ATTENTION !!!

Thursday, February 11, 2010

Produk Kayu De Fine Nature

(Post: Bahasa Melayu)
" Penggunaan kayu dijangka terus mendapat permintaan ramai tahun ini berdasarkan aliran klasik dan tradisional yang kembali mewarnai seni hiasan laman. Aliran klasik dan tradisional lebih bertumpu kepada konsep nusantara dan tempatan, walaupun masih ada yang berminat dengan konsep Bali yang menampilkan penataan hias penuh misteri dan lapuk. "

Jangkaan itu dibuat De Fine Nature - syarikat yang memasarkan produk keluaran 18 usahawan Bumiputera yang menumpukan produk kayu.

Pengurus syarikat pengedar dan pemasaran produk kayu, De Fine Nature, Jamal A Aziz, menjangkakan pemilik kediaman mewah dan sederhana mewah lebih suka menggunakan kayu sebagai kemasan dan pelengkap hiasan laman kediaman untuk tahun ini.

Katanya, berdasarkan faktor jualan serta permintaan peminat seni hias laman akhir tahun lalu, penggunaan kayu semakin meningkat kerana ramai yang mahu beralih kepada penataan klasik dan tradisional.

"Selain itu, saya lihat kesedaran dan kemampuan ntuk menghias laman dengan kayu semakin bertambah terutama di kalangan kelompok pemilik kediaman mewah dan sederhana mewah. Kini, mereka yang berkemampuan sanggup mengeluarkan belanja untuk landskap berbanding lima tahun lalu."

"Memandangkan produk kayu lebih mahal serta berkualiti, maka ia menjadi pilihan dan koleksi eksklusif bagi penggemar hiasan laman."

"Malah, ada yang melabelkan penggunaan kayu sebagai simbol kemewahan kerana nilai estetikanya," katanya yang mempunyai tanggungjawab besar iaitu memasarkan produk 18 usahawan Bumiputera yang menumpukan kepada produk kayu selain kraftangan serta perkhidmatan rekaan hiasan dalam dan luaran yang menampilkan konsep tempatan sepenuhnya.

Syarikat De Fine Nature yang mendapat bimbingan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), mula menjadi ejen pemasaran sejak dua tahun lalu, kini berjaya memasarkan produk dengan nilai pulangan RM1 juta tahun lalu bagi pasaran domestik.

Jamal berkata, penggunaan kayu tidak terhad kepada produk seperti pergola, pagar dan kerusi laman saja tetapi kini diperluaskan kepada aksesori atau bahan hiasan laman lain seperti terendak lampu, hiasan dinding, pelantar, pancuran air, buaian laman dan pengadang tembok.

Katanya, aliran dan kehendak semasa juga menyaksikan bukan hanya kediaman seperti banglo atau kembar dua saja yang dihiasi kemasan kayu, malah rumah teres lot tepi dan tengah sama ada setingkat atau dua tingkat juga dihiasi dengan produk berasaskan kayu.

"De Fine Nature memasarkan produk kayu padu yang mementingkan aspek kualiti dan ketahanan yang sering diabaikan pengusaha kayu di pasaran tempatan."

"Produk yang dipasarkan dijamin berkualiti dengan harga setanding bahan digunakan. Saya sering mengingatkan pelanggan, penting untuk mengetahui jenis kayu bagi produk yang dibeli supaya tidak tertipu serta rugi di kemudian hari."

"Bagi kayu padu seperti cengal, jangka hayatnya panjang dan ia tidak mudah rosak, berkulat serta reput. Malah, cengal semakin lama digunakan rupanya semakin cantik, kerana kayu ini jenis berminyak juga ditakuti anai-anai."

"Selain cengal, produk yang dipasarkan adalah daripada kayu merawan, resak dan balau. Kayu jenis ini tahan lasak tetapi tidak boleh terlalu terdedah kepada panas dan hujan. Harganya lebih murah daripada cengal tetapi masih cantik untuk menjadi pelengkap laman," katanya.

Selain menjual produk baru, Jamal memberitahu syarikatnya juga membuat kerja membaik pulih serta menawarkan perkhidmatan landskap serta pemasangan wayar elektrik untuk laman,.

Beliau menjelaskan kebanyakan pelanggannya adalah mereka yang mahu berpindah ke rumah baru atau mereka yang baru berpindah ke kawasan perumahan baru.

"Melihat kepada aliran pelanggan, ramai yang mahu rumah mereka diubahsuai dan diberikan sentuhan seni hias laman. Kayu sering dipilih menjadi bahan untuk kemasan laman."

"Selain itu, saya lihat ramai cenderung memilih kayu dan elemen alam, kerana berpendapat ia dapat menenangkan selepas seharian penat bekerja," katanya.

Beliau menjelaskan ramai juga pelanggan yang mencari pancuran air dan kolam buatan pasang siap dengan kemasan kayu bagi melengkapkan lagi kediaman masing-masing.

"Bunyi air terhasil daripada kolam dan pancuran air menghidupkan lagi seri laman serta ramai mahukan bunyian berkenaan sebagai terapi selepas penat bekerja seharian. Begitu juga kehadiran ikan di dalam kolam," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::