Bazar Larut Malam
(Post: Bahasa Melayu)
"Sejarah bazar larut malam bermula di Uptown Damansara. Kewujudannya sejak lewat 1990-an menjadi pencetus kepada fenomena bazar larut malam di negara ini dan ia semakin hari semakin diterima masyarakat."
Semakin jarum jam melewati detik pukul 12 malam, semakin meriah aktiviti warga Kuala Lumpur terutamanya pada cuti hujung minggu.
Justeru, bukan menghairankan apabila semakin banyak premis perniagaan terutamanya gerai makan, kedai mamak dan restoran makanan segera sanggup beroperasi 24 jam untuk memenuhi permintaan gaya hidup warga kota.
Selain itu, salah satu lokasi tumpuan warga kota hari ini pada lewat tengah malam ialah bazar larut malam yang beroperasi dari pukul 11 malam hingga 4 pagi.
Bukan sekadar menawarkan barangan pada harga yang murah, bazar larut malam yang semakin menjadi trend di kalangan warga kota hari ini juga menyediakan pelbagai aktiviti lain.
Berkonsepkan perniagaan terbuka dan lewat malam, ia formula luar biasa yang berjaya menarik ribuan orang membeli-belah pada malam hari terutama menjelang musim perayaan.
Malah, kehadirannya bukan sahaja mengatasi populariti pasar malam biasa tetapi turut memberi saingan kepada Jalan Petaling, Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit.
KL Downtown yang dibuka pada 21 April 2006 antara bazar larut malam yang cukup popular dalam kalangan warga kota.
Di bazar itu juga, orang ramai boleh berhibur dengan persembahan penyanyi jalanan, pertunjukan ahli silap mata, melukis potret dan pelbagai pameran.
Bagi remaja yang masih menuntut, membeli-belah atau meluangkan masa di bazar larut malam boleh mengisi masa lapang setelah penat belajar.
Konsep perniagaan secara terbuka, tawaran harga berpatutan dan suasana yang meriah menyebabkan ramai peniaga mencuba nasib menghidupkannya di beberapa kawasan di Lembah Klang.
Antaranya di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang serta beberapa buah negeri di seluruh negara.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif KL Downtown Night Market, Mohd Rustam Roshandin, KL Downtown menerima kunjungan paling ramai daripada golongan belia.
"Sejak dibuka, tempat ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, terutama golongan remaja. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat untuk dituju pada lewat malam sekiranya mahu mencari aktiviti yang sihat."
"Ada juga yang datang untuk mencari barang-barang kerana kebanyakan produk dijual pada harga yang murah," katanya.
Menurut Rustam, KL Downtown menjadi pilihan kerana kemeriahannya berbanding bazar larut malam yang lain ada di sekitar ibu kota.
"Mungkin juga kerana kedudukan bazar ini yang menyebabkannya menjadi pilihan selain kebanyakannya adalah peniaga Melayu," kata Rostam sambil memberitahu, KL Downtown juga menjadi pilihan penganjur mengadakan program untuk golongan belia.
"Untuk menjauhkan golongan remaja daripada dadah satu sesi kesedaran antidadah dianjurkan pada hujung minggu," ujar Rustam.
Sejak kehadiran bazar larut malam, ada dalam kalangan peniaga bumiputera mencapai kejayaan. Kaedah pemasaran, produk yang mendapat permintaan ramai dan jualan lelong terutamanya pada musim perayaan antara faktornya.
Keunikan barangan yang dijual juga menjadikan bazar larut malam menjadi tumpuan pelancong.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment