ATTENTION !!!

Thursday, May 7, 2009

Seramik POG Pottery

(Post: Bahasa Melayu)
"Trend terkini yang menjadi pilihan ialah pasu besar yang berbentuk klasik dengan warna yang kusam atau matte, pudar dan nampak seperti antik. Pasu-pasu sebegini menarik jika dijadikan hiasan di taman atau sebagai kolam kecil di sudut ruang yang kecil."

Ilmu dan kemahiran kraf biasanya dipelajari secara tradisi mengikut kaedah tidak formal. Bagaimanapun, peredaran waktu dan keperluan semasa, menuntut perubahan menerusi kaedah pembelajaran ilmu dan kemahiran secara lebih formal.

Menyedari hakikat dan keperluan ini, maka Institut Kraf Negara (IKN) diwujudkan, bertujuan menjadi salah satu gelanggang pendidikan formal bagi pelajar dalam bidang seni kraf tempatan. Kini, ramai pelajarnya telah berjaya dalam bidang yang diceburi.

Mohd. Fauzi Mohd. Safian dan Meor Amirul Din Aris, kedua-duanya berusia 26 tahun merupakan lulusan IKN yang kini berjaya sebagai usahawan produk seramik.

Ketika ditemui pada sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2009 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini, dapat dilihat pelbagai jenis produk seramik keluaran syarikat mereka, iaitu POG Pottery. Di antaranya, labu sayong, labu kecil yang boleh dijadikan cenderahati, lampu tidur, pasu besar sebagai hiasan landskap, produk hiasan rumah dan banyak lagi.

Menurut Mohd. Fauzi, POG Pottery yang baru dua tahun beroperasi merupakan program inkubator di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Cawangan Perak.

"Kami memulakan perniagaan ini dengan modal permulaan sebanyak RM10,000 bagi membeli tanah dan bahan-bahan bagi menghasilkan produk seramik sementara pihak Kraftangan menyediakan fasiliti dan bimbingan," kata bekas pelajar jurusan seramik IKN ini.

Tambahnya, pendidikan dan kemahiran yang diperoleh selama tiga tahun menuntut di IKN digunakan sepenuhnya dalam perniagaan yang menjadi pilihannya dan Meor Amirul.

Sementara itu, Meor Amirul berkata, pasu-pasu yang dibuat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengusaha-pengusaha nurseri di sekitar Ipoh, Perak.

"Kami turut menerima banyak tempahan pasu-pasu besar dari badan-badan kerajaan, hotel dan resort bagi menghiasi landskap," ujar beliau.

Meor Amirul menambah, motif alam semula jadi seperti pokok, flora dan fauna menjadi pilihan ramai. Selain itu mereka turut menyelitkan corak-corak ukiran kayu atau sulur kacang.

"Pada masa depan kami merancang bagi meluaskan pengeluaran dengan reka bentuk dan corak yang pelbagai bagi memenuhi permintaan bukan sahaja daripada dalam negeri malah di luar negara," jelasnya lagi.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-9884655

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::