ATTENTION !!!

Tuesday, October 19, 2010

Kreativiti Hiasan Tin Terbuang

(Post: Bahasa Melayu)
" Jika rajin dan minat, tin yang dibuang orang boleh dijadikan perhiasan. Siapa menyangka tin susu, tin sardin, tin biskut, tin minuman, tin makanan bayi dan sebagainya boleh dijadikan bermacam-macam bentuk perhiasan yang boleh dijadikan perhiasan di rumah malah dijual. "

Biasanya tin-tin sedemikian akan terus dibuang setelah isi di dalamnya habis. Siapalah yang mahu membersihkan dan kemudian menjadikan tin sebagai perhiasan. Pada tanggapan ramai orang, banyak lagi benda lain yang boleh dijadikan perhiasan.

Tetapi tidak bagi Hasnah Atan, 51, kerana dia akan menyimpan semua tin yang telah habis isinya. Tidak kiralah tin racun serangga, tin makanan atau apa sahaja. Tidak ada tin di rumahnya yang akan dibuang ke dalam tong sampah.

Malah Hasnah akan berfikir dua kali semasa hendak membeli minuman di kedai. Daripada membeli air kotak, lebih baik dia membeli air tin kerana tin tersebut kelak boleh dimanfaatkannya.

Malah jika pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri-kendara pun, dia sanggup mengutip tin-tin susu dan sebagainya yang kemudiannya diisikan di dalam beg plastik besar.

Tin-tin tersebut kemudian dibawa pulang ke rumah, dilicinkan bahagian tepinya yang tajam, dibersihkan dan dikeringkan.

Bagi Hasnah, dia amat gembira dan seronok jika mempunyai banyak bekalan tin kerana itu bermakna dia dapat membuat pelbagai perhiasan yang disukainya.

"Daripada tin-tin itu saya boleh membuat bermacam bentuk bunga, udang kecil, udang galah, bakul untuk mengisi gula-gula dan coklat hantaran, burung dan sebagainya. Kerja ini saya buat suka-suka saja pada masa lapang setelah selesai urusan rumah tangga," kata ibu kepada empat orang anak dan nenek kepada empat orang cucu.

Menurut Hasnah lagi, tin-tin yang telah siap dijadikan perhiasan itu akan diletakkan di dinding rumah, di atas peti televisyen atau digantung.

Ini dapat dilihat ketika berkunjung ke rumah Hasnah di Taman Selayang, Batu Caves baru-baru ini. Di kiri kanan dinding ruang tamu dipenuhi dengan replika udang galah, bunga dan bakul berwarna-warni yang dibuat daripada tin.

Mencungkil rahsia bagaimana dia mula membuat perhiasan daripada tin ini, kata Hasnah, pada tahun 1982, dia telah pergi ke rumah saudaranya di Felda Cini, Pahang dan melihat wanita di sana membuat bunga daripada tin dan menjualnya.

"Saya beli satu dan meniru cara membuatnya dan menjadi pula. Daripada situ, saya cuba buat sendiri bunga-bunga lain, kupu-kupu, udang dan burung. Banyak juga saya buat. Bila ada saudara-mara yang datang ke rumah berkenan, saya bagi."

"Lepas setahun, saya berhenti kerana pada masa itu, bunga straw dan bunga daun getah sedang popular."

"Tahun ini (2010), saya buat semula kerana kebetulan anak saudara yang hendak berkahwin meminta membuatkan bakul daripada tin untuk diisi gula-gula dan buah-buahan. Dia pernah melihat bakul yang saya buat dan berkenan," ujar Hasnah yang berasal dari Sabak Bernam.

Kata Hasnah, sejak mula membuat perhiasan tin ini semula, ada yang menempah bekas tisu, bunga, kupu-kupu, udang, bekas telur untuk cenderahati perkahwinan dan sebagainya. Ada yang dijadikan perhiasan atau hadiah kepada orang lain.

Jika anda berminat untuk menempah, bolehlah menghubungi Hasnah di 019-3716640.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

1 comments:

Unknown October 19, 2010 at 9:51 PM  

informasi kreatifitas yang menarik
replika memang jadi gaya arik tersendiri untuk dekorasi rumah...
slm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::