Rezeki Malam di Kampung Baru
(Post: Bahasa Melayu)
"Rata-rata pengunjung berkeluarga akan datang di antara pukul 8 hingga 10 malam. Selepas waktu itu dan sehingga pukul 3 pagi, pelanggan golongan muda pula tidak akan putus-putus singgah makan di sini."
Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Ini bermakna sudah hampir empat jam kami berada di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Namun, kemeriahan lautan manusia mengharung pekat malam menyebabkan atmosfera malam minggu di Kampung Baru tidak pernah membosankan.
Semakin malam menjemput dinihari, semakin ramai orang yang datang melepak di lebih 100 buah warung dan gerai yang terletak di sepanjang Jalan Raja Muda Musa, Jalan Daud, Jalan Raja Uda dan Jalan Raja Alang.
Walaupun tidak banyak bezanya wajah dan landskap Kampung Baru sejak lebih sedekad lalu, namun masih ramai warga ibu kota setia menjadikan Kampung Baru sebagai destinasi larut malam untuk menjamu selera dan bersantai.
Keunikan Kampung Baru adalah kedudukannya yang terletak di tengah-tengah pusat ibu kota yang menjadi lokasi strategik pertemuan di antara rakan-rakan, selain variasi makanan yang ditawarkan di situ.
Seorang pengunjung yang ditemui berkata, Kampung Baru menjadi pilihan remaja kerana ia terletak di tengah ibu kota dan menawarkan pelbagai jenis makanan pada harga yang sangat berpatutan.
Paling penting walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 atau 4 pagi, Kampung Baru masih hidup dengan aneka gerai yang tetap menanti para pelanggan termasuk pelancong asing.
"Saya lepak dengan kawan-kawan pada setiap hujung minggu. Inilah masa yang ada untuk keluar bersama mereka. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja di pejabat pada hari biasa.
"Biasanya, pada malam minggu, saya akan lepak atau tengok wayang di KLCC dahulu. Selepas itu, barulah saya bawa rakan-rakan singgah makan di Kampung Baru sehingga awal pagi," kata Iskandar Yamman Sulaiman, 33, ketika ditemui Urban di Kampung Baru.
Mohd Syharrin, 25, dari Kampung Cheras Baru pula berkata, dia datang ke Kampung Baru pada waktu dinihari sekadar untuk berjalan-jalan.
"Saya tidak makan atau beli apa-apa, tapi saja jalan-jalan tengok orang ramai sekali gus menikmati pemandangan waktu malam di KLCC dengan lebih dekat," katanya yang merupakan seorang pekerja swasta di Kuala Lumpur.
Apa yang pasti, kehadiran lautan manusia untuk mengisi perut serta menghirup atmosfera dinihari di Kampung Baru, secara tidak langsung menjadikan lokasi itu sebagai lubuk rezeki yang menguntungkan para peniaga.
"Membuka gerai lebih lama pada malam minggu membantu menambah rezeki kami."
"Bukan sahaja muda-mudi, malah pengunjung yang berkeluarga juga tidak melepaskan peluang untuk jalan-jalan cari makan di sini," kata pemilik gerai LA Medan Selera yang hanya mahu dikenali dengan nama Zulkarnain.
"Pengunjung yang datang bukan sahaja rakyat tempatan, malah pelancong dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea dan China juga singgah di sini," ujarnya bangga walaupun hanya menetap di Kampung Baru kurang daripada 10 tahun.
Dalam banyak-banyak warung makan di situ, sebuah gerai yang menjual selipar turut menarik perhatian Urban.
"Apakah relevan anda menjual selipar di pusat tumpuan makanan sehingga lewat malam?" soal penulis.
"Nampak macam pelik, tetapi saya memilih untuk menjual selipar kerana ramai pengunjung memerlukan selipar bagi keselesaan sewaktu menjamu selera di Kampung Baru."
"Kalau yang perempuan, ada yang beli selipar untuk dipakai kerana dah tak tahan pakai kasut tumit tinggi selepas balik dari kelab atau pusat beli-belah."
"Yang lelaki pula, ada yang datang untuk ganti kasut atau selipar yang putus ketika berjalan-jalan," kata Eka Suriani Erwan, 32, yang menjual pelbagai selipar getah pelbagai corak.
Selain menjual selipar, Eka juga membuka sebuah kios menjual pelbagai barang untuk peminat sukan bola sepak antarabangsa. Bukan barangan tulen, namun ia sekadar untuk golongan peminat sukan yang mungkin kurang berkemampuan.
Bagi Urban sendiri, keunikan tempat makan di Kampung Baru ini bukan sahaja pada namanya, malah bangunan sekitarnya turut memikat hati. Begitu juga gaya 'persembahan' warung itu sendiri atau lebih tepatnya dekorasi di bahagian luar dan dalamnya.
Selain itu, setiap warung di situ menyediakan pelbagai hidangan asli pelbagai negeri dari seluruh negara. Antaranya laksa Pulau Pinang, laksa Johor, tom yam, nasi kerabu, nasi dagang dan nasi Padang.
Pernah mendengar kata-kata 'makanan di gerai lebih enak daripada di hotel'? Beberapa sajian lazat di Kampung Baru antara yang membenarkan kata-kata itu.
Inilah yang menyebabkan warga kota memilih Kampung Baru sebagai pusat makanan. Walaupun berkonsepkan gerai, tetapi ia tetap mendapat pengiktirafan peribadi bagi sesiapa sahaja yang pernah singgah di Kampung Baru.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment