ATTENTION !!!

Showing posts with label gubahan. Show all posts
Showing posts with label gubahan. Show all posts

Saturday, May 21, 2011

Gubahan Hantaran Kimie's Creation

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika sebelum ini tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi seorang penggubah hantaran tetapi selepas membantu kakaknya dalam menyediakan gubahan empat tahun lalu, minat dan kreativiti itu datang sendiri. "

Khaizuran Mohd Ali juga tidak menyangka apa yang tidak pernah diminatinya dulu kini dapat membantu memberikan pendapatan sampingan.

Sungguhpun memiliki pekerjaan tetap, apa yang dilakukan kini untuk memenuhi masa lapang.

"Saya menggunakan waktu di hujung minggu sepenuhnya untuk fokus membuat gubahan jika mendapat tempahan dan jika hari bekerja saya tumpukan kerja di pejabat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Indah Cheras, Kuala Lumpur.

Menurutnya, setiap gubahan disediakan memang ringkas tetapi memenuhi kehendak dan keinginan pelanggan terutama bagi mereka yang cuba untuk memperoleh hantaran yang memenuhi bajet perkahwinan masing-masing.

Tidak salah mendapatkan gubahan ringkas serta tidak perlu menunjuk-nunjuk kerana apa yang penting adalah keikhlasan pemberian yang disediakan kedua-dua mempelai.

"Peruntukan bajet sangat penting kerana bagi saya jika tidak berkemampuan, bakal pengantin boleh memilih gubahan yang bersesuaian dengan apa yang mereka ada."

"Tidak dinafikan majlis perkahwinan sekali buat seumur hidup tetapi kita perlu realistik dan jangan membazir kerana masa masih panjang dan bukan hanya untuk hari itu saja," katanya.

Menggunakan laman sosial facebook memperkenalkan rekaan gubahan terbarunya, dia berkata, pada mulanya dia banyak membantu dalam menyediakan persiapan untuk keluarga terdekat dan rakan kerana ia lebih mudah.

"Malah, ada kalanya mereka menyerahkan 100 peratus kepada saya bagi mereka bentuk hantaran yang diperlukan," katanya.

CONTACT INFO:
Khaizuran binti Mohd Ali
Taman Cheras Indah, 56100 Kuala Lumpur

H/P: 013-2210143

Sumber: myMetro
Foto: Kimie's Creation

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 15, 2010

Galeri Art On Glass

(Post: Bahasa Melayu)
" Ekspresi diri yang dizahirkan ke atas kaca dengan bentuk lakaran menarik mampu menjadi kenangan terindah buat seseorang. "

Itu yang dibuktikan Salmiah Mohd Norin, 43, meskipun tidak pernah meminati bidang lukisan bahkan tidak pernah memegang berus lukisan atau kanvas.

Inisiatifnya untuk berkarya lahir apabila mengikuti kelas melukis atas kaca untuk memberi inspirasi baru ke atas minatnya yang dipupuk perlahan-lahan itu.

Kini, pemilik syarikat Art On Glass itu mampu memanipulasi hobinya sehingga ia lahir sebagai karya menarik untuk kepuasan peribadi.

"Mungkin semua ini atas dorongan sekeliling terutama suami. Saya berusaha sendiri mengikuti kelas melukis secara serius sehingga akhirnya tercetus semua ini."

"Apa yang menarik, cubaan melukis dan melakukannya secara komersial membuahkan kejayaan. Ia membuatkan hati teruja dan dari situ terhasil karya atas kaca, daripada bentuk kecil hinggalah kaca leper, mangkuk, botol, dulang, tempat habuk rokok, bingkai gambar dan segala yang boleh dijadikan perhiasan."

"Seronok melakukan kerja seni ini dan paling menyeronokkan, ia mempunyai kelompok penggemar tersendiri terutama mereka yang ingin menjadikannya sebagai barangan cenderahati," katanya ketika ditemui di kedai miliknya yang beroperasi di Selayang Baru, Selangor.

Melukis barangan mengikut kreativiti tersendiri dan dilukis di atas kaca yang diterbalikkan itu nyata menarik perhatian ramai.

Bahkan, pertama kali mengadakan pameran pada Perhimpunan Agung Umno lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi katalis buat wanita ini kerana ia membuka banyak mata pengunjung yang menyedari kehadiran lukisan kaca berkenaan.

"Lebih memberangsangkan apabila isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menempahnya dalam jumlah yang agak banyak dan ia membuatkan saya teruja campur terkejut."

"Sebenarnya, lukisan sebegini sesuai dijadikan barangan cenderahati untuk golongan korporat mahupun orang perseorangan. Peminatnya juga boleh menyimpan barangan sebegini sebagai koleksi indah."

"Bagi remaja sekolah, kebanyakan mereka menggemari bentuk ukiran kecil dan sederhana seperti piring kecil yang diperincikan dengan lukisan unik. Bagi kanak-kanak pula, kebanyakannya meminati lukisan kartun atau bunga-bungaan diabadikan di atas jubin," katanya sambil menambah hasil seninya itu boleh didapati pada harga antara RM30 hingga RM780.

Bukan hanya kepuasan melukis, Salmiah turut menterjemahkan nilai seni itu menerusi gubahan indah dalam bentuk bungkusan hadiah atau hamper menarik.

"Ia memberi kepuasan berganda kepada saya sendiri. Pertama, ketika menghasilkan lukisan tentunya terasa indah untuk memberi sentuhan menarik. Setelah lukisan kaca terhasil, lebih memberangsangkan apabila ia sempurna dibalut dengan gubahan menarik."

"Menerusi sambutan menggalakkan, saya kini mengumpul penggemar yang berhasrat mengkomersialkan bidang ini dengan mengadakan kelas khusus untuk memanfaatkan hobi ini sepenuhnya," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: 88db

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, April 10, 2010

Hamper Cenderahati Astana Jentayu

(Post: Bahasa Melayu)
" Kemahiran dan kreativiti sebenarnya ilmu yang boleh dipelajari. Kolaborasi kedua-duanya mampu memberikan kepuasan kepada mereka yang gemar berkarya selain turut memberi keuntungan berganda kerana boleh menjana pendapatan. "

Hal itu dibuktikan pengusaha kuih-muih dan penggubah bungkusan cenderahati, Seri Kandi Jarkasi, yang memanipulasikan hobinya dengan mengadakan kelas bersama penggemar termasuk suri rumah.

Menurutnya, pembabitan lebih lima tahun dengan minat mendalam dalam bidang pembuatan biskut atau kuih-muih itu ternyata membuahkan hasil memberangsangkan.

"Ia bermula sebagai hobi kerana saya gemar membuat kuih-muih dan dijual kepada jiran atau kenalan. Tetapi galakan mereka supaya saya menjualnya secara komersial membuatkan saya memikirkan sesuatu, lagipun aliran kini yang semakin menggemari seni gubahan menarik."

"Justeru saya terpanggil untuk mengajak wanita lain berkongsi sesuatu untuk meraih pendapatan lebih."

"Akhirnya saya menceburi bidang gubahan cenderahati atau hamper dengan menjualnya secara serius dan sambutan amat memberangsangkan mendorong saya melakukannya secara besar-besaran."

"Ternyata usaha tidak sia-sia apabila banyak syarikat korporat dan individu menyenanginya sehingga tidak menang tangan setiap kali menjelang musim perayaan."

"Dua bulan sebelum bulan puasa, saya sudah mula sibuk dengan tempahan yang datang dalam pelbagai bentuk. Adakalanya tempahan banyak membuatkan saya tidak dapat berhari raya di kampung," katanya yang bangga dengan penubuhan Astana Jentayu Sdn Bhd.

Apa yang membanggakan akauntan di sebuah institusi pendidikan ini, kebanyakan hampernya turut mendapat tempahan tidak mengira musim perayaan sebaliknya sentiasa ada untuk jualan.

Bukan hanya kalangan Muslim yang memberi perhatian atas kerja kerasnya itu terutama pada sambutan Aidilfitri sebaliknya pada sambutan Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Melakukan dua kerja dalam satu masa, dia tidak menafikan mempunyai dua pembantu rumah yang banyak membantu meringankan kerjanya.

Atas hasrat berkongsi kemahiran bersama mereka yang turut meminati bidang berkenaan, dia mengadakan bengkel membuat biskut dan mengajar teknik pembungkusan kuih-muih yang menarik.

Mungkin sesuatu yang di luar jangkaan apabila pada tahun lalu, ada peserta melakukan kerja sampingan itu mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit.

"Sebenarnya, inilah hobi yang membuatkan saya begitu seronok dan puas. Setakat ini, jarang pelanggan mengomel mengenai biskut atau kuih-muih yang menjadi buah tangan saya. Kebanyakan mereka juga menjadi pelanggan dan rakan baik saya."

"Saya perturunkan cara gubahan menarik dengan teknik terkini yang jarang dilakukan sebelum ini," katanya.

Peserta bengkel yang juga setiausaha di syarikat swasta, Zainiza Mustafa, 35, tidak menduga kerja kerasnya dua tahun lalu berbaloi.

"Saya tidak menjangka mampu memperoleh puluhan ribu ringgit tahun lalu menerusi jualan hamper, mungkin berkat kerja keras selama ini."

"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada rakan sepejabat, kenalan serta syarikat korporat. Selain bersengkang mata membuat kuih-muih serta menggubahnya pada waktu malam atau hari minggu, saya juga terpaksa turun padang dan melakukan kerja pemasaran."

"Ia penting kerana jangkaan saya dalam setahun lagi, saya akan membuka syarikat sendiri dan menceburi bidang pembuatan gubahan ini secara serius," katanya.

Punithavathi Kaliapan, 45, juga teruja menjana pendapatannya dengan menghasilkan hamper apabila melihat sambutan memberangsangkan pelanggan. "Pada saya, tidak rugi mengikuti setiap kelas yang diadakan kerana ia memberi pulangan lebih daripada itu."

"Melakukan kerja sambilan ini sejak dua tahun lalu, saya semakin yakin untuk melakar perniagaan sendiri nanti. Setakat ini, bantuan suami dan saudara-mara memberi keyakinan tinggi kepada saya."

"Selain itu, syarikat korporat juga berminat membuat tempahan terutama ketika sambutan perayaan Deepavali, lalu membuatkan saya semakin teruja untuk membuka syarikat sendiri," katanya yang memiliki kerjaya dalam bidang perakaunan.

Noorliyah Abdul Wahab, 39, mengakui menggali ilmu dalam pelbagai bidang memberinya pengetahuan berguna untuk dimanfaatkan apabila berhasrat membuka perniagaan berasaskan gubahan dan cenderahati suatu hari nanti.

"Saya suka mencari pengalaman sebanyak mungkin dalam apa juga perkara yang dianggap boleh dikomersialkan."

"Saya pula minat membuat kuih-muih dan turut belajar membuat kek cawan sendiri bahkan apa saja bengkel berkaitan masakan asalkan ia memberi pulangan berbaloi."

"Asas yang ada dalam kelas cenderahati ini saya manfaatkan sebaiknya kerana berhasrat membuka kedai kek atau kuih-muih suatu hari nanti."

"Ada anak saya yang meminati bidang ini turut mengikuti kursus. Selain itu, saya menguar-uarkannya dalam Facebook sebagai satu cara pengiklanan," kata pengaturcara komputer ini.

Sumber: myMetro
Foto: Astana Jentayu

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 9, 2009

Hiasan Tudung Saji AZFA SU BOUTIQUE

(Post: Bahasa Melayu)
"Andai bersungguh, saya jamin lima belas minit sudah cukup untuk menyudahkan sebuah kerja kraf."

Tudung saji sering dianggap tidak menyajikan sebarang keistimewaan kecuali berperanan melindungi makanan daripada terdedah dan mengelak ancaman serangga pembawa penyakit seperti lalat.

Namun, ada satu lagi peranan tudung saji baik yang berbentuk bujur, bulat atau segi empat iaitu ia boleh dijadikan sebahagian perhiasan rumah andai disuntik aksesori menarik seperti kain renda, bunga, riben, tali jut dan sebagainya.

Pengusaha Azfa Su Boutique, Rohayah Mohamad, berkata apa yang menarik, usaha menghias tudung saji ini memerlukan modal kecil serta kreativiti.

"Menghias tudung saji tidak perlu modal besar tetapi wajib disediakan kain renda, riben dan bunga tiruan. Ini kelengkapan yang menaikkan seri tudung polos. Cara membuatnya mudah dan tidak mengambil banyak masa."

Selaku pengajar kraf di butik fesyen dan aksesori itu, Kak Su sedia menurunkan ilmu mengubah tudung saji biasa kepada rupa baru yang lebih memukau pandang.

"Sungguhpun, pelbagai warna boleh dicuba namun supaya tampil menarik, harmoni dan sekata, pilihan kain jaring, renda dan riben harus sedondon warna," ujarnya.

INFO:
Azfa Su Boutique turut menawarkan pelbagai kursus termasuklah kursus gubahan dan hantaran, ukiran buah, jahitan, sulaman, masakan dan membuat kek.

Lokasi: No.310G, Kompleks Diamond, Bangi Business Park, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
(Belakang Supermarket BINTANG, Lorong Tabung Haji, bersebelahan kedai basikal)

Telefon: 016-2511554

Sumber: Berita Harian Online , web Azfa Su Boutique

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, June 22, 2009

Hiasan Bunga Dip

(Post: Bahasa Melayu)
"Kemahiran dan ketekunan dalam seni kreatif pastinya mampu menjana pendapatan buat sesiapa sahaja yang rajin beruasaha."

Selain pelamin dan busana pengantin, gubahan hantaran, bunga pahar serta bunga telur berfungsi menyemarakkan majlis perkahwinan.

Bagi bunga pahar dan bunga telur, bunga dip kian digemari kerana selain cantik, ia mudah disediakan.

Pakar produk Creative Fingers (CF), Nurul Ain Abdul Rahim, berkata sesiapa saja boleh mencuba membuat bunga dip kerana tidak memerlukan kos dan kemahiran tinggi.

Bunga ini diminati kerana menawarkan pelbagai warna dan rupa yang diadun daripada kreativiti, di samping sesuai bagi sebarang tema majlis perkahwinan.

Nurul Ain berkata, menyiapkan bunga dip tidak sesusah mana kerana jika dibuat bersungguh-sungguh, dianggarkan 15 kuntum sehari dapat disiapkan.

"Keistimewaan bunga ini diserlahkan menerusi rangka kelopak bunganya. Bagi yang kreatif dan gemar berimaginasi, selain ros, pelbagai bunga lain boleh dihasilkan termasuk anggerik, lili dan dahlia," katanya yang turut menganjurkan kelas membuat bunga dip di ruang pameran kedainya di Setapak, Kuala Lumpur.

INFO:
Selain menawarkan pakej perkahwinan, Creative Fingers, iaitu perniagaan berasaskan kraf ini juga mengambil tempahan cenderamata majlis serta korporat, hamper, mereka bentuk laman web, spa, kelas kraf dan spa hidroterapi.

Telefon: 03-41481851

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 18, 2009

Gubahan Hantaran Sangkar Burung

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi mereka yang ingin menyambut pelbagai majlis keraian seperti hari jadi, perkahwinan, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru atau apa saja majlis, bingkisan hadiah inspirasi daripada sangkar besi berkenaan tampak asli dan penuh pesona."

Menjadikan sarang burung sebagai gubahan hantaran perkahwinan nyata merupakan satu idea yang tidak kurang hebatnya, begitu juga dengan apa saja majlis yang hendak dilakar.

"Sebenarnya anda boleh mengolah sangkar burung untuk menjadikannya hiasan sudut paling menarik dan berseni. Misalnya, menghasilkan gubahan dengan bunga-bungaan selain meletakkan burung tiruan bermagnet di dalam sangkar kelihatan seolah-olah realistik," kata Pengurus Besar Romantika Sdn Bhd (Romantika), Pinkie Wong.

"Jika mahu menghasilkan gubahan sendiri, tentu ia menjadi sesuatu lebih bermakna," katanya.

Dia tidak menafikan aliran yang dicetuskan daripada sangkar burung semakin popular sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, aliran itu boleh dipelbagaikan untuk mengabadikan sangkar burung menarik dengan menghasilkan gubahan terindah.

"Bagi mereka yang berminat untuk menggubahnya sendiri, lakukan mengikut kesukaan anda."

Cara mengolah berdasarkan kreativiti yang akan menghasilkan gubahan lebih berseni.

"Gubahlah apa saja supaya hasilnya memberangsangkan," katanya.

Romantika yang beribu pejabat di Plaza Sentral, Shah Alam, Selangor menyediakan banyak pilihan gubahan dan barangan perhiasan rumah termasuk yang berorientasikan ala Inggeris.

CONTACT INFO:
Email: romantika_shahalam@hotmail.com

Sumber: myMetro
Foto:
web KasihAbadi

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, April 14, 2009

Bekas Terbuang Menjadi Hiasan Menarik

(Post: Bahasa Melayu)
"Ia mengambil masa kurang 10 minit untuk disiapkan."

Pasu lama jangan dibuang sebaliknya disimpan untuk dihias semula.

Rupa yang kusam pun kembali menawan andai ditambah hiasan sampingan seperti manik dan riben di samping jambangan ranting serta bunga tiruan sebagai penyeri.

Pemilik butik pengantin, De Ams' Ree, Amran Shamsudin dan Mohd Nazri Arshad berkongsi ilham menukarkan bekas terbuang menjadi hiasan tumpuan sudut dan penjuru.

"Bekas ini sebenarnya tempayan kecil yang menadah air terjun mini namun sudah lama rosak. Daripada dibuang, saya fikir elok dijadikan sebahagian hiasan landskap."

"Saya serikannya dengan manik butir dan jurai sebelum merimbunkannya dengan ranting dan jambangan orkid."

Yang pastinya, dengan daya kreativiti membolehkan bekas terbuang seperti tempayan ini boleh diolah semula menjadi suatu hiasan yang menarik serta hasil penjualannya mampu menjana pendapatan sampingan.

INFO:
De Ams' Ree turut menyediakan perkhidmatan:
- tempahan pelamin dan dewan
- gubahan dan hantaran
- solekan dan andaman
- busana pengantin
- kad kahwin
- katering
- khidmat rundingan majlis perkahwinan

CONTACT INFO:
Telefon: Amran - 017-6760142 atau 019-3400411

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::