ATTENTION !!!

Thursday, August 6, 2009

Kursus Menebar dan Penyediaan Roti Canai

(Post: Bahasa Melayu)
"Untuk berkongsi apa yang diperoleh rahsia keenakan roti canai dan teknik menebarnya, Didie menjelajah hampir ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi menyampaikan ilmunya menerusi Kursus Menebar dan Penyediaan Roti Canai."

Dewasa ini makanan dalam bentuk sejuk beku adalah antara alternatif yang sering menjadi pilihan.

Antara makanan yang mendapat sambutan yang baik adalah roti canai yang merupakan salah satu daripada makanan kegemaran rakyat negara ini.

Roti canai kebiasaannya dimakan bersama teh tarik dan disajikan dengan kuah dal atau parpu, kari serta sambal ikan bilis.

Walaupun roti canai boleh dinikmati di banyak kedai, tetapi tanpa kita sedari kebolehan membuatnya lebih dikuasai oleh tukang masak warga asing.

Meskipun ada yang pandai menyediakan tepung roti canai, namun kebolehan untuk menebarnya menjadi masalah. Apatah lagi tidak ramai pihak yang mahu tampil mengajar cara membuatnya, sedangkan teknik tebaran yang betul menjadi rahsia keenakan dan kelembutan roti canai.

Menyedari hakikat itu, seorang usahawan muda yang terkenal dengan perniagaan roti canai di Kepala Batas, Kubang Pasu, Kedah tampil berkongsi ilmu mengenai cara-cara menebar dan menyediakan roti canai.

Mohd. Najmuddin Md Nor, 22, atau lebih dikenali sebagai Didie yang juga pemilik restoran Selera Perantau bersedia untuk mengajar mana-mana pihak yang ingin mempelajari ilmu penyediaan dan menebar makanan kegemaran pelbagai bangsa itu.

Dalam usaha awal anak muda ini, dia bukan sahaja mengembangkan perniagaannya tetapi telah mengajar hampir 100 orang dari Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Melaka dan Pulau Pinang mengenai cara-cara membuat dan menebar roti canai.

Peserta kursus yang dijalankan Didie terdiri daripada pelbagai status, pangkat, agama, bangsa dan umur. Matlamatnya hanya satu iaitu dia ingin memastikan makanan tersebut lebih mudah didapati di merata tempat dan tidak dilupakan cara pembuatannya suatu hari nanti.

Menamatkan persekolahan setakat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), itu tidak bermakna Didie tidak mempunyai masa depan. Menurutnya, apa sahaja pekerjaan halal boleh dilakukan untuk menyara hidup termasuk membuat roti canai.

"Sikap orang ramai yang melihat kerja membuat dan menebar roti canai sebagai satu perniagaan yang tidak menguntungkan perlu dihakis," katanya.

Didie mengakui, selepas berhenti sekolah, beliau tidak dapat memikirkan apakah hala tuju masa depannya. Namun, selepas mula menjalankan perniagaan roti canai, dia mula menjana pendapatan yang sangat baik.

"Kemewahan tidak dapat dijanjikan melalui perniagaan ini tetapi kita akan mendapat pulangan yang tinggi jika benar-benar berusaha dan menjayakan bidang ini dengan sebaiknya," katanya.

Mengikut resipi roti canai istimewa Didie, setiap sekilogram (kg) tepung yang disedia dengan bermodalkan RM6 dapat menghasilkan sebanyak 25 keping roti canai. Kebiasaannya, sekeping roti canai yang siap dimasak dijual pada harga RM0.80 sekeping.

Menerusi perusahaan yang dijalankan Didie di restoran Selera Perantau, dia dapat menjual hampir 1,000 keping sehari termasuk roti sardin dan roti telur yang popular dan enak dimakan. Ini bermakna dia mampu meraih pendapatan sebanyak kira-kira RM800 sehari.

Didie Perantau Enterprise merupakan syarikat yang ditubuhkannya bagi meneruskan kursus berkenaan di seluruh negara dan sehingga kini, dia telah menganjurkan lebih daripada 20 kursus.

Daripada penyertaan individu hinggalah jemputan jabatan atau agensi kerajaan, kursus berkenaan dikendalikan sendiri oleh Didie.

Setiap kursus dijalankan selama sehari bagi orang awam manakala untuk jabatan atau agensi kerajaan serta swasta, ia diadakan selama dua hari. Ini kerana dia turut menyelitkan slot Asas Usahawan bagi menerangkan kepada peserta bagaimana untuk memulakan perniagaan.

"Dalam setiap kursus yang dijalankan, saya akan memastikan semua peserta dapat menyediakan tepung secukup rasa dan dapat menebar roti canai dengan betul."

"Menariknya, ada dalam kalangan peserta saya dahulu kini sudah memulakan bisnes sendiri," katanya.

Kursus terbaru yang dijalankan Didie adalah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang melibatkan seramai 30 peserta. Ia dianjurkan oleh Institut Kemahiran dan Latihan AADK, Sepang, Selangor.

Didie berkata, dia pada awalnya ditawarkan untuk memberi kursus kepada lebih 50 peserta, namun bagi memastikan setiap mereka dapat mempelajari cara menyedia dan menebar roti canai dengan betul, maka jumlah itu dikurangkan kepada 30 orang sahaja.

Tambahnya, dia berharap kursus tersebut dapat dijalankan secara bersiri bagi membolehkan lebih ramai penghuni pusat serenti dapat menjalankan kehidupan baru sebaik keluar dari situ.

"Apabila mereka keluar dari situ kelak, mereka sudahpun dibekalkan dengan ilmu membuat dan menebar roti canai. Dengan itu, mereka boleh membuka gerai roti canai untuk menyara hidup," ujarnya.

INFO:
Didie Perantau Enterprise
Lokasi: 1152, Pekan Kepala Batas, 06200 Kepala Batas, Jitra, Kedah

Telefon: 012-5378412

Email: didie_perantau@yahoo.com

Yuran kursus: RM250 seorang

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

Saadon (adikacu) November 23, 2010 at 12:34 AM  

Saya suka makan roti canai. nak buat tak pandai hehehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::