Tudung Shikin's Touch
(Post: Bahasa Melayu)
"Dulu, kalau butang baju saya tercabut, saya tak akan pakai baju tersebut sebab malas nak menjahit butang yang tercabut itu."
Pemakaian tudung kini sudah menjadi trend dalam kalangan muslimah.
Pelbagai gaya boleh diperagakan dengan pelbagai jenis tudung dan material.
Ekoran permintaan yang tinggi, harga tudung melambung mengikut fesyen dan material.
Bagi sesetengah wanita, mereka sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli tudung.
"Tudung yang berkualiti dan diperbuat daripada material yang baik, mahal harganya."
"Memikirkan itu, lebih jimat jika saya menjahit sendiri tudung daripada berhabis ratusan ringgit hanya untuk mendapatkan sehelai tudung berjenama," kata Norashikin Ishak, 31, ketika ditemui Kosmo! di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Tambah menarik, dia sebenarnya tidak tahu menjahit dan hanya belajar menjahit tudung melalui Internet.
"Namun, selepas menyertai sebuah forum di Internet, saya memberanikan diri untuk mencuba menjahit tudung. Sebanyak 10 tudung pertama yang saya jahit, hancur (tidak menjadi)," katanya ketawa.
Menceritakan bagaimana dia memulakan perniagaan menjahit dan menjual tudung, Norashikin memberitahu, segalanya bermula sejak suaminya menghadiahkannya sebuah mesin jahit.
"Kalau nak diikutkan, saya memang tidak pandai menjahit tetapi bila dah selalu mencuba, akhirnya berhasil."
"Apabila saya mula mendapat tempahan daripada teman dan keluarga terdekat, idea untuk memulakan perniagaan timbul. Saya fikir, apa salahnya saya mencuba untuk memasarkan hasil jahitan saya," katanya.
Norashikin memberitahu, dia mementingkan kualiti jahitan pada setiap tudung yang dihasilkannya kerana dia mengutamakan kepuasan pelanggan.
"Saya sendiri menjahit semua tudung ini. Oleh itu, saya sendiri yang menetapkan kualitinya. Jika di kedai atau kilang, mereka mementingkan kuantiti sehingga kualiti diabaikan."
"Saya juga akan memilih material dengan teliti. Kebanyakan kain, saya beli dari gedung sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Selain itu, saya juga membeli kain dari Vietnam dan Korea."
"Bagi tempahan kain dari luar negara, saya akan pilih sendiri pembekal dan bukannya memilih melalui katalog atau Internet. Dengan itu, saya boleh tahu setiap kualiti kain yang ingin dibeli," kata Norashikin yang bukan sahaja menjual tudung, malah dia juga menjual kain untuk membuat tudung.
Tudung-tudung yang dihasilkan Norashikin dengan label Shikin's Touch dijual pada harga antara RM45 hingga RM75 mengikut fesyen dan juga material kain.
Menurut Norashikin, dia mampu menjahit lima hingga 10 helai tudung sehari mengikut material kerana ada sesetengah kain mudah untuk dijahit dan ada yang sukar seperti kain sifon.
"Kain sifon agak susah dijahit berbanding dengan kain lain seperti kain kapas. Tudung dengan hiasan manik juga mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Segalanya bergantung pada tempahan."
"Untuk koleksi terbaru, saya menampilkan kombinasi warna berani memandangkan muslimah kini lebih berani dalam berfesyen," katanya lagi.
Norashikin bukan sahaja menerima tempahan daripada orang perseorangan, malah dia juga menerima tempahan daripada persatuan-persatuan dengan setiap tempahan mencecah 50 helai.
Bercerita mengenai masa depan, Norashikin berharap dapat membuka sebuah kedai alatan jahit dan butik pakaian muslimah, selain cuba memasarkan produk Shikin's Touch ke pasaran yang lebih luas.
Buat masa ini, dia sedang mencari lebih ramai pemborong atau peniaga untuk memasarkan tudung yang dihasilkannya.
Dia juga akan mengambil beberapa pekerja bagi membantunya menyiapkan tempahan pelanggan. Bagaimanapun, dia tetap akan menjahit sendiri tudung-tudung tersebut bagi mengekalkan identiti jahitan.
CONTACT INFO:
Telefon: 012-7252506
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment