ATTENTION !!!

Showing posts with label telekung. Show all posts
Showing posts with label telekung. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

Busana de Chantek

(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan menjual tudung kepada rakan-rakan terdekat dan saudara-mara, pasangan suami isteri, Zainul Azhari dan Noor Wahidah Mustafa kini mengorak langkah ke satu lagi fasa yang lebih serius. "

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan secara 'tidak formal', pasangan suami isteri itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk membangunkan sebuah butik dan terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan sebenar.

Menggunakan 100 peratus modal sendiri, Busana de Chantek akhirnya beroperasi di Pusat Dagangan Seri Utama, Kota Damansara sejak bulan Jun lalu lantas merealisasikan impian Zainul dan Noor Wahidah.

"Tiga tahun lalu, kami hanya menjual tudung secara kecil-kecilan. Saya juga minta tolong sanak saudara untuk menjual koleksi tudung kami yang diambil daripada beberapa pembekal."

"Lepas itu, kami berdua membuat keputusan untuk membuka butik dan mula mencari lokasi yang sesuai. Oleh kerana kami mahu membuka butik muslimah, maka kawasan berniaga itu mestilah ramai penduduk Islam," kata Zainul.

Butik itu kini menjadi sumber pendapatan utama kepada pasangan itu kerana ia dibangunkan berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan sedangkan mereka berdua masing-masing mempunyai karier berbeza.

Zainul bertugas sebagai pengurus jualan di salah sebuah syarikat pembekal telekomunikasi, manakala Noor Wahidah pula merupakan seorang pensyarah dalam bidang sains komputer di sebuah kolej di Cheras.

"Meskipun kami berdua bekerja di tempat lain, butik ini adalah sebahagian daripada hidup kami. Kami juga akan melawat butik yang dijaga oleh kakitangan kami pada setiap hari."

"Setakat ini, perniagaan kami berjalan dengan lancar. Meskipun masih baru, kami sudah ada beberapa pembeli tetap."

Mengulas mengenai koleksi tudung dan jubah yang dijual, Noor Wahidah memberitahu, mereka mengambil stok tudung di beberapa syarikat pembekal, manakala jubah pula diimport dari Vietnam.

Katanya lagi, meskipun tudung itu diambil dari pembekal, dia dan suaminya turut memberikan pandangan dan rekaan yang mereka inginkan agar kelihatan lebih menarik.

"Kami sering memberikan rekaan yang sendiri kepada pembekal. Jubah pula kami cantikkan dengan menjahit manik untuk kelihatan lebih menarik."

Konsep butik: Konsep sederhana dan ringkas menjadi pilihan butik Busana de Chantek.

Menawarkan: Selain menjual koleksi tudung, jubah, baju kurung dan telekung, Busana de Chantek turut menjual blaus serta pakaian kanak-kanak. Dalam masa yang sama turut menawarkan tempahan hantaran perkahwinan dan jahitan manik.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 17, 2010

Roha Collection

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada usia sembilan tahun, Raha Ismail sudah mula mengekori ibunya, Asmah Awang Chik menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dengan menjual pelbagai jenis barangan serbaneka. "

Walaupun tidak pernah dipaksa untuk berbuat demikian, namun Raha melakukan semua itu dengan kerelaan sendiri. Tanpa disuruh, dia juga akan menyusun barang-barang untuk diperaga pada pelanggan.

Malah, berbanding lapan adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan, dia boleh dianggap peneman setia kepada ibunya.

Siapa sangka bermula dengan minat, kemudian dipupuk dengan kesungguhan, rutin tersebut akhirnya menjadikan Raha atau lebih mesra dipanggil Roha seorang usahawan wanita yang berjaya apabila meningkat dewasa.

Jenama Roha Collection cukup dikenali di daerah Kluang kerana ia merupakan butik pemborong dan penjual pakaian yang beroperasi sejak awal tahun 2006.

"Butik kami menawarkan pelbagai jenis kain pasang, tudung, baju siap termasuk kurung dan kebaya, blaus, jubah, telekung, aksesori serta kelengkapan raja sehari."

"Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lima tahun, butik saya sudah mempunyai tiga cawangan di Johor iaitu dua di Kluang dan satu lagi di Mersing," ujar Roha ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor.

Butik itu turut menerima tempahan baju pelbagai jenis fabrik dan bersedia menjahit rekaan yang diingini pelanggan.

"Kami mampu menyiapkan tempahan tersebut dalam masa sehari jika mereka mahu. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama terutama mereka yang datang dari luar daerah Kluang," jelas wanita yang berusia 32 tahun itu.

Sambil menunjukkan beberapa koleksi terbaru Roha Collection, ibu kepada Mohd. Hishamuddin, 9, memberitahu, dia menceburi dunia perniagaan secara serius sejak umur 22 tahun.

Ketika itu Roha memilih untuk menjadi salah seorang usahawan dalam dunia skim jualan langsung (MLM). Selepas empat tahun, barulah dia memulakan bisnes butik Roha Collection dengan modal sebanyak RM2,000.

Banyak rintangan

Memegang kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Roha membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika kita sentiasa berusaha.

"Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap sekarang. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui. Dalam dunia perniagaan, kita akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia."

"Adakalanya kita akan tertipu dengan mereka dan begitulah sebaliknya. Tetapi, itu bukan penghalang untuk kita mencapai impian. Apa yang penting, setiap apa yang dilakukan perlu jujur," tegas Roha yang berkahwin pada usia 23 tahun.

Bertemu jodoh dengan seseorang jejaka dari Padang, Indonesia, perkenalannya dengan suami, Jamaluddin Johan, 32, bermula atas urusan perniagaan.

Roha mengakui suaminya merupakan tulang belakang kejayaan yang dikecapinya.

"Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya mampu menempuh pelbagai dugaan dunia perniagaan ini," tuturnya.

Apakah pengalaman getir sepanjang menjalankan perniagaan? Roha berkata, dia pernah ditipu pelanggan dan rakan niaga serta berdepan dengan pekerja yang tidak jujur iaitu mencuri idea di butiknya dan kemudian memberitahu kepada pesaing perniagaannya.

Bagaimanapun, Roha tidak gentar dengan persaingan kerana dia percaya dengan rezeki yang diatur Allah. Dia juga yakin dengan bakat dan kreativiti yang dikurniakan kepadanya dan jenama pakaiannya

Bawa staf bercuti

Satu petua yang sempat dititipkan Roha untuk berjaya dalam perniagaan ialah tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerja dan mereka yang memerlukan.

Justeru, setiap tahun dia akan menutup operasi semua cawangan butik semata-mata untuk membawa pekerja dan keluarganya bercuti di seluruh negara.

"Sejak dua tahun bekerja di sini, saya gembira kerana mendapat majikan seperti kak Roha. Dia sangat sporting dan sentiasa berkongsi masalah dengan kami."

"Paling seronok apabila kami dibawa bercuti ke destinasi peranginan terkenal seperti di Langkawi, Genting Highlands serta negara jiran, Singapura dan Indonesia," ujar pekerja Roha, Wan Noraila Mohd. Jaafar, 20.

Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan butiknya, Roha berazam untuk memiliki bangunan sendiri pada masa akan datang.

"Buat masa ini, saya masih menyewa lot-lot kedai pada kadar di antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan. Insya-Allah, jika diizinkan saya mahu mempunyai bangunan perniagaan sendiri yang lebih moden dan canggih."

"Kepada wanita yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan, jangan cepat berputus asa jika apa yang diusahakan tidak menjadi. Sebaliknya, terus berusaha dengan gigih," kata Roha mengakhiri bicara.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 30, 2009

Butik Hajaba

(Post: Bahasa Melayu)
"Inspirasi farasha atau rama-rama nyata memberi tuah kepada pemilik butik Hajaba, Mona Din, apabila rekaannya mendapat pujian ramai biarpun sebelum ini dia lebih dikenali melalui produk kosmetik keluarannya, Leesa Formula."

Keindahan corak yang melatari helaian pakaian yang masih mengekalkan potongan jubah moden menjadi daya tarikan utama, ditambah warna jingga gelap menyerlahkan si pemakai. Manik dan labuci turut menambah nilai pada rekaan.

Tidak terlalu sarat dengan corak serta sesuai digayakan ke majlis formal mahupun makan malam membuatkan ia tampak eksklusif selain sesuai digayakan bagi mereka yang masih mahu bergaya tetapi sopan.

Selain bercorak abstrak, Hajaba tampil dengan busana rona polos yang boleh diserikan dengan aksesori seperti rantai dan tali pinggang selain aksesori di kepala bagi mereka yang mahukan kelainan.

Menggunakan fabrik batik sifon dan sutera menjadikan busana lebih selesa dan bergaya ketika dipakai, apatah lagi ditambah selendang panjang di bahagian belakang menjadikan ia lebih trendy.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Media, Noor Zaina Ahmad, lebih membanggakan, pakaian yang mendapat pujian daripada orang ramai itu dihasilkan daripada bahan tempatan.

"Kami tak sangka maklum balas diterima daripada orang ramai sungguh memberangsangkan walaupun sebelum ini Puan Mona lebih cenderung ke arah bidang kecantikan, namun kerana minat, ia pasti menghasilkan kejayaan," katanya.

Fabrik lembut dan berkualiti menjadi pilihan bagi terus mengekalkan keselesaan pemakai kerana menghasilkan potongan pakaian yang cantik dan nampak terletak.

Sumber: myMetro
Foto:
Hajaba

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, August 21, 2009

Tudung dan Telekung Siti Khadijah

(Post: Bahasa Melayu)
"Menggunakan tag line anggun, selesa syariat dipelihara, bunga sulaman telekung yang diperbuat daripada 100 peratus kain kapas nampak lebih timbul, kemas dan menarik sesuai dengan harganya."

Telekung kini bukan sekadar sehelai kain putih polos yang menjadi pakaian ketika mengerjakan sembahyang, tetapi telah mengalami transformasi yang begitu ketara dari segi rekaan, corak dan warna.

Hiasan seperti renda dan sulaman adalah wajib bagi menyerikan lagi kain telekung ditambah dengan rekaan setingkat atau dua tingkat.

Penggunaan fabrik turut diolah bersesuaian dengan keselesaan dan cuaca sesuatu negara. Biasanya kain kapas dan polister yang tidak jarang dan tidak licin menjadi pilihan.

Namun hampir kesemua kain telekung yang ada di pasaran harus dipakai bersama dengan anak telekung. Ia tidak dapat menyelesaikan masalah ketidakselesaan pemakainya, terutama di bahagian wajah dan selalu menyebabkan anak-anak rambut terkeluar.

Sehubungan itu, Pengarah Urusan Delight Visual Sdn. Bhd., Fadzilah Enda telah mendapat idea bagi menyelesaikan masalah itu dengan memperkenalkan kain telekung yang dijahit sekali dengan anak telekung.

Ditanya bagaimana timbulnya idea untuk mengorak langkah menghasilkan kain telekung sendiri, Fadzilah memberitahu, sebelum ini ramai rakyat negara ini begitu gemar membeli kain telekung buatan luar negara atau 'memborong' kain telekung apabila melancong ke luar negara khususnya apabila melawat Indonesia dan Vietnam.

Ini kerana, mereka berpendapat, kain telekung buatan luar negara lebih berkualiti dan mempunyai bentuk tenunan lebih menarik berbanding kain telekung buatan tempatan.

"Menyedari mengenai hakikat itu, saya mula mengorak langkah menghasilkan kain telekung sendiri bagi memenuhi pasaran tempatan pada harga berpatutan dan membuat sedikit perubahan bagi menyelesaikan masalah pada wajah," katanya.

Menggunakan kain mudah renggang dan menampilkan lapisan bawah dagu, jenama yang diberi Siti Khadijah pasti memberi fleksibiliti untuk pelbagai saiz wajah dan kelihatan kemas dipakai ketika menunaikan solat.

"Jika kita lihat, kain telekung yang sedia ada mempunyai dagu yang kecil, bergetah longgar dan perlu memakai anak tudung. Inilah yang sering menjadi masalah kepada pemakainya."

"Namun dua produk yang akan dilancarkan di pasaran pada Julai ini bakal memberi satu 'bonus' kepada pemakai. Kami menawarkan kain telekung dan mini telekung. Mini telekung dari fabrik polister mempunyai tali di dalam manakala kain telekung dari fabrik 100 peratus kapas, talinya di luar."

"Kedua-duanya amat sesuai bagi dipakai ketika mengerjakan umrah haji kerana praktikal, selesa dan mudah dipakai," katanya.

Menurut Fadzilah, selain kain telekung, Siti Khadijah juga memperkenalkan tudung pasang siap yang diperbuat daripada kain kapas dan polister.

"Terdapat dua jenis rekaan iaitu yang boleh ditarik ke tepi atau dipakai seperti biasa. Ia bersaiz panjang dan muncung ke hadapan sesuai bagi menutupi bahagian dada," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-2102668

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::