Galeri Art On Glass
(Post: Bahasa Melayu)
" Ekspresi diri yang dizahirkan ke atas kaca dengan bentuk lakaran menarik mampu menjadi kenangan terindah buat seseorang. "
Itu yang dibuktikan Salmiah Mohd Norin, 43, meskipun tidak pernah meminati bidang lukisan bahkan tidak pernah memegang berus lukisan atau kanvas.
Inisiatifnya untuk berkarya lahir apabila mengikuti kelas melukis atas kaca untuk memberi inspirasi baru ke atas minatnya yang dipupuk perlahan-lahan itu.
Kini, pemilik syarikat Art On Glass itu mampu memanipulasi hobinya sehingga ia lahir sebagai karya menarik untuk kepuasan peribadi.
"Mungkin semua ini atas dorongan sekeliling terutama suami. Saya berusaha sendiri mengikuti kelas melukis secara serius sehingga akhirnya tercetus semua ini."
"Apa yang menarik, cubaan melukis dan melakukannya secara komersial membuahkan kejayaan. Ia membuatkan hati teruja dan dari situ terhasil karya atas kaca, daripada bentuk kecil hinggalah kaca leper, mangkuk, botol, dulang, tempat habuk rokok, bingkai gambar dan segala yang boleh dijadikan perhiasan."
"Seronok melakukan kerja seni ini dan paling menyeronokkan, ia mempunyai kelompok penggemar tersendiri terutama mereka yang ingin menjadikannya sebagai barangan cenderahati," katanya ketika ditemui di kedai miliknya yang beroperasi di Selayang Baru, Selangor.
Melukis barangan mengikut kreativiti tersendiri dan dilukis di atas kaca yang diterbalikkan itu nyata menarik perhatian ramai.
Bahkan, pertama kali mengadakan pameran pada Perhimpunan Agung Umno lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi katalis buat wanita ini kerana ia membuka banyak mata pengunjung yang menyedari kehadiran lukisan kaca berkenaan.
"Lebih memberangsangkan apabila isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menempahnya dalam jumlah yang agak banyak dan ia membuatkan saya teruja campur terkejut."
"Sebenarnya, lukisan sebegini sesuai dijadikan barangan cenderahati untuk golongan korporat mahupun orang perseorangan. Peminatnya juga boleh menyimpan barangan sebegini sebagai koleksi indah."
"Bagi remaja sekolah, kebanyakan mereka menggemari bentuk ukiran kecil dan sederhana seperti piring kecil yang diperincikan dengan lukisan unik. Bagi kanak-kanak pula, kebanyakannya meminati lukisan kartun atau bunga-bungaan diabadikan di atas jubin," katanya sambil menambah hasil seninya itu boleh didapati pada harga antara RM30 hingga RM780.
Bukan hanya kepuasan melukis, Salmiah turut menterjemahkan nilai seni itu menerusi gubahan indah dalam bentuk bungkusan hadiah atau hamper menarik.
"Ia memberi kepuasan berganda kepada saya sendiri. Pertama, ketika menghasilkan lukisan tentunya terasa indah untuk memberi sentuhan menarik. Setelah lukisan kaca terhasil, lebih memberangsangkan apabila ia sempurna dibalut dengan gubahan menarik."
"Menerusi sambutan menggalakkan, saya kini mengumpul penggemar yang berhasrat mengkomersialkan bidang ini dengan mengadakan kelas khusus untuk memanfaatkan hobi ini sepenuhnya," katanya.
Sumber: myMetro
Foto: 88db
0 comments:
Post a Comment