ATTENTION !!!

Showing posts with label beg. Show all posts
Showing posts with label beg. Show all posts

Thursday, June 17, 2010

Extreme Response Gears

(Post: Bahasa Melayu)
" "Dua ribu jenis barang, wow banyaknya," itulah reaksi pertama saya apabila diberitahu oleh si empunya pemilik kedai lasak, Extreme Response Gears, Raja Izdihar Raja Mohamede Kamil, 39, mengenai jumlah barangan di premisnya. "

Kedai yang baru memulakan operasinya awal tahun ini terletak di Festive Mall, Teluk Danga, Johor iaitu lokasi terkenal tarikan pelancong sama ada untuk membeli-belah, makan ataupun menenangkan fikiran dengan pemandangan panorama Selat Tebrau.

Pernah belajar di Universiti Belfast, Ireland Utara selama lima tahun dalam bidang perniagaan, Raja Izdihar tekad dengan azamnya untuk menjadikan bidang perniagaan yang diceburinya sebagai satu batu loncatan untuk terus maju.

"Selepas belajar saya bekerja di Eropah selama lima tahun untuk mencari pengalaman," katanya kepada Kosmo!

Menurut Raja Izdihar, beliau mula tertarik dengan aktiviti sukan lasak dan ketenteraan apabila menyertai askar wataniah Terratorial Army ketika di England.

"Bermula dengan menjadi Terratorial Army, hati saya mula berdetik betapa segaknya memakai pakaian seragam, selain menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Ia juga membuatkan saya mula jatuh cinta dengan sukan ekstrem," katanya lagi.

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Perak itu bertekad satu hari nanti apabila kembali ke Malaysia beliau akan membuka kedai sukan lasak.

Kini impiannya menjadi kenyataan apabila berjaya membuka kedai itu dengan bermodalkan RM100,000.

Kedai yang terletak di Festive Mall itu bukan saja menjadi tumpuan peminat sukan lasak bahkan tempat persinggahan anggota pasukan keselamatan yang ingin mendapatkan keperluan peribadi dan kerja.

"Saya turut mendapat galakan daripada anggota polis dan tentera supaya kedai saya ini menjual pelbagai peralatan untuk anggota beruniform," jelasnya lagi.

Antara barangan yang menjadi perhatian orang ramai di kedai itu ialah kasut taktikal, beg-beg galas, peralatan khemah, perkhemahan perubatan, peralatan paintball, tali pinggang keselamatan, peralatan memancing, pakaian seragam tentera dan juga barangan taktikal sukan lasak.

"Sebenarnya walaupun terdapat kira-kira 2,000 jenis barang di sini tetapi ia belum mencukupi lagi. Kalau ikutkan ia baru 70 peratus saja daripada sasaran saya."

"Insya-Allah pada akhir tahun ini semuanya akan lengkap 100 peratus," katanya lagi.

Bapa kepada dua cahaya mata itu menambah, pada kebiasaannya kaki-kaki pancing akan datang ke kedai itu untuk mendapatkan peralatan memancing, begitu juga dengan peminat mendaki gunung yang mahu mendapatkan keperluan mendaki seperti khemah dan beg galas.

Harga barang yang dijual di situ bermula dari RM30 hingga RM300.

Bagi mereka yang gemar berkhemah Extreme Response Gears menjual khemah lipat yang hanya memerlukan kira-kira lima saat untuk didirikan.

Anda hanya perlu mencampakkan khemah tersebut dan ia akan terbuka dan siap untuk digunakan. Harga khemah tersebut antara RM220 hingga RM290 bergantung kepada keluasannya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, January 30, 2010

Pembekal Peralatan Tentera

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika dihitung takwim tahun baru, sudah tujuh tahun Ahmad Janius Abdullah bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Lelaki berusia 39 tahun itu mengakui kerjaya itu bagaikan nadi baginya. "

Ini kerana individu yang menyertai ATM bukan sahaja dibentuk untuk menjadi seorang yang berwibawa dan sanggup berkorban demi negara tercinta, malah mereka dilatih untuk menjadi contoh kepada generasi muda.

Walaupun Ahmad Janius telah melalui satu episod kehidupan yang cukup mencabar dan penuh dengan pahit manis, namun sejurus dia melangkah kaki ke alam persaraan pada 2003, dia tidak hanya duduk di rumah atau memenuhi masa lapangnya dengan melancong. Sebaliknya, Ahmad Janius menceburi perniagaan membekalkan peralatan tentera.

Ketika berkhidmat dalam ATM, anak kelahiran Sabah itu rajin menimba ilmu dalam pelbagai bidang terutama perniagaan.

Bekas komando Kem Sungai Udang, Melaka sejak 1989 itu menyedari bahawa dia akan menerima duit pencen setiap bulan. Cuma, jumlah yang diterima itu tidak cukup untuk menyaranya sekeluarga.

"Sebab itulah ada segelintir pesara tentera terpaksa bekerja dengan syarikat keselamatan sebagai pengawal atau pegawai berdasarkan pengalaman yang dimiliki ketika berkhidmat dengan ATM. Bahkan terdapat juga pesara yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan seperti gerai makan, bengkel kenderaan dan sekolah memandu."

"Mereka yang kurang berkemahiran pula biasanya memilih menjadi petani atau nelayan di kampung," kata lelaki berketurunan Kadazan itu yang sempat membuat perniagaan insurans pada awal persaraannya.

Ahmad Janius membuka sebuah pejabat kecil di Bandar Baru Bangi, Selangor untuk menjalankan kerja-kerja promosi dan menjual polisi insurans secara kecil-kecilan. Dalam tempoh beberapa bulan, bisnes insuransnya semakin mendapat sambutan.

Lelaki berbadan tegap dan berkulit sawo matang itu pada masa yang sama menyediakan ruang kecil untuk meletakkan sebuah almari kaca. Di almari itu dia memperaga koleksi peralatan tentera yang lama untuk tatapan pelanggannya.

Tanpa disangka, item-item itu berjaya menarik minat ramai pelanggan-pelanggan insurans, golongan remaja dan kanak-kanak yang lalu-lalang di depan kedainya.

Selain melihat koleksi tersebut, mereka juga berminat membelinya. Adakalanya, segala yang dipamerkan itu habis dijual.

Anak kedua daripada 12 beradik itu mencuba nasib dengan menjual barang-barang ketenteraan seperti pakaian, kasut, topi keledar, cermin mata dan sebagainya di pasar lambak di pusat beli-belah Amcorp, Petaling Jaya. Memandangkan koleksi barang yang dijualnya unik dan eksklusif, permintaan pun bertambah.

Ahmad Janius membuka bisnes sendiri di bawah nama syarikat RNJ Venture Sdn. Bhd. pada 2005. Perniagaan yang beroperasi di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi itu mengimport kelengkapan ketenteraan dari Indonesia, China, Amerika Syarikat (AS) dan Thailand.

Para pengunjung yang berkunjung ke kedainya boleh mendapat pilihan uniform tentera yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu hutan, digital dan multi plage. Bagaimanapun, rekaan multi lebih banyak mendapat sambutan kerana ia boleh dipakai di mana-mana.

Kedai itu juga menjual kasut-kasut tentera yang berkualiti tinggi dan pelbagai jenis topi keledar untuk kegunaan tentera.

Selain itu terdapat juga variasi beg galas, botol air, tali, kompas, pemetik api, pisau serba guna dan lain-lain lagi. Turut dijual alat kawalan jauh dan binokular.

Bekas atlet tinju dan angkat berat itu memberitahu, meskipun sudah meninggalkan ATM tetapi dia masih terbawa-bawa dengan amalan tentera dalam kehidupan sehariannya.

Bapa kepada dua orang anak itu cukup menekankan ketepatan masa. Latihan-latihan tentera yang ditimba banyak membantunya menguruskan satu lagi cawangan perniagaannya di Bandung, Indonesia. Lazimnya, sebelum tidur, Ahmad Janius akan menulis perancangan harian untuk keesokan hari.

"Kalau tidak buat perancangan, rutin harian saya akan jadi buntu. Ketika bekerja dengan ATM, apa sahaja tugas perlu dibuat mengikut perancangan, perkara yang tiada perancangan akan menemui kegagalan.

"Saya masih mengamalkan tabiat baik ini untuk mengembangkan perniagaan," ujar lelaki itu.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, June 27, 2009

Lasak Bersama Butik Core Zone

(Post: Bahasa Melayu)
"Namakan apa sahaja daripada pakaian, kasut, botol air, sarung tangan, kompas hinggalah baju dalam khas untuk wanita, semuanya ada di Core Zone."

Dia bukanlah seorang atlet sukan terkemuka negara atau individu yang berbadan sasa yang sinonim dengan aktiviti lasak.

Namun, semangatnya mempopularkan sukan mendaki dan ekstrem di negara ini yang biasanya dimonopoli kaum lelaki wajar dikagumi.

Wanita bertubuh kecil berambut ala spiky, Leong Dee Lu merupakan pengusaha butik Core Zone iaitu sebuah pusat menjual peralatan pendakian dan aktiviti rekreasi.

Beliau yang juga Pengarah Urusan, Climbing & Outdoor Recreation Equipment Sdn. Bhd., syarikat yang mengendalikan Core Zone bagaimanapun tidak melihat jantina sebagai satu masalah untuk beliau menggerakkan Core Zone.

Stailo yang berkunjung ke butik itu yang terletak di Jalan SS2/24, Petaling Jaya, Selangor didedahkan sendiri dengan himpunan pakaian dan seleksi peralatan keperluan bagi pencinta kegiatan rekreasi lasak.

Dee Lu memberitahu kesibukan pelbagai urusan pejabat dan rumah selalunya melambatkan seseorang membuat persediaan awal untuk aktiviti rekreasi. Akhirnya ramai yang hanya mula mencari barang persiapan dua atau tiga hari sebelum memulakan aktiviti.

Namun, di Core Zone situasi itu bukanlah satu masalah kerana semua barang boleh dicari pada harga yang berpatutan di bawah satu bumbung.

Malah, lebih penting peralatan yang disediakan adalah berkualiti sesuai dengan aktiviti yang ingin dilakukan.

"Aktiviti lasak bukan seperti percutian biasa. Destinasi yang bakal dikunjungi adalah kawasan gunung, lautan, kutub dan hutan belantara. Jadi peralatan yang perlu dibawa haruslah selamat dan berfungsi dengan baik," ujar wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu.

"Kebanyakan koleksi pakaian Core Zone dihasilkan daripada fabrik berteknologi tinggi itu. Misalnya, material Gore-Tex memberi perlindungan kalis air dan keselesaan fabrik yang mengelakkan kelembapan pada badan.

"Material Polartec yang kelihatan seperti bulu bebiri bersifat ringan dan tidak mengambil ruang yang banyak. Ia memastikan pakaian bertahan lama, mudah kering dan memberi perlindungan terhadap cuaca yang panas terik," jelas Dee Lu sambil memberitahu pakaian daripada fabrik itu sesuai untuk aktiviti merentas desa dan hutan.

Syarikat itu turut berperanan sebagai pengedar di pasaran tempatan untuk pelbagai jenama antarabangsa dari Itali, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) bagi koleksi pakaian dan aksesori tambahan aktiviti lasak itu.

Antaranya Lafuma, MSR, Buff, Black Diamond, Thermarest, Camelback, Sea to Summit, Wild Roses, Suunto dan La Sportiva.

Walaubagaimanapun, Dee Lu tidak menafikan kos peralatan aktiviti luaran itu memang mahal dan tinggi. Ini kerana, spesifikasi fungsi dan penggunaan teknologi serta material asli untuk memelihara kualiti jenama.

Core Zone juga tidak ketinggalan menawarkan aksesori tambahan terutama beg dan peralatan masakan serta penginapan yang mempengaruhi kesempurnaan percutian aktiviti lasak dan cabaran.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 2, 2009

SHOE SHACK

(Post: Bahasa Melayu)
"Di Shoe Shack, anda akan memiliki kesemua kualiti penting yang mesti ada pada sepasang kasut terutama yang selesa dipakai dan kekal bergaya."

Kecantikan dan gaya yang menyerlahkan personaliti seseorang wanita tidak hanya terletak pada busana, potongan rambut atau stail ikatan tudung yang sesuai.

Kasut turut memainkan peranan penting dan kerana itulah, sering kali digambarkan bahawa kecantikan seorang wanita mestilah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Menyedari itu, kedai kasut Shoe Shack tidak mahu ketinggalan mengikuti arus perkembangan fesyen dengan menawarkan rekaan kasut terkini dan berpotongan moden.

