ATTENTION !!!

Wednesday, June 10, 2009

Kraf Kertas Batang Pisang

(Post: Bahasa Melayu)
"Biarpun memakan masa lama untuk tampil di pasaran, kami berkeyakinan kraf keluaran kami berupaya menambat selera umum. Buktinya, biarpun tidak berapa lama berada di pasaran, saya diberitahu produk ini mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan pelancong Jepun."

Kepelbagaian kegunaan pokok pisang juga boleh diaplikasikan untuk menghasilkan produk hiasan dalaman.

Inilah yang dilakukan oleh Going Bananas (GB) - syarikat industri kecil di bawah Koperasi Usaha Kampung Balik Pulau (KUKAM) apabila menghasilkan produk hiasan dan barangan kraf daripada batang pisang.

"Formula menghasilkan produk rumah menggunakan batang pisang diilhamkan seorang pensyarah seni Universiti Sains Malaysia (USM)."

"Bahkan, kajian serta penyelidikannya enam tahun lalu juga dibantu universiti ini," kata Penolong Pengurusnya, Mohd Rostam Rahim.

Rostam berkata, proses mengubah batang pisang menjadi kertas dilakukan oleh mesin khas. Kertas sebelum disembur penyembur angin bagi tujuan memberi warna padanya, mempunyai tekstur kasar serta berserat.

"Cirinya yang bertekstur itu menyebabkan kertas dihasilkan tidak renyuk dan lembik apabila direndam dalam air, manakala tujuan menyembur warna pada kertas selain supaya nampak cantik, juga berfungsi menutup liang tekstur," katanya.

Kata Rostam, pilihan semburan warna berupaya menentukan cita rasa. Mereka yang inginkan sentuhan mewah, lazimnya memilih warna keemasan manakala yang memburu gaya kontemporari, berminat dengan warna kilauan perak.

"Produk yang sudah siap seterusnya disapu barnis supaya kukuh dan tahan lasak. Kesan yang ditampilkan cukup luar biasa hingga sekali pandang, ramai yang menyangka produk ini diperbuat daripada logam atau kayu padahal ia kertas," katanya.

Selain kotak menyimpan barang kemas, GB turut menawarkan bekas tisu, kotak serba guna dan kotak hiasan lainnya.

Meskipun kajian dan penyelidikannya dilakukan enam tahun lalu, projek mengusahakan barangan kraf daripada batang pisang ini hanya bermula Disember tahun lalu.

Mengenai sumber serta bekalan bahannya, Rostam memberitahu, ia diperoleh daripada pekebun yang mengusahakan tanaman berkenaan baik secara persendirian mahupun komersial.

Secara anggaran, Rostam memaklumkan 500 pokok pisang ditebang dalam tempoh sebulan dan sekurang-kurangnya dua hari diperuntukkan bagi menyiapkan sebuah kotak hiasan.

Selain itu, bagi penggemar kraf yang berminat menghasilkan sendiri produk kraf, GB menawarkan kertas daun pisang untuk dibeli.

"Membuatnya sendiri lebih seronok serta tidak sukar kerana kertasnya lembut dan senang dibentuk. Kami bersedia menunjuk ajar cara membuatnya jika diminta berbuat demikian," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::