ATTENTION !!!

Showing posts with label kelas memasak. Show all posts
Showing posts with label kelas memasak. Show all posts

Friday, June 24, 2011

Baja Kompos Ladang Organik Cetdem

(Post: Bahasa Melayu)
" Setiap pagi, Neo Yee Han akan meredah kesesakan jalan raya selama 40 minit dari rumahnya di Setia Alam ke Projek Ladang Organik Cetdem di Jalan 15/19 Petaling Jaya, Selangor. "

Aktiviti harian bagi sukarelawan wanita yang umurnya menjangkau separuh abad itu bermula sekitar pukul 8 pagi. Kerja-kerjanya melibatkan aktiviti menjaga, menabur kompos dan memastikan tanaman mendapat air secukupnya serta bebas daripada serangan serangga perosak.

Yee Han akan memastikan semua kerja-kerja di ladang siap sebelum matahari berada tegak di atas kepala. Antara sayur-sayuran yang ditanam di ladangnya adalah kentang, ulam-ulaman, pokok selasih dan cili padi.

Selepas itu, dia mula menguruskan perkara-perkara lain di pusat tersebut seperti mengadakan kelas masakan Slow Food, jualan buku panduan organik dan menjual biji benih.

"Sudah tiga tahun saya menjaga tanaman organik di pusat ini secara serius sejak anak tunggal saya melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Singapura."

"Pada mulanya, memang saya tidak suka cuaca panas. Lagipun terpaksa memegang kompos dan nyamuk pula terlalu banyak," kata Yee Han yang mengambil masa hanya tiga bulan mempelajari pembuatan kompos.

Yee Han tidak pernah mempunyai sukatan yang tepat untuk membuat baja organik tersebut. Sebaliknya, dia hanya mengikut gerak hati dan pertimbangannya.

"Apabila saya buka bekas berisi kompos, jika ada rasa sedikit hangat pada tapak tangan, ia sudah siap. Rupa kompos yang terbaik adalah ia kelihatan seperti tanah dan berbau tanah biasa," ujarnya yang meminati tanaman herba.

Bagi Yee Han, menjaga tanaman organik sama seperti menjaga tanaman kaedah lain, cuma tidak menggunakan racun dan baja kimia.

"Tanaman harus sentiasa dijaga supaya tidak dijangkiti serangga perosak seperti ulat bulu, air dan cahaya matahari yang mencukupi."

"Tanah pula perlu sihat dengan menggunakan kompos yang baik. Struktur tanah pula perlu seimbang iaitu tidak terlalu melekit dan sedikit berpasir supaya ada peredaran udara," kata wanita yang lebih selesa dipanggil Puan Neo itu.

Kompos

Koordinator Projek Ladang Organik Cetdem, Tan Siew Luang, 60-an, berkata, baja kompos adalah bahan-bahan buangan yang diperam sekurang-kurangnya tiga bulan.

Asas komposisi kandungan kompos adalah tiga bahagian karbon dan satu bahagian nitrogen.

Antara bahan buangan yang digunakan ialah sampah sarap dari pasar, rumput, dedaun kering, hampas tebu, hampas kelapa, kulit pisang dan nangka.

Selain itu, penggunaan tulang haiwan seperti ikan, ayam dan najis ayam juga boleh digunakan.

Bahan-bahan tersebut perlu disusun berlapis-lapis dan diperam di dalam bekas. Dalam tempoh pemeraman itu, mikroorganisma akan memecahkan semua bahan buangan tersebut.

Hasil kompos pula bergantung kepada kerajinan seseorang, jika bahan-bahan buangan tersebut dikisar halus maka hasilnya adalah lebih baik.

Menurut Siew Luang, baja kompos mengandungi serat yang tinggi dan nitrogen yang rendah. Ia boleh digunakan pada jumlah yang banyak berbanding baja organik.

"Komposisinya pula dapat meningkatkan struktur tanah, menentang penyakit dan mengekalkan kelembapan tanah," katanya yang mendapat pendidikan mengenai tanaman organik di Jepun.

Pelopor tanaman organik di Malaysia itu sudah 26 tahun aktif menyedarkan masyarakat supaya beralih kepada tanaman organik.

Baginya, tanaman organik bukan saja tidak menggunakan bahan kimia bahkan pengamalnya tidak boleh mengambil jalan singkat.

"Dalam pembuatan baja organik, tidak boleh menggunakan sebarang mikororganisma asing bagi mempercepatkan proses penguraian tetapi kita boleh bereksperimen," kata wanita yang berasal dari Sungai Abung, Muar itu.

Bagaimanapun, eksperimen dibenarkan bagi melihat kesesuaian bahan buangan dan keadaan tanah di sesuatu tempat kerana setiap kawasan mempunyai jenis tanah yang berbeza.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 15, 2010

Sekolah Latihan Wanita SELAWA

(Post: Bahasa Melayu)
" Gelagat sekumpulan pelajar wanita berkemeja-t berlengan panjang hitam dan jingga di bilik kuliah yang bersambung di belakangnya dapur pelbagai guna itu benar-benar mencuri perhatian. "

Kegirangan jelas terpancar di wajah mereka meskipun masing-masing sibuk dengan peranan dan tugas yang diberikan.

Ada yang menyelia api bagi memastikan ayam yang digoreng itu tidak mentah atau terlebih masak, ada yang menghiris dan memotong keperluan bahan-bahan untuk menumis.

Di satu sudut yang lain pula, sekumpulan pelajar sibuk mengadun ramuan untuk menghasilkan beberapa jenis biskut tradisi menggunakan mesin khas.

Setiap arahan diberikan oleh tenaga pengajar dalam penyediaan hidangan itu dipatuhi biarpun ia sekadar peringatan untuk menambah secubit garam atau sesudu kecil gula.

Usai 15 minit pertama menjejakkan kaki di Sekolah Latihan Wanita atau lebih dikenali sebagai Selawa, penulis kemudiannya dibawa menjengah ke kelas jahitan dan sulaman yang terletak di aras satu.

Di dalam kelas itu, seramai 20 pelajar gigih menyiapkan projek baju kurung moden. Ada yang masih berusaha melaksanakan jahitan akhir, membetulkan jahitan butang dan menetas benang yang tersimpul kusut.

Pada masa sama, beberapa orang pelajar menguntum senyuman. Baju kurung yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri itu sudah hampir siap.

Biarpun tidak segah atau secantik hasil tangan tukang profesional, namun kualiti yang dihasilkan oleh pelajar terbabit tidak kurang hebatnya.

Selain kelas memasak lauk-pauk, kuih-muih moden dan tradisional serta jahitan, empat lagi kelas lain di bangunan dua tingkat itu turut bergerak serentak.

Antaranya termasuklah sulaman tangan dan mesin, solekan dan dandanan rambut, kemahiran komputer dan pendidikan agama.

Demikianlah keunikan Selawa, institusi kemahiran wanita yang dimiliki sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan dakwah dan antara yang tertua di negara, Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP).

Menerusi sistem pembelajaran yang ditawarkan, setiap pelajar yang menyertai sekolah kemahiran tersebut, akan mengikuti kesemua kelas tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan.

Menurut Pengetua Selawa, Norhafizah Harun, 39, apa yang ditawarkan oleh institusi terbabit merupakan latihan asas yang lengkap bagi seorang wanita.

Menawarkan kursus peringkat asas dan lanjutan sejak 1962, Selawa sehingga kini telah melahirkan lebih 7,000 bekas pelajar yang mendapat manfaat daripada silibus istimewa ini.

"Setiap pelatih dalam kumpulan masing-masing akan mengikuti semua modul di Selawa secara bergilir-gilir."