Selain memenuhi gaya hidup wanita moden hari ini, pilihan kasut yang ditawarkan di kedai itu menjanjikan keselesaan si pemakainya.

Lebih mengujakan lagi, pelbagai pilihan kasut yang ditawarkan adalah pada harga yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Mungkin dalam kalangan kita pernah mendengar rungutan ini: "Ada gaya tapi tak selesa, kalau selesa...tak ada gaya pula...". Ini adalah antara rungutan yang kerap diluahkan oleh kebanyakan wanita ketika memilih kasut yang sesuai dengan gaya masing-masing.

Jangan memeningkan kepala anda lagi. Di Shoe Shack, anda akan memiliki kesemua kualiti penting itu terutama selesa dipakai dan kekal bergaya.

Menurut kenyataan Shoe Shack, pihaknya kini sedang menawarkan pilihan terbaru bagi himpunan kasut dan beg tangan yang berkualiti.

"Shoe Shack kini menampilkan pelbagai jenis kasut bagi memenuhi cita rasa terkini wanita yang mementingkan penampilan dan gaya," kata kenyataan itu.

Pilihan rangkaian kasut bertumit tinggi atau rendah, flat form, wedges, sandal, but, slingback, t-strap dan kegilaan terbaru iaitu gladiator menanti anda di Shoe Shack. Pilihan yang tepat pasti akan memenuhi cita rasa fesyen anda.

Selain itu, Shoe Shack juga menawarkan pelbagai jenis kasut selesa (comfort shoes) khusus untuk anda yang memilih keselesaan dalam menyarung kasut-kasut yang lembut dan senang dibawa berjalan.

Harga kasut serendah RM49.90 yang ditawarkan di Shoe Shack ini sesuai untuk semua golongan wanita.

Shoe Shack yang menampilkan kasut-kasut import bermutu tinggi ini juga memperkenalkan stok baru dua kali dalam sebulan.

Selain memilih kasut, jamu mata anda dengan rangkaian koleksi beg-beg kasual dan aksesori unik Shoe Shack.

Jika hati sudah terpikat, apa salahnya mencapai satu pilihan sama ada kasut atau beg kasual untuk melengkapkan gaya anda.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, February 18, 2009

Sulaman Ummi Kreatif Jaya

(Post: Bahasa Melayu)
"Usaha yang saya lakukan ini sebenarnya adalah sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahu supaya wanita Melayu menceburi bidang perniagaan, sekali gus menjadi usahawan berjaya serta berdaya saing."

Puan Diana Abdul Hamid, dari Taman Bukit Rambai, Melaka, pemegang Diploma Pengajian Bank, Universiti Teknologi Mara (UiTM) memilih menghasilkan produk jahitan sulaman kreatif dengan menggunakan jenama Ummi Kreatif Jaya.

Produk yang dihasilkannya berasaskan seni tampal, cantum, sulam dan 'quilting' iaitu sejenis jahitan menggunakan bahan daripada benang tangsi.

Lebih menarik, beliau menggunakan imej flora dan fauna serta berkonsepkan batik tempatan.

Menyingkap sejarah pembabitannya, ibu kepada empat anak itu berkata, minatnya dalam bidang jahitan berputik selepas tertarik dengan kerja tangan arwah neneknya, Tajsiah Sadin, yang menghasilkan selimut serta sarung bantal menggunakan kain perca.

Ia terus berkembang mekar selepas melihat ibunya, Norlia Md Ali, tidak menang tangan menerima tempahan menjahit baju kurung daripada sanak-saudara mereka serta penduduk sekitar Kampung Chincin, Jasin. Tidak ketinggalan dorongan suaminya, Ramlee Ibrahim.

Bermula saat itu, iaitu lebih tujuh tahun lalu, beliau melakukan kerja tangan berkenaan di rumah, sebelum mengembangkannya termasuk menjadikan jirannya sebagai ahli kumpulan. Mulai detik itu iaitu pada Disember 2003, wujudlah Ummi Kreatif Jaya.

Dalam usaha memastikan usaha itu terus berkembang, Diana mengikuti kelas jahitan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan syarikat Epal, selain menghadiri kursus asas perniagaan serta perakaunan anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Selepas berjaya menimba banyak ilmu, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus bekerja bersungguh-sungguh menghasilkan produk jahitan kreatif halus. Pada peringkat awal memang saya menggunakan tangan, namun selepas mendapat suntikan kewangan, saya berjaya membeli sebuah mesin jahit berkomputer berharga RM1,800 dan mesin jahit tepi bernilai RM2,000.

"Bagaimanapun saya masih mengekalkan jahitan kreatif seni tampal, cantum, sulam dan 'quilting' berkonsepkan bunga-bungaan, flora dan fauna serta berimejkan batik tempatan yang dibeli dari Terengganu dan Sarawak," katanya.

Pada awal pembabitannya, beliau hanya menumpukan penghasilan seni jahitan kreatif pada sarung bantal, kusyen, kopiah, selimut, permaidani dan cadar yang sesuai bagi keperluan hiasan dan kegunaan sesebuah keluarga.

Namun, katanya, selepas enam tahun membabitkan diri, kini beliau berupaya melangkah lebih jauh dengan penghasilan ciptaan sendiri yang lebih kreatif menerusi beg sejadah, telekung dan tudung.

Beliau berkata ramai pelanggan yang berbangga dengan ciptaan beg sejadahnya kerana berimejkan kain batik tempatan di samping inginkan kain telekung dicipta anak tempatan berbanding diimport dari negara jiran seperti Indonesia.

Beg sejadah yang diciptanya itu mempunyai kemudahan sejadah pada bahagian dalam, manakala luarnya hamparan kain batik dihiasi dengan jahitan tampal, sulam, cantum atau quilting berwajahkan bunga-bungaan yang berseni, indah dan menawan.

Apabila dilipat ia boleh diisi dengan kain telekung dan dilengkapi pula dengan dua tangkai sebagai kemudahan pemiliknya membimbit atau menyangkutnya di bahu untuk di bawa ke mana-mana terutama ke surau atau masjid.

Harga bagi sebuah beg sejadah dijual antara RM40 hingga RM90, telekong sulaman (ekskusif) adalah RM100 hingga RM140 sementara telekung renda RM50 hingga RM100.

"Semua harga yang ditetapkan adalah bergantung kepada saiz serta jahitan kreatif yang dicipta. Selain beg sejadah dan telekung, pelanggan boleh menambah set kelengkapan dengan membeli tasbih mutiara dan kristal iaitu produk baru dihasilkannya."

"Batu mutiara dan kristal terbabit bukan saja boleh digunakan sebagai tasbih 33 atau 99 untuk berwirid, malah sebagai hiasan wanita seperti rantai dan gelang tangan."

Alhamdulillah produk yang saya cipta dan ilhamkan serta didaftarkan melalui Ummi Kreatif Jaya ini semakin mendapat sambutan baik.

CONTACT INFO:
Telefon: 019-6267665

Email: diana_abdulhamid@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, February 17, 2009

Real Adventure Gear

(Post: Bahasa Melayu)
"Lebih mudah bekerja sendiri kerana saya akan memegang amanah saya sendiri. Jika berusaha kuat, kami akan dapat lebih, jadi semuanya bergantung kepada diri sendiri. Sama juga konsep ketika mendaki, kena berdikari dan membuat keputusan sendiri."

Sekali imbas, selayaknya Ahmad Nazrin Abu Bakar, 33, bergelar peguam syarie atau bekerja dalam sektor perundangan kerana latar belakang pendidikan dimiliki menjurus ke arah itu.

Namun, realitinya jauh berbeza kerana apa yang dilakukan sekarang lebih kepada minatnya terhadap aktiviti sukan lasak terutama mendaki gunung dan berkhemah. Jadi, tidak hairanlah anak jati Kuala Lumpur ini mempunyai premis sendiri membekalkan peralatan aktiviti lasak.

Perniagaan yang dijalankan bersama rakan baiknya ketika menuntut di UIA, Faizal J k Mohd Radzali, 33, berjaya membuktikan pilihan yang dibuat memang tepat memandangkan sambutan terhadap sukan itu ketika ini sangat memberangsangkan.

Kini, Real Adventure Gear Sdn Bhd berdiri megah di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur atas titik peluh sendiri dengan membekalkan peralatan seperti pelbagai beg, peralatan serta pakaian terutama jenama Eiger yang terkenal di pasaran Indonesia serta produk Bodypack dan Nordwand.

Pencapaian yang dikecapi Nazrin pada hari ini bukannya suatu yang datang secara mudah dan beliau bukannya mewarisi kemewahan keluarga tetapi berusaha sendiri.

Semua pengalaman, kesusahan hidup diaplikasikan bapa kepada empat anak ini ke dalam dunia perniagaan dan hidupan harian dengan menganggap segala cabaran, masalah sebagai satu rencah untuk beliau membaiki diri mencapai kejayaan.

"Tiada apa nak dimalukan, memang saya ada kelulusan akademik yang baik, tetapi itu bukan jaminan. Seronok berada di bawah bersama masyarakat kerana ia membantu saya belajar mengenai kehidupan," katanya.

Bahkan, sepanjang pengajian di UIA, ada saja kerja dilakukan sepanjang musim cuti untuk menambah pendapatan. Banyak kerja yang dilakukannya termasuk di stesen minyak, mengecat rumah, buruh binaan, pembantu di pusat membeli-belah, berniaga di pasar malam dan pasar tani.

"Saya dah lali kena marah, kena arah, bertindak ikut arahan bos. Semua saya dah rasa, cukuplah. Saya dah puas bekerja ketika zaman menjadi pelajar universiti. Itu sebenarnya pengalaman cukup berguna untuk saya."

"Sekarang saya buat apa yang saya suka, mengikut minat dan ia sebenarnya lebih menarik tambahan pula bidang ini berkait rapat dengan sedikit pengalaman sedia ada. Syukur, bidang ini menjanjikan masa depan yang cerah kerana tidak ramai anak Melayu yang membekalkan keperluan mendaki," katanya.

Sebagai permulaan sebelum memiliki premis sendiri, beliau dan rakannya banyak menyertai jualan di karnival untuk memperkenalkan produk mereka. Hari ini, Real Adventure adalah antara pembekal utama barangan Eiger.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, November 21, 2008

Sentuhan Kreatif Tangga

(Post: Bahasa Melayu)
"Melihat hasil seni karya yang diketengahkan kelima-lima anak muda ini, ia merupakan satu cabang seni."

Dianggotai sekumpulan remaja lelaki dan perempuan, mereka bergabung minat, bakat dan impian dengan harapan dapat diterima golongan remaja kota masa kini.

Mereka bersatu menerusi pengenalan daripada rakan-rakan seperjuangan sejak setahun yang lalu. Lantaran itu, mereka berupaya berkongsi idea kreatif dan menterjemahkan produk seni yang tersendiri.

Melihat hasil karya yang diluahkan menerusi sentuhan dan modifikasi pada baju-t, kasut dan beg, mereka sememangnya mempunyai objektif tersendiri. Ia diketengahkan dalam pelbagai produk dan aksesori mengikut cita rasa dan kehendak remaja masa kini.

Antara hasil kerja mereka ialah beg silang yang dicipta menggunakan fabrik kapas yang turut diselitkan unsur-unsur tradisional batik tempatan dan alam semula jadi.

Kasut putih yang pada mulanya kelihatan lompong turut diberi nafas baru dengan seni lukisan tangan dan jahitan pelbagai jenis fabrik di segenap permukaan. Manakala baju-t kosong turut menerima sentuhan lukisan tangan dengan mainan warna-warna alam.

Walaupun belum mempunyai sebuah butik mahupun outlet, tetapi mereka mampu bergerak secara berdikari menerusi acara-acara yang dianjurkan.

Apa yang uniknya lagi ialah semua produk yang dihasilkan mereka tidak menggunakan sebarang peralatan elektronik seperti mesin, sebaliknya, dihasilkan menggunakan tangan.

Kekreatifan dan kebijaksanaan merebut peluang yang ada membolehkan remaja-remaja ini meluangkan masa mereka secara berfaedah disamping menambahkan pendapatan.

Walaupun bermula secara kecil-kecilan, tetapi tidak mustahil bahawa suatu masa nanti usaha mereka ini dapat dikembangkan dengan pembukaan outlet mahupun jenama mereka sendiri.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::