dasar laut."

"Bagi saya, kepuasan itu berbeza. Ini turut merangkumi objek, warna dan keunikan sesuatu imej fotografi yang berjaya kita rakamkan," katanya lagi.

Apabila disoal mengapa memilih aktif sepenuh masa dalam bidang fotografi, jawab beliau, "Bagi saya, untuk fokus dan berjaya dalam sesuatu bidang, kita harus mendalaminya sepenuh hati. Kejayaan tidak akan datang melalui cara mudah, sebaliknya kita perlu bekerja keras."

"Begitu juga bidang fotografi dasar laut, di mana kita harus mengembara dan rajin mempelbagaikan idea serta mencuba. Bagi saya, proses pembelajaran diteruskan sampai bila-bila."

Menurutnya lagi, melalui hobi ini, kita boleh melihat perubahan ekosistem seperti pencemaran alam dan aktiviti manusia. Seperti suatu ketika dulu, di beberapa kawasan terumbu karang di Pulau Perhentian didapati tercemar tetapi berjaya dipulihkan melalui projek dan usaha keras beberapa pihak.

Bagi peralatan fotografi gambar dasar laut, kos minimum bagi kamera yang bagus mencecah RM4,000 hingga RM5,000. Namun, ia bergantung kepada tahap kecintaan dan fokus masing-masing untuk mendalami bidang ini.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa fotografi dasar laut masih baru di negara ini serta kurang mendapat perhatian terutama dalam konteks perniagaan, tetapi, idea serta garapan yang dilakukan mampu menjadikan bidang ini cukup komersial.

Ketika ini, Khairul Ariffin mempelbagaikan disiplin dan bidang kerja termasuklah fotografi majlis, komersial dan pengiklanan.

Selain giat mempromosi selam skuba sebagai gaya hidup sihat, beliau turut menganjurkan bengkel fotografi dasar laut membabitkan kumpulan kecil sebagai satu forum untuk berkongsi minat dan idea yang sama.

"Ketika ini, saya belum terfikir mempamerkan hasil foto saya... Insya Allah, suatu hari nanti," ujarnya lagi.

"Secara jujur, saya masih belum puas biarpun sudah sering melakukan aktiviti selam skuba dan merakam imej dasar laut."

"Bagi saya, kepuasan lebih dirasai andai kita berpeluang meneroka lebih banyak lokasi terumbu karang di seluruh dunia dengan merakamkan imej dan hidupan marin eksotik."

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 29, 2009

Hobi Kapal Terbang Miniatur

(Post: Bahasa Melayu)
"Pemilik blog AirPlaneModel itu juga mempamerkan sebahagian daripada koleksinya di dalam blog. Menerusi blog tersebut, orang ramai yang berminat boleh membeli kapal terbang miniatur yang mereka minati."

Deretan model kapal terbang miniatur yang tersusun di atas rak itu membuatkan sesiapa yang melihat berasa teruja.

Di sebuah bilik kecil tingkat bawah rumah Ahmad Nor Azlie Ramli, 29, terdapat lebih 50 himpunan model miniatur tersebut.

Azlie pernah memasang cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Namun, impian itu tidak kesampaian. Bagaimanapun, minat beliau masih kekal dan terzahir menerusi koleksi miniatur kapal terbangnya.

Azlie berkata, dia mula giat mengumpul model kapal terbang sejak tahun 2007.

"Pada tahun tersebut, sebagai seorang jurutera, saya mempunyai banyak projek yang dijalankan dengan Malaysia Airlines System (MAS) dan sering berulang alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang."

"Saya mendapat akses ke bahagian lapangan dan dapat melihat kapal terbang pada jarak dekat. Sejak itu saya semakin obses kepada kapal terbang," katanya.

Model-model kapal terbang yang dimilikinya dibeli di kedai permainan sekitar Kuala Lumpur dan di KLIA.

"Pada mulanya saya beli model kapal terbang yang diperbuat daripada plastik ini pada harga RM29.90 dari sebuah kedai permainan. Bila saya letak dalam kereta, model itu mula rosak dan cair bila suhu terlampau panas."

"Koleksi terbaru saya kebanyakannya dihasilkan daripada besi 100 peratus dan dijual pada harga di antara RM49.90 hingga RM200," katanya.

Selain daripada model kapal terbang MAS dan AirAsia, Azli mempunyai koleksi model lain seperti Korean Air, KLM, British Airways, Egypt Air, Lion Air, Indian Airlines, Garuda, Thai Airways, Singapore Airlines, American Airlines, Air Canada dan banyak lagi.

Menurut pemilik blog AirPlaneModel ini, ada di antara himpunan kapal terbang miniaturnya telah diberikan kepada teman-teman dan ada yang telah dijual.

"Bila orang datang rumah kadang-kadang mereka suka koleksi saya. Saya beri kepada mereka sebagai cenderamata."

"Kalau diikutkan hati memanglah sayang tapi benda ini boleh dibeli lagi," katanya.

"Mengumpul model kapal terbang ini adalah sebahagian daripada hobi saya. Buat apa saya nak jual pada harga yang lebih mahal."

"Jika ada yang berminat dan ingin membeli, harganya adalah sama dengan harga saya membeli model itu," katanya.

Azlie berkata, dia mengikuti setiap perkembangan MAS dan mengetahui dengan terperinci hampir kesemua pesawat yang digunakan oleh MAS. Dia begitu mengagumi MAS kerana kualiti, pencapaian dan khidmatnya yang bertaraf antarabangsa.

Azlie juga tahu banyak aspek mengenai kapal terbang termasuk mengumpul artikel dan foto.

Permainan simulator kapal terbang merupakan antara koleksi pelengkap kepada minatnya itu.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, August 16, 2009

Peminat Bunga Orkid Hutan

(Post: Bahasa Melayu)
"Baginya, usaha mencari orkid jauh ke dalam hutan belantara itu bukan sekadar hobi kerana dia juga memang berminat memelihara tumbuhan alam semula jadi bagi mengelak kepupusannya di samping membantu untuk menambah pendapatan keluarga."

Keindahan orkid atau orchidaceae bukan saja menjadikannya amat popular di kalangan penggemar flora di negara ini, malah ada yang sanggup meredah hutan belantara untuk mendapatkan tumbuhan berkenaan.

Bagi Norishak Md Isa, 37, dari Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang, Baling, Kedah, hobi mencari pokok orkid di hutan itu juga sumber rezekinya untuk keluarga.

Selain melakukan kerja kampung, dia mengambil peluang untuk memelihara pokok orkid yang diperoleh dari hutan sebagai sumber pendapatannya.

Pada mulanya, Norishak hanya mencari pokok itu untuk hiasan di rumahnya secara suka-suka, tetapi apabila mendapat tawaran daripada penggemar pokok orkid itu, dia mula menjadikan hobinya itu sebagai peluang menambah pendapatan.

Sejak tiga tahun lalu, dia mula mencari pokok orkid itu di merata tempat kerana yakin pokok itu dapat dijual kepada pelanggan yang meminati tumbuhan alam semula jadi.

Dia juga tidak kisah meredah bukit, paya dan lurah untuk mencari tumbuhan semula jadi itu kerana permintaan daripada pelanggan yang mahukan orkid yang asli sebagai perhiasan di rumah dan taman mereka.

"Setiap minggu saya mengambil peluang meredah bukit sehari suntuk mencari pokok orkid bersama rakan kerana banyak jenis tumbuhan itu ada di kawasan hutan di sini.

"Pokok orkid menjadi kegemaran kerana banyak jenis orkid yang ada di hutan belantara di negara kita yang boleh dijadikan perhiasan taman kerana tumbuhan itu mempunyai keasliannya tersendiri," katanya.

Dia yang meminati pokok orkid sejak tiga tahun lalu berkata, orkid yang ditemui antaranya adalah orkid totai, mata gergaji, faimrey, diamond, tulang, tanduk kijang, tebu, tanduk rusa, tali kasut, nanas, selipar, ritusa dan droben skanda.

Norishak akui orkid begitu popular kerana saiz, struktur dan warna bunganya yang berbeza-beza.

Warnanya saja cukup menarik hati seperti merah, kuning, merah jambu, putih dan ungu.

Ada 808 spesies orkid di Malaysia yang boleh dikenali menerusi bunga.

Pada amnya, pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya namun yang pasti, bunga menjadi tarikan kecantikan tumbuhan ini.

"Bagi sesiapa saja yang tahu menghargai kecantikan, pasti akan suka melihat keindahan bunga orkid."

"Bagi orkid hutan, kebanyakan bunganya berkembang pada April setiap tahun dan hanya bertahan hingga sebulan," katanya mengakui, orkid hutan memang mendapat perhatian ramai pelanggan."

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini ada spesies asli yang hampir pupus akibat pengambilan yang berleluasa di hutan oleh peminat orkid.

Pada musim tertentu, Norishak sanggup meredah hutan di Kelantan dan Perak untuk mendapatkan sesuatu jenis pokok orkid jika mendapat permintaan daripada pelanggan.

"Pokok orkid yang menarik mampu dijual sehingga mencecah RM200 secara borong kepada pelanggan dari Kuala Lumpur."

"Mereka menggemarinya kerana keaslian pokok orkid dari hutan mudah tumbuh liar sekiranya ia dijaga dengan baik," katanya.

"Hobi ini juga membuatkan seseorang itu cintakan keindahan alam semula jadi dengan mendekati pelbagai spesies tumbuhan, sekali gus mencetuskan rasa sayang kepada segala ciptaan Tuhan ini," katanya.

Sumber: myMetro
Foto:
Wikipedia

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 16, 2009

Kak Ton's DIY Tudung

(Post: Bahasa Melayu)
"Hobi dan minat yang mendalam pastinya boleh dikembangkan untuk dijadikan sebagai penjana pendapatan."

Bergelar suri rumah atau memiliki kerjaya tetap tidak menjadi penghalang untuk wanita meraih pendapatan sampingan.

Bijak mengatur perancangan bersandarkan sedikit kemahiran seperti menjahit juga antara jaminan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, bagi sesetengah wanita, kemahiran yang ada tidak hanya dijadikan sumber rezeki tapi cukup sekadar untuk mengisi masa terluang dan dijadikan hobi.

Melihatkan kegilaan wanita ketika ini yang gemar menggayakan tudung ala Ekin menarik minat Shazliyaton Hashim untuk berkongsi kaedah menghasilkan tudung bersengkuap jahitan sendiri melalui laman blog.

Menurut Shazliyaton, menghasilkan tudung sengkuap tidak sesukar yang disangka kerana pelajar yang biasa menghadiri kelas dianjurkannya, mampu menyiapkan tudung bersengkuap di dalam tempoh kurang sejam.

"Paling penting, anda tahu bagaimana kaedah betul untuk menjahit selain mempunyai kelengkapan jahitan seperti mesin jahit dan material untuk menghasilkan sehelai tudung bersengkuap," katanya.

Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk menjahit sendiri tudung ini termasuklah pola sengkuap bersama badannya, kain jersey (badan tudung), jersey, broked, kapas, sutera Thai atau shantung (sengkuap), bakrum (kain gam), jarum peniti, kapur penanda, jarum jahitan dan benang.

Ilmu menjahit tudung ini boleh ditimba melalui kelas jahitan tudung secara perseorangan atau berkumpulan (minimum lima orang) bersama Shazliyaton yang dianjurkan mengikut permintaan.

Di dalam blog Kak Ton turut ditawarkan kit tudung yang terdiri dari pola, nota jahitan dan kain jersey bagi individu yang mahu menggayakan tudung bersengkuap dijahit sendiri.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-3271935 / 017-3679442

Sumber: Berita Harian Online , Blog Kak Ton

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 17, 2009

MadMonkeyz Climbing Gym

(Post: Bahasa Melayu)
"Baru sahaja dibuka secara rasminya pada 30 April 2009, MadMonkeyz Climbing Gym ternyata mempunyai aura tersendiri. Buktinya, walaupun usianya masih terlalu hijau, namun lebih daripada 250 orang pelanggan sudah pun mengunjungi dan 'beraksi' di sana."

Tidak seperti gimnasium biasa, MadMonkeyz Climbing Gym tampil dengan kelainan konsep tersendiri yang mampu menarik minat individu yang gemar dan aktif dalam sukan mendaki tebing atau rock climbing.

Menurut salah seorang pemilik gim itu, Lok Hon San, idea menubuhkan MadMonkeyz Climbing Gym dicetuskan oleh rakan kongsinya, Wong Shi Wen yang merupakan seorang pendaki tebing profesional di Malaysia.

