ATTENTION !!!

Showing posts with label lukisan. Show all posts
Showing posts with label lukisan. Show all posts

Wednesday, December 15, 2010

Galeri Tanjung Pelukis Aliran Seni Naif

(Post: Bahasa Melayu)
" Dikelilingi himpunan karya seni naif yang dihasilkan sendiri, lelaki bertubuh kurus berusia 59 tahun itu kelihatan seperti merenung jauh. Pandangan matanya seolah-olah menembusi sebuah lukisan yang berada elok di hadapannya. "

Lukisan yang dipenuhi warna-warna yang terang dan ceria itu kelihatan begitu menyerlah.

Gambaran rumah, pokok-pokok yang berwarna-warni, ikan yang 'berterbangan' di angkasa, burung dan sebagainya menjadi subjek yang diketengahkan beliau dalam imaginasi yang tersendiri.

Benar, sebagai pelukis aliran seni naif atau naive art, Ismail Baba mengakui setiap karya yang dihasilkan lahir daripada imaginasi diri yang melangkaui batasan fikiran kehidupan normal.

Namun, adakalanya ilham yang terbit juga bersifat spontan dan mudah untuk dilakarkan di dada-dada kanvas.

Itulah antara keistimewaan aliran seni itu. Ia tidak begitu rumit, tetapi masih mempunyai daya tarikan di kalangan penggemar karya seni naif.

Aliran Seni Naif

"Naive art lebih bersifat keanak-anakan. Malah, sesiapa juga boleh terjun dalam gaya lukisan naif kerana ia merupakan seni yang lahir dari hati pelukis itu sendiri mengikut apa yang dibayang atau difikirkan."

"Cuma, setiap pelukis perlu ada kesungguhan dan kesabaran yang tinggi untuk terus bertahan dalam aliran seni ini. Memandangkan seni naif masih kurang popular di Malaysia, maka ramai yang cepat mengalah atau tidak serius berkecimpung dalam aliran ini kerana dianggap seni kelas bawahan," ujar Ismail sambil tangannya ligat memalit warna-warna di atas kanvas lukisan yang hampir siap.

Apa yang pasti, menyelami karya-karya seni Ismail, mampu membawa kita menerokai dunia imaginasi yang penuh keriangan.

Mula terlibat dalam aliran seni naif sejak tahun 2006 secara sepenuh masa, Ismail ternyata begitu komited dalam berkarya. Hingga kini anak kelahiran Kuala Selangor itu sudah pun menghasilkan ratusan karya naif dalam pelbagai medium dan saiz.

Menceritakan detik awal minatnya berputik dalam aliran itu, Ismail memberitahu ia bermula sebaik beliau bersara dari pekerjaan sebagai display artist di beberapa buah hotel sekitar ibu negara.

Pengalaman selama 35 tahun itu membuatkan jiwa seninya tidak betah untuk duduk berpeluk tubuh selepas mengakhiri dunia pekerjaan. Justeru, dia memilih untuk berkarya dan menghasilkan lukisan sendiri.

Tetapi, melihat kepada kepelbagaian aliran seni yang terdapat di Malaysia, Ismail pada mulanya buntu dalam membuat keputusan. Akhirnya, selepas membuat pelbagai perbandingan, perbincangan dan meneliti prospek kesenian sesuatu aliran, maka naive art menjadi pilihannya.

"Apabila menerokai aliran ini, saya rasa ia sebati dengan jiwa kerana tiada sebarang kekangan untuk berkarya. Dalam erti kata lain, pelukis seni naif bebas menghasilkan apa sahaja bentuk lukisan walaupun merasakan mereka tiada bakat melukis."

"Ia boleh diumpamakan seperti kanak-kanak yang melukis mengikut apa yang terlintas di hati mereka atau yang terlihat di mata dan kemudian diluahkan di permukaan kertas dengan gambaran berbeza berbanding realitinya," jelas Ismail yang sudah bergelar datuk kepada dua orang cucu ini.

Apabila berbicara tentang seni, memang banyak yang diluahkan oleh Ismail terutama dalam aspek perkembangan seni visual dan seni catan di tanah air.

Sebagai salah seorang pelukis sepenuh masa, Ismail tidak segan menuturkan bahawa masyarakat di negara ini masih tidak tahu menghargai nilai seni.

Situasi ini jauh berbeza dengan komuniti masyarakat di luar negara yang langsung tidak berkira jika mahu memiliki sesuatu karya seni. Mereka sanggup untuk mengeluarkan belanja yang besar bagi mendapatkan karya yang diminati.

"Perkara ini menyebabkan seseorang pelukis sukar untuk menjual hasil seni mereka kepada rakyat tempatan kerana mereka menganggap harganya terlalu mahal."

"Bagaimanapun, Alhamdulillah pendapatan saya sebagai anak seni masih lagi mampu untuk menyara keluarga walaupun tidaklah sekaya mana," kata Ismail sambil bibirnya lebar menguntumkan senyuman.

Sebagai seorang seniman, lelaki yang dilahirkan pada 30 November 1951 itu bertuah kerana minatnya untuk berkarya turut mendapat sokongan daripada keluarga tercinta.

Bukan sahaja isteri, tetapi anak-anak Ismail juga sentiasa memberi dorongan untuk beliau terus menghasilkan karya tanpa jemu. Bagi Rokiah Maana, 54, darah seni yang mengalir di dalam tubuh suaminya tidak harus dikekang.

Lantaran itu, sudah menjadi tanggungjawabnya agar terus menyokong setiap apa yang mahu dilakukan sang suami hingga ke nafas terakhir.

"Memang bukan mudah apabila seorang suami mempunyai minat atau hobi yang sukar diketepikan. Maklumlah bila berus sudah di tangan, tentu sahaja perkara yang lain akan dilupakan."

"Namun, ia bukan alasan untuk saya menghalang suami untuk melukis. Sebaliknya saya perlu lebih memahami segala tingkah lakunya dan secara tidak langsung berusaha memberi semangat untuknya menghasilkan lukisan-lukisan yang berkualiti," ungkap Rokiah sambil memberitahu suaminya tidak lokek untuk membawanya bercuti ke luar negara melalui duit yang diperoleh hasil jualan karya beliau.

Melukis Guna Celak

Sementara itu, anak sulung Ismail tidak ketinggalan untuk berkongsi satu peristiwa menarik mengenai papa kesayangannya itu. Peristiwa yang berlaku beberapa tahun dahulu masih segar dalam ingatannya.

"Pernah satu hari sewaktu kami sekeluarga bercuti di Melaka, kebetulan ada dianjurkan pertandingan yang bertemakan Melukis Bandaraya Bersejarah."

"Dek kerana minat, papa tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian. Tetapi kerana tiada sebarang peralatan dibawa bersama, papa bertindak kreatif apabila menggunakan celak mama untuk melukis."

"Ternyata rezeki berpihak pada papa apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua kerana keunikan dan kreativitinya dalam menyiapkan lukisan mengenai negeri Melaka itu," terang Iszuan, 28, yang merupakan tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam Fakulti Seni Halus.

Ditanya mengenai pandangannya tentang seni naif yang diceburi Ismail, Iszuan pantas menjawab dia sentiasa positif dan bersedia membantu bapanya dalam meluaskan kerjaya sebagai pelukis aliran seni naif.

"Secara peribadi saya merasakan seni naif itu sendiri tulus dan bebas untuk dihasilkan. Tidak hanya pada kanvas, tetapi juga boleh digunakan pada pelbagai media dan medium lain," demikian ucapan luhur yang lahir dari mulutnya.

Di samping itu, Iszuan yang turut memiliki darah seni yang diwarisi daripada bapanya berharap suatu hari nanti si ayah akan menjadi salah seorang pelukis yang tersenarai dalam carta pelukis terkenal di Malaysia dan menjadi kebanggaan bagi anak, cucu serta pewarisnya kelak.

"Semoga hasil karya papa bukan sahaja ada di dinding rumah kami tetapi juga di dinding rumah dan galeri di luar negara," tinggi harapan Iszuan terhadap kejayaan seni ayah yang disanjungi.

Kepada mereka yang berminat melihat karya Ismail, layari laman web facebook/ismabib atau hubungi talian 017-8830303 atau 03-42533984.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 15, 2010

Galeri Art On Glass

(Post: Bahasa Melayu)
" Ekspresi diri yang dizahirkan ke atas kaca dengan bentuk lakaran menarik mampu menjadi kenangan terindah buat seseorang. "

Itu yang dibuktikan Salmiah Mohd Norin, 43, meskipun tidak pernah meminati bidang lukisan bahkan tidak pernah memegang berus lukisan atau kanvas.

Inisiatifnya untuk berkarya lahir apabila mengikuti kelas melukis atas kaca untuk memberi inspirasi baru ke atas minatnya yang dipupuk perlahan-lahan itu.

Kini, pemilik syarikat Art On Glass itu mampu memanipulasi hobinya sehingga ia lahir sebagai karya menarik untuk kepuasan peribadi.

"Mungkin semua ini atas dorongan sekeliling terutama suami. Saya berusaha sendiri mengikuti kelas melukis secara serius sehingga akhirnya tercetus semua ini."

"Apa yang menarik, cubaan melukis dan melakukannya secara komersial membuahkan kejayaan. Ia membuatkan hati teruja dan dari situ terhasil karya atas kaca, daripada bentuk kecil hinggalah kaca leper, mangkuk, botol, dulang, tempat habuk rokok, bingkai gambar dan segala yang boleh dijadikan perhiasan."

"Seronok melakukan kerja seni ini dan paling menyeronokkan, ia mempunyai kelompok penggemar tersendiri terutama mereka yang ingin menjadikannya sebagai barangan cenderahati," katanya ketika ditemui di kedai miliknya yang beroperasi di Selayang Baru, Selangor.

Melukis barangan mengikut kreativiti tersendiri dan dilukis di atas kaca yang diterbalikkan itu nyata menarik perhatian ramai.

Bahkan, pertama kali mengadakan pameran pada Perhimpunan Agung Umno lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi katalis buat wanita ini kerana ia membuka banyak mata pengunjung yang menyedari kehadiran lukisan kaca berkenaan.

"Lebih memberangsangkan apabila isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menempahnya dalam jumlah yang agak banyak dan ia membuatkan saya teruja campur terkejut."

"Sebenarnya, lukisan sebegini sesuai dijadikan barangan cenderahati untuk golongan korporat mahupun orang perseorangan. Peminatnya juga boleh menyimpan barangan sebegini sebagai koleksi indah."

"Bagi remaja sekolah, kebanyakan mereka menggemari bentuk ukiran kecil dan sederhana seperti piring kecil yang diperincikan dengan lukisan unik. Bagi kanak-kanak pula, kebanyakannya meminati lukisan kartun atau bunga-bungaan diabadikan di atas jubin," katanya sambil menambah hasil seninya itu boleh didapati pada harga antara RM30 hingga RM780.

Bukan hanya kepuasan melukis, Salmiah turut menterjemahkan nilai seni itu menerusi gubahan indah dalam bentuk bungkusan hadiah atau hamper menarik.

"Ia memberi kepuasan berganda kepada saya sendiri. Pertama, ketika menghasilkan lukisan tentunya terasa indah untuk memberi sentuhan menarik. Setelah lukisan kaca terhasil, lebih memberangsangkan apabila ia sempurna dibalut dengan gubahan menarik."

"Menerusi sambutan menggalakkan, saya kini mengumpul penggemar yang berhasrat mengkomersialkan bidang ini dengan mengadakan kelas khusus untuk memanfaatkan hobi ini sepenuhnya," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: 88db

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, February 16, 2010

Lakaran Lukisan Raja Azeem

(Post: Bahasa Melayu)
" Membelek buku-buku lukisan milik Raja Azeem Idzham Raja Azaham, 26, mata terpaku melihat ketelitian setiap garisan-garisan halus disatukan menjadi karya yang mengagumkan. "

Walaupun banyak yang kurang difahami maksud atau bentuknya, namun penulis tetap terpegun dengan hasilnya. Hanya mereka yang mempunyai bakat, imaginasi dan ketekunan sahaja mampu menzahirkannya.

Mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni bina dengan memiliki ijazah sarjana muda dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azeem tidak pernah terfikir dia akan menjadikan lukisan sebagai kariernya.

Selepas tamat pengajian, dia menyertai sebuah syarikat seni bina dengan harapan untuk meneruskan kerjaya profesionalnya dalam bidang tersebut.

Namun, jiwanya adalah dalam bidang seni. Menyedari masanya terhad untuk berkarya kerana bekerja sepenuh masa, Azeem mengambil keputusan drastik melepaskan jawatan di firma tersebut sejak setahun lalu.

"Ramai yang kata saya gila. Tetapi inilah keputusan saya demi meneruskan minat yang bermula hanya sekadar hobi."

"Memang jika dibandingkan dari segi pendapatan, bekerja dalam bidang seni bina menjanjikan pendapatan tetap dan agak setiap bulan. Tetapi saya tidak mahu menyesal di kemudian hari kerana tidak boleh melakukan apa yang saya suka," katanya.

Menceritakan bagaimana obsesinya terhadap lukisan berunsurkan lakaran di atas kertas kartun, fantasi dan abstrak bermula, Azeem memberitahu sejak zaman sekolah lagi dia telah menunjukkan bakat melukis. Begitu juga dengan lima adik beradiknya yang lain.

Ibu dan bapanya turut mempunyai latar belakang dalam bidang seni. Malah, kedua-duanya mahir melukis. Namun mereka tidak mempraktikkannya sebagai satu kerjaya. Cuma selepas pencen, bapanya aktif melukis dan mampu menyiapkan sehingga 60 lukisan setahun.

Azeem melukis mengikut gerak hati dan tangannya. Kadang-kadang dia tidak merancang apa yang ingin dilakarkan, hanya mengikut gerak pensel sehinggalah siap. Kebanyakan lukisan yang dilakar dalam buku lakarannya bukan untuk dijual.

Begitupun, dia ada menerima tempahan daripada orang ramai. Selain daripada lakaran atas kertas, dia juga mengambil tempahan lukisan atas kanvas.

"Ada beberapa lukisan saya dijadikan corak pada baju dan saya mendapat komisen berdasarkan jumlah baju yang dicetak."

"Saya juga membuat animasi dan apa sahaja yang memerlukan kemahiran melukis. Kini saya mendapat bayaran dengan apa yang sebelum ini saya sifatkan sebagai hobi. Saya bebas menyusun kerja dan masa," katanya.

Lakaran atas kertas yang dihasilkan oleh Azeem dijual pada harga RM50 hingga RM200, manakala lukisan pada kanvas bergantung kepada saiz gambar dan kesukarannya.

Bagi Azeem, melukis bukan sahaja memerlukan bakat tetapi kesabaran dan ketekunan. Ini kerana untuk menyiapkan sesebuah lukisan yang rumit, ia boleh memakan masa sehingga berminggu-minggu.

Seseorang itu juga harus kreatif dalam memilih tema dan cara mereka menyampaikan idea tersebut di atas kertas mahupun kanvas.

Ditanya mengenai perancangan Azeem pada masa hadapan, dia berhasrat untuk membuka sebuah galeri bersama ahli keluarganya.

Kepada mereka yang berminat untuk melihat atau mendapatkan lukisan-lukisan Azeem, layari www.facebook.com/juxtaART atau email kepada juxta_art@yahoo.com

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, January 12, 2010

Selling Fine Art Prints Online

(Post: English)
"Providence, R.I., is becoming a showcase for up-and-coming artists, but you won't necessarily find their work in a gallery."

Every Tuesday, Shea'la Finch and Jon Buonaccorsi display a new print of an original drawing or painting on their Web site, Tiny Showcase, and sell 100 to 200 for $20 apiece.

In three years, Tiny Showcase has given more than 100 artists an audience - the site receives up to 10,000 visitors on a busy night - and has made art accessible to those with modest means.

Finch, 29, and Buonaccorsi, 30, were living together in 2005, trapped in office jobs they hated. To keep up morale, they left each other funny sketches on the fridge.

Then Finch, who has an art degree from Bennington College, thought of putting their sketches and other underexposed art online in limited editions.

Buonaccorsi, a Web designer, created the site, limiting their startup costs to only a few hundred dollars.

Revenue, which reached $250,000 last year, comes from a 20% commission on artists' sales, and the business became profitable quickly. But the two still depend on day jobs to pay the bills.

Source: BusinessWeek

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, January 2, 2010

20x200 Art Gallery

(Post: English)
"Her Web site is officially called 20x200, but founder Jen Bekman calls her online mart the gateway drug to the art world."

The Manhattan gallery owner launched the site in September 2007 to sell limited-edition prints and photography at prices low enough to attract first-time collectors, starting at $20 for a print from a run of 200.

Bekman, 39, worked for Internet companies including Meetup before opening Jen Bekman Gallery, where prices range from $1,000 to $20,000.

She bootstrapped the now-profitable Net venture for less than $1,000, with the help of contacts who donated time get the site running.

She now runs it with a staff of five (plus contractors), who also operate her gallery and a third venture, photo competition Hey, Hot Shot! that leads her to many of the photographers for 20x200.

She splits profits 50-50 with the artists, and her art-world cred assuages artists' fears that their work will be commoditized.

People know that I am not just moving product, she says. But the product moves nonetheless.

The e-gallery has shipped more than 40,000 prints, with $1.2 million in revenue in 2008.

Source: BusinessWeek

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 10, 2009

Eksklusif Dari Bali dan Jogja

(Post: Bahasa Melayu)
"Satukan empat unsur utama kehidupan dan di situ anda akan merasai keindahan dan ketenangan," ungkap Ponco Prio Santoso Soet Jiptadi.

Sememangnya ada kebenaran dalam kata-kata lelaki berusia 34 tahun itu apabila melangkah masuk ke ruang kedai Soul Living Concept and Design yang terletak di Sri Kembangan, Selangor.

Penerapan unsur angin, api, air dan tanah yang menjadi penyatuan dalam diri seseorang dengan alam semula jadi tampak sealun melalui pasu-pasu hiasannya.

"Konsep utama yang diketengahkan di galeri ini ialah Nusantara dan di sini, tiga riasan utama menjadi subjek tumpuan iaitu pasu, cermin dan lukisan," katanya.

Beliau yang turut ditemani isteri, Fiezza Saari menyatakan, walaupun galeri ini baru saja dibuka iaitu Ogos lalu, permintaan terhadap item Nusantara terutama lukisan amat menggalakkan.

Biarpun bukan daripada pelukis ternama, lukisan abstrak pelbagai saiz ini yang dipamerkan mempunyai interpretasi tersendiri apabila diletakkan di sudut tertentu.

Bagi koleksi cermin pula, keunikan pembuatannya terserlah bukan saja melalui ukiran bingkai malah medium utamanya yang diperbuat daripada pokok manggis.

"Tahan untuk jangka masa yang lama walaupun diukir sarat dengan pelbagai motif," jelas Ponco.

Dalam pada itu, kemasukan setiap produk adalah terhad dan diperoleh secara eksklusif di kawasan tertentu di Jogjakarta dan Bali, Indonesia.

"Paling utama, koleksi jualan yang dipamerkan di sini semuanya edisi istimewa. Tidak akan ada yang dua atau sama," kata Fiezza.

Sekiranya di galeri jualan hiasan dalaman hanya menjual produk, pasangan ini turut memberi khidmat konsultasi kepada pelanggannya, terutama kepada mereka yang berpindah ke rumah baru.

Bukan sahaja penataan di ruang dalaman, malah keindahan di taman dengan kehadiran landskap berpagola dengan kolam mini tentunya memberi kesan rileks pada penghuni tersebut.

Menurut lelaki yang mempunyai susur galur dari Jakarta, Indonesia ini, riasan Nusantara, khususnya Bali amat memerlukan sudut yang sesuai bagi mengharmonikan suasana.

"Secara dasarnya, elemen Bali ini menggunakan pasu-pasu dan tumbuhan yang besar namun disebabkan keadaan rumah di ibu kota kebanyakannya jenis apartmen atau kondominium, jadi pengubahsuaian itu perlu dilakukan."

"Dan disebabkan itulah juga, produk di galeri ini didatangkan dalam saiz yang cukup comel yang bersesuaian dengan keadaan rumah serta warna," kata Ponco.

Tambah Fiezza pula, tidak dinafikan terdapat saingan yang sengit namun keistimewaan yang ada pada galeri ini ialah harganya yang berpatutan.

"Selain itu, hampir semua produk, terutamanya pasu ini adalah buatan tangan dengan menggunakan bahan semula jadi seperti kulit pisang, telur, akar pokok serta serpihan cermin."

"Bagi yang meminati seramik, di sini juga ada pasu yang pasti menarik perhatian anda," ujarnya yang turut menyatakan, aksesori seperti pelapik pasu, bunga dan ranting turut dijual.

Unik dan istimewa. Mungkin itu saja kesimpulan yang boleh dibuat setelah meneliti pelbagai jenis pasu yang berderetan serta aksesori yang disusun indah.

Bukan sekadar menjadi pusat penjualan barangan bercirikan Nusantara, galeri ini juga merupakan kehidupan kedua bagi pasangan ini setelah beberapa insiden berlaku.

Dengan unsur alam yang menyatu kuat di atmosfera kedai ini, Ponco dulunya pernah diserang penyakit strok kini menjadikan segala elemen di dalam kedai tersebut sebagai terapi.

"Konsep Bali atau Nusantara yang mengunakan air, batu dan tumbuhan dalam hiasannya merupakan terapi paling baik bagi saya."

"Saya percaya ketenangan yang ditimbulkan oleh elemen tersebut menjadikan segala penyakit hilang begitu saja," ujarnya yang berbakat dalam melukis.

Sampuk isterinya, tidak dinafikan mereka lebih banyak menghabiskan masa di kedai ini, bersama-sama hiasan pasu, lukisan, cermin dan kolam mini berbanding di rumah.

"Mendengar deruan air terjun dari kolam mini serta melihat refleksi lukisan abstrak melalui cermin yang bergantungan membuatkan suasana begitu tenang. Bukan semua tempat ada situasi seperti ini," katanya.

INFO:
Soul Living Concept and Design
Lokasi: 7-1, Jalan BPP 5/2, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor

Dibuka setiap hari (kecuali Isnin), dari 11 pagi hingga 8.30 malam

CONTACT INFO:
Telefon: 03-89416584

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 16, 2009

Grafiti Seni Khat

(Post: Bahasa Melayu)
"Mohammed percaya seni mampu menjadi ‘ejen’ perubahan. Baginya, penggiat seni harus berusaha dan menggunakan apa saja kemampuan untuk mewujudkan perubahan positif dalam persekitaran dan di dunia."

Biarpun tidak habis persepsi negatif dilemparkan terhadap seni grafiti yang mengaitkannya dengan unsur vandalisme, ada banyak aspek positif boleh ditemui dalam seni grafiti.

Misalnya, inisiatif artis grafiti dari Birmingham, United Kingdom ini, Mohammed Ali, 30, ini wajar dinilai.

Mohammed yang dikenali dengan nama Aerosolarabic, cukup popular sebagai artis grafiti yang menghasilkan karya berunsur Islamik.

Gabungan unik grafiti yang bersifat urban dan unsur spiritual mewujudkan hubungan antara individu berlainan komuniti serta budaya.

Ini sekali gus membuka perhatian mereka kepada isu sejagat.

Mohammed sering diundang mempamerkan kreativiti sambil berkongsi pandangan berhubung isu budaya dan agama di seluruh dunia.

Sentuhan grafiti dan mural lakarannya terpamer di kota besar seperti New York, Chicago, Toronto, Melbourne dan Dubai.

Baru-baru ini, Mohammed berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menjayakan program Knowledge & Arts Tour 2009 yang dianjurkan Young Muslims Project dengan kerjasama British Council, Asia E University, Yayasan Rasma dan Muslim Professionals Form.

Dalam program itu, Mohammed sempat melakukan demonstrasi karya grafitinya serta berkongsi pengalaman dengan peserta program yang sebahagian besarnya golongan muda.

Dalam temubual bersama Mohammed, beliau menceritakan bagaimana mula terjebak dengan dunia grafiti pada usia 10 tahun. Katanya, ketika itu, budaya hip hop cukup popular dan menjadi ikutan remaja termasuk dirinya.

Ini membawanya mencuba setiap cabang budaya hip hop dari tarian, emcee hinggalah seni grafiti itu sendiri.

"Namun, antara semua cabang hip hop ini, saya lebih serasi dengan seni grafitti," katanya membuka cerita.

Idea menggabungkan seni grafiti dengan kaligrafi Islam timbul selepas berlaku perubahan besar dalam dirinya. Mohammed mula berfikir lebih mendalam mengenai kehidupan lebih-lebih selepas ditimpa nahas jalan raya.

"Saya terfikir, ke mana saya akan pergi dan apa yang akan saya tinggalkan apabila tiada lagi di dunia ini. Biarpun dilahirkan Islam dan menerima didikan agama, saya tidak begitu meletakkan agama sebagai keutamaan berbanding perkara lain. Saya agak hedonistik (mementingkan keseronokan)."

"Lalu, saya mula mencari semula identiti diri dan pencarian itu akhirnya membawa saya semula kepada Islam," kata Mohammed.

Keputusan kembali ke pangkal jalan dengan mendekati agama bagaimanapun tidak melenyapkan minat Mohammed kepada seni grafiti. Malah, beliau memperoleh ilham menggabungkan grafiti dengan seni tulisan bersifat Islamik, iaitu kaligrafi Arab.

"Mengapa perlu berhenti daripada seni grafiti selagi apa yang dilakukan tidak menyalahi agama? Sesetengah perkara mungkin perlu dihentikan, misalnya melukis grafiti di dinding tanpa kebenaran atau menyampaikan mesej berbaur negatif di sebalik grafiti."

"Saya melihat kedua-duanya iaitu grafiti dan kaligrafi sebagai suatu seni yang mengagumkan. Tulisan dan kata-kata yang digunakan dalam seni ini mempunyai kuasa tersendiri."

"Kaligrafi Islam membuatkan sesiapa saja kagum dengan nilai seninya walaupun mereka tidak faham dan tidak tahu membaca. grafiti pula sejak dulu menjadi ruang untuk meluahkan pendirian terhadap isu tertentu," katanya.

Seiring perubahan identiti seni yang lebih Islamik, Mohammed tidak sewenang-wenangnya melukis grafiti di tembok atau dinding. Semua itu dilakukan atas layar kanvas. Hanya sesekali, beliau melakar kreativiti di dinding apabila diundang menyertai program yang memerlukan beliau melakukan perkara itu.

"Ramai menganggap grafiti bukan suatu seni, namun ia tetap dilihat sebagai suatu bentuk seni golongan muda."

"Sebahagian besar golongan muda menikmati seni ini di jalanan, bukan di galeri seni. Beginilah cara mereka meluahkan bakat seni," katanya.

Mohammed berkata, kaligrafi Arab menjadi pilihannya kerana unik dan beliau amat menghargai keistimewaan seni Islamik ini.

Katanya, kita tidak perlu meniru seni grafiti ala Amerika Syarikat (AS) kerana umat Islam sendiri cukup istimewa dan unik.

"Bagi karya grafiti, saya memilih yang terbaik dari Barat dan warisan Islam. Kemudian, saya gabungkan kedua-duanya," katanya yang sebelum ini bekerja dalam bidang rekaan permainan komputer.

Menurut Mohammed, inspirasi subjek atau tema karya grafiti lazimnya diperoleh daripada pemerhatiannya terhadap persekitaran tempat berkarya.

"Contohnya, apabila tempat berkarya itu dihuni remaja bermasalah yang terbabit dengan masalah penyalahgunaan dadah, saya akan tampilkan kata-kata berbentuk nasihat ringkas tapi sarat mesej mendalam."

"Saya sentiasa mengambil masa memahami persekitaran yang dilawati. Ini membolehkan saya mendekati isu yang berlegar dalam kehidupan mereka sebelum berkarya," katanya.

Ditanya soal cabaran dalam mempamerkan karya grafiti Islamik, Mohammed mengakui cabaran wujud terutama ketika masyarakat dunia masih memiliki anggapan salah terhadap agama Islam.

"Menggabungkan grafiti dan kaligrafi adalah suatu cabaran. Ada komen menyatakan saya bukanlah artis grafiti sebenar. Kononnya, grafiti perlu ada elemen gaya liar serta pelbagai unsur lain yang dilihat persekitaran grafiti di New York."

"Namun, bagi saya, pengertian seni grafiti itu luas dan berkembang. Terpulang kepada artis memilih gaya karya mereka," katanya.

"Seperti sabda Rasulullah SAW, jika kita melihat sesuatu yang tidak betul cuba ubah dengan tangan (perbuatan). Andai tidak mampu mengubahnya dengan tangan, ubahnya menggunakan lidah (kata-kata). Jika masih tidak dapat mengubahnya, gunakanlah hati biarpun ia adalah cara paling lemah," akhiri beliau.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 11, 2009

Bisnes Lukisan Jubin

(Post: Bahasa Melayu)
"Tidak ada bezanya dengan kanvas. Kalau tidak suka atau tersalah lukis, basuh sahaja dengan air dan ia akan hilang. Kemudian, jubin perlu dibakar di dalam ketuhar bagi membolehkan warnanya tahan lama dan tidak mudah tertanggal."

Di atas meja kaca di dalam studio kecil di Damansara Perdana, barisan puluhan jubin dengan pelbagai motif dan warna pantas menarik perhatian.

Andai diteliti, paparan di atas permukaan jubin yang putih dan licin itu boleh terdiri daripada apa sahaja. Sama ada lukisan abstrak, watak hero, lirik lagu, binatang atau frasa pop yang popular.

Apa yang pasti, jubin bersaiz sama ada 2x2 inci atau 4x4 inci itu sudah ditransformasikan kepada satu bentuk seni yang comel, segar dan mampu membuat sesiapa sahaja ingin memilikinya.

"Secara purata, jubin-jubin ini akan dibakar dalam tempoh 30 minit, dibiarkan sejuk sendiri di dalamnya dan kering dalam masa 48 jam," jelas Nadiah Kimie, 31, sambil tersenyum.

Dia dan sahabatnya, Rekha Menon, mula mempamerkan hasil karya mereka di bazar seni yang dikenali sebagai Art for Grab sejak tahun lalu di Galeri Annexe Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Dengan bayaran RM100, mereka 'bekerjasama' mempamerkan hasil karya masing-masing di sana selama dua hari. Tanpa disangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

"Sangat mudah dan sesiapa pun boleh membuatnya. Kami bermula dengan 36 keping jubin. Kemudian, ada pula pelanggan yang memberi cadangan supaya jubin ini dihasilkan dalam bentuk set."

"Set yang terdiri daripada motif yang hampir sama, tetapi mempunyai warna berbeza. Ada seorang pelanggan wanita mahukan set ikan lumba. Biarpun lukisannya sama, warnanya berbeza."

"Jadi, pembeli akan memperoleh hasil yang eksklusif dan tidak akan diulang cetak," tambah Nadiah, menyatakan bahawa dia menggunakan cat arkrilik khas untuk porselin dan jubin seramik untuk melukis.

Set itu mungkin ada tiga atau lima keping jubin. Namun begitu, pelanggan juga boleh membeli satu atau dua sahaja, tidak semestinya beli semua.

Pada kali kedua program Art for Grab, mereka menjual jubin yang dilekatkan dengan magnet. Ia mendapat sambutan kerana pengunjung mempunyai lebih banyak pilihan.

"Berapa lama hendak disiapkan bergantung pada coraknya. Ada yang boleh disiapkan dengan cepat. Kalau yang senang seperti ini, cuma perlukan masa lima minit sahaja," kata Rekha sambil memegang sekeping jubin bergrafik abstrak berwarna hitam dan putih.

Bercerita tentang corak, Rekha dan Nadiah menyatakan, kebanyakannya adalah abstrak atau terdiri daripada gabungan idea.

"Kami akan mulakan siri I 'heart' seperti I Love KL dan sebagainya. Idea itu datang daripada seorang pelanggan. Seorang pelanggan lain pula mahukan siri superheroes. Ini termasuklah watak siri televisyen Heroes seperti Sylar, Hiro Nakamura, selain Wonder Women, Wolverine dan Batman."

"Ada juga individu meminta kami menghasilkan 100 keping jubin bermagnet untuk hadiah majlis perkahwinannya. Banyak sangat, jadi minta masa selama tiga bulan untuk siapkan," kata Rekha sambil memberitahu jubin ini dijual pada harga RM5 dan RM10, bergantung kepada saiznya.

Buat masa sekarang, mereka hanya 'memasarkan' produk dalam program Art for Grab.

"Memang ada yang minta supaya kami hasilkan dalam skala lebih besar seperti hadiah perkahwinan, perhiasan di bilik air, di samping ada pemilik kedai yang menawarkan untuk menjual jubin magnet di kedainya."

"Kami masih meneroka sebarang idea dan kemungkinan. Setakat ini, kami tidak mahu jadikannya sebagai satu bebanan. Kami mahu hasilkan jubin ini dalam keadaan yang seronok," ujar Nadiah.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, May 2, 2009

Seni Kontemporari They Art Studio

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi They, pengalaman paling menarik sepanjang bergelar pelukis adalah apabila karyanya dipamerkan di Itali dengan tema batik. Beliau adalah satu-satunya pelukis dari Malaysia mempamerkan lukisan dalam acara yang membabitkan 20 pelukis kebanyakannya dari Eropah."

Misi dua beradik ini pastinya menjadi pelukis terkenal!

Begitulah lembaran seni dua beradik, Mahathir Masri dan Khairul Anuar. Mahathir yang berusia 27 tahun manakala si adik, menginjak 24 tahun, masing-masing sepakat berkongsi platform sebagai pelukis.

Bicara seni dua beradik ini nyata mewakili suara orang muda dari aspek cetusan rasa, idea serta konsep lukisan. Melalui studio They Art Studio, perjuangan seni Mahathir dan Khairul Anuar disertai barisan pelukis angkatan baru menggoncang nuansa seni pelukis tempatan.

Studio kecil di tingkat dua Central Market Annexe menjadi saksi pelopor seni jalanan angkatan muda. Gerak mereka menjadi saksi perubahan berskala besar dalam aliran indie di Malaysia.

Lukisan dengan pelbagai ikon dan genre campuran seni pelbagai saiz dan bentuk membuktikan perjuangan seni pelukis baru ini memberi impak besar buat pencinta seni masa depan.

Lagak seorang pujangga, Mahathir atau gelaran seninya dipanggil They, menceritakan minat mendalamnya dalam seni lukis. Tidak terfikir akhirnya beliau beralih kepada dunia kanvas, sedangkan dulu lebih ekstrim mencurah fantasi pada dinding kosong. Itulah grafiti!

