ATTENTION !!!

Monday, November 22, 2010

Kafe Blues Kopi

(Post: Bahasa Melayu)
" Apabila terfikir untuk menjamu selera, pasti anda mahu memilih tempat makan yang terbaik khususnya yang menyajikan makanan lazat, layanan memuaskan, persekitaran bersih dan konsep dekorasi yang menyenangkan. "

Memenuhi semua permintaan itu, Blues Kopi di Kajang Sentral menjadi pilihan yang tepat. Uniknya, ia mengangkat konsep latar belakang muzik blues dengan paparan gambar-gambar nostalgia sejarah polis untuk dihayati pelanggan.

"Walaupun ia sekadar kafe tetapi kami tidak mahu mengehadkan ia setakat kafe kopi atau tempat minum yang biasa dilawati. Kami mahu pengunjung yang datang berasa selesa, tenang dan pada masa yang sama boleh mengetahui sejarah pasukan polis negara," kata Syed Kamaruddin Everin Al-Habsee, 31, pemilik Blues Kopi yang mula beroperasi sejak 1 Ogos tahun lalu.

Mungkin ada yang bertanya, apakah kaitan Blues Kopi dengan sejarah pasukan polis?

"Ada sebabnya kafe ini penuh dengan gambar-gambar bersejarah pasukan polis selain papan tanda kedai ini sendiri memaparkan gambar beberapa orang anggota polis tahun 60-an."

"Semua koleksi gambar yang ada di sini adalah koleksi peribadi milik bapa saya, Datuk Syed Mier Wahid. Beliau ialah bekas anggota polis dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Johor (1986)," jelas Kamaruddin panjang lebar.

Daripada situlah Syed Kamaruddin bersama isterinya, Saffira Mohammad yang mengendalikan operasi Blues Kopi mendapat idea. Pasangan itu mahukan membawa sejarah didedah ke paparan umum.

Penghargaan

Tambah menarik, kaitan Blues Kopi dan polis tidak terhad kepada hubungan penghargaan anak kepada seorang bapa. Ia turut menjadi manifestasi penghargaan kepada seluruh pasukan polis yang berjasa demi negara ini.

Kamaruddin turut memanjangkan penghargaannya dengan memberikan diskaun 15 hingga 20 peratus kepada anggota polis bagi kesemua menu di Blues Kopi.

"Saya sedar akan peranan pihak polis dalam memastikan keselamatan masyarakat dan negara dan apabila bapa saya sendiri berkhidmat untuk institusi itu, saya rasa bertanggungjawab untuk meraikan mereka," kata Kamaruddin.

Bercakap lebih lanjut mengenai identiti kafenya itu, Kamaruddin mahu minuman Kopi Blues menjadi pilihan hidangan baru dan unik untuk dipopularkan.

Jelasnya, dia mahu memperkenalkan perisa kopi jenis lembut dari ladang milik keluarganya di Sabah.

"Biasanya, kedai kopi berjenama menggunakan kopi keras tetapi di sini kami menggunakan yang lembut. Bezanya kopi keras sangat 'kaw' dan membuatkan kita lebih aktif dengan aroma yang semerbak," katanya membezakan keistimewaan Kopi Blues.

Bukan sekadar menawarkan aneka jenis minuman kopi, Blues Kopi turut menyediakan pelbagai menu makanan unik.

"Isteri saya ialah ketua tukang masak. Biasanya, dia yang akan memasak kerana kami mahu memberikan sentuhan peribadi ke atas makanan yang disediakan," katanya yang menyediakan empat jenis makanan tarikan utama Blues Kopi selain empat jenis minuman utama.

Mi udang

Antara menu pilihan Kamaruddin yang disyorkan kepada pembaca kepada Kosmo! adalah mi udang yang disediakan menggunakan resipi utara dan selatan. Ia amat sesuai bagi mereka yang sukakan makanan pedas khususnya mereka yang menggilai udang.

Bagi pilihan makanan Barat pula, Chicken Chop Blues Kopi pastinya tidak menghampakan. Walaupun persembahanya tidaklah segah di hotel, namun sentuhan peribadi pemilik, membangkitkan rasa enak terutama sekali pada daging ayam yang lembut.

Selain dua menu itu, Kamaruddin turut memperkenalkan Nasi Goreng Blues. Dimasak dengan stail masakan Cina, menu tersebut disertakan dengan udang, tauhu Jepun dan kuah cendawan istimewa.

Tiga lagi jenis minuman yang boleh dicuba selain Kopi Blues adalah Blues Island, Rutbeer Float dan Choc Creamer. Blues Island disediakan dengan campuran pelbagai bijirin permintaan seperti barli, cincau, ais krim, oren dan sebagainya.

Pelanggan juga boleh memilih beberapa lagi jenis minuman kopi panas dan sejuk. Mengusahakan ladang dan memproses kopi sendiri, Blues Kopi mengajak pelanggannya merasai keenakan semua itu pada harga RM2.50 dan ke atas.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::