ATTENTION !!!

Wednesday, January 6, 2010

Wincraft Labu Sayong

(Post: Bahasa Melayu)
"Pernahkah anda minum air yang disimpan di dalam labu sayung? Jika pernah, pasti kenikmatan dan kesegaran air tersebut masih terasa. Itulah istimewanya labu sayung yang dibuat daripada tanah liat."

Selain boleh dijadikan barangan perhiasan, labu sayung juga digunakan oleh masyarakat terutamanya pada zaman dahulu untuk menyimpan air minuman.

Daripada warna biasa iaitu hitam (bekas simpan air), labu sayung kini mengalami transformasi dengan diberi sentuhan moden pada bentuk dan warnanya.

Jika menyusuri sejarahnya, asal usul labu sayung dikatakan bermula di Kuala Kangsar, Perak dan telah diusahakan sejak ratusan tahun dahulu.

Malah jika disebut sahaja Kuala Kangsar, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran adalah labu sayung kerana sinonimnya daerah tersebut dengan tembikar itu.

Kampung-kampung seperti Bukit Lada, Kepala Bendang dan Sayong Hilir di Mukim Sayong di daerah Kuala Kangsar, cukup dikenali sebagai tempat di mana kegiatan membuat labu ini berpusat. Maka, tidak hairanlah mengapa labu negeri Perak dikenali sebagai labu sayung.

Menurut salah seorang pengusaha dari Kampung Sayong Tengah di sini, Redzuan Hamly, 43, proses membuat labu sayung pada zaman dahulu agak rumit dan memerlukan ketelitian kerana segalanya dilakukan dengan tangan.

Jelasnya, proses awal membuat labu sayung ialah menjemur tanah liat sehingga kering dan kemudiannya dibancuh dengan air dalam mesin pengisar (seperti blender).

Tanah tersebut, katanya, kemudian dikisar sehingga hancur dan sebati dengan air lalu diperam selama lebih kurang satu hari supaya betul-betul sebati untuk melembut dan memudahkan proses pembuatan agar senang dibentuk.

Selepas dibentuk, katanya, labu sayung yang sudah terhasil dibiarkan selama satu hingga dua hari sebelum dibakar di dalam dapur yang dibina khas daripada batu-bata.

"Labu sayung perlu dibakar selama satu hari dengan api dikawal supaya sama rata masak dan tidak pecah. Sekiranya api terlalu besar labu boleh pecah atau retak."

"Proses seterusnya adalah menghitamkan labu. Ini dilakukan dengan menanam labu yang masih panas dalam timbunan sekam padi dan dibiarkan beberapa ketika," katanya.

Menurut Redzuan, proses membuat labu sayung kini semakin mudah dan mengalami perubahan iaitu daripada menggunakan tangan sepenuhnya kepada teknik moden iaitu penggunaan mesin menghancur dan membancuh tanah.

Antara teknik moden yang digunakan katanya adalah teknik lemparan, acuan serta sepuh dan labu hanya dibakar dalam tempoh lapan jam.

Selain perubahan teknik pembuatan, bentuk, warna dan ukiran labu sayung turut berubah.

Bentuk asal labu sayung dihasilkan seperti bentuk buah gelugor digunakan sebagai bekas mengisi air minuman.

Kini labu sayung dihasilkan dalam pelbagai bentuk mengikut kesesuaian dan permintaan pasaran seperti lampu perhiasan, cenderamata, pasu bunga dan sebagainya.

Namun, ukirannya masih mengekalkan unsur-unsur tradisional seperti motif bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.

INFO:
Wincraft Labu Sayong
Lokasi: Kampung Sayong Tengah, Kuala Kangsar, Perak

Harga: antara RM1.50 hingga RM120 sebuah mengikut saiz

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::