ATTENTION !!!

Tuesday, November 10, 2009

Eksklusif Dari Bali dan Jogja

(Post: Bahasa Melayu)
"Satukan empat unsur utama kehidupan dan di situ anda akan merasai keindahan dan ketenangan," ungkap Ponco Prio Santoso Soet Jiptadi.

Sememangnya ada kebenaran dalam kata-kata lelaki berusia 34 tahun itu apabila melangkah masuk ke ruang kedai Soul Living Concept and Design yang terletak di Sri Kembangan, Selangor.

Penerapan unsur angin, api, air dan tanah yang menjadi penyatuan dalam diri seseorang dengan alam semula jadi tampak sealun melalui pasu-pasu hiasannya.

"Konsep utama yang diketengahkan di galeri ini ialah Nusantara dan di sini, tiga riasan utama menjadi subjek tumpuan iaitu pasu, cermin dan lukisan," katanya.

Beliau yang turut ditemani isteri, Fiezza Saari menyatakan, walaupun galeri ini baru saja dibuka iaitu Ogos lalu, permintaan terhadap item Nusantara terutama lukisan amat menggalakkan.

Biarpun bukan daripada pelukis ternama, lukisan abstrak pelbagai saiz ini yang dipamerkan mempunyai interpretasi tersendiri apabila diletakkan di sudut tertentu.

Bagi koleksi cermin pula, keunikan pembuatannya terserlah bukan saja melalui ukiran bingkai malah medium utamanya yang diperbuat daripada pokok manggis.

"Tahan untuk jangka masa yang lama walaupun diukir sarat dengan pelbagai motif," jelas Ponco.

Dalam pada itu, kemasukan setiap produk adalah terhad dan diperoleh secara eksklusif di kawasan tertentu di Jogjakarta dan Bali, Indonesia.

"Paling utama, koleksi jualan yang dipamerkan di sini semuanya edisi istimewa. Tidak akan ada yang dua atau sama," kata Fiezza.

Sekiranya di galeri jualan hiasan dalaman hanya menjual produk, pasangan ini turut memberi khidmat konsultasi kepada pelanggannya, terutama kepada mereka yang berpindah ke rumah baru.

Bukan sahaja penataan di ruang dalaman, malah keindahan di taman dengan kehadiran landskap berpagola dengan kolam mini tentunya memberi kesan rileks pada penghuni tersebut.

Menurut lelaki yang mempunyai susur galur dari Jakarta, Indonesia ini, riasan Nusantara, khususnya Bali amat memerlukan sudut yang sesuai bagi mengharmonikan suasana.

"Secara dasarnya, elemen Bali ini menggunakan pasu-pasu dan tumbuhan yang besar namun disebabkan keadaan rumah di ibu kota kebanyakannya jenis apartmen atau kondominium, jadi pengubahsuaian itu perlu dilakukan."

"Dan disebabkan itulah juga, produk di galeri ini didatangkan dalam saiz yang cukup comel yang bersesuaian dengan keadaan rumah serta warna," kata Ponco.

Tambah Fiezza pula, tidak dinafikan terdapat saingan yang sengit namun keistimewaan yang ada pada galeri ini ialah harganya yang berpatutan.

"Selain itu, hampir semua produk, terutamanya pasu ini adalah buatan tangan dengan menggunakan bahan semula jadi seperti kulit pisang, telur, akar pokok serta serpihan cermin."

"Bagi yang meminati seramik, di sini juga ada pasu yang pasti menarik perhatian anda," ujarnya yang turut menyatakan, aksesori seperti pelapik pasu, bunga dan ranting turut dijual.

Unik dan istimewa. Mungkin itu saja kesimpulan yang boleh dibuat setelah meneliti pelbagai jenis pasu yang berderetan serta aksesori yang disusun indah.

Bukan sekadar menjadi pusat penjualan barangan bercirikan Nusantara, galeri ini juga merupakan kehidupan kedua bagi pasangan ini setelah beberapa insiden berlaku.

Dengan unsur alam yang menyatu kuat di atmosfera kedai ini, Ponco dulunya pernah diserang penyakit strok kini menjadikan segala elemen di dalam kedai tersebut sebagai terapi.

"Konsep Bali atau Nusantara yang mengunakan air, batu dan tumbuhan dalam hiasannya merupakan terapi paling baik bagi saya."

"Saya percaya ketenangan yang ditimbulkan oleh elemen tersebut menjadikan segala penyakit hilang begitu saja," ujarnya yang berbakat dalam melukis.

Sampuk isterinya, tidak dinafikan mereka lebih banyak menghabiskan masa di kedai ini, bersama-sama hiasan pasu, lukisan, cermin dan kolam mini berbanding di rumah.

"Mendengar deruan air terjun dari kolam mini serta melihat refleksi lukisan abstrak melalui cermin yang bergantungan membuatkan suasana begitu tenang. Bukan semua tempat ada situasi seperti ini," katanya.

INFO:
Soul Living Concept and Design
Lokasi: 7-1, Jalan BPP 5/2, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor

Dibuka setiap hari (kecuali Isnin), dari 11 pagi hingga 8.30 malam

CONTACT INFO:
Telefon: 03-89416584

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::