Hamper Cenderahati Astana Jentayu
(Post: Bahasa Melayu)
" Kemahiran dan kreativiti sebenarnya ilmu yang boleh dipelajari. Kolaborasi kedua-duanya mampu memberikan kepuasan kepada mereka yang gemar berkarya selain turut memberi keuntungan berganda kerana boleh menjana pendapatan. "
Hal itu dibuktikan pengusaha kuih-muih dan penggubah bungkusan cenderahati, Seri Kandi Jarkasi, yang memanipulasikan hobinya dengan mengadakan kelas bersama penggemar termasuk suri rumah.
Menurutnya, pembabitan lebih lima tahun dengan minat mendalam dalam bidang pembuatan biskut atau kuih-muih itu ternyata membuahkan hasil memberangsangkan.
"Ia bermula sebagai hobi kerana saya gemar membuat kuih-muih dan dijual kepada jiran atau kenalan. Tetapi galakan mereka supaya saya menjualnya secara komersial membuatkan saya memikirkan sesuatu, lagipun aliran kini yang semakin menggemari seni gubahan menarik."
"Justeru saya terpanggil untuk mengajak wanita lain berkongsi sesuatu untuk meraih pendapatan lebih."
"Akhirnya saya menceburi bidang gubahan cenderahati atau hamper dengan menjualnya secara serius dan sambutan amat memberangsangkan mendorong saya melakukannya secara besar-besaran."
"Ternyata usaha tidak sia-sia apabila banyak syarikat korporat dan individu menyenanginya sehingga tidak menang tangan setiap kali menjelang musim perayaan."
"Dua bulan sebelum bulan puasa, saya sudah mula sibuk dengan tempahan yang datang dalam pelbagai bentuk. Adakalanya tempahan banyak membuatkan saya tidak dapat berhari raya di kampung," katanya yang bangga dengan penubuhan Astana Jentayu Sdn Bhd.
Apa yang membanggakan akauntan di sebuah institusi pendidikan ini, kebanyakan hampernya turut mendapat tempahan tidak mengira musim perayaan sebaliknya sentiasa ada untuk jualan.
Bukan hanya kalangan Muslim yang memberi perhatian atas kerja kerasnya itu terutama pada sambutan Aidilfitri sebaliknya pada sambutan Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali.
Melakukan dua kerja dalam satu masa, dia tidak menafikan mempunyai dua pembantu rumah yang banyak membantu meringankan kerjanya.
Atas hasrat berkongsi kemahiran bersama mereka yang turut meminati bidang berkenaan, dia mengadakan bengkel membuat biskut dan mengajar teknik pembungkusan kuih-muih yang menarik.
Mungkin sesuatu yang di luar jangkaan apabila pada tahun lalu, ada peserta melakukan kerja sampingan itu mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit.
"Sebenarnya, inilah hobi yang membuatkan saya begitu seronok dan puas. Setakat ini, jarang pelanggan mengomel mengenai biskut atau kuih-muih yang menjadi buah tangan saya. Kebanyakan mereka juga menjadi pelanggan dan rakan baik saya."
"Saya perturunkan cara gubahan menarik dengan teknik terkini yang jarang dilakukan sebelum ini," katanya.
Peserta bengkel yang juga setiausaha di syarikat swasta, Zainiza Mustafa, 35, tidak menduga kerja kerasnya dua tahun lalu berbaloi.
"Saya tidak menjangka mampu memperoleh puluhan ribu ringgit tahun lalu menerusi jualan hamper, mungkin berkat kerja keras selama ini."
"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada rakan sepejabat, kenalan serta syarikat korporat. Selain bersengkang mata membuat kuih-muih serta menggubahnya pada waktu malam atau hari minggu, saya juga terpaksa turun padang dan melakukan kerja pemasaran."
"Ia penting kerana jangkaan saya dalam setahun lagi, saya akan membuka syarikat sendiri dan menceburi bidang pembuatan gubahan ini secara serius," katanya.
Punithavathi Kaliapan, 45, juga teruja menjana pendapatannya dengan menghasilkan hamper apabila melihat sambutan memberangsangkan pelanggan. "Pada saya, tidak rugi mengikuti setiap kelas yang diadakan kerana ia memberi pulangan lebih daripada itu."
"Melakukan kerja sambilan ini sejak dua tahun lalu, saya semakin yakin untuk melakar perniagaan sendiri nanti. Setakat ini, bantuan suami dan saudara-mara memberi keyakinan tinggi kepada saya."
"Selain itu, syarikat korporat juga berminat membuat tempahan terutama ketika sambutan perayaan Deepavali, lalu membuatkan saya semakin teruja untuk membuka syarikat sendiri," katanya yang memiliki kerjaya dalam bidang perakaunan.
Noorliyah Abdul Wahab, 39, mengakui menggali ilmu dalam pelbagai bidang memberinya pengetahuan berguna untuk dimanfaatkan apabila berhasrat membuka perniagaan berasaskan gubahan dan cenderahati suatu hari nanti.
"Saya suka mencari pengalaman sebanyak mungkin dalam apa juga perkara yang dianggap boleh dikomersialkan."
"Saya pula minat membuat kuih-muih dan turut belajar membuat kek cawan sendiri bahkan apa saja bengkel berkaitan masakan asalkan ia memberi pulangan berbaloi."
"Asas yang ada dalam kelas cenderahati ini saya manfaatkan sebaiknya kerana berhasrat membuka kedai kek atau kuih-muih suatu hari nanti."
"Ada anak saya yang meminati bidang ini turut mengikuti kursus. Selain itu, saya menguar-uarkannya dalam Facebook sebagai satu cara pengiklanan," kata pengaturcara komputer ini.
Sumber: myMetro
Foto: Astana Jentayu
0 comments:
Post a Comment