Butik Pakaian getGorgeous
(Post: Bahasa Melayu)
"Gandingan mantap dua beradik, Siti Azlia Idha, 27, dan Siti Allia Idha Abd Latif, 24 yang masih muda, bergaya dan bijak pastinya dicemburui ramai gadis."
Jika dilihat pada luaran, dua wanita muda ini tampak sama seperti wanita sebaya. Mereka suka bergaya dan benar-benar cintakan fesyen, namun setiap patah bicara tidak sekadar cakap kosong tanpa isi, sebaliknya pasti akan terselit cerita mengenai perniagaan dan hala tuju masa depan butik Muslimah dalam talian milik bersama iaitu getGorgeous.
Kelahiran getGorgeous kira-kira tiga tahun lalu mengubah banyak perkara dalam hidup mereka. Azlia Idha, sebelum ini bergelar arkitek landskap di Seremban, manakala Allia Idha pula lulusan Sarjana Muda dalam bidang kreatif media dari Universiti Multimedia, Cyberjaya.
"Melepaskan jawatan profesional untuk bergelar usahawan internet bukan keputusan yang mudah dan memulakan perniagaan Internet juga bukan kerja yang main-main."
"Namun saya percaya, kejayaan getGorgeous sehingga mampu berada pada tahap ini dalam waktu yang singkat adalah hasil daripada keinginan yang kuat, kerja keras, pengorbanan dan berkat dorongan daripada mereka yang berpengalaman," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Mereka juga turut mengakui, rahmat Ilahi sentiasa menyebelahi sepanjang menjalankan perniagaan Internet selain beruntung kerana mendapat bimbingan daripada penasihat dan rakan kongsi, Nooraizan Mamat yang juga seorang panel motivasi untuk syarikat jualan langsung (MLM) mengenai selok-belok dunia perniagaan.
Tidak meletakkan sebarang tekanan walau menjalankan usaha sama bersama ahli keluarga sendiri, kata Azlia Idha, gandingan antara beliau dan adiknya melengkapkan penubuhan getGorgeous.
"Saya seorang yang minat berfesyen dan sentiasa mengambil tahu aliran gaya semasa, malah sebagai bekas arkitek, saya terdidik untuk sentiasa kreatif selain menjadikan setiap benda kelihatan indah."
"Adik saya pula mempunyai kepakaran dalam bidang multimedia grafik dan kemahirannya dalam merekabentuk laman sesawang serta fotografi banyak membantu," katanya.
Memulakan cerita mengenai butik muslimah secara dalam talian milik mereka, Azlia Idha memberitahu, semuanya tercetus ketika membantu abang dan kakak ipar mereka membuat perniagaan cupcake secara dalam talian.
"Memang semangat betul ketika itu apabila melihatkan perniagaan mereka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan seluruh negara. Lantas, saya terfikir, mengapa tidak saya membuka butik secara dalam talian juga."
"Kebetulan pula pada 2007, tidak ramai yang menjual pakaian Muslimah moden di Internet. Memanfaatkan minat yang mendalam dalam bidang fesyen, malah rakan-rakan juga sering merujuk mengenai penampilan diri sesuai dengan mereka daripada saya, lantas lahirlah butik Muslimah getGorgeous," katanya.
Pada awal penubuhan getGorgeous, Azlia Idha mengakui sukar mendapatkan kepercayaan pelanggan kerana masih belum dikenali.
"Ada yang takut ditipu, justeru kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Sindiran negatif juga perkara biasa mungkin kerana mereka tidak yakin perniagaan Internet mampu menjana pendapatan yang kukuh."
"Bagaimanapun, semua itu kami anggap sebagai cabaran dan akhirnya, berkat kejayaan, kata sinis yang kami terima dulu bertukar menjadi pujian yang tiada penghujungnya," katanya.
Bagi Azlia Idha, mengubah titik hidup untuk menjadi seorang yang berjaya memerlukan keberanian dan pesanan daripada Nooraizan, perkara yang paling susah adalah untuk memulakannya dan perkara yang paling mencabar adalah untuk mengekalkannya pasti akan disemat di dada sebagai pembakar semangat.
"Sekiranya anda masih ragu-ragu atau tidak yakin untuk memulakan perniagaan, saya sarankan supaya buat perniagaan secara sambilan dulu. Apabila anda rasa yakin, buatlah sepenuh masa."
"Paling penting adalah fokus. Jangan suka ikut dan dengar cakap orang, buat apa yang anda minat serta jujurlah kepada diri sendiri dan orang lain," jelasnya.
Celah Allia Idha, ramai anak muda tidak didedahkan sepenuhnya dengan dunia perniagaan dan menganggap perniagaan adalah jalan terakhir untuk mencari rezeki sedangkan di dalam Quran ada menyebut sembilan daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan.
"Cabang perniagaan itu banyak dan carilah yang sesuai dengan jiwa anda kerana apabila serasi dengan kerja kita maka ia akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan."
"Tapi, makan gaji juga tidak salah kerana dari situ kita dapat mengutip pengalaman dan modal untuk mengukuhkan tapak sebelum terjun ke bidang perniagaan yang penuh risiko," katanya.
Menurut Allia Idha lagi, getGorgeous sendiri bermula dengan modal yang sangat kecil, tetapi semangat dan keinginan yang besar dalam diri tidak membataskan langkah mula mereka ketika itu.
"Bayangkan, koleksi pertama kami hanya enam helai baju saja, malah ketika mula-mula membuat keputusan untuk bergelar usahawan Internet, bapa juga seolah-olah tidak merestui keputusan kami."
"Tapi mungkin kerana sejak di bangku sekolah, bapa sering menasihatkan kami berniaga daripada makan gaji, jadi semua kepayahan dan cakap-cakap daripada orang sekeliling yang mempertikaikan kemampuan kami membangunkan getGorgeous hanya melintas bak angin lalu saja," jelasnya.
Bagaimanapun, berkat doa dan restu kedua ibu bapa, Zaimah Abdul Hamid dan Abdul Latif Idrus, walau usia perniagaan masih baru, dua adik-beradik itu mula melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan borong kepada peniaga butik yang berminat memasarkan koleksi getGorgeous.
Sehingga kini getGorgeous mempunyai pengedar dari lapan negeri antaranya Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak selain Kuala Lumpur serta sekitar Selangor.
Kini, Azlia Idha melangkah lebih jauh dan bercadang untuk berkongsi pengalaman memulakan perniagaan Internet, kisah hidup dan rahsia kejayaannya di e-book.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment