ATTENTION !!!

Showing posts with label penulis buku. Show all posts
Showing posts with label penulis buku. Show all posts

Thursday, June 23, 2011

Pusat Mental Literasi Minda Malaysia

(Post: Bahasa Melayu)
" Ketika menuntut di tahun tiga pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Gas Asli, Universiti Teknologi Malaysia, Lim Teck Hoe, 35, mendapati dirinya sukar membahagikan masa antara belajar dan aktiviti kokurikulum. "

Sebagai seorang yang aktif dalam debat dan menjadi salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Teck Hoe berasa amat sukar untuk dirinya fokus dalam pembelajaran. Tambahan pula subjek-subjek yang diajar pada tahun tiga sudah mula fokus pada pengkhususan.

"Dari situ, saya mula memikirkan kaedah bagaimana mengoptimum masa untuk belajar tanpa meninggalkan aktiviti-aktiviti yang saya minat," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Oxford Fajar, Shah Alam, Selangor.

"Kita pasti berasa pelik mengapa orang lebih mudah mengingati peserta Akademi Fantasia (AF) berbanding dengan senarai formula subjek sains. AF dipersembah dalam bentuk interaktif yang pasti menarik perhatian ramai, manakala mata pelajaran sekolah disampaikan dalam bentuk yang kurang menarik," ujarnya.

Dalam pembacaannya, Teck Hoe mendapati asas otak manusia terbahagi kepada dua bahagian dengan kedua-dua belah membawa cara dan tempoh simpanan masa mengingat dengan cara yang berbeza.

Bahagian otak

Otak kiri mampu mengingati fakta berbentuk gambar dalam jangka masa lama, manakala otak kanan pula digunakan untuk mengingati pembelajaran berbentuk matematik tetapi dalam tempoh masa yang sekejap.

Menggunakan asas tersebut, dia mengaplikasi proses pembelajaran dengan menggabungkan kedua-dua bahagian otak manusia.

Nota-nota pengajian kejuruteraannya menggunakan pelbagai gambar rajah dan peta minda bagi memudahkan dia mengingat dengan cepat.

Dalam masa yang sama, Teck Hoe masih juga aktif dalam sukan, debat dan perwakilan pelajar sehinggalah dia memperoleh ijazah pada tahun 1999.

Melihatkan potensi dan kebaikan pembelajaran secara optimum, jejaka yang masih bujang itu mengambil keputusan untuk terus serius dalam mengembangkan teknik pembelajarannya.

"Sehingga kini hampir 5,000 orang yang terdiri daripada pelajar universiti dari pelbagai bidang seperti undang-undang dan neurologi serta sekolah pernah mengikuti ceramah saya," ujar jejaka berasal dari Raub, Pahang itu.

Malah pada tahun 2002, dengan menggunakan teknik mengingat, dia telah berjaya memecah rekod Asia dalam Kejohanan Memori Sedunia di England anjuran Persekutuan Sukan Memori Dunia.

"Saya melakukan persediaan selama tiga bulan untuk pertandingan tersebut dengan sentiasa melakukan senaman berkala dan makan banyak kismis terutama apabila pertandingan semakin dekat."

"Sebanyak 70 buah negara menyertainya dalam 10 buah acara yang berbeza seperti mengingati puisi dalam tempoh masa beberapa minit."

"Rekod yang saya pegang adalah mengingati 129 nama dengan ejaan yang tepat berserta wajah dalam tempoh masa 15 minit," ujar anak lelaki ketiga daripada lima orang adik-beradik itu.

Teck Hoe juga sempat berkongsi ilmu dengan penulis bagaimana ingin mengingati satu susunan nombor yang mempunyai berbelas-belas angka dalam masa yang singkat.

Kaedah yang digunakan adalah dengan mencipta satu cerita pendek yang berkaitan angka-angka tersebut dan didapati ia lebih mudah dan cepat untuk diingati.

