ATTENTION !!!

Showing posts with label baju kurung. Show all posts
Showing posts with label baju kurung. Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

Busana de Chantek

(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan menjual tudung kepada rakan-rakan terdekat dan saudara-mara, pasangan suami isteri, Zainul Azhari dan Noor Wahidah Mustafa kini mengorak langkah ke satu lagi fasa yang lebih serius. "

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan secara 'tidak formal', pasangan suami isteri itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk membangunkan sebuah butik dan terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan sebenar.

Menggunakan 100 peratus modal sendiri, Busana de Chantek akhirnya beroperasi di Pusat Dagangan Seri Utama, Kota Damansara sejak bulan Jun lalu lantas merealisasikan impian Zainul dan Noor Wahidah.

"Tiga tahun lalu, kami hanya menjual tudung secara kecil-kecilan. Saya juga minta tolong sanak saudara untuk menjual koleksi tudung kami yang diambil daripada beberapa pembekal."

"Lepas itu, kami berdua membuat keputusan untuk membuka butik dan mula mencari lokasi yang sesuai. Oleh kerana kami mahu membuka butik muslimah, maka kawasan berniaga itu mestilah ramai penduduk Islam," kata Zainul.

Butik itu kini menjadi sumber pendapatan utama kepada pasangan itu kerana ia dibangunkan berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan sedangkan mereka berdua masing-masing mempunyai karier berbeza.

Zainul bertugas sebagai pengurus jualan di salah sebuah syarikat pembekal telekomunikasi, manakala Noor Wahidah pula merupakan seorang pensyarah dalam bidang sains komputer di sebuah kolej di Cheras.

"Meskipun kami berdua bekerja di tempat lain, butik ini adalah sebahagian daripada hidup kami. Kami juga akan melawat butik yang dijaga oleh kakitangan kami pada setiap hari."

"Setakat ini, perniagaan kami berjalan dengan lancar. Meskipun masih baru, kami sudah ada beberapa pembeli tetap."

Mengulas mengenai koleksi tudung dan jubah yang dijual, Noor Wahidah memberitahu, mereka mengambil stok tudung di beberapa syarikat pembekal, manakala jubah pula diimport dari Vietnam.

Katanya lagi, meskipun tudung itu diambil dari pembekal, dia dan suaminya turut memberikan pandangan dan rekaan yang mereka inginkan agar kelihatan lebih menarik.

"Kami sering memberikan rekaan yang sendiri kepada pembekal. Jubah pula kami cantikkan dengan menjahit manik untuk kelihatan lebih menarik."

Konsep butik: Konsep sederhana dan ringkas menjadi pilihan butik Busana de Chantek.

Menawarkan: Selain menjual koleksi tudung, jubah, baju kurung dan telekung, Busana de Chantek turut menjual blaus serta pakaian kanak-kanak. Dalam masa yang sama turut menawarkan tempahan hantaran perkahwinan dan jahitan manik.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 15, 2010

Sekolah Latihan Wanita SELAWA

(Post: Bahasa Melayu)
" Gelagat sekumpulan pelajar wanita berkemeja-t berlengan panjang hitam dan jingga di bilik kuliah yang bersambung di belakangnya dapur pelbagai guna itu benar-benar mencuri perhatian. "

Kegirangan jelas terpancar di wajah mereka meskipun masing-masing sibuk dengan peranan dan tugas yang diberikan.

Ada yang menyelia api bagi memastikan ayam yang digoreng itu tidak mentah atau terlebih masak, ada yang menghiris dan memotong keperluan bahan-bahan untuk menumis.

Di satu sudut yang lain pula, sekumpulan pelajar sibuk mengadun ramuan untuk menghasilkan beberapa jenis biskut tradisi menggunakan mesin khas.

Setiap arahan diberikan oleh tenaga pengajar dalam penyediaan hidangan itu dipatuhi biarpun ia sekadar peringatan untuk menambah secubit garam atau sesudu kecil gula.

Usai 15 minit pertama menjejakkan kaki di Sekolah Latihan Wanita atau lebih dikenali sebagai Selawa, penulis kemudiannya dibawa menjengah ke kelas jahitan dan sulaman yang terletak di aras satu.

Di dalam kelas itu, seramai 20 pelajar gigih menyiapkan projek baju kurung moden. Ada yang masih berusaha melaksanakan jahitan akhir, membetulkan jahitan butang dan menetas benang yang tersimpul kusut.

Pada masa sama, beberapa orang pelajar menguntum senyuman. Baju kurung yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri itu sudah hampir siap.

Biarpun tidak segah atau secantik hasil tangan tukang profesional, namun kualiti yang dihasilkan oleh pelajar terbabit tidak kurang hebatnya.

Selain kelas memasak lauk-pauk, kuih-muih moden dan tradisional serta jahitan, empat lagi kelas lain di bangunan dua tingkat itu turut bergerak serentak.

Antaranya termasuklah sulaman tangan dan mesin, solekan dan dandanan rambut, kemahiran komputer dan pendidikan agama.

Demikianlah keunikan Selawa, institusi kemahiran wanita yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan dakwah dan antara yang tertua di negara, Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP).

Menerusi sistem pembelajaran yang ditawarkan, setiap pelajar yang menyertai sekolah kemahiran tersebut, akan mengikuti kesemua kelas tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan.

Menurut Pengetua Selawa, Norhafizah Harun, 39, apa yang ditawarkan oleh institusi terbabit merupakan latihan asas yang lengkap bagi seorang wanita.

Menawarkan kursus peringkat asas dan lanjutan sejak 1962, Selawa sehingga kini telah melahirkan lebih 7,000 bekas pelajar yang mendapat manfaat daripada silibus istimewa ini.

"Setiap pelatih dalam kumpulan masing-masing akan mengikuti semua modul di Selawa secara bergilir-gilir."

"Mungkin pada hari ini, seseorang pelatih itu akan mempelajari cara membuat kek, rakannya pula didedahkan teknik sulaman manakala seorang lagi mengikuti kelas asas komputer," katanya kepada Kosmo!.

Norhafizah yang merupakan salah seorang daripada tujuh tenaga pengajar di Selawa memberitahu, setiap pelatih yang berjaya menamatkan pengajian asas selama setahun, boleh berbangga dengan apa yang dipelajari.

Mereka bukan saja boleh membuka bisnes jatihan, sulaman atau masakan, lepasan Selawa hakikatnya adalah individu yang pandai serba-serbi dalam hal ehwal kewanitaan.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan, lepasan Selawa sebenarnya bersedia 100 peratus untuk menjadi seorang wanita apatah lagi bergelar suri rumah."

"Bahkan sebelum ini pun, ramai memberitahu Selawa merupakan antara tempat yang terbaik bagi kaum lelaki khususnya di Ipoh, Perak mencuba nasib mencari jodoh," selorohnya.

Pelatih dari seluruh negara

Menurut Norhafizah, sejak hampir lima dekad lalu, Selawa menerima pelatih dari seluruh pelosok negara. Namun persepsi kononnya institusi terbabit seolah-olah seperti pusat pemulihan akhlak menyebabkan tidak ramai yang mengetahui kewujudannya.

"Salah tanggapan ini berlaku mungkin kerana nama Selawa sendiri iaitu Sekolah Latihan Wanita."

"Pada hakikatnya, inilah satu-satunya institusi yang menawarkan modul latihan bersepadu dengan yuran yang berpatutan," katanya.

Menurut Norhafizah, pada satu-satu masa Selawa mampu menampung sehingga 100 orang pelatih dan setiap yang mendaftar bagi mengikuti kursus, digalakkan menetap di asrama yang disediakan.

"Selain asrama yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk bilik bacaan dan ruang menonton televisyen pada waktu senggang, pelajar juga disediakan sarapan pagi sehinggalah makan malam," katanya.

Bagi mempelbagaikan aktiviti kokurikulum pelajar, Selawa secara konsisten menganjurkan ceramah agama, menubuhkan kumpulan nasyid, kompang, silat, selain mengadakan kursus motivasi keusahawanan, lawatan sambil belajar selain pertandingan masakan dan gubahan.

Meskipun syarat kemasukan ke Selawa sekurang-kurangnya lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mampu membaca serta menulis, Norhafizah mengakui terdapat juga graduan institusi pengajian tinggi melanjutkan pengajian di institusi terbabit.

"Pelajar yang menuntut di sini datang daripada pelbagai latar belakang dan kehidupan. Ada yang datang dengan kerelaan sendiri, terdapat juga yang dihantar oleh ibu bapa bagi mendalami ilmu kewanitaan."

"Apa yang membanggakan, Selawa pernah menerima graduan ijazah sarjana muda tidak lama dahulu," kata Norhafizah yang bertugas di Selawa sejak 16 tahun lalu.

Selawa bukan calang-calang institusi. Nurul Atiqah Mohd. Yusop, graduan diploma perakaunan dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan misalnya, sudah hampir menamatkan kursus asas selama setahun di Selawa.

Berasal dan menetap di Tangkak, Johor, Nurul Atiqah mengakui kehadirannya di institusi tersebut sejak Januari lalu didorong oleh ibunya. Kata Nurul Atiqah, 22, ibunya menghantar dia ke Selawa sebagai mengisi masa terluang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Pada mulanya, saya ingat hanya belajar memasak dan menjahit tetapi rupa-rupanya kami didedahkan dengan pelbagai kemahiran lain."

"Apa yang menarik, saya kini boleh memasak hidangan kegemaran ibu di kampung bahkan boleh menjahit baju kurung sendiri," katanya teruja.

Ujar Nurul Atiqah, dia langsung tidak menyesal menghabiskan masa setahun di Selawa biarpun ramai di kalangan rakan sekuliah semasa menuntut di politeknik dahulu selesa dengan kerjaya masing-masing selain menyambung pelajaran.

Kemahiran sebagai kerjaya

Seorang lagi pelajar, Nurliza Musa, 16, pula menyimpan seribu satu harapan apabila tamat latihan di Selawa kelak.

Remaja terbabit sedar dengan kelulusan akademik sehingga tingkatan tiga itu tidak menjamin apa-apa kepadanya. Justeru, dia bertekad menjadikan sesi latihan asas dan lanjutan selama dua tahun di Selawa sebagai peluang kedua.

"Saya mahu menjadi seorang tukang masak yang berjaya dan mungkin satu hari nanti kemahiran tersebut akan menjadi sumber rezeki seperti sebahagian besar bekas pelajar Selawa sebelum ini," katanya.

Berbeza dengan Nurul Atiqah dan Nurliza, Nurshazlesha Suhaimi pula mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah pun mempunyai kerjaya sebagai seorang kerani dengan pendapatan tetap di Kuala Lumpur, wanita berusia 26 tahun itu nekad mendaftar di Selawa sejak Januari lalu.

Kata Nurshazlesha, ramai rakan-rakannya terkejut dengan keputusan lebih-lebih lagi tindakannya seolah-olah terkebelakang.

"Saya sudah mempunyai kerjaya yang stabil namun minat yang mendalam terhadap masakan dan jahitan membuatkan saya membulatkan tekad mendaftarkan diri mengikuti pembelajaran di sini."

"Azam saya adalah membuka sebuah kedai membuat kuih di kampung halaman di Pulau Pinang tidak lama lagi," katanya.

Setiap pelajar yang menamatkan pengajian akan dianugerahkan sijil yang dikeluarkan PSIP.

Dengan yuran pendaftaran sebanyak RM450 dan yuran bulanan RM120, Selawa seharusnya dijadikan pilihan kepada semua wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun yang berminat.

Sesi pembelajaran adalah pada hari Isnin sehingga Jumaat bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai Selawa boleh datang terus ke Kompleks PSIP di No. 9, Jalan Seruan, 30250 Ipoh Perak atau hubungi talian 05-2548708.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, October 17, 2010

Roha Collection

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada usia sembilan tahun, Raha Ismail sudah mula mengekori ibunya, Asmah Awang Chik menjalankan perniagaan dari rumah ke rumah dengan menjual pelbagai jenis barangan serbaneka. "

Walaupun tidak pernah dipaksa untuk berbuat demikian, namun Raha melakukan semua itu dengan kerelaan sendiri. Tanpa disuruh, dia juga akan menyusun barang-barang untuk diperaga pada pelanggan.

Malah, berbanding lapan adik-beradik lain yang kesemuanya perempuan, dia boleh dianggap peneman setia kepada ibunya.

Siapa sangka bermula dengan minat, kemudian dipupuk dengan kesungguhan, rutin tersebut akhirnya menjadikan Raha atau lebih mesra dipanggil Roha seorang usahawan wanita yang berjaya apabila meningkat dewasa.

Jenama Roha Collection cukup dikenali di daerah Kluang kerana ia merupakan butik pemborong dan penjual pakaian yang beroperasi sejak awal tahun 2006.

"Butik kami menawarkan pelbagai jenis kain pasang, tudung, baju siap termasuk kurung dan kebaya, blaus, jubah, telekung, aksesori serta kelengkapan raja sehari."

"Alhamdulillah, dalam tempoh kurang lima tahun, butik saya sudah mempunyai tiga cawangan di Johor iaitu dua di Kluang dan satu lagi di Mersing," ujar Roha ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor.

Butik itu turut menerima tempahan baju pelbagai jenis fabrik dan bersedia menjahit rekaan yang diingini pelanggan.

"Kami mampu menyiapkan tempahan tersebut dalam masa sehari jika mereka mahu. Jadi, pelanggan tidak perlu menunggu dalam tempoh yang lama terutama mereka yang datang dari luar daerah Kluang," jelas wanita yang berusia 32 tahun itu.

Sambil menunjukkan beberapa koleksi terbaru Roha Collection, ibu kepada Mohd. Hishamuddin, 9, memberitahu, dia menceburi dunia perniagaan secara serius sejak umur 22 tahun.

Ketika itu Roha memilih untuk menjadi salah seorang usahawan dalam dunia skim jualan langsung (MLM). Selepas empat tahun, barulah dia memulakan bisnes butik Roha Collection dengan modal sebanyak RM2,000.

Banyak rintangan

Memegang kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Roha membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika kita sentiasa berusaha.

"Bukan mudah untuk berjaya hingga ke tahap sekarang. Banyak rintangan dan cabaran yang dilalui. Dalam dunia perniagaan, kita akan berjumpa dengan pelbagai karakter manusia."

"Adakalanya kita akan tertipu dengan mereka dan begitulah sebaliknya. Tetapi, itu bukan penghalang untuk kita mencapai impian. Apa yang penting, setiap apa yang dilakukan perlu jujur," tegas Roha yang berkahwin pada usia 23 tahun.

Bertemu jodoh dengan seseorang jejaka dari Padang, Indonesia, perkenalannya dengan suami, Jamaluddin Johan, 32, bermula atas urusan perniagaan.

Roha mengakui suaminya merupakan tulang belakang kejayaan yang dikecapinya.

"Tanpa sokongan suami, tidak mungkin saya mampu menempuh pelbagai dugaan dunia perniagaan ini," tuturnya.

Apakah pengalaman getir sepanjang menjalankan perniagaan? Roha berkata, dia pernah ditipu pelanggan dan rakan niaga serta berdepan dengan pekerja yang tidak jujur iaitu mencuri idea di butiknya dan kemudian memberitahu kepada pesaing perniagaannya.

Bagaimanapun, Roha tidak gentar dengan persaingan kerana dia percaya dengan rezeki yang diatur Allah. Dia juga yakin dengan bakat dan kreativiti yang dikurniakan kepadanya dan jenama pakaiannya

Bawa staf bercuti

Satu petua yang sempat dititipkan Roha untuk berjaya dalam perniagaan ialah tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerja dan mereka yang memerlukan.

Justeru, setiap tahun dia akan menutup operasi semua cawangan butik semata-mata untuk membawa pekerja dan keluarganya bercuti di seluruh negara.

"Sejak dua tahun bekerja di sini, saya gembira kerana mendapat majikan seperti kak Roha. Dia sangat sporting dan sentiasa berkongsi masalah dengan kami."

"Paling seronok apabila kami dibawa bercuti ke destinasi peranginan terkenal seperti di Langkawi, Genting Highlands serta negara jiran, Singapura dan Indonesia," ujar pekerja Roha, Wan Noraila Mohd. Jaafar, 20.

Bagi meneruskan kesinambungan perniagaan butiknya, Roha berazam untuk memiliki bangunan sendiri pada masa akan datang.

"Buat masa ini, saya masih menyewa lot-lot kedai pada kadar di antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan. Insya-Allah, jika diizinkan saya mahu mempunyai bangunan perniagaan sendiri yang lebih moden dan canggih."

