ATTENTION !!!

Showing posts with label ikan keli. Show all posts
Showing posts with label ikan keli. Show all posts

Thursday, January 6, 2011

Dunia Baru Ashraf Muslim

(Post: Bahasa Melayu)
" Sisipan XY - Ikon Lelaki mendekati aktor dan pengacara popular, Ashraf Muslim bersama bisnes ternakannya di Alor Gajah, Melaka. Bak si gembala kambing moden, jom dekati inspirasi dan erti hijrah dalam hidup si bujang ini... "

Istilah korban paling tepat dalam menterjemah kehidupan yang dilalui selebriti ini sekarang. Fasa baru dalam hidup pelakon dan pengacara, Ashraf Muslim menyaksikan bintang muda ini melakukan pengorbanan terbesar demi mencari keseimbangan hidup.

Enggan leka di sebalik populariti dunia hiburan, figura muda ini pantas memilih jalan yang lebih menjamin masa depan - menjadi tauke ternakan kambing di kampung halaman di Melaka.

Tidak cukup itu, personaliti berusia 29 tahun ini kini berjinak-jinak pula dalam bidang rawatan alternatif menggunakan ayat-ayat suci al-Quran.

Melihat prospek bidang ternakan yang diusahakan Ashraf sejak beberapa tahun lalu termasuk bidang rawatan alternatif, tidak mustahil si bujang ini mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan seperti yang dilafazkan sendiri Ashraf pada pertemuan bersama XY - Ikon Lelaki.

Ketika penulis berkunjung ke ladang ternakan kambing milik Ashraf di Alor Gajah, baru-baru, terbayang betapa tinggi cita-cita anak muda ini untuk meluaskan kegiatan ternakan yang diceburinya. Bukan hangat-hangat tahi ayam, sebaliknya gah tersergam ladang ternakan seluas kira-kira sehektar yang diusahakan bersama bapanya.

"Perniagaan ternakan kambing ini adalah perancangan masa depan saya. Walaupun sudah dikenali dalam dunia hiburan, kita perlu sentiasa beringat-ingat untuk merencanakan sesuatu yang lebih menjamin masa depan."

"Semua itu tidak datang tanpa pengorbanan dan minat. Pengalaman dalam urus niaga jual beli lembu sebelum berkecimpung dalam dunia hiburan memberi kelebihan untuk mengusahakan ternakan kambing ini secara komersial," kata Ashraf.

Selain menternak kambing daripada spesies boer, janapari, dorpher dan kampung, usahawan muda ini turut menternak ayam kampung, itik daging, telur itik, ikan keli dan ikan talapia sebagai sumber pendapatan sampingan.

Malah, ketika sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan untuk korban kambing dan lembu.

"Sebenarnya sebelum aktif dalam dunia hiburan, saya sudah berjinak-jinak dalam jual beli lembu di Melaka. Memang minat saya berniaga, jadi bukanlah sesuatu yang asing apabila saya memilih untuk menternak kambing."

"Selepas beberapa tahun mengusahakan ternakan ini, prospek perniagaan ini cukup cerah dan sambutannya cukup menggalakkan terutama pada musim-musim perayaan seperti Aidiladha," kata Ashraf Muslim lagi.

Jom kenali isi hati jejaka kelahiran Petaling Jaya ini, serta selami lebih banyak detik penghijrahan hidup Ashraf...

Dalam banyak prospek perniagaan lain, bagaimana anda boleh memilih ternakan kambing sebagai model perniagaan?

Bidang ternakan bukanlah asing dalam diri saya. Sejak 2006 lagi saya sudah berkecimpung dalam perniagaan jual beli lembu. Dalam perniagaan itu, saya menjadi perantaraan kepada mereka yang hendak membeli lembu.

Saya selalu terfikir, mengapa tidak mengusahakan ladang ternakan sendiri walaupun sudah bergelar artis.

Bagaimana anda membahagikan masa pada perniagaan ternakan ini dan dunia lakonan?

Saya gembira kerana dibantu bersama ayah yang kebetulan sudah bersara. Kebiasaannya, pada hujung minggu saya akan pulang ke Melaka untuk melihat perkembangan perniagaan ini.

Biarpun sibuk, saya cukup seronok berkecimpung dalam dunia perniagaan. Ini kerana kita berinteraksi dengan pelbagai jenis orang dan ragam. Malah sambutan Aidiladha lalu, saya menjadi orang tengah untuk proses pembekalan 50 ekor lembu korban.

Tidakkah kekok melakukan kerja-kerja kotor dan kasar berbeza dengan dunia selebriti?

Tiada sebab untuk saya berasa janggal melakukan tugasan di ladang ternakan. Ini kerana memang minat saya ke arah ini (perniagaan ternakan). Saya pula memang sukakan alam semula jadi, lantas bukan sesuatu yang pelik untuk menyatukan diri dalam tugasan sebegini.

Bagaimana pula anda membahagikan masa dengan kerjaya lakonan?

Saya bersyukur dengan tawaran lakonan yang konsisten. Saya baru saja selesai berlakon drama bersiri Ustaz Amirul sebanyak 13 episod untuk slot Zehra di TV3 selain pengalaman pertama menjadi pengacara Gadis Melayu.

Jujur saya katakan, jadual harian saya cukup sibuk di mana perlu berlakon, mengacara hinggalah urusan perniagaan di kampung. Namun, saya gembira dengan apa dilakukan sekarang.

Ceritakan senario anda setiap kali sambutan Hari Raya Aidiadha?

Menjadi kebiasaan saya dan ahli keluarga untuk melakukan korban. Pada masa yang sama, kami sibuk bergotong-royong melapah daging lembu yang sudah menjadi kelaziman anggota keluarga.

Selain menziarah keluarga lain, tidak lupa, saya akan melawat kubur ibu yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu akibat kanser payudara.

Erti hijrah dalam diri anda?

Bagi saya, hijrah itu suatu pengorbanan hidup. Ia perlu dilakukan secara ikhlas untuk kita benar-benar menghayati kelebihannya. Diibaratkan sesuatu yang cukup sukar ditinggalkan, tetapi perlu dilakukan untuk pengorbanan, begitulah yang harus kita lakukan ke arah kebaikan.

Adakah anda melalui proses hijrah dalam hidup?

Suka saya katakan seperti transformasi hijrah diri, di mana saya bersyukur dengan hijrah diri saya sekarang. Alhamdulillah, saya gembira dengan perubahan diri serta nikmat yang diberi.

Tiada lagi Ashraf Muslim yang dulu, sebaliknya saya melihat ke depan untuk menjadi insan yang lebih baik.

Apakah perubahan ketara anda selepas transformasi diri?

Jujur saya katakan prinsip saya turut berubah di mana batas-batas pergaulan termasuk watak lakonan juga saya ambil perhatian. Malah, saya juga tidak mahu bergambar atau diganding bersama artis wanita. Ini kerana status saya yang sudah berjinak-jinak dalam dunia perubatan Islam.

Dengan perubahan saya ini, jika hendak tahu, semakin kerap saya ditawarkan watak ustaz dan orang alim. (tersenyum).

Adakah anda seorang yang merancang dalam hidup?

Dulu tidaklah berfikiran seperti sekarang. Tetapi bersyukur kerana saya tidak alpa untuk merencanakan masa depan. Sampai bila hendak berlakon dan untuk apa kita berlakon? Andai lakonan kita itu mampu mengubah seseorang menjadi lebih baik, maka berbaloilah tugas saya.

Namun, tiba ketika transformasi diri itu berlaku, maka tidak mustahil saya meninggalkan dunia lakonan.

Sisi Berbeza Pengamal Perubatan

Dalam sibuk mengatur jadual dalam dunia lakonan selain meluaskan perniagaan ternakan, siapa sangka Ashraf berkebolehan mengubati pelbagai jenis penyakit menggunakan surah al-Quran.

Kata Ashraf, sudah lebih setahun beliau memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bersama beberapa ustaz lain di Syifa Al-Hidayah di Gombak, Selangor. Lazimnya, Ashraf berkunjung ke pusat itu pada malam hari selepas selesai penggambaran drama atau urusan lain.

"Ramai pesakit datang ke Syifa Al-Hidayah merangkumi kes biasa hinggalah sakit merbahaya seperti kanser, HIV/AIDS, sawan dan penyakit misteri lain."

"Setakat ini, sambutan cukup menggalakkan hingga lewat malam kami dikunjungi. Saya gembira kerana dapat berkhidmat kepada mereka yang memerlukan bantuan," kata Ashraf yang sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang dianugerahkan kepadanya.

Ditanya mengapa memilih haluan itu, Ashraf dalam tenang menganggap perlu ada keseimbangan dalam hidup seseorang Muslim. Sambil menyifatkan pilihan itu sebagai kehendak diri sendiri, Ashraf mengakui beliau cukup gembira dengan apa yang dilakukannya sekarang.

Biarpun aktiviti hariannya cukup padat pada sebelah siang, Ashraf berkata, tumpuannya tetap kepada program penawar di Syifa Al-Hidayah selagi beliau termampu.

"Jika hendak dikira letih dan penat, memanglah ada perasaan itu. Ini kerana jumlah yang hadir mencapai 500 orang setiap hari. Tetapi, apa yang menggembirakan saya ialah apabila pesakit semakin pulih dengan rawatan yang diberi."

"Apabila melihat perubahan dalam diri pesakit itulah harga cukup besar diterima selama ini," kata Ashraf penuh bermakna.

Sambil berkongsi perkembangan lain, Ashraf berkata, pihaknya sedang menunggu lampu hijau untuk bekerjasama dengan sebuah hospital swasta berpangkalan di Kuala Lumpur bagi memberikan khidmat rawatan alternatif kepada pesakit hospital menggunakan surah al-Quran.

Andai pada hari biasa si bujang ini sibuk di Syifa Al-Hidayah, tiba hujung minggu, beliau menawarkan kebolehan sama di rumahnya di Taman Teluk Mas, Melaka.

"Begitulah aktiviti saya sejak berjinak-jinak dalam dunia rawatan alternatif. Malah, sambutannya cukup menggalakkan hingga ada pesakit dari negeri lain termasuk Singapura datang mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 4, 2010

Ikan Keli Salai One Newtech

(Post: Bahasa Melayu)
" Selepas berhenti daripada jawatan sebagai pengurus perhubungan awam dengan sebuah syarikat penerbangan beberapa tahun lepas, Shaharuddin Md Yusof, 60, merealisasikan minat dalam perniagaan dengan menternak ikan keli dalam tangki simen. "

Pada permulaan beliau menjual ikan keli hasil ternakannya itu kepada penjual di pasar malam dan pasar tani yang terletak berhampiran.

Shaharuddin bersama saudara lelakinya menubuhkan Newtech Aquaculture Sdn Bhd pada Januari 2007, dan kemudian mendaftarkan syarikat berkenaan di bawah Skim Anak Angkat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), untuk mempelajari lebih mendalam mengenai industri akuakultur ikan keli.

Sejak Disember 2008, perniagaan itu, kini dikenali sebagai One Newtech, kini dimiliki sepenuhnya oleh Shaharuddin.

Dengan semangat untuk melebarkan perniagaannya, Shaharuddin mula mencari peluang untuk mempelbagai produk dengan menghasilkan produk yang diminta oleh pelanggan selain daripada ikan keli hidup.

Sebelum adanya peti sejuk, penyalaian adalah satu bentuk pengawetan dan penyimpanan yang popular.

Bahan kimia yang terhasil daripada kayu yang digunakan dalam proses penyalaian membantu memperlahankan pertumbuhan mikro-organisme dan mengurangkan jumlah kelembapan bagi pembiakan bakteria.

Rasa dan tekstur produk ikan keli organik yang disalai banyak bergantung kepada beberapa faktor termasuk kualiti ikan, jenis kayu yang digunakan untuk menyalai dan cara penyalaian.

Ikan yang disalai secara betul akan dapat mengekalkan nilai khasiat ikan segar berkenaan.

"Selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk menghasilkan ikan keli salai dan melayari internet bagi mendapatkan maklumat mengenai peralatan, teknik dan proses bagi menghasilkan ikan keli salai."

"Saya akhirnya mendapat apa yang saya mahukan di laman web di Jerman", kata Shaharuddin kepada Bernama semasa ditemubual di premis perniagaannya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor.

Beliau terbang ke Jerman untuk bertemu dengan pengeluar mesin berkenaan tetapi mendapati harganya agak terlalu tinggi.

"Walaupun tidak dijual, mereka amat menghargai usaha saya dan memberi saya skema teknologi mesin penyalai berkenaan", katanya.

Dengan rangka tindakan dalam tangan, Shaharuddin mendapatkan sebuah mesin penyalai yang dipasang siap di sini pada kos RM80,000.

Menurut para pegawai LKIM, mesin penyalai yang dimiliki oleh Shaaruddin adalah satu-satunya mesin penyalai yang menggunakan teknologi terkini dalam proses menyalai, di mana penyalaian (dan haba) dihasilkan di bahagian berasingan dan kemudian disalurkan ke bahagian lain di mana ikan yang diproses digantungkan.

"Cara ini, daging ikan akan masak secara perlahan dan kekal lembut dan enak", kata Shaharuddin.

Dalam usahanya untuk mencapai kesempurnaan, Shaharuddin menghabiskan masa selama tiga bulan mencuba pelbagai teknik penyalaian untuk mengenalpasti proses penyalaian dan ramuan yang tepat.

Pemilihan kayu yang betul adalah suatu yang sukar. Hanya kayu pain yang mengandungi damar akan menjadikan ikan terasa pahit dan ini digemari ramai.

Beliau mendapati walaupun kayu dari pokok jambu tempatan memberikan hasil yang terbaik, mendapatkan bekalan untuknya bukanlah satu yang mudah. Beliau terpaksa mencari yang lain.

"Akhirnya, saya menjumpai habuk gergaji kayu oak menghasilkan asap yang bersih dan tidak tebal yang meningkatkan rasa enak ikan; menjadikan isi ikan warna yang menarik tanpa menjejaskan nilai khasiatnya", jelas beliau.

Habuk kayu oak juga mudah diperoleh secara komersial.

Pada 1hb Januari 2008, produk mula dikeluar dan dipasarkan secara komersial dengan jenama "Newtech" setelah ia berjaya menghasilkan ikan salai yang bermutu.

Dengan taglinenya berbunyi: "Aromanya Membuka Selera Anda", keli organik salai "Newtech" kini dipasarkan melalui pasar tani, pasar malam, pasar segar dan di kedai makan serta runcit di Bangi, Kajang dan Putrajaya.

Sebagai Presiden Persatuan Anak Angkat Jabatan Perikanan Selangor, Shaharuddin juga mewujudkan satu rangkaian pengedar untuk produk berkenaan.

Syarikat berkenaan turut aktif menyertai pameran dan ekspo yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti FAMA dan MeCD di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengguna yang menitik berat akan kesihatan menyambut baik hasil produk Shaharuddin lebih-lebih lagi ia menerima sijil "halal" daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hasil pengeluaran harian mencatatkan pertambahan sekali ganda pada suku tahun kedua dan sekali ganda lagi pada suku tahun ketiga dan keempat.

Pada peringkat awal, pengeluaran produk adalah cuma kira-kira 20 kg sehari pada Januari dan meningkat kepada 40 kg pada Mac, 60 kg pada Jun, 80kg pada September; mencecah 100 kg sehari atau 2.5 tan metrik sebulan pada Disember 2008.

Permintaan kian bertambah hingga melebihi tawaran. Syarikat berkenaan kini terpaksa mendapatkan bekalan ikan daripada pemilik akuakultur, tetapi dengan syarat ikan keli diberi makan pelet.

"Kami menawarkan RM3.80 setiap kilogram ikan daripada penternak ikan keli, yang saiznya telah ditetapkan termasuk penghantaran", kata Shaharuddin.

Tidak seperti ikan sejenis yang hidup dalam lumpur di sungai, ikan ternakan di kolam milik One Newtech diberi makan pelet menjadikan isi ikan terasa manis, kenyal tetapi lembut.

Penyelidikan yang dikendalikan oleh Insitut Ikan Keli Amerika Syarikat mendapati bahawa ikan keli yang diternak dan diberi makan dengan pelet mempunyai sumber protein yang baik.

Kaya dalam protein dan lemak asid omega-3 serta rendah kolestrol dan lemak tepu; ia adalah ideal untuk diet kesihatan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Persatuan Perubatan Amerika, tahap sederhana lemak politepu dan asid lemak omega-3 memberi faedah kesihatan untuk gastrousus, neurologikal, kaediovaskular, sistem peredaran dalam badan.

Laporan itu juga menyebut bahawa pengambilan satu hingga dua sajian ikan keli seumpama dalam seminggu boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat serangan jantung.

One Newtech akan memulakan satu program pengembangan bertujuan agar produk syarikat boleh diperoleh di pasar raya seperti Carrefour, Giant dan Tesco.

Shaharuddin menjangka tahap pengeluaran harian akan meningkat lagi sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, syarikat merancang menambah ketuhar penyalai selain meningkatkan kebersihan premis bagi mematuhi Prosidur Pengendalian Standard Kebersihan (SSOP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Dalam usaha mempelbagaikan produk, One Newtech baru-baru ini telah menambah daging salai dalam tawaran produknya.

Turut tersenarai dalam produk barunya ialah ikan tilapia dan ikan patin salai.

"Akhirnya, kami berharap dapat memperoleh sijil HACCP", kata Shaharuddin.

HACCP ialah satu proses yang digunakan untuk menentukan potensi bahaya dalam pengeluaran makanan serta menentukan satu sistem pengurusan dan pengawasan yang ketat bagi memastikan produk makanan selamat untuk dimakan.

Pensijilan ini adalah satu proses yang ditetapkan untuk jualan produk makanan yang siap proses dalam pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat.

Sumber: Bernama.com

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, May 10, 2010

Ikan Keli Bestari Jaya

(Post: Bahasa Melayu)
" Minatnya bermula dengan melihat seorang lelaki berketurunan Cina menyewa lombong menjalankan perniagaan menternak ikan keli selama 15 tahun. Dia pernah bertanya bagaimana dengan kerjaya itu tetapi jawapan 'teruk' yang diberi lelaki berkenaan tidak dipercayai, sebaliknya menjadi pembakar semangat Mohd Fadzil Ibrahim, 57, untuk mencari peluang meneroka kerjaya sama. "

"Satu perkara mengenai orang Cina ialah mereka tidak akan membuat sesuatu kerja jika ia tidak memberi pulangan lumayan. Itu yang saya percaya dan terbukti keputusan saya berhenti kerja dengan diberi pampasan untuk menjalankan perniagaan menternak keli bukan satu kesilapan," katanya ketika ditemui di kolam ikan ternakannya Taman Agro Teknologi Pertanian Bestari Jaya di Kuala Selangor.

Mohd Fadzil mengaku 'teruk' pada awal pembabitan dalam bidang yang diusahakannya sejak 1991 tetapi selepas 20 tahun, dia kini boleh berbangga dengan 200 kolam ternakan ikan miliknya di tanah seluas dua hektar milik kerajaan negeri Selangor.

Kini kolam milik Mohd Fadzil dengan setiap satunya berukuran 6 meter X 9 meter X 1.2 meter tinggi menempatkan 10,800 ikan keli, selain tilapia hitam sebanyak 2,000 ekor, tilapia merah, puyu, patin serta beberapa spesies ikan peliharaan seperti ikan emas dan pelaga.

Melaburkan RM84,000 sebagai modal, RM34,000 diberikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di bawah Skim Usahawan Peladang, manakala selebihnya hasil simpanan, Mohd Fadzil dan isteri, Saadiah Kamit, mula menternak keli pada 2006 selepas mendapati ia mendapat pasaran baik.

"Ramai yang tidak tahu penduduk Lembah Klang memerlukan bekalan ikan keli sebanyak 15 tan sehari. Cuba bayangkan permintaan yang menanti pengusaha ikan ini. Pasaran memang ada tetapi penternak tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka perlu bijak merangka strategi sendiri."

"Cuma saya hendak ingatkan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini bahawa ia tidak menjanjikan keuntungan dalam tempoh singkat tetapi saya berani jamin ia berterusan dan lumayan. Pendapatan saya 100 peratus dari sini," katanya yang dibantu oleh enam daripada tujuh anaknya serta dua pekerja luar menguruskan kolam berkenaan.

Kesungguhan Mohd Fadzil membuatkan dia terpilih sebagai pemenang anugerah Penternak Ikan Air Tawar Selangor buat kali pertama pada 1993. Selain menternak, Mohd Fadzil turut menjalankan proses penetasan serta menganjurkan kursus penternakan kepada mereka yang berminat.

Beliau juga mengingatkan kepada sesiapa yang berminat menternak ikan keli supaya tidak mengusahakannya secara kecil-kecilan, sebaliknya memulakan operasi secara besar-besaran sekali gus kerana ia lebih menguntungkan.

Menariknya, ikan keli yang datang dari kolam Mohd Fadzil boleh dimakan tanpa was-was oleh pengguna Islam kerana beliau memberi jaminan bahan makanan yang diberi adalah halal.

"Saya memandang industri ini sebagai fardu kifayah kerana ramai orang Melayu yang makan ikan keli. Ikan yang diternak orang bukan Melayu diberi makan perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi. Semua benda itu tidak halal untuk umat Islam."

"Ikan saya sebaliknya diberi makan palet halal iaitu campuran beras hancur, tepung ikan, kepala ikan bilis, minyak sawit, bahan buangan kelapa sawit, kiambang dan vitamin. Semua benda itu pula mudah diperoleh di sekeliling kita dan jika dikomersialkan, kerajaan menjimatkan berjuta ringgit untuk mengimport bahan berkenaan."

