ATTENTION !!!

Showing posts with label riadah. Show all posts
Showing posts with label riadah. Show all posts

Tuesday, November 16, 2010

Pusat Aerobik dan Gimnasium Easy Fitness

(Post: Bahasa Melayu)
" Jeritan nyaring seorang wanita bertubuh genit bergema memenuhi ruang sebuah studio aerobik. Suara itu bukan berbaur marah, sebaliknya merupakan panggilan kepada pelajar-pelajarnya untuk memulakan sesi latihan. "

Tidak lama kemudian, irama lagu-lagu rancak mula berkumandang. Selepas memanaskan badan dengan beberapa gerak tubuh yang ringkas, satu persatu langkah diatur kemas oleh si guru sambil diperhatikan dan diikuti sekumpulan wanita di belakangnya.

Ternyata gerakan senaman yang diselitkan unsur tarian itu mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk turut serta dalam sesi tersebut.

Sambil badan dihayun ke kiri dan ke kanan, wajah masing-masing tetap ceria dengan senyuman di bibir. Keringat yang mengalir di dahi langsung tidak dipedulikan. Fokus mereka cuma satu iaitu mengikut segala gerak tari yang ditunjukkan guru di hadapan mereka.

Selepas menghabiskan beberapa buah lagu bersama pelbagai teknik senaman dan tarian, barulah sesi tersebut direhatkan seketika.

Itulah suasana yang dapat dilihat apabila mengunjungi pusat aerobik dan gimnasium wanita, Easy Fitness yang terletak di Bandar Seri Putra, Bangi.

Mula ditubuhkan pada bulan April 2010, pusat itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita di sekitar kawasan tersebut.

Pemilik Easy Fitness, Azlina Mansor berkata, pusat kecergasan itu diwujudkan kerana minatnya yang mendalam terhadap kelas senaman dan aerobik.

"Saya memang suka mengikuti kelas aerobik. Hampir setiap malam saya akan bersenam di beberapa gimnasium yang terletak di Bandar Baru Bangi dan Nilai di Negeri Sembilan."

"Kadang-kadang sampai pukul 10 malam baru pulang ke rumah. Apabila melihat kegemaran saya yang satu ini, maka suami terus menyarankan agar saya membuka pusat kecergasan sendiri."

Sokongan suami

"Alhamdulillah, dengan sokongan suami dan rakan-rakan, akhirnya impian saya menubuhkan Easy Fitness menjadi kenyataan," ujar Azlina, 38, yang sedang mengandungkan anak kedua.

Berkonsepkan studio aerobik dan gimnasium, pusat itu menyediakan empat jurulatih yang bertindak mengajar pelanggan yang kebanyakannya suri rumah.

Salah seorang daripada mereka, Azlinda Azmi, 30, memberitahu, melalui latihan di kelas aerobik itu, para pelanggan mampu mendisiplinkan diri yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan.

"Paling utama dari segi ketepatan waktu. Contohnya, kalau kelas bermula pukul 8.30 malam, pelanggan biasanya akan datang setengah jam sebelum itu untuk menyalin pakaian dan memanaskan badan."

"Selain itu, mereka juga akan menjaga pemakanan yang diambil disebabkan kesan positif yang diperoleh selepas mengikuti kelas kecergasan iaitu penurunan berat badan," ujar Azlinda yang pernah bekerja sebagai artis kebudayaan di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Selangor selama enam tahun.

Melihat susuk tubuhnya yang persis anak dara, mungkin ramai yang terperanjat apabila mengetahui bahawa dia sebenarnya seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia antara lima hingga sembilan tahun.

Diaju dengan soalan mengenai penjagaan badan, sambil tersenyum Azlinda hanya menjawab ringkas: "Aerobik dan menari."

Turun berat badan

Perkara itu diakui oleh seorang lagi jurulatih, Syazlina Mohd. Noor, 34, yang mengajar kelas seni tari moden. Dia juga tidak malu membuka rahsia bahawa satu ketika dahulu, berat badannya pernah mencecah 98 kilogram (kg) - satu angka yang pastinya amat digeruni kebanyakan wanita.

Keadaan fizikal diri yang sering ditegur suaminya itu membuatkan Syazlina bertekad melakukan sesuatu untuk menurunkan berat badan.

Sejak itu, dia sering mengikuti kelas-kelas senaman dan aerobik. Percaya atau tidak, tanpa sebarang pengambilan makanan tambahan, ibu kepada seorang cahaya mata itu berjaya mencapai matlamatnya.

"Dalam tempoh tiga hingga enam bulan, saya berjaya menurunkan berat badan hampir 30kg. Kini, saya rasa amat cergas dan sihat dengan berat ideal 65kg," jelas Syazlina yang mengambil inisiatif sendiri mengikuti kursus untuk mendapatkan Sijil Asas Senam Aerobik di bawah Kementerian Belia dan Sukan semata-mata kerana mahu mencontohi guru aerobiknya yang bertubuh langsing.

Bagi Syazlina, aktiviti kecergasan perlu dilakukan setiap wanita untuk menjaga kesihatan diri terutama dalam membantu mengurangkan berat badan, melancarkan pengaliran darah, membina otot dan mengawal pernafasan.

"Kita juga dapat menambah kenalan dan bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain di samping membina keyakinan diri ," tambahnya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 1, 2010

Sea Monkey Dive & Travel

(Post: Bahasa Melayu)
" Ramai menganggap aktiviti selam skuba mahal dan sukar untuk disertai. Bagi mereka yang tak tahu berenang, ia dikatakan halangan utama untuk menyertai riadah unik yang sudah ada di dunia sejak pengenalan skuba moden oleh Jacques Cousteau dan Emile Gagnan pada tahun 1943. "

Ketika ini secara purata, seorang peminat selam skuba semuda 10 tahun akan membayar antara RM1,450 hingga RM1,750 seorang (untuk Persatuan Jurulatih Selam Skuba Profesional Antarabangsa - PADI) bagi menyertai pakej kursus asas peringkat pertama.

Pakej kursus lanjutan, RM800 hingga RM900 perlu dibayar sehinggalah mereka memasuki peringkat profesional sebagai jurulatih. Kursus untuk peringkat itu memerlukan mereka mengeluarkan yuran antara RM7,000 hingga RM10,000.

Namun tidak semua yang tahu, sebaik sahaja mereka menjejaki peringkat paling minimum, penolong jurulatih atau ketua selam skuba (divemaster), mereka sebenarnya sudah mampu menjana kewangan tetap.

Malah, jika dilakukan secara betul dan kerap, pendapatan yang dapat dijana mampu mengalahkan gaji seorang pengurus syarikat yang sudah berkhidmat selama 10 tahun.

Semua itu mampu diterjemahkan lebih pantas iaitu dalam tempoh setahun saja jika peminat aktiviti ini meneruskan kursus selam skuba secara berperingkat-peringkat sehingga ke tahap profesional tanpa gagal.

Apa yang perlu ialah, peserta memperbanyakkan selaman dalam membina pengalaman untuk meneruskan peringkat demi peringkat kursus yang disertainya.

Selepas diiktiraf sebagai penyelam skuba asas, peminat aktiviti ini boleh meneruskan kursus ke peringkat lanjutan sebaik sahaja mereka mendapat 'lesen' penyelam laut asas.

Malah, ada jurulatih yang merangkumkan kursus selam skuba asas dan lanjutan yang membolehkan peserta layak memperoleh kedua-dua lesen dalam tempoh lima hari empat malam.

Selepas itu, mereka boleh meneruskan untuk menyertai kursus selam skuba penyelamat.

Habis kursus itu, mereka boleh menyertai sama ada kursus penolong jurulatih atau divemaster dengan hanya mempunyai 60 selaman, tetapi perlulah berumur 18 tahun ke atas.

Selepas itu, anda boleh membuat persediaan untuk menyertai kursus jurulatih laut terbuka.

Bayangkan jika remaja yang berumur 18 tahun dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa ekoran tidak mahu menyambung pelajaran, mereka sudah boleh menjana pendapatan sebagai seorang jurulatih atau ketua selam skuba sama ada secara tetap atau sambilan.

Bagi yang khuatir tidak tahu berenang, kursus selam skuba asas sebenarnya tidak menetapkan mereka perlu tahu berenang. Memadai jika mereka selesa di permukaan air dan mampu mengapungkan diri.

Namun untuk meneruskan ke peringkat yang lebih tinggi, adalah dinasihatkan mempelajari asas berenang untuk tujuan kerja kursus.

Jadi jika semua ini boleh dilepasi, apa yang menjadi halangan?

Sudah pasti yuran yang agak tinggi antara halangan dan membuatkan mereka berfikir dua kali walaupun dijanjikan akan menjana pendapatan tetap selepas berjaya ke peringkat profesional.

Untuk itu, Pusat Selam Skuba 5 Bintang PADI, Sea Monkey Dive & Travel (Sea Monkey) kini masih dalam perbincangan dengan beberapa badan kewangan untuk mencari penyelesaian memberi kemudahan agar mereka yang berminat boleh menyertai kerjaya sebagai seorang penyelam skuba profesional.

Antara yang sedang diperbincangkan ialah pinjaman kewangan penuh dengan bayaran secara ansuran bulanan kepada mereka yang layak untuk menyertai kursus membina kerjaya sebagai penyelam skuba profesional.

Lebih menarik, penyelesai masalah ini merangkumi kerjasama antara Sea Monkey sebagai Pusat Pengembangan Jurulatih (IDC) PADI, badan kewangan dan juga PADI melalui kursus GoPro mereka.

Selepas termaktub kerjasama itu nanti, mereka yang berminat untuk menjadikan selam skuba sebagai satu kerjaya profesional boleh menyertai pakej istimewa GoPro PADI Sea Monkey.

CONTACT INFO:
Lawati: laman web

Telefon: 03-78859658

Email: dive@seamonkey.com.my

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 14, 2010

Syarikat Pelancongan Kumpulan Ghazali

(Post: Bahasa Melayu)
" Pusat Kecemerlangan Aktiviti Alam Sekitar Sungai Tabong di pesisir Sungai Tembeling, kira-kira lima kilometer dari pekan Kuala Tahan, Jerantut menjanjikan percutian menyeronokkan dan kenangan indah sukar dilupakan. "

Selain menginap di chalet comel dengan hiasan tilam berlapik merah jambu dan meja makan dialas helaian batik, tetamu boleh menikmati suasana nyaman dan segar sambil merehatkan diri di ruang tamu berlatarkan hutan menghijau dan bisikan unggas rimba.

Dengan udaranya yang segar di bawah redup pepohon menghijau, sungai yang menjadi urat nadinya mengalirkan air jernih dan dingin serta pelbagai spesies flora dan faunanya pasti memukau sesiapa sahaja.

Pusat kecemerlangan aktiviti berkonsepkan alam semula jadi ini bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong untuk bercuti dan beriadah, malah menarik pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) berkhemah dan menjalani kem motivasi.

Untuk ke pusat rekreasi Sungai Tabong, pelancong boleh menggunakan khidmat bot penumpang dari jeti Kuala Tahan dengan bayaran antara RM10 hingga RM20 yang mengambil masa 20 minit.

Bagi yang inginkan cabaran 'terlampau' anda boleh memandu kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak yang memakan masa selama hampir satu jam.

Pusat kecemerlangan seluas 20 hektar diurus selia Syarikat Pelancongan Kumpulan Ghazali (SPKG) Tours Sdn Bhd.

Di sini, anda boleh melakukan aktiviti lasak seperti 'flying fox' sejauh 70 meter dengan tapak mendarat tergantung pastinya menjanjikan cabaran hebat merentasi Sungai Tabong.

Peserta perkhemahan boleh melalui pengalaman lebih menakjubkan dengan menjejak laluan kanopi sejauh 1,000 meter termasuk jambatan gantung sepanjang 70 meter.

Jika kurang berani, anda boleh mengikut denai di bahagian bawah sahaja.

Pengarah Urusannya, Burhanuddin Ghazali, berkata lokasi pusat kecemerlangan itu amat strategik dan berpotensi muncul sebagai kawasan pelancongan terkenal kerana kaya dengan khazanah alam semula jadi.

"Produk terbaru Kuala Tahan ini mampu menarik ramai pelancong seluruh dunia berbanding tumpuan kini lebih kepada pelancong Eropah Timur dan Scandinavia," katanya.

Juga jangan lepaskan peluang ke perkampungan Orang Asli kaum Batek dan Semak.

Pusat berkenaan pernah dijadikan lokasi penggambaran program realiti syarikat penerbitan dari Sweden dan India pada tahun lalu.

Ia akan dijadikan lokasi festival muzik etnik Orang Asli Malaysia pada Julai ini.

"Festival ini bagi memperkenalkan budaya masyarakat pelbagai suku kaum kepada pelancong luar negara," katanya.

INFO:
Penginapan:
RM65 untuk dewasa dan RM45 untuk pelajar termasuk makan dan bayaran tambang bot pergi dan balik dari Kuala Tahan.

Terdapat tiga chalet dan empat asrama, surau, tandas, restoran.

Mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik 24 jam.

Tempahan:
1) laman web http://www.tamannegara-nusaholiday.com.my/
2) hubungi SPKG Tours Sdn Bhd di alamat No 16, Jalan Diwangsa, Bandar Baru, 27000 Jerantut
3) telefon: 09-2662369
4) faks: 09-2664369

* Teksi ke Jerantut boleh didapati dari Stesen Bas Puduraya di Kuala Lumpur. Anda juga boleh menaiki bas ke Jerantut yang boleh didapati di Stesen Bas Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur. Dari Jerantut, anda boleh menaiki bas tempatan atau teksi untuk ke Kuala Tahan.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, September 11, 2009

Buff - Penutup Kepala Pelbagai Guna

(Post: Bahasa Melayu)
"Produk kalis angin ini mampu melekat kemas di kepala selain mudah untuk dibersihkan, cepat kering dan tidak mudah berbau."

Kain penutup kepala serba guna Buff yang diperkenalkan oleh syarikat pengeluar, Original Buff S.A pada 1992 kini menjadi antara trend pakaian paling popular di kalangan ahli sukan dan rekreasi.

Di dalam rancangan realiti TV, Buff pernah dipakai oleh setiap peserta yang mengambil bahagian dan popularitinya bertambah apabila digayakan pelakon terkenal, Ewan McGregor bersama Charley Boorman sepanjang ekspedisi Long Way Down dari Scotland ke Afrika.

Penajaan Original Buff S.A dalam perlumbaan lasak terkemuka dunia seperti Siri Dunia Skyrunner dan Perlumbaan Lasak Altitud Tinggi turut menjadikannya fesyen yang semakin menjadi ikutan.

Kini pemakaian kain pelindung kepala yang dahulunya diperkenalkan untuk kegunaan penunggang motosikal berkuasa besar itu dipelbagaikan untuk pelbagai tujuan termasuk perlindungan angin, cuaca panas, sejuk dan debu.

Produk yang banyak merangkul anugerah antarabangsa itu kini semakin dikenali terutama di kalangan mereka yang aktif di dalam aktiviti lasak seperti pendakian, berbasikal, rekreasi hutan, selam skuba dan juga memancing.

Buff dihasil menggunakan gentian mikro polister lembut yang membolehkannya dipakai dengan gaya skaf, topi, bandana, topeng muka, pembalut leher dan pergelangan tangan.

Kain berbentuk tiub yang elastik itu juga mudah dilipat, dipintal dan diikat tanpa menjejaskan cengkaman atau luntur walaupun dipakai dalam jangka masa yang lama.

Pakar Produk Core Zone, Leong Dee Lu, selaku pengedar Buff di negara ini berkata, produk ringkas serba guna yang mudah dipakai dan dibawa itu semakin mendapat sambutan.

"Selain digunakan sebagai pelindung kepala ia juga berfungsi sebagai pengemas dan penutup rambut terutama di kalangan wanita."

Di pasaran, Buff didatangkan dalam beberapa rekaan seperti Original Buff, Slim Fit, Polar, Reflective dan Cyclone dengan pelbagai pilihan corak dan saiz.

Kelebihan lain termasuk perlindungan yang mampu menghalang 95 peratus pancaran ultra ungu.

Selain Original Buff yang berharga RM79, edisi khas National Geographic dan watak kartun Kukuxumusu dan Les Tres Bessones (bayi) kini boleh didapati pada harga RM85.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, July 7, 2009

Homestay Sungai Sireh

(Post: Bahasa Melayu)
"Dulunya, inap desa (homestay) mungkin dikaitkan dengan kehadiran tetamu dari luar negara. Bagaimanapun, kini ia turut mendapat permintaan tinggi daripada peserta tempatan untuk mengadakan aktiviti perkhemahan dan sebagainya."

Menerima kedatangan pelancong bagaikan ahli keluarga sendiri, Homestay Sungai Sireh di Tanjung Karang, Selangor semakin meniti di bibir penggemar aktiviti pelancongan inap desa (homestay).

Sejurus tiba di kampung itu, penduduknya dengan berbesar hati menerima pelancong sebagai anak angkat untuk tempoh beberapa hari.

Hidup seperti orang kampung, anak-anak angkat ini akan makan makanan tradisional seperti masak lemak dan ikan bakar atau belajar membuat pelbagai kuih muih.

"Boleh dikatakan, setiap minggu kami menerima kunjungan tetamu sama ada dari luar negara atau tempatan.

"Kebiasaannya, kami kerap menerima kunjungan pelajar dari Korea, Jepun dan yang terbaru dari Beijing, China. Tidak lupa juga, kampung kami dijadikan sebagai lokasi penggambaran," kata Pengurus Homestay Sungai Sireh, Abu Bakar Moin.

Homestay Sungai Sireh mula diperkenalkan pada 5 April 1995 dengan dahulunya hanya menerima 15 buah kediaman untuk dijadikan tempat tinggal pelancong.

Bagaimanapun, ia telah mendapat sambutan hebat daripada keluarga di kampung tersebut kerana sehingga kini terdapat 60 buah rumah yang terlibat.

Ia meliputi tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Sireh, Kampung Ampangan dan Kampung Parit 2 Sungai Burung.

Bercerita mengenai aktiviti yang diadakan untuk mempamerkan keunikan kaum Melayu, Abu Bakar menjelaskan, kebanyakan pelancong tidak sabar untuk melihat kehijauan sawah padi yang terbentang luas.

"Kita akan memberi pendedahan mengenai kaedah menanam padi. Paling membuatkan mereka seronok apabila diberi peluang mencuba sendiri bagaimana menanam pokok padi.

"Ketika itu, rata-rata daripada mereka tidak kira pelajar tempatan mahu pun luar negara akan bersorak keriangan kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini," jelasnya.

Selain itu, mereka turut dibawa melihat produk pelancongan penduduk kampung seperti melawat kebun sayur-sayuran secara komersial di sekitar kampung dan pemprosesan industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian.

Dalam pada itu, peserta juga berkesempatan melawat kebun kelapa dan kelapa sawit serta melawat tempat pengumpulan buah kelapa sawit.

Bagi pelancong yang inginkan suasana yang lebih mencabar atau dekat dengan hidupan flora dan fauna, Homestay Sungai Sireh juga menyediakan tapak perkhemahan di kawasan pertanian yang diteduhi dengan tanaman pokok kelapa sawit.

Sementara itu, bagi pelancong yang gemar dengan aksi sukan rekreasi ekstrem, Terusan Besar Ban Kanal sedia menanti anda untuk berkayak di situ.

Menariknya lagi, terdapat juga aktiviti lasak seperti merentas kawasan berpaya di kawasan hutan simpan tadahan air sawah padi.

Tidak sempat berasa bosan, peserta inap desa juga boleh mencuba nasib untuk memancing ikan di tali air atau terusan besar.

Terdapat pelbagai pakej inap desa yang boleh dipilih oleh pelancong sama ada pakej kunjungan sehari, sehari dua malam atau dua hari tiga malam.

Menerusi pakej pilihan, pengunjung boleh memilih aktiviti yang sesuai dengan kehendak dan tempoh masa mereka berada di kampung tersebut.

INFO:
Homestay Sungai Sireh
Parit Satu Kampung Ampangan, 45500 Tanjung Karang, Selangor

Telefon: 019-3467372

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 23, 2009

Basikal Lipat ASIA TIMUR

(Post: Bahasa Melayu)
"Keistimewaan basikal ini bukan sahaja ia boleh dilipat, malah si pengayuh juga tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk mengayuh walaupun di kawasan berbukit."

Bagi penggemar aktiviti ini yang tinggal di pangsapuri, mungkin agak sukar kerana tidak mempunyai ruang untuk menyimpan basikal. Selain itu, basikal ini juga perlu dibawa ke taman rekreasi atau kawasan yang sesuai untuk ditunggang.

Cabarannya pula, mungkin sukar untuk anda memuatkan basikal ke dalam kenderaan untuk pergi ke tempat-tempat tersebut, sekiranya anda hanya menggunakan kereta jenis kompak seperti Perodua Kancil, Perodua Kelisa dan Proton Satria.

Kesemua masalah itu dapat diselesaikan jika anda memiliki sebuah basikal buatan Jepun yang mesra pengguna. Apakah keistimewaannya? Ia boleh dilipat dan dimuatkan ke dalam kenderaan yang bersaiz kecil seperti kereta Perodua Kancil.

Pemilik kedai basikal Asia Timur yang terletak di Jalan Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah, Ahmad Nizam Dolah, 39, ada menjual basikal terpakai buatan Jepun itu. Ia bukan sahaja boleh dilipat, malah ia juga ringan apabila dikayuh berbanding dengan basikal lain seperti buatan China.

"Ia juga selesa ditunggang kerana ia banyak kelebihan yang tidak ada pada basikal lain."

"Jika dilihat pada reka bentuknya, mungkin kita dapat rasakan yang fungsinya sama seperti basikal lain yang ada di kedai saya tetapi sebenarnya ia berbeza," katanya.

Reka bentuknya juga seakan-akan basikal tua ataupun basikal yang digunakan pada era tahun 70-an. Malah, ada yang berpendapat, ia bak basikal tua yang dicat semula.

Semua tanggapan itu perlu ditangkis kerana basikal tersebut merupakan sebuah basikal yang praktikal. Tambahan pula, di Jepun, basikal umpama kenderaan utama untuk aktiviti harian termasuk ke pejabat.

Basikal ini dikeluarkan oleh beberapa buah syarikat di Jepun seperti Bridgeston, Miyata, Asahi dan Shamrock. Ia didatangkan dalam pelbagai saiz yang dapat dilihat pada tayar basikal tersebut iaitu saiz 16, 20, 24, 26 dan 27.

Selain itu, keistimewaan basikal ini juga dapat dilihat pada gear kelajuannya yang akan berubah secara automatik mengikut kesesuaian kawasan yang ditunggang. Ada juga basikal yang mempunyai alat pengesan yang mampu menyalakan lampu dengan sendirinya apabila menjelang waktu malam.

Terdapat juga basikal yang tidak perlu dikayuh kerana ia menggunakan bateri yang mampu menggerakkan basikal tersebut.

"Walaupun ia hanya basikal terpakai tetapi permintaannya lebih tinggi berbanding dengan basikal lain yang dijual di sini."

"Basikal ini boleh ditunggang oleh semua peringkat umur dan memang sesuai untuk aktiviti seisi keluarga yang gemar menunggang basikal pada masa lapang," ujarnya.

Tambah Ahmad Nizam, harga basikal tersebut bermula dari RM150 bergantung pada jenis dan fungsinya.

Dengan harganya yang rendah, basikal tersebut dapat dijual sebanyak 70 peratus dalam tempoh kurang tiga bulan.

Katanya, antara kelebihan lain yang ada pada basikal itu adalah ia mudah dijaga, disimpan dan boleh dilipat bagi memudahkan pengguna membawanya ke mana sahaja dan ia juga tidak memerlukan ruang yang besar untuk disimpan.

Kedai milik Ahmad Nizam bukan sahaja menjual basikal terpakai buatan Jepun, malah kedainya juga menyediakan perkhidmatan membaiki, menjual aksesori basikal dan membeli basikal terpakai.

INFO:
Kedai Basikal Asia Timur
Lokasi: No. 3, Rumah Kedai Taman Mustika, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah
(berhadapan Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung).

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 17, 2009

MadMonkeyz Climbing Gym

(Post: Bahasa Melayu)
"Baru sahaja dibuka secara rasminya pada 30 April 2009, MadMonkeyz Climbing Gym ternyata mempunyai aura tersendiri. Buktinya, walaupun usianya masih terlalu hijau, namun lebih daripada 250 orang pelanggan sudah pun mengunjungi dan 'beraksi' di sana."

Tidak seperti gimnasium biasa, MadMonkeyz Climbing Gym tampil dengan kelainan konsep tersendiri yang mampu menarik minat individu yang gemar dan aktif dalam sukan mendaki tebing atau rock climbing.

Menurut salah seorang pemilik gim itu, Lok Hon San, idea menubuhkan MadMonkeyz Climbing Gym dicetuskan oleh rakan kongsinya, Wong Shi Wen yang merupakan seorang pendaki tebing profesional di Malaysia.

"Beliau mendapat idea menubuhkan MadMonkeyz Climbing Gym ini setelah melihat gim di negara-negara Asia lain seperti Korea, Jepun dan China yang lebih berkonsepkan santai serta terbuka."

"Tanpa sebarang peralatan senaman moden tetapi hanya ruang untuk mendaki disediakan, ia menjadikan gim ini begitu istimewa di Malaysia," kata Hon San.

MadMonkeyz Climbing Gym dimiliki oleh syarikat AGC Sports & Equipment Sdn. Bhd.

Di samping itu, Hon San yang turut aktif dalam sukan mendaki tebing di negara ini memberitahu, selain menyediakan perkhidmatan mengajar cara-cara memanjat dan mendaki tebing, mereka turut menjual barang atau peralatan untuk memanjat di gim tersebut.

"Memang kami masih terlalu baru dalam industri gim di Malaysia. Tetapi, apa yang menggembirakan ialah komuniti sukan mendaki di Malaysia sudah mengetahui mengenai gim ini."

"Malah, mereka memberi respons positif di atas penubuhan MadMonkeyz Climbing Gym dan memberi sokongan dengan berkunjung serta berlatih mendaki tebing di sini," ujar pemuda berusia 27 tahun itu sambil menjelaskan bahawa pemilihan nama MadMonkeyz untuk gim tersebut dipengaruhi feng-shui.

Bagi anda yang baru memulakan aktiviti ini, MadMonkeyz Climbing Gym menyediakan ruang khas untuk mereka belajar mendaki dan memahami peringkat awal teknik-teknik pendakian di aras satu premis tersebut.

Aras dua pula menempatkan ruang untuk mereka yang telah mahir dan mahukan cabaran dalam sukan mendaki dalaman kerana reka bentuknya lebih mencabar ketahanan diri.

Selain itu, pihak pengurusan gim juga menyediakan ruang istirehat untuk pelanggan yang mahu melepaskan penat selepas memanjat batu-batu berwarna-warni yang terdapat di situ.

Tidak ketinggalan, di aras satu gim tersebut terdapat lokar yang mempamerkan peralatan yang diperlukan dalam sukan mendaki dalaman mahupun luaran seperti tali, kasut, beg kapur, beg, seluar yang bersesuaian dan peralatan lain.

Salah seorang tenaga pengajar, Mohd. Khairuddin Haja, 30, berkata, antara perkara menarik jika anda mahu belajar mendaki atau memanjat di sana ialah tahap keselamatan yang terjamin.

"Di gim ini, anda tidak perlu risau langsung mengenai keselamatan. Tetapi ia bukanlah bermakna kami tidak menitikberatkan keselamatan pelanggan. Risiko untuk cedera jika mendaki di gim ini amat rendah."

"Ini kerana kami menyediakan tilam lembut untuk menahan sesiapa yang terjatuh ketika berlatih memanjat batu. Dengan adanya tilam tersebut, tiada siapa yang akan tercedera meskipun terjatuh dari bahagian atas bumbung memanjat," kata Khairuddin yang berpengalaman lebih daripada 10 tahun dalam sukan lasak ini.

INFO:
MadMonkeyz Climbing Gym
19-1 & 19-2, Jalan Metro Wangsa,
Seksyen 2, Wangsa Maju,
53300 Setapak, Kuala Lumpur

Tel: 03-41420698
Fax: 03-41420697

Waktu operasi:
Isnin - Jumaat: 2 petang - 11 malam
Sabtu, Ahad & cuti umum: 10 pagi - 7 malam

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::