"Kepada wanita yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan, jangan cepat berputus asa jika apa yang diusahakan tidak menjadi. Sebaliknya, terus berusaha dengan gigih," kata Roha mengakhiri bicara.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 21, 2010

Chomel Outlet Store

(Post: Bahasa Melayu)
" Seronok melihat telatah dua kanak-kanak perempuan iaitu Farhana Arissa Mohd. Fajri, 5, dan Nylea Natasha Mohd. Nizam, 7, yang langsung tidak kekok apabila berhadapan dengan lensa kamera. "

Meskipun lokasi penggambaran diadakan di luar premis dan di bawah panas terik, mood mereka tidak pernah terbantut.

Lebih istimewa, kanak-kanak itu tidak perlu diajar untuk memberi gaya menarik. Aksi mereka cukup spontan seperti sudah biasa menghadiri sesi fotografi.

Menyarung baju kurung fabrik kapas Chomel Outlet Store, fesyen baju tersebut cukup ringkas dan sesuai dengan sifat kanak-kanak yang lasak.

Disokong penggunaan tekstil yang tidak membuatkan pemakai berasa rengsa akibat panas, penampilan menjadi bertambah manis dengan sulaman bunga di bahagian pergelangan tangan.

Disebabkan tidak mahu kelihatan terlalu ringkas, kain yang dipadankan dengan baju kurung tersebut mempunyai unsur corak yang berpetak.

Chomel Outlet Store yang terletak di Lembah Keramat, Kuala Lumpur memuatkan pelbagai fesyen menarik, cantik dan ideal buat si ibu yang mahu melihat anak-anak mereka melaram sakan pada hari lebaran.

Kebanyakan pakaian yang terdapat di situ mempunyai unsur fesyen golongan dewasa. Hakikatnya, bukan orang dewasa sahaja yang layak bergaya, malah kanak-kanak juga kini mahu kelihatan cantik dan berketrampilan.

Saat paling menggembirakan bagi dua model cilik itu ialah apabila mereka berpeluang memperagakan gaun. Tidak lekang dengan senyuman, gaun itu sesuai dipakai saat bertandang ke rumah terbuka.

Kanak-kanak seusia mereka kelihatan lebih eksklusif jika bijak mengenakan aksesori bersesuaian seperti cekak rambut, rantai tangan dan beg tangan.

Gaya ranggi pula cukup sekadar mengenakan skirt jean pendek dan baju tanpa lengan. Si cilik akan lebih selesa sekiranya mereka diberi kelonggaran memakai pakaian yang tidak terlalu labuh.

Bagaimanapun, pastikan anak-anak tidak kerap memakai selipar. Mereka lebih kemas dan comel jika menyarungkan kasut berpotongan feminin.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 30, 2009

Butik Hajaba

(Post: Bahasa Melayu)
"Inspirasi farasha atau rama-rama nyata memberi tuah kepada pemilik butik Hajaba, Mona Din, apabila rekaannya mendapat pujian ramai biarpun sebelum ini dia lebih dikenali melalui produk kosmetik keluarannya, Leesa Formula."

Keindahan corak yang melatari helaian pakaian yang masih mengekalkan potongan jubah moden menjadi daya tarikan utama, ditambah warna jingga gelap menyerlahkan si pemakai. Manik dan labuci turut menambah nilai pada rekaan.

Tidak terlalu sarat dengan corak serta sesuai digayakan ke majlis formal mahupun makan malam membuatkan ia tampak eksklusif selain sesuai digayakan bagi mereka yang masih mahu bergaya tetapi sopan.

Selain bercorak abstrak, Hajaba tampil dengan busana rona polos yang boleh diserikan dengan aksesori seperti rantai dan tali pinggang selain aksesori di kepala bagi mereka yang mahukan kelainan.

Menggunakan fabrik batik sifon dan sutera menjadikan busana lebih selesa dan bergaya ketika dipakai, apatah lagi ditambah selendang panjang di bahagian belakang menjadikan ia lebih trendy.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Media, Noor Zaina Ahmad, lebih membanggakan, pakaian yang mendapat pujian daripada orang ramai itu dihasilkan daripada bahan tempatan.

"Kami tak sangka maklum balas diterima daripada orang ramai sungguh memberangsangkan walaupun sebelum ini Puan Mona lebih cenderung ke arah bidang kecantikan, namun kerana minat, ia pasti menghasilkan kejayaan," katanya.

Fabrik lembut dan berkualiti menjadi pilihan bagi terus mengekalkan keselesaan pemakai kerana menghasilkan potongan pakaian yang cantik dan nampak terletak.

Sumber: myMetro
Foto:
Hajaba

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 22, 2009

Butik Red Glow

(Post: Bahasa Melayu)
"Sungguhpun rekaan baju yang ditampilkan agak ringkas, sekiranya kena dengan pemilihan fabrik, corak hiasan serta kemasan, penampilan pemakainya tampak lebih menyerlah."

"Penggunaan kain yang bersesuaian serta hiasan digunakan dalam setiap rekaan adalah sangat penting."

"Selain itu, corak yang tidak keterlaluan saratnya memang digemari ramai selain dapat mengekalkan permintaan pengguna tanpa mengira usia," kata pemilik bersama butik Red Glow, Annur Najwa Azizan.

Ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, menurutnya, penggunaan kain crepe lembut tanpa corak paling mendapat sambutan untuk dijadikan baju kurung kerana keselesaannya.

"Kain sedemikian memang lembut dan tidak terlalu tebal justeru, ia bersesuaian dengan keadaan cuaca setempat. Apatah lagi, baju tradisional seperti kurung lazimnya dipakai untuk tempoh agak lama, misalnya sehari-harian khususnya ketika bekerja atau menghadiri pelbagai majlis."

"Selain itu, kain jacquard bercorak masih menjadi pilihan pengguna untuk dijadikan pakaian tradisional walaupun kini terdapat pelbagai pilihan."

"Rata-rata ramai yang memilih kain ini kerana ketahanannya manakala corak yang dihasilkan pula berlainan," katanya.

Untuk rekaan kebaya, kain sutera serat nanas digunakan bagi membentuk satu rekaan unik mengikut potongan badan individu tanpa mengira usia.

Dari segi kemasan, taburan batu swarovski dan renda antara hiasan utama koleksi baju yang diketengahkan butik berkenaan untuk menarik minat pelanggan.

"Setiap individu pasti berbeza kehendak dan permintaan dari segi berpakaian kerana masing-masing ada cita rasa tersendiri."

"Namun, kami memastikan rekaan yang dihasilkan tidak keterlaluan supaya ia boleh digayakan untuk pemakai pelbagai peringkat umur selain memberi tumpuan terhadap keselesaan pemakai."

"Tidak salah untuk meringkaskan gaya sekiranya dapat diseimbangkan dengan perhiasan sampingan untuk menaikkan seri penampilan."

"Inilah yang banyak kami utarakan kepada pelanggan supaya mereka tidak perlu banyak berhabis wang untuk kelihatan cantik dan bergaya," katanya.

Sumber: myMetro
Foto:
Red Glow

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 30, 2009

Songket Melaka FAUZAI MEKAR

(Post: Bahasa Melayu)
"Selalunya, bila sebut batik atau songket, orang akan terfikir ia produk Kelantan dan Terengganu sahaja. Saya mahu menjadikan Melaka juga sebagai pengeluar batik dan songket terkenal dengan identiti Melaka."

Berkat minat yang mendalam terhadap kesenian hasil songket membuatkan, Mohd. Fauzi Muhammad, 27, yang menjalankan perniagaan songket dan batik melalui syarikatnya, Fauzai Mekar Enterprise, serius dalam bidang yang jarang diceburi golongan muda ini.

Fauzi bercita-cita mencipta Songket dan batik Melaka menggunakan bunga kesidang yang menjadi bunga rasmi Melaka sebagai motif fabrik bermutu tinggi.

Beliau akui bahawa usaha meneruskan perniagaan itu yang dicetuskan tunangnya, Zaihasra Zainal Abidin, 23, bukanlah sesuatu yang mudah.

Beliau telah mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM75,000 untuk memulakan perniagaan batik dan songket.

"Saya juga telah membeli empat buah 'kek tenun' yang digunakan untuk menenun songket berharga RM3,500 setiap satu."

