Butik The Emperor’s New Clothes
(Post: Bahasa Melayu)
" Melewati butik pakaian lelaki, The Emperor’s New Clothes (Tenc) di Pavilion Kuala Lumpur, mata pantas terpaku melihat rekaan dalaman yang menata pandangan. Sebuah rak penuh dari siling ke lantai pada dinding paling belakang butik itu mendominasi pandangan. Warna dinding cerah mengapit barisan produk yang dijual manakala sejumlah buku menjadi pelengkap suasana elit. "
Konsep perpustakaan lama Inggeris yang diaplikasi itu sejujurnya layak dipuji. Malah, memadankannya dengan siling yang diadaptasi daripada konsep bim faux dan diwarnakan coklat gelap sekali gus menjadikannya lebih 'asli'.
Tidak canggung di tengah-tengah Kuala Lumpur, sebaliknya ia seperti membawa pengunjung menyusuri babak filem Sherlock Holmes yang banyak memaparkan pemandangan sebegitu.
Pada lantai, jelas susunan ira kayu yang dipilih kaya dengan unsur klasik. Susunan herringbone atau tulang ikan, membantu menambah 'pergerakan visual' pada keseluruhan ruang butik itu.
Gaya New York
Dinding butik itu juga punya kekuatan tersendiri. Pada bahagian depan butik, dindingnya dilengkapi panel berbalut material kulit berwarna krim bertatah butang tembaga. Krew Jurnal diberitahu gaya itu dibawa dari kota New York yang penuh tenaga.
"Separuh dinding di bahagian belakang butik pula menggunakan kemasan batu yang lebih kasar dan kasual. Gaya ini berasal dari Los Angeles, Amerika Syarikat. Saya sukakan perbezaan yang ketara antara kedua-dua material ini," jelas Efeida Effendi yang mengetuai pasukan pereka dalaman butik itu.
Menurutnya, dua gaya berlainan yang melengkapi konsep perpustakaan mini itu ialah antara permintaan menarik yang disebut oleh pemilik Tenc.
"Pemilik (butik) mahukan suasana butik yang relaks yang dapat ditemui di Los Angeles dan menggabungkannya dengan ciri New York yang lebih cool."
"Mereka juga mahukan atmosfera kelab lelaki budiman dan perpustakaan Inggeris yang lebih klasik," kata Efeida.
Lebih terperinci, kata Efeida, pemilik Tenc mahukan ruang yang dapat memainkan pelbagai fungsi pada satu masa.
"Di butik ini, pelanggan diharap akan berasa selesa dan mempunyai ruang yang lebih luas untuk menghargai produk yang mengelilingi mereka."
"Untuk itu, kami menambah sebuah meja pool untuk meraih suasana santai dan menggandakan fungsinya sebagai salah satu ruang pameran produk," kata Efeida.
Mewujudkan ruang menunggu bagi membolehkan pelanggan menikmati aktiviti membeli-belah mereka dalam suasana yang paling tenang, ia turut diisi dengan skrin televisyen leper yang memaparkan siaran fesyen, berita dunia, sukan dan hiburan.
Terus-terang, kata Efeida, inspirasi untuk menghasilkan rekaan berkonsep sebegitu sebenarnya lahir daripada pemilik butik itu sendiri.
"Mereka mempunyai pengalaman yang luas, banyak mengembara, mengetahui dan memahami gaya. Butik ini perlu menonjolkan kesemua ciri itu," ujar Efeida.
Konsep butik Tenc sekali gus menggambarkan personaliti pemiliknya, Casmad Sanuri, Ruben Emir Gnanalingam dan Khairy Jamaluddin yang sudah sedia dikenali ramai.
Utamakan fungsi
Namun, tambah Efeida, perkara utama yang membezakan butik itu dengan premis yang berjiran dengannya ialah produk yang dijual di situ.
"Tidak ada butik lain di Kuala Lumpur yang mengetengahkan produk berjenama khusus untuk lelaki. Itulah keutamaan kami ketika menghasilkan rekaan dalaman untuk butik ini."
"Kami akan sentiasa mengutamakan fungsi berbanding rupa bentuk. Selebihnya, penggayaan dan perincian butik itu datang setelah kami memahami kepentingan pakaian yang dijual dan pelanggan utama butik ini, iaitu kaum lelaki," terangnya yang mengambil masa kira-kira lima bulan untuk mereka dan merealisasikan rekaan itu.
Cabaran paling besar buat Efeida dan pasukannya ialah untuk menyudahkan rekaan dengan cuba memenuhi permintaan istimewa pemilik butik.
"Mereka meminta kami mewujudkan bilik persalinan yang tersembunyi, seperti sebuah pintu rahsia. Saya fikir pasukan saya telah berjaya melakukannya dengan baik dengan membuatkan pintu bilik persalinan itu seolah-olah sebahagian daripada dinding perpustakaan."
"Pintu itu kami reka dengan para-para pada muka depannya dan 'menyorokkannya' di dalam dinding," cerita Efeida.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment