ATTENTION !!!

Wednesday, January 19, 2011

Kafe Six Point River Side

(Post: Bahasa Melayu)
" Sentuhan unik persis taman rimba belantara sejati adalah elemen dekorasi menawan cukup kreatif. "

Pelataran suasana ruang berkonsep Nusantara menggambarkan Kafe Six Point River Side di Kampung Koskan, Jalan Sungai Buaya di Rawang destinasi menjamu selera yang mampu membangkitkan aura keaslian semula jadi.

Justeru, sebaik melangkah kaki ke sini, pasti raut wajah pengunjung disapa damai bayu segar dari anak sungai di sebelah kafe yang mempunyai keluasan setengah hektar.

Pengarah Urusannya, Roslan Abu, berkata sesuai dengan nama premis menjamu selera yang digubah itu, beliau menterjemahkan minat dalam seni hiasan dalaman pada setiap ruang di sini.

Beliau berkata, pengunjung akan sentiasa 'dibuai' keasyikan selesa menjamu mata dengan dekorasi indah nan menawan.

"Penggunaan bahan terbuang dan terpakai seperti tempayan, pasu, botol kaca dan kayu hanyut mampu menyerlah seri segenap ruang seperti bahagian dapur, meja pramusaji, kaunter bayaran dan sudut barbeku dan kaunter ikan bakar."

"Pengalaman 14 tahun bekerja sebagai tukang masak di beberapa hotel terkemuka di ibu negara banyak memberi idea mencipta seni gubahan di kafe yang beroperasi sejak empat tahun lalu."

"Ketika menjenguk ke sini, pengunjung pasti gembira melihat susunan kerusi dan meja yang bersulamkan pelbagai komponen hiasan dalaman seperti tempayan, alat muzik tradisional di dinding dan ukiran gantung menawan," katanya.

Menurutnya, mengimbau zaman retro lalu, beliau mempamerkan sebuah basikal tua klasik dan motosikal era 1970-an yang tampak masih segar dan mempesonakan.

Katanya, konsep Nusantara yang diketengahkan ini turut memuatkan sentuhan lain seperti mini wakaf kayu berbidai kain halus sekelilingnya.

"Menggunakan kayu terpakai, saya turut membina medan tinjau bersebelahan anak sungai bagi pengunjung bersantai memerhati keindahan alam semula jadi di kawasan ini."

"Kolam ikan hiasan turut dibina sekeliling wakaf kayu bagi menempatkan aneka ikan hiasan yang bermain riang 'menghiburkan' tetamu," katanya.

Menyentuh penggunaan tumbuhan hijau, katanya, pokok keladi, serai wangi, puding dan balung ayam turut ditanam dalam pasu menyentuh kolam hiasan berdekatan wakaf berkenaan.

Katanya, beberapa pokok sakat sarang burung dan paku pakis langsuyar digantung bebas di tiang wakaf dan anjung tinjau.

Beliau membelanjakan kira-kira RM40,000 mengubah suai taman dalam kafe itu agar kelihatan indah dan kemas.

Katanya, bagi menimbulkan 'mood' keselesaan dan romantik, beliau menggunakan lampu hiasan bahagian syiling terbuka dan tiang seri turut digunakan.

Penggunaan atap nipah dan rumbia dalam keseluruhan struktur kafe berkenaan mampu memberikan teduhan selesa.

Selain itu, sebatang pokok kelapa pandan ditanam segar dalam pekarangan anjung selera agar memberikan signifikan tersendiri kepada peminat alam semula jadi.

Berdekatan bahagian dapur, beliau turut menggantung sebuah bubu ikan terpakai.

Katanya, kafe itu sentiasa menjadi tarikan ramai pengunjung terutama peminat hiasan dalaman.

"Ramai pelanggan dari luar seperti Damansara, Selayang, Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur berkunjung setiap minggu."

"Selain penataan ruang kemas, saya sentiasa memastikan pelbagai juadah hidangan lazat, enak dan menyegarkan disajikan kepada pengunjung," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: Eats.my

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::