ATTENTION !!!

Friday, December 18, 2009

Perusahaan Coklat Seri Umairah

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukan mudah untuk seseorang melepaskan jawatan bertaraf eksekutif dengan gaji bulanan agak selesa semata-mata untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan, namun ia tidak menjadi halangan buat Norhatina Abdul Rauf."

Usahawan berusia 41 tahun ini melepaskan jawatannya di sebuah kilang elektronik di Senawang, Negeri Sembilan bagi memenuhi impiannya untuk membabitkan diri sepenuh masa dalam bidang perniagaan pembuatan coklat dengan menggunakan jenama Haniez's.

Walaupun sebelum ini tiada pengalaman dalam bidang perniagaan berkenaan, dia memberanikan diri selepas melihat potensi bidang terbabit untuk berkembang maju berdasarkan penguasaan bangsa asing.

Dengan modal RM30,000 hasil simpanan selama berkhidmat beberapa tahun di kilang terbabit serta berbekalkan semangat serta dorongan kuat ahli keluarga, Norhatina menubuhkan syarikat Seri Umairah Food & Beverages Sdn Bhd pada Mei tahun lalu untuk memulakan langkah awal.

Usahawan kelahiran Perak itu kini menjalankan perniagaannya dengan menyewa bahagian bawah sebuah rumah kedai di Taman Rasa Sayang, Senawang, sebagai pejabat dan tempat memproses coklat.

Menurutnya, modal itu digunakan untuk menyewa premis dan membeli beberapa peralatan memproses coklat. Bahan mentah pula diperoleh menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) serta syarikat pembekal coklat di Klang, Selangor.

"Saya akui tiada pengalaman dalam bidang ini, tetapi memberanikan diri kerana cemburu dengan kejayaan orang lain terutama bangsa asing yang berjaya. Justeru, saya merasakan orang Melayu perlu berani meneroka sesuatu bidang baru bagi memastikan produk yang dikeluarkan lebih terjamin."

"Setakat ini, saya memerlukan antara 150 hingga 200 kilogram bahan mentah coklat sebulan untuk diproses. Keluaran coklat itu kemudian dipasarkan bagi pasaran tempatan kerana belum mampu mengeluarkan lebih banyak berikutan cara memproses dan membungkus coklat dilakukan secara manual," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Norhatina berkata, setakat ini syarikatnya mengeluarkan lebih 20 jenis coklat pelbagai bentuk dan saiz yang memberikan kelainan dari segi kualiti serta rasa berbanding coklat jenama lain di pasaran.

Menurutnya, antara produk itu ialah jenis coklat praline, truffle, mufin, kek cawan dan coklat blok serta minuman coklat.

"Syarikat juga menyediakan perkhidmatan penyediaan cenderamata untuk majlis perkahwinan atau sebarang keramaian anjuran jabatan kerajaan mahupun swasta atau individu dalam bentuk barangan coklat mengikut pilihan pelanggan," katanya yang dibantu tiga pekerja sepenuh masa.

Katanya, pihaknya dalam perancangan untuk membeli mesin bersaiz besar bagi membolehkan lebih banyak pengeluaran produk coklat dalam sehari kerana sehingga kini permintaan daripada pelanggan amat memberangsangkan.

"Sehingga kini, produk saya dipasarkan di seluruh negara termasuk Sabah menerusi rangkaian pemasaran termasuk melalui kerjasama beberapa rakan niaga."

"Ia dipasarkan di tapak ekspo dan promosi dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)," katanya.

Ibu kepada dua anak berusia lapan dan sembilan tahun ini mengakui bukan mudah untuk berjaya dalam perniagaan kerana pandangan orang ramai terhadap produk coklat tempatan berbeza dengan produk coklat keluaran luar negara.

Namun, dia tetap yakin dengan potensi perniagaan itu apabila sambutan pelanggan meningkat selain mendapat sokongan Fama serta LKM termasuk pengetahuan dari segi pengurusan dan kemahiran menghasilkan coklat bermutu tinggi.

"Alhamdulillah, setakat ini perniagaan terus berkembang dengan baik dan memberangsangkan."

"Sebagai persediaan masa depan, saya berhasrat untuk membuka kilang dan mengeluarkan bukan saja lebih banyak jenis coklat, malah dalam kuantiti yang banyak bagi memenuhi permintaan termasuk kemungkinan mengintai peluang memasarkannya di luar negara suatu hari nanti."

"Saya ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan dan kalau boleh ingin berada sebaris dengan usahawan wanita lain yang sudah berjaya," katanya yang merakamkan penghargaan kepada LKM yang banyak membantu termasuk mengadakan promosi di luar negara seperti di London.

Sumber: myMetro
Foto:
Haniez's Chocolate

Bookmark and Share

1 comments:

merahjamboo December 19, 2009 at 7:44 PM  

waahhh...hebat hebat
rezeki masing-masing tak siapa tahu..


-pja

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::