ATTENTION !!!

Showing posts with label kain kapas. Show all posts
Showing posts with label kain kapas. Show all posts

Tuesday, September 21, 2010

Chomel Outlet Store

(Post: Bahasa Melayu)
" Seronok melihat telatah dua kanak-kanak perempuan iaitu Farhana Arissa Mohd. Fajri, 5, dan Nylea Natasha Mohd. Nizam, 7, yang langsung tidak kekok apabila berhadapan dengan lensa kamera. "

Meskipun lokasi penggambaran diadakan di luar premis dan di bawah panas terik, mood mereka tidak pernah terbantut.

Lebih istimewa, kanak-kanak itu tidak perlu diajar untuk memberi gaya menarik. Aksi mereka cukup spontan seperti sudah biasa menghadiri sesi fotografi.

Menyarung baju kurung fabrik kapas Chomel Outlet Store, fesyen baju tersebut cukup ringkas dan sesuai dengan sifat kanak-kanak yang lasak.

Disokong penggunaan tekstil yang tidak membuatkan pemakai berasa rengsa akibat panas, penampilan menjadi bertambah manis dengan sulaman bunga di bahagian pergelangan tangan.

Disebabkan tidak mahu kelihatan terlalu ringkas, kain yang dipadankan dengan baju kurung tersebut mempunyai unsur corak yang berpetak.

Chomel Outlet Store yang terletak di Lembah Keramat, Kuala Lumpur memuatkan pelbagai fesyen menarik, cantik dan ideal buat si ibu yang mahu melihat anak-anak mereka melaram sakan pada hari lebaran.

Kebanyakan pakaian yang terdapat di situ mempunyai unsur fesyen golongan dewasa. Hakikatnya, bukan orang dewasa sahaja yang layak bergaya, malah kanak-kanak juga kini mahu kelihatan cantik dan berketrampilan.

Saat paling menggembirakan bagi dua model cilik itu ialah apabila mereka berpeluang memperagakan gaun. Tidak lekang dengan senyuman, gaun itu sesuai dipakai saat bertandang ke rumah terbuka.

Kanak-kanak seusia mereka kelihatan lebih eksklusif jika bijak mengenakan aksesori bersesuaian seperti cekak rambut, rantai tangan dan beg tangan.

Gaya ranggi pula cukup sekadar mengenakan skirt jean pendek dan baju tanpa lengan. Si cilik akan lebih selesa sekiranya mereka diberi kelonggaran memakai pakaian yang tidak terlalu labuh.

Bagaimanapun, pastikan anak-anak tidak kerap memakai selipar. Mereka lebih kemas dan comel jika menyarungkan kasut berpotongan feminin.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, April 29, 2010

Jahitan Kain Kapas Zila Kasim

(Post: Bahasa Melayu)
" Kalau sudah minat, apa pun sanggup dibuat. Mungkin itulah gambaran kesungguhan Ruzila Kasim, 34, apabila tidak pernah lekang dengan mesin jahit, majalah-majalah jahitan kreatif, kain kapas, benang dan komputer riba. "

Semua itu adalah keperluan hobinya iaitu menghasilkan pakaian, beg, selimut atau sebarang perhiasan menggunakan kain kapas. Lebih menarik, ilmu yang diperoleh itu tidak pula disimpan sendiri, kerana Ruzila memuatkan segala pengetahuannya di dalam blog miliknya.

Sekiranya anda melayari blog itu, pasti anda teruja melihat kesungguhan wanita tinggi lampai tersebut mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat mengenai jahitan kreatif termasuk menyalin kandungan majalah-majalah berkenaan untuk tatapan pembaca blognya.

Semua itu percuma. Pada Ruzila, tidak rugi berkongsi ilmu terutama dengan blogger lain yang mempunyai minat sama kerana mereka boleh bertukar-tukar pendapat dan idea mengenai jahitan kreatif dan menjual produk masing-masing secara dalam talian.

"Setiap hujung minggu saya akan sibuk menyiapkan hasil jahitan, apatah lagi apabila mendapat idea baru atau kaedah-kaedah baru daripada majalah-majalah yang saya beli."

"Selain itu, saya juga akan mengangkut mesin jahit ke rumah orang yang ingin mempelajari teknik jahitan kreatif. Tetapi kelas jahitan terhad pada hujung minggu sahaja memandangkan saya bekerja," kata pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat pemaju itu.

Menurut Ruzila, hobi menjahit timbul sejak tahun 2006 selepas dia terbaca mengenai jahitan kreatif di Internet sebelum mengambil keputusan memasuki kelas jahitan kreatif di Pusat Latihan Kraftangan Epal di Puchong, Selangor.

"Selepas memperoleh sijil jahitan, saya semakin seronok mengisi masa senggang dengan hobi ini dan mula mewujudkan blog khas untuk mengumpulkan segala pengetahuan yang saya ada mengenainya."

"Tetapi, tutorial di dalam blog saya sahaja tidak cukup sekiranya seseorang itu mahu terlibat secara serius di dalam bidang jahitan kreatif. Mereka mesti mendalaminya secara praktikal untuk mahir," katanya.

Jangan hanya disebabkan menjahit adalah satu pekerjaan tradisional, maka ia dilihat sebagai hobi murah. Menurut Ruzila, jahitan kreatif tidak seperti jahitan biasa kerana material yang digunakan berganda mahalnya walaupun hanya semeter kain kapas.

"Untuk menghasilkan jahitan kreatif yang berkualiti dan tahan lama, kain kapas yang terbaik digunakan. Harga kain kapas yang paling murah mencecah RM40 semeter dan kebanyakannya diimport dari Jepun."

"Saya juga memiliki empat buah mesin jahit. Paling murah berharga kira-kira RM3,000 dan paling mahal ialah mesin jahit jenama Bermina dari Switzerland yang saya beli tahun lalu. Harganya RM25,000 serta mempunyai fungsi jahitan sulaman automatik," katanya.

Menurut Ruzila, sebuah beg kain kapas yang dihasilkan boleh mencecah harga RM300 setiap satu, bergantung kepada jenis material dan corak, manakala harga sehelai selimut untuk saiz kanak-kanak paling murah ialah RM150.

"Kain kapas yang berkualiti tidak mudah luntur warnanya atau terbakar apabila diseterika berbanding kain kapas yang murah. Ia juga tidak mudah didapati di kedai-kedai kain biasa tetapi mempunyai pengedarnya sendiri."

"Bagaimanapun, majalah-majalah jahitan kreatif amat mudah didapati di pasar raya Jusco dan kedai buku MPH. Harganya pula tidak mahal jika dibandingkan dengan produk jahitan yang dihasilkan," katanya yang mencadangkan majalah Female, Cutton Friend dan Cucito untuk teori jahitan kreatif.

Tambah Ruzila, walaupun sudah membelanjakan puluhan ribu ringgit, dia masih belum puas berhabis untuk hobinya itu. Dia bercadang untuk membeli sebuah lagi mesin jahit automatik berharga lebih RM30,000 yang sudah lama diidam-idamkan.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, December 14, 2009

Hilyah Islamic Designs

(Post: Bahasa Melayu)
"Mendapatkan baju-T yang bersesuaian serta menutup aurat pasti agak sukar kerana tidak ramai pengeluar yang menjadikan produk itu sebagai satu perniagaan."

Malah tidak dapat dinafikan kebanyakan baju-T kini mengikut fesyen semasa tetapi amat jarang rekaan yang dihasilkan memenuhi keperluan wanita Muslimah.

Bagi pemilik Hilyah Islamic Designs (Hilyah), Latifah Hussein, salah satu faktor untuk memulakan perniagaan berasaskan pakaian Muslimah adalah maklum balas daripada pelanggan terutama ibu bapa yang sukar mendapatkan baju-T rekaan Muslimah untuk anak mereka.

Dari situ, timbul minat untuk mengusahakan rangkaian produk pakaian Muslimah seperti diketengahkan syarikatnya itu.

"Saya suka melakukan sesuatu yang baru dan berlainan daripada orang lain. Tidak timbul banyak persaingan sekiranya menjalankan perniagaan berlainan daripada orang lain."

"Sebagai pengeluar tunggal, kita juga dapat memastikan kualiti barangan dihasilkan mengikut piawaian diingini," katanya lagi.

Pasangan ibu dan anak kini boleh mendapatkan baju-T Muslimah keluaran Hilyah yang diperbuat daripada 100 peratus kain kapas bagi memberi keselesaan maksimum kepada mereka.

"Kain yang digunakan tidak terlalu tebal dan mudah menyerap peluh dan ia amat sesuai digayakan dalam pelbagai keadaan cuaca," katanya.

Malah katanya, corak dihasilkan juga akan diubah dalam jangka masa tertentu memandangkan kepekaan pengguna terhadap fesyen terkini.

"Bagaimanapun, kebanyakan corak baju-T berkenaan lebih ringkas kerana benang kain yang diperlukan hanya akan dihasilkan sekiranya mempunyai tempahan."

"Kos pengeluaran juga akan meningkat sekiranya ditambah rekaan tertentu dan untuk mengelakkan perkara itu, Hilyah lebih mementingkan corak ringkas," katanya.

Di samping itu, setiap baju-T keluaran Hilyah mempunyai sulaman bunga dan perkataan di bahagian tepi baju setiap koleksi yang disampaikan sebagai mesej kepada pengguna secara tidak langsung.

"Selain berniaga, kami tidak lupa untuk beramal dan ini adalah cara digunakan untuk mengingatkan sesama Islam dalam menyumbang kepada perkembangan agama itu sendiri," katanya.

Sumber: myMetro
Foto:
Hilyah

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, September 28, 2009

Kain Kapas AZZARACOTTONS

(Post: Bahasa Melayu)
"Pelanggan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan barangan yang telah dibeli. Dengan perkhidmatan pos laju, proses penghantaran cuma mengambil tempoh sehari untuk tiba di depan rumah anda."

Sebaik sahaja menekan tetikus untuk melayari blog milik seorang ibu muda, Farah Nini Mohd. Zahir, 28, ada sesuatu yang menjentik hati anda.

Blog itu memaparkan pelbagai jenis corak fabrik kapas berwarna-warni yang cukup mempesonakan.

Warna-warna garang pada fabrik dan coraknya, selain jenis kain yang dijual iaitu cotton voile dan japanese cotton pasti membuatkan anda terus teruja untuk melayari setiap paparan blog tersebut.

Dari segi rekaan hiasan blognya, AzzaraCottons, Farah memilih rona yang tidak terlalu banyak. Cuma warna merah, hitam, putih dan merah jambu menjadi latarnya.

"Saya memang sukakan sesuatu yang ringkas tetapi menarik. Lagipun, saya banyak mengiklankan kain yang ingin dijual. Jadi, kalau laman itu terlalu banyak warna ia akan kelihatan berserabut."

"Maka memadailah dengan paparan yang tersedia, ia ringkas dan mudah difahami," katanya.

Idea untuk memulakan blog sendiri tercetus apabila dia berhasrat untuk meneruskan perniagaan jahitan dan menjual kain milik ibunya. Pada masa yang sama, Farah turut memikirkan cara untuk mencari pendapatan yang bermula dari rumah.

Lantas, dia merasakan apa salahnya memikirkan alternatif lain untuk mengembangkan lagi perniagaan butik ibunya melalui saluran teknologi maklumat.

"Dahulu saya seorang jurutera di salah sebuah kilang di Kulim, Kedah. Selepas melahirkan anak kembar, saya mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk membesarkan anak."
"Kalau saya terus bekerja di sana, ia akan menimbulkan banyak masalah kerana suami bekerja di Kuala Lumpur."

"Itulah antara sebab saya sanggup mengorbankan kerjaya dan mengambil keputusan untuk ada blog sendiri dengan menjual kain-kain kapas," cerita Farah yang merupakan anak jati Kuala Lumpur.

Lagipun, permintaan terhadap kain kapas semakin diminati kerana keselesaannya. Tambahan pula kain kapas itu dihiasi dengan corak-corak serta rekaan menarik, sekali gus menjadikannya antara pilihan di kalangan wanita berkerjaya.

Sesuai dengan cuaca yang panas, pakaian kain kapas selesa digayakan kerana mudah menyerap peluh dan tidak berbau. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sering melakukan tugasan di luar pejabat.

Menariknya, Farah bukan sahaja menjual kain. Dia turut menawarkan baju kurung siap dijahit yang boleh didapati dalam pelbagai saiz iaitu S, M, L dan XL pada harga RM190 sepasang.

Farah mengakui bahawa dia cukup gembira. Tambahan pula blog tersebut baru berusia tiga bulan. Rata-rata peminat kain kapas yang tinggal berdekatan lebih selesa bertandang terus ke butik yang terletak di Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

"Pada peringkat awal pengenalan blog ini, saya memang gembira kerana banyak menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) atau terus dihubungi oleh pelanggan."

"Apabila kita dapat maklum balas yang menyatakan barangan yang dijual itu cantik dan sebagainya, saya rasa lebih bersemangat untuk menyediakan kain-kain yang lebih cantik coraknya," ulasnya mesra.

Blog tersebut bukan sahaja menerima tempahan. Jika anda ingin membuat kejutan kepada kekasih, Farah turut menerima khidmat membalut untuk dijadikan hadiah istimewa.

Selain menjual kain, pelanggan yang ingin membuat tempahan baju kurung juga boleh berbuat demikian dengan bayaran hanya RM70.

"Kalau datang ke kedai, memang boleh terus ukur badan. Jika melalui blog, pelanggan boleh hantar ukuran badan kemudian kami akan jahit," ujarnya.

Menurut Farah, perniagaan itu memerlukannya membawa masuk 1,000 meter fabrik kapas setiap tiga bulan sekali. Material itu diimport daripada beberapa buah negara seperti Vietnam, India dan Dubai.

Perniagaannya itu juga menerapkan konsep kebebasan kepada pembeli. Mereka boleh membuat tempahan berdasarkan berapa meter yang diinginkan.

Lebih istimewa, pembeli berpeluang melangsaikan bayaran menerusi ansuran dua kali untuk fabrik berjumlah RM200 ke bawah.

Bayaran ansuran sebanyak tiga kali akan diberikan untuk fabrik berharga RM250 ke atas.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::