ATTENTION !!!

Showing posts with label cenderahati. Show all posts
Showing posts with label cenderahati. Show all posts

Tuesday, February 8, 2011

Pembalut Coklat ChocWrap

(Post: Bahasa Melayu)
" Apa perasaan anda bila menerima sekotak coklat? Rasanya tiada siapa yang mampu menolaknya kerana keenakan coklat yang begitu istimewa, malah bagi penulis sendiri ia satu snek yang memberikan ketenangan dan membangkitkan perasaan teruja. "

Keterujaan itu pasti berganda apabila coklat yang diterima bukanlah dengan balutan biasa yang boleh dibeli di kedai, ia tertera nama anda. Malah mungkin foto anda juga.

Fenomena ini adalah satu inovasi yang diilhamkan oleh Yafidah Yahaya, 28, ketika mencari kelainan menggantikan bunga telur - pot pori yang sudah biasa diberi kepada tetamu yang hadir pada majlis kenduri kahwinnya sendiri.

"Ketika itu saya dan suami merancang apa yang istimewa untuk dijadikan buah tangan kepada tetamu di kenduri persandingan kami. Justeru idea untuk melahirkan coklat berpembalut sendiri adalah cadangan untuk diberikan kepada tetamu," jelas Yafidah.

Namun impian kedua mempelai tersebut ketika itu tidak dapat direalisasi kerana faktor kos penghasilannya yang tinggi.

"Bayangkan sekeping coklat bar berharga hampir RM3. Belum ditambah dengan kos reka bentuk dan cetak. Jadi kami memutuskan untuk membuat benda lain sebagai cenderahati kepada tetamu kami," singkap wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini.

Namun impian tersebut tidak berakhir di situ, Yafidah tetap ingin merealisasikan impian bakal pengantin lain yang mahukan kelainan dalam majlis kenduri kahwin mereka.

Yafidah yakin ramai juga bakal pengantin yang mahu menghadiahkan sesuatu yang begitu bermakna buat tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan mereka.

Yafidah juga tidak memandang ia sebagai satu pembaziran kerana bagi yang benar-benar menghargai sesuatu yang istimewa memang akan menyimpan walaupun pembalut coklat itu sahaja.

"Memang tidak dinafikan nilai sentimental itu bergantung kepada individu. Tapi yang pasti di pihak yang memberi itu memang amat berbesar hati memberi sesuatu yang lain dari yang lain," ujar pemegang ijazah multimedia kreatif dari Universiti Multimedia, Cyberjaya itu.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 15, 2010

Galeri Art On Glass

(Post: Bahasa Melayu)
" Ekspresi diri yang dizahirkan ke atas kaca dengan bentuk lakaran menarik mampu menjadi kenangan terindah buat seseorang. "

Itu yang dibuktikan Salmiah Mohd Norin, 43, meskipun tidak pernah meminati bidang lukisan bahkan tidak pernah memegang berus lukisan atau kanvas.

Inisiatifnya untuk berkarya lahir apabila mengikuti kelas melukis atas kaca untuk memberi inspirasi baru ke atas minatnya yang dipupuk perlahan-lahan itu.

Kini, pemilik syarikat Art On Glass itu mampu memanipulasi hobinya sehingga ia lahir sebagai karya menarik untuk kepuasan peribadi.

"Mungkin semua ini atas dorongan sekeliling terutama suami. Saya berusaha sendiri mengikuti kelas melukis secara serius sehingga akhirnya tercetus semua ini."

"Apa yang menarik, cubaan melukis dan melakukannya secara komersial membuahkan kejayaan. Ia membuatkan hati teruja dan dari situ terhasil karya atas kaca, daripada bentuk kecil hinggalah kaca leper, mangkuk, botol, dulang, tempat habuk rokok, bingkai gambar dan segala yang boleh dijadikan perhiasan."

"Seronok melakukan kerja seni ini dan paling menyeronokkan, ia mempunyai kelompok penggemar tersendiri terutama mereka yang ingin menjadikannya sebagai barangan cenderahati," katanya ketika ditemui di kedai miliknya yang beroperasi di Selayang Baru, Selangor.

Melukis barangan mengikut kreativiti tersendiri dan dilukis di atas kaca yang diterbalikkan itu nyata menarik perhatian ramai.

Bahkan, pertama kali mengadakan pameran pada Perhimpunan Agung Umno lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi katalis buat wanita ini kerana ia membuka banyak mata pengunjung yang menyedari kehadiran lukisan kaca berkenaan.

"Lebih memberangsangkan apabila isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menempahnya dalam jumlah yang agak banyak dan ia membuatkan saya teruja campur terkejut."

"Sebenarnya, lukisan sebegini sesuai dijadikan barangan cenderahati untuk golongan korporat mahupun orang perseorangan. Peminatnya juga boleh menyimpan barangan sebegini sebagai koleksi indah."

"Bagi remaja sekolah, kebanyakan mereka menggemari bentuk ukiran kecil dan sederhana seperti piring kecil yang diperincikan dengan lukisan unik. Bagi kanak-kanak pula, kebanyakannya meminati lukisan kartun atau bunga-bungaan diabadikan di atas jubin," katanya sambil menambah hasil seninya itu boleh didapati pada harga antara RM30 hingga RM780.

Bukan hanya kepuasan melukis, Salmiah turut menterjemahkan nilai seni itu menerusi gubahan indah dalam bentuk bungkusan hadiah atau hamper menarik.

"Ia memberi kepuasan berganda kepada saya sendiri. Pertama, ketika menghasilkan lukisan tentunya terasa indah untuk memberi sentuhan menarik. Setelah lukisan kaca terhasil, lebih memberangsangkan apabila ia sempurna dibalut dengan gubahan menarik."

"Menerusi sambutan menggalakkan, saya kini mengumpul penggemar yang berhasrat mengkomersialkan bidang ini dengan mengadakan kelas khusus untuk memanfaatkan hobi ini sepenuhnya," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: 88db

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, October 19, 2010

Kreativiti Hiasan Tin Terbuang

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika rajin dan minat, tin yang dibuang orang boleh dijadikan perhiasan. Siapa menyangka tin susu, tin sardin, tin biskut, tin minuman, tin makanan bayi dan sebagainya boleh dijadikan bermacam-macam bentuk perhiasan yang boleh dijadikan perhiasan di rumah malah dijual. "

Biasanya tin-tin sedemikian akan terus dibuang setelah isi di dalamnya habis. Siapalah yang mahu membersihkan dan kemudian menjadikan tin sebagai perhiasan. Pada tanggapan ramai orang, banyak lagi benda lain yang boleh dijadikan perhiasan.

Tetapi tidak bagi Hasnah Atan, 51, kerana dia akan menyimpan semua tin yang telah habis isinya. Tidak kiralah tin racun serangga, tin makanan atau apa sahaja. Tidak ada tin di rumahnya yang akan dibuang ke dalam tong sampah.

Malah Hasnah akan berfikir dua kali semasa hendak membeli minuman di kedai. Daripada membeli air kotak, lebih baik dia membeli air tin kerana tin tersebut kelak boleh dimanfaatkannya.

Malah jika pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri-kendara pun, dia sanggup mengutip tin-tin susu dan sebagainya yang kemudiannya diisikan di dalam beg plastik besar.

Tin-tin tersebut kemudian dibawa pulang ke rumah, dilicinkan bahagian tepinya yang tajam, dibersihkan dan dikeringkan.

Bagi Hasnah, dia amat gembira dan seronok jika mempunyai banyak bekalan tin kerana itu bermakna dia dapat membuat pelbagai perhiasan yang disukainya.

"Daripada tin-tin itu saya boleh membuat bermacam bentuk bunga, udang kecil, udang galah, bakul untuk mengisi gula-gula dan coklat hantaran, burung dan sebagainya. Kerja ini saya buat suka-suka saja pada masa lapang setelah selesai urusan rumah tangga," kata ibu kepada empat orang anak dan nenek kepada empat orang cucu.

Menurut Hasnah lagi, tin-tin yang telah siap dijadikan perhiasan itu akan diletakkan di dinding rumah, di atas peti televisyen atau digantung.

Ini dapat dilihat ketika berkunjung ke rumah Hasnah di Taman Selayang, Batu Caves baru-baru ini. Di kiri kanan dinding ruang tamu dipenuhi dengan replika udang galah, bunga dan bakul berwarna-warni yang dibuat daripada tin.

Mencungkil rahsia bagaimana dia mula membuat perhiasan daripada tin ini, kata Hasnah, pada tahun 1982, dia telah pergi ke rumah saudaranya di Felda Cini, Pahang dan melihat wanita di sana membuat bunga daripada tin dan menjualnya.

"Saya beli satu dan meniru cara membuatnya dan menjadi pula. Daripada situ, saya cuba buat sendiri bunga-bunga lain, kupu-kupu, udang dan burung. Banyak juga saya buat. Bila ada saudara-mara yang datang ke rumah berkenan, saya bagi."

"Lepas setahun, saya berhenti kerana pada masa itu, bunga straw dan bunga daun getah sedang popular."

"Tahun ini (2010), saya buat semula kerana kebetulan anak saudara yang hendak berkahwin meminta membuatkan bakul daripada tin untuk diisi gula-gula dan buah-buahan. Dia pernah melihat bakul yang saya buat dan berkenan," ujar Hasnah yang berasal dari Sabak Bernam.

Kata Hasnah, sejak mula membuat perhiasan tin ini semula, ada yang menempah bekas tisu, bunga, kupu-kupu, udang, bekas telur untuk cenderahati perkahwinan dan sebagainya. Ada yang dijadikan perhiasan atau hadiah kepada orang lain.

Jika anda berminat untuk menempah, bolehlah menghubungi Hasnah di 019-3716640.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, April 10, 2010

Hamper Cenderahati Astana Jentayu

(Post: Bahasa Melayu)
" Kemahiran dan kreativiti sebenarnya ilmu yang boleh dipelajari. Kolaborasi kedua-duanya mampu memberikan kepuasan kepada mereka yang gemar berkarya selain turut memberi keuntungan berganda kerana boleh menjana pendapatan. "

Hal itu dibuktikan pengusaha kuih-muih dan penggubah bungkusan cenderahati, Seri Kandi Jarkasi, yang memanipulasikan hobinya dengan mengadakan kelas bersama penggemar termasuk suri rumah.

Menurutnya, pembabitan lebih lima tahun dengan minat mendalam dalam bidang pembuatan biskut atau kuih-muih itu ternyata membuahkan hasil memberangsangkan.

"Ia bermula sebagai hobi kerana saya gemar membuat kuih-muih dan dijual kepada jiran atau kenalan. Tetapi galakan mereka supaya saya menjualnya secara komersial membuatkan saya memikirkan sesuatu, lagipun aliran kini yang semakin menggemari seni gubahan menarik."

"Justeru saya terpanggil untuk mengajak wanita lain berkongsi sesuatu untuk meraih pendapatan lebih."

"Akhirnya saya menceburi bidang gubahan cenderahati atau hamper dengan menjualnya secara serius dan sambutan amat memberangsangkan mendorong saya melakukannya secara besar-besaran."

"Ternyata usaha tidak sia-sia apabila banyak syarikat korporat dan individu menyenanginya sehingga tidak menang tangan setiap kali menjelang musim perayaan."

"Dua bulan sebelum bulan puasa, saya sudah mula sibuk dengan tempahan yang datang dalam pelbagai bentuk. Adakalanya tempahan banyak membuatkan saya tidak dapat berhari raya di kampung," katanya yang bangga dengan penubuhan Astana Jentayu Sdn Bhd.

Apa yang membanggakan akauntan di sebuah institusi pendidikan ini, kebanyakan hampernya turut mendapat tempahan tidak mengira musim perayaan sebaliknya sentiasa ada untuk jualan.

Bukan hanya kalangan Muslim yang memberi perhatian atas kerja kerasnya itu terutama pada sambutan Aidilfitri sebaliknya pada sambutan Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Melakukan dua kerja dalam satu masa, dia tidak menafikan mempunyai dua pembantu rumah yang banyak membantu meringankan kerjanya.

Atas hasrat berkongsi kemahiran bersama mereka yang turut meminati bidang berkenaan, dia mengadakan bengkel membuat biskut dan mengajar teknik pembungkusan kuih-muih yang menarik.

Mungkin sesuatu yang di luar jangkaan apabila pada tahun lalu, ada peserta melakukan kerja sampingan itu mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit.

"Sebenarnya, inilah hobi yang membuatkan saya begitu seronok dan puas. Setakat ini, jarang pelanggan mengomel mengenai biskut atau kuih-muih yang menjadi buah tangan saya. Kebanyakan mereka juga menjadi pelanggan dan rakan baik saya."

"Saya perturunkan cara gubahan menarik dengan teknik terkini yang jarang dilakukan sebelum ini," katanya.

Peserta bengkel yang juga setiausaha di syarikat swasta, Zainiza Mustafa, 35, tidak menduga kerja kerasnya dua tahun lalu berbaloi.

"Saya tidak menjangka mampu memperoleh puluhan ribu ringgit tahun lalu menerusi jualan hamper, mungkin berkat kerja keras selama ini."

"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada rakan sepejabat, kenalan serta syarikat korporat. Selain bersengkang mata membuat kuih-muih serta menggubahnya pada waktu malam atau hari minggu, saya juga terpaksa turun padang dan melakukan kerja pemasaran."

"Ia penting kerana jangkaan saya dalam setahun lagi, saya akan membuka syarikat sendiri dan menceburi bidang pembuatan gubahan ini secara serius," katanya.

Punithavathi Kaliapan, 45, juga teruja menjana pendapatannya dengan menghasilkan hamper apabila melihat sambutan memberangsangkan pelanggan. "Pada saya, tidak rugi mengikuti setiap kelas yang diadakan kerana ia memberi pulangan lebih daripada itu."

"Melakukan kerja sambilan ini sejak dua tahun lalu, saya semakin yakin untuk melakar perniagaan sendiri nanti. Setakat ini, bantuan suami dan saudara-mara memberi keyakinan tinggi kepada saya."

"Selain itu, syarikat korporat juga berminat membuat tempahan terutama ketika sambutan perayaan Deepavali, lalu membuatkan saya semakin teruja untuk membuka syarikat sendiri," katanya yang memiliki kerjaya dalam bidang perakaunan.

Noorliyah Abdul Wahab, 39, mengakui menggali ilmu dalam pelbagai bidang memberinya pengetahuan berguna untuk dimanfaatkan apabila berhasrat membuka perniagaan berasaskan gubahan dan cenderahati suatu hari nanti.

"Saya suka mencari pengalaman sebanyak mungkin dalam apa juga perkara yang dianggap boleh dikomersialkan."

"Saya pula minat membuat kuih-muih dan turut belajar membuat kek cawan sendiri bahkan apa saja bengkel berkaitan masakan asalkan ia memberi pulangan berbaloi."

"Asas yang ada dalam kelas cenderahati ini saya manfaatkan sebaiknya kerana berhasrat membuka kedai kek atau kuih-muih suatu hari nanti."

"Ada anak saya yang meminati bidang ini turut mengikuti kursus. Selain itu, saya menguar-uarkannya dalam Facebook sebagai satu cara pengiklanan," kata pengaturcara komputer ini.

Sumber: myMetro
Foto: Astana Jentayu

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 28, 2010

Siti Hadijah Lovely Touch

(Post: Bahasa Melayu)
" Merancang sebuah majlis perkahwinan bukanlah satu tugas yang mudah. Perancangan perlu diadakan berbulan-bulan lebih awal. Persiapan harus dilakukan dengan teliti agar tidak ada yang tercicir. "

Pendek kata tugas ini memerlukan banyak kesabaran, kudrat yang tinggi, idea yang kreatif, bijak berhujah bagi menyakinkan pelanggan dan sebagainya.

Walaupun tugas sebagai perunding perkahwinan nampak mudah kerana orang melihat fungsi mereka hanya memasang pelamin, menghias bilik tidur, menyediakan baju pengantin dan sebagainya, hakikatnya tidak semudah itu.

"Kerja ini sebenarnya rumit. Memang ramai yang menjadi perunding perkahwinan namun ada juga yang lari separuh jalan. Ini kerana mereka tidak pandai menguruskan sesuatu majlis itu dan akhirnya majlis tidak menjadi," kata pemilik butik pengantin Siti Hadijah Lovely Touch, Siti Hadijah Ishak ketika ditemui di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Beliau yang pernah bekerja sebagai pembantu peribadi kepada pengarah sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur menambah, tugasnya dahulu banyak mengajarnya bagaimana hendak membuat pengurusan dan menyelesaikan sesuatu masalah.

Menurutnya, pasangan yang hendak berkahwin hendaklah memilih konsep apa yang mereka inginkan kerana konsep amat penting sebelum persiapan lain dilakukan. Begitu juga dengan pilihan kesesuaian warna.

"Ramai yang menghadapi masalah pada saat akhir majlis kerana mengharapkan keluarga yang berjanji hendak menolong tetapi kemudian tidak menjadi."

"Bukannya tidak mahu mengharapkan bantuan saudara-mara tetapi biasanya mereka terlupa kerana tidak mencatat dan sekadar mengharapkan janji mulut. Akhirnya jadi bergaduh pula atau bermasam muka."

"Tetapi seorang perunding perkahwinan yang bertauliah akan berbincang dengan pihak keluarga pengantin, mencatatkan setiap kehendak dan keperluan keluarga serta pengantin, menasihatkan apa yang cantik dan tidak cantik."

"Perunding perkahwinan ini samalah seperti membuat satu projek besar yang memerlukan sebut harga dan sebagainya. Pendek kata mereka menyediakan khidmat dari A hingga Z," ujar ibu kepada dua orang anak ini, Farha Fatin Atasha Hazaron, 20 dan Amirul Shafiq Hazaron, 17.

Beliau berkata, butiknya menyediakan segala-gala yang diperlukan pengantin dan keluarga seperti katering, kanopi, hiasan bunga, pelamin, bilik tidur, mekap, aksesori perkahwinan, gubahan hantaran, cenderahati, bunga pahar, sewa baju, baju kanak-kanak dan sebagainya.

Kebanyakan pelanggan Siti Hadijah terdiri daripada mereka yang tinggal di sekitar Bangsar dan Damansara.

"Siti Hadijah Lovely Touch merupakan satu-satunya butik pengantin Melayu yang ada di Taman Tun Dr. Ismail. Sebelum membuat tempahan, pelanggan akan datang dahulu ke butik saya dan kami akan berbincang. Setelah mereka berpuas hati, barulah tempahan dibuat. Kemudian saya akan ke rumah mereka bagi mendapatkan gambaran mengenai persiapan majlis."

"Kadang-kadang bukan pengantin sahaja yang diuruskan malah ibu bapa dan kaum keluarga pengantin pun perlu diuruskan seperti baju mereka untuk majlis tersebut, hiasan rumah dan sebagainya," jelasnya.

Ujar Siti Hadijah, semua yang ada di butiknya dibuat sendiri seperti bunga pahar, bunga telur, bunga pegang pengantin, cenderahati dan banyak lagi. Dengan kata lain, barangan yang ada adalah eksklusif dan tidak terdapat di luar.

Selain menguruskan majlis perkahwinan, beliau juga sering menerima tempahan pelanggan bagi majlis pertunangan, cukur jambul, menyediakan cenderahati korporat, baju tradisional dan menyewa baju songket.

Menurut Siti Hadijah lagi, beliau kini merancang membuat kursus penyediaan majlis perkahwinan yang sempurna, pengurusan dan bajet. Kepada yang berminat boleh menghubunginya di 017-3501364.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, February 9, 2010

The Comfort Company

(Post: English)
" Wood says she's used to weeping at work. She runs an online bereavement-gift outfit, Comfort Co., from suburban Geneva and gets calls all day from people who want to buy something special for someone who has just lost a loved one. "

Compassion comes naturally to Wood - she was a social worker in a neonatal unit in Little Rock for years before she moved to Illinois­ - but it was only in 2000 that she figured out how to make money from it.

Her sister-in-law's father died, and Wood couldn't find a suitable gift. She crafted a pendant out of her daughter's Play-Doh and took it to a silversmith to make into a necklace.

Wood put a photo of the pendant on the Web and sold 150 of them.

After getting a $6,000 home-equity loan from Harris Bank, she went to gift shows and found more items to carry on her site, The Comfort Company, including Christmas tree ornaments to remember lost ones at the holidays.

Wood, 42, has added Spanish-language products and would like to expand her pet-sympathy line.

Revenue jumped to $625,000 last year, from $53,000 in 2003.

"The more I grow, the more people I help feel better."

Source: BusinessWeek

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, January 6, 2010

Wincraft Labu Sayong

(Post: Bahasa Melayu)
"Pernahkah anda minum air yang disimpan di dalam labu sayung? Jika pernah, pasti kenikmatan dan kesegaran air tersebut masih terasa. Itulah istimewanya labu sayung yang dibuat daripada tanah liat."

Selain boleh dijadikan barangan perhiasan, labu sayung juga digunakan oleh masyarakat terutamanya pada zaman dahulu untuk menyimpan air minuman.

Daripada warna biasa iaitu hitam (bekas simpan air), labu sayung kini mengalami transformasi dengan diberi sentuhan moden pada bentuk dan warnanya.

Jika menyusuri sejarahnya, asal usul labu sayung dikatakan bermula di Kuala Kangsar, Perak dan telah diusahakan sejak ratusan tahun dahulu.

Malah jika disebut sahaja Kuala Kangsar, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran adalah labu sayung kerana sinonimnya daerah tersebut dengan tembikar itu.

Kampung-kampung seperti Bukit Lada, Kepala Bendang dan Sayong Hilir di Mukim Sayong di daerah Kuala Kangsar, cukup dikenali sebagai tempat di mana kegiatan membuat labu ini berpusat. Maka, tidak hairanlah mengapa labu negeri Perak dikenali sebagai labu sayung.

Menurut salah seorang pengusaha dari Kampung Sayong Tengah di sini, Redzuan Hamly, 43, proses membuat labu sayung pada zaman dahulu agak rumit dan memerlukan ketelitian kerana segalanya dilakukan dengan tangan.

Jelasnya, proses awal membuat labu sayung ialah menjemur tanah liat sehingga kering dan kemudiannya dibancuh dengan air dalam mesin pengisar (seperti blender).

Tanah tersebut, katanya, kemudian dikisar sehingga hancur dan sebati dengan air lalu diperam selama lebih kurang satu hari supaya betul-betul sebati untuk melembut dan memudahkan proses pembuatan agar senang dibentuk.

Selepas dibentuk, katanya, labu sayung yang sudah terhasil dibiarkan selama satu hingga dua hari sebelum dibakar di dalam dapur yang dibina khas daripada batu-bata.

"Labu sayung perlu dibakar selama satu hari dengan api dikawal supaya sama rata masak dan tidak pecah. Sekiranya api terlalu besar labu boleh pecah atau retak."

"Proses seterusnya adalah menghitamkan labu. Ini dilakukan dengan menanam labu yang masih panas dalam timbunan sekam padi dan dibiarkan beberapa ketika," katanya.

Menurut Redzuan, proses membuat labu sayung kini semakin mudah dan mengalami perubahan iaitu daripada menggunakan tangan sepenuhnya kepada teknik moden iaitu penggunaan mesin menghancur dan membancuh tanah.

Antara teknik moden yang digunakan katanya adalah teknik lemparan, acuan serta sepuh dan labu hanya dibakar dalam tempoh lapan jam.

Selain perubahan teknik pembuatan, bentuk, warna dan ukiran labu sayung turut berubah.

Bentuk asal labu sayung dihasilkan seperti bentuk buah gelugor digunakan sebagai bekas mengisi air minuman.

Kini labu sayung dihasilkan dalam pelbagai bentuk mengikut kesesuaian dan permintaan pasaran seperti lampu perhiasan, cenderamata, pasu bunga dan sebagainya.

Namun, ukirannya masih mengekalkan unsur-unsur tradisional seperti motif bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.

INFO:
Wincraft Labu Sayong
Lokasi: Kampung Sayong Tengah, Kuala Kangsar, Perak

Harga: antara RM1.50 hingga RM120 sebuah mengikut saiz

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, December 18, 2009

Perusahaan Coklat Seri Umairah

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukan mudah untuk seseorang melepaskan jawatan bertaraf eksekutif dengan gaji bulanan agak selesa semata-mata untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan, namun ia tidak menjadi halangan buat Norhatina Abdul Rauf."

Usahawan berusia 41 tahun ini melepaskan jawatannya di sebuah kilang elektronik di Senawang, Negeri Sembilan bagi memenuhi impiannya untuk membabitkan diri sepenuh masa dalam bidang perniagaan pembuatan coklat dengan menggunakan jenama Haniez's.

Walaupun sebelum ini tiada pengalaman dalam bidang perniagaan berkenaan, dia memberanikan diri selepas melihat potensi bidang terbabit untuk berkembang maju berdasarkan penguasaan bangsa asing.

Dengan modal RM30,000 hasil simpanan selama berkhidmat beberapa tahun di kilang terbabit serta berbekalkan semangat serta dorongan kuat ahli keluarga, Norhatina menubuhkan syarikat Seri Umairah Food & Beverages Sdn Bhd pada Mei tahun lalu untuk memulakan langkah awal.

Usahawan kelahiran Perak itu kini menjalankan perniagaannya dengan menyewa bahagian bawah sebuah rumah kedai di Taman Rasa Sayang, Senawang, sebagai pejabat dan tempat memproses coklat.

Menurutnya, modal itu digunakan untuk menyewa premis dan membeli beberapa peralatan memproses coklat. Bahan mentah pula diperoleh menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) serta syarikat pembekal coklat di Klang, Selangor.

"Saya akui tiada pengalaman dalam bidang ini, tetapi memberanikan diri kerana cemburu dengan kejayaan orang lain terutama bangsa asing yang berjaya. Justeru, saya merasakan orang Melayu perlu berani meneroka sesuatu bidang baru bagi memastikan produk yang dikeluarkan lebih terjamin."

"Setakat ini, saya memerlukan antara 150 hingga 200 kilogram bahan mentah coklat sebulan untuk diproses. Keluaran coklat itu kemudian dipasarkan bagi pasaran tempatan kerana belum mampu mengeluarkan lebih banyak berikutan cara memproses dan membungkus coklat dilakukan secara manual," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Norhatina berkata, setakat ini syarikatnya mengeluarkan lebih 20 jenis coklat pelbagai bentuk dan saiz yang memberikan kelainan dari segi kualiti serta rasa berbanding coklat jenama lain di pasaran.

Menurutnya, antara produk itu ialah jenis coklat praline, truffle, mufin, kek cawan dan coklat blok serta minuman coklat.

"Syarikat juga menyediakan perkhidmatan penyediaan cenderamata untuk majlis perkahwinan atau sebarang keramaian anjuran jabatan kerajaan mahupun swasta atau individu dalam bentuk barangan coklat mengikut pilihan pelanggan," katanya yang dibantu tiga pekerja sepenuh masa.

Katanya, pihaknya dalam perancangan untuk membeli mesin bersaiz besar bagi membolehkan lebih banyak pengeluaran produk coklat dalam sehari kerana sehingga kini permintaan daripada pelanggan amat memberangsangkan.

"Sehingga kini, produk saya dipasarkan di seluruh negara termasuk Sabah menerusi rangkaian pemasaran termasuk melalui kerjasama beberapa rakan niaga."

"Ia dipasarkan di tapak ekspo dan promosi dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)," katanya.

Ibu kepada dua anak berusia lapan dan sembilan tahun ini mengakui bukan mudah untuk berjaya dalam perniagaan kerana pandangan orang ramai terhadap produk coklat tempatan berbeza dengan produk coklat keluaran luar negara.

Namun, dia tetap yakin dengan potensi perniagaan itu apabila sambutan pelanggan meningkat selain mendapat sokongan Fama serta LKM termasuk pengetahuan dari segi pengurusan dan kemahiran menghasilkan coklat bermutu tinggi.

"Alhamdulillah, setakat ini perniagaan terus berkembang dengan baik dan memberangsangkan."

"Sebagai persediaan masa depan, saya berhasrat untuk membuka kilang dan mengeluarkan bukan saja lebih banyak jenis coklat, malah dalam kuantiti yang banyak bagi memenuhi permintaan termasuk kemungkinan mengintai peluang memasarkannya di luar negara suatu hari nanti."

"Saya ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan dan kalau boleh ingin berada sebaris dengan usahawan wanita lain yang sudah berjaya," katanya yang merakamkan penghargaan kepada LKM yang banyak membantu termasuk mengadakan promosi di luar negara seperti di London.

Sumber: myMetro
Foto:
Haniez's Chocolate

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, August 7, 2009

Labu Sayong KRAF SAZILAH

(Post: Bahasa Melayu)
"Asalnya sebiji labu tua yang dikeluarkan isinya, dibersihkan untuk dijadikan bekas mengisi air. Tradisi itu kekal sebelum konsep yang sama diterjemahkan melalui hasil buatan tangan manusia menggunakan tanah liat, direka bentuk sama dengan labu asal dan digelar labu sayong."

Produk tempatan dikenali labu sayong sempena nama Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak, itu pada asalnya tembikar berwarna hitam yang diangkat menjadi produk perusahaan kategori seramik.

Ada yang mengatakan warisan tradisi itu kian dilupakan dan cuma popular di sesetengah tempat. Namun itu cuma tanggapan.

Hakikatnya, labu sayong yang sudah lama bertapak semakin diminati kerana penampilannya lebih cantik dan menarik seiring dengan arus permodenan.

Keindahan bentuk labu sayong ini bermula dengan pemilihan tanah liat di tebing sungai yang dijemur sebelum dibentuk dengan tangan menggunakan sudip buluh dan digilap dengan sejenis batu dikenali batu luru bagi melicinkan permukaan sebelum diasap, dibersihkan dan terhasillah labu sayong tradisional berwarna hitam berkilat.

Itu tradisi lama, tetapi kini hasil arus perubahan zaman dan permodenan, penggunaan labu sayong lebih menjurus kepada hiasan rumah serta kegunaan lain dan bukannya sekadar bekas menyimpan air.

Sebab itulah, pengusaha labu sayong juga mengubah cita rasa mengeluarkan produk seramik yang mementingkan nilai moden, sentuhan warna dan corak yang lebih menyerlah bagi menarik minat pembeli tanpa mengenepikan terus nilai tradisi iaitu bentuk asalnya.

Kebanyakan bentuk labu sayong yang dihasilkan berdasarkan motif alam sekitar seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan calaran geometri yang digabungkan dengan sentuhan kreatif berasaskan nilai moden pilihan ramai.

Kini, bentuk dan kegunaan labu sayong juga mengalami anjakan baru apabila digunakan sebagai lampu tidur yang diubahsuai sedikit bentuk dan tapaknya bagi membolehkan labu dipasang wayar serta mentol lampu di dalamnya.

Memang menarik kerana ia bukan saja berfungsi sebagai perhiasan yang diletakkan di sudut bilik tidur tetapi juga mampu membantu menimbulkan suasana romantik waktu malam melalui cahaya malap mentol bervoltan rendah.

Corak, ukiran berasaskan tema tumbuhan setempat dipadankan dengan warna lembut seperti kuning air, warna asli tanah liat dan sesekali digabungkan dengan warna terang hijau daun bagi menyerlahkan hasil sentuhan pengukirnya.

Teknik pembuatan moden yang mengambil alih kaedah tradisional melalui teknik lemparan alin, teknik acuan dan teknik sepuh juga memastikan bekalan lampu tidur itu sentiasa mencukupi dan boleh dihasilkan dalam jumlah banyak pada satu-satu masa.

Saiznya juga membolehkan pembeli set lampu tidur dan hiasan mempunyai banyak pilihan mencari padanan yang sama.

Pengusaha labu sayong, Sazilah Mohd Yusof, 40, mengakui 'trend' permintaan pelanggan masa kini memerlukan perubahan baru dalam industri itu tetapi menegaskan ia satu perkembangan yang baik ke arah mengembangkan lagi sektor berkenaan.

"Dulu generasi tua yang gemar guna labu sayong, tetapi sekarang sebaliknya. Orang muda pun sukakan warisan tradisi ini tetapi mereka sukakan produk berwajah baru, jadi kita kena ubah ikut kehendak sekarang, lebih moden."

"Kami boleh hasilkan labu dalam jumlah yang banyak sebab kita gunakan teknologi moden dan proses pembakaran bakar guna mesin khas," katanya yang mengusahakan Kraf Sazilah bersama suaminya, Mohd Nasir Ismail, 40, di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

Pekerjanya yang juga pengukir corak labu khasnya lampu tidur, Mohd Aizan Idris, 29, berkata kebanyakan corak rekaannya bertemakan bunga dan tumbuhan. Ia diukir secara ekslusif, setiap satu lampu tidur itu mempunyai corak berlainan walaupun saiz dan warnanya sama.

Selain lampu tidur, labu sayong yang juga direka khas untuk dijadikan bekas telur sebagai cenderahati, antaranya majlis perkahwinan. Cuma, saiznya lebih kecil dan permukaan atasnya lebih hampir sama besar dengan tapak, berbeza dengan bentuk labu sayong asal.

Bekas ini dibentuk dan diukir dengan teliti menggunakan motif ukiran yang banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga seperti bunga tanjung, senduduk, lawang dan daun buluh.

Walau apapun perubahan bentuk dan penampilan lebih moden, bentuk asal labu sayong berwarna hitam asli tetap dikekalkan dan masih dijual, yang sering dipadankan dengan tali merah sebagai mengikat penutupnya, tanda kesinambungan warisan berzaman.

INFO LABU SAYONG:
- Labu sayong asalnya tembikar yang berwarna hitam
- Ia diberi nama sempena Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak

CONTACT INFO KRAF SAZILAH:
Telefon: 05-7772471

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 9, 2009

Besi Tempawan EBIZA

(Post: Bahasa Melayu)
"Percaya kepada keunikan dan daya tarikan besi tempawan membuatkan Ebiza Sdn Bhd (Ebiza) kian dikenali ramai khususnya peminat serta pemilik kediaman."

Kepesatan industri hiasan dalaman rumah kini turut memberi impak positif kepada Ebiza yang semakin giat menghasilkan pelbagai rekaan besi tempawan termasuk aksesori hiasan, set meja makan laman dan cenderahati unik.

Pengarah Urusannya, Embon Abdullah, berkata kebanyakan rekaan dikhususkan kepada aksesori hiasan yang menjadi pelengkap majlis perkahwinan.

"Penghasilan aksesori hiasan pelengkap perkahwinan menjadi fokus utama bagi memberikan kelainan dangaya eksklusif pada majlis berkenaan selain memahat kenangan terindah kepada setiap pasangan pengantin," katanya.

Dekoratif sangkar burung adalah antara gubahan hantaran yang mampu mencipta suasana yang segar pada majlis berkenaan.

Dalam memberi sentuhan berbeza pada majlis perkahwinan, besi tempawan keluaran Ebiza turut mewarnai ruang pelamin dengan rekaan unik memukau pandangan.

Ia mencetuskan idea terbaik kepada individu atau syarikat yang terbabit merancang majlis perkahwinan.

Bagi mengilhamkan kesempurnaan, aspek penataan cahaya turut diberi tumpuan dengan penghasilan lampu hiasan sudut pelamin dekoratif yang menyerikan ruang dan wajah pengantin.

Cenderahati istimewa berasaskan besi tempawan Ebiza turut menjadi pelengkap majlis khusus sebagai tanda penghargaan kepada tetamu.

Dihasilkan dalam pelbagai rekaan bermotifkan bunga-bungaan terpilih, cenderahati itu tentunya menjadi koleksi paling berharga.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dekoratif besi tempawan yang dihasilkan dalam warna putih mendapat permintaan tinggi berbanding warna keemasan dan perak.

Warna putih mempunyai daya tarikan tersendiri sementara warna keemasan dan perak tetap menyuntik suasana mewah, bergaya dan klasik," katanya.

Tidak ketinggalan aksesori hiasan kediaman Ebiza turut menjadi kegilaan peminatnya kerana dihasilkan dalam reka bentuk berbeza mengikut permintaan.

Dekoratif besi tempawan pada dinding umpamanya yang digarap bermotifkan bunga-bungaan lengkap dengan simbahan cahaya lampu pastinya menjadi titik fokal terbaik pada ruang.

Aksesori hiasan lain seperti bingkai gambar dan bekas lilin berdekoratif menginspirasikan penataan ruang berbeza.

"Sementara kerja memproses besi pula membabitkan kaedah mengasah, mengimpal atau memateri sebelum dibentuk menjadi sesuatu yang kreatif atau perkakas lain.

"Ini kerana besi adalah bahan logam yang mudah dibentuk kerana strukturnya yang kukuh dan tidak berongga," katanya.Berminat dengan ukiran besi, kunjungi

INFO:
Ruang pameran Ebiza di 12A, Tingkat Bawah, Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor

Email: ebizasb@streamyx.com

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, June 29, 2009

Bazar Larut Malam

(Post: Bahasa Melayu)
"Sejarah bazar larut malam bermula di Uptown Damansara. Kewujudannya sejak lewat 1990-an menjadi pencetus kepada fenomena bazar larut malam di negara ini dan ia semakin hari semakin diterima masyarakat."

Semakin jarum jam melewati detik pukul 12 malam, semakin meriah aktiviti warga Kuala Lumpur terutamanya pada cuti hujung minggu.

Justeru, bukan menghairankan apabila semakin banyak premis perniagaan terutamanya gerai makan, kedai mamak dan restoran makanan segera sanggup beroperasi 24 jam untuk memenuhi permintaan gaya hidup warga kota.

Selain itu, salah satu lokasi tumpuan warga kota hari ini pada lewat tengah malam ialah bazar larut malam yang beroperasi dari pukul 11 malam hingga 4 pagi.

Bukan sekadar menawarkan barangan pada harga yang murah, bazar larut malam yang semakin menjadi trend di kalangan warga kota hari ini juga menyediakan pelbagai aktiviti lain.

Berkonsepkan perniagaan terbuka dan lewat malam, ia formula luar biasa yang berjaya menarik ribuan orang membeli-belah pada malam hari terutama menjelang musim perayaan.

Malah, kehadirannya bukan sahaja mengatasi populariti pasar malam biasa tetapi turut memberi saingan kepada Jalan Petaling, Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit.

KL Downtown yang dibuka pada 21 April 2006 antara bazar larut malam yang cukup popular dalam kalangan warga kota.

Di bazar itu juga, orang ramai boleh berhibur dengan persembahan penyanyi jalanan, pertunjukan ahli silap mata, melukis potret dan pelbagai pameran.

Bagi remaja yang masih menuntut, membeli-belah atau meluangkan masa di bazar larut malam boleh mengisi masa lapang setelah penat belajar.

Konsep perniagaan secara terbuka, tawaran harga berpatutan dan suasana yang meriah menyebabkan ramai peniaga mencuba nasib menghidupkannya di beberapa kawasan di Lembah Klang.

Antaranya di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang serta beberapa buah negeri di seluruh negara.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif KL Downtown Night Market, Mohd Rustam Roshandin, KL Downtown menerima kunjungan paling ramai daripada golongan belia.

"Sejak dibuka, tempat ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, terutama golongan remaja. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk dituju pada lewat malam sekiranya mahu mencari aktiviti yang sihat."

"Ada juga yang datang untuk mencari barang-barang kerana kebanyakan produk dijual pada harga yang murah," katanya.

Menurut Rustam, KL Downtown menjadi pilihan kerana kemeriahannya berbanding bazar larut malam yang lain ada di sekitar ibu kota.

"Mungkin juga kerana kedudukan bazar ini yang menyebabkannya menjadi pilihan selain kebanyakannya adalah peniaga Melayu," kata Rostam sambil memberitahu, KL Downtown juga menjadi pilihan penganjur mengadakan program untuk golongan belia.

"Untuk menjauhkan golongan remaja daripada dadah satu sesi kesedaran antidadah dianjurkan pada hujung minggu," ujar Rustam.

Sejak kehadiran bazar larut malam, ada dalam kalangan peniaga bumiputera mencapai kejayaan. Kaedah pemasaran, produk yang mendapat permintaan ramai dan jualan lelong terutamanya pada musim perayaan antara faktornya.

Keunikan barangan yang dijual juga menjadikan bazar larut malam menjadi tumpuan pelancong.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 24, 2009

Kraf Debu Marmar

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat yang mendalam dalam bidang seni kraftangan membuatkan Adabiah tidak menoleh ke belakang lagi selepas menubuhkan Assent Crystal yang menghasilkan kraf daripada debu marmar."

Bukan sedikit orang yang berpendapat barangan kraftangan tempatan agak mahal jika dibandingkan dengan produk dari negara jiran. Antara kraftangan yang dimaksudkan ialah songket, perabot kayu dan produk sulaman.

Namun, bagi pengusaha barangan cenderamata debu marmar dari Alor Setar, Kedah, Adabiah Darus, 51, tanggapan itu merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhinya dengan pendekatan positif.

"Seni ukiran dan seni halus perlu dihasilkan melalui kerja tangan yang teliti, ia bukan dibuat cincai-cincai. Malah, kualiti bahan adalah antara perbezaan utama produk tempatan dengan produk negara jiran," tegasnya yang merupakan pemilik syarikat Assent Crystal Craft Sdn. Bhd.

Syarikat miliknya yang terletak di Rumah Kedai Pumpong dekat Alor Setar itu menghasilkan pelbagai jenis barangan daripada debu marmar.

Antaranya ialah bingkai gambar, plat, hiasan bangunan tiga dimensi (3D), hiasan dinding, bekas telur, bekas cincin dan terbaru dekor suis.

Kata ibu kepada enam orang anak yang berusia di antara 28 hingga 11 tahun itu, peniaga bukanlah meletakkan harga sewenang-wenangnya. Jika kraftangan dihasilkan memerlukan kemahiran yang lebih kerana prosesnya yang rumit sudah tentu ia dijual pada harga yang lebih mahal.

"Kami akui ramai pembeli lebih suka beli barangan dari negara China dan Thailand sebab murah, tetapi sebenarnya mereka tidak tahu, seni kraftangan tempatan lebih halus dan tulen," katanya.

Beliau yang lebih 10 tahun menghasilkan barangan berasaskan debu marmar itu memberitahu Kosmo!, minatnya terhadap seni ukiran menjadi penyebab beliau terlibat dalam bisnes itu walaupun proses pembuatannya agak remeh.

"Bayangkan saya pernah buat satu bingkai gambar berbentuk bangunan 3D mengambil masa sehingga empat minggu tetapi jika corak yang dipesan pelanggan sangat ringkas dalam 10 minit sudah boleh siap," ujarnya.

Perniagaan beliau itu turut dibantu oleh tiga orang anaknya, Farahanim Fadzil, 28, Mohd. Fahmi, 27 dan Faiz, 24.

Adabiah turut mempunyai dua pekerja lain yang membantunya menyiapkan tempahan.

Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang itu, beliau berkata, pada tahun 1999 rakan suaminya memperkenalkan produk daripada debu marmar itu.

"Saya memang tiada asas nak buat benda-benda tu, cuma saya tahu buat gubahan bunga sahaja. Pada mulanya saya hanya beri modal untuk berniaga tetapi lama-lama jadi minat pula."

"Selepas rakan suami berhenti berniaga, saya ambil alih bersama anak sulung dan sekarang ia sudah menjadi perniagaan keluarga," ujar Adabiah yang menerima banyak tempahan daripada jabatan kerajaan hasil bantuan Perbadanan Kemajuan Kraftangan."

Tambah Adabiah, misinya sekarang mahu memperkenalkan barangan kraftangan berasaskan debu marmar itu ke peringkat antarabangsa.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, June 22, 2009

Hiasan Bunga Dip

(Post: Bahasa Melayu)
"Kemahiran dan ketekunan dalam seni kreatif pastinya mampu menjana pendapatan buat sesiapa sahaja yang rajin beruasaha."

Selain pelamin dan busana pengantin, gubahan hantaran, bunga pahar serta bunga telur berfungsi menyemarakkan majlis perkahwinan.

Bagi bunga pahar dan bunga telur, bunga dip kian digemari kerana selain cantik, ia mudah disediakan.

Pakar produk Creative Fingers (CF), Nurul Ain Abdul Rahim, berkata sesiapa saja boleh mencuba membuat bunga dip kerana tidak memerlukan kos dan kemahiran tinggi.

Bunga ini diminati kerana menawarkan pelbagai warna dan rupa yang diadun daripada kreativiti, di samping sesuai bagi sebarang tema majlis perkahwinan.

Nurul Ain berkata, menyiapkan bunga dip tidak sesusah mana kerana jika dibuat bersungguh-sungguh, dianggarkan 15 kuntum sehari dapat disiapkan.

"Keistimewaan bunga ini diserlahkan menerusi rangka kelopak bunganya. Bagi yang kreatif dan gemar berimaginasi, selain ros, pelbagai bunga lain boleh dihasilkan termasuk anggerik, lili dan dahlia," katanya yang turut menganjurkan kelas membuat bunga dip di ruang pameran kedainya di Setapak, Kuala Lumpur.

INFO:
Selain menawarkan pakej perkahwinan, Creative Fingers, iaitu perniagaan berasaskan kraf ini juga mengambil tempahan cenderamata majlis serta korporat, hamper, mereka bentuk laman web, spa, kelas kraf dan spa hidroterapi.

Telefon: 03-41481851

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 11, 2009

Bisnes Lukisan Jubin

(Post: Bahasa Melayu)
"Tidak ada bezanya dengan kanvas. Kalau tidak suka atau tersalah lukis, basuh sahaja dengan air dan ia akan hilang. Kemudian, jubin perlu dibakar di dalam ketuhar bagi membolehkan warnanya tahan lama dan tidak mudah tertanggal."

Di atas meja kaca di dalam studio kecil di Damansara Perdana, barisan puluhan jubin dengan pelbagai motif dan warna pantas menarik perhatian.

Andai diteliti, paparan di atas permukaan jubin yang putih dan licin itu boleh terdiri daripada apa sahaja. Sama ada lukisan abstrak, watak hero, lirik lagu, binatang atau frasa pop yang popular.

Apa yang pasti, jubin bersaiz sama ada 2x2 inci atau 4x4 inci itu sudah ditransformasikan kepada satu bentuk seni yang comel, segar dan mampu membuat sesiapa sahaja ingin memilikinya.

"Secara purata, jubin-jubin ini akan dibakar dalam tempoh 30 minit, dibiarkan sejuk sendiri di dalamnya dan kering dalam masa 48 jam," jelas Nadiah Kimie, 31, sambil tersenyum.

Dia dan sahabatnya, Rekha Menon, mula mempamerkan hasil karya mereka di bazar seni yang dikenali sebagai Art for Grab sejak tahun lalu di Galeri Annexe Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Dengan bayaran RM100, mereka 'bekerjasama' mempamerkan hasil karya masing-masing di sana selama dua hari. Tanpa disangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

"Sangat mudah dan sesiapa pun boleh membuatnya. Kami bermula dengan 36 keping jubin. Kemudian, ada pula pelanggan yang memberi cadangan supaya jubin ini dihasilkan dalam bentuk set."

"Set yang terdiri daripada motif yang hampir sama, tetapi mempunyai warna berbeza. Ada seorang pelanggan wanita mahukan set ikan lumba. Biarpun lukisannya sama, warnanya berbeza."

"Jadi, pembeli akan memperoleh hasil yang eksklusif dan tidak akan diulang cetak," tambah Nadiah, menyatakan bahawa dia menggunakan cat arkrilik khas untuk porselin dan jubin seramik untuk melukis.

Set itu mungkin ada tiga atau lima keping jubin. Namun begitu, pelanggan juga boleh membeli satu atau dua sahaja, tidak semestinya beli semua.

Pada kali kedua program Art for Grab, mereka menjual jubin yang dilekatkan dengan magnet. Ia mendapat sambutan kerana pengunjung mempunyai lebih banyak pilihan.

"Berapa lama hendak disiapkan bergantung pada coraknya. Ada yang boleh disiapkan dengan cepat. Kalau yang senang seperti ini, cuma perlukan masa lima minit sahaja," kata Rekha sambil memegang sekeping jubin bergrafik abstrak berwarna hitam dan putih.

Bercerita tentang corak, Rekha dan Nadiah menyatakan, kebanyakannya adalah abstrak atau terdiri daripada gabungan idea.

"Kami akan mulakan siri I 'heart' seperti I Love KL dan sebagainya. Idea itu datang daripada seorang pelanggan. Seorang pelanggan lain pula mahukan siri superheroes. Ini termasuklah watak siri televisyen Heroes seperti Sylar, Hiro Nakamura, selain Wonder Women, Wolverine dan Batman."

"Ada juga individu meminta kami menghasilkan 100 keping jubin bermagnet untuk hadiah majlis perkahwinannya. Banyak sangat, jadi minta masa selama tiga bulan untuk siapkan," kata Rekha sambil memberitahu jubin ini dijual pada harga RM5 dan RM10, bergantung kepada saiznya.

Buat masa sekarang, mereka hanya 'memasarkan' produk dalam program Art for Grab.

"Memang ada yang minta supaya kami hasilkan dalam skala lebih besar seperti hadiah perkahwinan, perhiasan di bilik air, di samping ada pemilik kedai yang menawarkan untuk menjual jubin magnet di kedainya."

"Kami masih meneroka sebarang idea dan kemungkinan. Setakat ini, kami tidak mahu jadikannya sebagai satu bebanan. Kami mahu hasilkan jubin ini dalam keadaan yang seronok," ujar Nadiah.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 24, 2009

Rantai Kunci Topi

(Post: Bahasa Melayu)
"Lebih menarik, sudahlah mudah dibuat, ia juga menggunakan bahan terpakai yang mudah diperoleh."

Rantai kunci lazimnya dijadikan cenderamata kenang-kenangan.

Bersaiz kecil dan boleh didapati dalam beragam bentuk serta motif dan material popular membentuk rantai kunci tentunya logam, kayu, kaca, cermin atau kulit kerang.

Pendek kata, hampir semua tidak kiralah lelaki atau wanita, kanak-kanak serta golongan tua dapat memanfaatkan rantai kunci ini yang boleh digunakan bagi mengikat kunci rumah atau kunci kereta.

Apatah lagi ia mudah digantung dan menjadikan usaha mencari kunci juga senang.

Tidak hairanlah, rantai kunci ini tidak pernah dilupakan dan hanya peredaran masa serta sedikit kreativiti memberi kelainan bagi setiap produk yang dihasilkan.

Pembuat kraf, Mariani Nordin cuba tampil berbeza melalui rantai kunci kertas motif topi.

Bentuknya yang comel dan feminin sesuai dijadikan penghias tas tangan, juga disyorkan sebagai hadiah istimewa.

"Modal membuat rantai kunci tidak mahal kerana menggunakan bahan terpakai seperti kertas dan manik. Saya menganggarkan kos membuatnya tidak lebih daripada RM5," kata Mariani.

INFO Rantai Kunci Topi:
Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat rantai kunci topi ialah kertas suratkhabar, lidi, gam, gegelung kunci, ragum, manik jurai dan dawai.

CONTACT INFO:
Telefon: 019-6708155 (Mariani)

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 7, 2009

Seramik POG Pottery

(Post: Bahasa Melayu)
"Trend terkini yang menjadi pilihan ialah pasu besar yang berbentuk klasik dengan warna yang kusam atau matte, pudar dan nampak seperti antik. Pasu-pasu sebegini menarik jika dijadikan hiasan di taman atau sebagai kolam kecil di sudut ruang yang kecil."

Ilmu dan kemahiran kraf biasanya dipelajari secara tradisi mengikut kaedah tidak formal. Bagaimanapun, peredaran waktu dan keperluan semasa, menuntut perubahan menerusi kaedah pembelajaran ilmu dan kemahiran secara lebih formal.

Menyedari hakikat dan keperluan ini, maka Institut Kraf Negara (IKN) diwujudkan, bertujuan menjadi salah satu gelanggang pendidikan formal bagi pelajar dalam bidang seni kraf tempatan. Kini, ramai pelajarnya telah berjaya dalam bidang yang diceburi.

Mohd. Fauzi Mohd. Safian dan Meor Amirul Din Aris, kedua-duanya berusia 26 tahun merupakan lulusan IKN yang kini berjaya sebagai usahawan produk seramik.

Ketika ditemui pada sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2009 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini, dapat dilihat pelbagai jenis produk seramik keluaran syarikat mereka, iaitu POG Pottery. Di antaranya, labu sayong, labu kecil yang boleh dijadikan cenderahati, lampu tidur, pasu besar sebagai hiasan landskap, produk hiasan rumah dan banyak lagi.

Menurut Mohd. Fauzi, POG Pottery yang baru dua tahun beroperasi merupakan program inkubator di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Cawangan Perak.

"Kami memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan sebanyak RM10,000 bagi membeli tanah dan bahan-bahan bagi menghasilkan produk seramik sementara pihak Kraftangan menyediakan fasiliti dan bimbingan," kata bekas pelajar jurusan seramik IKN ini.

Tambahnya, pendidikan dan kemahiran yang diperoleh selama tiga tahun menuntut di IKN digunakan sepenuhnya dalam perniagaan yang menjadi pilihannya dan Meor Amirul.

Sementara itu, Meor Amirul berkata, pasu-pasu yang dibuat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengusaha-pengusaha nurseri di sekitar Ipoh, Perak.

"Kami turut menerima banyak tempahan pasu-pasu besar dari badan-badan kerajaan, hotel dan resort bagi menghiasi landskap," ujar beliau.

Meor Amirul menambah, motif alam semula jadi seperti pokok, flora dan fauna menjadi pilihan ramai. Selain itu mereka turut menyelitkan corak-corak ukiran kayu atau sulur kacang.

"Pada masa depan kami merancang bagi meluaskan pengeluaran dengan reka bentuk dan corak yang pelbagai bagi memenuhi permintaan bukan sahaja daripada dalam negeri malah di luar negara," jelasnya lagi.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-9884655

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, April 4, 2009

Pengukir Kasut Kayu Hiasan

(Post: Bahasa Melayu)
"Idea ini sebenarnya suatu yang simbolik kerana ia bertemakan hijrah. Setiap orang berhijrah atau mengembara mesti memakai alas kaki dan kebanyakannya adalah kasut."

Ukirannya mementingkan kemodenan tetapi pada masa sama tetap mengekalkan seni ukir tradisional.

Itulah yang diterjemahkan oleh pengukir kayu, Ahmad Ikram Mohd Suhaily, 51, yang kini gah dengan imej baru sebagai pengukir kasut kayu hiasan yang menampilkan kelainan berbanding rekaan sebelumnya.

Semuanya bermula apabila secara tiba-tiba Ikram mendapat idea mengukir kasut menggunakan kayu terpakai atau terbuang dengan memilih tiga jenis kayu saja, iaitu cengal, tembesu dan merbau bagi mengekalkan kualiti serta nampak lebih cantik.

Dalam tempoh setahun lebih selepas kembali daripada 'bertapa' sejak 1998 atas masalah kekurangan idea serta urusan lain, Ikram kini menghasilkan lebih 200 kasut kayu lelaki pelbagai saiz dan corak.

"Saya pernah mencuba mengukir kasut wanita tetapi tidak menjadi, nampaknya ia lebih sesuai untuk lelaki."

Baginya, kepuasan dalam kerjaya ini apabila berjaya menyiapkan rekaannya dan pembeli berpuas hati dengan hasil kerjanya. Bukan soal bayaran yang menjadi keutamaan, tetapi penerimaan peminat yang cukup memberi kepuasan.

Disebabkan itu, beliau sanggup menerima tempahan terus daripada mana-mana pelanggan di setiap tempat pameran yang disertai. Kebiasaannya, pelanggan akan memintanya mengukir berdasarkan kasut yang mereka pakai dan boleh disiapkan dalam tempoh dua jam.

Ikram berkata, beliau hanya menghasilkan satu jenis corak eksklusif pada setiap rekaannya dan tidak akan membuat benda yang sama pada ukiran lain.

Kini hasil kreatifnya semakin mendapat perhatian dan sokongan terutama daripada Jabatan Kraftangan Negeri Sembilan yang memberinya peluang mempamerkan bakat di ruang pameran.

INFO:
Anai Creation Enterprise
Lokasi: Seremban, Negeri Sembilan

Hasil ukiran lain: Topi, Tin kemek, Key chain, Dulang

Harga jualan: RM30 hingga RM500 (mengikut saiz dan jenis)

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 16, 2009

Kraftangan Dari Bahan Buangan

(Post: Bahasa Melayu)
"Berkat kegigihan dan sentiasa memanfaatkan bahan buangan, Saodah sekeluarga memperoleh pendapatan agak lumayan apabila hasil kraf tangan tersebut mendapat sambutan baik daripada orang ramai termasuk dari Singapura."

Seorang suri rumah, Saodah Sujak, 60, dari Kampung Parit Tengah, Sri Gading, Batu Pahat, Johor, menjadi contoh kepada wanita tempatan apabila mengusahakan industri kraf tangan secara kecil-kecilan daripada bahan buangan termasuk akhbar lama di rumahnya sejak 10 tahun lalu.

Menurut Saodah, selain akhbar lama, beliau turut menghasilkan kraf tangan daripada bahan plastik, kelapa, polestrin dan daun getah.

Katanya, antara yang dihasilkan adalah pokok dan daun bunga, pasu, bakul telur dan pelbagai cenderamata.

"Kesemua barang ini dibuat berdasarkan tempahan pelanggan dan boleh disiapkan antara dua hingga enam bulan," katanya.

"Harganya bergantung kepada sesuatu barang iaitu antara 60 sen hingga RM300 setiap satu."

Menurutnya, bagi bakul telur yang dibuat daripada akhbar lama untuk majlis perkahwinan, beliau mampu menyiapkan sebanyak 1,000 buah dalam masa dua bulan dengan harga 60 sen sebuah.

Saodah memberitahu, pengetahuan asas mengenai kraf tangan itu diperoleh daripada Kemas dan Risda yang kemudian dikembangkan mengikut daya kreativiti diri dan anaknya.

"Kedua-dua agensi ini banyak memberi sokongan termasuk membawa hasil kraf tangan kami ke beberapa pameran peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.

Menurutnya, dia bersedia mengembang atau membesarkan industrinya itu pada masa akan datang jika mendapat bantuan dan sokongan daripada beberapa agensi kerajaan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, November 26, 2008

Cenderahati Ukiran Lilin

(Post: Bahasa Melayu)
"Dengan ilusi lilin yang sekali pandang begitu 'menyelerakan' pasti ada tersalah duga mengenai kelainan yang cuba ditampilkan."

Suatu kelainan SZA Resources menjadikan sesuatu cenderahati paling bererti dengan lakaran tersendirinya bukan saja sebagai barangan hiasan tetapi buah tangan buat insan istimewa.

Pemiliknya, Suzana Zainal Abidin, graduan Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melakar sesuatu yang menarik untuk majlis pertunangan, perkahwinan, ulang tahun hari lahir atau apa saja yang menitipkan kenangan indah.

Syarikatnya menawarkan pelbagai cenderahati berbentuk bunga sabun, lilin wangi dan set berupa tuala yang terdiri daripada pelbagai warna menarik.

Kelainan yang dicetuskan membuatkan ramai teruja memilikinya.

"Ada yang melihatnya buat pertama kali berasa pelik bagaimana inspirasi buah-buahan, kek, mufin atau kek cawan serta bentuk coklat yang seakan-akan kek sebenar."

"Melihat cita rasa masyarakat yang berbeza hari ini yang sukakan sesuatu lain daripada kebiasaan, menjadikan cenderahati berkonsep unik ini digemari."

"Jika selama ini dalam istiadat perkahwinan menjadikan bunga telur, potpuri serta pelbagai hiasan lain sebagai tanda ingatan, apa salahnya mencuba sesuatu yang berbeza kerana ilhamnya amat kreatif dan tersendiri."

Sumber: myMetro
Foto:
SZA Resources

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::