ATTENTION !!!

Monday, August 31, 2009

Indahnya Sulaman Manik Gemalai Nyior

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun pada pandangan mata orang ramai jahitan manik ini satu kerja yang rumit tetapi ia akan menjadi satu kerja yang mudah apabila setiap hari kita membuatnya. Ia tidaklah sesusah mana yang disangkakan asalkan anda minat dan tekun, pasti ia dapat dilakukan dengan mudah."

Seni sulaman manik bukan sahaja boleh dijahit di baju malah ia boleh menghiasi beg, alas meja, topi dan sebagainya.

Bagi pemilik Gemalai Nyior, Norfazilah Samsudin, walaupun kerja menjahit manik satu kerja yang rumit tetapi ia boleh mendatangkan hasil yang lumayan.

"Sebenarnya kerja menjahit manik ini memang boleh membuat duit terutama apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya."

Mesra disapa dengan panggilan Zila, anak kelima daripada enam beradik ini sememangnya meminati bidang jahitan apabila beliau mula mempelajari bidang tersebut sejak di bangku sekolah.

Sambil tangannya laju menyiapkan tempahan yang tak putus-putus diterima, Zila berkata, beliau bersyukur kerana kemahiran yang dimilikinya ini banyak membantu menjana pendapatan keluarganya.

Menceritakan pengalaman awalnya terlibat dengan perniagaan ini, Zila yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, terus mendalami bidang jahitan setelah tamat tingkatan lima di Giat Mara, Titiwangsa selama enam bulan.

Tidak berpuas hati hanya sekadar memperoleh sijil, Zila terus menyambung pelajaran di Yayasan Negeri Sembilan selama satu setengah tahun lagi untuk mendapatkan pra diploma.

Selepas itu dia menjalani latihan amali di Amin Jauhari yang terletak di Kompleks Pertama selama tiga bulan dan khusus di dalam jahitan manik.

Perjalanan pembelajaran tidak tamat setakat itu kerana Zila terus mengorak langkah dengan memulakan kerjaya di Nur Arfa Batik di Medan Tunku selama setahun sebelum bekerja di Butik Pengantin Azue di Jalan Tunku Abdul Rahman selama satu tahun.

Akhirnya setelah menimba ilmu dan pengalaman, Zila membuat keputusan untuk membuka butik idamannya pada 15 Mei 2009.

Kini berbekalkan kemahiran menjahit yang ada padanya, beliau bukan sahaja mampu mengambil upah menjahit manik malah Zila turut menerima pelbagai tempahan baju termasuk baju pengantin baik perempuan mahupun lelaki.

"Alhamdulillah, walaupun butik Gemalai Nyior ini baru dibuka, saya sudah menerima banyak tempahan."

"Saya akan memastikan setiap baju yang dijahit serta jahitan manik yang dihasilkan akan memenuhi cita rasa dan kepuasan pelanggan," jelas Zila.

Selain baju, Zila turut menjahit tudung manik dan ia dijual di butiknya hinggakan tidak menang tangan menyiapkan tempahan, terutama menjelang musim perayaan dan juga majlis perkahwinan.

Sambil menunjukkan beberapa baju yang sedang disiapkannya, beliau berkata, setiap hari mampu menyiapkan antara empat hingga lima pasang baju kurung bagi jahitan mudah manakala ada yang mencecah berminggu-minggu bagi yang sarat sulaman manik.

Bagi mengikuti arus fesyen semasa, Zila sentiasa mencari idea terbaru bagi menghasilkan jahitan manik yang lebih eksklusif termasuk menambah beberapa aksesori sampingan seperti labuci.

INFO:
Telefon: 013-6166632

Lokasi butik: No. 40-1-1, Jalan Megan Setapak, Sri Rampai, Kuala Lumpur

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::