ATTENTION !!!

Showing posts with label kek (cake). Show all posts
Showing posts with label kek (cake). Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Produk Makanan Nourlie

(Post: Bahasa Melayu)
" Usaha tanpa mengenal jemu dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya membawa Norli Ahmad, 43 menjadi usahawan seperti sekarang. "

Biarpun hanya berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendirikan rumah tangga seawal usia 19 tahun, perkataan putus asa dan gagal tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

Bermula dengan kehidupan sebagai suri rumah tanpa pendapatan, Norli mencari pelbagai pekerjaan bagi menjana pendapatan di rumah dengan menggunakan modal yang kecil.

Malah pengalaman berniaga membantu keluarganya semasa usia remaja banyak membantu Norli dalam usaha membina empayar perniagaannya.

Tidak pernah mengenal erti perkataan putus asa, dia memulakan perniagaan menjual roti canai segera dengan modal sekecil RM10.

Roti canai yang dihasilkan dijual di sekitar kampung menggunakan motosikal sambil menggendong anak dianggap sebagai cabaran bagi mendaki tangga kejayaan.

Selepas bersusah-payah selama lebih tiga bulan dengan mengubah resipi beberapa kali barulah Norli mendapat menambat hati para pelanggan.

Malah sejak itu, dia telah mula mendapatkan bukan saja pelanggan tetap tetapi juga pasaran yang lebih besar.

Menjelang musim perayaan, Norli memang tidak menang tangan menerima tempahan pelbagai jenis kek dan biskut yang hanya dipelajari daripada majalah dan buku masakan yang ada di pasaran.

Ketika itu pada tahun 1990, Norli amat bersyukur apabila mendapat hasil pendapatan pertama hasil jualan biskut lebih RM100.

"Ketika itu saya merasa amat gembira dengan pendapatan pertama dan pada masa itu saya rasakan ini merupakan permulaan bagi membuka jalan bagi saya untuk berkecimpung dalam bidang ini," katanya semasa ditemui di premisnya di Kampung Mampan, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor.

Sebagai seorang usahawan yang baru, beliau sentiasa ingin mencuba dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan berhenti sehingga mendapat apa yang dihajati walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Selepas berjaya dengan jualan roti canai yang mendapat pasaran yang menggalakkan, Norli mula terfikir untuk membuat piza bagi memberi peluang bagi masyarakat di Batu Pahat merasai kelazatan dan perbezaan berbanding dengan makanan tradisional.

Mencari resipi dan cuba menghasilkan yang terbaik, akhirnya Norli berjaya membuat piza yang diterima pelanggan.

Malahan Norli berjaya menjual piza buatannya bukan saja di pasar-pasar malam sekitar Batu Pahat tetapi juga di sekolah-sekolah dengan harga yang amat berpatutan dan boleh dibeli oleh segenap lapisan masyarakat.

"Sebenarnya saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus masakan yang banyak dianjurkan seperti sekarang."

"Saya lakukan semuanya sendiri dengan mencuba pelbagai resipi sehingga mendapat apa yang dihajati," ujarnya.

Malah beliau pernah membuang beberapa kilogram tepung dan adunan kerana kuih dan kek yang dibuat tidak seperti yang diingini.

"Saya akan mencuba sehingga berjaya. Saya tidak pernah putus asa dan tidak pernah menganggap adunan yang dibuang hanya membazir."

"Sebaliknya adunan berkenaan boleh dikatakan seperti percubaan saya sebelum mendapat yang terbaik," jelas beliau.

Bersama-sama dengan suami, Afandi Anim, 45 yang banyak memberikan sokongan dan galakan, Norli berjaya menghasilkan produk dengan jenama Nourlie.

Berbekal dengan galakan serta sokongan keluarga walaupun ketika itu tiada skim bantuan kerajaan, perniagaan biskut Norli terus berkembang sehinggalah Jabatan Pertanian menghulurkan bantuan semasa beliau menyewa bangunan pekan Batu Pahat.

Bermula di sana, Norli mula membuat pelbagai jenis biskut termasuk 12 jenis makanan sejuk beku seperti roti canai mampan, donat, karipap, cucur badak, kasturi, popia dan murtabak daging, kek dan roti seperti kek muffin dan coklat moist.

Produk lain termasuk kek marble dan kek aising serta lebih 50 aneka biskut seperti almond slice, black pistachio, malatops crispy, alahai cookies, blackberry tart, chips knox classic dan conflakes crispy.

Norli berkata, kini syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 30 karton biskut sebulan bergantung kepada permintaan dengan satu karton mempunyai 24 bungkusan biskut.

Manakala bagi makanan sejuk beku pula, syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 50 kilogram sehari.

Bercerita mengenai cabaran dalam perniagaan, Norli menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah dari segi produk.

"Cuma banyak kes yang melibatkan pelanggan tidak membayar selain daripada masalah banjir."

"Ketika dilanda banjir pada tahun 2007, saya mula mengenali Agro Bank semasa membacanya di akhbar," katanya.

Semasa itu beliau membuat pinjaman bagi membaik pulih peralatan dan mesin yang rosak akibat ditenggelami air semasa banjir.

Kini Norli boleh berbangga apabila pasaran biskut jenama Nourlie tersebar luas bukan saja di sekitar Batu Pahat di kedai-kedai runcit, kantin sekolah dan pasar raya malah sehingga ke Lembah Kelang.

"Sehingga kini saya sendiri tidak tahu bagaimana pasaran biskut saya boleh sampai sehingga dijual di kiosk-kiosk di pasar raya ke Kuala Lumpur," katanya.

Beliau mempunyai 15 orang pekerja yang bekerja selama lima hari seminggu dan lapan jam sehari.

Sehingga kini produknya telah menerima persijilan HALAL daripada pihak berkuasa manakala sedang dalam proses mendapatkan bagi mendapatkan persijilan Amalan Pengilangan Baik (APB).

Bercerita mengenai perancangan serta harapan di masa akan datang, Norli berharap dapat meningkatkan lagi kualiti produk bagi mendapatkan pasaran yang lebih luas misalnya sehingga ke negara Timur Tengah.

"Sebelum ini Jabatan Pertanian telah membawa produk saya semasa pameran di China manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah membawa beberapa produk saya ke beberapa pameran di luar negara," katanya.

Norli menasihatkan usahawan muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan agar jangan menjadikan modal sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Apa yang penting adalah kualiti barangan yang digunakan seperti mentega dan tepung bagi menjamin biskut yang dihasilkan lebih tahan lama.

"Saya sentiasa menggunakan bahan yang bermutu tinggi bagi menghasilkan produk yang bukan saja enak tetapi berkhasiat."

"Selain itu saya juga sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan bagi memberikan yang terbaik," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 30, 2010

Lemak-Lemak Manis Putu Perak

(Post: Bahasa Melayu)
" Rupanya molek bak sebiji cawan. Warnanya yang putih suci dan bertekstur gebu memikat hati untuk dijamah. Kuih yang diberi nama Putu Perak itu rasanya lemak-lemak manis. "

Itulah reaksi deria rasa apabila putu tersebut memasuki rongga mulut. Emosi yang sama dirasai oleh Fauzila Harun, 35, tatkala menikmati kuih tradisional Perak itu pada suatu petang kira-kira lima tahun lalu.

"Putu Perak adalah antara kuih yang ibu dan opah saya gemar sediakan untuk kami sekeluarga semasa saya kecil dulu. Namun, setelah zaman berubah, putu itu jarang dibuat dan semakin sukar ditemui," jelas wanita yang lebih mesra dipanggil Zie itu kepada Kosmo!.

Kenangan pada petang itu ternyata telah memberi ilham bisnes kepadanya. Kini, Zie ialah seorang pengusaha kek dan pastri serta beberapa kuih tradisional Melayu seperti baulu, kuih karas, baulu Kemboja dan rempeyek.

Tidak ketinggalan, Zie nekad menjadikan Putu Perak yang sebelum ini sekadar sajian sarapan pagi dan minum petang di kampung halamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak sebagai antara produk utama perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry.

Mengapakah Putu Perak?

Selain kurang persaingan, wanita itu yakin Putu Perak mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan. Bagi Zie, pembuatan kuih tradisional itu mempunyai falsafah yang tersendiri.

Baginya, kuih warisan itu adalah satu-satunya kuih yang kuat beridentitikan Perak berdasarkan tiga ramuan asasnya iaitu beras, pulut dan kelapa. Ketiga-tiganya pernah menjadi hasil pertanian utama dan makanan ruji penduduk negeri itu pada zaman dahulu.

"Walaupun ada yang memanggilnya putu cawan dan putu mangkuk, nama Putu Perak lebih tepat dan menyerlah serta mempunyai nilai komersial untuk membawanya di pasaran nasional," ujarnya.

Bermula dengan meletakkan Putu Perak yang dibuatnya di gerai-gerai makan dan kedai runcit di sekitar Chendorang Balai, Sungai Manik dan Labu Kubong pada setiap pagi, kuih warisan itu laris dan permintaannya begitu baik.

Kesungguhan Zie menjual kuih tradisional tersebut mula mendatangkan hasil dan berjaya membuka mata sebuah agensi kerajaan setahun kemudian.

Pada tahun 2006, rumah Zie dikunjungi oleh beberapa pegawai Pejabat Pertanian Sungai Manik yang diketuai Penolong Pegawai agensi itu, Mohamad Din Hussin, untuk melihat sendiri kesungguhan wanita itu menghasilkan Putu Perak.

"Kebetulan pada masa itu, kami bercadang membuka pusat sehenti menghasil dan memasar produk kecil dan sederhana (PKS) yang akan ditempatkan di Pejabat Pertanian Sungai Manik."

"Kami memerlukan seorang usahawan yang berpotensi untuk dibantu," jelas Mohamad Din.

Pusat sehenti itu ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewaan dan pengusaha terpilih sekadar melunaskan bil elektrik dan air bulanan.

Selain itu, bimbingan dan bantuan sokongan daripada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga ditawarkan.

Mohd. Din memberitahu, seramai 32 usahawan produk PKS di sekitar Sungai Manik, Chenderong Balai dan Labu Kubong telah disenarai pendek dan akhirnya Zie menerusi perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry, telah terpilih.

Tertarik dengan kegigihan dan wawasan masa depan perniagaan terutama kesungguhan mengkomersialkan kuih warisan negeri, Putu Perak, adalah antara sebab utama pemilihan Zie.

Peluang yang diberikan Pejabat Pertanian Sungai Manik itu bagaikan batu loncatan kepada Zie. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Peralatan memasak Putu Perak juga diperbaiki. Jika sebelum ini Zie dan pekerja mengukus kuih warisan itu di dalam tin yang telah ditebuk lubang kini peralatan khas diperbuat daripada besi digunakan.

Sambutan Menggalakkan

Zie juga telah ditawarkan buat kali pertama untuk memperkenalkan Putu Perak buatannya di acara Agrofest peringkat negeri di Ladang Infoternak Sungai Siput bermula 2007.

"Sambutannya amat menggalakkan. Kejayaan di Agrofest Perak 2007 membuatkan saya terus menyertai banyak ekspo dan karnival usahawan anjuran pelbagai agensi kerajaan di sekitar Perak dan negeri-negeri jiran seperti Kedah untuk mempromosi Putu Perak," ujarnya.

Zie juga pernah membuka gerai jualan Putu Perak di Karnival Sua Rasa anjuran televisyen swasta, TV9 di pekarangan Stadium Perak pada bulan April lalu.

Usaha wanita itu semakin mendapat pengiktirafan apabila Putu Perak buatannya disenaraikan sebagai salah satu Makanan Popular Perak oleh FAMA negeri.

Lebih membanggakan, kuih warisan itu berjaya menembusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) pada 2008 dan 2010.

Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.

Pembukaan gerai jualan itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan kuih warisan itu. Keunikannya menarik minat ramai pengunjung R&R tersebut untuk membeli dan mencuba keenakan Putu Perak.

Bagi yang pernah merasai Putu Perak sebelum ini, penjualan kuih warisan itu di kawasan milik Plus Expressways Berhad (PLUS) itu mampu mengimbau kenangan silam.

Bagi mereka yang tidak pernah menikmatinya, tentunya ia menjadi satu pengalaman baru apabila berpeluang menikmati makanan tradisional tempatan yang hampir pupus.

Menyentuh Hati

Pengalaman melayan ragam pelanggan meninggalkan pelbagai kenangan buat Zie. Begitu juga dengan kisah seorang pelanggan wanita berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Ramadan lalu.

Zie memberitahu, sepanjang bulan Ramadan itu, gerai jualan Putu Perak di R&R Ulu Bernam arah selatan ditutup bagi memberi ruang kepada dia dan pekerjanya menyiapkan tempahan kuih dan kek raya di Chenderong Balai.

Satu hari dalam bulan yang mulia itu, Zie dihubungi oleh seorang wanita yang begitu teringin merasai Putu Perak.

Wanita yang mendapat nombor telefon bimbit Zie daripada pengurusan PLUS dan FAMA Perak itu merayunya agar membuka gerai jualan di R&R tersebut.

Menurutnya, dia berasal dari daerah Hilir Perak tetapi telah menetap lama di Seremban, Negeri Sembilan dan sanggup memandu kereta dari jauh semata-mata mahu menjamah Putu Perak sebagai salah satu sajian berbuka puasanya.

Mendengar rayuan wanita terbabit, Zie tidak sampai hati lantas menyiapkan kuih warisan yang dipesan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan tersebut di kawasan R&R terbabit.

"Saya akhirnya dapat menyerahkan Putu Perak yang dipesan wanita itu ketika hampir waktu berbuka puasa. Daripada riak mukanya, jelas dia gembira kerana dapat menikmati putu tersebut."

"Terharu saya sekejap. Momen itu menjadi antara pengalaman indah sepanjang saya berniaga Putu Perak. Semangat saya semakin kuat untuk membawa kuih warisan negeri kelahiran saya ini di peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 22, 2010

Sweet Sensation by Pastry Chef

(Post: English)
" Before she knew how to bake, Olive Lo recalls being mesmerised by the beauty of the wedding cake at her aunt’s marriage reception dinner. While the other children played with each other, Lo, then 12, lingered near the cake, admiring the intricate designs of the sweet confection. "

So fascinated was she that within days she enrolled in a baking class comprising women twice her age.

Lo was unfazed by the "generation gap" - her mind was set on only one thing - mastering the rudiments of baking a good cake.

"My teacher Lucy told me to bake a good cake, all you need is to learn the basics," she recalled.

Under her mentor's guidance, Lo took to baking like a duck to water and in no time, produced cakes so tasty that she started taking orders when she was only 15.

"Those days, the cakes I made were simple - butter cake or butter cream cake. I was surprised people were willing to buy from a teenager," said the ebullient pastry chef whose modest cake-making business began flourishing as more customers heard of her delightful treats through word of mouth.

Today, Lo turns out whimsical birthday cakes, sensational cookies and some of the best savoury pastries in Kuching, making full use of the various techniques she picked up from baking classes.

"I believe in mastering good basic baking methods. Whatever I've learnt, I make sure I improve on and improvise," she said, adding that she also made it a point to attend short courses whenever she travelled to Australia and Japan.

"I have a sister living in Japan while my children are working in Australia, so visiting them gives me the opportunity to learn the latest baking trends there. Knowing something new each time allows me to keep abreast of the current trends and improve."

To keep up to date, Lo attends the Food & Hotel Asia (FHA) Fair - Asia's largest international food and hospitality trade event - in Singapore annually.

"I never missed this event since my first attendance in 1988. There's always something to learn and discover from the participants from all over the world," she noted.

As Lo's baking skills grew, so did her range of cakes and she now has in hand more than 30 different flavours - from all-time favourite chocolate to rich and creamy cheesecakes, all created from scratch with the freshest ingredients.

A stickler to taste and quality, she combines her cakes and pastries to create richly flavoured desserts but with just the right amount of delicate sweetness.

According to her, women are fond of walnut cakes for their light, airy and fluffy texture while men would generally go for black forest cakes and cheesecakes.

Lo's signature cakes are much like Japanese-style cakes with their light, melt-in-your-mouth texture but they are also as beautiful to look at as they are delicious to eat.

She hand-sculpts immaculate works of art on her cakes for all sorts of celebrations.

"My customers will usually give me a rough idea of how they want their cakes presented and from there, I will come up with the designs."

Lo particularly enjoys designing cakes for children as the process of creating the designs allows her creativity to flow.

"I have to be very precise with the designs, especially when it calls for cartoon characters. Other times, I would mould cute figurines out of fondant and use them as cake toppers," she said, adding that though challenging, it was always a joy to make children's cakes.

Apart from cakes, the passionate pastry chef also makes hold-in-your-hand desserts such as cupcakes and iced cookies prepared with unparalleled level of finely detailed craftmanship as well as savoury items such as chicken crepes and curry chicken in choux pastry, which are also popular with customers who often serve them during festive seasons or special functions.

Lo's customers like her cakes for their delicious taste and artistic designs.

She attributes her success to having a good teacher and mastering the basics of each baking technique.

"I was very lucky to have Lucy guide me from the very beginning. She really inspires me to become what I am today," she beamed.

CONTACT INFO:
Telephone: 016-8822199

Email: olivevalentina@yahoo.com

Source: The Borneo Post

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, April 10, 2010

Hiasan Kek Norrizan Bakers

(Post: Bahasa Melayu)
" Sungguhpun tidak memiliki sebarang kepakaran, ia tetap mampu dilaksanakan, malah segalanya boleh dilakukan jika seseorang memiliki kesungguhan untuk menjayakannya, kata pemilik Norrizan Bakers, Norrizan Alias. "

Menurutnya, tidak memiliki bakat semula jadi bukan satu kekurangan sebaliknya berkat usaha yang ditunjukkan, banyak perkara boleh dilakukan.

Begitu juga dengan pembuatan bunga hiasan kek yang mungkin dianggap sukar.

"Apatah lagi kini, banyak kelas yang boleh diikuti untuk mendapatkan tunjuk ajar terutama jika berminat untuk menjadikannya satu cabang perniagaan."

"Jangan mensia-siakan bakat yang ada kerana ia mungkin dapat digunakan untuk membantu meningkatkan taraf hidup kita."

"Jadikan cabaran ketika melakukannya sebagai penaik semangat untuk terus berusaha hingga berjaya mencipta sesuatu yang baru berdasarkan kreativiti sendiri," katanya.

Ditemui di kedainya, Norrizan Bakers, di Len Seng Garden, Petaling Jaya, baru-baru ini, Norrizan berkata, kebanyakan pengalaman membuat kek yang dicurahkannya diperoleh dari banyak tempat dan melalui bantuan ramai pihak.

"Saya pergi ke mana saja tempat yang memiliki pakar dalam bidang masakan semata-mata untuk belajar teknik yang digunakan."

"Kemudian, saya olah kembali dan berikan sentuhan terkini agar bersesuaian dengan permintaan serta kehendak pasaran terutama generasi muda kini yang sentiasa menginginkan kelainan," katanya.

Dia turut membuka kelas mengajar membuat kek, bunga hiasan untuk kek dan memasak kepada usahawan yang berminat.

"Kelas ini saya usahakan supaya dapat memperturunkan kepakaran yang ada kepada generasi muda agar mereka dapat menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pilihan," katanya.

INFO:
Cara mudah menghasilkan bunga hiasan untuk kek.

Sediakan bahan untuk membuat pes gula iaitu gelatin, air panas, cecair glukos, gula ising dan tepung jagung.

Bagi bahan membuat bunga hiasan pula, sediakan doh pes gula, dawai, berus warna, putih telur dan pelekat bunga.

1. LEPER... canaikan doh pes gula senipis mungkin.

2. TERAP... gunakan acuan berbentuk kelopak bunga dan terap sebanyak mungkin.

3. BENTUK... tekan hujung kelopak bunga terbabit hingga menjadi beralun.

4. SATUKAN... sapukan putih telur pada kelopak bunga untuk mencantumkannya antara satu sama lain.

5. KUDUP... untuk kudup bunga, hanya perlukan dua kelopak dan biarkan ia hingga kering.

6. GABUNG... cantumkan dawai pada kelopak bunga dan gunakan putih telur sebagai gam.

7. BENTUKKAN... pastikan hujung kelopak bunga tadi dilengkungkan untuk menampakkan bentuk kelopak bunga asli.

8. BAKAR... untuk mempercepatkan proses pengeringan, bakar kelopak bunga terbabit dalam ketuhar pada suhu 50 darjah celsius.

9. BALUT... kudup bunga tadi dibalut dengan pelekat bunga.

10. SERTAKAN BERSAMA... lilitkan bersama beberapa kelopak bunga yang sudah dikeringkan.

11. GUBAH... untuk menambahkan seri bunga sertakan bersama daun hiasan.

12. SIAP... bunga hiasan untuk kek.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Hamper Cenderahati Astana Jentayu

(Post: Bahasa Melayu)
" Kemahiran dan kreativiti sebenarnya ilmu yang boleh dipelajari. Kolaborasi kedua-duanya mampu memberikan kepuasan kepada mereka yang gemar berkarya selain turut memberi keuntungan berganda kerana boleh menjana pendapatan. "

Hal itu dibuktikan pengusaha kuih-muih dan penggubah bungkusan cenderahati, Seri Kandi Jarkasi, yang memanipulasikan hobinya dengan mengadakan kelas bersama penggemar termasuk suri rumah.

Menurutnya, pembabitan lebih lima tahun dengan minat mendalam dalam bidang pembuatan biskut atau kuih-muih itu ternyata membuahkan hasil memberangsangkan.

"Ia bermula sebagai hobi kerana saya gemar membuat kuih-muih dan dijual kepada jiran atau kenalan. Tetapi galakan mereka supaya saya menjualnya secara komersial membuatkan saya memikirkan sesuatu, lagipun aliran kini yang semakin menggemari seni gubahan menarik."

"Justeru saya terpanggil untuk mengajak wanita lain berkongsi sesuatu untuk meraih pendapatan lebih."

"Akhirnya saya menceburi bidang gubahan cenderahati atau hamper dengan menjualnya secara serius dan sambutan amat memberangsangkan mendorong saya melakukannya secara besar-besaran."

"Ternyata usaha tidak sia-sia apabila banyak syarikat korporat dan individu menyenanginya sehingga tidak menang tangan setiap kali menjelang musim perayaan."

"Dua bulan sebelum bulan puasa, saya sudah mula sibuk dengan tempahan yang datang dalam pelbagai bentuk. Adakalanya tempahan banyak membuatkan saya tidak dapat berhari raya di kampung," katanya yang bangga dengan penubuhan Astana Jentayu Sdn Bhd.

Apa yang membanggakan akauntan di sebuah institusi pendidikan ini, kebanyakan hampernya turut mendapat tempahan tidak mengira musim perayaan sebaliknya sentiasa ada untuk jualan.

Bukan hanya kalangan Muslim yang memberi perhatian atas kerja kerasnya itu terutama pada sambutan Aidilfitri sebaliknya pada sambutan Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Melakukan dua kerja dalam satu masa, dia tidak menafikan mempunyai dua pembantu rumah yang banyak membantu meringankan kerjanya.

Atas hasrat berkongsi kemahiran bersama mereka yang turut meminati bidang berkenaan, dia mengadakan bengkel membuat biskut dan mengajar teknik pembungkusan kuih-muih yang menarik.

Mungkin sesuatu yang di luar jangkaan apabila pada tahun lalu, ada peserta melakukan kerja sampingan itu mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit.

"Sebenarnya, inilah hobi yang membuatkan saya begitu seronok dan puas. Setakat ini, jarang pelanggan mengomel mengenai biskut atau kuih-muih yang menjadi buah tangan saya. Kebanyakan mereka juga menjadi pelanggan dan rakan baik saya."

"Saya perturunkan cara gubahan menarik dengan teknik terkini yang jarang dilakukan sebelum ini," katanya.

Peserta bengkel yang juga setiausaha di syarikat swasta, Zainiza Mustafa, 35, tidak menduga kerja kerasnya dua tahun lalu berbaloi.

"Saya tidak menjangka mampu memperoleh puluhan ribu ringgit tahun lalu menerusi jualan hamper, mungkin berkat kerja keras selama ini."

"Kebanyakan pelanggan terdiri daripada rakan sepejabat, kenalan serta syarikat korporat. Selain bersengkang mata membuat kuih-muih serta menggubahnya pada waktu malam atau hari minggu, saya juga terpaksa turun padang dan melakukan kerja pemasaran."

"Ia penting kerana jangkaan saya dalam setahun lagi, saya akan membuka syarikat sendiri dan menceburi bidang pembuatan gubahan ini secara serius," katanya.

Punithavathi Kaliapan, 45, juga teruja menjana pendapatannya dengan menghasilkan hamper apabila melihat sambutan memberangsangkan pelanggan. "Pada saya, tidak rugi mengikuti setiap kelas yang diadakan kerana ia memberi pulangan lebih daripada itu."

"Melakukan kerja sambilan ini sejak dua tahun lalu, saya semakin yakin untuk melakar perniagaan sendiri nanti. Setakat ini, bantuan suami dan saudara-mara memberi keyakinan tinggi kepada saya."

"Selain itu, syarikat korporat juga berminat membuat tempahan terutama ketika sambutan perayaan Deepavali, lalu membuatkan saya semakin teruja untuk membuka syarikat sendiri," katanya yang memiliki kerjaya dalam bidang perakaunan.

Noorliyah Abdul Wahab, 39, mengakui menggali ilmu dalam pelbagai bidang memberinya pengetahuan berguna untuk dimanfaatkan apabila berhasrat membuka perniagaan berasaskan gubahan dan cenderahati suatu hari nanti.

"Saya suka mencari pengalaman sebanyak mungkin dalam apa juga perkara yang dianggap boleh dikomersialkan."

"Saya pula minat membuat kuih-muih dan turut belajar membuat kek cawan sendiri bahkan apa saja bengkel berkaitan masakan asalkan ia memberi pulangan berbaloi."

"Asas yang ada dalam kelas cenderahati ini saya manfaatkan sebaiknya kerana berhasrat membuka kedai kek atau kuih-muih suatu hari nanti."

"Ada anak saya yang meminati bidang ini turut mengikuti kursus. Selain itu, saya menguar-uarkannya dalam Facebook sebagai satu cara pengiklanan," kata pengaturcara komputer ini.

Sumber: myMetro
Foto: Astana Jentayu

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, July 18, 2009

Biskut Raya D FLOWERS CAKE

(Post: Bahasa Melayu)
"Apa yang pasti, saya suka mengambil pendekatan ringkas agar peserta mudah faham, penggunaan barangan atau bahan mentah yang tidak terlalu mahal dan hiasan yang sedap mata memandang."

Kemunculan biskut pada musim perayaan sering membuat selera sesiapa pun terpana. Ini kerana biskut antara kudap-kudap yang jarang ditemui pada hari-hari biasa berbanding snek lain.

Dengan penampilannya yang istimewa, pelbagai corak dan bentuk, biskut moden menjadi pilihan untuk 'memeriahkan' meja makan pada musim perayaan.

Menyedari hakikat itu, satu bengkel bertemakan Jom Buat Biskut Raya anjuran D Flowers Cake telah diadakan pada 5 Julai ini bertempat di Hotel KL International, Kuala Lumpur.

Program yang diadakan pada hujung minggu itu dijalankan secara teori dan praktikal. Ia bertujuan mengajak mereka yang berminat untuk mempelajari cara-cara menghasilkan biskut-biskut moden bercita rasa enak.

Jelas pemiliknya, Zanifah Md Nor, 41, program itu bukan sahaja sesuai untuk kaum ibu yang berhasrat menghasilkan sendiri biskut untuk ahli keluarga, malah ia boleh dijadikan pendapatan sampingan.

"Dengan kos yang agak rendah berbanding biskut yang ditempah, menghasilkan biskut sendiri pasti memberikan seribu kepuasan.

"Kepada yang kaki berniaga pula, inilah masanya untuk menambahkan pendapatan keluarga. Pendek kata, tidak sia-sia menjual biskut yang ada rupa dan rasa," tambahnya yang sering mengadakan bengkel pastri dan biskut.

Bengkel kali ke-21 anjuran D Flowers Cake ini menampilkan enam jenis biskut moden iaitu lorrita, lambada, santana, balada, kapakabilla dan senjakala.

D Flowers Cake juga turut menawarkan beberapa bengkel pastri seperti bengkel membuat dan menghias kek, kraf gula, roti dan talam yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.

CONTACT INFO:
Telefon: 019-6647068 / 012-6759076

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 9, 2009

Hiasan Tudung Saji AZFA SU BOUTIQUE

(Post: Bahasa Melayu)
"Andai bersungguh, saya jamin lima belas minit sudah cukup untuk menyudahkan sebuah kerja kraf."

Tudung saji sering dianggap tidak menyajikan sebarang keistimewaan kecuali berperanan melindungi makanan daripada terdedah dan mengelak ancaman serangga pembawa penyakit seperti lalat.

Namun, ada satu lagi peranan tudung saji baik yang berbentuk bujur, bulat atau segi empat iaitu ia boleh dijadikan sebahagian perhiasan rumah andai disuntik aksesori menarik seperti kain renda, bunga, riben, tali jut dan sebagainya.

Pengusaha Azfa Su Boutique, Rohayah Mohamad, berkata apa yang menarik, usaha menghias tudung saji ini memerlukan modal kecil serta kreativiti.

"Menghias tudung saji tidak perlu modal besar tetapi wajib disediakan kain renda, riben dan bunga tiruan. Ini kelengkapan yang menaikkan seri tudung polos. Cara membuatnya mudah dan tidak mengambil banyak masa."

Selaku pengajar kraf di butik fesyen dan aksesori itu, Kak Su sedia menurunkan ilmu mengubah tudung saji biasa kepada rupa baru yang lebih memukau pandang.

"Sungguhpun, pelbagai warna boleh dicuba namun supaya tampil menarik, harmoni dan sekata, pilihan kain jaring, renda dan riben harus sedondon warna," ujarnya.

INFO:
Azfa Su Boutique turut menawarkan pelbagai kursus termasuklah kursus gubahan dan hantaran, ukiran buah, jahitan, sulaman, masakan dan membuat kek.

Lokasi: No.310G, Kompleks Diamond, Bangi Business Park, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
(Belakang Supermarket BINTANG, Lorong Tabung Haji, bersebelahan kedai basikal)

Telefon: 016-2511554

Sumber: Berita Harian Online , web Azfa Su Boutique

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, July 7, 2009

Kek Cawan TASTE INVASION

(Post: Bahasa Melayu)
"Tambah Kaye, kek cawannya yang dijual di pasaran hanya berharga RM3.50 sebiji. Apa juga pilihan pelanggan, Kaye akan sedaya upaya memenuhi cita rasa mereka."

Taste Invasion menyediakan pelbagai saiz kek daripada sebiji kek cawan sehingga kek bersaiz besar untuk hari perkahwinan.

Bagi ibu bapa yang ingin meraikan parti untuk anak-anak, kek cawan pelbagai rasa pasti sesuai kerana ia bukan sahaja enak untuk dimakan, malah mempunyai pelbagai bentuk yang pasti menarik perhatian tetamu.

Antara perisa kek cawan yang boleh dicuba di Taste Invasion ialah strawberi, karot, lemon dan coklat ceri.

Menurut chef Ahmad Saiful Ridzuan Hasib, 24, atau lebih mesra disapa Kaye, beliau hanya menggunakan bahan berkualiti yang diimport dari luar negara untuk menghasilkan kek-kek itu.

"Baik tepung mahupun mentega, saya hanya gunakan jenama yang berkualiti dan diimport dari luar negara seperti di London," kata usahawan muda itu.

"Saya juga ada menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang seperti Bangi, Kajang, Nilai, Wangsa Maju, Bangsar, Ampang, Puchong, Kinrara, Petaling Jaya dan Damansara," kata Kaye sambil menambah caj penghantaran akan dikenakan.

Selain itu, Kaye juga menyediakan pastri yang enak menggunakan bahan dari Perancis dan dijual pada harga RM1.50 sekeping.

"Ini adalah hidangan yang paling mudah dan menjadi trend masa kini untuk individu, seisi keluarga mahupun tetamu yang diraikan," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 5, 2009

Cupcakes Graduan Fizik

(Post: Bahasa Melayu)
"Menggunakan bahan-bahan segar sebagai ramuan, produk biskut dan kek Mira adalah 100 peratus buatan tangan. Tidak hanya cantik pada penampilan tetapi enak dimakan, kek cawan dan biskutnya nyata membuatkan orang kecur air liur."

Kelihatan kek cawan tersusun kemas di atas dulang. Di atas setiap satu kek itu pula terhias pelbagai peralatan pejabat dalam saiz mini. Ada pena hitam, pensel dan pemadam, klip kertas, komputer riba serta buku nota. Malah, segala peralatan tadi termasuk beberapa akhbar kompak Kosmo! semuanya hanya sebesar saiz syiling 20 sen! Terlalu comel dan sayang untuk dimakan.

Jika difikirkan sejenak, pasti pembuat kek cawan itu seorang chef profesional yang teliti dengan hasil kerjanya ataupun suri rumah yang sudah terlalu arif dengan bab masakan.

Realitinya, hasil kerja kek-kek cawan tadi datangnya daripada seorang graduan muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga pemegang ijazah jurusan Fizik!

Pelik? Tidak perlu pelik kerana jika sudah minat, pasti ia bukan sesuatu yang mustahil. Minat awal Amirah Muhamad Akhir terhadap kek cawan bermula secara suka-suka sewaktu melanjutkan pengajian di menara gading.

Daripada sekadar suka-suka membuatnya, gadis berusia 23 tahun itu akhirnya melibatkan diri dalam hobi barunya secara aktif sejak Mei tahun lalu. Anak kepada seorang pesara kakitangan swasta itu memberitahu, dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada kedua-dua orang tuanya.

Pada awal penglibatannya dalam hobi itu, Mira pernah menghasilkan biskut dan kek cawan untuk ibunya. Katanya, sampel-sampel produk hari raya itu kemudian menjadi batu loncatan untuknya membuka bisnes kecil tersebut. Bisnes kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah syarikat membuat biskut, kek dan pastri milik Mira.

Memberi tumpuan kepada biskut atau kek custom-made, Mira biasanya menerima tempahan untuk pelbagai majlis keramaian. Namun, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada gadis remaja yang membuat tempahan untuk hadiah hari jadi kekasih mereka.

Tidak bercadang untuk mempromosikan produknya di bazar-bazar seperti kebanyakan orang, Mira mengakui lebih selesa menerima tempahan menerusi blognya MiraCookiss atau panggilan telefon.

Harga biskut bermula dari RM2.50 setiap satu sehingga RM45 sekotak (kira-kira 40 hingga 60 keping), bergantung kepada saiz dan komplikasi rekaan yang diperlukan. Sementara itu, harga kek cawan (saiz souffle cup medium) pula bermula dari serendah RM2.50 sehingga RM4 setiap satu.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, March 30, 2009

Kek Cawan Dimplecake

(Post: Bahasa Melayu)
"Kek yang saya sediakan ini mampu bertahan seminggu jika dalam keadaan terdedah dan lebih lama dari tempoh itu, andai disimpan di dalam peti sejuk."

Bagi Siti Hawa Mohd Ariff yang sudah dua tahun menerima tempahan kek cawan berkata setiap kek dihasilkan menyajikan ciri moden namun praktikal.

"Kek cawan tidak sekadar menampilkan rupa yang cantik tetapi sedap dimakan."

Keistimewaan ditawarkan Siti Hawa ialah setiap kek cawannya tidak akan mengutarakan hiasan serta warna yang sama.

Malahan, perisa adunan gula halus (aising) boleh dipilih daripada buah-buahan seperti pisang, strawberry dan banyak lagi di samping coklat, mentega dan sebagainya.

Penyediaan kek dari rumah bagaimanapun kata Siti Hawa menuntut daya kreativiti tinggi dan disusuli usaha berlipat ganda.

Ini penting dalam memastikan juadah kek disediakan menonjolkan kepelbagaian rasa, rupa tersendiri dan paling utama, menyelerakan.

Meskipun, serbuk penahan diakui membantu memanjangkan hayat kek, Siti Hawa tidak berminat menggunakannya dalam adunan kek. Sebaliknya, kesegaran kek dipastikan dengan cara menyiap adunan kemudian membakarnya sehari sebelum majlis berlangsung.

INFO:
Bilangan tempahan minimum: 50 biji kek sebesar ukuran siling 50 sen

Tempahan kek secara online iaitu melalui blog Dimplecake

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 16, 2009

The Cup Cake Kingdom

(Post: Bahasa Melayu)
"Kepelbagaian saiz, warna dan rekaan menjadikan kek cawan bukan sekadar dicari di akhir majlis bahkan dikomersialkan menjadi sebahagian gaya dan hiasan meja."

Kek cawan atau dikenali seluruh dunia sebagai cup cake bukan pemanis mulut baru tetapi diilhamkan di negara Barat sejak awal abad ke-19. Ketika itu, kek cawan digelar cup cake di Amerika Syarikat serta Australia manakala masyarakat London mengenalinya sebagai kek pari-pari.

Ilham membuat kek cawan muncul bagi memenuhi keperluan masyarakat waktu itu yang mahukan santapan pemanis mulut dinikmati dengan sekali suap.

Selain itu, atur cara majlis terutama tari-menari yang membabitkan banyak pergerakan turut mendesak penyediaan hidangan ringkas, mudah serta mengenyangkan perut tanpa perlu berkongsi.

Pengusaha The Cup Cake Kingdom, Adha Muhamad atau mesra dipanggil Vee mengiyakan kenyataan ini malah memberitahu, kek cawan popular kerana penganjur parti tidak perlu bersusah payah menyediakan piring dan sudu untuk menikmatinya.

"Lebih menyenangkan, cawan kertas boleh dibuang selepas digunakan. Tak perlu bersusah payah mencucinya sebagai mana menggunakan piring," katanya.

Sebelum menjadi fenomena di negara ini, kek cawan kata Vee terlebih dulu digilai di Singapura.

Cara penyediaan kek cawan berbeza mengikut acara dan keperluan. Menurut Vee, bagi hantaran perkahwinan, rekaan dan motif bunga hiasan kek dipastikan lebih sarat dan eksklusif berbanding disediakan untuk majlis hari jadi.

"Bunga mawar dan kekwa pilihan popular untuk kek cawan hantaran perkahwinan. Selain dikatakan lambang cinta, dua bunga ini memiliki kelopak indah yang berupaya memeriahkan rupa hantaran," katanya yang mengusahakan tempahan kek cawan bersama dua rakan kongsi, Azizul Idris dan Muzamer Mohamed.

Vee berkata, kek cawan mereka mampu bertahan sehingga seminggu jika disimpan di dalam peti sejuk. Manakala, yang memuatkan ramuan gula keras (fondant), tahan lebih lama.

"Bagaimanapun, selain dibuat khusus untuk hantaran, saya tidak menggalakkan gula keras digunakan kerana rasanya terlalu manis dan mual diambil dalam kuantiti banyak," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-3082211 (Adha Muhamad)

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, November 29, 2008

Kelas Memasak RFC Enterprise

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun premisnya itu baru berusia setahun jagung (mula dibuka pada Jun 2008), namun kini premisnya sudah mempunyai lebih 300 ahli, termasuklah dari Sabah, Sarawak dan Brunei, yang sama-sama minat dalam bidang masakan."

Satu kepercayaan yang sentiasa dipegang usahawan, Rohayati Ayub, yang juga merangkap tenaga pengajar yang sudah mencecah usia 45 tahun ini, setinggi mana kejayaan yang diraih pasti bermula dari langkah yang satu.

Kini, dia sudah boleh berbangga dengan pembukaan RFC Enterprise iaitu premis membekalkan bahan dan peralatan membuat kek, roti dan biskut yang terletak di Pusat Perniagaan Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dengan bayaran yuran serendah RM10 untuk setiap kelas masakan, beliau turut meringankan tulang menganjurkan kelas memasak hasil usaha dan pengalaman yang dikutip beberapa tahun lalu.

Selain membekal bahan masakan, dia turut membuka kelas masakan yang boleh memuatkan kira-kira 50 pelajar sekali gus di tingkat satu premis yang sama.

Kelas berkenaan yang diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad memberi peluang kepada para pelajar melihat demonstrasi memasak sesuatu jenis masakan secara terus selain teori yang diajar berdasarkan resipi yang disediakan.

Dengan pelan jangka panjang untuk menyediakan sebuah asrama kepada pelajar yang datang dari jauh, tidak mustahil premis milik Rohayati ini bakal menjadi kilang yang akan melahirkan golongan wanita yang kaya dengan ilmu orang dapur.

INFO Kelas Memasak:
Antara masakan yang diajar termasuklah:
- roti
- kek
- kuih tradisional
- ais krim
- masakan barat

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, November 23, 2008

Kek Tamar Cik Wan

(Post: Bahasa Melayu)
"Kita semua sedia maklum bahawa buah kurma memang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C, namun kebanyakan kita tidak menjadikan memakan kurma sebagai amalan harian."

Populariti buah kurma terutama ketika bulan Ramadan mencetuskan idea kepada seorang pengusaha kek, Norrizan Alias, 40, untuk menghasilkan resipi kek kurma sebagai juadah yang sesuai dimakan sepanjang tahun.

Penghasilan kek kurma menggunakan lebih 90 peratus isi buah kurma yang diadun dengan sedikit tepung tanpa sebarang pengawet atau perasa tambahan. Dengan cara itu, ia tidak menjejaskan khasiat yang terkandung dalam setiap isi kurma sebaliknya sama seperti menikmati sebiji demi sebiji buah kurma.

Berikutan permintaan tinggi terhadap kek kurma terutama di kalangan umat Islam sepanjang bulan Syawal, Norrizan berusaha mengkomersialkan produk itu dengan nama Kek Tamar Cik Wan selepas berjaya mendapatkan pengiktirafan Logo Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau, yang juga pemilik Norrizan Bakers di Taman Len Seng, Petaling Jaya, berkata, idea mencipta resipi berkenaan tercetus selepas melihat kebanjiran pelbagai jenis kek di pasaran pada setiap kali musim perayaan, tetapi tiada satu kek pun yang mempunyai imej dan identiti umat Islam khususnya bersempena Aidilfitri.

Setakat ini, Norrizan Bakers hanya menyediakan kek kurma berdasarkan tempahan pelanggan sahaja bagi memastikan kualitinya sentiasa terpelihara dan tidak mudah diciplak pihak tidak bertanggungjawab.

CONTACT INFO:
Telefon: 019-3325564 (Norrizan)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::