Extreme Response Gears
(Post: Bahasa Melayu)
" "Dua ribu jenis barang, wow banyaknya," itulah reaksi pertama saya apabila diberitahu oleh si empunya pemilik kedai lasak, Extreme Response Gears, Raja Izdihar Raja Mohamede Kamil, 39, mengenai jumlah barangan di premisnya. "
Kedai yang baru memulakan operasinya awal tahun ini terletak di Festive Mall, Teluk Danga, Johor iaitu lokasi terkenal tarikan pelancong sama ada untuk membeli-belah, makan ataupun menenangkan fikiran dengan pemandangan panorama Selat Tebrau.
Pernah belajar di Universiti Belfast, Ireland Utara selama lima tahun dalam bidang perniagaan, Raja Izdihar tekad dengan azamnya untuk menjadikan bidang perniagaan yang diceburinya sebagai satu batu loncatan untuk terus maju.
"Selepas belajar saya bekerja di Eropah selama lima tahun untuk mencari pengalaman," katanya kepada Kosmo!
Menurut Raja Izdihar, beliau mula tertarik dengan aktiviti sukan lasak dan ketenteraan apabila menyertai askar wataniah Terratorial Army ketika di England.
"Bermula dengan menjadi Terratorial Army, hati saya mula berdetik betapa segaknya memakai pakaian seragam, selain menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Ia juga membuatkan saya mula jatuh cinta dengan sukan ekstrem," katanya lagi.
Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Perak itu bertekad satu hari nanti apabila kembali ke Malaysia beliau akan membuka kedai sukan lasak.
Kini impiannya menjadi kenyataan apabila berjaya membuka kedai itu dengan bermodalkan RM100,000.
Kedai yang terletak di Festive Mall itu bukan saja menjadi tumpuan peminat sukan lasak bahkan tempat persinggahan anggota pasukan keselamatan yang ingin mendapatkan keperluan peribadi dan kerja.
"Saya turut mendapat galakan daripada anggota polis dan tentera supaya kedai saya ini menjual pelbagai peralatan untuk anggota beruniform," jelasnya lagi.
Antara barangan yang menjadi perhatian orang ramai di kedai itu ialah kasut taktikal, beg-beg galas, peralatan khemah, perkhemahan perubatan, peralatan paintball, tali pinggang keselamatan, peralatan memancing, pakaian seragam tentera dan juga barangan taktikal sukan lasak.
"Sebenarnya walaupun terdapat kira-kira 2,000 jenis barang di sini tetapi ia belum mencukupi lagi. Kalau ikutkan ia baru 70 peratus saja daripada sasaran saya."
"Insya-Allah pada akhir tahun ini semuanya akan lengkap 100 peratus," katanya lagi.
Bapa kepada dua cahaya mata itu menambah, pada kebiasaannya kaki-kaki pancing akan datang ke kedai itu untuk mendapatkan peralatan memancing, begitu juga dengan peminat mendaki gunung yang mahu mendapatkan keperluan mendaki seperti khemah dan beg galas.
Harga barang yang dijual di situ bermula dari RM30 hingga RM300.
Bagi mereka yang gemar berkhemah Extreme Response Gears menjual khemah lipat yang hanya memerlukan kira-kira lima saat untuk didirikan.
Anda hanya perlu mencampakkan khemah tersebut dan ia akan terbuka dan siap untuk digunakan. Harga khemah tersebut antara RM220 hingga RM290 bergantung kepada keluasannya.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment