ATTENTION !!!

Showing posts with label butik pakaian. Show all posts
Showing posts with label butik pakaian. Show all posts

Wednesday, March 16, 2011

Busana Muslimah Butik Aishah Alya

(Post: Bahasa Melayu)
" Perkembangan fesyen busana Muslimah semakin ketara pada masa kini, sama ada pakaian untuk bersantai atau untuk ke majlis formal. "

Melihatkan permintaan yang sentiasa meningkat dan keterujaan wanita untuk memilih pakaian Muslimah, maka terdetik di hati Nor Azlina Che Husin untuk menceburi dalam bidang penjualan busana Muslimah.

Bermula dengan menjual baju kemeja T Muslimah di pasar pagi di Shah Alam dan pejabat-pejabat kerajaan, Nor Azlina kemudiannya mengorak langkah membuka butik sendiri.

Menggunakan gabungan nama kedua puterinya maka lahirlah Butik Aishah Alya yang terletak di Taman TTDI, Shah Alam.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam perniagaan namun wanita kelahiran Che Siti Wan Kembang itu sanggup bermula dari bawah.

"Pada awalnya, saya hanya menjual kecil-kecilan sebelum melangkah lebih jauh," ujarnya menceritakan pengalaman selama lima tahun menjaja di sekitar Kuala Lumpur.

Malah akuinya, dia sendiri sanggup turun padang mencari barangan untuk dijual bagi memastikan kualitinya terjamin.

"Ketika itu, setiap minggu saya berulang-alik antara Kuala Lumpur ke Jakarta dan juga Vietnam. Setiap kali pulang ke rumah, anak-anak sudah tidur.

"Namun pada ketika itu, saya tekadkan dalam hati bahawa setiap usaha yang dilakukan akan digantikan dengan kejayaan," kata Nor Azlina yang turut dibantu oleh adiknya, Nor Azlindawanis, 27.

Jikalau dulu, terangnya, busana Muslimah tidak banyak pilihan, kini keadaan semakin jauh berubah.

Ini termasuk dari segi rekaan, kemasan jahitan yang lebih banyak menyuntik elemen-elemen kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri kesopanan.

"Saya rasa kehadiran koleksi busana Muslimah Aishah Alya bagaikan tepat pada waktunya untuk memberi inspirasi tersendiri kepada wanita yang suka bergaya, tetapi masih mengekalkan ciri-ciri Muslimah anggun dan bersopan," ujarnya.

Bagi mereka yang ingin melihat dengan lebih dekat koleksi Aishah Alya, anda boleh berkunjung ke:

Lokasi kedai: No16, Jalan OperaB U2/B, Taman TTDI Shah Alam, Selangor

atau Hubungi: 019-2739717

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, January 12, 2011

Busana de Chantek

(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan menjual tudung kepada rakan-rakan terdekat dan saudara-mara, pasangan suami isteri, Zainul Azhari dan Noor Wahidah Mustafa kini mengorak langkah ke satu lagi fasa yang lebih serius. "

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan secara 'tidak formal', pasangan suami isteri itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk membangunkan sebuah butik dan terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan sebenar.

Menggunakan 100 peratus modal sendiri, Busana de Chantek akhirnya beroperasi di Pusat Dagangan Seri Utama, Kota Damansara sejak bulan Jun lalu lantas merealisasikan impian Zainul dan Noor Wahidah.

"Tiga tahun lalu, kami hanya menjual tudung secara kecil-kecilan. Saya juga minta tolong sanak saudara untuk menjual koleksi tudung kami yang diambil daripada beberapa pembekal."

"Lepas itu, kami berdua membuat keputusan untuk membuka butik dan mula mencari lokasi yang sesuai. Oleh kerana kami mahu membuka butik muslimah, maka kawasan berniaga itu mestilah ramai penduduk Islam," kata Zainul.

Butik itu kini menjadi sumber pendapatan utama kepada pasangan itu kerana ia dibangunkan berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan sedangkan mereka berdua masing-masing mempunyai karier berbeza.

Zainul bertugas sebagai pengurus jualan di salah sebuah syarikat pembekal telekomunikasi, manakala Noor Wahidah pula merupakan seorang pensyarah dalam bidang sains komputer di sebuah kolej di Cheras.

"Meskipun kami berdua bekerja di tempat lain, butik ini adalah sebahagian daripada hidup kami. Kami juga akan melawat butik yang dijaga oleh kakitangan kami pada setiap hari."

"Setakat ini, perniagaan kami berjalan dengan lancar. Meskipun masih baru, kami sudah ada beberapa pembeli tetap."

Mengulas mengenai koleksi tudung dan jubah yang dijual, Noor Wahidah memberitahu, mereka mengambil stok tudung di beberapa syarikat pembekal, manakala jubah pula diimport dari Vietnam.

Katanya lagi, meskipun tudung itu diambil dari pembekal, dia dan suaminya turut memberikan pandangan dan rekaan yang mereka inginkan agar kelihatan lebih menarik.

"Kami sering memberikan rekaan yang sendiri kepada pembekal. Jubah pula kami cantikkan dengan menjahit manik untuk kelihatan lebih menarik."

Konsep butik: Konsep sederhana dan ringkas menjadi pilihan butik Busana de Chantek.

Menawarkan: Selain menjual koleksi tudung, jubah, baju kurung dan telekung, Busana de Chantek turut menjual blaus serta pakaian kanak-kanak. Dalam masa yang sama turut menawarkan tempahan hantaran perkahwinan dan jahitan manik.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, November 20, 2010

Pakaian Kanak-Kanak Qalesha Boutique

(Post: Bahasa Melayu)
" Pemilihan fesyen kanak-kanak banyak memainkan peranan penting dalam memastikan si cilik kelihatan lebih comel dan bergaya. "

Bahkan, gaya si cilik akan terserlah apabila dipadankan dengan pakaian yang mempunyai rekaan terkini, warna ceria dan corak menepati cita rasa mereka.

Jika mengunjungi laman web Qalesha, ibu bapa pasti akan tertarik dengan variasi pelbagai pakaian kanak-kanak yang ditawarkan laman berkenaan.

Pengendali laman web berkenaan yang juga Pengarah Qalesha Boutique, Nur Azlean Ramlan, 25, berkata, dia membangunkan laman berkenaan pada penghujung tahun 2008 untuk memberi pilihan kepada ibu bapa yang ingin membeli pakaian kanak-kanak.

"Sebelum membangunkan laman web berkenaan, saya juga kerap membeli pakaian anak-anak melalui blog ataupun Internet kerana lebih banyak pilihan pada harga berpatutan. Ia akhirnya memberikan saya idea untuk membuka laman web sendiri."

"Kebanyakan pakaian kanak-kanak yang terdapat dalam laman web saya dibeli dari luar negara seperti Vietnam, China, India dan Bangladesh," katanya ketika ditemui Kosmo! di Qalesha Boutique, Bangi, Selangor.

Nur Azlean menambah, dia akan membeli sendiri pakaian kanak-kanak berkenaan di negara tersebut untuk memastikan kualiti dan corak terkini menepati pasaran tempatan.

Katanya, pemilihan corak dan rekaan penting untuk memastikan kelainan pakaian kanak-kanak berbanding yang terdapat di pasaran.

Antara jenama pakaian kanak-kanak yang boleh diperoleh termasuk Baby Gap, Baby Moon, Osh Kosh B'Gosh, Old Navy, Preety Keebo, Polo, Laura Ashley dan banyak lagi.

"Pakaian kanak-kanak yang dijual juga terdiri daripada material seperti kapas, nilon, polister dan spandex untuk memastikan keselesaan si cilik."

"Dalam pada itu, saya juga menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan-pelanggan iaitu semurah RM8 sehingga RM70," katanya.

Disebabkan terdapat pelanggan yang ingin melihat pakaian terlebih dahulu, Nur Azlean kemudian memberanikan diri membuka sebuah kedai Qalesha Boutique di Seksyen 9, Bangi Selangor pada awal tahun ini.

"Dengan adanya kedai ini, ibu bapa yang menetap sekitar Kajang, Putrajaya dan Bangi berkesempatan untuk melihat terlebih dahulu pakaian sebelum membelinya."

"Bagaimanapun, laman web itu masih beroperasi seperti biasa kerana terdapat langganan sekitar Malaysia," katanya.

Nur Azlean turut memasang impian untuk mencari kedai yang lebih besar bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.

Dia juga berharap dapat menjadikan jenama Qalesha Boutique yang juga bersempena nama anaknya sebagai francais satu hari nanti.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 17, 2010

Roha Collection

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada usia sembilan tahun, Raha Ismail sudah mula mengekori ibunya, Asmah Awang Chik menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dengan menjual pelbagai jenis barangan serbaneka. "

Walaupun tidak pernah dipaksa untuk berbuat demikian, namun Raha melakukan semua itu dengan kerelaan sendiri. Tanpa disuruh, dia juga akan menyusun barang-barang untuk diperaga pada pelanggan.

Malah, berbanding lapan adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan, dia boleh dianggap peneman setia kepada ibunya.

Siapa sangka bermula dengan minat, kemudian dipupuk dengan kesungguhan, rutin tersebut akhirnya menjadikan Raha atau lebih mesra dipanggil Roha seorang usahawan wanita yang berjaya apabila meningkat dewasa.

Jenama Roha Collection cukup dikenali di daerah Kluang kerana ia merupakan butik pemborong dan penjual pakaian yang beroperasi sejak awal tahun 2006.

"Butik kami menawarkan pelbagai jenis kain pasang, tudung, baju siap termasuk kurung dan kebaya, blaus, jubah, telekung, aksesori serta kelengkapan raja sehari."

"Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lima tahun, butik saya sudah mempunyai tiga cawangan di Johor iaitu dua di Kluang dan satu lagi di Mersing," ujar Roha ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor.

Butik itu turut menerima tempahan baju pelbagai jenis fabrik dan bersedia menjahit rekaan yang diingini pelanggan.

"Kami mampu menyiapkan tempahan tersebut dalam masa sehari jika mereka mahu. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama terutama mereka yang datang dari luar daerah Kluang," jelas wanita yang berusia 32 tahun itu.

Sambil menunjukkan beberapa koleksi terbaru Roha Collection, ibu kepada Mohd. Hishamuddin, 9, memberitahu, dia menceburi dunia perniagaan secara serius sejak umur 22 tahun.

Ketika itu Roha memilih untuk menjadi salah seorang usahawan dalam dunia skim jualan langsung (MLM). Selepas empat tahun, barulah dia memulakan bisnes butik Roha Collection dengan modal sebanyak RM2,000.

Banyak rintangan

Memegang kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Roha membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika kita sentiasa berusaha.

"Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap sekarang. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui. Dalam dunia perniagaan, kita akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia."

"Adakalanya kita akan tertipu dengan mereka dan begitulah sebaliknya. Tetapi, itu bukan penghalang untuk kita mencapai impian. Apa yang penting, setiap apa yang dilakukan perlu jujur," tegas Roha yang berkahwin pada usia 23 tahun.

Bertemu jodoh dengan seseorang jejaka dari Padang, Indonesia, perkenalannya dengan suami, Jamaluddin Johan, 32, bermula atas urusan perniagaan.

Roha mengakui suaminya merupakan tulang belakang kejayaan yang dikecapinya.

"Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya mampu menempuh pelbagai dugaan dunia perniagaan ini," tuturnya.

Apakah pengalaman getir sepanjang menjalankan perniagaan? Roha berkata, dia pernah ditipu pelanggan dan rakan niaga serta berdepan dengan pekerja yang tidak jujur iaitu mencuri idea di butiknya dan kemudian memberitahu kepada pesaing perniagaannya.

Bagaimanapun, Roha tidak gentar dengan persaingan kerana dia percaya dengan rezeki yang diatur Allah. Dia juga yakin dengan bakat dan kreativiti yang dikurniakan kepadanya dan jenama pakaiannya

Bawa staf bercuti

Satu petua yang sempat dititipkan Roha untuk berjaya dalam perniagaan ialah tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerja dan mereka yang memerlukan.

Justeru, setiap tahun dia akan menutup operasi semua cawangan butik semata-mata untuk membawa pekerja dan keluarganya bercuti di seluruh negara.

"Sejak dua tahun bekerja di sini, saya gembira kerana mendapat majikan seperti kak Roha. Dia sangat sporting dan sentiasa berkongsi masalah dengan kami."

"Paling seronok apabila kami dibawa bercuti ke destinasi peranginan terkenal seperti di Langkawi, Genting Highlands serta negara jiran, Singapura dan Indonesia," ujar pekerja Roha, Wan Noraila Mohd. Jaafar, 20.

Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan butiknya, Roha berazam untuk memiliki bangunan sendiri pada masa akan datang.

"Buat masa ini, saya masih menyewa lot-lot kedai pada kadar di antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan. Insya-Allah, jika diizinkan saya mahu mempunyai bangunan perniagaan sendiri yang lebih moden dan canggih."

"Kepada wanita yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan, jangan cepat berputus asa jika apa yang diusahakan tidak menjadi. Sebaliknya, terus berusaha dengan gigih," kata Roha mengakhiri bicara.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 21, 2010

Chomel Outlet Store

(Post: Bahasa Melayu)
" Seronok melihat telatah dua kanak-kanak perempuan iaitu Farhana Arissa Mohd. Fajri, 5, dan Nylea Natasha Mohd. Nizam, 7, yang langsung tidak kekok apabila berhadapan dengan lensa kamera. "

Meskipun lokasi penggambaran diadakan di luar premis dan di bawah panas terik, mood mereka tidak pernah terbantut.

Lebih istimewa, kanak-kanak itu tidak perlu diajar untuk memberi gaya menarik. Aksi mereka cukup spontan seperti sudah biasa menghadiri sesi fotografi.

Menyarung baju kurung fabrik kapas Chomel Outlet Store, fesyen baju tersebut cukup ringkas dan sesuai dengan sifat kanak-kanak yang lasak.

Disokong penggunaan tekstil yang tidak membuatkan pemakai berasa rengsa akibat panas, penampilan menjadi bertambah manis dengan sulaman bunga di bahagian pergelangan tangan.

Disebabkan tidak mahu kelihatan terlalu ringkas, kain yang dipadankan dengan baju kurung tersebut mempunyai unsur corak yang berpetak.

Chomel Outlet Store yang terletak di Lembah Keramat, Kuala Lumpur memuatkan pelbagai fesyen menarik, cantik dan ideal buat si ibu yang mahu melihat anak-anak mereka melaram sakan pada hari lebaran.

Kebanyakan pakaian yang terdapat di situ mempunyai unsur fesyen golongan dewasa. Hakikatnya, bukan orang dewasa sahaja yang layak bergaya, malah kanak-kanak juga kini mahu kelihatan cantik dan berketrampilan.

Saat paling menggembirakan bagi dua model cilik itu ialah apabila mereka berpeluang memperagakan gaun. Tidak lekang dengan senyuman, gaun itu sesuai dipakai saat bertandang ke rumah terbuka.

Kanak-kanak seusia mereka kelihatan lebih eksklusif jika bijak mengenakan aksesori bersesuaian seperti cekak rambut, rantai tangan dan beg tangan.

Gaya ranggi pula cukup sekadar mengenakan skirt jean pendek dan baju tanpa lengan. Si cilik akan lebih selesa sekiranya mereka diberi kelonggaran memakai pakaian yang tidak terlalu labuh.

Bagaimanapun, pastikan anak-anak tidak kerap memakai selipar. Mereka lebih kemas dan comel jika menyarungkan kasut berpotongan feminin.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 16, 2010

Butik The Emperor’s New Clothes

(Post: Bahasa Melayu)
" Melewati butik pakaian lelaki, The Emperor’s New Clothes (Tenc) di Pavilion Kuala Lumpur, mata pantas terpaku melihat rekaan dalaman yang menata pandangan. Sebuah rak penuh dari siling ke lantai pada dinding paling belakang butik itu mendominasi pandangan. Warna dinding cerah mengapit barisan produk yang dijual manakala sejumlah buku menjadi pelengkap suasana elit. "

Konsep perpustakaan lama Inggeris yang diaplikasi itu sejujurnya layak dipuji. Malah, memadankannya dengan siling yang diadaptasi daripada konsep bim faux dan diwarnakan coklat gelap sekali gus menjadikannya lebih 'asli'.

Tidak canggung di tengah-tengah Kuala Lumpur, sebaliknya ia seperti membawa pengunjung menyusuri babak filem Sherlock Holmes yang banyak memaparkan pemandangan sebegitu.

Pada lantai, jelas susunan ira kayu yang dipilih kaya dengan unsur klasik. Susunan herringbone atau tulang ikan, membantu menambah 'pergerakan visual' pada keseluruhan ruang butik itu.

Gaya New York

Dinding butik itu juga punya kekuatan tersendiri. Pada bahagian depan butik, dindingnya dilengkapi panel berbalut material kulit berwarna krim bertatah butang tembaga. Krew Jurnal diberitahu gaya itu dibawa dari kota New York yang penuh tenaga.

"Separuh dinding di bahagian belakang butik pula menggunakan kemasan batu yang lebih kasar dan kasual. Gaya ini berasal dari Los Angeles, Amerika Syarikat. Saya sukakan perbezaan yang ketara antara kedua-dua material ini," jelas Efeida Effendi yang mengetuai pasukan pereka dalaman butik itu.

Menurutnya, dua gaya berlainan yang melengkapi konsep perpustakaan mini itu ialah antara permintaan menarik yang disebut oleh pemilik Tenc.

"Pemilik (butik) mahukan suasana butik yang relaks yang dapat ditemui di Los Angeles dan menggabungkannya dengan ciri New York yang lebih cool."

"Mereka juga mahukan atmosfera kelab lelaki budiman dan perpustakaan Inggeris yang lebih klasik," kata Efeida.

Lebih terperinci, kata Efeida, pemilik Tenc mahukan ruang yang dapat memainkan pelbagai fungsi pada satu masa.

"Di butik ini, pelanggan diharap akan berasa selesa dan mempunyai ruang yang lebih luas untuk menghargai produk yang mengelilingi mereka."

"Untuk itu, kami menambah sebuah meja pool untuk meraih suasana santai dan menggandakan fungsinya sebagai salah satu ruang pameran produk," kata Efeida.

Mewujudkan ruang menunggu bagi membolehkan pelanggan menikmati aktiviti membeli-belah mereka dalam suasana yang paling tenang, ia turut diisi dengan skrin televisyen leper yang memaparkan siaran fesyen, berita dunia, sukan dan hiburan.

Terus-terang, kata Efeida, inspirasi untuk menghasilkan rekaan berkonsep sebegitu sebenarnya lahir daripada pemilik butik itu sendiri.

"Mereka mempunyai pengalaman yang luas, banyak mengembara, mengetahui dan memahami gaya. Butik ini perlu menonjolkan kesemua ciri itu," ujar Efeida.

Konsep butik Tenc sekali gus menggambarkan personaliti pemiliknya, Casmad Sanuri, Ruben Emir Gnanalingam dan Khairy Jamaluddin yang sudah sedia dikenali ramai.

Utamakan fungsi

Namun, tambah Efeida, perkara utama yang membezakan butik itu dengan premis yang berjiran dengannya ialah produk yang dijual di situ.

"Tidak ada butik lain di Kuala Lumpur yang mengetengahkan produk berjenama khusus untuk lelaki. Itulah keutamaan kami ketika menghasilkan rekaan dalaman untuk butik ini."

"Kami akan sentiasa mengutamakan fungsi berbanding rupa bentuk. Selebihnya, penggayaan dan perincian butik itu datang setelah kami memahami kepentingan pakaian yang dijual dan pelanggan utama butik ini, iaitu kaum lelaki," terangnya yang mengambil masa kira-kira lima bulan untuk mereka dan merealisasikan rekaan itu.

Cabaran paling besar buat Efeida dan pasukannya ialah untuk menyudahkan rekaan dengan cuba memenuhi permintaan istimewa pemilik butik.

"Mereka meminta kami mewujudkan bilik persalinan yang tersembunyi, seperti sebuah pintu rahsia. Saya fikir pasukan saya telah berjaya melakukannya dengan baik dengan membuatkan pintu bilik persalinan itu seolah-olah sebahagian daripada dinding perpustakaan."

"Pintu itu kami reka dengan para-para pada muka depannya dan 'menyorokkannya' di dalam dinding," cerita Efeida.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, January 18, 2010

Pakaian Berjenama Tetapi Murah

(Post: Bahasa Melayu)
"Melihat sahaja deretan pakaian berjenama popular yang dipamerkan di galeri butik berkenaan, pasti tiada siapa menyangka ia dijual pada harga yang sangat murah. Kualitinya tetap sama, tidak mempunyai sebarang cacat cela pada jahitan dalaman mahupun luaran menyebabkan mereka yang sebelum ini tidak berminat pada pakaian berjenama terus terpikat."

Sebutlah jenama-jenama terkenal seperti Ralph Lauren, Tommy Hilfigure, Carters, Calvin Klein, Burberry, Brooks Brothers, Marks n Spencer, Evisu, Nordstrom, Replay, AX dan GAP, semuanya ada di bawah satu bumbung.

Hakikatnya, koleksi jenama pakaian popular dari Eropah dan Amerika Syarikat itu harganya mungkin mencecah diantara RM600 sehingga RM1,000 sehelai atau sepasang, namun di butik Factory Overrun ia boleh dibawa pulang pada harga serendah RM49, bahkan ada yang lebih murah daripada itu!

Itulah hasil usaha gigih usahawan muda, Azmi Abdul Malik, 35, yang mengusahakan Factory Overrun, syarikat tempatan yang mempelopori penjualan terus dari kilang pakaian-pakaian berjenama sejak lapan tahun lalu.

Azmi memberitahu, obsesinya terhadap pakaian berjenama sejak menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor lebih sedekad lalu telah 'memahirkannya' untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut pada harga murah.

"Sebagai peminat pakaian berjenama, saya sentiasa mencari jalan untuk mendapatkannya pada harga yang lebih murah berbanding dengan harga di pasaran dan pada masa sama, kualiti fabrik serta mutu jahitannya masih tulen."

"Pencarian saya akhirnya membuahkan hasil apabila saya mengetahui terdapat pakaian-pakaian berjenama dikilangkan dan ia dipasarkan pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasaran," katanya.

Menurutnya, stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Setiap pelanggan yang datang ke butik Factory Overrun akan diberi penerangan mengenai perbezaan antara pakaian cetak rompak, dinyah asing (reject) dan koleksi tulen yang terdapat di premis ini," katanya.

Jelasnya, pakaian 'berjenama' tiruan pada kebiasaannya boleh dinilai berdasarkan fabrik dan kualiti jahitan, begitu juga barangan reject yang dikesan melalui kecacatan pada jahitan dan potongan.

"Pakaian berjenama di butik ini dihasilkan di kilang-kilang berlesen di negara ini dan rantau Asia yang mendapat kebenaran dan tempahan pemilik jenama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengilangkannya."

"Bekalan yang diperoleh Factory Overrun merupakan lebihan tempahan pakaian dan atas sebab itu, logo atau jenama pakaian berkenaan yang terletak pada tengah dalam kolar kemeja dan sebagainya mempunyai kesan guntingan."

"Prosedur ini juga sebagai tanda pakaian berkenaan adalah tulen dan asli. Jika ia tiruan, pasti tanda berkenaan tidak 'dikerat'," katanya.

Selepas lebih setahun membuka premis pertamanya di Greentown Nova, Azmi kini boleh berbangga kerana butiknya yang kedua telah beroperasi di Pusat Bandar Seri Manjung. Butiknya yang terbaru iaitu di bandar Taiping pula akan dibuka tidak lama lagi.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama ini mempunyai peminatnya sendiri kerana mereka lebih mementingkan kualiti kerana keselesaan pemakainya," katanya.

Menurutnya, Factory Overrun kini menawarkan berpuluh-puluh jenis jenama pakaian popular untuk lelaki dan wanita dewasa serta koleksi kanak-kanak seperti GAP, Old Navy dan OshKosh.

Selain itu, Azmi juga bertindak sebagai pemborong dan membekalkan pakaian berjenama terbabit kepada peniaga berminat di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Pahang.

Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan bersih sebanyak RM1.5 juta bagi tiga buah butiknya sepanjang tahun 2010. Katanya, sasaran itu mampu dicapai berikutan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan terhadap pakaian-pakaian berjenama tetapi pada harga mampu dibeli.

"Saya yakin penjualan pakaian berjenama akan terus mendapat sambutan menggalakkan lebih-lebih lagi masyarakat mengetahui ia adalah original."

"Selain itu, penjenamaan semula Factory Overrun sedikit masa lagi diharap dapat meningkatkan jualan," katanya.

Ketika ini, Factory Overrun menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus untuk beberapa jenis pakaian terpilih dan peluang itu harus direbut oleh mereka yang tidak mampu membeli pakaian berjenama pada harga asal.

"Apa yang pasti, pakaian yang terdapat di butik kami merupakan fesyen terkini seperti yang terdapat di pasaran," katanya.

INFO:
Factory Overrun
Lokasi: No.14, Jalan Greentown 1, Greentown Nova, Ipoh, Perak

Telefon: 019-5761807

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 30, 2009

Butik Hajaba

(Post: Bahasa Melayu)
"Inspirasi farasha atau rama-rama nyata memberi tuah kepada pemilik butik Hajaba, Mona Din, apabila rekaannya mendapat pujian ramai biarpun sebelum ini dia lebih dikenali melalui produk kosmetik keluarannya, Leesa Formula."

Keindahan corak yang melatari helaian pakaian yang masih mengekalkan potongan jubah moden menjadi daya tarikan utama, ditambah warna jingga gelap menyerlahkan si pemakai. Manik dan labuci turut menambah nilai pada rekaan.

Tidak terlalu sarat dengan corak serta sesuai digayakan ke majlis formal mahupun makan malam membuatkan ia tampak eksklusif selain sesuai digayakan bagi mereka yang masih mahu bergaya tetapi sopan.

Selain bercorak abstrak, Hajaba tampil dengan busana rona polos yang boleh diserikan dengan aksesori seperti rantai dan tali pinggang selain aksesori di kepala bagi mereka yang mahukan kelainan.

Menggunakan fabrik batik sifon dan sutera menjadikan busana lebih selesa dan bergaya ketika dipakai, apatah lagi ditambah selendang panjang di bahagian belakang menjadikan ia lebih trendy.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Media, Noor Zaina Ahmad, lebih membanggakan, pakaian yang mendapat pujian daripada orang ramai itu dihasilkan daripada bahan tempatan.

"Kami tak sangka maklum balas diterima daripada orang ramai sungguh memberangsangkan walaupun sebelum ini Puan Mona lebih cenderung ke arah bidang kecantikan, namun kerana minat, ia pasti menghasilkan kejayaan," katanya.

Fabrik lembut dan berkualiti menjadi pilihan bagi terus mengekalkan keselesaan pemakai kerana menghasilkan potongan pakaian yang cantik dan nampak terletak.

Sumber: myMetro
Foto:
Hajaba

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 22, 2009

Butik Red Glow

(Post: Bahasa Melayu)
"Sungguhpun rekaan baju yang ditampilkan agak ringkas, sekiranya kena dengan pemilihan fabrik, corak hiasan serta kemasan, penampilan pemakainya tampak lebih menyerlah."

"Penggunaan kain yang bersesuaian serta hiasan digunakan dalam setiap rekaan adalah sangat penting."

"Selain itu, corak yang tidak keterlaluan saratnya memang digemari ramai selain dapat mengekalkan permintaan pengguna tanpa mengira usia," kata pemilik bersama butik Red Glow, Annur Najwa Azizan.

Ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, menurutnya, penggunaan kain crepe lembut tanpa corak paling mendapat sambutan untuk dijadikan baju kurung kerana keselesaannya.

"Kain sedemikian memang lembut dan tidak terlalu tebal justeru, ia bersesuaian dengan keadaan cuaca setempat. Apatah lagi, baju tradisional seperti kurung lazimnya dipakai untuk tempoh agak lama, misalnya sehari-harian khususnya ketika bekerja atau menghadiri pelbagai majlis."

"Selain itu, kain jacquard bercorak masih menjadi pilihan pengguna untuk dijadikan pakaian tradisional walaupun kini terdapat pelbagai pilihan."

"Rata-rata ramai yang memilih kain ini kerana ketahanannya manakala corak yang dihasilkan pula berlainan," katanya.

Untuk rekaan kebaya, kain sutera serat nanas digunakan bagi membentuk satu rekaan unik mengikut potongan badan individu tanpa mengira usia.

Dari segi kemasan, taburan batu swarovski dan renda antara hiasan utama koleksi baju yang diketengahkan butik berkenaan untuk menarik minat pelanggan.

"Setiap individu pasti berbeza kehendak dan permintaan dari segi berpakaian kerana masing-masing ada cita rasa tersendiri."

"Namun, kami memastikan rekaan yang dihasilkan tidak keterlaluan supaya ia boleh digayakan untuk pemakai pelbagai peringkat umur selain memberi tumpuan terhadap keselesaan pemakai."

"Tidak salah untuk meringkaskan gaya sekiranya dapat diseimbangkan dengan perhiasan sampingan untuk menaikkan seri penampilan."

"Inilah yang banyak kami utarakan kepada pelanggan supaya mereka tidak perlu banyak berhabis wang untuk kelihatan cantik dan bergaya," katanya.

Sumber: myMetro
Foto:
Red Glow

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 8, 2009

Butik Pakaian getGorgeous

(Post: Bahasa Melayu)
"Gandingan mantap dua beradik, Siti Azlia Idha, 27, dan Siti Allia Idha Abd Latif, 24 yang masih muda, bergaya dan bijak pastinya dicemburui ramai gadis."

Jika dilihat pada luaran, dua wanita muda ini tampak sama seperti wanita sebaya. Mereka suka bergaya dan benar-benar cintakan fesyen, namun setiap patah bicara tidak sekadar cakap kosong tanpa isi, sebaliknya pasti akan terselit cerita mengenai perniagaan dan hala tuju masa depan butik Muslimah dalam talian milik bersama iaitu getGorgeous.

Kelahiran getGorgeous kira-kira tiga tahun lalu mengubah banyak perkara dalam hidup mereka. Azlia Idha, sebelum ini bergelar arkitek landskap di Seremban, manakala Allia Idha pula lulusan Sarjana Muda dalam bidang kreatif media dari Universiti Multimedia, Cyberjaya.

"Melepaskan jawatan profesional untuk bergelar usahawan internet bukan keputusan yang mudah dan memulakan perniagaan Internet juga bukan kerja yang main-main."

"Namun saya percaya, kejayaan getGorgeous sehingga mampu berada pada tahap ini dalam waktu yang singkat adalah hasil daripada keinginan yang kuat, kerja keras, pengorbanan dan berkat dorongan daripada mereka yang berpengalaman," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mereka juga turut mengakui, rahmat Ilahi sentiasa menyebelahi sepanjang menjalankan perniagaan Internet selain beruntung kerana mendapat bimbingan daripada penasihat dan rakan kongsi, Nooraizan Mamat yang juga seorang panel motivasi untuk syarikat jualan langsung (MLM) mengenai selok-belok dunia perniagaan.

Tidak meletakkan sebarang tekanan walau menjalankan usaha sama bersama ahli keluarga sendiri, kata Azlia Idha, gandingan antara beliau dan adiknya melengkapkan penubuhan getGorgeous.

"Saya seorang yang minat berfesyen dan sentiasa mengambil tahu aliran gaya semasa, malah sebagai bekas arkitek, saya terdidik untuk sentiasa kreatif selain menjadikan setiap benda kelihatan indah."

"Adik saya pula mempunyai kepakaran dalam bidang multimedia grafik dan kemahirannya dalam merekabentuk laman sesawang serta fotografi banyak membantu," katanya.

Memulakan cerita mengenai butik muslimah secara dalam talian milik mereka, Azlia Idha memberitahu, semuanya tercetus ketika membantu abang dan kakak ipar mereka membuat perniagaan cupcake secara dalam talian.

"Memang semangat betul ketika itu apabila melihatkan perniagaan mereka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan seluruh negara. Lantas, saya terfikir, mengapa tidak saya membuka butik secara dalam talian juga."

"Kebetulan pula pada 2007, tidak ramai yang menjual pakaian Muslimah moden di Internet. Memanfaatkan minat yang mendalam dalam bidang fesyen, malah rakan-rakan juga sering merujuk mengenai penampilan diri sesuai dengan mereka daripada saya, lantas lahirlah butik Muslimah getGorgeous," katanya.

Pada awal penubuhan getGorgeous, Azlia Idha mengakui sukar mendapatkan kepercayaan pelanggan kerana masih belum dikenali.

"Ada yang takut ditipu, justeru kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Sindiran negatif juga perkara biasa mungkin kerana mereka tidak yakin perniagaan Internet mampu menjana pendapatan yang kukuh."

"Bagaimanapun, semua itu kami anggap sebagai cabaran dan akhirnya, berkat kejayaan, kata sinis yang kami terima dulu bertukar menjadi pujian yang tiada penghujungnya," katanya.

Bagi Azlia Idha, mengubah titik hidup untuk menjadi seorang yang berjaya memerlukan keberanian dan pesanan daripada Nooraizan, perkara yang paling susah adalah untuk memulakannya dan perkara yang paling mencabar adalah untuk mengekalkannya pasti akan disemat di dada sebagai pembakar semangat.

"Sekiranya anda masih ragu-ragu atau tidak yakin untuk memulakan perniagaan, saya sarankan supaya buat perniagaan secara sambilan dulu. Apabila anda rasa yakin, buatlah sepenuh masa."

"Paling penting adalah fokus. Jangan suka ikut dan dengar cakap orang, buat apa yang anda minat serta jujurlah kepada diri sendiri dan orang lain," jelasnya.

Celah Allia Idha, ramai anak muda tidak didedahkan sepenuhnya dengan dunia perniagaan dan menganggap perniagaan adalah jalan terakhir untuk mencari rezeki sedangkan di dalam Quran ada menyebut sembilan daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan.

"Cabang perniagaan itu banyak dan carilah yang sesuai dengan jiwa anda kerana apabila serasi dengan kerja kita maka ia akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan."

"Tapi, makan gaji juga tidak salah kerana dari situ kita dapat mengutip pengalaman dan modal untuk mengukuhkan tapak sebelum terjun ke bidang perniagaan yang penuh risiko," katanya.

Menurut Allia Idha lagi, getGorgeous sendiri bermula dengan modal yang sangat kecil, tetapi semangat dan keinginan yang besar dalam diri tidak membataskan langkah mula mereka ketika itu.

"Bayangkan, koleksi pertama kami hanya enam helai baju saja, malah ketika mula-mula membuat keputusan untuk bergelar usahawan Internet, bapa juga seolah-olah tidak merestui keputusan kami."

"Tapi mungkin kerana sejak di bangku sekolah, bapa sering menasihatkan kami berniaga daripada makan gaji, jadi semua kepayahan dan cakap-cakap daripada orang sekeliling yang mempertikaikan kemampuan kami membangunkan getGorgeous hanya melintas bak angin lalu saja," jelasnya.

Bagaimanapun, berkat doa dan restu kedua ibu bapa, Zaimah Abdul Hamid dan Abdul Latif Idrus, walau usia perniagaan masih baru, dua adik-beradik itu mula melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan borong kepada peniaga butik yang berminat memasarkan koleksi getGorgeous.

Sehingga kini getGorgeous mempunyai pengedar dari lapan negeri antaranya Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak selain Kuala Lumpur serta sekitar Selangor.

Kini, Azlia Idha melangkah lebih jauh dan bercadang untuk berkongsi pengalaman memulakan perniagaan Internet, kisah hidup dan rahsia kejayaannya di e-book.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 2, 2009

ModCloth for Indie Designer

(Post: English)
"You might not expect an indie clothing e-tailer to get the attention of equity investors."

But Eric and Susan Koger, the husband-and-wife team that launched ModCloth in 2002, near the end of their freshman year at Carnegie Mellon University, have managed to raise a little over $3 million from angels like StubHub co-founder Jeff Fluhr and venture capital firms First Round Capital and Maples Investments.

ModCloth's inventory strategy helps explain its success.

Eric says Susan and her buyers build rapport with independent designers, try to get payment terms of net 30, and normally sell 70% to 90% of the goods within the net-30 period.

"We can turn our inventory faster than we have to pay for it. That's enabled us to scale as fast as we have."

Being online only and located in Pittsburgh keeps operating costs low, too.

ModCloth employs 104 people—mostly young women who, Eric says, "come at it from a perspective that's truly aligned with the customer, because they are our customers" - up from 22 people a year ago.

The company became profitable in 2007 but wasn't in 2008, largely because it spent a lot of money to redesign its Web site - which now gets more than 1.25 million unique visitors a month.

Eric says ModCloth has around $1 million a month in sales and forecasts more than $15 million total in 2009.

INFO:
The Company: ModCloth
What It Does: Online marketplace for indie designer fashion and decor
Founders: Eric Koger, 25, and Susan Koger, 24
Based: Pittsburgh

Source: BusinessWeek

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, September 6, 2009

Koleksi Idaman Hawa

(Post: Bahasa Melayu)
"Suntikan tradisional yang disatukan dengan elemen kontemporari dalam rekaan, kini menjadi pilihan kebanyakan pereka fesyen pereka hari ini. Rekaan seperti itu bukan saja mampu menampilkan keanggunan, tetapi turut mengekalkan kesopanan dan menyerlahkan keayuan si pemakainya."

Lebih-lebih lagi, jika rekaan itu diselarikan dengan gaya Muslimah yang didatangkan lengkap bersama pemakaian tudung dalam gaya ikatan berseni. Gabungan itu menjadikan penampilan lebih cantik, kemas dan menarik.

Meneruskan tradisi dan memenuhi cita rasa penggemar fesyen busana Muslimah, pereka dan pemborong pakaian koleksi busana Muslimah dan Tudung, Idaman Hawa Sdn Bhd, Jeffrey Arazmi Mokhtar, menampilkan beberapa koleksi terkini rekaan kontemporari yang sesuai untuk digayakan pada hari lebaran.

Walaupun perincian ditampilkan sederhana, koleksi rekaan tetap menambat hati.

Keindahan busana tampak lebih menarik apabila Jeffrey menggunakan fabrik lembut berkualiti tinggi, khususnya sifon sutera dalam rekaan, sekali gus menjadikan busana itu tampak lembut beralun dan cantik tersarung pada tubuh.

Pilihan warna juga tidak menghampakan daripada rona lembut hinggalah yang cerah.

Jeffery berkata, untuk koleksi terkini ciri potongan bias dikekalkan supaya si pemakai tampak lebih rapi dan selesa apabila menggayakan.

Potongan bias longgar diketengahkan sesuai sekali bagi penggemar fesyen busana Muslimah yang lazimnya tidak suka menunjukkan susuk tubuh.

Untuk memberikan lebih daya tarikan ada di antara busana menampilkan lipatan lisu pada bahagian depan. Kelainan yang diilhamkan itu mampu menyerlahkan gaya feminin dan kelembutan si pemakai.

Antara gaya koleksi pilihan ialah jubah dwi lapis yang sudah sinonim dengan pereka itu. Penggunaan fabrik sifon untuk rekaan gaya jubah itu ternyata padan sekali kerana ia menyerlahkan elemen lebih kemas dan anggun.

Tanpa menggunakan fabrik yang bercorak keterlaluan, koleksi rekaan itu tetap menarik untuk digayakan. Untuk menonjolkan gaya kewanitaan, tambahan butang pada bahagian depan baju dan lengan yang bercerut kemas turut ditampilkan.

"Gaya rekaan jubah seperti itu sebelum ini sudah pun ditampilkan sejak beberapa tahun lalu. Memandangkan kebanyakan penggemar busana Muslimah amat menggemari gaya seperti itu, saya tampilkan sekali lagi, tetapi dengan gaya lebih segar dan membawa beberapa sedikit pembaharuan."

"Untuk rekaan jubah kali ini kombinasi warna menjadi keutamaan supaya rekaan lebih ceria dan menarik. Bagi memastikan gaya lebih anggun, saya turut memperkenalkan beberapa gaya koleksi tudung yang lebih menarik dan sesuai digandingkan dengan jubah," katanya.

Koleksi lain ialah gaya potongan seperti kebaya yang turut menampilkan perincian sederhana dan menggunakan pilihan fabrik polos.

