ATTENTION !!!

Showing posts with label pasu. Show all posts
Showing posts with label pasu. Show all posts

Friday, January 7, 2011

Hiasan Kraf Pasu Comel

(Post: Bahasa Melayu)
" Perkembangan memberangsangkan hiasan dalaman memungkinkan kemunculan pelbagai produk menarik namun pada akhirnya, pembelian berbaloi ditentukan keupayaan menentukan pilihan barangan bertepatan cita rasa dan karektor kediaman. "

Begitupun, bagi mereka yang kreatif serta ingin mengetengahkan sentuhan peribadi, membuat sendiri aksesori rumah dianggap penyelesaian terbaik.

Selain berpeluang menunjukkan bakat dan kemahiran, menyediakan sendiri perhiasan rumah juga menjimatkan belanja, menyerlahkan identiti hias selain ia satu-satunya dihasilkan menerusi imaginasi serta kreativiti peribadi.

Bagi yang baru ingin mencuba kaedah ini, apa kata ikuti langkah membuat pasu comel seperti ditunjuk ajar pemilik JCVK-inspire, Joanna Chang.

Hanya berumpankan bahan terbuang dan mudah didapati, kata Joanna, gubahan disediakannya amat ringkas kerana mengambil masa singkat untuk disiapkan.

"Bergantung kepada minat dan kesungguhan, saya percaya masa paling lama untuk sebuah gubahan siap adalah kira-kira 15 minit. Itupun kerana membabitkan proses membentuk serta menggunting selain terpaksa menunggu gam kering sebelum meneruskan langkah selanjutnya," katanya.

Katanya lagi, bahan yang mungkin perlu dibeli adalah tanah liat khusus untuk kraf, kain felt (kain diperbuat daripada gentian) serta klip kertas manakala selebihnya berupa bahan kitar semula termasuk pasu hiasan aluminium, kapas, dawai dan riben.

"Seperti seni kraf lain, proses menyediakan aksesori rumah turut menuntut kreativiti. Satu bonus bagi yang memiliki naluri serta sentuhan seni, kerana bentuknya berupaya dipelbagaikan."

"Bahan kitar semula yang sama pula boleh digunakan berulang kali bagi menghasilkan produk yang lain," katanya yang menjual produk iClay, iaitu produk kraf berasaskan tanah liat diimport dari Korea di pasar raya besar Giant Bandar Kinrara.

Produk berkenaan banyak memberi inspirasi buat Joanna mencipta pelbagai ilham barangan rumah dan ole-ole majlis istimewa seperti sambutan hari jadi, perayaan dan majlis perkahwinan.

Pasu kecil berhias bunga dan klip kertas ilham Joanna sesuai dijadikan penyeri meja kerja dan sudut strategik kediaman.

Bagi membuatnya, anda perlu menyediakan kain felt (warna bergantung cita rasa), gunting, gam, riben, dawai keras serta mudah lentur, klip kertas, tanah liat kertas (paper clay) dan kapas, manakala hiasan pom-pom berfungsi menyemarakkan gubahan.

Cara Membuat:

1. Kertas felt digunting bentuk bunga dan gam dawai di belakangnya berfungsi sebagai tangkai bunga.

2. Lilit penuh tangkai itu menggunakan dawai lembut, tinggalkan sebahagian untuk proses membentuk daun. Lekat kertas bergunting bentuk daun di situ.

3. Langkah membuat tanahnya - masukkan tanah liat kertas ke dalam pasu dan tekan sampai mampat. Cucuk bunga kertas felt tadi (maksimum tiga tangkai) sebelum meletak kapas khusus menutupi bahagian mengandungi tanah liat.

4. Riben dan klip kertas ditampal pada bahagian belakang bunga dan hiasan pom-pom yang dilekat secara rawak di kapas berupaya mencantikkan lagi hiasan pasu comel anda.

5. Gubahan siap.

INFO:
Seni kreatif ini mampu membantu menjana pendapatan tambahan buat sesiapa yang mahu mencuba. Keterangan lanjut mengenai kraf tanah liat, email kepada jcvk-inspire@hotmail.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 11, 2010

Hiasan Topiari Bunga

(Post: Bahasa Melayu)
" "Bentuk bulat dan memikat membuatkan saya terpaut hati dengan hiasan topiari. Selepas mengikuti kursus jangka pendek langkah membuatnya, saya cuba hasilkan sendiri produk kraf itu untuk dijadikan sebahagian hiasan rumah manakala selebihnya, dijual di laman sesawang," kata pengusaha kraf topiari, Hadifah Abdul Hayon. "

Selain menghadiri kursus singkat, Hadifah juga kerap melayari internet bagi mendapatkan maklumat terkini produk berkenaan, mengenalpasti rekaan baru seterusnya mengubahsuai serta mencari aksesori tambahan yang mampu mencantikkan lagi bentuk topiari.

"Sebolehnya, topiari dihasilkan tampil unik dan menarik berbanding yang dijual di kedai kraf," katanya.

Selain menjadikan bekas bunga sebagai badan topiari, Hadifah juga gemar menguji kreativitinya melakukan eksperimen dengan pelbagai bahan lain seperti seperti cawan, baldi mini logam, pasu seramik dan aluminium dihiasi corak decoupage serta aneka bekas hiasan bermotif haiwan terutama arnab dan beruang.

"Kursus jangka pendek untuk mendapatkan pendedahan dan ilmu asas membuat topiari manakala di internet, saya didedahkan dengan seribu macam cara serta ilham menjadikan produk berkenaan lebih cantik dan berbaloi dimiliki."

"Saya ada terserempak dengan laman web yang menunjukkan cara menghasilkan topiari bentuk kon, tetapi belum berkesempatan cuba membuatnya," katanya yang hampir tiga tahun menceburkan diri dalam bidang jual beli topiari menerusi internet.

Kata Hadifah, setakat ini, sambutannya amat menggalakkan sehinggakan beliau tidak menang tangan mengadakan tempahan dalam kuantiti yang banyak.

Apa istimewanya hasil tangan Hadifah ini?

Bagi wanita gigih ini, keistimewaan topiari itu adalah setiap satunya dalam bentuk berbeza yang berpandukan ilham, cita rasa serta trend atau aliran ketika itu.

Misalnya, sewaktu teknik decoupage popular dan menjadi buruan pencinta gaya Inggeris, topiari dihasilkan Hadifah banyak mengetengahkan unsur dan pengaruh tema itu.

Bagi memastikan topiarinya tampil unik, Hadifah turut menyelitkan beberapa hiasan tambahan seperti lumut tiruan bagi menutupi permukaan span, rumput dan daun buatan, riben di samping bermacam aksesori yang membantu menjadikan barangan kraf itu rimbun seperti jambangan bunga halus.

Meskipun decoupage mendapat tempat dan kian diminati, namun teknik itu jarang dicubanya pada cawan seramik kerana berpendapat kualiti seramik memadai menyerlahkan estetika topiari.

"Cawan seramik elok dibiarkan polos tanpa hiasan kerana nampak semula jadi. Maklum balas diterima daripada pelanggan menyatakan mereka suka topiari cawan polos ini dikekalkan. Pada masa hadapan, saya mungkin cuba memperkenalkan teknik folk art pula," katanya yang menawarkan harga serendah RM20 untuk topiari mini sehingga yang paling mahal bernilai kira-kira RM180.

Hadifah berkata, langkah paling rumit menyediakan cuma ketika proses membentuknya menjadi bulat. Selebihnya, bergantung kepada inisiatif serta daya kreatif menjadikan lebih menarik dipandang.

"Selesai membuat bentuk dan mencantikkannya dengan bunga hiasan, proses selanjutnya bergantung kepada budi bicara di samping keinginan pelanggan misalnya menambah hiasan rumput, lumut, riben dan sebagainya."

"Cabaran utama bagi saya ialah ketika membungkus untuk penghantaran secara pos kerana tanpa prosedur yang betul, barang berkemungkinan pecah dan retak sebelum sampai ke tangan pelanggan."

"Saya kerap menghadapi masalah ini dan apabila berlaku, terpaksa menggantikannya dengan yang baru. Kini, ada seorang teman berminat menjualnya di kedai hiasan dalamannya di Johor Bahru. Jadi, peminat topiari boleh terus membelinya di sana saja," katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sesawang dan email dinizahra@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, January 6, 2010

Wincraft Labu Sayong

(Post: Bahasa Melayu)
"Pernahkah anda minum air yang disimpan di dalam labu sayung? Jika pernah, pasti kenikmatan dan kesegaran air tersebut masih terasa. Itulah istimewanya labu sayung yang dibuat daripada tanah liat."

Selain boleh dijadikan barangan perhiasan, labu sayung juga digunakan oleh masyarakat terutamanya pada zaman dahulu untuk menyimpan air minuman.

Daripada warna biasa iaitu hitam (bekas simpan air), labu sayung kini mengalami transformasi dengan diberi sentuhan moden pada bentuk dan warnanya.

Jika menyusuri sejarahnya, asal usul labu sayung dikatakan bermula di Kuala Kangsar, Perak dan telah diusahakan sejak ratusan tahun dahulu.

Malah jika disebut sahaja Kuala Kangsar, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran adalah labu sayung kerana sinonimnya daerah tersebut dengan tembikar itu.

Kampung-kampung seperti Bukit Lada, Kepala Bendang dan Sayong Hilir di Mukim Sayong di daerah Kuala Kangsar, cukup dikenali sebagai tempat di mana kegiatan membuat labu ini berpusat. Maka, tidak hairanlah mengapa labu negeri Perak dikenali sebagai labu sayung.

Menurut salah seorang pengusaha dari Kampung Sayong Tengah di sini, Redzuan Hamly, 43, proses membuat labu sayung pada zaman dahulu agak rumit dan memerlukan ketelitian kerana segalanya dilakukan dengan tangan.

Jelasnya, proses awal membuat labu sayung ialah menjemur tanah liat sehingga kering dan kemudiannya dibancuh dengan air dalam mesin pengisar (seperti blender).

Tanah tersebut, katanya, kemudian dikisar sehingga hancur dan sebati dengan air lalu diperam selama lebih kurang satu hari supaya betul-betul sebati untuk melembut dan memudahkan proses pembuatan agar senang dibentuk.

Selepas dibentuk, katanya, labu sayung yang sudah terhasil dibiarkan selama satu hingga dua hari sebelum dibakar di dalam dapur yang dibina khas daripada batu-bata.

"Labu sayung perlu dibakar selama satu hari dengan api dikawal supaya sama rata masak dan tidak pecah. Sekiranya api terlalu besar labu boleh pecah atau retak."

"Proses seterusnya adalah menghitamkan labu. Ini dilakukan dengan menanam labu yang masih panas dalam timbunan sekam padi dan dibiarkan beberapa ketika," katanya.

Menurut Redzuan, proses membuat labu sayung kini semakin mudah dan mengalami perubahan iaitu daripada menggunakan tangan sepenuhnya kepada teknik moden iaitu penggunaan mesin menghancur dan membancuh tanah.

Antara teknik moden yang digunakan katanya adalah teknik lemparan, acuan serta sepuh dan labu hanya dibakar dalam tempoh lapan jam.

Selain perubahan teknik pembuatan, bentuk, warna dan ukiran labu sayung turut berubah.

Bentuk asal labu sayung dihasilkan seperti bentuk buah gelugor digunakan sebagai bekas mengisi air minuman.

Kini labu sayung dihasilkan dalam pelbagai bentuk mengikut kesesuaian dan permintaan pasaran seperti lampu perhiasan, cenderamata, pasu bunga dan sebagainya.

Namun, ukirannya masih mengekalkan unsur-unsur tradisional seperti motif bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.

INFO:
Wincraft Labu Sayong
Lokasi: Kampung Sayong Tengah, Kuala Kangsar, Perak

Harga: antara RM1.50 hingga RM120 sebuah mengikut saiz

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 10, 2009

Eksklusif Dari Bali dan Jogja

(Post: Bahasa Melayu)
"Satukan empat unsur utama kehidupan dan di situ anda akan merasai keindahan dan ketenangan," ungkap Ponco Prio Santoso Soet Jiptadi.

Sememangnya ada kebenaran dalam kata-kata lelaki berusia 34 tahun itu apabila melangkah masuk ke ruang kedai Soul Living Concept and Design yang terletak di Sri Kembangan, Selangor.

Penerapan unsur angin, api, air dan tanah yang menjadi penyatuan dalam diri seseorang dengan alam semula jadi tampak sealun melalui pasu-pasu hiasannya.

"Konsep utama yang diketengahkan di galeri ini ialah Nusantara dan di sini, tiga riasan utama menjadi subjek tumpuan iaitu pasu, cermin dan lukisan," katanya.

Beliau yang turut ditemani isteri, Fiezza Saari menyatakan, walaupun galeri ini baru saja dibuka iaitu Ogos lalu, permintaan terhadap item Nusantara terutama lukisan amat menggalakkan.

Biarpun bukan daripada pelukis ternama, lukisan abstrak pelbagai saiz ini yang dipamerkan mempunyai interpretasi tersendiri apabila diletakkan di sudut tertentu.

Bagi koleksi cermin pula, keunikan pembuatannya terserlah bukan saja melalui ukiran bingkai malah medium utamanya yang diperbuat daripada pokok manggis.

"Tahan untuk jangka masa yang lama walaupun diukir sarat dengan pelbagai motif," jelas Ponco.

Dalam pada itu, kemasukan setiap produk adalah terhad dan diperoleh secara eksklusif di kawasan tertentu di Jogjakarta dan Bali, Indonesia.

"Paling utama, koleksi jualan yang dipamerkan di sini semuanya edisi istimewa. Tidak akan ada yang dua atau sama," kata Fiezza.

Sekiranya di galeri jualan hiasan dalaman hanya menjual produk, pasangan ini turut memberi khidmat konsultasi kepada pelanggannya, terutama kepada mereka yang berpindah ke rumah baru.

Bukan sahaja penataan di ruang dalaman, malah keindahan di taman dengan kehadiran landskap berpagola dengan kolam mini tentunya memberi kesan rileks pada penghuni tersebut.

Menurut lelaki yang mempunyai susur galur dari Jakarta, Indonesia ini, riasan Nusantara, khususnya Bali amat memerlukan sudut yang sesuai bagi mengharmonikan suasana.

"Secara dasarnya, elemen Bali ini menggunakan pasu-pasu dan tumbuhan yang besar namun disebabkan keadaan rumah di ibu kota kebanyakannya jenis apartmen atau kondominium, jadi pengubahsuaian itu perlu dilakukan."

"Dan disebabkan itulah juga, produk di galeri ini didatangkan dalam saiz yang cukup comel yang bersesuaian dengan keadaan rumah serta warna," kata Ponco.

Tambah Fiezza pula, tidak dinafikan terdapat saingan yang sengit namun keistimewaan yang ada pada galeri ini ialah harganya yang berpatutan.

"Selain itu, hampir semua produk, terutamanya pasu ini adalah buatan tangan dengan menggunakan bahan semula jadi seperti kulit pisang, telur, akar pokok serta serpihan cermin."

"Bagi yang meminati seramik, di sini juga ada pasu yang pasti menarik perhatian anda," ujarnya yang turut menyatakan, aksesori seperti pelapik pasu, bunga dan ranting turut dijual.

Unik dan istimewa. Mungkin itu saja kesimpulan yang boleh dibuat setelah meneliti pelbagai jenis pasu yang berderetan serta aksesori yang disusun indah.

Bukan sekadar menjadi pusat penjualan barangan bercirikan Nusantara, galeri ini juga merupakan kehidupan kedua bagi pasangan ini setelah beberapa insiden berlaku.

Dengan unsur alam yang menyatu kuat di atmosfera kedai ini, Ponco dulunya pernah diserang penyakit strok kini menjadikan segala elemen di dalam kedai tersebut sebagai terapi.

"Konsep Bali atau Nusantara yang mengunakan air, batu dan tumbuhan dalam hiasannya merupakan terapi paling baik bagi saya."

"Saya percaya ketenangan yang ditimbulkan oleh elemen tersebut menjadikan segala penyakit hilang begitu saja," ujarnya yang berbakat dalam melukis.

Sampuk isterinya, tidak dinafikan mereka lebih banyak menghabiskan masa di kedai ini, bersama-sama hiasan pasu, lukisan, cermin dan kolam mini berbanding di rumah.

"Mendengar deruan air terjun dari kolam mini serta melihat refleksi lukisan abstrak melalui cermin yang bergantungan membuatkan suasana begitu tenang. Bukan semua tempat ada situasi seperti ini," katanya.

INFO:
Soul Living Concept and Design
Lokasi: 7-1, Jalan BPP 5/2, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor

Dibuka setiap hari (kecuali Isnin), dari 11 pagi hingga 8.30 malam

CONTACT INFO:
Telefon: 03-89416584

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, September 30, 2009

Sewa Pokok dan Landskap

(Post: Bahasa Melayu)
"Beliau menjelaskan selain menyewakan pokok, biasanya syarikatnya turut menjalankan kerja penyelenggaraan untuk pokok yang disewa termasuk penyiraman, pemangkasan, pemuliharaan dan pembajaan pokok yang dilakukan seminggu sekali."

Dewasa kini, perkhidmatan menyewa pokok sudah mendapat tempat dalam majlis keraian yang dilakukan sama ada ia dianjurkan syarikat korporat atau jabatan kerajaan dan orang perseorangan.

Pemilik Emerald Vista Landscape, Steven Siva berkata, aliran menyewakan pokok untuk majlis keraian seperti perkahwinan, majlis konvokesyen serta hari jadi semakin meningkat sejak kebelakangan ini terutama di bandar besar.

Katanya, perkhidmatan menyewakan pokok dan hiasan landskap sudah lama bertapak di negara ini tetapi terhad kepada permintaan pejabat kerajaan dan syarikat korporat saja.

"Kini, aliran itu sudah berubah kerana ada orang perseorangan yang beralih kepada perkhidmatan menyewa pokok dan hiasan landskap bagi mencantikkan kediaman atau ketika mereka mahu mengadakan majlis."

"Jika dulu majlis yang besar saja menggunakan perkhidmatan ini, kini majlis sekecil jamuan hari jadi atau rumah terbuka turut menyewakan pokok sebagai hiasan," katanya yang sudah 10 tahun berkecimpung mengendalikan perniagaan landskap dan menyewakan pokok.

Mengulas mengenai perkhidmatan menyewa pokok, katanya perkhidmatan itu sudah diperkenalkan oleh sebuah syarikat sejak 30 tahun lalu tetapi terhad kepada syarikat besar, pejabat kerajaan dan majlis perbandaran bagi majlis di peringkat daerah, negeri dan nasional.

"Arah aliran ini berubah apabila semakin ramai yang sedar dengan kepentingan menjaga alam sekitar serta keperluan menghias kediaman dan pejabat," katanya yang pernah berkhidmat selama lima tahun di syarikat yang menjalankan perkhidmatan menyewa pokok dan hiasan landskap, sebelum mengusahakan perniagaan landskap sendiri."

Steven berkata, ramai yang percaya kualiti hidup dapat ditingkatkan dengan adanya tumbuhan di kediaman dan tempat kerja.

"Berdasarkan pengalaman saya dapati jika ada orang yang sakit di satu-satu tempat kerja, pokok yang ada di pejabat itu juga cepat kering dan layu berbanding pejabat yang dihuni mereka yang sihat," katanya.

"Saya juga menyediakan pasu yang tidak menyebabkan air melimpah selepas siraman dan tiada kekotoran ketika kakitangan melakukan kerja penyelenggaraan pokok yang disewakan."

"Malah, kami syarikat yang pertama memberi jaminan bahawa pasu bunga yang disewa tidak mengandungi jentik-jentik yang akan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes punca demam denggi."

"Biasanya, bagi penyewaan pokok untuk pejabat, kita sediakan pakej kontrak satu tahun sewaan pokok bersama kerja penyelenggaraan (penyiraman, pembajaan, pemangkasan dan pemuliharaan) bersama tambahan tiga bulan kerja sebelum kontrak ditamatkan. Pokok juga dijamin akan diganti dalam tempoh 24 jam tanpa sebarang caj jika ia rosak atau mati."

"Selain itu, kita memberi jaminan pokok yang disewa selamat sesuai dengan dasar kesihatan dan keselamatan di tempat kerja," katanya.

Kadar sewaan ditetapkan bergantung kepada saiz pasu dan pokok selain tempoh jangka masa kontrak berkuat kuasa. Biasanya bayaran dibuat secara bulanan walaupun kontrak ditetapkan secara tahunan.

Bagi majlis keraian, pokok yang disewa dan kerja menghias ditetapkan mengikut saiz pokok, bahan yang digunakan dan tempoh masa penyewaan sama ada sehari, dua atau seminggu.

Steven berkata, bagi majlis kecil biasanya beliau menetapkan sewa mengikut bajet yang ditetapkan pelanggan mengikut tema yang dikehendaki.

"Biasanya, saya akan tanya dulu bajet sebelum perbincangan lanjut dilakukan supaya ia menepati perbelanjaan dan tema yang diinginkan pelanggan," katanya.

Majlis perkahwinan bertemakan taman dan kehijauan yang sering menjadi pilihan ramai sejak kebelakangan ini, menyaksikan khidmat sewaan pokok semakin mendapat tempat.

Emerald Vista Landscape juga menyediakan perkhidmatan penyewaan barang hiasan landskap seperti pancuran air, kolam mini pasang siap, lampu landskap, pagar, pasu, batu dan rumput.

"Untuk majlis keraian, kita juga menyediakan pakej pemasangan pentas, jambangan bunga serta pintu gerbang. Kita juga benarkan pelanggan membuat pemilihan pokok dan hiasan mengikut cita rasa dan perbelanjaan yang mereka ada." katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-80700711 (Steven)

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, August 6, 2009

Tanaman Hiasan SEGAR MERIMBUN

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat antara pendorong kejayaan selepas satu-satu usaha dilakukan. Kepada seorang suri rumah kerana minat pada tumbuhan hiasan jugalah dia dapat menjana pendapatan keluarganya."

Malah dengan terus memupuk minatnya itu, Ruzita Ahmad, 40, berjaya mengekalkan perniagaan tanaman hiasan yang dikenali sebagai Segar Merimbun sejak ditubuhkan pada tahun 2000 lalu.

Selain tanaman, Segar Merimbun yang terletak di Jerlun, Kedah itu turut menyediakan pelbagai barangan hiasan lain untuk menyerikan rumah.

Menurut Ruzita, sebelum memulakan perniagaan berkenaan dia hanya seorang suri rumah sepenuh masa yang meminati tumbuhan hiasan.

Jelasnya, dia juga tidak sangka minatnya itu menarik perhatian rakan-rakannya datang ke rumah dan membeli beberapa jenis tanaman hiasan itu yang ketika itu hanya untuk hiasan rumah sahaja.

"Sejak itu saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan menjual pokok hiasan."

"Bagi merealisasikan hasrat itu, saya mencari modal dan memikirkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Menurut Ruzita, modal permulaan yang diperoleh hasil bantuan keluarga sebanyak RM20,000 digunakan untuk membeli pokok-pokok dan keperluan lain.

Dengan lebihan modal itu juga, dia mendapatkan barangan hiasan untuk melengkapkan landskap taman pelanggannya.

"Saya tidak hanya menjual pokok yang biasa untuk orang ramai malah, terdapat juga tumbuhan unik seperti Pandan Bukit selain pelbagai jenis pokok renek dan bonsai.

"Saya juga menjual pasu bunga, tempat pancuran air, bangku batu yang selalu digunakan sebagai hiasan di taman-taman mini dan sebagainya," katanya.

Jelas Ruzita, selain menjual pokok dan barangan hiasan laman di kedainya, dia menawarkan khidmat runding untuk mereka yang memerlukan nasihat menghias laman.

Menurutnya, bagi memastikan tanaman yang dibeli kekal cantik dan tahan lama pembeli perlu mengambil berat mengenai pokok-pokok tersebut.

"Saya menganggap diri saya dan keluarga bertuah kerana mampu bertahan lama dalam bidang yang banyak dimonopoli oleh golongan bukan bumiputera."

"Saya bercadang untuk membuka sebuah lagi cawangan di Kuala Nerang kerana sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan," ujarnya.

Bagi pelanggan yang berada di luar Kedah mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai pokok hiasan menerusi laman web Segar Merimbun.

Ruzita memberitahu, dia amat bersyukur kerana perniagaan yang dijalankan selama ini turut mendapat bantuan daripada suaminya, Hasnul Adib Abidin, 42 yang bertindak sebagai penasihat.

"Hasil daripada perniagaan ini, kami telah membuka sebuah Inap Desa yang diberi nama Merimbun Homestay sebagai langkah untuk memajukan lagi perniagaan kami," katanya lagi.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-5521278

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 7, 2009

Seramik POG Pottery

(Post: Bahasa Melayu)
"Trend terkini yang menjadi pilihan ialah pasu besar yang berbentuk klasik dengan warna yang kusam atau matte, pudar dan nampak seperti antik. Pasu-pasu sebegini menarik jika dijadikan hiasan di taman atau sebagai kolam kecil di sudut ruang yang kecil."

Ilmu dan kemahiran kraf biasanya dipelajari secara tradisi mengikut kaedah tidak formal. Bagaimanapun, peredaran waktu dan keperluan semasa, menuntut perubahan menerusi kaedah pembelajaran ilmu dan kemahiran secara lebih formal.

Menyedari hakikat dan keperluan ini, maka Institut Kraf Negara (IKN) diwujudkan, bertujuan menjadi salah satu gelanggang pendidikan formal bagi pelajar dalam bidang seni kraf tempatan. Kini, ramai pelajarnya telah berjaya dalam bidang yang diceburi.

Mohd. Fauzi Mohd. Safian dan Meor Amirul Din Aris, kedua-duanya berusia 26 tahun merupakan lulusan IKN yang kini berjaya sebagai usahawan produk seramik.

Ketika ditemui pada sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2009 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini, dapat dilihat pelbagai jenis produk seramik keluaran syarikat mereka, iaitu POG Pottery. Di antaranya, labu sayong, labu kecil yang boleh dijadikan cenderahati, lampu tidur, pasu besar sebagai hiasan landskap, produk hiasan rumah dan banyak lagi.

Menurut Mohd. Fauzi, POG Pottery yang baru dua tahun beroperasi merupakan program inkubator di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Cawangan Perak.

"Kami memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan sebanyak RM10,000 bagi membeli tanah dan bahan-bahan bagi menghasilkan produk seramik sementara pihak Kraftangan menyediakan fasiliti dan bimbingan," kata bekas pelajar jurusan seramik IKN ini.

Tambahnya, pendidikan dan kemahiran yang diperoleh selama tiga tahun menuntut di IKN digunakan sepenuhnya dalam perniagaan yang menjadi pilihannya dan Meor Amirul.

Sementara itu, Meor Amirul berkata, pasu-pasu yang dibuat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengusaha-pengusaha nurseri di sekitar Ipoh, Perak.

"Kami turut menerima banyak tempahan pasu-pasu besar dari badan-badan kerajaan, hotel dan resort bagi menghiasi landskap," ujar beliau.

Meor Amirul menambah, motif alam semula jadi seperti pokok, flora dan fauna menjadi pilihan ramai. Selain itu mereka turut menyelitkan corak-corak ukiran kayu atau sulur kacang.

"Pada masa depan kami merancang bagi meluaskan pengeluaran dengan reka bentuk dan corak yang pelbagai bagi memenuhi permintaan bukan sahaja daripada dalam negeri malah di luar negara," jelasnya lagi.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-9884655

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 16, 2009

Kraftangan Dari Bahan Buangan

(Post: Bahasa Melayu)
"Berkat kegigihan dan sentiasa memanfaatkan bahan buangan, Saodah sekeluarga memperoleh pendapatan agak lumayan apabila hasil kraf tangan tersebut mendapat sambutan baik daripada orang ramai termasuk dari Singapura."

Seorang suri rumah, Saodah Sujak, 60, dari Kampung Parit Tengah, Sri Gading, Batu Pahat, Johor, menjadi contoh kepada wanita tempatan apabila mengusahakan industri kraf tangan secara kecil-kecilan daripada bahan buangan termasuk akhbar lama di rumahnya sejak 10 tahun lalu.

Menurut Saodah, selain akhbar lama, beliau turut menghasilkan kraf tangan daripada bahan plastik, kelapa, polestrin dan daun getah.

Katanya, antara yang dihasilkan adalah pokok dan daun bunga, pasu, bakul telur dan pelbagai cenderamata.

"Kesemua barang ini dibuat berdasarkan tempahan pelanggan dan boleh disiapkan antara dua hingga enam bulan," katanya.

"Harganya bergantung kepada sesuatu barang iaitu antara 60 sen hingga RM300 setiap satu."

Menurutnya, bagi bakul telur yang dibuat daripada akhbar lama untuk majlis perkahwinan, beliau mampu menyiapkan sebanyak 1,000 buah dalam masa dua bulan dengan harga 60 sen sebuah.

Saodah memberitahu, pengetahuan asas mengenai kraf tangan itu diperoleh daripada Kemas dan Risda yang kemudian dikembangkan mengikut daya kreativiti diri dan anaknya.

"Kedua-dua agensi ini banyak memberi sokongan termasuk membawa hasil kraf tangan kami ke beberapa pameran peringkat negeri dan kebangsaan," katanya.

Menurutnya, dia bersedia mengembang atau membesarkan industrinya itu pada masa akan datang jika mendapat bantuan dan sokongan daripada beberapa agensi kerajaan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, November 15, 2008

Kraf Tanah Liat

(Post: Bahasa Melayu)
"Semua produk yang dikeluarkan di Terusi Art Studio dibuat dengan hasil tangan sendiri dan setiap satu rekaan produk itu adalah eksklusif dan tersendiri terutama dari segi motif."

Tanah liat turut mempunyai kelebihan dan boleh dijadikan pelbagai barang kegunaan harian seperti barang perhiasan rumah dan aksesori perhiasan diri.

Kelebihan tanah liat ini tidak disia-siakan pemilik Terusi Art Studio, Mohd Fauzi Mohd Tahir.

Bagi menaikkan martabat tanah liat, beliau menghasilkan pelbagai barangan seperti perhiasan dinding, pasu dan arca untuk hiasan dalaman rumah selain bekas pembakar minyak aroma untuk kegunaan spa.

"Produk berasaskan tanah liat bukanlah sesuatu yang baru dalam industri hiasan dalaman, tetapi pengeluaran produk seperti itu sebagai satu penghargaan terhadap keindahan ciptaan Tuhan yang boleh digunakan manusia sepenuhnya."

"Malah, kita boleh mengangkat martabat tanah liat sebagai barang perhiasan diri yang lebih artistik dan berharga."

Produk hiasan dalaman dan perhiasan diri Terusi Art Studio boleh didapati pada harga menarik mengikut rekaan dan saiz.

INFO:
Terusi Art Studio
Lokasi: Studio Pena, Jalan Dewan Bahasa

Produk utama: Barang hiasan dalaman dan batu rantai

Bahan utama: Seramik

Harga: Antara RM10 hingga RM500

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
Terusi Art Studio

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::