Fotografi Dasar Laut
(Post: Bahasa Melayu)
"Bagai cinta pandang pertama, begitulah perasaan yang bersarang dalam hati Khairul Ariffin sebaik meneroka keindahan marin, terumbu karang dan hidupan laut berwarna-warni."
Keputusan nekad meninggalkan dunia teknologi maklumat untuk mendalami bidang fotografi yang diminati sejak zaman persekolahan, nyata tidak sia-sia.
Biarpun tiada siapa berani memberi jaminan, Khairul Ariffin Mohd Aris, 31, yakin dengan bidang fotografi biarpun hanya diceburi secara serius, kira-kira tiga tahun lalu.
Namun, bukan calang-calang bidang fotografi yang dipilih graduan bidang sistem komputer (teori dan analisis) dari Western Michigan University di Amerika Syarikat (AS) ini, sebaliknya Khairul Ariffin mengisi portfolio barunya dengan ilmu fotografi dasar laut.
Ditanya bagaimana terfikir beralih karier sebagai jurugambar dasar laut, Khairul Ariffin berkata, segala-galanya bermula selepas isterinya memiliki lesen selam skuba.
"Sebaik isteri memperoleh lesen selam skuba, saya nekad melakukan perkara sama beberapa bulan kemudian," katanya.
"Sebaik memperoleh lesen selam skuba, saya bagaikan pemuja aktiviti selam skuba. Lebih-lebih lagi berpeluang merakamkan gambar serta objek marin yang cukup eksotik."
"Mulai saat itu, saya nekad bergiat aktif dalam bidang fotografi dasar laut. Namun, saya juga aktif merakamkan gambar majlis, komersial dan pengiklanan," katanya.
"Saya tidak terus memilih subjek fotografi dasar laut dan mendalaminya. Sebaliknya, saya bermula dengan fotografi daratan sejak 2004. Daripada pembabitan awal itulah saya menemui sesuatu yang cukup istimewa dengan dunia fotografi dasar laut."
"Bagi saya, kepuasan itu berbeza. Ini turut merangkumi objek, warna dan keunikan sesuatu imej fotografi yang berjaya kita rakamkan," katanya lagi.
Apabila disoal mengapa memilih aktif sepenuh masa dalam bidang fotografi, jawab beliau, "Bagi saya, untuk fokus dan berjaya dalam sesuatu bidang, kita harus mendalaminya sepenuh hati. Kejayaan tidak akan datang melalui cara mudah, sebaliknya kita perlu bekerja keras."
"Begitu juga bidang fotografi dasar laut, di mana kita harus mengembara dan rajin mempelbagaikan idea serta mencuba. Bagi saya, proses pembelajaran diteruskan sampai bila-bila."
Menurutnya lagi, melalui hobi ini, kita boleh melihat perubahan ekosistem seperti pencemaran alam dan aktiviti manusia. Seperti suatu ketika dulu, di beberapa kawasan terumbu karang di Pulau Perhentian didapati tercemar tetapi berjaya dipulihkan melalui projek dan usaha keras beberapa pihak.
Bagi peralatan fotografi gambar dasar laut, kos minimum bagi kamera yang bagus mencecah RM4,000 hingga RM5,000. Namun, ia bergantung kepada tahap kecintaan dan fokus masing-masing untuk mendalami bidang ini.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa fotografi dasar laut masih baru di negara ini serta kurang mendapat perhatian terutama dalam konteks perniagaan, tetapi, idea serta garapan yang dilakukan mampu menjadikan bidang ini cukup komersial.
Ketika ini, Khairul Ariffin mempelbagaikan disiplin dan bidang kerja termasuklah fotografi majlis, komersial dan pengiklanan.
Selain giat mempromosi selam skuba sebagai gaya hidup sihat, beliau turut menganjurkan bengkel fotografi dasar laut membabitkan kumpulan kecil sebagai satu forum untuk berkongsi minat dan idea yang sama.
"Ketika ini, saya belum terfikir mempamerkan hasil foto saya... Insya Allah, suatu hari nanti," ujarnya lagi.
"Secara jujur, saya masih belum puas biarpun sudah sering melakukan aktiviti selam skuba dan merakam imej dasar laut."
"Bagi saya, kepuasan lebih dirasai andai kita berpeluang meneroka lebih banyak lokasi terumbu karang di seluruh dunia dengan merakamkan imej dan hidupan marin eksotik."
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment