ATTENTION !!!

Showing posts with label tudung kepala. Show all posts
Showing posts with label tudung kepala. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

Busana de Chantek

(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan menjual tudung kepada rakan-rakan terdekat dan saudara-mara, pasangan suami isteri, Zainul Azhari dan Noor Wahidah Mustafa kini mengorak langkah ke satu lagi fasa yang lebih serius. "

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan secara 'tidak formal', pasangan suami isteri itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk membangunkan sebuah butik dan terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan sebenar.

Menggunakan 100 peratus modal sendiri, Busana de Chantek akhirnya beroperasi di Pusat Dagangan Seri Utama, Kota Damansara sejak bulan Jun lalu lantas merealisasikan impian Zainul dan Noor Wahidah.

"Tiga tahun lalu, kami hanya menjual tudung secara kecil-kecilan. Saya juga minta tolong sanak saudara untuk menjual koleksi tudung kami yang diambil daripada beberapa pembekal."

"Lepas itu, kami berdua membuat keputusan untuk membuka butik dan mula mencari lokasi yang sesuai. Oleh kerana kami mahu membuka butik muslimah, maka kawasan berniaga itu mestilah ramai penduduk Islam," kata Zainul.

Butik itu kini menjadi sumber pendapatan utama kepada pasangan itu kerana ia dibangunkan berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan sedangkan mereka berdua masing-masing mempunyai karier berbeza.

Zainul bertugas sebagai pengurus jualan di salah sebuah syarikat pembekal telekomunikasi, manakala Noor Wahidah pula merupakan seorang pensyarah dalam bidang sains komputer di sebuah kolej di Cheras.

"Meskipun kami berdua bekerja di tempat lain, butik ini adalah sebahagian daripada hidup kami. Kami juga akan melawat butik yang dijaga oleh kakitangan kami pada setiap hari."

"Setakat ini, perniagaan kami berjalan dengan lancar. Meskipun masih baru, kami sudah ada beberapa pembeli tetap."

Mengulas mengenai koleksi tudung dan jubah yang dijual, Noor Wahidah memberitahu, mereka mengambil stok tudung di beberapa syarikat pembekal, manakala jubah pula diimport dari Vietnam.

Katanya lagi, meskipun tudung itu diambil dari pembekal, dia dan suaminya turut memberikan pandangan dan rekaan yang mereka inginkan agar kelihatan lebih menarik.

"Kami sering memberikan rekaan yang sendiri kepada pembekal. Jubah pula kami cantikkan dengan menjahit manik untuk kelihatan lebih menarik."

Konsep butik: Konsep sederhana dan ringkas menjadi pilihan butik Busana de Chantek.

Menawarkan: Selain menjual koleksi tudung, jubah, baju kurung dan telekung, Busana de Chantek turut menjual blaus serta pakaian kanak-kanak. Dalam masa yang sama turut menawarkan tempahan hantaran perkahwinan dan jahitan manik.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 17, 2010

Roha Collection

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada usia sembilan tahun, Raha Ismail sudah mula mengekori ibunya, Asmah Awang Chik menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dengan menjual pelbagai jenis barangan serbaneka. "

Walaupun tidak pernah dipaksa untuk berbuat demikian, namun Raha melakukan semua itu dengan kerelaan sendiri. Tanpa disuruh, dia juga akan menyusun barang-barang untuk diperaga pada pelanggan.

Malah, berbanding lapan adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan, dia boleh dianggap peneman setia kepada ibunya.

Siapa sangka bermula dengan minat, kemudian dipupuk dengan kesungguhan, rutin tersebut akhirnya menjadikan Raha atau lebih mesra dipanggil Roha seorang usahawan wanita yang berjaya apabila meningkat dewasa.

Jenama Roha Collection cukup dikenali di daerah Kluang kerana ia merupakan butik pemborong dan penjual pakaian yang beroperasi sejak awal tahun 2006.

"Butik kami menawarkan pelbagai jenis kain pasang, tudung, baju siap termasuk kurung dan kebaya, blaus, jubah, telekung, aksesori serta kelengkapan raja sehari."

"Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lima tahun, butik saya sudah mempunyai tiga cawangan di Johor iaitu dua di Kluang dan satu lagi di Mersing," ujar Roha ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor.

Butik itu turut menerima tempahan baju pelbagai jenis fabrik dan bersedia menjahit rekaan yang diingini pelanggan.

"Kami mampu menyiapkan tempahan tersebut dalam masa sehari jika mereka mahu. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama terutama mereka yang datang dari luar daerah Kluang," jelas wanita yang berusia 32 tahun itu.

Sambil menunjukkan beberapa koleksi terbaru Roha Collection, ibu kepada Mohd. Hishamuddin, 9, memberitahu, dia menceburi dunia perniagaan secara serius sejak umur 22 tahun.

Ketika itu Roha memilih untuk menjadi salah seorang usahawan dalam dunia skim jualan langsung (MLM). Selepas empat tahun, barulah dia memulakan bisnes butik Roha Collection dengan modal sebanyak RM2,000.

Banyak rintangan

Memegang kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Roha membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika kita sentiasa berusaha.

"Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap sekarang. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui. Dalam dunia perniagaan, kita akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia."

"Adakalanya kita akan tertipu dengan mereka dan begitulah sebaliknya. Tetapi, itu bukan penghalang untuk kita mencapai impian. Apa yang penting, setiap apa yang dilakukan perlu jujur," tegas Roha yang berkahwin pada usia 23 tahun.

Bertemu jodoh dengan seseorang jejaka dari Padang, Indonesia, perkenalannya dengan suami, Jamaluddin Johan, 32, bermula atas urusan perniagaan.

Roha mengakui suaminya merupakan tulang belakang kejayaan yang dikecapinya.

"Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya mampu menempuh pelbagai dugaan dunia perniagaan ini," tuturnya.

Apakah pengalaman getir sepanjang menjalankan perniagaan? Roha berkata, dia pernah ditipu pelanggan dan rakan niaga serta berdepan dengan pekerja yang tidak jujur iaitu mencuri idea di butiknya dan kemudian memberitahu kepada pesaing perniagaannya.

Bagaimanapun, Roha tidak gentar dengan persaingan kerana dia percaya dengan rezeki yang diatur Allah. Dia juga yakin dengan bakat dan kreativiti yang dikurniakan kepadanya dan jenama pakaiannya

Bawa staf bercuti

Satu petua yang sempat dititipkan Roha untuk berjaya dalam perniagaan ialah tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerja dan mereka yang memerlukan.

Justeru, setiap tahun dia akan menutup operasi semua cawangan butik semata-mata untuk membawa pekerja dan keluarganya bercuti di seluruh negara.

"Sejak dua tahun bekerja di sini, saya gembira kerana mendapat majikan seperti kak Roha. Dia sangat sporting dan sentiasa berkongsi masalah dengan kami."

"Paling seronok apabila kami dibawa bercuti ke destinasi peranginan terkenal seperti di Langkawi, Genting Highlands serta negara jiran, Singapura dan Indonesia," ujar pekerja Roha, Wan Noraila Mohd. Jaafar, 20.

Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan butiknya, Roha berazam untuk memiliki bangunan sendiri pada masa akan datang.

"Buat masa ini, saya masih menyewa lot-lot kedai pada kadar di antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan. Insya-Allah, jika diizinkan saya mahu mempunyai bangunan perniagaan sendiri yang lebih moden dan canggih."

"Kepada wanita yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan, jangan cepat berputus asa jika apa yang diusahakan tidak menjadi. Sebaliknya, terus berusaha dengan gigih," kata Roha mengakhiri bicara.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 30, 2009

Butik Hajaba

(Post: Bahasa Melayu)
"Inspirasi farasha atau rama-rama nyata memberi tuah kepada pemilik butik Hajaba, Mona Din, apabila rekaannya mendapat pujian ramai biarpun sebelum ini dia lebih dikenali melalui produk kosmetik keluarannya, Leesa Formula."

Keindahan corak yang melatari helaian pakaian yang masih mengekalkan potongan jubah moden menjadi daya tarikan utama, ditambah warna jingga gelap menyerlahkan si pemakai. Manik dan labuci turut menambah nilai pada rekaan.

Tidak terlalu sarat dengan corak serta sesuai digayakan ke majlis formal mahupun makan malam membuatkan ia tampak eksklusif selain sesuai digayakan bagi mereka yang masih mahu bergaya tetapi sopan.

Selain bercorak abstrak, Hajaba tampil dengan busana rona polos yang boleh diserikan dengan aksesori seperti rantai dan tali pinggang selain aksesori di kepala bagi mereka yang mahukan kelainan.

Menggunakan fabrik batik sifon dan sutera menjadikan busana lebih selesa dan bergaya ketika dipakai, apatah lagi ditambah selendang panjang di bahagian belakang menjadikan ia lebih trendy.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Media, Noor Zaina Ahmad, lebih membanggakan, pakaian yang mendapat pujian daripada orang ramai itu dihasilkan daripada bahan tempatan.

"Kami tak sangka maklum balas diterima daripada orang ramai sungguh memberangsangkan walaupun sebelum ini Puan Mona lebih cenderung ke arah bidang kecantikan, namun kerana minat, ia pasti menghasilkan kejayaan," katanya.

Fabrik lembut dan berkualiti menjadi pilihan bagi terus mengekalkan keselesaan pemakai kerana menghasilkan potongan pakaian yang cantik dan nampak terletak.

Sumber: myMetro
Foto:
Hajaba

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, November 15, 2009

Tudung Kepala An Nuur Collections

(Post: Bahasa Melayu)
"Pada masa kini perniagaan tudung mampu memberi pendapatan yang memuaskan hati. Sesiapa sahaja yang berniaga tudung atau lebih khusus, tudung mudah pakai atau tudung pasang siap akan memperoleh keuntungan."

Tudung mudah pakai menjadi pilihan wanita masa sekarang kerana mudah dan ringkas cara pemakaiannya. Sebab itu tudung jenis ini sentiasa mengalami perubahan dari segi potongan dan corak fabrik.

Bagaimanapun ketika membeli tudung, setiap wanita pasti akan mencuba terlebih dahulu bagi mempastikan ia selesa, sesuai dengan bentuk muka dan mempunyai warna dan corak yang sesuai dengan setiap orang.

Bagaimana pula jika tudung yang anda sukai atau tudung yang dihadiahkan kepada anda tidak selesa dipakai dan tidak nampak cantik kerana terlalu ketat di bahagian muka.

Hendak disimpan, sayang pula kerana fabriknya cantik dan menjadi kesukaan anda.
Oleh itu, jangan risau kerana anda boleh mengubahsuai tudung anda itu di An Nuur Collections yang terletak di Plaza Alam Central, Shah Alam.

Jadi, dapatlah anda memakai tudung yang disukai itu dengan rasa selesa dan senang hati.

Pemilik An Nuur, Juhara Ibrahim berkata, kedainya boleh mengubahsuai pelbagai jenis tudung daripada pelanggan.

"Ramai yang menjual tudung tetapi saya rasa belum ada lagi kedai yang mengubahsuai tudung. Terdapat pelanggan yang membeli tudung namun apabila pulang ke rumah dirasakan tudung itu tidak selesa dipakai kerana ukuran yang tidak sesuai pada bentuk muka atau awning yang terlalu tebal. Lebih terasa sayang jika tudung tersebut mahal dan dibeli di butik ternama."

"Bentuk muka seseorang tidak sama. Ada yang mempunyai bentuk muka bulat, empat segi, bujur, panjang atau tulang pipi tinggi. Namun, tudung yang dijual, sama sahaja untuk semua jenis bentuk muka."

"Tudung sama seperti baju. Mungkin orang lain pakai nampak cantik tetapi bila kita pakai, nampak kurang menarik atau membuatkan kita nampak lebih tembam atau tua," kata Juhara yang ditemui di kedainya di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Juhara, pengalamannya sendiri yang berasa tidak selesa memakai tudung bawal memberikannya idea untuk membuat dan menerima tempahan tudung.

"Dahulu ketika masih bekerja, saya mengambil masa lama untuk bersiap selepas sembahyang kerana rumit memakai tudung bawal. Kena pin kiri kanan, kemaskan betul-betul tetapi belum lama, tudung itu nampak comot semula," kata bekas pekerja di bahagian jualan dan pemasaran di sebuah firma Jepun ini.

Selain boleh mengubahsuai tudung yang telah siap, kata Juhara, keistimewaan An Nuur ialah menerima tempahan membuat tudung mengikut fesyen terkini.

"Pelanggan boleh memilih jenis kain seperti kain jersi, sutera sifon dan kain renda. Untuk bahagian awning, mereka boleh memilih kain sutera shantung yang nampak berkilat, mudah dijaga dan boleh dibasuh."

"Kemudian kami akan meminta pelanggan mencuba dahulu tudung yang telah siap untuk mempastikan saiz muka pelanggan sesuai dengan tudung tersebut. Dari situ kami dapat melihat keselesaan dan kesesuaian atau mana yang perlu dibaiki."

"Sehelai tudung boleh disiapkan dalam masa satu jam."

"Kadang-kadang ada pelanggan yang tidak tahu jenis tudung yang sesuai dengan bentuk mukanya. Ada yang nak tudung yang macam Siti Nurhaliza pakai. Masalahnya tudung seperti itu tidak sesuai dengannya. Jadi kami akan mencadangkan kepadanya tudung yang cantik padanya," jelasnya.

Juhara menambah, harga tempahan adalah berbeza-beza. Pelanggan yang membawa kain sendiri dikenakan harga tempahan sebanyak RM25, jika kain daripada An Nuur RM59 sementara tudung bermanik lebih RM100.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-3626505

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 30, 2009

Busana Muslimah ID Perempuan

(Post: Bahasa Melayu)
"Apa yang menariknya, kebanyakan pakaian yang direka oleh ID Perempuan turut mengambil kira aspek potongan. Ia menyediakan saiz paling kecil, sederhana hingga kepada saiz L, XL, XXL, XXXL."

Jika selama ini mereka yang berpotongan agak gempal berasa sukar mendapatkan pakaian busana Muslimah yang longgar, jenama yang popular dengan imej sopan, ID Perempuan, mampu merealisasi impian golongan berkenaan untuk bergaya.

Menurut pemilik dan pemborong Naz Indah Collection, Zainab Ismail, rekaan berbentuk jubah, kebaya mahupun kurung tradisional ada penggemar tersendiri.

Menurutnya, faktor berbadan gempal tidak boleh dijadikan alasan untuk tampil selekeh sedangkan mereka mampu mengubahnya.

"Pemilihan pakaian yang bersesuaian membolehkan seseorang itu mampu mengubah gaya berbeza daripada sebelumnya."

"Banyakkan bermain dengan warna-warna gelapa seperti hitam dan kelabu atau warna tanah dan biru laut untuk menyorok kekurangan diri."

Teknik pemakaian tudung boleh dipelbagaikan serta harus sering mencuba menguji kreativiti diri dengan menggayakannya mengikut kesesuaian.

INFO:
Nama: Zainab Ismail
Kedai: Naz Indah Collection (ID Perempuan)

Lokasi: KB Mall, Tingkat 2-33B, Kota Bharu, Kelantan

Telefon: 09-7413644 atau 019-9376366

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, October 6, 2009

Tudung Shikin's Touch

(Post: Bahasa Melayu)
"Dulu, kalau butang baju saya tercabut, saya tak akan pakai baju tersebut sebab malas nak menjahit butang yang tercabut itu."

Pemakaian tudung kini sudah menjadi trend dalam kalangan muslimah.

Pelbagai gaya boleh diperagakan dengan pelbagai jenis tudung dan material.

Ekoran permintaan yang tinggi, harga tudung melambung mengikut fesyen dan material.

Bagi sesetengah wanita, mereka sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli tudung.

"Tudung yang berkualiti dan diperbuat daripada material yang baik, mahal harganya."

"Memikirkan itu, lebih jimat jika saya menjahit sendiri tudung daripada berhabis ratusan ringgit hanya untuk mendapatkan sehelai tudung berjenama," kata Norashikin Ishak, 31, ketika ditemui Kosmo! di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Tambah menarik, dia sebenarnya tidak tahu menjahit dan hanya belajar menjahit tudung melalui Internet.

"Namun, selepas menyertai sebuah forum di Internet, saya memberanikan diri untuk mencuba menjahit tudung. Sebanyak 10 tudung pertama yang saya jahit, hancur (tidak menjadi)," katanya ketawa.

Menceritakan bagaimana dia memulakan perniagaan menjahit dan menjual tudung, Norashikin memberitahu, segalanya bermula sejak suaminya menghadiahkannya sebuah mesin jahit.

"Kalau nak diikutkan, saya memang tidak pandai menjahit tetapi bila dah selalu mencuba, akhirnya berhasil."

"Apabila saya mula mendapat tempahan daripada teman dan keluarga terdekat, idea untuk memulakan perniagaan timbul. Saya fikir, apa salahnya saya mencuba untuk memasarkan hasil jahitan saya," katanya.

Norashikin memberitahu, dia mementingkan kualiti jahitan pada setiap tudung yang dihasilkannya kerana dia mengutamakan kepuasan pelanggan.

"Saya sendiri menjahit semua tudung ini. Oleh itu, saya sendiri yang menetapkan kualitinya. Jika di kedai atau kilang, mereka mementingkan kuantiti sehingga kualiti diabaikan."

"Saya juga akan memilih material dengan teliti. Kebanyakan kain, saya beli dari gedung sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Selain itu, saya juga membeli kain dari Vietnam dan Korea."

"Bagi tempahan kain dari luar negara, saya akan pilih sendiri pembekal dan bukannya memilih melalui katalog atau Internet. Dengan itu, saya boleh tahu setiap kualiti kain yang ingin dibeli," kata Norashikin yang bukan sahaja menjual tudung, malah dia juga menjual kain untuk membuat tudung.

Tudung-tudung yang dihasilkan Norashikin dengan label Shikin's Touch dijual pada harga antara RM45 hingga RM75 mengikut fesyen dan juga material kain.

Menurut Norashikin, dia mampu menjahit lima hingga 10 helai tudung sehari mengikut material kerana ada sesetengah kain mudah untuk dijahit dan ada yang sukar seperti kain sifon.

"Kain sifon agak susah dijahit berbanding dengan kain lain seperti kain kapas. Tudung dengan hiasan manik juga mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Segalanya bergantung pada tempahan."

"Untuk koleksi terbaru, saya menampilkan kombinasi warna berani memandangkan muslimah kini lebih berani dalam berfesyen," katanya lagi.

Norashikin bukan sahaja menerima tempahan daripada orang perseorangan, malah dia juga menerima tempahan daripada persatuan-persatuan dengan setiap tempahan mencecah 50 helai.

Bercerita mengenai masa depan, Norashikin berharap dapat membuka sebuah kedai alatan jahit dan butik pakaian muslimah, selain cuba memasarkan produk Shikin's Touch ke pasaran yang lebih luas.

Buat masa ini, dia sedang mencari lebih ramai pemborong atau peniaga untuk memasarkan tudung yang dihasilkannya.

Dia juga akan mengambil beberapa pekerja bagi membantunya menyiapkan tempahan pelanggan. Bagaimanapun, dia tetap akan menjahit sendiri tudung-tudung tersebut bagi mengekalkan identiti jahitan.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-7252506

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, September 6, 2009

Koleksi Idaman Hawa

(Post: Bahasa Melayu)
"Suntikan tradisional yang disatukan dengan elemen kontemporari dalam rekaan, kini menjadi pilihan kebanyakan pereka fesyen pereka hari ini. Rekaan seperti itu bukan saja mampu menampilkan keanggunan, tetapi turut mengekalkan kesopanan dan menyerlahkan keayuan si pemakainya."

Lebih-lebih lagi, jika rekaan itu diselarikan dengan gaya Muslimah yang didatangkan lengkap bersama pemakaian tudung dalam gaya ikatan berseni. Gabungan itu menjadikan penampilan lebih cantik, kemas dan menarik.

Meneruskan tradisi dan memenuhi cita rasa penggemar fesyen busana Muslimah, pereka dan pemborong pakaian koleksi busana Muslimah dan Tudung, Idaman Hawa Sdn Bhd, Jeffrey Arazmi Mokhtar, menampilkan beberapa koleksi terkini rekaan kontemporari yang sesuai untuk digayakan pada hari lebaran.

Walaupun perincian ditampilkan sederhana, koleksi rekaan tetap menambat hati.

Keindahan busana tampak lebih menarik apabila Jeffrey menggunakan fabrik lembut berkualiti tinggi, khususnya sifon sutera dalam rekaan, sekali gus menjadikan busana itu tampak lembut beralun dan cantik tersarung pada tubuh.

Pilihan warna juga tidak menghampakan daripada rona lembut hinggalah yang cerah.

Jeffery berkata, untuk koleksi terkini ciri potongan bias dikekalkan supaya si pemakai tampak lebih rapi dan selesa apabila menggayakan.

Potongan bias longgar diketengahkan sesuai sekali bagi penggemar fesyen busana Muslimah yang lazimnya tidak suka menunjukkan susuk tubuh.

Untuk memberikan lebih daya tarikan ada di antara busana menampilkan lipatan lisu pada bahagian depan. Kelainan yang diilhamkan itu mampu menyerlahkan gaya feminin dan kelembutan si pemakai.

Antara gaya koleksi pilihan ialah jubah dwi lapis yang sudah sinonim dengan pereka itu. Penggunaan fabrik sifon untuk rekaan gaya jubah itu ternyata padan sekali kerana ia menyerlahkan elemen lebih kemas dan anggun.

Tanpa menggunakan fabrik yang bercorak keterlaluan, koleksi rekaan itu tetap menarik untuk digayakan. Untuk menonjolkan gaya kewanitaan, tambahan butang pada bahagian depan baju dan lengan yang bercerut kemas turut ditampilkan.

"Gaya rekaan jubah seperti itu sebelum ini sudah pun ditampilkan sejak beberapa tahun lalu. Memandangkan kebanyakan penggemar busana Muslimah amat menggemari gaya seperti itu, saya tampilkan sekali lagi, tetapi dengan gaya lebih segar dan membawa beberapa sedikit pembaharuan."

"Untuk rekaan jubah kali ini kombinasi warna menjadi keutamaan supaya rekaan lebih ceria dan menarik. Bagi memastikan gaya lebih anggun, saya turut memperkenalkan beberapa gaya koleksi tudung yang lebih menarik dan sesuai digandingkan dengan jubah," katanya.

Koleksi lain ialah gaya potongan seperti kebaya yang turut menampilkan perincian sederhana dan menggunakan pilihan fabrik polos.

Gaya seperti itu sebenarnya amat sesuai untuk yang bertudung kerana tidak kelihatan begitu serabut.

Jeffery berkata, melengkapkan koleksi busana yang sedia ada beberapa gaya koleksi tudung baru turut ditampilkan. Koleksi tudung ada yang menampilkan corak dan ada juga polos bagi memudahkan ia disuai padan dengan busana yang dipakai.

INFO:
Koleksi Idaman Hawa boleh didapati di Butik Orkid milik Norle Suhaimi

Lokasi: Butik Orkid terletak di tingkat bawah Tesco di Kajang, Selangor

Waktu operasi: 9.30 pagi hingga -10.30 malam

Khidmat: Pakaian busana muslimah & tudung

Harga baju: RM150 ke atas

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 1, 2009

Tudung Al-Habshee

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi mereka yang menggemari jubah atau baju kurung polos, tudung bercorak abstrak ini antara pilihan menarik."

Trend bertudung bukan lagi sesuatu yang asing bagi penggemar fesyen. Pelbagai rekaan mengikut padanan warna yang sesuai dengan baju menjadikan penampilan lebih menarik.

Lebih manis, jika si pemakai memakai tudung sedikit labuh menutup dada.

Tidak sekadar tudung berwarna polos, corak abstrak kini semakin digilai ramai. Sesuai dipadankan dengan blaus atau kemeja, ia boleh digayakan ke majlis kasual.

Istimewanya tudung Al-Habshee ini, oning yang dihasil berbentuk separuh di bahagian hadapan tudung. Material yang dipilih juga mudah digosok, lembut, sejuk dan berkualiti.

Ini kerana jahitan tudung lebih berkualiti. Tidak ketinggalan, pelanggan boleh memilih saiz dan menempah tudung mengikut pilihan. Mereka yang inginkan saiz sederhana, boleh memilih M dan L untuk tudung labuh.

Bercerita tentang warna, pilihan warna cerah dan terang menjadi tema tudung Al-Habshee.

Sesuai dengan ekonomi yang kurang memberangsangkan, warna cerah dapat menceriakan suasana dan si pemakai.

Warna sebenarnya dapat mempengaruhi perasaan si pemakai serta persekitaran mereka.

INFO:
Koleksi tudung GEDUNG AL-HABSHEE
Lokasi: No.15, Off Persiaran Pusat Bandar 2, Bandar Baru Bangi, Selangor

Telefon: 019-3870121

Tip menjaga tudung:
1) Bagi mereka yang memakai cermin mata, pilih oning yang berbentuk separuh agar penampilan lebih kemas.

2) Apabila hendak menggosok tudung, gosok oning di bahagian dalam dahulu.

3) Lebih cantik jika menggosok tudung menggunakan air kanji.

4) Tudung yang kemas, apabila kita memakainya, ia betul-betul terletak di bahu dan menutup dada.

5) Bagi mereka yang ingin saizkan XL, boleh menempah terus dengan AL-Habshee.

6) Sempena Ramadan, Al-Habshee turut menyediakan corak yang baru untuk pra raya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, August 31, 2009

Indahnya Sulaman Manik Gemalai Nyior

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun pada pandangan mata orang ramai jahitan manik ini satu kerja yang rumit tetapi ia akan menjadi satu kerja yang mudah apabila setiap hari kita membuatnya. Ia tidaklah sesusah mana yang disangkakan asalkan anda minat dan tekun, pasti ia dapat dilakukan dengan mudah."

Seni sulaman manik bukan sahaja boleh dijahit di baju malah ia boleh menghiasi beg, alas meja, topi dan sebagainya.

Bagi pemilik Gemalai Nyior, Norfazilah Samsudin, walaupun kerja menjahit manik satu kerja yang rumit tetapi ia boleh mendatangkan hasil yang lumayan.

"Sebenarnya kerja menjahit manik ini memang boleh membuat duit terutama apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya."

Mesra disapa dengan panggilan Zila, anak kelima daripada enam beradik ini sememangnya meminati bidang jahitan apabila beliau mula mempelajari bidang tersebut sejak di bangku sekolah.

Sambil tangannya laju menyiapkan tempahan yang tak putus-putus diterima, Zila berkata, beliau bersyukur kerana kemahiran yang dimilikinya ini banyak membantu menjana pendapatan keluarganya.

Menceritakan pengalaman awalnya terlibat dengan perniagaan ini, Zila yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, terus mendalami bidang jahitan setelah tamat tingkatan lima di Giat Mara, Titiwangsa selama enam bulan.

Tidak berpuas hati hanya sekadar memperoleh sijil, Zila terus menyambung pelajaran di Yayasan Negeri Sembilan selama satu setengah tahun lagi untuk mendapatkan pra diploma.

Selepas itu dia menjalani latihan amali di Amin Jauhari yang terletak di Kompleks Pertama selama tiga bulan dan khusus di dalam jahitan manik.

Perjalanan pembelajaran tidak tamat setakat itu kerana Zila terus mengorak langkah dengan memulakan kerjaya di Nur Arfa Batik di Medan Tunku selama setahun sebelum bekerja di Butik Pengantin Azue di Jalan Tunku Abdul Rahman selama satu tahun.

Akhirnya setelah menimba ilmu dan pengalaman, Zila membuat keputusan untuk membuka butik idamannya pada 15 Mei 2009.

Kini berbekalkan kemahiran menjahit yang ada padanya, beliau bukan sahaja mampu mengambil upah menjahit manik malah Zila turut menerima pelbagai tempahan baju termasuk baju pengantin baik perempuan mahupun lelaki.

"Alhamdulillah, walaupun butik Gemalai Nyior ini baru dibuka, saya sudah menerima banyak tempahan."

"Saya akan memastikan setiap baju yang dijahit serta jahitan manik yang dihasilkan akan memenuhi cita rasa dan kepuasan pelanggan," jelas Zila.

Selain baju, Zila turut menjahit tudung manik dan ia dijual di butiknya hinggakan tidak menang tangan menyiapkan tempahan, terutama menjelang musim perayaan dan juga majlis perkahwinan.

Sambil menunjukkan beberapa baju yang sedang disiapkannya, beliau berkata, setiap hari mampu menyiapkan antara empat hingga lima pasang baju kurung bagi jahitan mudah manakala ada yang mencecah berminggu-minggu bagi yang sarat sulaman manik.

Bagi mengikuti arus fesyen semasa, Zila sentiasa mencari idea terbaru bagi menghasilkan jahitan manik yang lebih eksklusif termasuk menambah beberapa aksesori sampingan seperti labuci.

INFO:
Telefon: 013-6166632

Lokasi butik: No. 40-1-1, Jalan Megan Setapak, Sri Rampai, Kuala Lumpur

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, August 21, 2009

Tudung dan Telekung Siti Khadijah

(Post: Bahasa Melayu)
"Menggunakan tag line anggun, selesa syariat dipelihara, bunga sulaman telekung yang diperbuat daripada 100 peratus kain kapas nampak lebih timbul, kemas dan menarik sesuai dengan harganya."

Telekung kini bukan sekadar sehelai kain putih polos yang menjadi pakaian ketika mengerjakan sembahyang, tetapi telah mengalami transformasi yang begitu ketara dari segi rekaan, corak dan warna.

Hiasan seperti renda dan sulaman adalah wajib bagi menyerikan lagi kain telekung ditambah dengan rekaan setingkat atau dua tingkat.

Penggunaan fabrik turut diolah bersesuaian dengan keselesaan dan cuaca sesuatu negara. Biasanya kain kapas dan polister yang tidak jarang dan tidak licin menjadi pilihan.

Namun hampir kesemua kain telekung yang ada di pasaran harus dipakai bersama dengan anak telekung. Ia tidak dapat menyelesaikan masalah ketidakselesaan pemakainya, terutama di bahagian wajah dan selalu menyebabkan anak-anak rambut terkeluar.

Sehubungan itu, Pengarah Urusan Delight Visual Sdn. Bhd., Fadzilah Enda telah mendapat idea bagi menyelesaikan masalah itu dengan memperkenalkan kain telekung yang dijahit sekali dengan anak telekung.

Ditanya bagaimana timbulnya idea untuk mengorak langkah menghasilkan kain telekung sendiri, Fadzilah memberitahu, sebelum ini ramai rakyat negara ini begitu gemar membeli kain telekung buatan luar negara atau 'memborong' kain telekung apabila melancong ke luar negara khususnya apabila melawat Indonesia dan Vietnam.

Ini kerana, mereka berpendapat, kain telekung buatan luar negara lebih berkualiti dan mempunyai bentuk tenunan lebih menarik berbanding kain telekung buatan tempatan.

"Menyedari mengenai hakikat itu, saya mula mengorak langkah menghasilkan kain telekung sendiri bagi memenuhi pasaran tempatan pada harga berpatutan dan membuat sedikit perubahan bagi menyelesaikan masalah pada wajah," katanya.

Menggunakan kain mudah renggang dan menampilkan lapisan bawah dagu, jenama yang diberi Siti Khadijah pasti memberi fleksibiliti untuk pelbagai saiz wajah dan kelihatan kemas dipakai ketika menunaikan solat.

"Jika kita lihat, kain telekung yang sedia ada mempunyai dagu yang kecil, bergetah longgar dan perlu memakai anak tudung. Inilah yang sering menjadi masalah kepada pemakainya."

"Namun dua produk yang akan dilancarkan di pasaran pada Julai ini bakal memberi satu 'bonus' kepada pemakai. Kami menawarkan kain telekung dan mini telekung. Mini telekung dari fabrik polister mempunyai tali di dalam manakala kain telekung dari fabrik 100 peratus kapas, talinya di luar."

"Kedua-duanya amat sesuai bagi dipakai ketika mengerjakan umrah haji kerana praktikal, selesa dan mudah dipakai," katanya.

Menurut Fadzilah, selain kain telekung, Siti Khadijah juga memperkenalkan tudung pasang siap yang diperbuat daripada kain kapas dan polister.

"Terdapat dua jenis rekaan iaitu yang boleh ditarik ke tepi atau dipakai seperti biasa. Ia bersaiz panjang dan muncung ke hadapan sesuai bagi menutupi bahagian dada," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-2102668

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 5, 2009

Pemborong Tudung 12 Collection

(Post: Bahasa Melayu)
"Siapa yang tidak kenal dengannya, seorang pemborong tudung yang berjaya dan berhati waja dalam menempuhi cabaran terutamanya dengan pesaing bangsa asing yang kebanyakannya memonopoli pasaran tudung di kawasan Jalan Masjid India."

Perniagaan tudung telah sinonim dengan dirinya sejak 15 tahun lalu. Berniaga di pasar malam adalah tapak kepada kejayaannya.

Berkat kegigihan dan melihat peluang yang cerah dalam dunia perniagaan tudung sementelah tudung adalah pelengkap bagi wanita Islam menutup aurat, maka tanpa berfikir panjang, pemilik 12 Collection, Mohd. Yusof Abd. Manap memilih untuk menjadi pemborong yang lebih menjanjikan pulangan yang lumayan.

Kini, beliau merupakan satu-satunya pemborong tudung Bumiputera yang berjaya di kawasan Jalan Masjid India.

Ribuan pengedarnya berada di seluruh negara malah di luar negara seperti Singapura, Brunei, Hong Kong, Mauritius, Sri Lanka, Maghribi dan United Kingdom yang sentiasa 'hauskan' tudung-tudung yang terkini yang boleh diperoleh di premis 12 Collection.

Mohd. Yusof, anak kelahiran Jalan Klang Lama ini memberitahu, berniaga tudung ini perlu pantas dan mengikut trend tetapi tidak menjejaskan penampilan yang sopan. Sejak kebelakangan ini, keluaran rekaan-rekaan terbaru tudung terlalu cepat seperti goreng pisang panas.

Trend tudung sentiasa menawarkan kepelbagaian rekaan dan corak mengikut cita rasa wanita moden dan remaja yang gemarkan gaya ringkas dan funky.

"Setiap bulan ada sahaja pembaharuan dalam rekaan tudung sehingga kita sebagai pemborong pun tidak terlarat untuk 'mengejarnya'. Mana tidaknya, baru sahaja keluar tudung terkini, esok lusa dah keluar lagi terbaru."

"Adalah tidak memeranjatkan kerana tudung kini bukan sekadar penutup aurat tetapi fesyen yang semakin digilai ramai."

"Sebab itulah pembuat-pembuat tudung berlumba-lumba mengeluarkan tudung yang bukan sahaja menepati penutupan aurat tetapi yang berfesyen dan nampak anggun apabila dipakai."

"Jika dahulu, trend bertudung sekadar melilit sahaja selendang di kepala atau memakai tudung empat segi sama ada bercorak, bersulam, bermanik atau kosong. Tetapi kini semua orang nak cepat dan ringkas. Maka timbul pula tudung sarung atau tudung siap pakai."

"Tudung sarung dan siap pakai ini selalunya diperbuat daripada kain yang tidak perlu digosok. Inilah diperlukan oleh wanita sekarang yang sentiasa ingin cepat dan ringkas," katanya.

"Menurut Mohd. Yusof, sebelum ini wanita Malaysia lebih cenderung mengikut trend fesyen bertudung dari Indonesia yang menggunakan banyak lapisan tudung dan teknik lilitan yang sarat. Hari ini, mereka beralih pada konsep baru."

Situasi ini dapat dilihat khususnya di kalangan golongan remaja yang mula mencari konsep pakaian dan padanan tudung yang ringkas tetapi tampak ranggi dan stailo.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan penampilan mereka sentiasa kelihatan segar dan ceria bahagian kepala diberi tumpuan. Lazimnya, mereka akan padankan dengan tudung bercorak abstrak, motif flora atau warna terang.

Katanya, di kedai 12 Collection, hampir 20 jenis jenama tudung boleh diperoleh antaranya seperti Donatella, Dubai, Fareeda, Syria, Bawal, Lycra, Sifon Itali, Sarimah dan Siti.

"Selalunya pengedar akan mengambil pelbagai jenis tudung bagi memenuhi keperluan pelanggan masing-masing. Pilihan 'terpanas' masa kini ialah dari jenis sarung dan ber'awning'."

"Di mana-mana sahaja, inilah trendnya, tidak mengira kanak-kanak, remaja atau dewasa, tudung inilah yang menjadi pilihan untuk menutup aurat."

"Harga bagi tudung sebegini juga ada yang murah, sederhana dan mahal bergantung kepada jenis fabrik dan hiasannya sama ada berbatu swarovski, bermanik dan bersulam," jelasnya yang turut mempunyai empat pusat peruncitan iaitu dua di Jalan Tuanku Abdul Rahman, satu di Melaka dan satu lagi di pusat membeli belah The Mall, Kuala Lumpur.

Bagi yang ingin menjadi pengedar, hanya RM500 diperlukan bagi pembelian wajib.

Sementara itu, seorang pengedar yang ditemui di 12 Collection dari Kota Kinabalu, Sabah, Halimah Harith berkata, trend pemakai tudung di negeri di bawah bayu adalah sama seperti di Semenanjung.

"Justeru itu, hampir setiap bulan saya akan turun ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan tudung-tudung terkini supaya wanita-wanita di Sabah tidak ketinggalan."

"12 Collection adalah lokasi pilihan saya untuk mendapatkan pelbagai tudung kerana di sini ibarat seperti pusat sehenti bagi tudung-tudung yang terdapat di pasaran. Sementelah pula, di sini sahajalah kita boleh berurusan dengan pemborong Bumiputera, yang lain semuanya dimonopoli oleh bangsa lain," katanya.

Mempunyai dua buah kedai yang dinamakan Bilqis Boutique iaitu di Kompleks Karamunsing dan Centre Point, Kota Kinabalu, Halimah berpendapat, pasaran tudung mempunyai masa depan yang cerah.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 16, 2009

Kak Ton's DIY Tudung

(Post: Bahasa Melayu)
"Hobi dan minat yang mendalam pastinya boleh dikembangkan untuk dijadikan sebagai penjana pendapatan."

Bergelar suri rumah atau memiliki kerjaya tetap tidak menjadi penghalang untuk wanita meraih pendapatan sampingan.

Bijak mengatur perancangan bersandarkan sedikit kemahiran seperti menjahit juga antara jaminan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, bagi sesetengah wanita, kemahiran yang ada tidak hanya dijadikan sumber rezeki tapi cukup sekadar untuk mengisi masa terluang dan dijadikan hobi.

Melihatkan kegilaan wanita ketika ini yang gemar menggayakan tudung ala Ekin menarik minat Shazliyaton Hashim untuk berkongsi kaedah menghasilkan tudung bersengkuap jahitan sendiri melalui laman blog.

Menurut Shazliyaton, menghasilkan tudung sengkuap tidak sesukar yang disangka kerana pelajar yang biasa menghadiri kelas dianjurkannya, mampu menyiapkan tudung bersengkuap di dalam tempoh kurang sejam.

"Paling penting, anda tahu bagaimana kaedah betul untuk menjahit selain mempunyai kelengkapan jahitan seperti mesin jahit dan material untuk menghasilkan sehelai tudung bersengkuap," katanya.

Antara bahan-bahan yang diperlukan untuk menjahit sendiri tudung ini termasuklah pola sengkuap bersama badannya, kain jersey (badan tudung), jersey, broked, kapas, sutera Thai atau shantung (sengkuap), bakrum (kain gam), jarum peniti, kapur penanda, jarum jahitan dan benang.

Ilmu menjahit tudung ini boleh ditimba melalui kelas jahitan tudung secara perseorangan atau berkumpulan (minimum lima orang) bersama Shazliyaton yang dianjurkan mengikut permintaan.

Di dalam blog Kak Ton turut ditawarkan kit tudung yang terdiri dari pola, nota jahitan dan kain jersey bagi individu yang mahu menggayakan tudung bersengkuap dijahit sendiri.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-3271935 / 017-3679442

Sumber: Berita Harian Online , Blog Kak Ton

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, July 6, 2009

Fareeda House of Scarf

(Post: Bahasa Melayu)
"Himpunan tudung Fareeda bukan sahaja sesuai dipakai oleh golongan wanita malah remaja yang bertudung tetapi masih mahu berfesyen berpeluang menggayakan tudung berkenaan."

Sesiapa saja yang bergaya dengan koleksi tudung Fareeda pasti berpuas hati dengan cetakan corak, penggunaan fabrik dan mudah dipakai.

Menyedari keperluan untuk wanita bertudung, pemilik Fareeda House of Scarf, Faridah Zakaria, menghasilkan tudung Suraya yang tampak ringkas tetapi menawan dan ceria.

Ini bersesuaian dengan tagline Fareeda: Tudung Fareeda alternatif kepada wanita bertudung agar tampil lebih anggun bergaya.

Tudung Suraiya yang berkonsep siap pakai menampilkan tiga jenis tudung yang berbeza seperti Suraiya (tudung dwi warna), warna), Suraiya Eksklusif yang bercorak dan berasaskan batik.

Tudung Suraiya yang memiliki dua tona warna bakal menyerlahkan gaya remaja yang anggun dan ceria. Begitu sesuai dipadankan dengan busana warna hitam, putih atau pakaian daripada kumpulan warna yang sama.

Walaupun tudung Suraiya didatangkan bersama anak tudung mini, tetapi si pemakai akan berasa selesa kerana ia diperbuat daripada fabrik lycra dan sifon Itali. Tudung tersebut turut menjadi pilihan pembaca berita TV9.

Sementara itu, Suraiya Eksklusif menawarkan tudung yang bercorak abstrak dan flora.

Didatangkan dalam pelbagai warna untuk kesesuaian pelbagai jenis majlis, kuliah atau ke pejabat.

Kepada anda yang sudah jemu memakai tudung fabrik polos atau bunga, Suraiya Eksklusif turut menghasilkan tudung berasaskan batik.

Mengenai kualiti tudung label Fareeda, usah khuatir kerana ia dihasilkan oleh lapan tenaga kerja mahir. Dalam pada itu, Faridah juga turun padang sepanjang proses pembuatan tudung dijalankan.

Ini bagi memastikan koleksi tudung koleksinya berkualiti dan terbaik buat pelanggan. Tudung-tudung Fareeda dijual pada harga antara RM55 hingga RM150.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-89262809

Sumber: Kosmo! Online , web FAREEDA

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 25, 2009

Busana PSF BOUTIQUE

(Post: Bahasa Melayu)
"Mengenai kebanyakan tudungnya menjadi intipan golongan ternama, beliau akui ada tudung yang mencecah harga sehingga RM550, namun ia mengutamakan sulaman, manik dan kemasan tersendiri yang sukar diperoleh di tempat lain."

Citarasa seseorang menerusi penampilan dalam berbusana Muslimah sering mencetuskan penampilan menarik.

Sesuai dengan elemen bertudung masa kini yang mengalami perubahan dari pelbagai segi, baik pakaian mahupun lakaran tudung dihiasi pelbagai sulaman memberikan kelainan kepada pemakai.

Sesuai dengan kehendak ramai dan terkini, pembaharuan dalam rekaan yang semakin bersifat eksklusif memberi definisi tersendiri kepada si pemakai yang bijak mengolah busana tradisi yang diselarikan dengan olahan moden kontemporari.

PSF Boutique & Gift Shop Sdn Bhd, milik Puan Sri Faridah Idris adalah satu daripada butik yang semakin mengukir nama dalam industri busana Muslimah tanah air apabila sering muncul dengan kolaborasi tudung dan pakaian tersendiri.

"Garapan idea dalam penciptaan busana Muslimah yang kami cetuskan tentunya mencari ciri yang sesuai dengan tuntutan syariat. Ia sekali gus mencerminkan pemakaiannya yang sopan selain turut mengetengahkan bentuk busananya yang mengagumkan."

"Kebanyakan pereka mengambil kira pelbagai aspek termasuk rekaan semasa yang digemari selain selalu menggali idea terbaik dan terkini untuk dikemukakan kepada penggemar. Cita rasa mereka penting diambil kira kerana penggemar adalah keutamaan kami," katanya.

Dari aspek tudung atau selendang yang dihidangkan kepada khalayak katanya, pelbagai kategori tudung yang diutarakan dengan hasrat memberi kelainan kepada penciptaan yang segar dan pengguna boleh memilih yang terbaik.

Menurutnya, kepelbagaian bentuk tudung atau selendang rekaan butiknya itu terdiri daripada pelbagai jenis.

Antara yang sering diintip pelanggan dan penggemar setianya adalah tudung permaisuri, tiara, benazir, tudung manik, sulam, selendang pengantin atau labuh (untuk umrah iaitu bentuk tiga dalam satu).

"Sebenarnya, tudung atau selendang sedemikian bukan hanya diolah buat golongan tertentu sebaliknya sesiapa saja boleh memilikinya. Mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan juga boleh memanfaatkannya kerana keistimewaan tudung berkenaan sebagai sesuatu yang indah untuk kenangan sepanjang hayat," katanya.

Faridah akui, ada kalanya pelanggan sukar mengenakan tudung menarik dengan pesona pakaian yang mampu menyerlah kecantikan sebenar kerana tidak punya kepakaran dalam menyempurnakan cara bertudung.

Untuk itu katanya, butik berkenaan turut melantik perunding imej bagi membantu mereka yang ingin tampil menawan.

"Kreativiti dalam seni bertudung boleh dipelajari. Mungkin nampak sukar untuk bertudung cantik pada mulanya, namun cara yang betul dan keberanian untuk mencuba adalah kekuatan tersendiri dalam membantu seseorang tampil bergaya," katanya.

INFO:
PSF Boutique & Gift Shop Sdn Bhd
Lokasi: 39 Jalan Tun Mohd Fuad 3, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Telefon: 03-77279068 / 019-2667618

Sumber: myMetro
Foto:
web PSF Boutique

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 15, 2009

Tudung Kepala PEARL HAYA

(Post: Bahasa Melayu)
"Pearl Haya turut menyediakan khidmat khas tempahan hijab mengikut padanan warna, corak dan rona busana yang bakal dikenakan agar penampilan tampak lebih anggun."

Mengikut fesyen tudung yang sedang menjadi trend saat ini iaitu yang mempunyai 'awning' atau teduhan, hijab berjenama Pearl Haya tampil memberikan nuansa yang berbeza tetapi tetap akan membuatkan si pemakai kelihatan cantik dan anggun.

Menurut pencetus idea bagi satu lagi reformasi tudung seperti ini yang terdiri daripada tiga sahabat karib, Zetty Rosli, 33, Suriyati Daman, 33, dan Nor Azlin Abdul Jalil, 39, dari Negeri Sembilan, rekaan untuk Pearl Haya bukan saja berawal dengan kepentingan untuk berpakaian sopan secara muslimah tetapi bahan yang digunakan juga nyaman dan menawan dengan ciri-ciri khasnya yang tersendiri.

Gaya istimewa pada rekaan Pearl Haya yang juga merupakan ciri-ciri khas tudung jenama tersebut terletak pada rekaan 'awning' atau teduhan yang mengkombinasikan dua lapisan fabrik di samping pemilihan fabrik yang bersesuaian dengan motifnya.

Untuk itu Pearl Haya menggunakan padanan yang dipilih daripada fabrik sutera Thai, sutera India, tenun sutera India dengan corak timbul, kain linen Itali, fabrik tenun sutera China dan tidak ketinggalan denim yang dijahit pada keseluruhan tudung.

Selain itu, Pearl Haya juga mementingkan aspek penjimatan masa, ringkas, praktikal, kemas, berkualiti, selesa dan menawan melalui pemilihan fabrik, variasi warna dan padanan pada teduhan yang dianggap mahkota.

Rekaan Pearl Haya juga dibawakan dalam tiga potongan labuh iaitu:
Pearl 1
- Direka pendek dan ringkas serta sesuai untuk digayakan oleh mereka yang mempunyai karier dalam bidang korporat yang senantiasa mementingkan penampilan yang kemas dan bergaya.

Pearl 2
- Bersaiz sederhana labuh pula adalah untuk memenuhi keperluan untuk bergaya di majlis keraian kerana tudung boleh digayakan bersama kerongsang.

Pearl 3
- Bersaiz labuh dapat dipelbagaikan pemakaiannya dan sesuai digayakan dengan busana muslim atau baju tradisional seperti baju kurung.

Setiap pembelian Pearl Haya didatangkan dengan kotak eksklusif yang boleh dijadikan isebagai hadiah atau cenderamata.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto:
web Pearl Haya

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 15, 2009

Indah Kasturi Textile

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya mahu perniagaan ini terus mekar mengharum sepanjang tahun sejajar dengan nama kedai ini, Indah Kasturi Textile. Indah membawa maksud semua yang ditawarkan di sini adalah yang terbaik dan bermutu tinggi. Kedua-dua ciri ini merupakan aspek utama dalam mengungkap istilah indah. Manakala kasturi pula merujuk buah limau yang harum baunya dan kebiasaannya bau harum kasturi disukai ramai."

Pemiliknya, Samsuri Jaafar, 35, berkata, IKT bukan hanya menawarkan kain potong dan kain kayu yang terbaru, sebaliknya turut memenuhkan kedainya dengan aneka tudung daripada fabrik bawal Nombor 1.

Kedai ini diusahakan bersama isteri tersayang, Roslina Mohd Noor, 29, dengan tingkat atas menempatkan kain kayu, telekung, anak tudung, selendang dan baju kurung siap untuk kanak-kanak manakala tingkat bawah dipenuhi dengan tudung, kain potong, kain pasang dan baju kurung siap wanita serta kerongsang.

"Bekalan kesemua tudung-tudung ini diperoleh dari Kota Baharu, Kelantan. Bukan sahaja fabrik yang digunakan bermutu tinggi iaitu bawal Nombor 1, malah batu yang digunakan juga berkualiti dengan kesemuanya dijahit agar tidak mudah tertanggal," katanya.

Antara jenis tudung yang ditawarkan di IKT ialah Manjalara, Bella, Qaisara, Mata Lalat, Air Mata dan Viva.

"Seperti tudung, kain potong yang ditawarkan di sini juga adalah yang terkini. Ini merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan kerana terdapat tujuh kedai kain di Raub," ujarnya.

Persaingan juga menyebabkan Samsuri menggerakkan beberapa strategi termasuk menjual pada harga yang lebih murah.

"Saya lebih rela mendapat sedikit untung, asalkan kedai saya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan," katanya.

Memiliki lima orang pekerja tetap, IKT yang dibuka setiap hari kini berusaha meluaskan rangkaian jualannya dengan menawarkan kepada orang ramai yang berminat menjualnya dari rumah ke rumah di sekitar Raub, Bentong dan Lipis.

"Mereka yang berminat boleh mendapatkan bekalan tudung dan kain dari IKT. Soal harga dan komisen boleh dirunding dengan menemui saya di sini."

Beliau juga membuka gerai di pasar malam pada petang Jumaat dan pagi Sabtu di Lipis manakala pada Sabtu malam minggu pula, gerainya boleh ditemui di pasar malam Benta.

Menyentuh tentang harapan dan matlamat yang ingin dicapai, Samsuri berharap IKT akan terus berkembang maju melalui pembukaan cawangan di beberapa bandar sekitar Pahang.

"Setiap usahawan mempunyai impian dan itulah harapan saya dan isteri dalam memajukan perniagaan ini," ujarnya penuh bermakna.

INFO:
Indah Kasturi Textile terletak di selekoh jalan utama di pekan Raub yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Lipis dan Jerantut di Pahang serta Kota Bharu di Kelantan.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari mulai pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::