ATTENTION !!!

Tuesday, November 23, 2010

Tutorial Seni Grafik Sifoo Dot Com

(Post: Bahasa Melayu)
" Aliran seni grafik dan multimedia dilihat sebagai satu trend dalam perkembangan dunia teknologi yang semakin berkembang. Pelbagai perisian grafik dan multimedia yang terdapat di pasaran memudahkan orang ramai untuk menceburi dan menguasai cabang seni itu. "

Bagaimanapun, ketandusan bahan rujukan dalam bahasa Melayu mengenai perisian grafik dan multimedia dalam pasaran sedikit sebanyak telah membataskan penggemar seni tersebut dalam menzahirkan kreativiti mereka.

Kekurangan tersebut telah membuka hati seorang anak jati Selangor, Imran Abdul Jabar, 34, untuk membangunkan laman web Sifoo Dot Com yang dapat membantu penggemar seni grafik dan multimedia.

"Idea untuk membangunkan web ini tercetus kira-kira sedekad lalu berdasarkan minat yang mendalam terhadap seni dan teknologi grafik."

"Selain daripada itu, saya mewujudkan laman web ini kerana mahu berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai seni grafik serta multimedia bersama orang ramai," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Tutorial Bahasa Melayu

Graduan bidang kejuruteraan mekanikal Universiti Virginia Tech, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, sukar untuk mencari bahan bacaan atau rujukan mengenai perisian grafik mahupun multimedia dalam bahasa Melayu.

Imran menambah, perkara tersebut telah menyukarkan penggemar seni tersebut terutamanya mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris untuk memahami atau mendalami perisian di pasaran.

"Keadaan ini membuatkan hati saya terdetik untuk menyediakan tutorial dalam bahasa Melayu bagi memudahkan penggemar seni ini."

"Tutorial dalam bahasa Melayu tentu dapat membantu penggemar seni grafik dan multimedia menguasai perisian yang diminati mereka dengan lebih mudah serta berkesan," ujarnya.

Pada peringkat awal, lama web ini hanya menyediakan artikel, sorotan terkini dunia grafik dan jaringan kepada laman web dapat digunakan oleh penggemar seni tersebut.

Bagaimanapun, atas permintaan ramai, laman web berkenaan mula memperkenalkan ruangan forum bagi memudahkan interaksi dan perkongsian ilmu.

Imran menambah, antara tutorial yang dapat digunakan dalam laman web tersebut adalah mengenai penggunaan perisian Adobe Photoshop, Lightroom, Macromedia Flash dan Dreamweaver.

Katanya, pelbagai tutorial disediakan kepada pengguna laman web itu termasuk suntingan foto seperti efek hujan, tona warna, refleksi air, efek mozek dan serlahkan kedutan pada muka.

"Kebanyakan tutorial yang terdapat dalam laman web berkenaan merupakan eksperimental yang saya lakukan sendiri ataupun ahli-ahli laman berkenaan."

"Saya melakukan konsep langkah demi langkah untuk memudahkan lagi ia difahami oleh setiap pengunjung laman web ini," ujarnya.

Lazimnya, pengasas Sifoo Dot Com itu menambah, dia akan menghabiskan masa 30 minit sehingga satu jam untuk menyiapkan satu tutorial.

"Kesukaran membuat tutorial tersebut semasa ingin merakam antara muka perisian yang digunakan satu persatu."

"Proses berkenaan mengambil masa kerana ingin memastikannya sempurna agar pengguna boleh menggunakan tutorial dengan mudah," katanya.

Dia menambah, sesi forum banyak membantu dalam pembangunan tutorial yang disediakan kepada orang ramai.

"Ada juga tutorial yang dibangunkan apabila berinteraksi semasa forum. Saya akan cuba membantu membangunkan tutorial berdasarkan permintaan pengunjung."

"Sehingga kini, Sifoo Dot Com mempunyai pangkalan data keahlian melebihi 20,000 orang. Mereka yang dikenali sebagai sifoorian masih aktif di dalam talian mahupun di luar talian," katanya.

Terdapat tiga golongan yang kerap menggunakan laman web Sifoo Dot Com iaitu pelajar, pensyarah dan terkini mereka yang menggunakan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR).

"Kebanyakan mereka menjadikan laman web ini sebagai rujukan dan memperoleh ilmu tambahan apabila mempelajari grafik atau multimedia di universiti mahupun kolej," katanya.

Tiada Penyesalan

Penceramah bebas itu menambah, selain tutorial, dia juga ada menyediakan bengkel-bengkel dan buku elektronik.

Bagaimanapun, untuk memahirkan diri mengenai pelbagai perisian grafik dan multimedia terletak pada diri sendiri.

"Jika mereka rajin melakukan kajian dan membaca, tidak mustahil karya yang dihasilkan dapat memberi impak mendalam."

"Saya hanya boleh memberi tutorial dan beberapa tip tetapi keyakinan diri dan kreativiti tetap lahir daripada individu tersebut," katanya.

Imran tidak pernah menyesal menceburi bidang grafik berbanding kejuruteraan kerana minatnya lebih kepada seni.

"Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap seni terutama lukisan kartun. Pendek kata, saya memang suka melukis."

"Jadi tidak pernah timbul soal kesal atau sebagainya apabila menceburi bidang ini. Bagaimanapun, saya tetap mempraktikkan apa yang dipelajari ketika menjadi penuntut kejuruteraan mekanikal dahulu iaitu pembahagian masa," katanya.

Sebagai graduan kejuruteraan mekanikal, Imran tidak terlepas daripada suara negatif dalam membangunkan laman web Sifoo Dot Com.

"Sudah menjadi lumrah dalam apa jua usaha yang ingin kita lakukan terdapat cabaran. Sifoo Dot Com juga begitu."

"Saya pernah dilemparkan kata-kata negatif kerana dikatakan tidak layak untuk berkecimpung dalam dunia grafik disebabkan latar belakang kejuruteraan mekanikal itu," ujarnya.

Bahkan, Imran menambah, terdapat juga suara-suara negatif yang mengatakan usaha Sifoo Dot Com ini tidak akan ke mana-mana.

"Saya sentiasa berfikiran positif kerana niat utama saya bukanlah untuk membuat keuntungan."

"Saya sangat berminat berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja dan membuktikannya apabila umur Sifoo Dot Com telah menjangkau sedekad," katanya.

Imran berharap Sifoo Dot Com dapat dimanfaatkan oleh ramai orang yang ingin mendalami seni grafik dan multimedia.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::