ATTENTION !!!

Tuesday, May 11, 2010

Hiasan Topiari Bunga

(Post: Bahasa Melayu)
" "Bentuk bulat dan memikat membuatkan saya terpaut hati dengan hiasan topiari. Selepas mengikuti kursus jangka pendek langkah membuatnya, saya cuba hasilkan sendiri produk kraf itu untuk dijadikan sebahagian hiasan rumah manakala selebihnya, dijual di laman sesawang," kata pengusaha kraf topiari, Hadifah Abdul Hayon. "

Selain menghadiri kursus singkat, Hadifah juga kerap melayari internet bagi mendapatkan maklumat terkini produk berkenaan, mengenalpasti rekaan baru seterusnya mengubahsuai serta mencari aksesori tambahan yang mampu mencantikkan lagi bentuk topiari.

"Sebolehnya, topiari dihasilkan tampil unik dan menarik berbanding yang dijual di kedai kraf," katanya.

Selain menjadikan bekas bunga sebagai badan topiari, Hadifah juga gemar menguji kreativitinya melakukan eksperimen dengan pelbagai bahan lain seperti seperti cawan, baldi mini logam, pasu seramik dan aluminium dihiasi corak decoupage serta aneka bekas hiasan bermotif haiwan terutama arnab dan beruang.

"Kursus jangka pendek untuk mendapatkan pendedahan dan ilmu asas membuat topiari manakala di internet, saya didedahkan dengan seribu macam cara serta ilham menjadikan produk berkenaan lebih cantik dan berbaloi dimiliki."

"Saya ada terserempak dengan laman web yang menunjukkan cara menghasilkan topiari bentuk kon, tetapi belum berkesempatan cuba membuatnya," katanya yang hampir tiga tahun menceburkan diri dalam bidang jual beli topiari menerusi internet.

Kata Hadifah, setakat ini, sambutannya amat menggalakkan sehinggakan beliau tidak menang tangan mengadakan tempahan dalam kuantiti yang banyak.

Apa istimewanya hasil tangan Hadifah ini?

Bagi wanita gigih ini, keistimewaan topiari itu adalah setiap satunya dalam bentuk berbeza yang berpandukan ilham, cita rasa serta trend atau aliran ketika itu.

Misalnya, sewaktu teknik decoupage popular dan menjadi buruan pencinta gaya Inggeris, topiari dihasilkan Hadifah banyak mengetengahkan unsur dan pengaruh tema itu.

Bagi memastikan topiarinya tampil unik, Hadifah turut menyelitkan beberapa hiasan tambahan seperti lumut tiruan bagi menutupi permukaan span, rumput dan daun buatan, riben di samping bermacam aksesori yang membantu menjadikan barangan kraf itu rimbun seperti jambangan bunga halus.

Meskipun decoupage mendapat tempat dan kian diminati, namun teknik itu jarang dicubanya pada cawan seramik kerana berpendapat kualiti seramik memadai menyerlahkan estetika topiari.

"Cawan seramik elok dibiarkan polos tanpa hiasan kerana nampak semula jadi. Maklum balas diterima daripada pelanggan menyatakan mereka suka topiari cawan polos ini dikekalkan. Pada masa hadapan, saya mungkin cuba memperkenalkan teknik folk art pula," katanya yang menawarkan harga serendah RM20 untuk topiari mini sehingga yang paling mahal bernilai kira-kira RM180.

Hadifah berkata, langkah paling rumit menyediakan cuma ketika proses membentuknya menjadi bulat. Selebihnya, bergantung kepada inisiatif serta daya kreatif menjadikan lebih menarik dipandang.

"Selesai membuat bentuk dan mencantikkannya dengan bunga hiasan, proses selanjutnya bergantung kepada budi bicara di samping keinginan pelanggan misalnya menambah hiasan rumput, lumut, riben dan sebagainya."

"Cabaran utama bagi saya ialah ketika membungkus untuk penghantaran secara pos kerana tanpa prosedur yang betul, barang berkemungkinan pecah dan retak sebelum sampai ke tangan pelanggan."

"Saya kerap menghadapi masalah ini dan apabila berlaku, terpaksa menggantikannya dengan yang baru. Kini, ada seorang teman berminat menjualnya di kedai hiasan dalamannya di Johor Bahru. Jadi, peminat topiari boleh terus membelinya di sana saja," katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sesawang dan email dinizahra@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::