Siti Hadijah Lovely Touch
(Post: Bahasa Melayu)
" Merancang sebuah majlis perkahwinan bukanlah satu tugas yang mudah. Perancangan perlu diadakan berbulan-bulan lebih awal. Persiapan harus dilakukan dengan teliti agar tidak ada yang tercicir. "
Pendek kata tugas ini memerlukan banyak kesabaran, kudrat yang tinggi, idea yang kreatif, bijak berhujah bagi menyakinkan pelanggan dan sebagainya.
Walaupun tugas sebagai perunding perkahwinan nampak mudah kerana orang melihat fungsi mereka hanya memasang pelamin, menghias bilik tidur, menyediakan baju pengantin dan sebagainya, hakikatnya tidak semudah itu.
"Kerja ini sebenarnya rumit. Memang ramai yang menjadi perunding perkahwinan namun ada juga yang lari separuh jalan. Ini kerana mereka tidak pandai menguruskan sesuatu majlis itu dan akhirnya majlis tidak menjadi," kata pemilik butik pengantin Siti Hadijah Lovely Touch, Siti Hadijah Ishak ketika ditemui di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
Beliau yang pernah bekerja sebagai pembantu peribadi kepada pengarah sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur menambah, tugasnya dahulu banyak mengajarnya bagaimana hendak membuat pengurusan dan menyelesaikan sesuatu masalah.
Menurutnya, pasangan yang hendak berkahwin hendaklah memilih konsep apa yang mereka inginkan kerana konsep amat penting sebelum persiapan lain dilakukan. Begitu juga dengan pilihan kesesuaian warna.
"Ramai yang menghadapi masalah pada saat akhir majlis kerana mengharapkan keluarga yang berjanji hendak menolong tetapi kemudian tidak menjadi."
"Bukannya tidak mahu mengharapkan bantuan saudara-mara tetapi biasanya mereka terlupa kerana tidak mencatat dan sekadar mengharapkan janji mulut. Akhirnya jadi bergaduh pula atau bermasam muka."
"Tetapi seorang perunding perkahwinan yang bertauliah akan berbincang dengan pihak keluarga pengantin, mencatatkan setiap kehendak dan keperluan keluarga serta pengantin, menasihatkan apa yang cantik dan tidak cantik."
"Perunding perkahwinan ini samalah seperti membuat satu projek besar yang memerlukan sebut harga dan sebagainya. Pendek kata mereka menyediakan khidmat dari A hingga Z," ujar ibu kepada dua orang anak ini, Farha Fatin Atasha Hazaron, 20 dan Amirul Shafiq Hazaron, 17.
Beliau berkata, butiknya menyediakan segala-gala yang diperlukan pengantin dan keluarga seperti katering, kanopi, hiasan bunga, pelamin, bilik tidur, mekap, aksesori perkahwinan, gubahan hantaran, cenderahati, bunga pahar, sewa baju, baju kanak-kanak dan sebagainya.
Kebanyakan pelanggan Siti Hadijah terdiri daripada mereka yang tinggal di sekitar Bangsar dan Damansara.
"Siti Hadijah Lovely Touch merupakan satu-satunya butik pengantin Melayu yang ada di Taman Tun Dr. Ismail. Sebelum membuat tempahan, pelanggan akan datang dahulu ke butik saya dan kami akan berbincang. Setelah mereka berpuas hati, barulah tempahan dibuat. Kemudian saya akan ke rumah mereka bagi mendapatkan gambaran mengenai persiapan majlis."
"Kadang-kadang bukan pengantin sahaja yang diuruskan malah ibu bapa dan kaum keluarga pengantin pun perlu diuruskan seperti baju mereka untuk majlis tersebut, hiasan rumah dan sebagainya," jelasnya.
Ujar Siti Hadijah, semua yang ada di butiknya dibuat sendiri seperti bunga pahar, bunga telur, bunga pegang pengantin, cenderahati dan banyak lagi. Dengan kata lain, barangan yang ada adalah eksklusif dan tidak terdapat di luar.
Selain menguruskan majlis perkahwinan, beliau juga sering menerima tempahan pelanggan bagi majlis pertunangan, cukur jambul, menyediakan cenderahati korporat, baju tradisional dan menyewa baju songket.
Menurut Siti Hadijah lagi, beliau kini merancang membuat kursus penyediaan majlis perkahwinan yang sempurna, pengurusan dan bajet. Kepada yang berminat boleh menghubunginya di 017-3501364.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment