ATTENTION !!!

Showing posts with label hiasan dalaman. Show all posts
Showing posts with label hiasan dalaman. Show all posts

Wednesday, January 19, 2011

Kafe Six Point River Side

(Post: Bahasa Melayu)
" Sentuhan unik persis taman rimba belantara sejati adalah elemen dekorasi menawan cukup kreatif. "

Pelataran suasana ruang berkonsep Nusantara menggambarkan Kafe Six Point River Side di Kampung Koskan, Jalan Sungai Buaya di Rawang destinasi menjamu selera yang mampu membangkitkan aura keaslian semula jadi.

Justeru, sebaik melangkah kaki ke sini, pasti raut wajah pengunjung disapa damai bayu segar dari anak sungai di sebelah kafe yang mempunyai keluasan setengah hektar.

Pengarah Urusannya, Roslan Abu, berkata sesuai dengan nama premis menjamu selera yang digubah itu, beliau menterjemahkan minat dalam seni hiasan dalaman pada setiap ruang di sini.

Beliau berkata, pengunjung akan sentiasa 'dibuai' keasyikan selesa menjamu mata dengan dekorasi indah nan menawan.

"Penggunaan bahan terbuang dan terpakai seperti tempayan, pasu, botol kaca dan kayu hanyut mampu menyerlah seri segenap ruang seperti bahagian dapur, meja pramusaji, kaunter bayaran dan sudut barbeku dan kaunter ikan bakar."

"Pengalaman 14 tahun bekerja sebagai tukang masak di beberapa hotel terkemuka di ibu negara banyak memberi idea mencipta seni gubahan di kafe yang beroperasi sejak empat tahun lalu."

"Ketika menjenguk ke sini, pengunjung pasti gembira melihat susunan kerusi dan meja yang bersulamkan pelbagai komponen hiasan dalaman seperti tempayan, alat muzik tradisional di dinding dan ukiran gantung menawan," katanya.

Menurutnya, mengimbau zaman retro lalu, beliau mempamerkan sebuah basikal tua klasik dan motosikal era 1970-an yang tampak masih segar dan mempesonakan.

Katanya, konsep Nusantara yang diketengahkan ini turut memuatkan sentuhan lain seperti mini wakaf kayu berbidai kain halus sekelilingnya.

"Menggunakan kayu terpakai, saya turut membina medan tinjau bersebelahan anak sungai bagi pengunjung bersantai memerhati keindahan alam semula jadi di kawasan ini."

"Kolam ikan hiasan turut dibina sekeliling wakaf kayu bagi menempatkan aneka ikan hiasan yang bermain riang 'menghiburkan' tetamu," katanya.

Menyentuh penggunaan tumbuhan hijau, katanya, pokok keladi, serai wangi, puding dan balung ayam turut ditanam dalam pasu menyentuh kolam hiasan berdekatan wakaf berkenaan.

Katanya, beberapa pokok sakat sarang burung dan paku pakis langsuyar digantung bebas di tiang wakaf dan anjung tinjau.

Beliau membelanjakan kira-kira RM40,000 mengubah suai taman dalam kafe itu agar kelihatan indah dan kemas.

Katanya, bagi menimbulkan 'mood' keselesaan dan romantik, beliau menggunakan lampu hiasan bahagian syiling terbuka dan tiang seri turut digunakan.

Penggunaan atap nipah dan rumbia dalam keseluruhan struktur kafe berkenaan mampu memberikan teduhan selesa.

Selain itu, sebatang pokok kelapa pandan ditanam segar dalam pekarangan anjung selera agar memberikan signifikan tersendiri kepada peminat alam semula jadi.

Berdekatan bahagian dapur, beliau turut menggantung sebuah bubu ikan terpakai.

Katanya, kafe itu sentiasa menjadi tarikan ramai pengunjung terutama peminat hiasan dalaman.

"Ramai pelanggan dari luar seperti Damansara, Selayang, Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur berkunjung setiap minggu."

"Selain penataan ruang kemas, saya sentiasa memastikan pelbagai juadah hidangan lazat, enak dan menyegarkan disajikan kepada pengunjung," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: Eats.my

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 13, 2011

Anyaman dan Ukiran Kraftangan Sarawak

(Post: Bahasa Melayu)
" Kraftangan Sarawak yang dahulunya hasil seni yang dibuat pada masa lapang, kini berubah situasi apabila pembuatannya dilakukan secara serius dan keunikannya mendapat perhatian hingga ke luar negara. "

Bantuan daripada Kraftangan Malaysia dari segi prasarana, peralatan dan kelengkapan bengkel, bimbingan teknikal, rekaan baru dan promosi domestik juga banyak membantu pengusaha kraftangan dalam usaha mengekalkan warisan dan mengembangkan kraf tangan Sarawak ke pasaran yang lebih luas.

Perjalanan penulis ke negeri Sarawak, menemui pengalaman yang ternyata memberi persepsi baru terhadap kraftangan di negeri itu yang dilihat sememangnya unik dan mempunyai potensi besar di pasaran.

Ada antara hasil kraftangan Sarawak dari kalangan 30 etnik kaum itu membawa penghayatan yang baru dan segar untuk menarik minat pengumpul hasil kraftangan.

Seorang pengusaha anyaman pandan, Missiah Dan, 53, membuktikan kerja tangannya mampu menembusi pasaran Qatar, di Timur Tengah.

Ketika ditemui di kampungnya dekat Kampung Rangawan, Sadong Jaya, Samarahan, beliau baru sahaja menyiapkan alas meja untuk pelanggan dari negara itu.

"Saya siapkan alas meja ini sejak tiga bulan yang lepas, dan ia akan dihantar terus ke Qatar melalui pos," katanya.

Usaha Missiah mendapat bantuan prasarana, bimbingan teknikal, rekaan baru serta promosi domestik daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.

Selain alas meja itu, beliau juga menyiapkan 12 keping alas pinggan dan alas meja bersaiz sederhana untuk pelanggan yang sama.

Menurut Missiah, menembusi pasaran luar adalah bonus dan bukti produk warisan negara menarik dan berkualiti.

"Setakat ini, urusan promosi produk yang dibantu pihak Kraftangan Malaysia menerima banyak tempahan dari organisasi dan juga persatuan," katanya.

Anyaman Pandan

Missiah berkata, para pekerjanya diambil dari empat buah kampung di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang membantu membuat anyaman pandan.

"Setakat ini ada enam pekerja tetap di bengkel, tetapi kalau nak diikutkan, ada kira-kira 30 orang yang membantu membuat anyaman di rumah sendiri di bawah program SDSI daerah."

"Dalam masa satu bulan, kami boleh siapkan sehingga 200 unit beg duit, dan juga kira-kira lima anyaman keping yang memerlukan kira-kira 20 kilogram daun pandan," katanya.

Setakat ini mereka mengeluarkan lebih 10 jenis produk termasuk kusyen, beg bimbit, tikar hamparan, alas pinggan dan meja.

Beliau turut mengakui bidang tersebut memerlukan semangat yang lebih daripada bakat.

"Perkara ini penting, terutama dalam memilih pekerja bengkel," katanya.

Usahawan itu menambah, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum proses anyaman yang sebenar bermula.

"Mula-mula, daun pandan yang hendak digunakan harus dipilih daripada yang berusia setahun lebih. Duri-duri akan dibuang bagi mendapatkan saiz yang dikehendaki."

"Kemudian ia perlu direbus selama lima minit sebelum diangkat dan disejukkan dengan merendamkannya semalaman," terang Missiah yang menambah bahawa keesokannya, daun itu perlu dicuci dan dijemur sehingga kering dan bergulung.

Untuk meluruskannya semula, Missiah berkata, ia perlu diembun atau disejukkan semalaman sebelum diluruskan menggunakan buluh atau besi.

Setakat proses itu sahaja, tempoh sehingga tiga hingga empat hari dihabiskan namun itu belum lagi mengambil kira proses pencelupan bagi tujuan mewarna dan menganyam.

Sementara proses pencelupan mengambil masa sehingga tiga hari, proses anyaman hanya akan berlaku pada hari ketujuh.

Kerja anyaman juga bukan sesuatu yang mudah. Ia juga memerlukan masa yang panjang agar tumpuan dapat diberikan demi memastikan ia berkualiti.

Menurut beliau, anyaman pandan boleh dikatakan produk kedua yang mendapat perhatian ramai kerana produknya yang lebih murah malah tahan lama.

"Jika tidak terkena air, ia boleh tahan bertahun-tahun lamanya. Produk anyaman paling berkualiti adalah yang dibuat daripada daun bemban. Bagaimanapun, kos untuk membuatnya jauh lebih mahal, jadi banyak yang memilih daun pandan," katanya.

Seni Ukiran Buluh

Sementara itu, Edwin Sijan, 46, meneruskan seni ukiran buluh warisan Bidayuh dan walaupun banyak produk kontemporari baru yang direka, setiap satu produk itu mesti mempunyai motif yang sama.

"Sekarang ada produk baru seperti lampu meja, tabung dan Bilah lima kaki dan empat kaki, tetapi setiap produk itu mesti ada corak daun kemijing," katanya yang menjadi penyambung generasi ketiga keluarganya.

Promosi dan Rekaan

Kraftangan Sarawak membantu beliau dari segi prasarana, promosi domestik dan rekaan baru sejak menceburi bidang kraf tangan secara serius 20 tahun lepas dan mendapati bidang itu semakin mendapat perhatian kerana keunikannya.

"Penjualan sekarang bagus, dan untuk pasaran masa depan, saya rasa keadaan akan menjadi semakin baik. Ini berikutan produk yang kami buat adalah terhad dan tidak banyak lagi produk yang mempunyai corak asli Bidayuh," katanya.

Beliau berkata, buluh Baloi yang digunakan untuk dijadikan produk kraf hanya terdapat di Kampung Pichin, Serian dan ia dipilih kerana keunikannya.

"Buluh ini berkilat dan mudah untuk diukir. Ia tahan agak lama. Jika dijaga dengan baik, boleh tahan sehingga lima tahun."

"Buluh yang boleh digunakan haruslah dalam lingkungan empat ke lima bulan. Setelah diambil, ia harus direndam selama satu minggu dan kemudian perlu dikeringkan lagi supaya ia tahan lama," katanya yang menambah, proses berikutnya adalah mengukir yang memerlukan sekurang-kurangnya dua hari.

Tambah Edwin, disebabkan keunikan dan prodknya yang berkualiti, ramai yang berminat untuk menempah termasuk daripada warga Jepun.

"Sayangnya, kuantiti pengeluaran masih terhad," katanya.

Edwin memberitahu, produk kraf berasaskan buluh paling diminati para pelancong asing. Namun, produk itu kebanyakannya tidak dapat dieksport kerana faktor serangan serangga.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan penjualan, dan pada masa depan saya harap dapat merealisasikan impian untuk meluaskan lagi pasaran," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 7, 2011

Hiasan Kraf Pasu Comel

(Post: Bahasa Melayu)
" Perkembangan memberangsangkan hiasan dalaman memungkinkan kemunculan pelbagai produk menarik namun pada akhirnya, pembelian berbaloi ditentukan keupayaan menentukan pilihan barangan bertepatan cita rasa dan karektor kediaman. "

Begitupun, bagi mereka yang kreatif serta ingin mengetengahkan sentuhan peribadi, membuat sendiri aksesori rumah dianggap penyelesaian terbaik.

Selain berpeluang menunjukkan bakat dan kemahiran, menyediakan sendiri perhiasan rumah juga menjimatkan belanja, menyerlahkan identiti hias selain ia satu-satunya dihasilkan menerusi imaginasi serta kreativiti peribadi.

Bagi yang baru ingin mencuba kaedah ini, apa kata ikuti langkah membuat pasu comel seperti ditunjuk ajar pemilik JCVK-inspire, Joanna Chang.

Hanya berumpankan bahan terbuang dan mudah didapati, kata Joanna, gubahan disediakannya amat ringkas kerana mengambil masa singkat untuk disiapkan.

"Bergantung kepada minat dan kesungguhan, saya percaya masa paling lama untuk sebuah gubahan siap adalah kira-kira 15 minit. Itupun kerana membabitkan proses membentuk serta menggunting selain terpaksa menunggu gam kering sebelum meneruskan langkah selanjutnya," katanya.

Katanya lagi, bahan yang mungkin perlu dibeli adalah tanah liat khusus untuk kraf, kain felt (kain diperbuat daripada gentian) serta klip kertas manakala selebihnya berupa bahan kitar semula termasuk pasu hiasan aluminium, kapas, dawai dan riben.

"Seperti seni kraf lain, proses menyediakan aksesori rumah turut menuntut kreativiti. Satu bonus bagi yang memiliki naluri serta sentuhan seni, kerana bentuknya berupaya dipelbagaikan."

"Bahan kitar semula yang sama pula boleh digunakan berulang kali bagi menghasilkan produk yang lain," katanya yang menjual produk iClay, iaitu produk kraf berasaskan tanah liat diimport dari Korea di pasar raya besar Giant Bandar Kinrara.

Produk berkenaan banyak memberi inspirasi buat Joanna mencipta pelbagai ilham barangan rumah dan ole-ole majlis istimewa seperti sambutan hari jadi, perayaan dan majlis perkahwinan.

Pasu kecil berhias bunga dan klip kertas ilham Joanna sesuai dijadikan penyeri meja kerja dan sudut strategik kediaman.

Bagi membuatnya, anda perlu menyediakan kain felt (warna bergantung cita rasa), gunting, gam, riben, dawai keras serta mudah lentur, klip kertas, tanah liat kertas (paper clay) dan kapas, manakala hiasan pom-pom berfungsi menyemarakkan gubahan.

Cara Membuat:

1. Kertas felt digunting bentuk bunga dan gam dawai di belakangnya berfungsi sebagai tangkai bunga.

2. Lilit penuh tangkai itu menggunakan dawai lembut, tinggalkan sebahagian untuk proses membentuk daun. Lekat kertas bergunting bentuk daun di situ.

3. Langkah membuat tanahnya - masukkan tanah liat kertas ke dalam pasu dan tekan sampai mampat. Cucuk bunga kertas felt tadi (maksimum tiga tangkai) sebelum meletak kapas khusus menutupi bahagian mengandungi tanah liat.

4. Riben dan klip kertas ditampal pada bahagian belakang bunga dan hiasan pom-pom yang dilekat secara rawak di kapas berupaya mencantikkan lagi hiasan pasu comel anda.

5. Gubahan siap.

INFO:
Seni kreatif ini mampu membantu menjana pendapatan tambahan buat sesiapa yang mahu mencuba. Keterangan lanjut mengenai kraf tanah liat, email kepada jcvk-inspire@hotmail.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 14, 2010

Pusat Inkubator Kraf Buluh

(Post: Bahasa Melayu)
" Buluh sebagai sumber alam yang banyak di negara ini berpotensi menjadi bahan kraftangan yang bukan saja cantik, tetapi berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa. "

Secara semula jadinya, buluh juga adalah sumber antibakteria, antikulat, hipoelergenik dan lebih bersih berbanding fabrik konvensional serta melepaskan lebih banyak oksigen berbanding pokok, tetapi kurang memerlukan air dan mudah dijaga.

Dari segi alam sekitar, penanaman buluh bertujuan mengawal hakisan tanah kerana akar yang tebal dan keras bertindak sebagai pengikat tanah yang kuat seperti peribahasa bagai aur dengan tebing.

Daripada 1,250 spesies di seluruh negara, 70 spesies buluh atau nama saintifiknya bambusa sp sudah dikenal pasti dengan 13 spesies digunakan secara meluas dalam industri kecil dan kraftangan.

Bagi pembuatan kraftangan, pemilihan buluh yang sesuai penting bagi memastikan kualiti kraftangan dengan faktor utama yang perlu dijaga adalah umur, ketebalan dinding dan panjang ruas.

Perabot buluh misalnya, menggunakan teknologi moden dan inovasi yang dimanfaatkan bukan saja kegunaan dalam rumah tetapi juga industri landskap dan seni taman yang biarpun bercirikan tradisional, tetapi kaya sentuhan kontemporari dan memenuhi konsep suai padan.

Namun, industri kraftangan negara tidak boleh di takuk lama dan perlu berdaya saing dengan produk negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang disifatkan lebih maju dari segi teknologi dan reka bentuk.

Sehubungan itu, usaha Kraftangan Malaysia memajukan kemahiran dan ketukangan tradisional serta mewujudkan standard kraftangan buluh, sememangnya dialu-alukan.

Agensi itu menyediakan program bimbingan rekaan menerusi bengkel khusus bagi pembangunan produk buluh untuk membantu usahawan menghasilkan rekaan, lebih pengetahuan mengenai bahan dan penggunaan peralatan, proses pengeluaran dan kemasan produk.

Penubuhan Pusat Inkubator Kraf Buluh di Simpang Pertang, Negeri Sembilan, yang menyediakan latihan jangka pendek kepada usahawan kraftangan juga adalah antara strategi bijak bagi memperkasakan industri ini.

Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Zakiah Ahmad, berkata pusat yang beroperasi sejak Mei 2009 di kawasan seluas 1.2 hektar itu, terbabit dalam pembangunan produk kraftangan buluh, penyediaan dan pemprosesan bahan buluh, menyediakan latihan pendek dan memajukan produk bersama usahawan untuk dijadikan produk contoh di pasaran.

Antara kemudahan mesin di pusat yang berciri seni bina Minangkabau ialah pemotong bilah buluh, penebuk lubang, ketam, perata, pengering serta bilik kemasan dan bengkel mengawet buluh.

"Pusat ini memberi peluang kepada pengusaha mempromosikan kraftangan buluh yang selama ini kurang mendapat publisiti. Ramai pengusaha kraf buluh terutama di negeri ini gagal memasarkan produk kerana kurang promosi serta tidak tahu cara memasarkan produk dan tiada tapak untuk menjual produk mereka."

"Pembukaan pusat ini mampu meningkatkan kualiti produk kerana usahawan yang mengikuti kursus disediakan dapat memanfaatkan pengetahuan baru itu untuk menghasilkan kraf buluh yang bukan saja menarik, tetapi berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran," katanya katanya, selepas perasmian pusat itu yang disempurnakan Menteri Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, baru-baru ini.

INFO Tip jagaan perabot buluh:
1) Gunakan berus bulu lembut atau kain bagi membuang habuk, sekurang-kurangnya sekali seminggu.

2) Elak tumpahan air atau cecair di atas perabot dan jika berlaku, segeralah membersihkannya.

3) Gunakan kain atau span yang dicelup dalam air sabun bagi membersihkan perabot buluh.

4) Elak penggunaan sabun pencuci mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan permukaan perabot buluh.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, June 20, 2010

Lantai Rumah Kemuning Kayu Keras

(Post: Bahasa Melayu)
" Apakah pilihan anda untuk menghias lantai apabila berpindah ke rumah baru? Adakah hiasan lantai berasaskan jubin, marmar atau kayu yang menjadi pilihan? Apa kata, jika menukar selera kepada lantai daripada kayu tempatan yang nyata berkualiti dan tahan lama. "

Biasanya, apabila kita mahu memasang lantai kayu kawan-kawan atau pihak kontraktor sendiri pasti mencadangkan kayu import. Yang selalu disebut ialah oak dan jati. Oak biasanya diimport dari Eropah dan jati pula dari negara-negara jiran.

Jarang sekali kita mendengar mengenai lantai daripada kayu keras tempatan sedangkan kayu tempatan jauh lebih berkualiti dan tahan lama berbanding yang diimport.

Lantai daripada kayu keras tempatan cukup tahan lasak. Ia mudah dicuci dan tahan kotor. Permukaannya tahan bertahun-tahun dan datang dengan corak yang berbeza serta menarik.

Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kayu keras Malaysia lebih tahan lasak berbanding oak.

Kayu-kayu ini juga lebih sesuai dengan persekitaran cuaca negara ini berbanding kayu import.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh FRIM, terdapat 11 jenis yang disenaraikan sebagai kayu keras di Malaysia.

Tetapi tiga jenis kayu yang sering digunakan atau yang popular ialah cengal, merbau dan tembusu. Satu lagi ialah keruing yang terletak dalam kategori sederhana keras.

Semua ini antara kayu yang dijadikan kemasan lantai dan dibekalkan oleh syarikat Kemuning Kayu Keras Sdn. Bhd. yang berpejabat di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Jadi, jika berhajat untuk menukar lantai rumah kepada kayu boleh pilih pelbagai pilihan lantai kayu keras tempatan yang pelbagai jenis ini.

Pengarah Kemuning Kayu Keras, Abdul Samad Tajudin berkata, lantai kayu memang merupakan trend pada masa ini.

Selain kemasan daripada marmar, jubin dan permaidani, lantai kayu lebih praktikal dan cukup tahan lasak.

Tetapi katanya, jika memilih untuk memasang lantai kayu seeloknya pilih kayu tempatan.

"Yang paling penting ialah dari segi kesesuaian dengan cuaca negara kita."

"Malah lantai kayu keras tempatan ini cukup popular di Eropah dan Amerika Syarikat sebab ketahanannya," kata Abdul Samad.

Katanya, di Kemuning Kayu Keras, lantai yang digunakan adalah daripada kayu asli. Tidak ada penggunaan kimia atau bahan tiruan.

"Kita menggunakan kayu asli yang cukup lasak dan boleh tahan untuk beberapa generasi. Seperti rumah kayu yang lama yang mampu bertahan lama," jelasnya.

Lagi pula katanya, rumah yang mempunyai lantai kayu keras tempatan nilainya lebih tinggi.

Lantai kayu ini sesuai digunakan di ruang tamu, ruang makan, bilik tidur tangga.

Kayu lebih tempatan lebih berkualiti. Harga setiap kayu juga berbeza dengan cengal mendahului senarai sebagai kayu yang termahal.

"Kita mempunyai kilang di Besut Terengganu. Apabila ada tempahan daripada pengguna kita akan membawanya dari Terengganu."

"Saiz kayu untuk lantai ini juga bergantung kepada permintaan penggunaan," katanya.

Selain lantai katanya, hiasan kayu juga boleh digunakan untuk pelbagai kemasan lain termasuk dinding, siling dan tangga.

"Pada masa ini kami membekal dan memasang lantai kayu keras ini untuk beberapa projek perumahan di sekitar Lembah Klang."

"Kami juga sedia menerima permintaan atau tempahan daripada individu yang berminat untuk menukar lantai rumah mereka kepada kayu keras tempatan yang begitu berkualiti ini," katanya.

Seorang lagi Pengarah Kemuning Kayu Keras, Khir Johari Shafie memberitahu, pelanggan boleh memilih corak dan jenis kayu untuk hiasan lantai pilihan mereka.

Bagi yang bercita rasa tinggi boleh menggunakan kayu cengal dengan harga sekitar RM38 bagi sekaki persegi.

Cengal merupakan antara kayu yang paling keras dan tahan lasak untuk dijadikan lantai dan kemasan lain.

Pilihan lain ialah tembusu dan merbau dengan harga sekitar RM8 ke RM10 bagi sekaki persegi.

Bagaimanapun harga berbeza-beza mengikut ketebalan kayu yang dipilih.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, February 11, 2010

Produk Kayu De Fine Nature

(Post: Bahasa Melayu)
" Penggunaan kayu dijangka terus mendapat permintaan ramai tahun ini berdasarkan aliran klasik dan tradisional yang kembali mewarnai seni hiasan laman. Aliran klasik dan tradisional lebih bertumpu kepada konsep nusantara dan tempatan, walaupun masih ada yang berminat dengan konsep Bali yang menampilkan penataan hias penuh misteri dan lapuk. "

Jangkaan itu dibuat De Fine Nature - syarikat yang memasarkan produk keluaran 18 usahawan Bumiputera yang menumpukan produk kayu.

Pengurus syarikat pengedar dan pemasaran produk kayu, De Fine Nature, Jamal A Aziz, menjangkakan pemilik kediaman mewah dan sederhana mewah lebih suka menggunakan kayu sebagai kemasan dan pelengkap hiasan laman kediaman untuk tahun ini.

Katanya, berdasarkan faktor jualan serta permintaan peminat seni hias laman akhir tahun lalu, penggunaan kayu semakin meningkat kerana ramai yang mahu beralih kepada penataan klasik dan tradisional.

"Selain itu, saya lihat kesedaran dan kemampuan ntuk menghias laman dengan kayu semakin bertambah terutama di kalangan kelompok pemilik kediaman mewah dan sederhana mewah. Kini, mereka yang berkemampuan sanggup mengeluarkan belanja untuk landskap berbanding lima tahun lalu."

"Memandangkan produk kayu lebih mahal serta berkualiti, maka ia menjadi pilihan dan koleksi eksklusif bagi penggemar hiasan laman."

"Malah, ada yang melabelkan penggunaan kayu sebagai simbol kemewahan kerana nilai estetikanya," katanya yang mempunyai tanggungjawab besar iaitu memasarkan produk 18 usahawan Bumiputera yang menumpukan kepada produk kayu selain kraftangan serta perkhidmatan rekaan hiasan dalam dan luaran yang menampilkan konsep tempatan sepenuhnya.

Syarikat De Fine Nature yang mendapat bimbingan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), mula menjadi ejen pemasaran sejak dua tahun lalu, kini berjaya memasarkan produk dengan nilai pulangan RM1 juta tahun lalu bagi pasaran domestik.

Jamal berkata, penggunaan kayu tidak terhad kepada produk seperti pergola, pagar dan kerusi laman saja tetapi kini diperluaskan kepada aksesori atau bahan hiasan laman lain seperti terendak lampu, hiasan dinding, pelantar, pancuran air, buaian laman dan pengadang tembok.

Katanya, aliran dan kehendak semasa juga menyaksikan bukan hanya kediaman seperti banglo atau kembar dua saja yang dihiasi kemasan kayu, malah rumah teres lot tepi dan tengah sama ada setingkat atau dua tingkat juga dihiasi dengan produk berasaskan kayu.

"De Fine Nature memasarkan produk kayu padu yang mementingkan aspek kualiti dan ketahanan yang sering diabaikan pengusaha kayu di pasaran tempatan."

"Produk yang dipasarkan dijamin berkualiti dengan harga setanding bahan digunakan. Saya sering mengingatkan pelanggan, penting untuk mengetahui jenis kayu bagi produk yang dibeli supaya tidak tertipu serta rugi di kemudian hari."

"Bagi kayu padu seperti cengal, jangka hayatnya panjang dan ia tidak mudah rosak, berkulat serta reput. Malah, cengal semakin lama digunakan rupanya semakin cantik, kerana kayu ini jenis berminyak juga ditakuti anai-anai."

"Selain cengal, produk yang dipasarkan adalah daripada kayu merawan, resak dan balau. Kayu jenis ini tahan lasak tetapi tidak boleh terlalu terdedah kepada panas dan hujan. Harganya lebih murah daripada cengal tetapi masih cantik untuk menjadi pelengkap laman," katanya.

Selain menjual produk baru, Jamal memberitahu syarikatnya juga membuat kerja membaik pulih serta menawarkan perkhidmatan landskap serta pemasangan wayar elektrik untuk laman,.

Beliau menjelaskan kebanyakan pelanggannya adalah mereka yang mahu berpindah ke rumah baru atau mereka yang baru berpindah ke kawasan perumahan baru.

"Melihat kepada aliran pelanggan, ramai yang mahu rumah mereka diubahsuai dan diberikan sentuhan seni hias laman. Kayu sering dipilih menjadi bahan untuk kemasan laman."

"Selain itu, saya lihat ramai cenderung memilih kayu dan elemen alam, kerana berpendapat ia dapat menenangkan selepas seharian penat bekerja," katanya.

Beliau menjelaskan ramai juga pelanggan yang mencari pancuran air dan kolam buatan pasang siap dengan kemasan kayu bagi melengkapkan lagi kediaman masing-masing.

"Bunyi air terhasil daripada kolam dan pancuran air menghidupkan lagi seri laman serta ramai mahukan bunyian berkenaan sebagai terapi selepas penat bekerja seharian. Begitu juga kehadiran ikan di dalam kolam," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 2, 2009

ModCloth for Indie Designer

(Post: English)
"You might not expect an indie clothing e-tailer to get the attention of equity investors."

But Eric and Susan Koger, the husband-and-wife team that launched ModCloth in 2002, near the end of their freshman year at Carnegie Mellon University, have managed to raise a little over $3 million from angels like StubHub co-founder Jeff Fluhr and venture capital firms First Round Capital and Maples Investments.

ModCloth's inventory strategy helps explain its success.

Eric says Susan and her buyers build rapport with independent designers, try to get payment terms of net 30, and normally sell 70% to 90% of the goods within the net-30 period.

"We can turn our inventory faster than we have to pay for it. That's enabled us to scale as fast as we have."

Being online only and located in Pittsburgh keeps operating costs low, too.

ModCloth employs 104 people—mostly young women who, Eric says, "come at it from a perspective that's truly aligned with the customer, because they are our customers" - up from 22 people a year ago.

The company became profitable in 2007 but wasn't in 2008, largely because it spent a lot of money to redesign its Web site - which now gets more than 1.25 million unique visitors a month.

Eric says ModCloth has around $1 million a month in sales and forecasts more than $15 million total in 2009.

INFO:
The Company: ModCloth
What It Does: Online marketplace for indie designer fashion and decor
Founders: Eric Koger, 25, and Susan Koger, 24
Based: Pittsburgh

Source: BusinessWeek

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 30, 2009

Saduran Metalmorphosis

(Post: Bahasa Melayu)
"Teknologi menukar penampilan kayu, batu, plastik, granit, seramik, kaca kepada logam, besi, loyang, krom dan gangsa menggunakan teknik saduran, sememangnya membawa persepsi dan alternatif baru industri seni bina dan hiasan dalaman mahu pun luar rumah."

Hiasan atau kemasan yang kusam ini seperti pasu batu atau plastik dan pintu boleh berubah menjadi eksklusif dan tampak mewah selepas disadur 'menjadi' logam.

Bukan setakat aksesori hiasan dalaman, tetapi dinding atau pintu selain kemasan lain rumah juga mampu diubah menjadi menarik hasil

Teknik saduran yang dikenali sebagai Metalmorphosis ini juga berupaya menonjolkan lagi seri tembaga, gangsa, perak, nikel, besi, krom, emas, aluminium, platinum, piuter dan loyang.

Kelebihan teknik ini menjadikan produk syarikat Lava Lifestyle yang terletak di pinggir Kuala Lumpur ini, amat unik dan menarik.

Pengarah Urusannya, RJ Sangae, berkata sebarang permukaan objek boleh disamarkan sebagai logam padu sebaik disembur cecair khas setebal satu milimeter.

"Menerusi kaedah Metalmorphosis, objek yang disadur menghasilkan karekteristik logam yang amat tahan lasak, susah lekang, tidak merekah selain tidak menggelupas," katanya.

Malah, selain aspek ketahanannya, kemasan ini jelas mengatasi logam asli kerana memberi jaminan jangka hayat 20 hingga 30 tahun kepada kelengkapan, permukaan dinding, pintu atau apa saja kemasan dalam rumah menggunakan teknik itu.

Apa yang menarik, kata Sangae, selain keberkesanan transformasi yang ditunjukkan iaitu mengubah bahan bukan logam kelihatan seperti logam tulen, ia dijangka memberi sentuhan baru dalam bidang seni bina dan hiasan dalaman khususnya membabitkan reka bentuk perabot serta industri pembinaan.

"Selepas disadur, sukar bagi pengguna membezakannya dengan logam asli kerana tiada impak seperti cat, disalut serbuk sadur atau bukti kemasan elektro digunakan pada permukaan objeknya," katanya.

Sangae menambah, tiada pembabitan haba, tenaga elektrik atau penyelesaian kimia dalam penghasilannya.

"Ia juga tidak memerlukan penggunaan acuan yang rumit, perkakasan serta tempat khas bagi tujuan operasi apatah lagi proses pembikinan panjang serta kos tinggi diperlukan," katanya.

Bagi memberi pelbagai inspirasi menepati keharmonian dan tema hiasan dalam dan luar rumah, Lava Lifestyle menyediakan sejumlah warna dan impak logam bagi pilihan pelanggan.

"Metalmorphosis makin diminati kerana cirinya yang tahan lama, kalis air dan api selepas mengalami proses oksida seperti logam tulen."

"Ia juga boleh dilihat kusam dan antik menerusi sisipan tembaga. Dan, jika mahu, kemasan menyerupai satin dan porselin juga mampu dihasilkan diadakan," katanya turut memberitahu berat bahan berkenaan yang jauh lebih ringan berbanding besi tulen menjadikannya pilihan terbaik bagi perusahaan mengukir arca, pintu garaj serta pagar, bumbung dan gazebo.

INFO:
Kelebihan teknik Metalmorphosis ...
- Mampu ubah batu, kayu, granit, seramik kepada logam
- Dapat bangkitkan seri tembaga, gangsa, perak dan nikel
- Sesuai bagi hasilkan aksesori dan kemasan hiasan dalaman dan luar rumah
- Cirinya lebih tahan lama, lasak, kalis api dan air
- Lebih ringan berbanding besi tulen

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 10, 2009

Eksklusif Dari Bali dan Jogja

(Post: Bahasa Melayu)
"Satukan empat unsur utama kehidupan dan di situ anda akan merasai keindahan dan ketenangan," ungkap Ponco Prio Santoso Soet Jiptadi.

Sememangnya ada kebenaran dalam kata-kata lelaki berusia 34 tahun itu apabila melangkah masuk ke ruang kedai Soul Living Concept and Design yang terletak di Sri Kembangan, Selangor.

Penerapan unsur angin, api, air dan tanah yang menjadi penyatuan dalam diri seseorang dengan alam semula jadi tampak sealun melalui pasu-pasu hiasannya.

"Konsep utama yang diketengahkan di galeri ini ialah Nusantara dan di sini, tiga riasan utama menjadi subjek tumpuan iaitu pasu, cermin dan lukisan," katanya.

Beliau yang turut ditemani isteri, Fiezza Saari menyatakan, walaupun galeri ini baru saja dibuka iaitu Ogos lalu, permintaan terhadap item Nusantara terutama lukisan amat menggalakkan.

Biarpun bukan daripada pelukis ternama, lukisan abstrak pelbagai saiz ini yang dipamerkan mempunyai interpretasi tersendiri apabila diletakkan di sudut tertentu.

Bagi koleksi cermin pula, keunikan pembuatannya terserlah bukan saja melalui ukiran bingkai malah medium utamanya yang diperbuat daripada pokok manggis.

"Tahan untuk jangka masa yang lama walaupun diukir sarat dengan pelbagai motif," jelas Ponco.

Dalam pada itu, kemasukan setiap produk adalah terhad dan diperoleh secara eksklusif di kawasan tertentu di Jogjakarta dan Bali, Indonesia.

"Paling utama, koleksi jualan yang dipamerkan di sini semuanya edisi istimewa. Tidak akan ada yang dua atau sama," kata Fiezza.

Sekiranya di galeri jualan hiasan dalaman hanya menjual produk, pasangan ini turut memberi khidmat konsultasi kepada pelanggannya, terutama kepada mereka yang berpindah ke rumah baru.

Bukan sahaja penataan di ruang dalaman, malah keindahan di taman dengan kehadiran landskap berpagola dengan kolam mini tentunya memberi kesan rileks pada penghuni tersebut.

Menurut lelaki yang mempunyai susur galur dari Jakarta, Indonesia ini, riasan Nusantara, khususnya Bali amat memerlukan sudut yang sesuai bagi mengharmonikan suasana.

"Secara dasarnya, elemen Bali ini menggunakan pasu-pasu dan tumbuhan yang besar namun disebabkan keadaan rumah di ibu kota kebanyakannya jenis apartmen atau kondominium, jadi pengubahsuaian itu perlu dilakukan."

"Dan disebabkan itulah juga, produk di galeri ini didatangkan dalam saiz yang cukup comel yang bersesuaian dengan keadaan rumah serta warna," kata Ponco.

Tambah Fiezza pula, tidak dinafikan terdapat saingan yang sengit namun keistimewaan yang ada pada galeri ini ialah harganya yang berpatutan.

"Selain itu, hampir semua produk, terutamanya pasu ini adalah buatan tangan dengan menggunakan bahan semula jadi seperti kulit pisang, telur, akar pokok serta serpihan cermin."

"Bagi yang meminati seramik, di sini juga ada pasu yang pasti menarik perhatian anda," ujarnya yang turut menyatakan, aksesori seperti pelapik pasu, bunga dan ranting turut dijual.

Unik dan istimewa. Mungkin itu saja kesimpulan yang boleh dibuat setelah meneliti pelbagai jenis pasu yang berderetan serta aksesori yang disusun indah.

Bukan sekadar menjadi pusat penjualan barangan bercirikan Nusantara, galeri ini juga merupakan kehidupan kedua bagi pasangan ini setelah beberapa insiden berlaku.

Dengan unsur alam yang menyatu kuat di atmosfera kedai ini, Ponco dulunya pernah diserang penyakit strok kini menjadikan segala elemen di dalam kedai tersebut sebagai terapi.

"Konsep Bali atau Nusantara yang mengunakan air, batu dan tumbuhan dalam hiasannya merupakan terapi paling baik bagi saya."

"Saya percaya ketenangan yang ditimbulkan oleh elemen tersebut menjadikan segala penyakit hilang begitu saja," ujarnya yang berbakat dalam melukis.

Sampuk isterinya, tidak dinafikan mereka lebih banyak menghabiskan masa di kedai ini, bersama-sama hiasan pasu, lukisan, cermin dan kolam mini berbanding di rumah.

"Mendengar deruan air terjun dari kolam mini serta melihat refleksi lukisan abstrak melalui cermin yang bergantungan membuatkan suasana begitu tenang. Bukan semua tempat ada situasi seperti ini," katanya.

INFO:
Soul Living Concept and Design
Lokasi: 7-1, Jalan BPP 5/2, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor

Dibuka setiap hari (kecuali Isnin), dari 11 pagi hingga 8.30 malam

CONTACT INFO:
Telefon: 03-89416584

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 12, 2009

Hiasan Dinding LexArt

(Post: Bahasa Melayu)
"Pelekat LexArt bermotif alam, Islamik kian popular sebagai alternatif hiasan."

Usaha menyediakan kemasan dinding bukan setakat memerlukan kreativiti dan idea, tetapi turut membabitkan pelaburan besar bagi merealisasikan perancangan yang ada.

Justeru, sebelum menetapkan sebarang jenis kemasan, selain mengambil kira cita rasa, wajar dipastikan juga pilihan itu bersifat tahan lama, mudah diselenggara, secocok gaya penataan dan paling penting, tema, corak serta tekstur yang ditonjolkan tidak ketinggalan zaman.

Jika sebelum ini, cat dan kertas dinding diisytihar kemasan popular, kini, sesuai peredaran masa, pelekat dinding semakin digemari.

LexArt, pelekat dinding satu warna dikeluarkan I-nai Venture Holdings Sdn Bhd (IVH) yang dijangka menerima sambutan hebat kerana menawarkan alternatif dan ilham unik bagi menggarap rupa dinding.

Pengarah Eksekutifnya, Nik Ahmed Mazlan Nik Mahidin, menyifatkan pelekat aneka pilihan warna dan motif ini mampu mengambil alih fungsi dan peranan cat serta kertas dinding.

"Meskipun pilihan warna disediakan, namun setiap motif dikhususkan kepada satu warna saja iaitu sama ada putih, hitam, biru, merah dan sebagainya. Maka, terpulang kepada kreativiti dan budi bicara individu bagi mempelbagaikan gayanya sama ada menerusi gabungan dua tiga motif yang ditempatkan bersama," katanya.

Memahami perbezaan selera pelanggan, IVH tidak menetapkan ukuran dan motif seragam bagi pelekat dindingnya sebaliknya, pembeli diberi kebebasan mengemukakan sendiri tema dan corak bersama ukuran diingini.

Manakala, yang masih buntu membuat pilihan, IVH membantu dari segi mengusulkan cadangan rekaan yang difikirkan secocok konsep kediaman.

Meskipun berbilang motif ditawarkan, kata Nik Mazlan, buat masa ini, penekanan corak membabitkan rekaan berunsur alam, mengutarakan imej Islamik serta paparan corak yang dekat dengan alam dan jiwa Melayu.

"Mesej dan slogan dipersetujui bagi kempen pelekat ini ialah Inspirasi Alam. Seperti namanya itu, kebanyakan corak yang dikeluarkan perlu berhubung rapat dengan alam semula jadi, misalnya, motif daun sirih, pucuk pokok, bunga menjalar dan tumbuhan lain," katanya sambil menambah, kebanyakan pelekat dijualnya diimport dari Amerika Syarikat dan China.

Bagaimanapun, bagi mempelbagai pilihan dan gaya, rekaan lain seperti corak haiwan, bangunan pencakar langit, permainan kanak-kanak serta wajah manusia turut diperkenalkan.

Berbanding kertas dinding yang kegunaannya khusus menghiasi dinding, produk LexArt yang memasuki pasaran Februari lalu, sebaliknya berkeupayaan menyeri sebarang permukaan rata termasuk kayu, kaca, konkrit, dinding lepa atau plaster, lantai, cermin malah siling.

"Kaedah dan teknik pemasangannya cukup mudah. Anda hanya perlu memilih ruang dan sudut kediaman yang ingin dihias dengannya sebelum menentukan tema juga motifnya. Sebaik mengenal pasti tempat, tanggal pelekat yang diperbuat daripada plastik filem itu untuk ditampal di dinding."

"Bagusnya, anda boleh menukar corak baru pada bila-bila masa tanpa khuatir dinding rosak kerana ia berciri senang tanggal, mudah dibersihkan, tanpa bau selain tidak meninggalkan cela dan bekas apabila ditanggalkan," katanya.

Begitupun, Nik Mazlan mengingatkan, usaha memasangnya memerlukan kesabaran dan daya tumpuan tinggi lebih-lebih lagi yang membabitkan corak kompleks seperti sulur ranting dan daun, motif kerawang dan kerangka halus bangunan. Bagi bahagian bermasalah seperti dinyatakan itu, IVH ada menyediakan rundingan dan khidmat pemasangan peribadi.

Selain itu, LexArt kata Nik Mazlan, bukan sekadar sesuai untuk kediaman dan bangunan komersial tetapi bahkan sumber terapi di hospital dan pusat kecantikan.

Buktinya, sejak IVH dipertanggungjawab memasang pelekat di dinding Institut Jantung Negara (IJN), pusat perubatan itu kini berubah wajah menjadi lebih ceria lagi menenangkan.

"Jelas, pelekat dinding ini berperanan mengubah tanggapan hospital yang dikatakan enjadi tempat menghuni orang sakit. Sebaliknya, melalui rekaan menarik dan artistik, segenap dinding yang diberi sentuhan itu berubah menjadi lebih mesra. Pendek kata, hospital kini semakin mirip dengan hiasan dalaman rumah kediaman dan galeri," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-58820687

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, July 9, 2009

Besi Tempawan EBIZA

(Post: Bahasa Melayu)
"Percaya kepada keunikan dan daya tarikan besi tempawan membuatkan Ebiza Sdn Bhd (Ebiza) kian dikenali ramai khususnya peminat serta pemilik kediaman."

Kepesatan industri hiasan dalaman rumah kini turut memberi impak positif kepada Ebiza yang semakin giat menghasilkan pelbagai rekaan besi tempawan termasuk aksesori hiasan, set meja makan laman dan cenderahati unik.

Pengarah Urusannya, Embon Abdullah, berkata kebanyakan rekaan dikhususkan kepada aksesori hiasan yang menjadi pelengkap majlis perkahwinan.

"Penghasilan aksesori hiasan pelengkap perkahwinan menjadi fokus utama bagi memberikan kelainan dangaya eksklusif pada majlis berkenaan selain memahat kenangan terindah kepada setiap pasangan pengantin," katanya.

Dekoratif sangkar burung adalah antara gubahan hantaran yang mampu mencipta suasana yang segar pada majlis berkenaan.

Dalam memberi sentuhan berbeza pada majlis perkahwinan, besi tempawan keluaran Ebiza turut mewarnai ruang pelamin dengan rekaan unik memukau pandangan.

Ia mencetuskan idea terbaik kepada individu atau syarikat yang terbabit merancang majlis perkahwinan.

Bagi mengilhamkan kesempurnaan, aspek penataan cahaya turut diberi tumpuan dengan penghasilan lampu hiasan sudut pelamin dekoratif yang menyerikan ruang dan wajah pengantin.

Cenderahati istimewa berasaskan besi tempawan Ebiza turut menjadi pelengkap majlis khusus sebagai tanda penghargaan kepada tetamu.

Dihasilkan dalam pelbagai rekaan bermotifkan bunga-bungaan terpilih, cenderahati itu tentunya menjadi koleksi paling berharga.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dekoratif besi tempawan yang dihasilkan dalam warna putih mendapat permintaan tinggi berbanding warna keemasan dan perak.

Warna putih mempunyai daya tarikan tersendiri sementara warna keemasan dan perak tetap menyuntik suasana mewah, bergaya dan klasik," katanya.

Tidak ketinggalan aksesori hiasan kediaman Ebiza turut menjadi kegilaan peminatnya kerana dihasilkan dalam reka bentuk berbeza mengikut permintaan.

Dekoratif besi tempawan pada dinding umpamanya yang digarap bermotifkan bunga-bungaan lengkap dengan simbahan cahaya lampu pastinya menjadi titik fokal terbaik pada ruang.

Aksesori hiasan lain seperti bingkai gambar dan bekas lilin berdekoratif menginspirasikan penataan ruang berbeza.

"Sementara kerja memproses besi pula membabitkan kaedah mengasah, mengimpal atau memateri sebelum dibentuk menjadi sesuatu yang kreatif atau perkakas lain.

"Ini kerana besi adalah bahan logam yang mudah dibentuk kerana strukturnya yang kukuh dan tidak berongga," katanya.Berminat dengan ukiran besi, kunjungi

INFO:
Ruang pameran Ebiza di 12A, Tingkat Bawah, Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor

Email: ebizasb@streamyx.com

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 24, 2009

Kraf Debu Marmar

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat yang mendalam dalam bidang seni kraftangan membuatkan Adabiah tidak menoleh ke belakang lagi selepas menubuhkan Assent Crystal yang menghasilkan kraf daripada debu marmar."

Bukan sedikit orang yang berpendapat barangan kraftangan tempatan agak mahal jika dibandingkan dengan produk dari negara jiran. Antara kraftangan yang dimaksudkan ialah songket, perabot kayu dan produk sulaman.

Namun, bagi pengusaha barangan cenderamata debu marmar dari Alor Setar, Kedah, Adabiah Darus, 51, tanggapan itu merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhinya dengan pendekatan positif.

"Seni ukiran dan seni halus perlu dihasilkan melalui kerja tangan yang teliti, ia bukan dibuat cincai-cincai. Malah, kualiti bahan adalah antara perbezaan utama produk tempatan dengan produk negara jiran," tegasnya yang merupakan pemilik syarikat Assent Crystal Craft Sdn. Bhd.

Syarikat miliknya yang terletak di Rumah Kedai Pumpong dekat Alor Setar itu menghasilkan pelbagai jenis barangan daripada debu marmar.

Antaranya ialah bingkai gambar, plat, hiasan bangunan tiga dimensi (3D), hiasan dinding, bekas telur, bekas cincin dan terbaru dekor suis.

Kata ibu kepada enam orang anak yang berusia di antara 28 hingga 11 tahun itu, peniaga bukanlah meletakkan harga sewenang-wenangnya. Jika kraftangan dihasilkan memerlukan kemahiran yang lebih kerana prosesnya yang rumit sudah tentu ia dijual pada harga yang lebih mahal.

"Kami akui ramai pembeli lebih suka beli barangan dari negara China dan Thailand sebab murah, tetapi sebenarnya mereka tidak tahu, seni kraftangan tempatan lebih halus dan tulen," katanya.

Beliau yang lebih 10 tahun menghasilkan barangan berasaskan debu marmar itu memberitahu Kosmo!, minatnya terhadap seni ukiran menjadi penyebab beliau terlibat dalam bisnes itu walaupun proses pembuatannya agak remeh.

"Bayangkan saya pernah buat satu bingkai gambar berbentuk bangunan 3D mengambil masa sehingga empat minggu tetapi jika corak yang dipesan pelanggan sangat ringkas dalam 10 minit sudah boleh siap," ujarnya.

Perniagaan beliau itu turut dibantu oleh tiga orang anaknya, Farahanim Fadzil, 28, Mohd. Fahmi, 27 dan Faiz, 24.

Adabiah turut mempunyai dua pekerja lain yang membantunya menyiapkan tempahan.

Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang itu, beliau berkata, pada tahun 1999 rakan suaminya memperkenalkan produk daripada debu marmar itu.

"Saya memang tiada asas nak buat benda-benda tu, cuma saya tahu buat gubahan bunga sahaja. Pada mulanya saya hanya beri modal untuk berniaga tetapi lama-lama jadi minat pula."

"Selepas rakan suami berhenti berniaga, saya ambil alih bersama anak sulung dan sekarang ia sudah menjadi perniagaan keluarga," ujar Adabiah yang menerima banyak tempahan daripada jabatan kerajaan hasil bantuan Perbadanan Kemajuan Kraftangan."

Tambah Adabiah, misinya sekarang mahu memperkenalkan barangan kraftangan berasaskan debu marmar itu ke peringkat antarabangsa.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, June 18, 2009

Gubahan Hantaran Sangkar Burung

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi mereka yang ingin menyambut pelbagai majlis keraian seperti hari jadi, perkahwinan, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru atau apa saja majlis, bingkisan hadiah inspirasi daripada sangkar besi berkenaan tampak asli dan penuh pesona."

Menjadikan sarang burung sebagai gubahan hantaran perkahwinan nyata merupakan satu idea yang tidak kurang hebatnya, begitu juga dengan apa saja majlis yang hendak dilakar.

"Sebenarnya anda boleh mengolah sangkar burung untuk menjadikannya hiasan sudut paling menarik dan berseni. Misalnya, menghasilkan gubahan dengan bunga-bungaan selain meletakkan burung tiruan bermagnet di dalam sangkar kelihatan seolah-olah realistik," kata Pengurus Besar Romantika Sdn Bhd (Romantika), Pinkie Wong.

"Jika mahu menghasilkan gubahan sendiri, tentu ia menjadi sesuatu lebih bermakna," katanya.

Dia tidak menafikan aliran yang dicetuskan daripada sangkar burung semakin popular sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, aliran itu boleh dipelbagaikan untuk mengabadikan sangkar burung menarik dengan menghasilkan gubahan terindah.

"Bagi mereka yang berminat untuk menggubahnya sendiri, lakukan mengikut kesukaan anda."

Cara mengolah berdasarkan kreativiti yang akan menghasilkan gubahan lebih berseni.

"Gubahlah apa saja supaya hasilnya memberangsangkan," katanya.

Romantika yang beribu pejabat di Plaza Sentral, Shah Alam, Selangor menyediakan banyak pilihan gubahan dan barangan perhiasan rumah termasuk yang berorientasikan ala Inggeris.

CONTACT INFO:
Email: romantika_shahalam@hotmail.com

Sumber: myMetro
Foto:
web KasihAbadi

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 12, 2009

Perabot TIGA+CONCEPT

(Post: Bahasa Melayu)
"Jika ada yang berasakan pelik memikirkan bagaimana bentuk gandingan berbeza batang pisang dan kayu, keunikan hasilnya boleh disaksikan di galeri syarikat Tiga+Concept yang terletak di pinggir ibu negara."

Gedung dan kedai menjual perabot di negara ini sememangnya berkembang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Sebut saja apa juga gaya dan konsep hiasan kediaman, pasti ada rekaan serta kemasan yang memenuhi selera dan tema penataan yang diingini.

Meskipun, senario ini menandakan perkembangan positif hiasan dalaman, tidak bermakna pengusaha dan pengeluar perabot boleh berpeluk tubuh sebaliknya persaingan itu memerlukan mereka tampil dengan produk yang menjanjikan kelainan dan pembaharuan.

Sudah pasti, elemen alam sering menambat hati ramai, terutama mereka yang mengutamakan konsep hiasan seperti tropika kontemporari atau bagi mereka bercita rasa moden, tetapi mahukan perabot kayu atau bahan lain dihasilkan alam.

Matlamat menjanjikan gaya perabot luar biasa menjadi teras syarikat milik Arca Grafik Sdn Bhd (AGSB) yang turut menggalakkan penerokaan rekaan dan material dalam pembuatan perabot.

Lebih unik lagi, syarikat itu mengutamakan padanan kontemporari apabila menggabungkan pembuatan perabot berasaskan alam dengan reka bentuk moden.

"Konsep ini turut dikenali sebagai suai padan kerana menggandingkan pelbagai kemasan berbeza untuk satu set lengkap perabot. Meja makan permukaan kayu misalnya digandingkan dengan kerusi buatan kayu jati."

"Sesetengah kelengkapan ruang makan menawarkan material kontras seperti meja kayu jati berkaki batu lava (batu dibentuk dari lahar gunung berapi) dipadankan dengan kerusi batang pisang," kata Pengurusnya, Khairul Idham Abd Rahman sambil menambah syarikat itu mengutamakan padanan kontemporari dengan penghasilan perabot.

Selain kayu dan batu lava, kemasan lain ditonjolkan termasuk tali jut, batang pisang, batu sungai, kayu hanyut, rotan dan bahan lain yang berciri kalis air.

Khairul Idham berkata kebanyakan bekalan jati serta tempahan perabotnya diperoleh dari Thailand, Indonesia dan Filipina. Katanya, kayu jati menarik dijadikan perabot kerana kontur uratnya halus dan terperinci.

Selain menawarkan produk siap, AGSB bersedia menerima tempahan khas pelanggan di mana pembeli dibenarkan mengusulkan sebarang reka bentuk dan kemasan yang diinginkan seperti bilah kayu dijadikan kaki meja, batu refleksologi menghiasi permukaan meja kopi, kayu hanyut dibentuk meja, kerusi istirahat daripada gabungan rotan dengan fabrik dan sebagainya.

INFO:
Tiga+Concept menyediakan khidmat nasihat dan rundingan kepada pelanggan mengenai pilihan reka bentuk serta kemasan perabot.

Selain tempahan persendirian, perabot Tiga+Concept turut memasuki pasaran komersial termasuk hotel, restoran dan sebagainya.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-78455682

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 10, 2009

Kraf Kertas Batang Pisang

(Post: Bahasa Melayu)
"Biarpun memakan masa lama untuk tampil di pasaran, kami berkeyakinan kraf keluaran kami berupaya menambat selera umum. Buktinya, biarpun tidak berapa lama berada di pasaran, saya diberitahu produk ini mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan pelancong Jepun."

Kepelbagaian kegunaan pokok pisang juga boleh diaplikasikan untuk menghasilkan produk hiasan dalaman.

Inilah yang dilakukan oleh Going Bananas (GB) - syarikat industri kecil di bawah Koperasi Usaha Kampung Balik Pulau (KUKAM) apabila menghasilkan produk hiasan dan barangan kraf daripada batang pisang.

"Formula menghasilkan produk rumah menggunakan batang pisang diilhamkan seorang pensyarah seni Universiti Sains Malaysia (USM)."

"Bahkan, kajian serta penyelidikannya enam tahun lalu juga dibantu universiti ini," kata Penolong Pengurusnya, Mohd Rostam Rahim.

Rostam berkata, proses mengubah batang pisang menjadi kertas dilakukan oleh mesin khas. Kertas sebelum disembur penyembur angin bagi tujuan memberi warna padanya, mempunyai tekstur kasar serta berserat.

"Cirinya yang bertekstur itu menyebabkan kertas dihasilkan tidak renyuk dan lembik apabila direndam dalam air, manakala tujuan menyembur warna pada kertas selain supaya nampak cantik, juga berfungsi menutup liang tekstur," katanya.

Kata Rostam, pilihan semburan warna berupaya menentukan cita rasa. Mereka yang inginkan sentuhan mewah, lazimnya memilih warna keemasan manakala yang memburu gaya kontemporari, berminat dengan warna kilauan perak.

"Produk yang sudah siap seterusnya disapu barnis supaya kukuh dan tahan lasak. Kesan yang ditampilkan cukup luar biasa hingga sekali pandang, ramai yang menyangka produk ini diperbuat daripada logam atau kayu padahal ia kertas," katanya.

Selain kotak menyimpan barang kemas, GB turut menawarkan bekas tisu, kotak serba guna dan kotak hiasan lainnya.

Meskipun kajian dan penyelidikannya dilakukan enam tahun lalu, projek mengusahakan barangan kraf daripada batang pisang ini hanya bermula Disember tahun lalu.

Mengenai sumber serta bekalan bahannya, Rostam memberitahu, ia diperoleh daripada pekebun yang mengusahakan tanaman berkenaan baik secara persendirian mahupun komersial.

Secara anggaran, Rostam memaklumkan 500 pokok pisang ditebang dalam tempoh sebulan dan sekurang-kurangnya dua hari diperuntukkan bagi menyiapkan sebuah kotak hiasan.

Selain itu, bagi penggemar kraf yang berminat menghasilkan sendiri produk kraf, GB menawarkan kertas daun pisang untuk dibeli.

"Membuatnya sendiri lebih seronok serta tidak sukar kerana kertasnya lembut dan senang dibentuk. Kami bersedia menunjuk ajar cara membuatnya jika diminta berbuat demikian," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 17, 2009

Hiasan Dalaman RAFFLESIA HOME FURNISHING

(Post: Bahasa Melayu)
"Melalui pengalaman dan pengamatan, Abdul Rahman mendapati kesilapan utama pemilik rumah ialah gagal mengenal pasti karektor ruang sekali gus punca kediaman gagal menyerlah walaupun dihiasi perabot serta perhiasan mahal."

Bagi syarikat Rafflesia Home Furnishing tidak sukar untuk menterjemahkan keinginan pelanggan yang sering berubah mengikut trend atau gaya semasa kerana pada asasnya syarikat ini wujud kerana cinta mendalam pemilik merangkap Pengerusinya, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar serta isteri, Datin Noor Aziyah Aziz dalam bidang hiasan dalaman.

Menyifatkan bidang itu menjanjikan masa depan cerah kerana masyarakat mula gemar menghias rumah, Rafflesia membantu dari segi menawarkan khidmat rundingan menata hias dan menggayakan kediaman.

"Kemasan dan perhiasan khususnya perlukan penerokaan ilham serta kreativiti bagi melahirkan kediaman sesuai gaya hidup. Rafflesia sedia membantu pemilik rumah mendapatkan ilham hiasan menepati tema dan cita rasa peribadi," katanya.

Antara produk ditawarkan Rafflesia termasuk kertas dinding, fabrik langsir, kusyen, bidai, permaidani manakala kemasan lantai kayu diimport dari Eropah, Australia, Jepun, Korea dan Taiwan.

Selain rumah kediaman, pasaran sasaran Rafflesia adalah bangunan komersial seperti hotel, pusat peranginan, bangunan pejabat, gedung beli belah serta kilang.

"Buat masa ini, pasarannya lebih memfokuskan sekitar ibu kota dan Lembah Klang. Jumlah penduduknya hampir tiga juta orang dengan sejuta daripadanya mempunyai kediaman sendiri, saya yakin mampu memberi pulangan lumayan bagi perniagaan kelengkapan rumah," jelasnya.

INFO:
Rafflesia Home Furnishing
Lokasi: 123-G, Jalan Rimbunan Raya 1, Taman Laman Rimbunan, Kepong

Telefon: 03-62586505

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, November 28, 2008

Keunikan Lukisan Menyerikan Produk

(Post: Bahasa Melayu)
"Kreativiti dan bakat yang dimiliki ini dikongsi bersama rakan sehingga beliau membuka kelas melukis untuk wanita yang sudah pencen supaya mereka dapat menghabiskan masa lapang dengan melakukan perkara yang menyeronokkan."

Galeri Alam Art & Craft yang terletak di Tingkat 2 Shah Alam City Center (SACC) menawarkan pelbagai jenis barang perhiasan dan kegunaan harian yang diperbuat daripada hasil seni lukisan cat air.

Lukisan pada permukaan barang-barang tersebut yang bermotifkan alam semulajadi adalah amat cantik dan menarik sekaligus menambahkan seri padanya.

Pemilik galeri, Meriam Omar, berkata beliau mencurahkan hasil lukisan alam semula jadi di atas permukaan barang keperluan dan perhiasan dalaman rumah sesuai bagi mereka yang menggemari hiasan bergambar.

Antara barangan yang ada ialah dulang sajian, set pinggan mangkuk, penanda tombol pintu, bekas pemegang kad perniagaan, bekas pensil, kotak tisu, pasu bunga, timba perigi serta banyak lagi.

Produk utama Alam Art & Craft ialah lukisan untuk perhiasan dinding pelbagai saiz dan motif.

Produk Alam Art &a Craft boleh didapati pada harga antara RM10 hingga RM3,000 mengikut keunikan produk.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, November 15, 2008

Kraf Tanah Liat

(Post: Bahasa Melayu)
"Semua produk yang dikeluarkan di Terusi Art Studio dibuat dengan hasil tangan sendiri dan setiap satu rekaan produk itu adalah eksklusif dan tersendiri terutama dari segi motif."

Tanah liat turut mempunyai kelebihan dan boleh dijadikan pelbagai barang kegunaan harian seperti barang perhiasan rumah dan aksesori perhiasan diri.

Kelebihan tanah liat ini tidak disia-siakan pemilik Terusi Art Studio, Mohd Fauzi Mohd Tahir.

Bagi menaikkan martabat tanah liat, beliau menghasilkan pelbagai barangan seperti perhiasan dinding, pasu dan arca untuk hiasan dalaman rumah selain bekas pembakar minyak aroma untuk kegunaan spa.

"Produk berasaskan tanah liat bukanlah sesuatu yang baru dalam industri hiasan dalaman, tetapi pengeluaran produk seperti itu sebagai satu penghargaan terhadap keindahan ciptaan Tuhan yang boleh digunakan manusia sepenuhnya."

"Malah, kita boleh mengangkat martabat tanah liat sebagai barang perhiasan diri yang lebih artistik dan berharga."

Produk hiasan dalaman dan perhiasan diri Terusi Art Studio boleh didapati pada harga menarik mengikut rekaan dan saiz.

INFO:
Terusi Art Studio
Lokasi: Studio Pena, Jalan Dewan Bahasa

Produk utama: Barang hiasan dalaman dan batu rantai

Bahan utama: Seramik

Harga: Antara RM10 hingga RM500

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
Terusi Art Studio

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 4, 2008

Seni Gubahan Akar Tunjang

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya yakin seni ukiran kayu tradisional ini berpotensi untuk dipasarkan sehingga ke peringkat global memandangkan permintaan tinggi yang diterima dari individu serta syarikat korporat."

Industri seni ukiran tunggul dan akar pokok mungkin masih asing jika dibandingkan dengan seni ukiran kayu biasa yang berada di pasaran hari ini.

Inisiatif yang diambil peminat akar pokok semula jadi dari Kuantan, Pahang, Sultan Abdul Razak, 54, boleh dijadikan contoh untuk mengenengahkan produk itu sekali gus menggalakkan lagi pertumbuhan industri berkenaan.

Menurutnya, hasil ukiran tunggul serta akar pokok semula jadi yang lebih dikenali sebagai seni gubahan akar tunjang itu boleh dijadikan pelbagai hiasan halaman dan ruang tamu kediaman.

"Tunggul kayu yang dijadikan meja rehat di laman rumah saya memerlukan kudrat lapan orang mengusung dari lori dan saya mengambil masa tiga hari untuk mengalihkannya ke kedudukan sekarang."

"Jika ada yang berminat saya sedia menjual dengan anggaran RM30,000 dan selepas diukir dengan lebih menarik, ia boleh mencecah sehingga RM70,000," katanya.

Idea untuk memulakan perusahaan ini timbul selepas dia terpandang satu ukiran kayu semula jadi pemberian seorang ahli keluarga.

Melihat kepada potensi yang ada, maka, beliau mula menceburi bidang tersebut yang sememangnya mendatangkan hasil yang lumayan.

"Mulai sekarang, saya perlu bekerja lebih gigih untuk mendapat lebih banyak bekalan kerana ramai individu sudah menyatakan keinginan untuk mendapatkan tunggul dan akar pokok yang sudah dibersihkan dan dikilatkan untuk hiasan kediaman atau ruang pejabat."

Sumber: myMetro
Foto:
TokoBagus

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::