"Dengan jumlah sebanyak itu, saya cuma boleh menghasilkan empat helai songket berukuran 2.5 meter sebulan dengan bantuan empat pekerja."

Harga songket juga ditentukan mengikut benang digunakan sama ada benang emas, sutera ataupun polyster, motif, sama ada bunga penuh ataupun bunga tabur.

Mengenai fesyen pula, ia tidak terbatas kepada samping sahaja tetapi juga baju kurung, kebaya, baju Melayu, skaf dan juga selendang.

INFO:
Lokasi: Bengkel songket Fauzai Mekar Enterprise terletak di Kraftangan Malaysia Melaka, Kawasan Perindustrian Klemak, Alor Gajah, Melaka

CONTACT INFO:
Telefon: 012-6189394

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, September 3, 2009

Baju Kurung Serikapas

(Post: Bahasa Melayu)
"Sempena bulan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi, koleksi Serikapas menawarkan pelbagai jenis baju kurung pesak Riau atau Pahang daripada kain kapas dan linen."

Kain kapas dan linen sememangnya telah dikenali sebagai fabrik yang menyerap peluh dan tidak berbau serta sesuai dipakai dalam cuaca negara kita yang panas.

Selain itu, kelembutan dan ketahanan fabriknya juga tidak boleh ditandingi menyebabkan ia menjadi pilihan bukan sahaja sebagai pakaian kasual tetapi baju tradisional bagi kaum wanita dan lelaki.

Corak-corak menarik serta rekaan yang memikat sering menjadikannya pilihan bagi dipakai semasa di pejabat, majlis makan malam dan hari-hari perayaan.

Menurut pemiliknya, Fadilah Abdul Hamid, mungkin tidak ramai menyukai memakai baju linen kerana fabrik ini mudah berkedut dan sukar dijaga. Tetapi itulah keunikannya.

"Linen terbahagi kepada banyak gred dan gred ini diukur daripada berat fabrik itu sendiri. Lagi ringan fabrik linen, lagi mahal harganya," katanya ketika ditemui di Bandar Sri Damansara baru-baru ini.

Sementara itu tambah Fadilah, kain kapas yang diperbuat daripada pokok kapas juga turut memberi tekstur yang indah sekiranya dibuat pakaian tradisional dan kasual.

"Ia memberi satu potongan yang indah dan anggun bagi si pemakai dan keselesaan yang tidak terkata terutama ketika menghadiri majlis atau berhari raya di rumah sanak saudara."

"Kebanyakan fabrik kapas dan linen yang digunakan untuk baju-baju kurung ini adalah daripada jenis kapas dan linen bermutu tinggi yang diimport dari Itali, Jepun dan Vietnam."

"Selain itu, baju kurung Serikapas mempunyai pelbagai saiz mengikut pilihan iaitu dari XS, S, M, L dan XL bagi dewasa manakala kanak-kanak mengikut usia. Coraknya ada yang berbunga-bunga, berjalur-jalur dan polos. Memang menarik dan pasti membuat seseorang teruja untuk memilikinya," jelasnya.

Adalah tidak lengkap pakaian wanita Muslimah sekiranya tidak bertudung. Sehubungan itu, Serikapas turut menawarkan pelbagai tudung pasang siap yang bergliter, berenda, berlining, bercorak, polos dan berpanel.

INFO:
Sempena hari raya ini, Serikapas membuka gerai di e-Curve Centre Court, Mutiara Damansara dan One Utama, New Wing selain premis tetapnya di Season Square, Damansara Damai dan Shah Alam.

Serikapas juga mengalu-alukan sesiapa yang ingin menjadi pengedar.

Telefon: 019-3333058

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 15, 2009

Indah Kasturi Textile

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya mahu perniagaan ini terus mekar mengharum sepanjang tahun sejajar dengan nama kedai ini, Indah Kasturi Textile. Indah membawa maksud semua yang ditawarkan di sini adalah yang terbaik dan bermutu tinggi. Kedua-dua ciri ini merupakan aspek utama dalam mengungkap istilah indah. Manakala kasturi pula merujuk buah limau yang harum baunya dan kebiasaannya bau harum kasturi disukai ramai."

Pemiliknya, Samsuri Jaafar, 35, berkata, IKT bukan hanya menawarkan kain potong dan kain kayu yang terbaru, sebaliknya turut memenuhkan kedainya dengan aneka tudung daripada fabrik bawal Nombor 1.

Kedai ini diusahakan bersama isteri tersayang, Roslina Mohd Noor, 29, dengan tingkat atas menempatkan kain kayu, telekung, anak tudung, selendang dan baju kurung siap untuk kanak-kanak manakala tingkat bawah dipenuhi dengan tudung, kain potong, kain pasang dan baju kurung siap wanita serta kerongsang.

"Bekalan kesemua tudung-tudung ini diperoleh dari Kota Baharu, Kelantan. Bukan sahaja fabrik yang digunakan bermutu tinggi iaitu bawal Nombor 1, malah batu yang digunakan juga berkualiti dengan kesemuanya dijahit agar tidak mudah tertanggal," katanya.

Antara jenis tudung yang ditawarkan di IKT ialah Manjalara, Bella, Qaisara, Mata Lalat, Air Mata dan Viva.

"Seperti tudung, kain potong yang ditawarkan di sini juga adalah yang terkini. Ini merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan kerana terdapat tujuh kedai kain di Raub," ujarnya.

Persaingan juga menyebabkan Samsuri menggerakkan beberapa strategi termasuk menjual pada harga yang lebih murah.

"Saya lebih rela mendapat sedikit untung, asalkan kedai saya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan," katanya.

Memiliki lima orang pekerja tetap, IKT yang dibuka setiap hari kini berusaha meluaskan rangkaian jualannya dengan menawarkan kepada orang ramai yang berminat menjualnya dari rumah ke rumah di sekitar Raub, Bentong dan Lipis.

"Mereka yang berminat boleh mendapatkan bekalan tudung dan kain dari IKT. Soal harga dan komisen boleh dirunding dengan menemui saya di sini."

Beliau juga membuka gerai di pasar malam pada petang Jumaat dan pagi Sabtu di Lipis manakala pada Sabtu malam minggu pula, gerainya boleh ditemui di pasar malam Benta.

Menyentuh tentang harapan dan matlamat yang ingin dicapai, Samsuri berharap IKT akan terus berkembang maju melalui pembukaan cawangan di beberapa bandar sekitar Pahang.

"Setiap usahawan mempunyai impian dan itulah harapan saya dan isteri dalam memajukan perniagaan ini," ujarnya penuh bermakna.

INFO:
Indah Kasturi Textile terletak di selekoh jalan utama di pekan Raub yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Lipis dan Jerantut di Pahang serta Kota Bharu di Kelantan.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari mulai pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, October 30, 2008

Ceburi Bidang Tekstil

(Post: Bahasa Melayu)
"Beruntung memiliki anak ramai bagaikan menyuntik semangat kerja kerasnya. Bagi Noor Kartini Noor Mohamed, 42, tiada kerjaya yang menyeronokkan selain dapat memanfaatkan peluang berniaga dalam bidang tekstil."

"Saya terpanggil untuk membuka perniagaan ini tambahan pula rekaan baju kurung di pasaran terutama baju kurung untuk kanak-kanak kurang menarik."

"Saya tidak mengehadkannya kepada kanak-kanak bahkan untuk orang dewasa kerana saya mahukan mereka cantik bergaya dengan baju tradisi," katanya lagi.

Melihat deretan baju kurung yang menarik dan eksklusif dengan hiasan manik serta labuci indah, tidak mustahil rekaannya menyerlah dalam kelasnya tersendiri dan menepati kehendak ramai.

Beriltizam menjadi pembekal kepada pemborong dan membesarkan lagi perniagannya, beliau menyandarkan harapan tinggi terhadap anak untuk meneruskan perniagaan itu.

"Saya yakin pasaran baju kurung mempunyai potensi masa depan dan sedia menghadapi persaingan."

"Butik saya menyediakan pilihan tersendiri kepada mereka yang sukakan baju kurung eksklusif untuk majlis tertentu," katanya.

Beliau memang cerewet dalam pemilihan fabrik dan pilihannya adalah bahan bermutu seperti sutera shantung dan Thai, kapas Jepun bermutu tinggi serta sifon Korea.

INFO:
Lokasi: 148 Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Telefon: 019-3138958

Sumber: myMetro
Foto:
blog MumtazLittlEgypt

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::