Teck Hoe kemudian menubuhkan Pusat Mental Literasi Minda Malaysia (Mentalist) pada tahun 2004 sebagai salah satu cara mempromosi pembelajaran secara literasi.

"Saya sudah mengumpul lebih 100 tip berkaitan cara untuk belajar dengan cemerlang pada tahun 2009 melalui pembacaan dan kajian."

"Pada mulanya, saya mahu menerbitkan sendiri tetapi tahun lalu, saya mendapat tawaran daripada syarikat penerbitan Oxford Fajar Sdn. Bhd.," ujar sambil menunjukkan buku 123 Amalan Belajar Cemerlang.

Dalam buku yang berbentuk kepingan kad itu, Teck Hoe berkongsi 123 amalan belajar cemerlang daripada fasa persediaan belajar sehingga teknik belajar yang betul.

Otak seperti komputer

Salah seorang pelajar yang mengamalkan teknik memori Mentalist, Iman Nazurah Zulkifli, 17, mengakui hanya mengambil masa yang singkat untuk mempelajari teknik meningkatkan memori.

Mula mengoptimum proses pembelajaran sejak berumur 12 tahun ketika menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Iman sering menggunakan perkara di persekitarannya dan aktiviti harian sebagai satu cara untuk belajar.

"Saya sering menggantikan benda-benda yang perlu dihafal dengan perkara-pekara yang mudah diingati dan menjadikan subjek yang bosan seperti sejarah satu keseronokan," ujarnya.

Pakar Neurologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali berkata, otak manusia berfungsi seperti sebuah komputer dengan proses input, penyimpanan dan mendapatkan semula tetapi ia lebih kompleks.

"Sebagai contoh, jika individu mahu menghafaz al-Quran, mengingati gambar atau wajah manusia, dia perlu melihat bagi menerima data."

"Data-data dari mata akan disimpan di korteks oksipital dan korteks posterior temporal di bahagian belakang otak untuk interpretasi," ulas Raymond ketika dihubungi Kosmo!.

Tambah Raymond, untuk individu yang mahu mengingati kata-kata atau lagu, maklumat yang dapat dari telinga bergerak ke pangkal otak dan berakhir di neokorteks lateral temporal untuk interpretasi.

"Jika menonton filem pula, kedua-dua aliran akan berfungsi. Selepas maklumat ditafsir dan kita memahaminya, ia akan disimpan ke dalam pusat memori yang dipanggil hipokampus," katanya.

Apabila seseorang itu mahu menggunakan maklumat yang disimpan, arah aliran bergantung kepada cara yang digunakan untuk mengingat.

"Jika seseorang itu mahu menulis ayat-ayat yang diingati, aliran memori akan bergerak dari hipokampus ke korteks motor yang terletak di lubas frontal supaya tangan dapat digerakkan," ulasnya.

Kata Raymond lagi, secara saintifik, manusia mampu meningkatkan memori dan mengingat lebih banyak fakta kerana setiap maklumat disimpan dengan sambungan baru antara sel-sel otak.

Genetik

"Kita hanya perlu ada keinginan yang kuat untuk mengingat selain faktor genetik yang memainkan peranan penting. Kerana itu, jika ibu bapa pandai, selalunya anak akan pandai tetapi tidak bermakna ibu bapa yang sederhana, anaknya tidak boleh pandai."

"Terdapat pelbagai cara yang boleh meningkatkan daya memori seseorang seperti sentiasa mempunyai keinginan untuk mengeluarkan semula maklumat yang disimpan."

"Jika kita sentiasa menggunakan maklumat yang disimpan di hipokampus untuk disampaikan kepada orang lain, lama-kelamaan ia akan menjadi lebih mudah untuk dikeluarkan apabila perlu."

"Sebab itu, pensyarah-pensyarah di universiti kelihatan pandai kerana mereka sentiasa mengeluarkan maklumat yang disimpan untuk mengajar," katanya.

Selain kerap mengeluarkan maklumat, Raymond juga mengamalkan teknik mnemonik dan akronim dalam proses pengajarannya dan ia terbukti memudahkan pelajar mengingat sesuatu fakta.

Menurut beliau, teknik mnemonik menggunakan perkataan atau nama untuk mengingati sesuatu maklumat. Contohnya, untuk mengingati warna-warna pelangi, huruf pertama setiap awalan perkataan dibina menjadi satu kisah ringkas.

"Dianggarkan, manusia biasa hanya menggunakan 10 peratus daripada otak dan ia bersifat keplastikan neuronal. Otak perlu kerap dilatih, dengan cara itu mungkin ia mampu ditingkatkan kepada dua kali ganda daripada biasa," ujarnya.

Faktor pemakanan

Dalam pada itu, Pakar Dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Shariza Abdul Razak menegaskan, corak pemakanan yang betul sejak peringkat kandungan lagi memainkan peranan penting membentuk keupayaan mental seseorang.

Namun, Shariza turut mengakui amalan pemakanan untuk menguatkan memori perlu diamalkan sepanjang hayat.

"Sayur-sayuran seperti brokoli, kobis, bok choy serta buah-buahan yang mengandungi pigmen antosianin dan bahan aktif kuarcetin merupakan makanan yang amat baik untuk memori."

"Asid folik dan kumpulan vitamin B seperti B1, B3, B6 dan B12 dikatakan dapat membantu dalam mempercepat pemprosesan maklumat dan proses mengingat," ulasnya.

Selain itu, menurut Shariza, kajian daripada Universiti Waikato, New Zealand mendapati madu lebah asli dikatakan baik dalam melegakan tekanan dan membaiki daya ingatan.

"Walaubagaimanapun, madu perlu diambil secara terkawal kerana pengambilan berlebihan boleh meningkatkan risiko diabetis," nasihat Shariza.

Tambahnya lagi, seorang individu itu perlu minum air kosong antara 1.5 hingga 2 liter sehari bagi mengelakkan penyahhidratan.

Penyahhidratan otak dan badan akan memberi masalah kepada memori jangka pendek dan tidak dapat menumpukan perhatian.

"Penggemar minuman diuratik seperti kopi, teh dan minuman beralkohol pula perlu mengambil lebih banyak air kosong," katanya lagi.

Selain amalan pemakanan yang baik, Shariza turut berkongsi tip meningkatkan daya ingatan iaitu dengan selalu melakukan aktiviti riadah.

"Aktiviti tersebut mampu melancarkan aliran oksigen ke dalam otak," ujar beliau.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, June 5, 2011

Kristal Station DIY

(Post: Bahasa Melayu)
" Ramai tercari-cari aktiviti sekeluarga yang boleh merapatkan silaturahim. Trend terkini antaranya bersama teman mahupun keluarga membuat kek cawan atau belajar melukis batik. "

Tetapi Amrah Haron, 46, ada cadangan yang tidak kurang menyeronokkan. Mari bersama-sama membuat gelang ataupun kerongsang kristal!

Berkunjung ke kedainya, beli barangan dan Amrah akan mengajar sekali cara pembikinannya. Ia diajar langkah demi langkah sehingga terbentuk perhiasan kristal sendiri.

Perlukah seseorang itu mempunyai bakat?

"Tidak perlu berbakat besar atau daya sentuhan kreatif kerana membuat kristal hanya memerlukan kerajinan, kesungguhan serta minat."

"Pilih rekaan sedia ada supaya senang kita menirunya," ujarnya tersenyum sambil menunjukkan tiga jenis playar yang perlu ada bagi memudahkan pembuatan aksesori kita.

Playar itu pun tidak mahal, berharga RM10 saja seunit. Ketiga-tiga playar yang ditunjuk Amrah memang memudahkan kerja memasang cincin dan juga membengkokkan pin lembut, bahan penting dalam pembuatan aksesori.

Semua bahan untuk pembuatan aksesori ada di kedai Amrah. Mudah, tidak perlu tercari-cari di tempat lain.

"Buat sendiri gelang, kerongsang, rantai ataupun anting-anting memang lebih puas dan menyeronokkan. Hobi yang berguna sama ada sekadar suka-suka atau boleh dijadikan sumber perniagaan," kata ibu kepada seorang anak berusia 12 tahun itu.

Memakai hasilan daripada tangan sendiri memang memberi kepuasan maksimum. Sebaik selesai menghasilkan satu, kita tergerak untuk membuat yang lain pula. Belajar rekaan yang lebih rumit daripada sebelumnya menandakan ada peningkatan diri.

"Aktiviti bersama-masa membuat gelang atau kerongsang kristal memang bagus untuk sekeluarga. Ada yang datang ke kedai saya anak-beranak dan juga adik-beradik," cerita Amrah sambil menambah, gelang dan kerongsang adalah pilihan yang popular di kalangan pelanggannya.

Membuat gelang kristal sesuai dijadikan hobi baru atau sebagai mengisi masa lapang. Bagi yang sentiasa tertekan dengan kerja yang melambak-lambak tidak kunjung selesai, hobi ini juga boleh dijadikan penghilang tekanan kerana penulis sendiri sudah merasainya.

Dapat menyiapkan kerongsang walaupun sangat sederhana rekaannya, hati rasa lega dan gembira sekali. Ia umpama pencapaian yang besar buat diri sendiri.

Mencari masa berkumpul bersama keluarga dan kawan-kawan memang amat sukar pada zaman semuanya dihambat kesibukan.

Ramai yang suka memilih acara makan-makan sebagai cara pertemuan, tetapi sama-sama berkumpul di kedai Amrah sambil memilih warna kristal dan menyusunnya menjadi gelang juga bagus sebagai pengisi masa. Selepas handal membuat gelang, buat pula rantai dan kerongsang.

"Memang saya sendiri amat meminati bidang kraf aksesori kristal," akui Amrah yang mendapat pendidikan sarjana dalam bidang perancangan bandar daripada Universiti Louisiana, Amerika Syarikat.

Dia pernah berpengalaman bekerja selama lebih 10 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

"Setelah berhenti kerja, saya menumpukan sepenuh perhatian pada bidang kraf kristal ini," katanya.

Penciptaan perhiasan kristal semakin sebati di jiwa Amrah sehingga pelbagai rekaan diciptanya sesuai mengikut fesyen dan kegemaran terkini. Mempunyai kedai sendiri melengkapkan lagi apa yang disukainya itu.

Walaupun sekadar kedai kecil tetapi ia cukup sesuai kerana dipenuhi bahan dan peralatan yang diperlukan serta meja kerja diletakkan di tengah supaya senang pelanggan yang datang terus duduk di situ dan belajar dengan tuan punya kedai.

"Setiap Sabtu dan Ahad, saya mengendalikan kelas kraf kristal di kedai bermula jam 3 petang secara percuma kepada sesiapa saja yang berminat."

"Mula-mula belajar, tentu saja mengambil masa tetapi setelah biasa, 20 minit pun boleh menyiapkan satu-satu rekaan."

"Untuk mendapat kemahiran bagi kerja tangan, kena berlatih selalu," tegas Amrah yang mendapatkan stok bahan mentahnya dari China, Bangkok dan Korea.

Sebelum mempunyai kedai sendiri, Amrah bermula dari rumah di samping mempunyai laman web sendiri MegatDinCrystal bagi menjual pelbagai jenis barangan dan peralatan kraf kristal secara dalam talian.

Setelah dua tahun menguruskan perniagaan dari rumah secara talian, pada pertengahan Julai 2010 barulah Amrah membuka kedainya yang dinamakan Kristal Station DIY di Komplek PKNS, Shah Alam.

“Saya juga aktif mengadakan bengkel dan kelas kraf kristal di seluruh negara serta memenuhi undangan syarikat korporat dan agensi kerajaan untuk mengadakan kelas kraf kristal secara berkumpulan,” katanya.

Mengajar orang menghasilkan sesuatu yang cantik nampaknya memberi kepuasan kepada Amrah. Cara memegang playar dan membentuk untaian serta segala barang yang perlu supaya gelang atau kerongsang dihajati dapat dizahirkan perlu dilakukan penuh hati-hati.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, December 24, 2009

Joy Berry Books

(Post: English)
"First there was Joy Berry the children's book author. Now there's Joy Berry the brand."

Over the past 30 years, the former Northern California public school teacher and day-care center operator has written over 250 books for Scholastic, Random House, Penguin, Grolier, and Childrens Press, with titles such as Do-It-Yourself Potty Training and Help Me Be Good About Being Rude.

Though Berry, 64, has sold over 85 million books that brought in some $450 million in revenue, she felt her work had become lost among her various publishers and distributors.

Instead of renewing her licenses, she let them lapse with the goal of republishing under her own name.

She hired John Bellaud, 35, and John White, 31, as branding consultants, in 2006. In turn, they brought on Kay Koplovitz, 64, the founder of USA Network, as a consultant (and later as an equity partner.)

Now Berry, who holds a masters degree in human development, is selling her lifes work through startup publishing house Joy Berry Enterprises.

With $2 million in personal funds and a $1.6 million investment from Brock Capital, JBE hired Morty Mint, the former president of Pearson's Penguin Putnam U.S. and Canada unit as a brand consultant; contracted with a 40-person national sales team through Continental Sales; and signed a long-term contract with distributor Quebecor World.

Launched in April, JBE has released 80 of her titles, which retail for between $8 and $13 each, and plans to produce 175 more titles over the next 18 months.

White projects $2.1 million in revenue in 2009 and more than double that in 2010.

Source: BusinessWeek

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, October 27, 2009

Penulis Novel 2 - Norzailina Nordin (Chef Lin)

(Post: Bahasa Melayu)
"Lumayannya pendapatan penulis bergantung kepada jumlah jualan karyanya. Sekiranya novelnya memang laris seperti pisang goreng panas, maka banyaklah habuan diterima."

Bagi penulis novel dan buku masakan yang juga selebriti chef, Norzailina Nordin mengakui memang ada di kalangan penulis di negara ini menerima pendapatan lumayan daripada bayaran royalti, tetapi hanya segelintir sahaja terutama yang telah terkenal.

Bagaimanapun, lumayannya hanya boleh ditakrifkan dalam lingkungan taraf kehidupan negara ini sahaja dan bukannya lumayan seperti penulis di Barat yang mencecah jutaan ringgit.

"Di Barat, dengan hanya sebuah novel sahaja telah boleh memberi mereka gelaran jutawan manakala di Malaysia, setakat ribuan sahaja."

"Penulis-penulis masih bertongkat-tongkat dalam menuju ke arah lumayan dan mungkin suatu hari nanti, kita akan mendengar jutawan penulis akan muncul di kalangan rakyat Malaysia sekiranya novelnya diterima oleh peminat dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa," katanya yang telah menghasilkan hampir 24 buah novel dan chef undangan di televisyen tempatan dan Singapura.

Menurut Norzailina yang berjinak dalam penulisan sejak berada dalam tingkatan lima, penulis Malaysia hanya boleh digelar setakat 'senang sedikit' bukanlah lumayan dalam erti kata sejagat.

"Ini kerana jumlah cetakan tidak banyak dan bergantung kepada jualan buku. Ganjaran royalti yang diterima oleh penulis bergantung kepada syarikat penerbitan yang dihantar karyanya. Setiap syarikat mempunyai kiraan yang berbeza, begitu juga dengan jumlah cetakan bagi sesebuah buku yang dihasilkan."

