Lemak-Lemak Manis Putu Perak
(Post: Bahasa Melayu)
" Rupanya molek bak sebiji cawan. Warnanya yang putih suci dan bertekstur gebu memikat hati untuk dijamah. Kuih yang diberi nama Putu Perak itu rasanya lemak-lemak manis. "
Itulah reaksi deria rasa apabila putu tersebut memasuki rongga mulut. Emosi yang sama dirasai oleh Fauzila Harun, 35, tatkala menikmati kuih tradisional Perak itu pada suatu petang kira-kira lima tahun lalu.
"Putu Perak adalah antara kuih yang ibu dan opah saya gemar sediakan untuk kami sekeluarga semasa saya kecil dulu. Namun, setelah zaman berubah, putu itu jarang dibuat dan semakin sukar ditemui," jelas wanita yang lebih mesra dipanggil Zie itu kepada Kosmo!.
Kenangan pada petang itu ternyata telah memberi ilham bisnes kepadanya. Kini, Zie ialah seorang pengusaha kek dan pastri serta beberapa kuih tradisional Melayu seperti baulu, kuih karas, baulu Kemboja dan rempeyek.
Tidak ketinggalan, Zie nekad menjadikan Putu Perak yang sebelum ini sekadar sajian sarapan pagi dan minum petang di kampung halamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak sebagai antara produk utama perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry.
Mengapakah Putu Perak?
Selain kurang persaingan, wanita itu yakin Putu Perak mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan. Bagi Zie, pembuatan kuih tradisional itu mempunyai falsafah yang tersendiri.
Baginya, kuih warisan itu adalah satu-satunya kuih yang kuat beridentitikan Perak berdasarkan tiga ramuan asasnya iaitu beras, pulut dan kelapa. Ketiga-tiganya pernah menjadi hasil pertanian utama dan makanan ruji penduduk negeri itu pada zaman dahulu.
"Walaupun ada yang memanggilnya putu cawan dan putu mangkuk, nama Putu Perak lebih tepat dan menyerlah serta mempunyai nilai komersial untuk membawanya di pasaran nasional," ujarnya.
Bermula dengan meletakkan Putu Perak yang dibuatnya di gerai-gerai makan dan kedai runcit di sekitar Chendorang Balai, Sungai Manik dan Labu Kubong pada setiap pagi, kuih warisan itu laris dan permintaannya begitu baik.
Kesungguhan Zie menjual kuih tradisional tersebut mula mendatangkan hasil dan berjaya membuka mata sebuah agensi kerajaan setahun kemudian.
Pada tahun 2006, rumah Zie dikunjungi oleh beberapa pegawai Pejabat Pertanian Sungai Manik yang diketuai Penolong Pegawai agensi itu, Mohamad Din Hussin, untuk melihat sendiri kesungguhan wanita itu menghasilkan Putu Perak.
"Kebetulan pada masa itu, kami bercadang membuka pusat sehenti menghasil dan memasar produk kecil dan sederhana (PKS) yang akan ditempatkan di Pejabat Pertanian Sungai Manik."
"Kami memerlukan seorang usahawan yang berpotensi untuk dibantu," jelas Mohamad Din.
Pusat sehenti itu ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewaan dan pengusaha terpilih sekadar melunaskan bil elektrik dan air bulanan.
Selain itu, bimbingan dan bantuan sokongan daripada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga ditawarkan.
Mohd. Din memberitahu, seramai 32 usahawan produk PKS di sekitar Sungai Manik, Chenderong Balai dan Labu Kubong telah disenarai pendek dan akhirnya Zie menerusi perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry, telah terpilih.
Tertarik dengan kegigihan dan wawasan masa depan perniagaan terutama kesungguhan mengkomersialkan kuih warisan negeri, Putu Perak, adalah antara sebab utama pemilihan Zie.
Peluang yang diberikan Pejabat Pertanian Sungai Manik itu bagaikan batu loncatan kepada Zie. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.
Peralatan memasak Putu Perak juga diperbaiki. Jika sebelum ini Zie dan pekerja mengukus kuih warisan itu di dalam tin yang telah ditebuk lubang kini peralatan khas diperbuat daripada besi digunakan.
Sambutan Menggalakkan
Zie juga telah ditawarkan buat kali pertama untuk memperkenalkan Putu Perak buatannya di acara Agrofest peringkat negeri di Ladang Infoternak Sungai Siput bermula 2007.
"Sambutannya amat menggalakkan. Kejayaan di Agrofest Perak 2007 membuatkan saya terus menyertai banyak ekspo dan karnival usahawan anjuran pelbagai agensi kerajaan di sekitar Perak dan negeri-negeri jiran seperti Kedah untuk mempromosi Putu Perak," ujarnya.
Zie juga pernah membuka gerai jualan Putu Perak di Karnival Sua Rasa anjuran televisyen swasta, TV9 di pekarangan Stadium Perak pada bulan April lalu.
Usaha wanita itu semakin mendapat pengiktirafan apabila Putu Perak buatannya disenaraikan sebagai salah satu Makanan Popular Perak oleh FAMA negeri.
Lebih membanggakan, kuih warisan itu berjaya menembusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) pada 2008 dan 2010.
Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.
Pembukaan gerai jualan itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan kuih warisan itu. Keunikannya menarik minat ramai pengunjung R&R tersebut untuk membeli dan mencuba keenakan Putu Perak.
Bagi yang pernah merasai Putu Perak sebelum ini, penjualan kuih warisan itu di kawasan milik Plus Expressways Berhad (PLUS) itu mampu mengimbau kenangan silam.
Bagi mereka yang tidak pernah menikmatinya, tentunya ia menjadi satu pengalaman baru apabila berpeluang menikmati makanan tradisional tempatan yang hampir pupus.
Menyentuh Hati
Pengalaman melayan ragam pelanggan meninggalkan pelbagai kenangan buat Zie. Begitu juga dengan kisah seorang pelanggan wanita berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Ramadan lalu.
Zie memberitahu, sepanjang bulan Ramadan itu, gerai jualan Putu Perak di R&R Ulu Bernam arah selatan ditutup bagi memberi ruang kepada dia dan pekerjanya menyiapkan tempahan kuih dan kek raya di Chenderong Balai.
Satu hari dalam bulan yang mulia itu, Zie dihubungi oleh seorang wanita yang begitu teringin merasai Putu Perak.
Wanita yang mendapat nombor telefon bimbit Zie daripada pengurusan PLUS dan FAMA Perak itu merayunya agar membuka gerai jualan di R&R tersebut.
Menurutnya, dia berasal dari daerah Hilir Perak tetapi telah menetap lama di Seremban, Negeri Sembilan dan sanggup memandu kereta dari jauh semata-mata mahu menjamah Putu Perak sebagai salah satu sajian berbuka puasanya.
Mendengar rayuan wanita terbabit, Zie tidak sampai hati lantas menyiapkan kuih warisan yang dipesan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan tersebut di kawasan R&R terbabit.
"Saya akhirnya dapat menyerahkan Putu Perak yang dipesan wanita itu ketika hampir waktu berbuka puasa. Daripada riak mukanya, jelas dia gembira kerana dapat menikmati putu tersebut."
"Terharu saya sekejap. Momen itu menjadi antara pengalaman indah sepanjang saya berniaga Putu Perak. Semangat saya semakin kuat untuk membawa kuih warisan negeri kelahiran saya ini di peringkat lebih tinggi," ujarnya.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment