ATTENTION !!!

Showing posts with label solekan. Show all posts
Showing posts with label solekan. Show all posts

Monday, November 15, 2010

Sekolah Latihan Wanita SELAWA

(Post: Bahasa Melayu)
" Gelagat sekumpulan pelajar wanita berkemeja-t berlengan panjang hitam dan jingga di bilik kuliah yang bersambung di belakangnya dapur pelbagai guna itu benar-benar mencuri perhatian. "

Kegirangan jelas terpancar di wajah mereka meskipun masing-masing sibuk dengan peranan dan tugas yang diberikan.

Ada yang menyelia api bagi memastikan ayam yang digoreng itu tidak mentah atau terlebih masak, ada yang menghiris dan memotong keperluan bahan-bahan untuk menumis.

Di satu sudut yang lain pula, sekumpulan pelajar sibuk mengadun ramuan untuk menghasilkan beberapa jenis biskut tradisi menggunakan mesin khas.

Setiap arahan diberikan oleh tenaga pengajar dalam penyediaan hidangan itu dipatuhi biarpun ia sekadar peringatan untuk menambah secubit garam atau sesudu kecil gula.

Usai 15 minit pertama menjejakkan kaki di Sekolah Latihan Wanita atau lebih dikenali sebagai Selawa, penulis kemudiannya dibawa menjengah ke kelas jahitan dan sulaman yang terletak di aras satu.

Di dalam kelas itu, seramai 20 pelajar gigih menyiapkan projek baju kurung moden. Ada yang masih berusaha melaksanakan jahitan akhir, membetulkan jahitan butang dan menetas benang yang tersimpul kusut.

Pada masa sama, beberapa orang pelajar menguntum senyuman. Baju kurung yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri itu sudah hampir siap.

Biarpun tidak segah atau secantik hasil tangan tukang profesional, namun kualiti yang dihasilkan oleh pelajar terbabit tidak kurang hebatnya.

Selain kelas memasak lauk-pauk, kuih-muih moden dan tradisional serta jahitan, empat lagi kelas lain di bangunan dua tingkat itu turut bergerak serentak.

Antaranya termasuklah sulaman tangan dan mesin, solekan dan dandanan rambut, kemahiran komputer dan pendidikan agama.

Demikianlah keunikan Selawa, institusi kemahiran wanita yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan dakwah dan antara yang tertua di negara, Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP).

Menerusi sistem pembelajaran yang ditawarkan, setiap pelajar yang menyertai sekolah kemahiran tersebut, akan mengikuti kesemua kelas tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan.

Menurut Pengetua Selawa, Norhafizah Harun, 39, apa yang ditawarkan oleh institusi terbabit merupakan latihan asas yang lengkap bagi seorang wanita.

Menawarkan kursus peringkat asas dan lanjutan sejak 1962, Selawa sehingga kini telah melahirkan lebih 7,000 bekas pelajar yang mendapat manfaat daripada silibus istimewa ini.

"Setiap pelatih dalam kumpulan masing-masing akan mengikuti semua modul di Selawa secara bergilir-gilir."

"Mungkin pada hari ini, seseorang pelatih itu akan mempelajari cara membuat kek, rakannya pula didedahkan teknik sulaman manakala seorang lagi mengikuti kelas asas komputer," katanya kepada Kosmo!.

Norhafizah yang merupakan salah seorang daripada tujuh tenaga pengajar di Selawa memberitahu, setiap pelatih yang berjaya menamatkan pengajian asas selama setahun, boleh berbangga dengan apa yang dipelajari.

Mereka bukan saja boleh membuka bisnes jatihan, sulaman atau masakan, lepasan Selawa hakikatnya adalah individu yang pandai serba-serbi dalam hal ehwal kewanitaan.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan, lepasan Selawa sebenarnya bersedia 100 peratus untuk menjadi seorang wanita apatah lagi bergelar suri rumah."

"Bahkan sebelum ini pun, ramai memberitahu Selawa merupakan antara tempat yang terbaik bagi kaum lelaki khususnya di Ipoh, Perak mencuba nasib mencari jodoh," selorohnya.

Pelatih dari seluruh negara

Menurut Norhafizah, sejak hampir lima dekad lalu, Selawa menerima pelatih dari seluruh pelosok negara. Namun persepsi kononnya institusi terbabit seolah-olah seperti pusat pemulihan akhlak menyebabkan tidak ramai yang mengetahui kewujudannya.

"Salah tanggapan ini berlaku mungkin kerana nama Selawa sendiri iaitu Sekolah Latihan Wanita."

"Pada hakikatnya, inilah satu-satunya institusi yang menawarkan modul latihan bersepadu dengan yuran yang berpatutan," katanya.

Menurut Norhafizah, pada satu-satu masa Selawa mampu menampung sehingga 100 orang pelatih dan setiap yang mendaftar bagi mengikuti kursus, digalakkan menetap di asrama yang disediakan.

"Selain asrama yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk bilik bacaan dan ruang menonton televisyen pada waktu senggang, pelajar juga disediakan sarapan pagi sehinggalah makan malam," katanya.

Bagi mempelbagaikan aktiviti kokurikulum pelajar, Selawa secara konsisten menganjurkan ceramah agama, menubuhkan kumpulan nasyid, kompang, silat, selain mengadakan kursus motivasi keusahawanan, lawatan sambil belajar selain pertandingan masakan dan gubahan.

Meskipun syarat kemasukan ke Selawa sekurang-kurangnya lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mampu membaca serta menulis, Norhafizah mengakui terdapat juga graduan institusi pengajian tinggi melanjutkan pengajian di institusi terbabit.

"Pelajar yang menuntut di sini datang daripada pelbagai latar belakang dan kehidupan. Ada yang datang dengan kerelaan sendiri, terdapat juga yang dihantar oleh ibu bapa bagi mendalami ilmu kewanitaan."

"Apa yang membanggakan, Selawa pernah menerima graduan ijazah sarjana muda tidak lama dahulu," kata Norhafizah yang bertugas di Selawa sejak 16 tahun lalu.

Selawa bukan calang-calang institusi. Nurul Atiqah Mohd. Yusop, graduan diploma perakaunan dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan misalnya, sudah hampir menamatkan kursus asas selama setahun di Selawa.

Berasal dan menetap di Tangkak, Johor, Nurul Atiqah mengakui kehadirannya di institusi tersebut sejak Januari lalu didorong oleh ibunya. Kata Nurul Atiqah, 22, ibunya menghantar dia ke Selawa sebagai mengisi masa terluang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Pada mulanya, saya ingat hanya belajar memasak dan menjahit tetapi rupa-rupanya kami didedahkan dengan pelbagai kemahiran lain."

"Apa yang menarik, saya kini boleh memasak hidangan kegemaran ibu di kampung bahkan boleh menjahit baju kurung sendiri," katanya teruja.

Ujar Nurul Atiqah, dia langsung tidak menyesal menghabiskan masa setahun di Selawa biarpun ramai di kalangan rakan sekuliah semasa menuntut di politeknik dahulu selesa dengan kerjaya masing-masing selain menyambung pelajaran.

Kemahiran sebagai kerjaya

Seorang lagi pelajar, Nurliza Musa, 16, pula menyimpan seribu satu harapan apabila tamat latihan di Selawa kelak.

Remaja terbabit sedar dengan kelulusan akademik sehingga tingkatan tiga itu tidak menjamin apa-apa kepadanya. Justeru, dia bertekad menjadikan sesi latihan asas dan lanjutan selama dua tahun di Selawa sebagai peluang kedua.

"Saya mahu menjadi seorang tukang masak yang berjaya dan mungkin satu hari nanti kemahiran tersebut akan menjadi sumber rezeki seperti sebahagian besar bekas pelajar Selawa sebelum ini," katanya.

Berbeza dengan Nurul Atiqah dan Nurliza, Nurshazlesha Suhaimi pula mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah pun mempunyai kerjaya sebagai seorang kerani dengan pendapatan tetap di Kuala Lumpur, wanita berusia 26 tahun itu nekad mendaftar di Selawa sejak Januari lalu.

Kata Nurshazlesha, ramai rakan-rakannya terkejut dengan keputusan lebih-lebih lagi tindakannya seolah-olah terkebelakang.

"Saya sudah mempunyai kerjaya yang stabil namun minat yang mendalam terhadap masakan dan jahitan membuatkan saya membulatkan tekad mendaftarkan diri mengikuti pembelajaran di sini."

"Azam saya adalah membuka sebuah kedai membuat kuih di kampung halaman di Pulau Pinang tidak lama lagi," katanya.

Setiap pelajar yang menamatkan pengajian akan dianugerahkan sijil yang dikeluarkan PSIP.

Dengan yuran pendaftaran sebanyak RM450 dan yuran bulanan RM120, Selawa seharusnya dijadikan pilihan kepada semua wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun yang berminat.

Sesi pembelajaran adalah pada hari Isnin sehingga Jumaat bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai Selawa boleh datang terus ke Kompleks PSIP di No. 9, Jalan Seruan, 30250 Ipoh Perak atau hubungi talian 05-2548708.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, February 2, 2010

Jurusolek Artis

(Post: Bahasa Melayu)
" Melihat satu persatu nama pelanggan jurusolek profesional ini, tidak dinafikan Mohd Najeeb Mohamad Azami layak berada dalam barisan jurusolek terbaik negara. Biarpun seorang lelaki, sentuhan kreativitinya pada wajah wanita ibarat pelukis yang bermain warna pada kanvas. "

Bukanlah pelik melihat lelaki hari ini menguasai bidang yang dulunya medan wanita menunjukkan gah seperti dunia masakan. Hakikatnya, jadual tugasan dan tempahan yang diterima Mohd Najeeb hampir penuh hingga akhir tahun ini!

"Beginilah, saya sentiasa sibuk dengan tugasan menyolek. Andai tidak menyolek artis, ada juga permintaan menyolek golongan kenamaan serta pengantin. Setiap dari pelanggan memberi cabaran tersendiri dalam kerjaya saya ini."

"Biarpun ada ketikanya saya letih, semuanya bagai berbayar apabila melihat pelanggan gembira dengan hasil kerja saya," katanya.

Tiga tahun bergiat secara serius dalam dunia solekan, jejaka berusia 29 tahun ini berasa cukup bertuah kerana bakatnya diterima kelompok individu berprofil tinggi yang sekaligus melonjakkan 'sahamnya'.

Tidak mahu alpa dengan pujian, Mohd Najeeb cuba memberikan yang terbaik dan sambil merendah diri, beliau mahu terus belajar bagi meningkatkan kemahirannya dalam bidang solekan.

"Bukan mudah untuk berada di tahap sekarang. Ini kerana saya bermula daripada bawah dan banyak meminta tunjuk ajar daripada ramai makeup artist yang lebih berpengalaman."

"Jujur saya katakan, saya masih dalam proses belajar untuk mempelbagaikan variasi solekan," katanya.

Datuk Siti Nurhaliza, Maya Karin, Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Deja Moss - itulah antara nama gah yang melengkapkan portfolio hebat Najeeb dalam bidang solekan.

Berikut adalah temuramah antara wartawan XY - Ikon Lelaki bersama bekas pramugara yang semakin menggegar dunia solekan tanah air ini:

Boleh ceritakan kehidupan anda dalam dunia solekan yang cukup asing dalam dunia lelaki?

Umpama profesion perguruan, itulah yang dapat saya simpulkan mengenai tugas jurusolek. Kami bertanggungjawab mencantikkan pelanggan. Bukan saja mencantikkan mereka, malah umpama guru, saya perlu memberi panduan kepada pelanggan mengenai teknik betul dalam bersolek.

Sudah menjadi tabiat saya untuk berkongsi ilmu solekan kerana saya suka melihat wanita tampil cantik dan berkeyakinan.

Bagaimana semuanya bermula hingga anda mampu berdiri sama gah dengan jurusolek terkenal lain?

Semuanya berlaku tanpa dirancang. Malah, saya berasa cukup bersyukur kerana perjalanan hidup saya bagai diatur sempurna. Sebelum bergelar jurusolek, saya pernah menjadi model sebaik tamat persekolahan serta bertugas sebagai pramugara selama tujuh tahun.

Jadi cerita, disebabkan masalah tulang belakang dan diberi cuti dua tahun oleh syarikat penerbangan, saya berjinak-jinak dalam bidang solekan. Tidak sangka, ia menjadi kerjaya saya hari ini.

Sebegitu mudah bergelar jurusolek?

Oh, tidaklah semudah disangka. Saya banyak meminta tunjuk ajar daripada jurusolek terkenal tanah air termasuk makeup artist Chomel yang membawa saya menyertai bidang ini.

Tanyalah ramai makeup artist, siapa saja yang saya tidak bertanya tip? Ini kerana saya yakin pada kesungguhan dan tidak malu bertanya untuk memajukan diri sendiri.

Dalam tempoh kurang tiga tahun, anda sudah memiliki senarai pelanggan berprofil tinggi. Bagaimana anda mencapai tahap ini?

Peluang tidak datang bergolek di depan mata. Sebaliknya, terus terang saya katakan, bukan mudah meyakinkan pelanggan kerana saya tidak membawa apa-apa kecuali kesungguhan dan bakat.

Seingat saya, tugasan pertama yang membabitkan selebriti ialah ketika saya diminta menyolek Deja Moss bagi menggantikan Chomel. Dari sini, saya mendapat kepercayaan menyolek Misha Omar dan Adam hinggalah saya makin dikenali.

Apa pengalaman menarik sepanjang menjadi jurusolek?

Ketika saya masih menjadi pramugara, saya pernah menyapa Dery iaitu makeup artist terkenal Krisdayanti. Percaya atau tidak, beliau sudi mengajar saya bersolek ketika berada di Jakarta. Ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada untuk mendalami dunia solekan.

Tidak sangka, hari ini saya dan Dery masing-masing menyolek artis. Beliau menyolek Krisdayanti dan saya pula menyolek Siti Nurhaliza.

Bercerita mengenai Siti Nurhaliza, bagaimana kerjasama anda dan penyanyi No 1 negara ini terjalin?

Secara profesional, saya bertindak sebagai jurusolek kedua selepas Nurul Shukor. Saya dipertanggungjawabkan untuk menyolek Siti Nurhaliza jika Nurul sibuk.

Jika hendak bercerita pengalaman pertama menyolek Siti Nurhaliza, saya punyalah takut hingga patah pensil lip liner! Namun, saya gembira kerana Siti Nurhaliza mudah memberi kerjasama.

Siapakah jurusolek idola anda?

Wow, sukar untuk saya berikan nama. Ini kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Secara peribadi, saya mengagumi semua jurusolek senior seperti Khir Khalid, Chomel, Nurul Shukor, Am, Deq Sha dan ramai lagi yang memberi impak besar dalam dunia solekan tanah air.

Malah, saya cukup berbangga kerana di Kuala Lumpur, semakin ramai jurusolek baru dan senior yang gah mempelbagaikan seni solekan.

Mungkin ada perbezaan antara seni solekan anda dengan jurusolek lain di Malaysia?

Jika ramai yang perasan, saya lebih gemar bermain dengan solekan sederhana dan tidak suka menyolek tebal. Bagi saya tidak perlu bersolek tebal hingga mengubah penampilan termasuk melukis garis celak di bawah mata serta membuat shading pada batang hidung.

Apa yang anda tekankan sebelum sesi menyolek?

Saya gemar bertemu dulu dengan pelanggan sebelum sesi menyolek. Mungkin bagi bakal pengantin, saya sebolehnya mahu bertemu sebulan sebelum hari persandingan atau pernikahan berlangsung.

Lelaki dalam bidang solekan - apa pandangan anda sebagai jurusolek lelaki?

Sebenarnya, jurusolek perempuan ramai yang menyerlah tetapi tidak dinafikan, lelaki lebih menonjol hingga menjadi 'orang kuat' dalam menyolek selebriti tempatan.

Apa perancangan masa depan anda?

Adalah menjadi harapan saya untuk memasarkan lebih banyak aksesori dalam bidang solekan. Ini bagi membolehkan masyarakat berfantasi dengan kecantikan.

Ditanya pula soal selebriti yang berwajah mulus dan mudah disolek, Mohd Najeeb berkata, ramai selebriti terkenal memiliki kulit wajah mulus termasuk Sarimah Ibrahim dan Siti Nurhaliza.

Bagi anak muda ini, kenangan paling indah pastinya detik menyolek Siti Nurhaliza bagi penggambaran kulit album duetnya bersama Krisdayanti di Jakarta, baru-baru ini.

"Ia menjadi job terbesar saya setakat ini... Siapa sangka bintang pujaan yang dulunya saya minati ketika sekolah sekarang menjadi pelanggan saya. Saya cukup terharu," katanya dengan penuh bangga.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 22, 2009

Butik Red Glow

(Post: Bahasa Melayu)
"Sungguhpun rekaan baju yang ditampilkan agak ringkas, sekiranya kena dengan pemilihan fabrik, corak hiasan serta kemasan, penampilan pemakainya tampak lebih menyerlah."

"Penggunaan kain yang bersesuaian serta hiasan digunakan dalam setiap rekaan adalah sangat penting."

"Selain itu, corak yang tidak keterlaluan saratnya memang digemari ramai selain dapat mengekalkan permintaan pengguna tanpa mengira usia," kata pemilik bersama butik Red Glow, Annur Najwa Azizan.

Ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, menurutnya, penggunaan kain crepe lembut tanpa corak paling mendapat sambutan untuk dijadikan baju kurung kerana keselesaannya.

"Kain sedemikian memang lembut dan tidak terlalu tebal justeru, ia bersesuaian dengan keadaan cuaca setempat. Apatah lagi, baju tradisional seperti kurung lazimnya dipakai untuk tempoh agak lama, misalnya sehari-harian khususnya ketika bekerja atau menghadiri pelbagai majlis."

"Selain itu, kain jacquard bercorak masih menjadi pilihan pengguna untuk dijadikan pakaian tradisional walaupun kini terdapat pelbagai pilihan."

"Rata-rata ramai yang memilih kain ini kerana ketahanannya manakala corak yang dihasilkan pula berlainan," katanya.

Untuk rekaan kebaya, kain sutera serat nanas digunakan bagi membentuk satu rekaan unik mengikut potongan badan individu tanpa mengira usia.

Dari segi kemasan, taburan batu swarovski dan renda antara hiasan utama koleksi baju yang diketengahkan butik berkenaan untuk menarik minat pelanggan.

"Setiap individu pasti berbeza kehendak dan permintaan dari segi berpakaian kerana masing-masing ada cita rasa tersendiri."

"Namun, kami memastikan rekaan yang dihasilkan tidak keterlaluan supaya ia boleh digayakan untuk pemakai pelbagai peringkat umur selain memberi tumpuan terhadap keselesaan pemakai."

"Tidak salah untuk meringkaskan gaya sekiranya dapat diseimbangkan dengan perhiasan sampingan untuk menaikkan seri penampilan."

"Inilah yang banyak kami utarakan kepada pelanggan supaya mereka tidak perlu banyak berhabis wang untuk kelihatan cantik dan bergaya," katanya.

Sumber: myMetro
Foto:
Red Glow

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, April 14, 2009

Bekas Terbuang Menjadi Hiasan Menarik

(Post: Bahasa Melayu)
"Ia mengambil masa kurang 10 minit untuk disiapkan."

Pasu lama jangan dibuang sebaliknya disimpan untuk dihias semula.

Rupa yang kusam pun kembali menawan andai ditambah hiasan sampingan seperti manik dan riben di samping jambangan ranting serta bunga tiruan sebagai penyeri.

Pemilik butik pengantin, De Ams' Ree, Amran Shamsudin dan Mohd Nazri Arshad berkongsi ilham menukarkan bekas terbuang menjadi hiasan tumpuan sudut dan penjuru.

"Bekas ini sebenarnya tempayan kecil yang menadah air terjun mini namun sudah lama rosak. Daripada dibuang, saya fikir elok dijadikan sebahagian hiasan landskap."

"Saya serikannya dengan manik butir dan jurai sebelum merimbunkannya dengan ranting dan jambangan orkid."

Yang pastinya, dengan daya kreativiti membolehkan bekas terbuang seperti tempayan ini boleh diolah semula menjadi suatu hiasan yang menarik serta hasil penjualannya mampu menjana pendapatan sampingan.

INFO:
De Ams' Ree turut menyediakan perkhidmatan:
- tempahan pelamin dan dewan
- gubahan dan hantaran
- solekan dan andaman
- busana pengantin
- kad kahwin
- katering
- khidmat rundingan majlis perkahwinan

CONTACT INFO:
Telefon: Amran - 017-6760142 atau 019-3400411

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 3, 2008

Butik Pengantin Muslimah Syahirah

(Post: Bahasa Melayu)
"Kini, butik Syahirah yang diambil daripada perkataan Arab bermaksud kelembutan wanita Mesir, menjadi buah mulut ramai orang, malah pelanggan yang datang ke butik Ismail datang dari pelbagai tempat termasuk Brunei dan Singapura."

Bagi pengusaha Butik Pengantin Muslimah Syahirah, Ismail Abdul Rahman, permintaan tinggi daripada bakal pengantin yang ingin mengenakan busana pengantin muslimah umpama limpahan rezeki selepas 11 tahun mengendalikan butik pengantin khusus untuk wanita bertudung.

Kelainan ditawarkan Butik Pengantin Muslimah Syahirah adalah semua baju pengantin dijahit sulam mesin sebelum disulam manik.

Butik ini juga menyediakan gaun pengantin yang sesuai untuk wanita Islam dan dipadankan bersama ikatan tudung versatil.

Pengalaman mengendalikan pakaian muslimah menyebabkan Ismail bijak merubah bentuk wajah pengantin yang tidak menarik kelihatan sempurna melalui teknik pemakaian tudung pelbagai.

"Maklum balas yang diterima membuatkan saya semakin tabah untuk terus menghasilkan busana pengantin muslimah dan bersyukur kerana kejayaan saya adalah berkat doa mereka," katanya.

INFO:
Butik Pengantin Muslimah Syahirah
Lokasi: No 5, Jalan Bunga Kertas 1B/2, Bukit Beruntung (Bukit Sentosa), Rawang Selangor

Telefon: 03-60215946

INFO Perkhidmatan:
Menyediakan tiga jurusolek wanita yang bertanggungjawab menyolek dan memakaikan tudung pelanggan.

Menyediakan pakej seperti berikut:
- sewaan baju pengantin serendah RM2,150 hingga RM6,000
- sewaan pelamin
- sewaan layah dan selendang Syahirah
- menerima tempahan jahitan baju pengantin

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::