"Ada yang menerima 15 peratus daripada keuntungan dan ada yang 10 peratus daripada harga buku, itupun setelah ditolak harga kertas, kos percetakan dan kos-kos sampingan."

"Keuntungan itulah yang akan diperoleh oleh penulis. Selalunya penulis-penulis terkenal yang mempunyai peminat tersendiri akan menagih lebih keuntungan kerana peminat ini akan sentiasa menunggu-nunggu novel terbaru mereka," kata penerima 20 Most Prolific Women Writers of Malaysia oleh Great Estern-MPH Bookstore tiga tahun lalu.

Melihatkan jumlah novel dan buku yang ditulisnya saban bulan dan tahun, Norzailina bolehlah dikira salah seorang penulis yang menerima pendapatan lumayan.

Walaupun sentiasa merendahkan diri dan berselindung dengan kenyataan lumayan, namun beliau mengakui wang royalti yang tidak putus-putus diterimanya daripada pelbagai penerbitan sedikit sebanyak menambah simpanannya terutama digunakan untuk pendidikan anak-anaknya yang berada di menara gading.

"Saya suka hidup bersederhana dan tidak menggunakan wang royalti itu untuk bermewah-mewah tetapi dimanfaatkan untuk pelajaran anak-anak dan simpanan di hari tua," ujarnya yang berjiwa romantik sekali gus mempengaruhi gaya penulisannya yang banyak diambil daripada pengalaman diri sendiri, rakan-rakan dan adik-beradik.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto:
blog Chef Lin

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, October 7, 2009

Kedai Buku Online UJANAILMU

(Post: Bahasa Melayu)
"Nisah akui senario perniagaan di Internet ketika itu agak berbeza kerana kedai buku secara dalam talian yang dibangunkan anak tempatan memang kurang berbanding persaingan yang sangat ketara kini."

Kerjaya mereka kelihatan hebat, suami bergelar jurutera dan isteri pula peguam.

Barangkali, sudah memadai untuk menikmati kehidupan yang baik tanpa perlu terlalu memikirkan soal kewangan.

Namun, Nisah Haron, 35, dan suami saling sepakat untuk beralih kerjaya malah lebih drastik, mereka sekadar mahu menjadi penjual buku.

Peralihan itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar bagi mereka apatah lagi dia sedar jiwanya sudah tiada lagi dalam bidang guaman yang diceburinya hampir 10 tahun itu.

Nisah sendiri sudah sekian lama mengukir nama dalam bidang penulisan khususnya menerusi genre puisi, cerpen dan novel selain meraih pelbagai anugerah di bidang sastera.

Suaminya, Mohd Shukri Nasir yang minat membaca juga dekat dengan dunia buku, malah si suami yang menyarankan ilham untuk menjaja buku secara online.

"Asalnya kami hanya mahu menjalankan perniagaan ini secara sambilan, tetapi apabila suami mengambil keputusan berhenti kerja pada 2004, kami menubuhkan laman web UjanaIlmu secara rasmi pada tahun itu," katanya yang sebelum ini pernah mengendalikan firma guamannya sendiri, Nisah Haron & Co selama lima tahun.

"Biar apa keputusan yang dilakukan, kami percaya rezeki itu dari Allah dan bagi kami, alhamdulillah, ia sentiasa ada untuk kami sekeluarga," kata Nisah yang menguruskan perniagaannya itu dari kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan.

Tidak hanya interaksi di Internet, pasangan ini melebarkan ruang niaga mereka dengan berkunjung ke majlis sastera yang lazimnya turut dilatari acara penjualan buku.

Atas jemputan pihak tertentu termasuk anjuran seminar dan sekolah, pasangan ini juga tidak menolak untuk mencari rezeki di lokasi berkenaan.

"Apabila berpeluang membuka meja untuk menjual buku sebegitu, ia nyata menyeronokkan terutama melihat kanak-kanak sekolah membelek dan membaca buku."

"Di samping itu, ia juga pengalaman cukup baik untuk meninjau reaksi pembaca. Dari situ, ia turut membantu kami untuk melakukan rancangan pemasaran," katanya.

Daripada buku pertama dipasarkan laman web terbabit yang juga hasil tulisannya, Impian Tsu-Ryi, syarikat dalam taliannya itu kini berkembang sehingga berupaya memasarkan ratusan judul buku hasil karya puluhan penulis.

"Sebenarnya saya terpaksa memilih apabila mendapat satu-satu buku untuk dipasarkan. Biasanya, saya bertanyakan fikiran daripada pelbagai pihak bagi memastikan buku yang dipasarkan itu benar-benar berkualiti."

"Saya turut mengambil kira latar belakang strategi pemasaran yang penulis itu lakukan sendiri misalnya blog atau popularitinya. Untuk penulis ternama yang biasanya sudah ada pengikut sendiri, saya tidak perlu memberi tumpuan pada usaha promosi mereka," katanya yang terpaksa menolak pelbagai judul buku untuk dipasarkan di laman webnya lantaran tidak memenuhi kriteria.

Uniknya terutama untuk penggemar sastera, Nisah menyifatkan laman web berkenaan menyediakan lebih ruang untuk pembaca mendapatkan bahan bacaan yang sesetengahnya mungkin sukar didapati di pasaran khususnya kedai buku.

"Perniagaan secara dalam talian ini memang agak menarik kerana kita tidak dapat menjangka siapa pembeli bahan bacaan berkenaan."

"Pembaca berbahasa Melayu di luar negara misalnya pelajar memang kekurangan atau mungkin ketiadaan bahan bacaan sedemikian. Justeru, perniagaan sebegini memang mampu menjangkau pelanggan di mana saja," katanya yang turut menerima tempahan dari Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, India dan Russia.

Meninggalkan kerjaya sebagai peguam sivil dan syariah juga sebenarnya banyak membuka ruang lebih luas untuknya terus bergiat sebagai penulis yang kini mampu dilakukan sepenuh masa.

"Jika penulis lazimnya mencurahkan idea mengikut suasana diri, saya lain pula. Saya boleh menulis tidak kira lokasi atau waktu cuma saya mungkin tidak boleh duduk berjam-jam seperti sesetengah penulis lain."

"Malah, adakalanya saya boleh menyiapkan empat atau lima tajuk tulisan serentak," katanya.

Meskipun tidak pernah mempunyai pembantu rumah sejak mula berumah tangga lagi sehingga sudah punya lima cahaya mata, dia dan suami sudah biasa mengendalikan segala urusan seharian bersama, baik rumah tangga mahupun perniagaan.

Antara rutin seharian mereka kini adalah mengunjungi pejabat pos sebelum waktu operasinya tutup untuk menghantar pesanan buku kepada pelanggan.

Ia mungkin dianggap satu tugas remeh untuk dirinya dan suami yang pernah bergelar ahli profesional suatu ketika dulu namun bagi pasangan ini, kepuasan mencari rezeki sedemikian memang tiada galang gantinya.

ANTARA PENCAPAIAN:
- Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1991-1993
- Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97
- Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005
- Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (2003, 2005, 2006 dan 2007)
- Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, September 28, 2009

Pakar Matematik

(Post: Bahasa Melayu)
"Sekalipun ahli keluarga langsung tidak terbabit dalam bidang itu, beliau mengakui dorongan kuat keluarga yang banyak memberi kemudahan mendapatkan buku dan internet banyak membantunya belajar untuk mendapatkan maklumat tambahan."

Tidak ramai yang tahu, bidang Matematik juga sebenarnya ada seni kreatif tersendiri.

Bukan setakat bermain dengan nombor tetapi juga membabitkan pemikiran kreatif dan kritis bagi membolehkan seseorang itu layak digelar pakar Matematik.

Mohd Suhaimi Ramly, 27, yang kini bergelar Ketua Jurulatih Olimpiad Matematik Antarabangsa (IMO) Malaysia adalah antara genius Matematik yang terpilih sebagai juri termuda untuk menghakimi pengiraan markah pertandingan IMO peringkat dunia.

Anak muda itu mengakui, pertandingan IMO itu bukannya suatu yang mudah kerana ia membabitkan pelajar terpilih di seluruh dunia, namun di situlah terletaknya keseronokan menyahut cabaran sebagai peserta dan kini beliau bertindak selaku jurulatih.

Sehubungan itu, setiap kali tiba musim pertandingan IMO peringkat dunia membabitkan 108 negara, ketika itulah pasukan IMO Malaysia sibuk mencari bakat baru dan melatih mereka supaya berfikiran kreatif.

"Ramai yang tersalah anggap. Tidak semestinya pelajar yang cemerlang dalam Matematik dan sering mendapat markah A layak menyertai IMO."

"Matematik sebenarnya memerlukan pelajar sentiasa ligat berfikir mencari jalan penyelesaian bagi setiap soalan atau permasalahan. Mereka perlu kritis dan kreatif. Sebab itulah pada sesi latihan, hubungan mereka dengan pengajar umpama jurulatih dan pemain."

"Hubungan ini berbeza jika dibandingkan antara guru dengan murid kerana jurulatih akan mendedahkan taktik dan pemain akan melaksanakan dengan pelbagai cara. Sudah semestinya mereka perlu berfikir dan idea sentiasa berkembang," katanya.

Mohd Suhaimi sendiri pernah muncul antara pelajar terbaik pernah dilahirkan bagi pertandingan IMO, termasuk meraih anugerah juara Olimpiad Matematik Kebangsaan pada 1998 dan 2000.

Berdasarkan kejayaan itu, Suhaimi terpilih mewakili negara selama empat tahun berturut-turut bagi IMO peringkat Asia Pasifik dan peringkat dunia di Romania, Korea dan Amerika Syarikat bermula 1999 hingga 2001.

Namun, sejak pertandingan Olimpiad Matematik peringkat kebangsaan diperkenalkan mulai 1970-an, sering kedengaran rungutan pelajar dan guru mengenai masalah mereka tidak biasa dengan kaedah, soalan dan cara penyelesaiannya.

Menyedari masalah itu, Suhaimi mengambil pendekatan bijak untuk berkongsi pengalamannya melalui penulisan buku khas mengenai asas Matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan.

"Buku itu mengandungi empat siri dan ia sebenarnya membabitkan nota lama yang disimpan sejak peringkat sekolah hingga sekarang. Ia terbukti banyak membantu dan pada masa sama saya sering mendapat input baru daripada pelajar yang banyak menampilkan idea bernas," katanya.

Menyingkap sejarah pembabitan awalnya dalam bidang Matematik Olimpiad, anak jati Kuala Lumpur ini mengakui ia menyedari bakatnya selepas terpilih mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk pertandingan peringkat kebangsaan dengan muncul naib juara.

Tanpa sebarang latihan, beliau terkejut dengan keputusan itu seterusnya ditawarkan berlatih bersama Prof Abu Osman (Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk mewakili negara. Kini beliau menjadi ketua jurulatih menggantikan gurunya dan sudah 10 tahun mengetuai kontinjen Malaysia.

Selain menerbitkan buku panduan khas untuk Olimpiad Matematik, beliau juga banyak memberikan ceramah kepada pelajar dan guru serta terbabit dalam pertandingan peringkat MRSM dan Matrikulasi.

INFO:
Kerjaya:

- Pengarah Urusan Ardent Eduicational Consultants Sdn Bhd
- Pengarah Eksekutif Aidan Corporation Sdn Bhd

Kepakaran:
- Matematik: Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor, Geometri, Analisis Fungsian
- Latihan Olimpiad Matematik kepada guru dan pelajar
- Ketua Jurulatih Malaysia ke IMO 2007 - kini

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::