"Mungkin pada hari ini, seseorang pelatih itu akan mempelajari cara membuat kek, rakannya pula didedahkan teknik sulaman manakala seorang lagi mengikuti kelas asas komputer," katanya kepada Kosmo!.

Norhafizah yang merupakan salah seorang daripada tujuh tenaga pengajar di Selawa memberitahu, setiap pelatih yang berjaya menamatkan pengajian asas selama setahun, boleh berbangga dengan apa yang dipelajari.

Mereka bukan saja boleh membuka bisnes jatihan, sulaman atau masakan, lepasan Selawa hakikatnya adalah individu yang pandai serba-serbi dalam hal ehwal kewanitaan.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan, lepasan Selawa sebenarnya bersedia 100 peratus untuk menjadi seorang wanita apatah lagi bergelar suri rumah."

"Bahkan sebelum ini pun, ramai memberitahu Selawa merupakan antara tempat yang terbaik bagi kaum lelaki khususnya di Ipoh, Perak mencuba nasib mencari jodoh," selorohnya.

Pelatih dari seluruh negara

Menurut Norhafizah, sejak hampir lima dekad lalu, Selawa menerima pelatih dari seluruh pelosok negara. Namun persepsi kononnya institusi terbabit seolah-olah seperti pusat pemulihan akhlak menyebabkan tidak ramai yang mengetahui kewujudannya.

"Salah tanggapan ini berlaku mungkin kerana nama Selawa sendiri iaitu Sekolah Latihan Wanita."

"Pada hakikatnya, inilah satu-satunya institusi yang menawarkan modul latihan bersepadu dengan yuran yang berpatutan," katanya.

Menurut Norhafizah, pada satu-satu masa Selawa mampu menampung sehingga 100 orang pelatih dan setiap yang mendaftar bagi mengikuti kursus, digalakkan menetap di asrama yang disediakan.

"Selain asrama yang lengkap dengan kemudahan asas termasuk bilik bacaan dan ruang menonton televisyen pada waktu senggang, pelajar juga disediakan sarapan pagi sehinggalah makan malam," katanya.

Bagi mempelbagaikan aktiviti kokurikulum pelajar, Selawa secara konsisten menganjurkan ceramah agama, menubuhkan kumpulan nasyid, kompang, silat, selain mengadakan kursus motivasi keusahawanan, lawatan sambil belajar selain pertandingan masakan dan gubahan.

Meskipun syarat kemasukan ke Selawa sekurang-kurangnya lulus Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mampu membaca serta menulis, Norhafizah mengakui terdapat juga graduan institusi pengajian tinggi melanjutkan pengajian di institusi terbabit.

"Pelajar yang menuntut di sini datang daripada pelbagai latar belakang dan kehidupan. Ada yang datang dengan kerelaan sendiri, terdapat juga yang dihantar oleh ibu bapa bagi mendalami ilmu kewanitaan."

"Apa yang membanggakan, Selawa pernah menerima graduan ijazah sarjana muda tidak lama dahulu," kata Norhafizah yang bertugas di Selawa sejak 16 tahun lalu.

Selawa bukan calang-calang institusi. Nurul Atiqah Mohd. Yusop, graduan diploma perakaunan dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan misalnya, sudah hampir menamatkan kursus asas selama setahun di Selawa.

Berasal dan menetap di Tangkak, Johor, Nurul Atiqah mengakui kehadirannya di institusi tersebut sejak Januari lalu didorong oleh ibunya. Kata Nurul Atiqah, 22, ibunya menghantar dia ke Selawa sebagai mengisi masa terluang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Pada mulanya, saya ingat hanya belajar memasak dan menjahit tetapi rupa-rupanya kami didedahkan dengan pelbagai kemahiran lain."

"Apa yang menarik, saya kini boleh memasak hidangan kegemaran ibu di kampung bahkan boleh menjahit baju kurung sendiri," katanya teruja.

Ujar Nurul Atiqah, dia langsung tidak menyesal menghabiskan masa setahun di Selawa biarpun ramai di kalangan rakan sekuliah semasa menuntut di politeknik dahulu selesa dengan kerjaya masing-masing selain menyambung pelajaran.

Kemahiran sebagai kerjaya

Seorang lagi pelajar, Nurliza Musa, 16, pula menyimpan seribu satu harapan apabila tamat latihan di Selawa kelak.

Remaja terbabit sedar dengan kelulusan akademik sehingga tingkatan tiga itu tidak menjamin apa-apa kepadanya. Justeru, dia bertekad menjadikan sesi latihan asas dan lanjutan selama dua tahun di Selawa sebagai peluang kedua.

"Saya mahu menjadi seorang tukang masak yang berjaya dan mungkin satu hari nanti kemahiran tersebut akan menjadi sumber rezeki seperti sebahagian besar bekas pelajar Selawa sebelum ini," katanya.

Berbeza dengan Nurul Atiqah dan Nurliza, Nurshazlesha Suhaimi pula mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah pun mempunyai kerjaya sebagai seorang kerani dengan pendapatan tetap di Kuala Lumpur, wanita berusia 26 tahun itu nekad mendaftar di Selawa sejak Januari lalu.

Kata Nurshazlesha, ramai rakan-rakannya terkejut dengan keputusan lebih-lebih lagi tindakannya seolah-olah terkebelakang.

"Saya sudah mempunyai kerjaya yang stabil namun minat yang mendalam terhadap masakan dan jahitan membuatkan saya membulatkan tekad mendaftarkan diri mengikuti pembelajaran di sini."

"Azam saya adalah membuka sebuah kedai membuat kuih di kampung halaman di Pulau Pinang tidak lama lagi," katanya.

Setiap pelajar yang menamatkan pengajian akan dianugerahkan sijil yang dikeluarkan PSIP.

Dengan yuran pendaftaran sebanyak RM450 dan yuran bulanan RM120, Selawa seharusnya dijadikan pilihan kepada semua wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun yang berminat.

Sesi pembelajaran adalah pada hari Isnin sehingga Jumaat bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai Selawa boleh datang terus ke Kompleks PSIP di No. 9, Jalan Seruan, 30250 Ipoh Perak atau hubungi talian 05-2548708.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, April 10, 2010

Hiasan Kek Norrizan Bakers

(Post: Bahasa Melayu)
" Sungguhpun tidak memiliki sebarang kepakaran, ia tetap mampu dilaksanakan, malah segalanya boleh dilakukan jika seseorang memiliki kesungguhan untuk menjayakannya, kata pemilik Norrizan Bakers, Norrizan Alias. "

Menurutnya, tidak memiliki bakat semula jadi bukan satu kekurangan sebaliknya berkat usaha yang ditunjukkan, banyak perkara boleh dilakukan.

Begitu juga dengan pembuatan bunga hiasan kek yang mungkin dianggap sukar.

"Apatah lagi kini, banyak kelas yang boleh diikuti untuk mendapatkan tunjuk ajar terutama jika berminat untuk menjadikannya satu cabang perniagaan."

"Jangan mensia-siakan bakat yang ada kerana ia mungkin dapat digunakan untuk membantu meningkatkan taraf hidup kita."

"Jadikan cabaran ketika melakukannya sebagai penaik semangat untuk terus berusaha hingga berjaya mencipta sesuatu yang baru berdasarkan kreativiti sendiri," katanya.

Ditemui di kedainya, Norrizan Bakers, di Len Seng Garden, Petaling Jaya, baru-baru ini, Norrizan berkata, kebanyakan pengalaman membuat kek yang dicurahkannya diperoleh dari banyak tempat dan melalui bantuan ramai pihak.

"Saya pergi ke mana saja tempat yang memiliki pakar dalam bidang masakan semata-mata untuk belajar teknik yang digunakan."

