ATTENTION !!!

Monday, July 20, 2009

Perabot Buluh SAHABAT BAMBU

(Post: Bahasa Melayu)
"Matlamat Shariman bukan sekadar memperkenalkan produk seperti kerusi, meja dan katil buluh bahkan berazam membina banglo yang diperbuat daripada tumbuhan itu."

Kini, penjualan perabot berasaskan buluh di negara beriklim khatulistiwa semakin mendapat sambutan yang amat memberangsangkan kerana ciri-ciri buluh yang disifatkan 'sejuk' serta rekaan estetika yang menarik.

Keunikan perabot buluh itu juga menarik minat Sahabat Bambu Sdn Bhd (SaBa, syarikat perintis perabot dan kemasan hasil hutan itu memperkenalkannya ke negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SaBa, Mior Shariman Moksin, berkata ilham memperkenalkan barangan rumah berasaskan tumbuhan spesies rumput itu timbul apabila selalu berulang-alik ke Indonesia.

"Selepas berhenti menguruskan resort, saya kerap berulang-alik ke Indonesia meneroka bidang pembuatan perabot di sana. Dalam sekian banyak perusahaan perabot, saya tertarik dengan penghasilan buluh sebagai kelengkapan, kemasan serta dinding rumah."

"Selesai tempoh kerjasama dua setengah tahun SaBa dengan Universiti Gajah Mada bagi tujuan penyelidikan termasuk rawatan dan ujian ketahanan kayu, syarikat ini dianugerahkan sijil yang mengiktiraf kredibiliti produk itu," katanya yang memperuntukkan enam bulan lagi bagi tujuan kajian pemasaran.

"Buluh dikatakan sejuk kerana sifat semula jadi kayunya yang mempunyai liang serta berbentuk tabung serta berongga. Ciri ini membolehkan udara dingin yang disimpan pada malam hari dibebaskan menjelang siang sekali gus mengubah suasana kediaman menjadi sejuk dan nyaman."

"Sebaliknya, pada malam hari, kediaman tidak akan terlalu sejuk kerana hawa panas yang disimpan sejak siang dibebaskan,” katanya yang mendakwa perabot serta kemasan buluh tidak harus dianggap tradisional kerana kini, disuntik aliran rekaan moden."

Bahkan, bagi menentukan keutuhan serta keaslian rekaan produknya, SaBa memastikan setiap buluh digunakan diawet terlebih dulu bagi menghindari masalah bubuk, kulat dan cendawan.

Tiga langkah pengawetan dikenal pasti termasuk merendam kayu itu selama sebulan dalam air biasa sebelum disambung dua minggu lagi di dalam lumpur lalu dijemur hingga kering.

"Itu cara tradisional, manakala kaedah moden pula menuntut penggunaan bahan kimia tertentu. Tempoh selama sebulan diperlukan sebelum buluh sesuai dibentuk sebagai perabot. Bahan kimia boraks menghasilkan perabot buluh berwarna gelap manakala borik menjadikannya berwarna putih," katanya Mior Shariman yang mendedahkan langkah ketiga membabitkan proses pemampatan serta pengeringan buluh selama dua minggu.

Kesesuaian buluh sebagai perabot terserlah menerusi aspek ketahanannya yang berciri tahan lasak berbanding kayu getah dan jati, lebih-lebih lagi jika usia perabot berkenaan melangkaui 50 tahun.

Bagaimanapun, kata Mior Shariman, tidak semua buluh boleh dijadikan perabot, sebaliknya ia perlu menjalani proses pemilihan dan saringan ketat.

"Buluh bermutu dijadikan perabot berusia dalam lingkungan empat hingga lima tahun. Empat tahun dikira matang dan layak ditebang. Jangan tunggu sehingga lima tahun untuk membentuk perabot kerana yang dihasilkan mudah pecah dan merekah.

"Bagi berusia bawah empat tahun, buluh boleh mengecut dan tidak sesuai dibuat perabot," katanya yang memberi jaminan tiga tahun bagi setiap pembelian perabotnya.

Biarpun matlamatnya menzahirkan perabot unggul kualiti, teknik pembikinan unik, khusus dan teliti dititikberatkan syarikat ini.

Antaranya, perabot yang dihasilkan itu perlu menepati syarat seperti mampu menampung berat tubuh manusia, mengetengahkan cara pembuatan menggunakan kombinasi paku, ikatan dan gam, selain meneroka proses mengubah bentuk bulat lazim buluh kepada rekaan kepada rekaan berbentuk segi tiga, segi empat dan segi enam.

Bagi perancangan jangka panjang, Mior Shariman berkata, SaBa menanam visi memperkembangkan empayar pasaran perabot buluh melangkau Eropah termasuk Perancis, meneroka dan menambah baik teknologi menghasilkan perabot buluh dan mencipta tanda pengenalan serta mengangkat martabat negara menerusi keunikan perabot ini.

"Kami juga berhasrat melakukan penanaman spesies buluh hitam dan berkualiti yang biasa ditemui di Myanmar untuk diusahakan di sini. Pada masa sama, syarikat juga berminat mengelolakan bengkel membuat perabot berkenaan bagi usahawan berpotensi selain membuka peluang serta khidmat nasihat pelaburan bagi peniaga yang berminat menceburi industri ini," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 014-2217550

Email: istanabambu@gmail.com

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::