ATTENTION !!!

Showing posts with label lelong (auction). Show all posts
Showing posts with label lelong (auction). Show all posts

Friday, October 22, 2010

Lelong Biri-Biri Dorper

(Post: Bahasa Melayu)
" "Kita akan mulakan dengan plot satu, 10 ekor biri-biri Dorper betina baka dengan harga RM4,500," kata juru bida, Khairuddin Ismail sambil menunjukkan kepada plot yang akan dilelong. "

Sepuluh ekor biri-biri Dorper betina mengembek dalam plot 1 mencari makanan.

Mentol di plot yang akan dibida dinyalakan bagi membolehkan pembida menentukan plot pilihan mereka.

Episod membida bermula, pembida mengangkat nombor masing-masing sebagai tanda menambahkan pembidaan dengan nilai RM50 sekali.

Khairuddin yang berpengalaman sebagai juru bida di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selama 15 tahun, berdiri menghadap plot yang diisi dengan 10 ekor biri-biri Dorper. Setiap satu mempunyai harga, jantina dan kegunaan sama ada untuk baka atau sembelihan.

Seramai 50 orang pembida yang datang dari seluruh negara telah meninjau plot diberikan nombor, duduk di tempat yang dikhaskan.

"RM4,500 satu...!"Jerit Khairuddin dengan matanya meliar memandang pembida.

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya pembida dengan nombor 015 mengangkat kadnya.

"Sekarang siapa berani dengan RM4,550...!" Katanya menarik minat bukan saja pembida tetapi juga mereka yang datang untuk meninjau lelongan biri-biri Dorper yang pertama kali dijalankan di Projek Agropolitan Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Pembidaan semakin rancak apabila nama pembeli pertama akan diabadikan di ladang berkenaan.

Setengah jam berlalu, harga yang ditawarkan telah meningkat lebih dua kali ganda, masing-masing berebut mengabadikan nama di ladang berkenaan.

"RM13,950... dua kali...!" Belum sempat juru lelong menghabiskan kata-katanya, pembida dengan nombor 011 mengangkat kadnya.

Akhirnya tinggal hanya tiga pembida yang benar-benar berminat mendapatkan Dorper dalam plot 1.

"Sapa berani lawan untuk harga RM14,900... satu, RM14,900 .... dua, RM14,900 tiga.. ! Kalau macam tu, plot 1 kepunyaan 015!" Katanya.

Pembantu juru bida Azhar Ibrahim, memalu gong tiga kali sebagai menandakan plot 1 telah menjadi milik pembida dengan nombor 015.

Aktiviti bidaan berjalan rancak dan mengambil masa lebih empat jam dengan 435 ekor biri-biri Dorper bernilai RM265,550.

Aktiviti bidaan biri-biri Dorper diadakan buat kali pertama selepas genap setahun Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jualan biri-biri Pekan Dorper Auction dianjurkan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Melebihi jangkaan

Bidaan kali pertama itu melibatkan biri-biri Dorper dengan jenama Pekan Dorper yang diternak di bawah Projek Agropolitan Pekan bagi golongan miskin tegar.

Kini biri-biri Dorper merupakan salah satu aktiviti utama di Agropolitan Pekan selepas ladang kelapa sawit.

Dalam tempoh setahun, Projek Agropolitan Pekan telah berjaya menggandakan populasi biri-biri baka Dorper kepada hampir 2,000 ekor daripada 1,000 ekor pada peringkat permulaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John gembira dengan kejayaan yang dicapai.

"Kami tidak menyangka mendapat sambutan yang melebihi jangkaan dengan lebih 50 pembida mengambil bahagian memandangkan ini adalah aktiviti pertama di Agropolitan Pekan" katanya.

Beliau menambah aktiviti bidaan akan diadakan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan bilangan biri-biri.

Dalam tempoh setahun Projek Agropolitan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan taraf hidup para peserta projek.

Malah, kejayaan projek perintis penternakan biri-biri akan menjadi pelopor pembangunan 250 unit kandang ternakan (APU) di Agropolitan Pekan yang melibatkan sejumlah 25,000 biri-biri baka Dorper.

Apabila jumlah berkenaan dicapai, Agropolitan Pekan bakal mempunyai populasi biri-biri terbesar di satu lokasi tunggal di Asia dan dalam tempoh lima tahun tempat ini akan menjadi pusat pembidaan Dorper.

Projek Agropolitan merupakan sebuah projek sosioekonomi bersepadu yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat miskin tegar.

Melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan peserta projek mampu menjana pendapatan tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Felda dilantik bagi menyelaras dan mengurus projek berkenaan dan pada permulaan 30 peserta Orang Asli telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ternakan Dorper sejak Julai tahun lalu.

Selain 11 buah APU sedia ada untuk menempatkan biri-biri, 60 buah APU sedang dibina, 30 dijangka siap November 2010 manakala bakinya pada 2011.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, June 29, 2009

Bazar Larut Malam

(Post: Bahasa Melayu)
"Sejarah bazar larut malam bermula di Uptown Damansara. Kewujudannya sejak lewat 1990-an menjadi pencetus kepada fenomena bazar larut malam di negara ini dan ia semakin hari semakin diterima masyarakat."

Semakin jarum jam melewati detik pukul 12 malam, semakin meriah aktiviti warga Kuala Lumpur terutamanya pada cuti hujung minggu.

Justeru, bukan menghairankan apabila semakin banyak premis perniagaan terutamanya gerai makan, kedai mamak dan restoran makanan segera sanggup beroperasi 24 jam untuk memenuhi permintaan gaya hidup warga kota.

Selain itu, salah satu lokasi tumpuan warga kota hari ini pada lewat tengah malam ialah bazar larut malam yang beroperasi dari pukul 11 malam hingga 4 pagi.

Bukan sekadar menawarkan barangan pada harga yang murah, bazar larut malam yang semakin menjadi trend di kalangan warga kota hari ini juga menyediakan pelbagai aktiviti lain.

Berkonsepkan perniagaan terbuka dan lewat malam, ia formula luar biasa yang berjaya menarik ribuan orang membeli-belah pada malam hari terutama menjelang musim perayaan.

Malah, kehadirannya bukan sahaja mengatasi populariti pasar malam biasa tetapi turut memberi saingan kepada Jalan Petaling, Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit.

KL Downtown yang dibuka pada 21 April 2006 antara bazar larut malam yang cukup popular dalam kalangan warga kota.

Di bazar itu juga, orang ramai boleh berhibur dengan persembahan penyanyi jalanan, pertunjukan ahli silap mata, melukis potret dan pelbagai pameran.

Bagi remaja yang masih menuntut, membeli-belah atau meluangkan masa di bazar larut malam boleh mengisi masa lapang setelah penat belajar.

Konsep perniagaan secara terbuka, tawaran harga berpatutan dan suasana yang meriah menyebabkan ramai peniaga mencuba nasib menghidupkannya di beberapa kawasan di Lembah Klang.

Antaranya di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang serta beberapa buah negeri di seluruh negara.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif KL Downtown Night Market, Mohd Rustam Roshandin, KL Downtown menerima kunjungan paling ramai daripada golongan belia.

"Sejak dibuka, tempat ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, terutama golongan remaja. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk dituju pada lewat malam sekiranya mahu mencari aktiviti yang sihat."

"Ada juga yang datang untuk mencari barang-barang kerana kebanyakan produk dijual pada harga yang murah," katanya.

Menurut Rustam, KL Downtown menjadi pilihan kerana kemeriahannya berbanding bazar larut malam yang lain ada di sekitar ibu kota.

"Mungkin juga kerana kedudukan bazar ini yang menyebabkannya menjadi pilihan selain kebanyakannya adalah peniaga Melayu," kata Rostam sambil memberitahu, KL Downtown juga menjadi pilihan penganjur mengadakan program untuk golongan belia.

"Untuk menjauhkan golongan remaja daripada dadah satu sesi kesedaran antidadah dianjurkan pada hujung minggu," ujar Rustam.

Sejak kehadiran bazar larut malam, ada dalam kalangan peniaga bumiputera mencapai kejayaan. Kaedah pemasaran, produk yang mendapat permintaan ramai dan jualan lelong terutamanya pada musim perayaan antara faktornya.

Keunikan barangan yang dijual juga menjadikan bazar larut malam menjadi tumpuan pelancong.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 11, 2009

Untungnya Membeli Rumah Lelong

(Post: Bahasa Melayu)
"Ramai yang tidak tahu mengenai manfaat rumah lelong, di mana mereka pernah membeli sebuah kondominium di Kelana Jaya yang harga pasarannya RM430,000 tetapi berjaya dibida pada harga RM172,000."

Bagi pesara kerajaan, Abdul Rahim Abas, hartanah merupakan pelaburan terbaik yang pernah dilakukannya selepas bersara.

Gemar membaca, beliau mendapat ilham untuk melaburkan wangnya dalam sektor hartanah apabila membaca buku karya penulis dan konsultan kewangan bertauliah, Azizi Ali.

"Bagi saya dan isteri, Fadzilah Ishak, 59, pelaburan hartanah merupakan cara untuk kami menampung kehidupan selepas bersara."

"Sungguhpun tidak banyak, tetapi cukuplah untuk hidup selesa setiap bulan," kata lelaki yang berusia 65 tahun ini.

"Rumah lelong, bagi kami, memberi nilai pada wang. Bukan sahaja kediaman yang dibeli adalah jauh lebih murah daripada harga pasaran, tetapi ia membeli pulangan semula sungguhpun terpaksa membuat pengubahsuaian atau memperbaiki keadaan rumah."

"Selain itu, keuntungan juga diperoleh walaupun terpaksa mengambil pinjaman perumahan daripada pihak bank," ujar Abdul Rahim yang mengakui kerap menyertai acara lelongan bersama isterinya.

Membeli dan kemudian disewakan, pasangan ini telah berjaya membida lapan buah rumah di sekeliling Lembah Klang termasuk di Petaling Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang dan Puchong.

"Perkara penting ketika membeli rumah lelong adalah mempunyai modal mencukupi dan pandai memilih lokasi."

"Bagi kami, rumah yang dibeli bukan sahaja di lokasi yang baik tetapi juga mempunyai kemudahan yang mampu menarik penyewa," kata beliau.

"Dalam dua hingga tiga kilometer radius kondominium berkenaan, terdapat sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi, pusat beli-belah, medan selera, bank, pejabat pos, stadium dan taman rekreasi."

"Ia juga dihubungkan dengan pengangkutan awam termasuk transit aliran ringan (LRT) dan perkhidmatan bas. Ia satu pembelian yang amat berbaloi," katanya yang memaklumkan kediaman tersebut akan diduduki oleh anaknya.

Sungguhpun gemar membeli rumah lelong, Abdul Rahim menegaskan bahawa ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya tetapi memerlukan inisiatif pembeli sebelum membuat bidaan.

"Sebelum datang ke acara lelongan, kami akan pergi melihat sendiri keadaan dan juga lokasi kediaman itu."

"Kami juga akan berjumpa beberapa penduduk setempat untuk mendapatkan maklum balas terhadap kawasan kejiranan itu dan nilai sewa mereka. Apabila berpuas hati barulah kami membuat bidaan," jelas beliau yang berkecimpung dalam pelaburan hartanah lelong sejak setahun lalu.

Menurut Azizi Ali yang ditemui di pejabatnya di Kelana Jaya, mengenai lelongan hartanah di Malaysia, beliau berkata: "Sejak lima tahun kebelakangan ini perubahan persepsi terhadap hartanah lelong dapat dilihat."

"Dahulu notis-notis lelongan hartanah di akhbar amat kecil dan jarang dilihat, tetapi sekarang, ia jelas banyak dan boleh diperoleh di laman sesawang ataupun risalah-risalah yang diedarkan kepada khalayak ramai."

Tambahnya, kini orang ramai sedar tentang potensi hartanah yang dilelong.

Tidak menyangkal tentang peluang pelaburan besar dalam hartanah lelong, pakar motivasi yang mengakui dirinya pelabur individu yang gemar mengunjungi acara lelongan hartanah, Azizi berpendapat tidak semua yang ditawarkan adalah unit yang baik dibeli.

"Boleh dikatakan 95 peratus yang ditawarkan tidak memenuhi kehendak ramai. Pertama sekali, unit yang dilelong itu mestilah mempunyai nilai pasaran."

Menurut beliau, mereka yang membeli rumah lelong juga harus bersedia untuk menanggung kos-kos tambahan lain seperti membaiki hartanah berkenaan.

"Biasanya pembeli tidak membeli suatu hartanah yang dilelong buat kali pertama. Apa yang berlaku, mereka akan membeli pada lelongan seterusnya kerana harga unit itu terus diturunkan sehingga menjadi menarik," ujar Azizi yang memaklumkan jika harga jatuh di bawah jumlah pinjaman sebenar atau ke peringkat harga tidak munasabah, ia akan dibeli pihak bank.

Walaupun demikian, beliau berkata, ramai yang tidak mengetahui perkara asas mengenai pembelian hartanah lelong.

"Membeli hartanah lelong adalah suatu perkara mudah tetapi sering diambil ringan dan ini seterusnya akan menyebabkan kerugian kepada pembeli itu sendiri."

"Kesilapan utama yang dibuat ialah membeli hartanah di lokasi yang salah seperti jauh daripada kemudahan dan tumpuan ramai, membayar pada harga yang lebih tinggi daripada pembelian untuk kos-kos tambahan lain dan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup."

Menurut beliau, seseorang tidak perlu mempunyai pengetahuan yang terlalu tinggi untuk membeli hartanah lelong tetapi cukup dengan pengetahuan asas seperti melakukan kajian terhadap hartanah yang diingini terlebih dahulu, melihat sendiri bagaimana acara lelongan berlangsung, mengetahui terma dan syarat pihak bank dan melihat potensi pasaran berkenaan.

"Membeli hartanah adalah satu pelaburan yang amat besar bagi individu, oleh itu sungguhpun dianggap remeh, tetapi pembeli haruslah melakukan kerja rumah mereka terlebih dahulu," katanya yang memberitahu tidak semua bidaan yang diingini individu akan berjaya.

Sungguhpun memerlukan modal kira-kira 10 peratus daripada nilai hartanah berkenaan, Azizi berkata, pelaburan hartanah lelong juga memberikan pulangan yang besar kepada pembeli.

"Sekiranya anda mempunyai pengetahuan, tiada masa spesifik yang boleh dikatakan masa sempurna untuk melakukan pembelian," kata Azizi.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::