"Kemudian, saya olah kembali dan berikan sentuhan terkini agar bersesuaian dengan permintaan serta kehendak pasaran terutama generasi muda kini yang sentiasa menginginkan kelainan," katanya.

Dia turut membuka kelas mengajar membuat kek, bunga hiasan untuk kek dan memasak kepada usahawan yang berminat.

"Kelas ini saya usahakan supaya dapat memperturunkan kepakaran yang ada kepada generasi muda agar mereka dapat menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pilihan," katanya.

INFO:
Cara mudah menghasilkan bunga hiasan untuk kek.

Sediakan bahan untuk membuat pes gula iaitu gelatin, air panas, cecair glukos, gula ising dan tepung jagung.

Bagi bahan membuat bunga hiasan pula, sediakan doh pes gula, dawai, berus warna, putih telur dan pelekat bunga.

1. LEPER... canaikan doh pes gula senipis mungkin.

2. TERAP... gunakan acuan berbentuk kelopak bunga dan terap sebanyak mungkin.

3. BENTUK... tekan hujung kelopak bunga terbabit hingga menjadi beralun.

4. SATUKAN... sapukan putih telur pada kelopak bunga untuk mencantumkannya antara satu sama lain.

5. KUDUP... untuk kudup bunga, hanya perlukan dua kelopak dan biarkan ia hingga kering.

6. GABUNG... cantumkan dawai pada kelopak bunga dan gunakan putih telur sebagai gam.

7. BENTUKKAN... pastikan hujung kelopak bunga tadi dilengkungkan untuk menampakkan bentuk kelopak bunga asli.

8. BAKAR... untuk mempercepatkan proses pengeringan, bakar kelopak bunga terbabit dalam ketuhar pada suhu 50 darjah celsius.

9. BALUT... kudup bunga tadi dibalut dengan pelekat bunga.

10. SERTAKAN BERSAMA... lilitkan bersama beberapa kelopak bunga yang sudah dikeringkan.

11. GUBAH... untuk menambahkan seri bunga sertakan bersama daun hiasan.

12. SIAP... bunga hiasan untuk kek.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, November 29, 2008

Kelas Memasak RFC Enterprise

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun premisnya itu baru berusia setahun jagung (mula dibuka pada Jun 2008), namun kini premisnya sudah mempunyai lebih 300 ahli, termasuklah dari Sabah, Sarawak dan Brunei, yang sama-sama minat dalam bidang masakan."

Satu kepercayaan yang sentiasa dipegang usahawan, Rohayati Ayub, yang juga merangkap tenaga pengajar yang sudah mencecah usia 45 tahun ini, setinggi mana kejayaan yang diraih pasti bermula dari langkah yang satu.

Kini, dia sudah boleh berbangga dengan pembukaan RFC Enterprise iaitu premis membekalkan bahan dan peralatan membuat kek, roti dan biskut yang terletak di Pusat Perniagaan Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dengan bayaran yuran serendah RM10 untuk setiap kelas masakan, beliau turut meringankan tulang menganjurkan kelas memasak hasil usaha dan pengalaman yang dikutip beberapa tahun lalu.

Selain membekal bahan masakan, dia turut membuka kelas masakan yang boleh memuatkan kira-kira 50 pelajar sekali gus di tingkat satu premis yang sama.

Kelas berkenaan yang diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad memberi peluang kepada para pelajar melihat demonstrasi memasak sesuatu jenis masakan secara terus selain teori yang diajar berdasarkan resipi yang disediakan.

Dengan pelan jangka panjang untuk menyediakan sebuah asrama kepada pelajar yang datang dari jauh, tidak mustahil premis milik Rohayati ini bakal menjadi kilang yang akan melahirkan golongan wanita yang kaya dengan ilmu orang dapur.

INFO Kelas Memasak:
Antara masakan yang diajar termasuklah:
- roti
- kek
- kuih tradisional
- ais krim
- masakan barat

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::