Peminat Bunga Orkid Hutan
(Post: Bahasa Melayu)
"Baginya, usaha mencari orkid jauh ke dalam hutan belantara itu bukan sekadar hobi kerana dia juga memang berminat memelihara tumbuhan alam semula jadi bagi mengelak kepupusannya di samping membantu untuk menambah pendapatan keluarga."
Keindahan orkid atau orchidaceae bukan saja menjadikannya amat popular di kalangan penggemar flora di negara ini, malah ada yang sanggup meredah hutan belantara untuk mendapatkan tumbuhan berkenaan.
Bagi Norishak Md Isa, 37, dari Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang, Baling, Kedah, hobi mencari pokok orkid di hutan itu juga sumber rezekinya untuk keluarga.
Selain melakukan kerja kampung, dia mengambil peluang untuk memelihara pokok orkid yang diperoleh dari hutan sebagai sumber pendapatannya.
Pada mulanya, Norishak hanya mencari pokok itu untuk hiasan di rumahnya secara suka-suka, tetapi apabila mendapat tawaran daripada penggemar pokok orkid itu, dia mula menjadikan hobinya itu sebagai peluang menambah pendapatan.
Sejak tiga tahun lalu, dia mula mencari pokok orkid itu di merata tempat kerana yakin pokok itu dapat dijual kepada pelanggan yang meminati tumbuhan alam semula jadi.
Dia juga tidak kisah meredah bukit, paya dan lurah untuk mencari tumbuhan semula jadi itu kerana permintaan daripada pelanggan yang mahukan orkid yang asli sebagai perhiasan di rumah dan taman mereka.
"Setiap minggu saya mengambil peluang meredah bukit sehari suntuk mencari pokok orkid bersama rakan kerana banyak jenis tumbuhan itu ada di kawasan hutan di sini.
"Pokok orkid menjadi kegemaran kerana banyak jenis orkid yang ada di hutan belantara di negara kita yang boleh dijadikan perhiasan taman kerana tumbuhan itu mempunyai keasliannya tersendiri," katanya.
Dia yang meminati pokok orkid sejak tiga tahun lalu berkata, orkid yang ditemui antaranya adalah orkid totai, mata gergaji, faimrey, diamond, tulang, tanduk kijang, tebu, tanduk rusa, tali kasut, nanas, selipar, ritusa dan droben skanda.
Norishak akui orkid begitu popular kerana saiz, struktur dan warna bunganya yang berbeza-beza.
Warnanya saja cukup menarik hati seperti merah, kuning, merah jambu, putih dan ungu.
Ada 808 spesies orkid di Malaysia yang boleh dikenali menerusi bunga.
Pada amnya, pokok orkid boleh dikenali melalui bentuk bunga, akar, daun dan batangnya namun yang pasti, bunga menjadi tarikan kecantikan tumbuhan ini.
"Bagi sesiapa saja yang tahu menghargai kecantikan, pasti akan suka melihat keindahan bunga orkid."
"Bagi orkid hutan, kebanyakan bunganya berkembang pada April setiap tahun dan hanya bertahan hingga sebulan," katanya mengakui, orkid hutan memang mendapat perhatian ramai pelanggan."
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini ada spesies asli yang hampir pupus akibat pengambilan yang berleluasa di hutan oleh peminat orkid.
Pada musim tertentu, Norishak sanggup meredah hutan di Kelantan dan Perak untuk mendapatkan sesuatu jenis pokok orkid jika mendapat permintaan daripada pelanggan.
"Pokok orkid yang menarik mampu dijual sehingga mencecah RM200 secara borong kepada pelanggan dari Kuala Lumpur."
"Mereka menggemarinya kerana keaslian pokok orkid dari hutan mudah tumbuh liar sekiranya ia dijaga dengan baik," katanya.
"Hobi ini juga membuatkan seseorang itu cintakan keindahan alam semula jadi dengan mendekati pelbagai spesies tumbuhan, sekali gus mencetuskan rasa sayang kepada segala ciptaan Tuhan ini," katanya.
Sumber: myMetro
Foto: Wikipedia
0 comments:
Post a Comment