"Puas mencurah keringat dalam seni grafiti, saya mula berjinak-jinak dalam lukisan kanvas. Saya juga menyertai seni jalanan di mana memberi ruang buat pelukis berkongsi idea seni," kata They yang menyahut cabaran menubuhkan studio seni They Art Studio sejak lebih setahun lalu.

Seperti They, Khairul Anuar atau lebih terkenal sebagai Mistawhy, tidak terkecuali terpalit impak seni They hingga mereka berkongsi trek sebagai pelukis. Biarpun mereka berkongsi kanvas dan warna, tidak bermakna idealogi serta perjuangan seni mereka serupa.

They lebih menjurus konsep media campuran dan teknik semburan manakala Mistawhy serasi dengan konsep urban street art.

Berkenaan dengan sasaran masa depan mereka mengharapkan agar seni grafiti dan aliran seni jalanan yang dibawa pelukis angkatan baru terus mendapat tempat iaitu pada tahap membanggakan.

INFO Temuramah:
Berapa nilai karya anda?
They : Bermula daripada RM400 hingga RM2,500... Bergantung kepada saiz dan tema lukisan itu sendiri.

Mistawhy : Nilai harga karya saya di bawah RM3,000.

Apakah trademark anda?
They : Menjurus kepada grafiti dan satu karektor bermotif (X). Banyak mesej juga yang cuba saya sampaikan terutama melalui penggunaan rona warna yang mewakili medium unsur perasaan.

Mistawhy : Semestinya Hooded Boy! Ia berkisar identiti seorang remaja jalanan yang saya kekalkan sejak empat tahun dulu.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, November 28, 2008

Keunikan Lukisan Menyerikan Produk

(Post: Bahasa Melayu)
"Kreativiti dan bakat yang dimiliki ini dikongsi bersama rakan sehingga beliau membuka kelas melukis untuk wanita yang sudah pencen supaya mereka dapat menghabiskan masa lapang dengan melakukan perkara yang menyeronokkan."

Galeri Alam Art & Craft yang terletak di Tingkat 2 Shah Alam City Center (SACC) menawarkan pelbagai jenis barang perhiasan dan kegunaan harian yang diperbuat daripada hasil seni lukisan cat air.

Lukisan pada permukaan barang-barang tersebut yang bermotifkan alam semulajadi adalah amat cantik dan menarik sekaligus menambahkan seri padanya.

Pemilik galeri, Meriam Omar, berkata beliau mencurahkan hasil lukisan alam semula jadi di atas permukaan barang keperluan dan perhiasan dalaman rumah sesuai bagi mereka yang menggemari hiasan bergambar.

Antara barangan yang ada ialah dulang sajian, set pinggan mangkuk, penanda tombol pintu, bekas pemegang kad perniagaan, bekas pensil, kotak tisu, pasu bunga, timba perigi serta banyak lagi.

Produk utama Alam Art & Craft ialah lukisan untuk perhiasan dinding pelbagai saiz dan motif.

Produk Alam Art &a Craft boleh didapati pada harga antara RM10 hingga RM3,000 mengikut keunikan produk.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, November 21, 2008

Sentuhan Kreatif Tangga

(Post: Bahasa Melayu)
"Melihat hasil seni karya yang diketengahkan kelima-lima anak muda ini, ia merupakan satu cabang seni."

Dianggotai sekumpulan remaja lelaki dan perempuan, mereka bergabung minat, bakat dan impian dengan harapan dapat diterima golongan remaja kota masa kini.

Mereka bersatu menerusi pengenalan daripada rakan-rakan seperjuangan sejak setahun yang lalu. Lantaran itu, mereka berupaya berkongsi idea kreatif dan menterjemahkan produk seni yang tersendiri.

Melihat hasil karya yang diluahkan menerusi sentuhan dan modifikasi pada baju-t, kasut dan beg, mereka sememangnya mempunyai objektif tersendiri. Ia diketengahkan dalam pelbagai produk dan aksesori mengikut cita rasa dan kehendak remaja masa kini.

Antara hasil kerja mereka ialah beg silang yang dicipta menggunakan fabrik kapas yang turut diselitkan unsur-unsur tradisional batik tempatan dan alam semula jadi.

Kasut putih yang pada mulanya kelihatan lompong turut diberi nafas baru dengan seni lukisan tangan dan jahitan pelbagai jenis fabrik di segenap permukaan. Manakala baju-t kosong turut menerima sentuhan lukisan tangan dengan mainan warna-warna alam.

Walaupun belum mempunyai sebuah butik mahupun outlet, tetapi mereka mampu bergerak secara berdikari menerusi acara-acara yang dianjurkan.

Apa yang uniknya lagi ialah semua produk yang dihasilkan mereka tidak menggunakan sebarang peralatan elektronik seperti mesin, sebaliknya, dihasilkan menggunakan tangan.

Kekreatifan dan kebijaksanaan merebut peluang yang ada membolehkan remaja-remaja ini meluangkan masa mereka secara berfaedah disamping menambahkan pendapatan.

Walaupun bermula secara kecil-kecilan, tetapi tidak mustahil bahawa suatu masa nanti usaha mereka ini dapat dikembangkan dengan pembukaan outlet mahupun jenama mereka sendiri.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::