Beg Tangan Daripada Penutup Tin
(Post: Bahasa Melayu)
" Sejak akhir-akhir ini, semakin banyak kempen dan program mempromosikan kepentingan amalan kitar semula dilaksanakan dalam memupuk kesedaran agar masyarakat prihatin dengan situasi genting dunia berdepan pemanasan global. "
Amalan kitar semula juga merupakan usaha murni bagi memastikan generasi akan datang dapat turut mewarisi bumi hijau ini.
Bagi pemilik blog Mee Tan's Handicraft, May Oh, 50, dia mempunyai cara tersendiri dalam mempraktikkan amalan kitar semula bahan buangan.
Jika orang lain mengumpulkan tin minuman untuk dijual, bagaimanapun May menjadikan penutup tin dan kad plastik sebagai tas tangan moden menarik untuk digayakan.
"Semasa kecil lagi saya sudah meminati seni kraf tangan, malah akan membuat tas tangan ataupun bakul dengan menggunakan tali rafia. Ini kerana beg agak mahal untuk dimiliki sewaktu zaman kanak-kanak dahulu."
"Sejak empat tahun lalu saya mula berkecimpung membuat tas tangan menggunakan penutup tin minuman dan kad isi semula kerana minat mendalam terhadap seni kraftangan," katanya.
May sama sekali tidak menyangka produk keluarannya akan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang inginkan kelainan apabila menggayakan tas tangan tersebut.
"Pada mulanya, tas tangan ini hanya digunakan anak perempuan saya apabila melanjutkan pengajian di kolej swasta. Dari situ banyak kawan-kawannya berminat dengan produk tersebut sehingga membuatkan saya membuat laman blog," ujarnya lagi.
Dia yang agak cerewet dalam pemilihan penutup tin minuman berkata, kira-kira 250 sehingga 2,000 penutup tin akan digunakan untuk menghasilkan sebuah tas tangan tersebut mengikut kesesuaian saiznya.
Tambah May, semasa awal pembabitan menghasilkan tas tangan berkenaan penutup tin minuman akan diperoleh melalui kawan-kawan, sanak saudara dan kedai-kedai kopi berdekatan kejiranan rumahnya.
"Bagaimanapun, apabila permintaan semakin tinggi, saya akan membelinya atau mengutip sekali sekala untuk memudahkan lagi proses penghasilan tas tangan berkenaan. Penghasilan tas tangan ini memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana ia bukanlah satu proses yang mudah untuk dilakukan."
"Saya mengambil masa sehingga dua minggu untuk menghasilkan sebuah tas tangan tersebut agar ia kelihatan moden dan berkualiti. Bagaimanapun, jika terdapat permintaan serta perlu mengikuti tarikh akhir, saya akan memastikan disiapkan dengan cepat," katanya lagi.
May menambah, proses penghasilan tas tangan berkenaan dilakukan dengan beberapa langkah termasuk membersihkan penutup tin minuman dengan pencuci agar tiada kesan gula dan mengeringkannya di bawah sinaran matahari.
Katanya, ia juga perlu diketuk menggunakan tukul besi untuk meratakannya kerana terdapat penutup tin minuman yang berbentuk bulat dan empat segi.
"Selepas itu, barulah proses menjahit dan menghasilkan tas tangan itu dilakukan. Biasanya saya akan menggunakan benang kapas kerana ia lebih cantik dan memenuhi cita rasa pelanggan," ujarnya.
May menambah, selain dibuat sepenuhnya dengan tangan antara keistimewaan lain tas tangan itu ialah ia lebih ringan.
Dengan menggunakan tangan, tas tangan tersebut lebih kemas, cantik dan trendy.
"Selain itu, pelanggan juga tidak akan perasan bahawa tas tangan tersebut diperbuat daripada penutup tin minuman kerana kehalusan pembuatannya."
"Saya menjual produk-produk tersebut pada harga RM50 hingga RM350 bergantung kepada bahan yang digunakan semasa membuat tas tangan ini," katanya.
Sementara itu, May memberitahu dia juga ada menjual produk-produk yang dihasilkannya pada acara-acara kitar semula ataupun alam sekitar.
"Saya juga ada menyediakan kelas bagi mereka yang berminat untuk mempelajari teknik pembuatan seni kraf tangan ini."
"Mereka yang berminat hanya dikenakan RM300 seorang tetapi jika terdapat tiga orang pelajar, bayarannya tetap sama dan bermakna setiap orang hanya mengeluarkan RM100," katanya.
Walaupun tas tangan berkenaan mendapat perhatian, May masih menganggap seni kraf tangan yang dilakukan sebagai hobi.
"Ia dilakukan adalah untuk bersama-sama membantu memulihara alam sekitar dengan mengamalkan amalan kitar semula," katanya.
Sumber: Kosmo! Online
1 comments:
berminat ingin membeli tutup tin aluminium call saya
0123856846
Post a Comment