ATTENTION !!!

Showing posts with label biskut raya. Show all posts
Showing posts with label biskut raya. Show all posts

Thursday, September 2, 2010

Rezeki Remaja di Bazar Ramadhan

(Post: Bahasa Melayu)
" Terik sinar mentari yang membakar kulit langsung tidak dipedulikan. Sebaliknya pemuda bertopi dan memakai apron hijau itu tekun melaksanakan tugasnya. Dengan kedua-dua belah tangan dibaluti sarung plastik, dia tangkas membalik-balikkan hirisan dan ketulan daging di atas sekeping kuali leper berwarna hitam. "

Sebaik sos pekat berona coklat dituang, aroma rempah ratus yang harum pantas menusuk hidung. Tidak sampai dua minit, hidangan istimewa itu siap.

Menu kambing panggang sos lada hitam bersama hirisan bawang dan cili merah itu kelihatan amat menyelerakan.

Itulah air tangan Mohd. Irwan Zahar, 26, yang tidak mahu ketinggalan mencari rezeki dengan berniaga di bazar Ramadan yang beroperasi di kawasan letak kereta, Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah, Ampang.

Menurut Irwan rutin berjualan di bazar sepanjang bulan puasa sudah dilakukan sejak empat tahun lalu. Juadah pilihan untuk dijual ialah pelbagai kuih dan kambing panggang yang sentiasa menjadi kegemaran pelanggan.

"Alhamdulillah, rezeki berniaga sentiasa ada. Walaupun setiap perniagaan ada naik dan turunnya, tapi saya yakin."

"Apa yang penting, kita harus pastikan barangan yang dijual berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan. Kalau sekali mereka suka dengan makanan yang dijual, sudah tentu akan ada kunjungan kedua dan seterusnya," kata Irwan sambil tersenyum.

Irwan yang memiliki perniagaan stokis burger yang membekalkan pelbagai daging burger mengakui dirinya memang berjiwa bisnes.

Bahkan dia sanggup berhenti kerja di bahagian kejuruteraan di syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada tahun 2006.

"Bagi saya berniaga merupakan cara terbaik untuk menambah pendapatan. Malah, 9/10 daripada pendapatan manusia datang daripada perniagaan."

"Jadi, mengapa kita tidak cuba melakukannya dengan tujuan mencari rezeki yang halal?," tanya Irwan sambil memberitahu cabaran utama yang dihadapi ialah untuk mendapatkan tapak bazar itu sendiri.

Bagi melancarkan urusan berniaga di bazar Ramadan, anak jati Kuala Lumpur itu mengupah tiga pekerja untuk membantunya.

Bagi Azmir Shaharudin, 21, sudah tiga tahun dia membantu Irwan menguruskan jualan di bazar tersebut. Anak kelahiran Ipoh, Perak itu memegang tugas memasak kambing dan menyediakan sos.

"Setiap hari, kami akan memanggang seekor kambing untuk dijual. Apabila ramai pelanggan, saya rasa sangat seronok."

"Jika jualan pada hari tersebut habis licin, memang terus hilang rasa penat sepanjang hari," ungkap Azmir.

Jika Azmir sudah tiga tahun membantu Irwan, berlainan pula dengan Mohd. Safwan Ibrahim, 18, yang baru memulakan tugasnya tahun ini.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman, Kosas, Ampang itu menyatakan dia mengambil peranan menjual kuih dan jeli.

"Kalau ikutkan memang penat rasanya apabila terpaksa berdiri sambil menunggu pelanggan datang. Tambahan pula kita berpuasa."

"Tapi, itu semua saya anggap sebagai cabaran untuk mencari pengalaman sebagai peniaga," jelas Safwan yang bercita-cita mahu membuka bengkel automotif suatu hari nanti.

Sementara itu, seorang lagi remaja yang ditemui, Nurul Syahrani Azizan, 21, tidak lokek berkongsi pengalaman sebagai peniaga muda.

Nurul yang baru menamatkan persekolahan di tingkatan enam memberitahu, ini pengalaman keduanya berpeluang berniaga di bazar Ramadan.

"Melihat hasil yang diperoleh daripada berniaga ikan bakar tahun lalu menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk meneruskan tradisi itu tahun ini."

"Sekurang-kurangnya saya mampu berdikari dan mencari duit sendiri tanpa menyusahkan keluarga. Daripada membuat perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa, lebih baik saya melakukan tugas ini," tegas Nurul.

Bagaimanapun, lantaran baru berjinak-jinak dalam bidang ini, Nurul membuat keputusan untuk menjual makanan ringkas seperti mi, kuih-muih, air serta popia sata dan popia otak-otak.

Pada masa yang sama, dia turut mengambil tempahan membuat beberapa jenis biskut raya. Semua itu dilakukan semata-mata untuk menambah duit poketnya.

Apakah cabaran yang dihadapi sewaktu berniaga? Anak ketiga daripada lima adik-beradik itu menjawab: "Biasalah kalau berniaga di bazar Ramadan, sudah tentu mempunyai persaingan."

"Tapi, ia perlu dilihat secara positif. Yang lain-lain tu rasanya seperti berbuka di tapak jualan dan kadang-kadang apabila terpaksa bekerja seorang diri kerana tak mampu untuk mengupah pekerja."

Tahun ini Nurul dibantu oleh sahabatnya, Norayu Mazlan, 18.

"Sukar menggambarkan kepuasan apabila berjaya memperoleh pendapatan hasil titik peluh sendiri."

"Ia secara tidak langsung mengingatkan saya bagaimana ibu bapa mencari rezeki untuk kesenangan anak-anak" ujar Norayu.

Pendapat Norayu turut disokong oleh seorang pengunjung bazar berkenaan, Helmi Osman, 33, yang memuji sikap berdikari golongan remaja masa kini.

"Diharap lebih ramai lagi remaja tampil ke hadapan untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh memajukan diri mereka," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 9, 2009

Perusahaan Makanan Norazizah

(Post: Bahasa Melayu)
"Minat dalam bidang perniagaan, mendorong Iskandar Mohd. Ali dari Kampung Kelemak di sini menceburi bidang yang penuh risiko itu biarpun tanpa mendapat bantuan modal daripada mana-mana pihak."

Bermula berniaga katering makanan dalam usia 19 tahun, Iskandar tekad meninggalkan kerja tetapnya dalam bidang kejuruteraan selepas beberapa tahun menimba pengalaman bekerja dengan majikan berbangsa Cina yang dianggapnya sebagai guru.

Dia yang kini berusia 37 tahun mencuba pelbagai jenis perniagaan termasuk francais makanan nasi lemak dan perkhidmatan dobi namun perniagaan kecil-kecilan itu terjejas ekoran kegawatan ekonomi pada 1998.

Namun, ia tidak menjadi halangan kepada Iskandar untuk terus berusaha dan dengan bermodalkan simpanan RM2,000, dia menyewa sebuah kereta bagi menjalankan perniagaan kereta sewa pula.

"Bagaimanapun, saya terpaksa melupakan perniagaan itu kerana masalah peribadi dan membawa diri ke Pontian, Johor, saya kemudiannya bertemu jodoh dengan isteri, Norazizah Chening dan membina keluarga di Johor," katanya.

Menurutnya, setelah hampir setahun tanpa membuat apa-apa pekerjaan, keinginan Iskandar untuk berniaga semula berputik kembali.

Katanya, hatinya tersentuh melihat keazaman dan ketekunan ibu mertuanya mengusahakan kedai runcit dan pada masa sama menjaja kuih kacang bersendirian.

"Saya kagum dengannya yang amat tekun sekali berniaga tanpa bantuan sesiapa, seolah-olah berniaga itu satu seni yang amat tinggi nilainya dan tidak sama dibandingkan dengan wang ringgit jika berniaga semata-mata mahu untung sahaja."

"Kesedaran itu yang mendorong saya kembali berniaga dan menyambung perusahaan kuih kacang sampai hari ini dengan modal RM2,000 yang saya pinjam daripada jiran di Pontian," katanya.

Jelasnya, sejak itu, dia dan isteri tidak lagi menoleh ke belakang dan mengusahakan jualan kuih kacang dengan menjaja dari sebuah kedai kecil hingga ke kompleks perniagaan yang besar di Johor Bahru.

Katanya, berkat kesungguhan itu, perusahaannya mendapat sambutan menggalakkan dan perniagaan itu kini diteruskan di Kelemak dengan menumpang operasi perniagaan di bangunan Balai Raya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kelemak sejak tiga tahun lalu.

"Alhamdulillah, usaha ini mendapat bantuan dan sokongan wakil rakyat dan sidang kampung di sini, mereka sudi menumpangkan bangunan JKKK ini untuk membolehkan saya meneruskan perniagaan," katanya yang kini mempunyai empat pekerja bagi membantu operasi niaga harian.

Akhirnya, kegigihan dan pengorbanan anak muda ini membuahkan hasil kerana mampu menikmati pendapatan kasar kira-kira RM120,000 untuk tempoh masa tiga bulan.

Dia menjual serta memborong kuih raya dan pelbagai jenis kerepek yang dihasilkan melalui syarikatnya sendiri, Perusahaan Makanan Norazizah.

Menariknya, kuih biskut raya dihasilkan sepenuhnya melalui tenaga kerja manusia dan hanya sedikit sahaja biskut dibuat melalui mesin, oleh itu rasa biskut dihasilkan masih asli dan enak.

Kata Iskandar, perniagaannya itu akan dikembangkan apabila dia membuka bangunan baru untuk perusahaan itu yang terletak kira-kira 100 meter dari bangunan JKKK sedia ada serta bakal dijadikan pusat sehenti jualan produk Satu Kampung Satu Industri.

CONTACT INFO:
Perusahaan Makanan Norazizah
Lokasi: Balai Raya JKKK Kelemak Alor Gajah

Telefon: 013-7878575 atau 013-6818577

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, July 18, 2009

Biskut Raya D FLOWERS CAKE

(Post: Bahasa Melayu)
"Apa yang pasti, saya suka mengambil pendekatan ringkas agar peserta mudah faham, penggunaan barangan atau bahan mentah yang tidak terlalu mahal dan hiasan yang sedap mata memandang."

Kemunculan biskut pada musim perayaan sering membuat selera sesiapa pun terpana. Ini kerana biskut antara kudap-kudap yang jarang ditemui pada hari-hari biasa berbanding snek lain.

Dengan penampilannya yang istimewa, pelbagai corak dan bentuk, biskut moden menjadi pilihan untuk 'memeriahkan' meja makan pada musim perayaan.

Menyedari hakikat itu, satu bengkel bertemakan Jom Buat Biskut Raya anjuran D Flowers Cake telah diadakan pada 5 Julai ini bertempat di Hotel KL International, Kuala Lumpur.

Program yang diadakan pada hujung minggu itu dijalankan secara teori dan praktikal. Ia bertujuan mengajak mereka yang berminat untuk mempelajari cara-cara menghasilkan biskut-biskut moden bercita rasa enak.

Jelas pemiliknya, Zanifah Md Nor, 41, program itu bukan sahaja sesuai untuk kaum ibu yang berhasrat menghasilkan sendiri biskut untuk ahli keluarga, malah ia boleh dijadikan pendapatan sampingan.

"Dengan kos yang agak rendah berbanding biskut yang ditempah, menghasilkan biskut sendiri pasti memberikan seribu kepuasan.

"Kepada yang kaki berniaga pula, inilah masanya untuk menambahkan pendapatan keluarga. Pendek kata, tidak sia-sia menjual biskut yang ada rupa dan rasa," tambahnya yang sering mengadakan bengkel pastri dan biskut.

Bengkel kali ke-21 anjuran D Flowers Cake ini menampilkan enam jenis biskut moden iaitu lorrita, lambada, santana, balada, kapakabilla dan senjakala.

D Flowers Cake juga turut menawarkan beberapa bengkel pastri seperti bengkel membuat dan menghias kek, kraf gula, roti dan talam yang sering mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta.

CONTACT INFO:
Telefon: 019-6647068 / 012-6759076

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::