Gaya seperti itu sebenarnya amat sesuai untuk yang bertudung kerana tidak kelihatan begitu serabut.

Jeffery berkata, melengkapkan koleksi busana yang sedia ada beberapa gaya koleksi tudung baru turut ditampilkan. Koleksi tudung ada yang menampilkan corak dan ada juga polos bagi memudahkan ia disuai padan dengan busana yang dipakai.

INFO:
Koleksi Idaman Hawa boleh didapati di Butik Orkid milik Norle Suhaimi

Lokasi: Butik Orkid terletak di tingkat bawah Tesco di Kajang, Selangor

Waktu operasi: 9.30 pagi hingga -10.30 malam

Khidmat: Pakaian busana muslimah & tudung

Harga baju: RM150 ke atas

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, August 29, 2009

Ali Muslimah Fashion

(Post: Bahasa Melayu)
"Ali Muslimah Fashion yang sentiasa menampilkan rekaan terbaru fesyen Muslimah menjadi pilihan ramai selebriti bagi memilih gaya yang sofistikated dan menarik."

Walaupun perkembangan fesyen Muslimah tidak begitu rancak seperti fesyen lain namun ia tetap mengalami perubahan mengikut peredaran masa.

Sesuai dengan namanya sebagai fesyen Muslimah, ciri-ciri kesopanan, menutup aurat dan tidak berlebihan menjadi pegangan kepada pereka fesyen Muslimah.

Sungguhpun demikian, apabila berfesyen Muslimah, tidak bermakna seseorang itu terkongkong di dalam kepompong sendiri dan takut untuk bergaya.

Ini dapat dilihat di kalangan ramai selebriti yang kini bertudung dan memilih gaya Muslimah. Di antaranya ialah Aida Radzwill, Sheila Rusly, Noraniza Idris, Nora, Bienda dan ramai lagi.

Ternyata walaupun bertudung dan bergaya fesyen Muslimah namun mereka masih tampil anggun dan menarik.

Diimport dari negara Iran, rekaan yang kontemporari menggunakan corak dan fabrik berbeza daripada fesyen Muslimah lain menjadi daya tarikan kepada koleksi ini.

Boleh memilih sama ada rekaan jubah yang pelbagai warna seperti hitam, putih, biru, kuning dan merah samar, turut disediakan ialah rekaan kot atau jaket paras lutut yang menarik digayakan bersama jeans atau seluar panjang.

Jika rekaan jubah Ali Muslimah Fashion sesuai digayakan ke majlis rasmi, majlis perkahwinan, untuk pengantin atau yang hendak bertunang dan sebagainya, rekaan kot atau jaket sesuai pula dipakai ke pejabat atau bersiar-siar.

Keistimewaan jubah Ali Muslimah Fashion ialah daripada segi sulaman bunga dan jahitan manik atau permata tiruan yang berkilauan apabila disinari lampu.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 19, 2009

Butik SARA KIDS

(Post: Bahasa Melayu)
"Pemilihan fabrik berkualiti tinggi penting untuk kanak-kanak supaya mereka berasa selesa walau ketika cuaca panas atau dingin dan paling penting, walau selepas beberapa kali basuhan, pakaian berkualiti tinggi tidak mudah rosak."

Bagi membantu ibu bapa muda bekerjaya, butik Sara Kids menyediakan pelbagai pilihan pakaian khusus untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia seawal satu hari sehingga lapan tahun.

Keistimewaan butik yang menjalankan urus niaga di Taman TTDI Jaya, Shah Alam itu, selain mempunyai pusat sehenti khusus untuk ibu dan anak, ia juga turut menjalankan operasi secara dalam talian.

Pemilik Sara Kids, Farah Farhan Abd Fattah berkata, butik dibuka bagi memudahkan ibu bapa yang ingin membeli-belah di kedai fizikal dan juga mendapatkan khidmat kaunseling penyusuan susu ibu manakala kedai dalam talian diwujudkan bagi memudahkan ibu bapa yang tinggal jauh dari Kuala Lumpur dan Ipoh namun tetap ingin memiliki produk dijual di Sara Kids.

Selain mengetengahkan pelbagai koleksi pakaian untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang kebanyakannya diimport dari United Kingdom, butik ini turut menjual kelengkapan, mainan dan buku aktiviti bayi serta menyediakan khidmat sewaan baju gaun gadis pengiring dan tuxedo kanak-kanak bagi majlis perkahwinan.

"Kami banyak koleksi pakaian kasual dan terkini khusus untuk anak kecil yang suka bergaya seperti orang dewasa malah material dijual juga adalah daripada fabrik kapas."

"Bagi mengekalkan kualiti produk, Sara Kids hanya menjual koleksi pakaian daripada fabrik terbaik dan berkualiti tinggi bertepatan dengan harganya iaitu sekitar RM19.90 sehingga RM89.90," katanya.

"Mengenal kualiti fabrik tidak sukar kerana kebiasaannya boleh didapati di dalam rona yang lebih terang dan juga warna pastel. Paling penting, mutu jahitannya juga memang banyak perbezaan,” tutur ibu muda kepada dua cahaya mata itu lagi.

Farah Farhan berkata, bagi kanak-kanak perempuan, pilihan gaun tanpa lengan lebih sesuai untuk dipakai ke mana-mana memandangkan cuaca panas di negara ini. Bagi anak kecil yang lasak, padanan baju daripada fabrik kapas bersama seluar denim pula boleh mengurangkan risiko kecederaan ketika terjatuh.

"Bagi ibu bapa yang gemar mengikut aliran gaya terkini, saya sarankan mereka memilih koleksi gaun terutama gaun smoking atau gaun korduroi, kemeja lengan panjang bersama skirt mini dipadankan bersama sarung kaki panjang."

Gaya kanak-kanak lelaki lebih terhad, kebiasaannya mereka lebih gemar memilih kemeja T berlengan pendek dan seluar slack. Penggayaan topi juga sesuai jika mereka gemar bermain di kawasan terbuka seperti taman permainan," katanya.

Bagaimanapun, kata Farah Farhan, ibu bapa dinasihatkan memilih pakaian yang lebih besar sedikit ketika membeli baju baru untuk anak-anak kerana kanak-kanak cepat membesar.

"Pilihan pakaian berkualiti juga penting bagi memastikan peluh tidak terperangkap kerana kebanyakan pakaian berfabrik murah seperti campuran polyester akan memerangkap peluh dan ia juga amat tidak sesuai untuk bayi yang menghidap ekzema," katanya.

INFO:
Lokasi butik: 42-1, Tingkat 1, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI Jaya, Shah Alam atau Lot LG 13, Greentown Mall, Ipoh, Perak

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 25, 2009

Busana PSF BOUTIQUE

(Post: Bahasa Melayu)
"Mengenai kebanyakan tudungnya menjadi intipan golongan ternama, beliau akui ada tudung yang mencecah harga sehingga RM550, namun ia mengutamakan sulaman, manik dan kemasan tersendiri yang sukar diperoleh di tempat lain."

Citarasa seseorang menerusi penampilan dalam berbusana Muslimah sering mencetuskan penampilan menarik.

Sesuai dengan elemen bertudung masa kini yang mengalami perubahan dari pelbagai segi, baik pakaian mahupun lakaran tudung dihiasi pelbagai sulaman memberikan kelainan kepada pemakai.

Sesuai dengan kehendak ramai dan terkini, pembaharuan dalam rekaan yang semakin bersifat eksklusif memberi definisi tersendiri kepada si pemakai yang bijak mengolah busana tradisi yang diselarikan dengan olahan moden kontemporari.

PSF Boutique & Gift Shop Sdn Bhd, milik Puan Sri Faridah Idris adalah satu daripada butik yang semakin mengukir nama dalam industri busana Muslimah tanah air apabila sering muncul dengan kolaborasi tudung dan pakaian tersendiri.

"Garapan idea dalam penciptaan busana Muslimah yang kami cetuskan tentunya mencari ciri yang sesuai dengan tuntutan syariat. Ia sekali gus mencerminkan pemakaiannya yang sopan selain turut mengetengahkan bentuk busananya yang mengagumkan."

"Kebanyakan pereka mengambil kira pelbagai aspek termasuk rekaan semasa yang digemari selain selalu menggali idea terbaik dan terkini untuk dikemukakan kepada penggemar. Cita rasa mereka penting diambil kira kerana penggemar adalah keutamaan kami," katanya.

Dari aspek tudung atau selendang yang dihidangkan kepada khalayak katanya, pelbagai kategori tudung yang diutarakan dengan hasrat memberi kelainan kepada penciptaan yang segar dan pengguna boleh memilih yang terbaik.

Menurutnya, kepelbagaian bentuk tudung atau selendang rekaan butiknya itu terdiri daripada pelbagai jenis.

Antara yang sering diintip pelanggan dan penggemar setianya adalah tudung permaisuri, tiara, benazir, tudung manik, sulam, selendang pengantin atau labuh (untuk umrah iaitu bentuk tiga dalam satu).

"Sebenarnya, tudung atau selendang sedemikian bukan hanya diolah buat golongan tertentu sebaliknya sesiapa saja boleh memilikinya. Mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan juga boleh memanfaatkannya kerana keistimewaan tudung berkenaan sebagai sesuatu yang indah untuk kenangan sepanjang hayat," katanya.

Faridah akui, ada kalanya pelanggan sukar mengenakan tudung menarik dengan pesona pakaian yang mampu menyerlah kecantikan sebenar kerana tidak punya kepakaran dalam menyempurnakan cara bertudung.

Untuk itu katanya, butik berkenaan turut melantik perunding imej bagi membantu mereka yang ingin tampil menawan.

"Kreativiti dalam seni bertudung boleh dipelajari. Mungkin nampak sukar untuk bertudung cantik pada mulanya, namun cara yang betul dan keberanian untuk mencuba adalah kekuatan tersendiri dalam membantu seseorang tampil bergaya," katanya.

INFO:
PSF Boutique & Gift Shop Sdn Bhd
Lokasi: 39 Jalan Tun Mohd Fuad 3, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Telefon: 03-77279068 / 019-2667618

Sumber: myMetro
Foto:
web PSF Boutique

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 5, 2009

Butik Badger Gaya Indie

(Post: Bahasa Melayu)
"Bermula dengan jualan melalui laman blog dan bazar, jenama Badger kini boleh didapati di butik pertamanya di Malaysia, iaitu di Damansara Utama, Petaling Jaya."

Daripada kelompok pencinta fesyen yang mengagungkan label pereka antarabangsa, masih ada kumpulan peminat fesyen yang terarah kepada dimensi gaya berunsur seni. Ini membentuk identiti tersendiri dengan mesej menampakkan cita rasa berbeza dalam bergaya.

Budaya generasi baru inilah yang menyaksikan kemunculan jenama dari Bandung, Badger dalam memasarkan pengaruh gaya 'indie'.

Sejak mula menjengah pasaran di Bandung hampir sedekad lalu, Badger yang mengkhususkan rekaan kemeja-T berunsur grafik kian digemari termasuk di kalangan peminatnya di Malaysia.

Pengarah Badger Malaysia, Zaiferez Hadzere Zainal, berkata pembukaan butik Badger pertama di Malaysia mampu memenuhi permintaan peminat yang mahukan gaya dan penampilan terkini.

Zaiferez Hadzere berkata, bukan saja mengetengahkan kemeja-T beridentiti grafik, Badger juga menampilkan rekaan jaket, baju sejuk dan aksesori yang menggambarkan budaya generasi baru.

Selain memasarkan jenama Badger, butik itu juga menampilkan jenama Anti-Beauty untuk peminat fesyen wanita serta Voltra yang menjurus kepada rekaan berunsur tatu, skate dan corak grafiti.

INFO:
Butik Badger Malaysia
Lokasi: 18-M, Jalan SS21/58, Damansara , 47400, Petaling Jaya, Selangor

Telefon: 03-77293005

Faks: 03-77294005

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, October 30, 2008

Ceburi Bidang Tekstil

(Post: Bahasa Melayu)
"Beruntung memiliki anak ramai bagaikan menyuntik semangat kerja kerasnya. Bagi Noor Kartini Noor Mohamed, 42, tiada kerjaya yang menyeronokkan selain dapat memanfaatkan peluang berniaga dalam bidang tekstil."

"Saya terpanggil untuk membuka perniagaan ini tambahan pula rekaan baju kurung di pasaran terutama baju kurung untuk kanak-kanak kurang menarik."

"Saya tidak mengehadkannya kepada kanak-kanak bahkan untuk orang dewasa kerana saya mahukan mereka cantik bergaya dengan baju tradisi," katanya lagi.

Melihat deretan baju kurung yang menarik dan eksklusif dengan hiasan manik serta labuci indah, tidak mustahil rekaannya menyerlah dalam kelasnya tersendiri dan menepati kehendak ramai.

Beriltizam menjadi pembekal kepada pemborong dan membesarkan lagi perniagannya, beliau menyandarkan harapan tinggi terhadap anak untuk meneruskan perniagaan itu.

"Saya yakin pasaran baju kurung mempunyai potensi masa depan dan sedia menghadapi persaingan."

"Butik saya menyediakan pilihan tersendiri kepada mereka yang sukakan baju kurung eksklusif untuk majlis tertentu," katanya.

Beliau memang cerewet dalam pemilihan fabrik dan pilihannya adalah bahan bermutu seperti sutera shantung dan Thai, kapas Jepun bermutu tinggi serta sifon Korea.

INFO:
Lokasi: 148 Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Telefon: 019-3138958

Sumber: myMetro
Foto:
blog MumtazLittlEgypt

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::