ATTENTION !!!

Showing posts with label karipap. Show all posts
Showing posts with label karipap. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Produk Makanan Nourlie

(Post: Bahasa Melayu)
" Usaha tanpa mengenal jemu dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya membawa Norli Ahmad, 43 menjadi usahawan seperti sekarang. "

Biarpun hanya berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendirikan rumah tangga seawal usia 19 tahun, perkataan putus asa dan gagal tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

Bermula dengan kehidupan sebagai suri rumah tanpa pendapatan, Norli mencari pelbagai pekerjaan bagi menjana pendapatan di rumah dengan menggunakan modal yang kecil.

Malah pengalaman berniaga membantu keluarganya semasa usia remaja banyak membantu Norli dalam usaha membina empayar perniagaannya.

Tidak pernah mengenal erti perkataan putus asa, dia memulakan perniagaan menjual roti canai segera dengan modal sekecil RM10.

Roti canai yang dihasilkan dijual di sekitar kampung menggunakan motosikal sambil menggendong anak dianggap sebagai cabaran bagi mendaki tangga kejayaan.

Selepas bersusah-payah selama lebih tiga bulan dengan mengubah resipi beberapa kali barulah Norli mendapat menambat hati para pelanggan.

Malah sejak itu, dia telah mula mendapatkan bukan saja pelanggan tetap tetapi juga pasaran yang lebih besar.

Menjelang musim perayaan, Norli memang tidak menang tangan menerima tempahan pelbagai jenis kek dan biskut yang hanya dipelajari daripada majalah dan buku masakan yang ada di pasaran.

Ketika itu pada tahun 1990, Norli amat bersyukur apabila mendapat hasil pendapatan pertama hasil jualan biskut lebih RM100.

"Ketika itu saya merasa amat gembira dengan pendapatan pertama dan pada masa itu saya rasakan ini merupakan permulaan bagi membuka jalan bagi saya untuk berkecimpung dalam bidang ini," katanya semasa ditemui di premisnya di Kampung Mampan, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor.

Sebagai seorang usahawan yang baru, beliau sentiasa ingin mencuba dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan berhenti sehingga mendapat apa yang dihajati walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Selepas berjaya dengan jualan roti canai yang mendapat pasaran yang menggalakkan, Norli mula terfikir untuk membuat piza bagi memberi peluang bagi masyarakat di Batu Pahat merasai kelazatan dan perbezaan berbanding dengan makanan tradisional.

Mencari resipi dan cuba menghasilkan yang terbaik, akhirnya Norli berjaya membuat piza yang diterima pelanggan.

Malahan Norli berjaya menjual piza buatannya bukan saja di pasar-pasar malam sekitar Batu Pahat tetapi juga di sekolah-sekolah dengan harga yang amat berpatutan dan boleh dibeli oleh segenap lapisan masyarakat.

"Sebenarnya saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus masakan yang banyak dianjurkan seperti sekarang."

"Saya lakukan semuanya sendiri dengan mencuba pelbagai resipi sehingga mendapat apa yang dihajati," ujarnya.

Malah beliau pernah membuang beberapa kilogram tepung dan adunan kerana kuih dan kek yang dibuat tidak seperti yang diingini.

"Saya akan mencuba sehingga berjaya. Saya tidak pernah putus asa dan tidak pernah menganggap adunan yang dibuang hanya membazir."

"Sebaliknya adunan berkenaan boleh dikatakan seperti percubaan saya sebelum mendapat yang terbaik," jelas beliau.

Bersama-sama dengan suami, Afandi Anim, 45 yang banyak memberikan sokongan dan galakan, Norli berjaya menghasilkan produk dengan jenama Nourlie.

Berbekal dengan galakan serta sokongan keluarga walaupun ketika itu tiada skim bantuan kerajaan, perniagaan biskut Norli terus berkembang sehinggalah Jabatan Pertanian menghulurkan bantuan semasa beliau menyewa bangunan pekan Batu Pahat.

Bermula di sana, Norli mula membuat pelbagai jenis biskut termasuk 12 jenis makanan sejuk beku seperti roti canai mampan, donat, karipap, cucur badak, kasturi, popia dan murtabak daging, kek dan roti seperti kek muffin dan coklat moist.

Produk lain termasuk kek marble dan kek aising serta lebih 50 aneka biskut seperti almond slice, black pistachio, malatops crispy, alahai cookies, blackberry tart, chips knox classic dan conflakes crispy.

Norli berkata, kini syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 30 karton biskut sebulan bergantung kepada permintaan dengan satu karton mempunyai 24 bungkusan biskut.

Manakala bagi makanan sejuk beku pula, syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 50 kilogram sehari.

Bercerita mengenai cabaran dalam perniagaan, Norli menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah dari segi produk.

"Cuma banyak kes yang melibatkan pelanggan tidak membayar selain daripada masalah banjir."

"Ketika dilanda banjir pada tahun 2007, saya mula mengenali Agro Bank semasa membacanya di akhbar," katanya.

Semasa itu beliau membuat pinjaman bagi membaik pulih peralatan dan mesin yang rosak akibat ditenggelami air semasa banjir.

Kini Norli boleh berbangga apabila pasaran biskut jenama Nourlie tersebar luas bukan saja di sekitar Batu Pahat di kedai-kedai runcit, kantin sekolah dan pasar raya malah sehingga ke Lembah Kelang.

"Sehingga kini saya sendiri tidak tahu bagaimana pasaran biskut saya boleh sampai sehingga dijual di kiosk-kiosk di pasar raya ke Kuala Lumpur," katanya.

Beliau mempunyai 15 orang pekerja yang bekerja selama lima hari seminggu dan lapan jam sehari.

Sehingga kini produknya telah menerima persijilan HALAL daripada pihak berkuasa manakala sedang dalam proses mendapatkan bagi mendapatkan persijilan Amalan Pengilangan Baik (APB).

Bercerita mengenai perancangan serta harapan di masa akan datang, Norli berharap dapat meningkatkan lagi kualiti produk bagi mendapatkan pasaran yang lebih luas misalnya sehingga ke negara Timur Tengah.

"Sebelum ini Jabatan Pertanian telah membawa produk saya semasa pameran di China manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah membawa beberapa produk saya ke beberapa pameran di luar negara," katanya.

Norli menasihatkan usahawan muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan agar jangan menjadikan modal sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Apa yang penting adalah kualiti barangan yang digunakan seperti mentega dan tepung bagi menjamin biskut yang dihasilkan lebih tahan lama.

"Saya sentiasa menggunakan bahan yang bermutu tinggi bagi menghasilkan produk yang bukan saja enak tetapi berkhasiat."

"Selain itu saya juga sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan bagi memberikan yang terbaik," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, April 11, 2010

Kuih Bakar Perusahaan As-Nura

(Post: Bahasa Melayu)
" Pemilik Perusahaan As-Nura, pengeluar makanan sejuk beku dan biskut itu, lahir daripada keluarga susah. Mereka tinggal di kawasan terpencil dalam kebun getah di Sungai Pening, Semenyih. Tanpa jiran tetangga, tempat berteduh mereka sekeluarga hanya pondok beratap nipah dan berdinding serta lantai buluh. "

Ketika peristiwa hitam 13 Mei, keluarga Nura terbabit dalam program penempatan semula menyebabkan dipindahkan ke Kampung Pasir, Semenyih.

Bapanya menyara hidup dengan menoreh getah manakala ibunya menanam jagung dan ubi kayu di tanah kerajaan untuk menampung belanja dapur.

Disebabkan desakan hidup, ketika berusia 10 tahun, Nura yang sepatutnya bersekolah agama pada sesi petang terpaksa mengorbankan pencarian ilmu kerana perlu membantu ibunya menjual jagung dan kacang rebus.

"Kehidupan saya waktu kecil terlalu susah. Ibu bapa bekerja keras mencari rezeki untuk membesarkan kami sembilan beradik,” kata anak kedua itu."

Bertemu jodoh pada usia 21, seperti pasangan lain, Nura dan suami mengimpikan hidup bahagia dan masa depan lebih cerah.

Namun, dia diuji apabila suaminya, Mohd Jasmi Tan Abdullah, diberhentikan kerja ketika kemelesetan ekonomi sekitar 1984 - 1985, sementara dia sendiri tidak bekerja.

Nura sekali lagi diduga apabila anak sulung, Zarith Sofiah, yang ketika itu darjah satu, dilanggar kereta ketika melintas jalan pulang dari sekolah. Kemalangan itu menyebabkan gegaran otak hingga anaknya lumpuh empat tahun.

"Kehidupan waktu itu cukup perit. Suami yang bekerja tidak menentu, membantu saya menjual kuih. Kami cuba keluar daripada kesusahan itu dengan usaha tak mengenal jemu. Bukan malas, tetapi tidak mampu keluar daripada belenggu kemiskinan. Kehidupan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang."

"Pernah saya ke rumah emak dengan alasan hendak menonton televisyen tetapi ke dapur mencuri beras untuk bekalan makan sehari untuk keluarga. Hendak beli susu anak yang ketika itu sudah dua orang pun tidak mampu. Kami menyewa rumah orang, tetapi kadang kala tidak mampu menjelaskan sewa menyebabkan pemilik rumah marah," katanya.

Kekusutan hidup mula terurai apabila Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) membantu anak sulungnya yang kemalangan. Nura dikehendaki menghadiri beberapa kursus untuk membolehkan dia melatih anaknya menjalani latihan fisioterapi.

Peluang untuk bebas daripada kesempitan hidup semakin terbuka apabila Nura ditawarkan menjadi tenaga pengajar dalam Pusat Didikan dalam Komuniti (PDK). Selain menjual kuih, Nura yang bekerja dengan JKM mengajar kanak-kanak istimewa, menguruskan latihan fisioterapi dan membuat tinjauan di rumah orang cacat.

"Kehidupan mula berubah apabila kami mendapat duit pampasan kemalangan anak sebanyak RM30,000 selepas empat tahun kejadian itu."

"Bagaimanapun, wang berkenaan turut digunakan untuk membayar hutang peguam yang menguruskan tuntutan itu. Ketika sesak, atas belas ihsannya, kami meminjam wangnya, jadi apabila menerima pampasan, terpaksa membayar wang dipinjam," katanya.

Ketika dihantar menghadiri kursus asas taska dan menjadi tenaga pengajar di pusat asuhan kanak-kanak, Nura nampak lebih banyak peluang. Dia menyambung pelajaran melalui Program Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai persediaan membuka tadika dan membeli rumah setinggan berharga RM6,000.

"Waktu itu, kerajaan mula prihatin terhadap pengusaha kecil dan sederhana. Banyak dana ditawarkan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memajukan perniagaan."

"Disebabkan perlu mempunyai bengkel sendiri, kami tidak jadi tinggal di rumah setinggan yang dibeli tapi menjadikannya bengkel mengusahakan kuih tradisional seperti bahulu, rempeyek, kerepek dan kuih peniram menerusi dana kerajaan menerusi pembelian pelbagai jenis mesin," katanya.

Produk itu dipasarkan ke kedai runcit dan kantin sekolah dan kilang. Sambutan diterima sungguh menggalakkan, sekali gus mengubah nasib mereka sekeluarga.

"Kehidupan semakin berubah menjadi lebih baik. Jika ketika baru berkahwin, saya terpaksa jalan kaki menjual kuih, kemudian menggunakan basikal pemberian ayah untuk berniaga."

"Ketika suami mendapat kemudahan kereta syarikat, saya pula sudah mampu membeli motosikal untuk menghantar barang jualan. Apabila semakin stabil, saya membeli kereta dan menjelaskan hutang-piutang," katanya.

Menurutnya, apabila kehidupan semakin cerah, mereka mengambil keputusan menghantar semua anak bersekolah aliran Cina.

"Kini saya mengajak anak kedua, Dzulkarnain, membantu saya menguruskan perniagaan. Sebagai pelapis perniagaan keluarga, dia harus tahu dari A hingga Z," katanya ketika ditemui di bengkel membuat kuihnya di Kampung Pasir, Semenyih.

Menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Nura menerima kemudahan ditawarkan dalam Persatuan Wanita Pekebun Kecil (PTWK). Sebagai anak pekebun kecil, Nura layak mendapat bantuan, apatah lagi apabila Risda melihat dirinya ada potensi dalam perniagaan.

"Risda memberi banyak kemudahan. Tidak ada kenderaan, mereka sediakan. Disebabkan tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain, saya membeli lori sendiri."

"Risda turut memberi peruntukan untuk pembungkusan kuih bakar pada 2008. Selepas itu, produk saya semakin mendapat sambutan. Banyak pihak mahu mengetengahkan produk saya, termasuk memasarkan menerusi jenama syarikat berkenaan," katanya.

Lebih membanggakan, kuih bakar sebagai produk utama keluaran Nura berjaya menjengah ke Perancis selepas sebanyak 500 biji dibawa secara persendirian oleh orang perseorangan untuk dipasarkan di negara itu.

Produknya turut menerima tempahan satu kontena dari Brunei, tetapi masih belum dapat dipenuhi kerana masalah pengeluaran.

"Saya menyewa kilang sejak dua tahun lalu, tetapi masih belum dapat beroperasi di situ kerana masalah mendapatkan pinjaman bank. Ini menyebabkan usaha mendapatkan amalan pengilangan baik (GMP) dan mengeluarkan lebih banyak produk tertangguh."

"Saya percaya produk saya boleh pergi jauh kerana kuih bakar sejuk beku belum ada pesaing. Setakat ini ia dipasarkan di bawah jenama Nura di Mydin USJ dan kini dalam proses dipasarkan di Tesco dan Carrefour."

"Bagaimanapun, di bawah label syarikat lain, kuih bakar ini dipasarkan di Tesco, Jusco dan Giant," katanya yang turut menawarkan biskut raya untuk Aidilfitri serta tempahan perkahwinan.

Produk keluaran Perusahaan As-Nura turut dihantar ke hotel dan syarikat pengeluar makanan sejuk beku manakala untuk Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Nura membekalkan kuih segar.

Selain kuih bakar sebagai produk utama dengan empat perisa, pandan, jagung, keladi dan labu, Nura turut menawarkan karipap, donat, keria, badak, kuih kasturi dan bom bijan.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, April 7, 2010

Penjual Kuih Tradisi India

(Post: Bahasa Melayu)
" Kedai mudah alih Ammars sememangnya cukup popular di Jalan Berhala, Brickfields, Kuala Lumpur. Setiap hari, sekitar pukul 9 pagi hingga pukul 7 petang kedai itu selalunya sibuk dengan kunjungan orang ramai untuk menjamu pilihan kuih-muih tradisional masyarakat India. "

Daripada parupu vadai (kacang dal), ulunthu vadai (kacang dal putih), bajji bawang merah, bajji cili hijau, urundai (kuih kacang hijau) sehingga kolkathai semuanya ada jual di situ.

Pemiliknya, Saroja Munusamy, 50, tidak menang tangan membuat kuih-muih itu untuk para pelanggan yang lalu lalang di sekitar Jalan Berhala itu.

Penggemar kuih-muih itu bukan sahaja terdiri dalam kalangan masyarakat India tetapi pelanggan berketurunan Cina dan Melayu juga gemar membelinya.

Katanya, parupu vadai dan ulunthu vadai paling laris dijual. Rasanya yang rangup dan pedas memberi keenakan yang luar biasa kepada penggemar-penggemarnya. Kedua-dua jenis vadai itu juga sedap dimakan dengan kari kacang dal ataupun kuah kelapa parut.

Saroja yang mengusahakan perniagaan Ammars lebih sedekad lalu memberitahu, kerja-kerja menyediakan adunan untuk membuat kuih-muih itu bermula seawal pukul 5 pagi. Bahan asasnya seperti kekacang perlu direndam semalaman sebelum dikisar halus.

Vadai yang disediakan akan diadun bersama cili hijau, cili merah, bawang dan halia untuk menambah rasa serta membantu proses penghadaman si makan sebelum digoreng.

Berbeza dengan parupu vadai, ulunthu vadai akan dibuat lubang pada tengah-tengah untuk memberi kelainan.

Selain menjual kuih-muih tradisional masyarakat India Selatan, wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, turut menjual karipap dan pisang goreng.

Saroja turut menerima tempahan untuk majlis-majlis korporat, hari jadi, perkahwinan dan lain-lain lagi.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 21, 2009

Karipap Joji

(Post: Bahasa Melayu)
"Rasa karipap ini memang sedap. Makan sebiji sahaja sudah rasa kenyang. Jadi saya rasa berbaloi membelinya walaupun pada harga RM1.80 sebiji."

Gabungan cita rasa Inggeris dan Melayu, mungkin itu gambaran yang sesuai diberikan kepada sejenis karipap moden yang amat popular di bandar Kuantan sejak 16 tahun lalu.

Karipap berkenaan bukan sahaja terkenal di kalangan masyarakat pelbagai kaum di sini, malah ia turut popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Apa menarik, karipap tersebut tidak dijual pada harga 30 sen atau tiga biji seringgit sebagaimana di tempat-tempat lain tetapi ia dijual dengan harga RM1.80 sebiji.

Meskipun dijual dengan harga semahal itu, karipap tersebut mampu mencecah penjualan sekitar 200 hingga 250 biji sehari.

Karipap hasil ciptaan seorang pengusaha makanan tempatan yang kini berusia 51 tahun itu dianggap moden kerana ia berlainan dengan karipap-karipap yang lain terutama dari segi saiz, rasa, ketebalan dan kerangupan.

Saiz karipap tersebut lebih besar yang melebihi saiz satu cawan kopi, manakala rasanya pula lebih pedas dan sedap selain tepungnya yang tebal dan rangup.

Lebih menyelerakan kerana karipap moden berkenaan mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti inti kentang, ayam dan daging dan digabungkan dengan ciri-ciri barat terutama dalam aspek tepung.

Karipap moden berkenaan merupakan hasil kreativiti yang dicetuskan oleh seorang pengusaha makanan tempatan berbangsa Cina, Joji Tan, 51, bersama isterinya Sarah Hong, 41, pada tahun 1993.

Joji yang juga pemilik Restoran Sri Gambut di sini berkata, dia mula mendapat idea untuk mencipta karipap berkenaan selepas 12 tahun menimba pengalaman bekerja di sebuah kedai kek.

"Pada mulanya saya bekerja dengan orang sebelum saya serta isteri mendapat idea untuk mencipta sejenis karipap yang dirasa mampu mendapat sambutan."

"Dengan hanya bermodalkan RM4,000, kami memulakan jualan karipap ini dengan hanya 20 hingga 30 biji sehari dengan membuka sebuah kedai kopi di Jalan Gambut di sini untuk orang ramai minum petang."

"Semakin lama karipap ciptaan kami semakin mendapat sambutan, lalu kami perbesarkan operasi dan hingga hari ini kami mampu menjual sebanyak 200 hingga 250 biji sehari," katanya.

Joji berkata, walaupun harga karipap yang dikenakan hampir RM2 sebiji, tetapi ia tetap mendapat sambutan daripada pembeli kerana harga terbabit dianggap berbaloi dari segi saiz dan kualiti.

Menurutnya, harga RM1.80 itu dikenakan selepas mengambil kira segala kos yang terlibat dalam pembikinan karipap terbabit selain saiz, mutu dan kualiti karipap berkenaan yang lebih besar berbanding karipap-karipap lain.

Sebagai contoh katanya, semua bahan yang digunakan untuk membuat karipap berkenaan hanya yang berkualiti tinggi termasuk dari aspek tepung, inti serta minyak masak.

"Minyak masak kami hanya digunakan untuk dua kali masakan dan selepas itu kami akan tukarkan dengan minyak yang baru bagi memastikan karipap kami sentiasa rangup dan berkualiti tinggi," katanya.

Joji berkata, antara keistimewaan karipap ciptaannya itu adalah kerana ia lebih besar, pedas, rangup dan tebal berbanding karipap-karipap lain selain intinya yang tersendiri dan lebih sedap.

Dalam pada itu, katanya, walaupun dia berketurunan Cina tetapi ramai daripada pembeli karipapnya merupakan orang Melayu dan India kerana mereka yakin pada tahap kandungan serta kebersihan yang diamalkan restorannya.

Tambahnya, walaupun dia bukan Melayu, tetapi kaedah masakan yang diamalkan oleh restorannya sentiasa menitik berat aspek halal dan haram kerana perkara itu amat penting dalam usahanya memajukan perniagaan.

"Malah, saya beberapa kali mengikuti kursus penyediaan masakan cara Islam anjuran beberapa organisasi dan menerapnya dalam perniagaan makanan saya," jelasnya.

Isterinya, Sarah pula berkata, sebelum menjalankan perniagaan itu, dia juga pernah bekerja di kedai kek yang sama dengan suaminya.

Dia yang turut bertanggungjawab dalam pembikinan karipap berkenaan berkata, apa yang paling penting dalam penyediaan karipap adalah memilih minyak masak yang tepat.

Selain itu, katanya, dia turut mengekalkan kaedah tradisional dalam membuat karipap mereka iaitu dengan menggunakan tangan dalam membentukkan karipap mengikut bentuk yang mereka rasakan sesuai.

Sementara itu, seorang pembeli dari Kuala Lumpur, Harey Zukhairey Salleh, 26, berkata, dia sering membeli karipap itu setiap kali datang ke Kuantan untuk menjalankan tugasannya.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai karipap moden tersebut selepas dimaklumkan oleh seorang rakan sekerjanya di Kuantan dan memintanya supaya mencuba karipap berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia berasa was-was untuk membeli karipap di kedai berkenaan ekoran pemiliknya yang berbangsa Cina tetapi selepas melihat beberapa orang Melayu membelinya, dia berasa yakin.

Melihat kepada populariti karipap Joji, beberapa pengusaha kuih cuba mencipta karipap seumpama itu tetapi gagal menyaingi karipap yang dihasilkan oleh Joji dan Sarah.

INFO:
Lokasi: Restoran Sri Gambut yang terletak di Jalan Gambut, Kuantan

Waktu operasi: dari pukul 11 pagi hingga 10 malam

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::