"Beliau mendapat idea menubuhkan MadMonkeyz Climbing Gym ini setelah melihat gim di negara-negara Asia lain seperti Korea, Jepun dan China yang lebih berkonsepkan santai serta terbuka."

"Tanpa sebarang peralatan senaman moden tetapi hanya ruang untuk mendaki disediakan, ia menjadikan gim ini begitu istimewa di Malaysia," kata Hon San.

MadMonkeyz Climbing Gym dimiliki oleh syarikat AGC Sports & Equipment Sdn. Bhd.

Di samping itu, Hon San yang turut aktif dalam sukan mendaki tebing di negara ini memberitahu, selain menyediakan perkhidmatan mengajar cara-cara memanjat dan mendaki tebing, mereka turut menjual barang atau peralatan untuk memanjat di gim tersebut.

"Memang kami masih terlalu baru dalam industri gim di Malaysia. Tetapi, apa yang menggembirakan ialah komuniti sukan mendaki di Malaysia sudah mengetahui mengenai gim ini."

"Malah, mereka memberi respons positif di atas penubuhan MadMonkeyz Climbing Gym dan memberi sokongan dengan berkunjung serta berlatih mendaki tebing di sini," ujar pemuda berusia 27 tahun itu sambil menjelaskan bahawa pemilihan nama MadMonkeyz untuk gim tersebut dipengaruhi feng-shui.

Bagi anda yang baru memulakan aktiviti ini, MadMonkeyz Climbing Gym menyediakan ruang khas untuk mereka belajar mendaki dan memahami peringkat awal teknik-teknik pendakian di aras satu premis tersebut.

Aras dua pula menempatkan ruang untuk mereka yang telah mahir dan mahukan cabaran dalam sukan mendaki dalaman kerana reka bentuknya lebih mencabar ketahanan diri.

Selain itu, pihak pengurusan gim juga menyediakan ruang istirehat untuk pelanggan yang mahu melepaskan penat selepas memanjat batu-batu berwarna-warni yang terdapat di situ.

Tidak ketinggalan, di aras satu gim tersebut terdapat lokar yang mempamerkan peralatan yang diperlukan dalam sukan mendaki dalaman mahupun luaran seperti tali, kasut, beg kapur, beg, seluar yang bersesuaian dan peralatan lain.

Salah seorang tenaga pengajar, Mohd. Khairuddin Haja, 30, berkata, antara perkara menarik jika anda mahu belajar mendaki atau memanjat di sana ialah tahap keselamatan yang terjamin.

"Di gim ini, anda tidak perlu risau langsung mengenai keselamatan. Tetapi ia bukanlah bermakna kami tidak menitikberatkan keselamatan pelanggan. Risiko untuk cedera jika mendaki di gim ini amat rendah."

"Ini kerana kami menyediakan tilam lembut untuk menahan sesiapa yang terjatuh ketika berlatih memanjat batu. Dengan adanya tilam tersebut, tiada siapa yang akan tercedera meskipun terjatuh dari bahagian atas bumbung memanjat," kata Khairuddin yang berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam sukan lasak ini.

INFO:
MadMonkeyz Climbing Gym
19-1 & 19-2, Jalan Metro Wangsa,
Seksyen 2, Wangsa Maju,
53300 Setapak, Kuala Lumpur

Tel: 03-41420698
Fax: 03-41420697

Waktu operasi:
Isnin - Jumaat: 2 petang - 11 malam
Sabtu, Ahad & cuti umum: 10 pagi - 7 malam

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 11, 2009

Bisnes Lukisan Jubin

(Post: Bahasa Melayu)
"Tidak ada bezanya dengan kanvas. Kalau tidak suka atau tersalah lukis, basuh sahaja dengan air dan ia akan hilang. Kemudian, jubin perlu dibakar di dalam ketuhar bagi membolehkan warnanya tahan lama dan tidak mudah tertanggal."

Di atas meja kaca di dalam studio kecil di Damansara Perdana, barisan puluhan jubin dengan pelbagai motif dan warna pantas menarik perhatian.

Andai diteliti, paparan di atas permukaan jubin yang putih dan licin itu boleh terdiri daripada apa sahaja. Sama ada lukisan abstrak, watak hero, lirik lagu, binatang atau frasa pop yang popular.

Apa yang pasti, jubin bersaiz sama ada 2x2 inci atau 4x4 inci itu sudah ditransformasikan kepada satu bentuk seni yang comel, segar dan mampu membuat sesiapa sahaja ingin memilikinya.

"Secara purata, jubin-jubin ini akan dibakar dalam tempoh 30 minit, dibiarkan sejuk sendiri di dalamnya dan kering dalam masa 48 jam," jelas Nadiah Kimie, 31, sambil tersenyum.

Dia dan sahabatnya, Rekha Menon, mula mempamerkan hasil karya mereka di bazar seni yang dikenali sebagai Art for Grab sejak tahun lalu di Galeri Annexe Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Dengan bayaran RM100, mereka 'bekerjasama' mempamerkan hasil karya masing-masing di sana selama dua hari. Tanpa disangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

"Sangat mudah dan sesiapa pun boleh membuatnya. Kami bermula dengan 36 keping jubin. Kemudian, ada pula pelanggan yang memberi cadangan supaya jubin ini dihasilkan dalam bentuk set."

"Set yang terdiri daripada motif yang hampir sama, tetapi mempunyai warna berbeza. Ada seorang pelanggan wanita mahukan set ikan lumba. Biarpun lukisannya sama, warnanya berbeza."

"Jadi, pembeli akan memperoleh hasil yang eksklusif dan tidak akan diulang cetak," tambah Nadiah, menyatakan bahawa dia menggunakan cat arkrilik khas untuk porselin dan jubin seramik untuk melukis.

Set itu mungkin ada tiga atau lima keping jubin. Namun begitu, pelanggan juga boleh membeli satu atau dua sahaja, tidak semestinya beli semua.

Pada kali kedua program Art for Grab, mereka menjual jubin yang dilekatkan dengan magnet. Ia mendapat sambutan kerana pengunjung mempunyai lebih banyak pilihan.

"Berapa lama hendak disiapkan bergantung pada coraknya. Ada yang boleh disiapkan dengan cepat. Kalau yang senang seperti ini, cuma perlukan masa lima minit sahaja," kata Rekha sambil memegang sekeping jubin bergrafik abstrak berwarna hitam dan putih.

Bercerita tentang corak, Rekha dan Nadiah menyatakan, kebanyakannya adalah abstrak atau terdiri daripada gabungan idea.

"Kami akan mulakan siri I 'heart' seperti I Love KL dan sebagainya. Idea itu datang daripada seorang pelanggan. Seorang pelanggan lain pula mahukan siri superheroes. Ini termasuklah watak siri televisyen Heroes seperti Sylar, Hiro Nakamura, selain Wonder Women, Wolverine dan Batman."

"Ada juga individu meminta kami menghasilkan 100 keping jubin bermagnet untuk hadiah majlis perkahwinannya. Banyak sangat, jadi minta masa selama tiga bulan untuk siapkan," kata Rekha sambil memberitahu jubin ini dijual pada harga RM5 dan RM10, bergantung kepada saiznya.

Buat masa sekarang, mereka hanya 'memasarkan' produk dalam program Art for Grab.

"Memang ada yang minta supaya kami hasilkan dalam skala lebih besar seperti hadiah perkahwinan, perhiasan di bilik air, di samping ada pemilik kedai yang menawarkan untuk menjual jubin magnet di kedainya."

"Kami masih meneroka sebarang idea dan kemungkinan. Setakat ini, kami tidak mahu jadikannya sebagai satu bebanan. Kami mahu hasilkan jubin ini dalam keadaan yang seronok," ujar Nadiah.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 12, 2009

Bantal Beanipet

(Post: Bahasa Melayu)
"Bila saya jahit bantal-bantal haiwan ini, saya rasa sangat gembira. Haiwan bagi saya, sangat comel dan mudah disayangi. Jadi, terdetik di hati, alangkah seronoknya jika ideologi ini boleh diterjemahkan dalam bentuk bantal."

Menjadi rutin harian Yue Jun Mei yang gemar menghasilkan bantal-bantal buatan tangan bermotifkan haiwan.

Menjenamakan bantal tersebut sebagai Beanipet, hobi uniknya itu berputik daripada satu alasan ringkas.

"Sebab saya suka peluk bantal. Soalnya, adakah orang yang tak suka?" jawabnya dalam nada teruja.

Di sudut 'studio' mininya terkumpul satu 'keluarga' haiwan - ada monyet, beluncas bulat, arnab, ular, harimau, tikus dan sotong kurita. Hadir dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna, mereka terlalu comel untuk tidak dipedulikan.

Istimewanya, kesemua bantal haiwan itu tidak hanya berbeza dari segi warna, bentuk dan juga nama. Setiap satunya, jelas Jun Mei, ada karakter dan emosi yang tersendiri.

Meneliti kualiti jahitan dan kerja tangan Jun Mei yang begitu kemas, mungkin anda terkejut bahawa dia sebenarnya tidak tahu menjahit.

Pengetahuan jahitan asas yang ada hanya diperoleh daripada subjek Kemahiran Hidup di sekolah dulu. Selebihnya, kepakaran menjahit gadis langsing ini diperkasakan menerusi trial and error.

Dengan semangat yang berkobar-kobar untuk mencuba hobi barunya ini, Jun Mei membeli mesin jahit pertamanya pada Oktober tahun lalu.

Berbekalkan pengetahuan menjahit yang tidak seberapa itu lahirlah bantal sulungnya, seekor beruang bergelar Bear Bear.

Mengetengahkan motif haiwan dalam setiap rekaannya, pensyarah seni sepenuh masa di The One Academy ini sebenarnya menggemari karya berunsurkan alam sekitar.

Kini, kemahiran menjahit Jun Mei bagaimanapun bertambah baik. Daripada sekadar membuat bantal untuk kepuasan diri, dia kini mempunyai peminat karyanya sendiri. Buktinya, setakat hari ini, kira-kira 35 biji bantal berjaya dipasarkan menerusi blognya Beanipet.

Tambahnya, setiap rekaan bantalnya tidak akan diulang. Ini bermakna apa yang dimiliki pelanggan, tiada salinan kedua di dunia. Memperoleh ilham daripada kehidupan harian, bantal-bantal haiwan itu direka mengikut permintaan pelanggan masing-masing.

Memiliki pelanggan sejauh dari Sabah, harga bantalnya bermula dari RM75 hingga RM160 setiap satu bergantung kepada komplikasi rekaan.

"Setakat ini, saya rasa gembira dengan hobi ini. Rasanya jika pelanggan tak suka dengan hasil kerja saya, mungkin sukar untuk saya teruskan hobi ini," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 1, 2009

Menternak Burung Kakak Tua

(Post: Bahasa Melayu)
"Setiap individu mempunyai hobi tersendiri, sama ada sebati dengan jiwanya, untuk sumber pendapatan dan kedua-duanya. Jika hobi membawa untung, lebih baik diteruskan kerana sudah pasti membawa hasil."

Begitu juga dengan Shek Mamad Hussin Shahib, 54, yang mempunyai minat memelihara burung kakak tua.

Bermula sekadar hobi mencari keseronokan sejak lima tahun lalu, beliau kini mempunyai lebih 100 burung kakak tua pelbagai jenis.

Shek Mamad atau Ghani dianggap antara penternak burung kakak tua berjaya, bukan saja kerana mempunyai jumlah burung yang banyak tetapi membuktikan kemampuan membiakkan baka yang menjadi pilihan ramai.

Bermula dengan membeli seekor kakak tua daripada kenalan di Kajang, Selangor, diikuti burung kedua dibeli di Taiping, Perak, kini rumahnya di Taman Seri Gombak, di sini ibarat mini zoo menempatkan pelbagai jenis burung yang mempunyai tempat pembiakan.

Berkongsi minat sama dengan anaknya, Shek Nizam, 29, mereka melihat penternakan itu sebagai satu industri yang menjanjikan permintaan tinggi, sekali gus membantu merealisasikan impian membiak sebanyak mungkin baka terbaik kakak tua. Daripada lebih 100 kakak tua miliknya, sudah pasti ada yang menjadi pilihan dan mencuri tumpuan pemilik dan peminatnya.

"Spesies African Grey paling diminati kerana boleh bercakap. Agak pelik tetapi itulah hakikatnya dan kajian saintifik mendapati, spesies itu mempunyai memori sangat baik, boleh merekod dan mengingati 500 patah perkataan."

"Burung jenis ini juga agak cerdik berbanding spesies lain, misalnya tahu membezakan warna dan mampu mengumpulkan barang di satu tempat mengikut jenis warna. Sebab itu saya katakan peminatnya cukup ramai," katanya.

"Anak burung ini diberi makan empat kali sehari sehingga minggu ketujuh. Pada minggu ke lapan, mereka dilatih makan sendiri bermula dengan makanan lembut seperti betik. Jika berjaya, catuan makanan yang disuap akan dipotong sedikit demi sedikit membolehkan mereka makan sendiri hinggalah boleh makan sepenuhnya," katanya.

Di sepanjang kawasan rumahnya dipenuhi dengan sangkar burung kakak tua, manakala satu kawasan lagi terletak di pintu masuk utama ditempatkan kawasan khas untuk burung bertelur dan mengeram. Kawasan itu jarang dimasuki bagi mengelakkan gangguan kepada burung.

Ada spesies yang mengeluarkan bunyi cukup nyaring dan bising, misalnya jenis Macaw tetapi itulah sebenarnya yang dianggap Ghani sebagai hiburan dan muzik menghiburkan kerana ia adalah bunyi semula jadi.

Ghani dan anaknya juga sering diundang untuk mengadakan pertunjukan di pusat beli belah, sekolah dan pusat peranginan membolehkan pengunjung bergambar dengan burung berkenaan.

Selain membiak burung kakak tua, Ghani juga menternak 40 rusa jenis Timorensis dari Indonesia dan Sika (rusa bintik) dari China serta puluhan itik hiasan dan pelbagai jenis kucing. Semua haiwan eksotik ini boleh disewa untuk pertunjukan.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, February 20, 2009

Pakar Penghias Joran

(Post: Bahasa Melayu)
"Jika ditambah dengan aksesori, hiasan pada batang joran, ia lagi menyerlah, nampak lebih ekslusif walaupun harganya lebih murah. Memasang aksesori sebenarnya tidak menjejaskan keupayaan batang joran kerana ia cuma dibuat pada kulit batang joran."

Bagi kaki pancing, Tarmizam Abd Karim, 36, kepuasan dalam aktiviti memancing boleh dicapai dalam pelbagai bentuk.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pok Mud’s di kalangan kaki pancing ini mencari kelainan dengan cara mencantikkan joran pancing dengan pelbagai corak yang dibuat sendiri di rumahnya.

Setiap batang pancing akan dicorakkan dengan pelbagai bentuk seperti bertemakan berlian, burung, ikan, batik, konsep tikar mengkuang serta pelbagai jenis corak lain bahkan nama pemilik joran itu juga boleh ditulis diatasnya.

Walaupun joran itu tidaklah semahal jenama popular, tetapi ia tetap cantik dan menarik kerana tulang belakang joran itu kelihatan lebih menyerlah jika disulami dengan corak dan warna yang sesuai.

Ia bukan sekadar menyedapkan mata memandang, tetapi sebenarnya turut memberi kesan dalam meningkatkan ketahanan batang joran kerana kebiasaannya cincin baru berkualiti akan dipasang, manakala lilitan benang dan gam pada joran membuatkan ia lebih tebal serta lasak.

Tarmizam juga lebih gemar membeli set peralatan secara berasingan dan mengubahsuainya mengikut keperluan kerana ia lebih murah serta mampu disediakan mengikut kehendak sendiri berbanding jika membeli set pancing yang sudah siap.

Menyingkap hasil kerja ini, Tarmizam menjelaskan, ia sebenarnya satu kerja seni kerana membabitkan ukiran dan corak mengikut pilihan pelanggan. Ada yang suka meletakkan nama, ada pula yang gemarkan warna yang nampak garang, masing-masing mempunyai pilihan sendiri.

Kemahiran yang dimiliki ini turut dikongsi bersama rakan pancing lain dan beliau memang menerima tempahan, cuma ketika ini agak terhad disebabkan kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga.

Kerja mencantikkan joran memang rumit dan sebatang joran kebiasaannya boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari jika tumpuan sepenuh masa diberikan. Prosesnya memang sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Setiap maklumat pelanggan akan direkodkan bagi memudahkan kerja saya. Jika mereka datang untuk kali kedua, saya sudah tahu apa jenis peralatan yang diperlukan," katanya yang memulakan minat seni joran itu mulai 1990.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::