ATTENTION !!!

Wednesday, June 24, 2009

Kraf Debu Marmar

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat yang mendalam dalam bidang seni kraftangan membuatkan Adabiah tidak menoleh ke belakang lagi selepas menubuhkan Assent Crystal yang menghasilkan kraf daripada debu marmar."

Bukan sedikit orang yang berpendapat barangan kraftangan tempatan agak mahal jika dibandingkan dengan produk dari negara jiran. Antara kraftangan yang dimaksudkan ialah songket, perabot kayu dan produk sulaman.

Namun, bagi pengusaha barangan cenderamata debu marmar dari Alor Setar, Kedah, Adabiah Darus, 51, tanggapan itu merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhinya dengan pendekatan positif.

"Seni ukiran dan seni halus perlu dihasilkan melalui kerja tangan yang teliti, ia bukan dibuat cincai-cincai. Malah, kualiti bahan adalah antara perbezaan utama produk tempatan dengan produk negara jiran," tegasnya yang merupakan pemilik syarikat Assent Crystal Craft Sdn. Bhd.

Syarikat miliknya yang terletak di Rumah Kedai Pumpong dekat Alor Setar itu menghasilkan pelbagai jenis barangan daripada debu marmar.

Antaranya ialah bingkai gambar, plat, hiasan bangunan tiga dimensi (3D), hiasan dinding, bekas telur, bekas cincin dan terbaru dekor suis.

Kata ibu kepada enam orang anak yang berusia di antara 28 hingga 11 tahun itu, peniaga bukanlah meletakkan harga sewenang-wenangnya. Jika kraftangan dihasilkan memerlukan kemahiran yang lebih kerana prosesnya yang rumit sudah tentu ia dijual pada harga yang lebih mahal.

"Kami akui ramai pembeli lebih suka beli barangan dari negara China dan Thailand sebab murah, tetapi sebenarnya mereka tidak tahu, seni kraftangan tempatan lebih halus dan tulen," katanya.

Beliau yang lebih 10 tahun menghasilkan barangan berasaskan debu marmar itu memberitahu Kosmo!, minatnya terhadap seni ukiran menjadi penyebab beliau terlibat dalam bisnes itu walaupun proses pembuatannya agak remeh.

"Bayangkan saya pernah buat satu bingkai gambar berbentuk bangunan 3D mengambil masa sehingga empat minggu tetapi jika corak yang dipesan pelanggan sangat ringkas dalam 10 minit sudah boleh siap," ujarnya.

Perniagaan beliau itu turut dibantu oleh tiga orang anaknya, Farahanim Fadzil, 28, Mohd. Fahmi, 27 dan Faiz, 24.

Adabiah turut mempunyai dua pekerja lain yang membantunya menyiapkan tempahan.

Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang itu, beliau berkata, pada tahun 1999 rakan suaminya memperkenalkan produk daripada debu marmar itu.

"Saya memang tiada asas nak buat benda-benda tu, cuma saya tahu buat gubahan bunga sahaja. Pada mulanya saya hanya beri modal untuk berniaga tetapi lama-lama jadi minat pula."

"Selepas rakan suami berhenti berniaga, saya ambil alih bersama anak sulung dan sekarang ia sudah menjadi perniagaan keluarga," ujar Adabiah yang menerima banyak tempahan daripada jabatan kerajaan hasil bantuan Perbadanan Kemajuan Kraftangan."

Tambah Adabiah, misinya sekarang mahu memperkenalkan barangan kraftangan berasaskan debu marmar itu ke peringkat antarabangsa.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::