ATTENTION !!!

Showing posts with label manik (beads). Show all posts
Showing posts with label manik (beads). Show all posts

Wednesday, January 12, 2011

Busana de Chantek

(Post: Bahasa Melayu)
" Bermula dengan menjual tudung kepada rakan-rakan terdekat dan saudara-mara, pasangan suami isteri, Zainul Azhari dan Noor Wahidah Mustafa kini mengorak langkah ke satu lagi fasa yang lebih serius. "

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan secara 'tidak formal', pasangan suami isteri itu akhirnya mencapai kata sepakat untuk membangunkan sebuah butik dan terlibat secara langsung dengan dunia perniagaan sebenar.

Menggunakan 100 peratus modal sendiri, Busana de Chantek akhirnya beroperasi di Pusat Dagangan Seri Utama, Kota Damansara sejak bulan Jun lalu lantas merealisasikan impian Zainul dan Noor Wahidah.

"Tiga tahun lalu, kami hanya menjual tudung secara kecil-kecilan. Saya juga minta tolong sanak saudara untuk menjual koleksi tudung kami yang diambil daripada beberapa pembekal."

"Lepas itu, kami berdua membuat keputusan untuk membuka butik dan mula mencari lokasi yang sesuai. Oleh kerana kami mahu membuka butik muslimah, maka kawasan berniaga itu mestilah ramai penduduk Islam," kata Zainul.

Butik itu kini menjadi sumber pendapatan utama kepada pasangan itu kerana ia dibangunkan berdasarkan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan sedangkan mereka berdua masing-masing mempunyai karier berbeza.

Zainul bertugas sebagai pengurus jualan di salah sebuah syarikat pembekal telekomunikasi, manakala Noor Wahidah pula merupakan seorang pensyarah dalam bidang sains komputer di sebuah kolej di Cheras.

"Meskipun kami berdua bekerja di tempat lain, butik ini adalah sebahagian daripada hidup kami. Kami juga akan melawat butik yang dijaga oleh kakitangan kami pada setiap hari."

"Setakat ini, perniagaan kami berjalan dengan lancar. Meskipun masih baru, kami sudah ada beberapa pembeli tetap."

Mengulas mengenai koleksi tudung dan jubah yang dijual, Noor Wahidah memberitahu, mereka mengambil stok tudung di beberapa syarikat pembekal, manakala jubah pula diimport dari Vietnam.

Katanya lagi, meskipun tudung itu diambil dari pembekal, dia dan suaminya turut memberikan pandangan dan rekaan yang mereka inginkan agar kelihatan lebih menarik.

"Kami sering memberikan rekaan yang sendiri kepada pembekal. Jubah pula kami cantikkan dengan menjahit manik untuk kelihatan lebih menarik."

Konsep butik: Konsep sederhana dan ringkas menjadi pilihan butik Busana de Chantek.

Menawarkan: Selain menjual koleksi tudung, jubah, baju kurung dan telekung, Busana de Chantek turut menjual blaus serta pakaian kanak-kanak. Dalam masa yang sama turut menawarkan tempahan hantaran perkahwinan dan jahitan manik.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, August 31, 2009

Indahnya Sulaman Manik Gemalai Nyior

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun pada pandangan mata orang ramai jahitan manik ini satu kerja yang rumit tetapi ia akan menjadi satu kerja yang mudah apabila setiap hari kita membuatnya. Ia tidaklah sesusah mana yang disangkakan asalkan anda minat dan tekun, pasti ia dapat dilakukan dengan mudah."

Seni sulaman manik bukan sahaja boleh dijahit di baju malah ia boleh menghiasi beg, alas meja, topi dan sebagainya.

Bagi pemilik Gemalai Nyior, Norfazilah Samsudin, walaupun kerja menjahit manik satu kerja yang rumit tetapi ia boleh mendatangkan hasil yang lumayan.

"Sebenarnya kerja menjahit manik ini memang boleh membuat duit terutama apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya."

Mesra disapa dengan panggilan Zila, anak kelima daripada enam beradik ini sememangnya meminati bidang jahitan apabila beliau mula mempelajari bidang tersebut sejak di bangku sekolah.

Sambil tangannya laju menyiapkan tempahan yang tak putus-putus diterima, Zila berkata, beliau bersyukur kerana kemahiran yang dimilikinya ini banyak membantu menjana pendapatan keluarganya.

Menceritakan pengalaman awalnya terlibat dengan perniagaan ini, Zila yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, terus mendalami bidang jahitan setelah tamat tingkatan lima di Giat Mara, Titiwangsa selama enam bulan.

Tidak berpuas hati hanya sekadar memperoleh sijil, Zila terus menyambung pelajaran di Yayasan Negeri Sembilan selama satu setengah tahun lagi untuk mendapatkan pra diploma.

Selepas itu dia menjalani latihan amali di Amin Jauhari yang terletak di Kompleks Pertama selama tiga bulan dan khusus di dalam jahitan manik.

Perjalanan pembelajaran tidak tamat setakat itu kerana Zila terus mengorak langkah dengan memulakan kerjaya di Nur Arfa Batik di Medan Tunku selama setahun sebelum bekerja di Butik Pengantin Azue di Jalan Tunku Abdul Rahman selama satu tahun.

Akhirnya setelah menimba ilmu dan pengalaman, Zila membuat keputusan untuk membuka butik idamannya pada 15 Mei 2009.

Kini berbekalkan kemahiran menjahit yang ada padanya, beliau bukan sahaja mampu mengambil upah menjahit manik malah Zila turut menerima pelbagai tempahan baju termasuk baju pengantin baik perempuan mahupun lelaki.

"Alhamdulillah, walaupun butik Gemalai Nyior ini baru dibuka, saya sudah menerima banyak tempahan."

"Saya akan memastikan setiap baju yang dijahit serta jahitan manik yang dihasilkan akan memenuhi cita rasa dan kepuasan pelanggan," jelas Zila.

Selain baju, Zila turut menjahit tudung manik dan ia dijual di butiknya hinggakan tidak menang tangan menyiapkan tempahan, terutama menjelang musim perayaan dan juga majlis perkahwinan.

Sambil menunjukkan beberapa baju yang sedang disiapkannya, beliau berkata, setiap hari mampu menyiapkan antara empat hingga lima pasang baju kurung bagi jahitan mudah manakala ada yang mencecah berminggu-minggu bagi yang sarat sulaman manik.

Bagi mengikuti arus fesyen semasa, Zila sentiasa mencari idea terbaru bagi menghasilkan jahitan manik yang lebih eksklusif termasuk menambah beberapa aksesori sampingan seperti labuci.

INFO:
Telefon: 013-6166632

Lokasi butik: No. 40-1-1, Jalan Megan Setapak, Sri Rampai, Kuala Lumpur

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 31, 2008

Manik Pinakol

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukan dipaksa atau terpaksa, minat membuat kraftangan manik sememangnya terbit secara semula jadi dalam diri ibu muda ini."

Di rumah panjang itulah dia dibesarkan dan belajar mengenal erti hidup.

Rumah panjang yang terletak di Kampung Tinangol, Kudat, Sabah itu memang terpencil dan sukar untuk dijejaki jika tiada pemandu pelancong yang membawanya.

Namun di situlah tempat Erllin Agunchai, 25, membesar dan menghabiskan hampir seluruh waktu siangnya membuat kraftangan yang berasaskan manik.

Berpusat di sebuah bengkel yang didirikan khas, setiap hari Erllin bersama dua anak perempuannya, Elvera, 6, dan Elfey Ferra, 2, akan membuat kraftangan manik.

Di situlah juga manik yang telah dicantumkan menjadi barangan perhiasan akan dijual kepada pelancong yang sampai ke kampung mereka.

Dalam sehari Erllin mampu menghasilkan lebih dari tiga perhiasan yang diperbuat daripada manik. Sebagai suri rumah dan pengusaha manik sepenuh masa, Erllin mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan.

Setiap corak yang dihasilkan adalah mengikut kreativiti mereka sendiri. Perhiasan seperti rantai dibahagikan beberapa nama seperti litai Sabah, litai Venusak, tinutu (corak tradisi), inavol dan pinakol.

Antara produk daripada manik yang dihasilkan termasuklah gelang, rantai, kerongsang, balutan pen dan macam-macam lagi.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::