"Orang Islam perlu bijak membezakan ikan yang diberi makanan bahan haram dan bahan halal kerana perbezaannya amat ketara dari segi bentuk ikan itu sendiri. Ia mudah dikesan," katanya.

Disebabkan bahan makanan haram itu mudah diperoleh, pengusaha Melayu sukar mendapat tempahan pasar raya, pasar basah dan pemborong kerana harga yang ditawarkan oleh pengusaha bukan Melayu jauh lebih murah sedangkan palet ikan lebih mahal.

"Mereka boleh menjual pada harga RM2.50 untuk sekilogram tetapi kita terpaksa mengenakan harga RM3.80 untuk satu kilogram. Itu satu persaingan sengit dan selalunya di situlah pengusaha Melayu ketinggalan," katanya.

Menyentuh mengenai pasaran ikan keli, Mohd Fadzil berkata, selain dijual terus ikan keli boleh dijadikan salai, dikeringkan, filet, otoshimi iaitu proses mengeluarkan tulang ikan untuk dijadikan keropok, serunding dan satar serta surimi iaitu sejenis bebola ikan.

Malah, ada permintaan mendapatkan kulit ikan keli matang dari Romania untuk dibuat dompet, tali pinggan dan beg tangan wanita.

Sayangnya Mohd Fadzil tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana bekalan tidak mencukupi.

Menyentuh mengenai cara menternak ikan berkenaan, Mohd Fadzil berkata, ia diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan petang dan pada bulan pertama keli perlu diberi makanan berprotein tinggi.

"Ikan keli kacukan Afrika Malaysia sudah boleh dijual pada usia tiga bulan berbanding keli Malaysia yang memerlukan enam bulan untuk matang. Namun kebanyakan keli yang ada di pasaran adalah kacukan," katanya.

INFO:
Perbezaan ikan keli memakan bahan haram dan halal

Haram
•Kepala berbentuk ‘V’
•Bentuk badan mirip torpedo
•Badan berwarna hitam berkilat
•Bahagian bawah badan berwarna putih melepak
•Bahagian antara bawah kepala dan badan berwarna kuning
•Apabila digoreng akan meletup kerana banyak lemak

Halal
•Kepala berbentuk ‘U’
•Bentuk badan tirus
•Berwarna hitam kelabu dan tidak berkilat
•Bahagian bawah badan berwarna putih kelabu
•Tiada warna kuning kelihatan di bahagian antara bawah kepala dan badan
•Digoreng tidak meletup

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, November 15, 2009

Ikan Air Tawar Negeri Perak

(Post: Bahasa Melayu)
"Negeri Perak sememangnya cukup terkenal dengan pelbagai jenis ikan air tawar. Bagi ramai penggemarnya, ikan yang didapati dari sungai, tasik dan bekas lombong di negeri ini mempunyai kelainan daripada segi rasa jika dibandingkan ikan air tawar di tempat lain."

Ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, kelabau, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai merupakan sebahagian daripada spesies yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.

Untuk mendapatkan bekalan ikan air tawar tidaklah sesukar mana memandangkan ia banyak dijual di pasar-pasar serata negeri terutama di Hulu Perak iaitu pengeluar utama ikan pekasam.

Begitu juga dengan udang galah yang mendiami lubuk-lubuk di beberapa sungai seperti Sungai Perak, Sungai Kinta dan Sungai Kampung Dew di Kamunting, Taiping, Perak.

Keenakan ikan air tawar serta udang galah sungai ini menyebabkan permintaannya semakin meningkat walaupun sumbernya semakin berkurangan.

Permintaan yang tinggi terhadap ikan air tawar turut mendorong peningkatan harga sehinggakan boleh mencecah ratusan ringgit bagi setiap kilogram.

Namun sejak kebelakangan ini, ikan air tawar mulai diancam kepupusan malahan ada di antara jenis ikan berkenaan hanya boleh diperoleh di kawasan tertentu, itupun dengan bilangan yang sangat sedikit.

Berdasarkan kajian yang dijalankan penyelidik beberapa universiti tempatan, kini terdapat kurang daripada separuh jumlah ikan air tawar di semua sungai, tasik dan bekas lombong di Perak berbanding lima tahun dulu.

Hasil kajian berkenaan turut mendapati hanya beberapa kawasan di negeri ini yang masih menyimpan spesies seperti tengas, loma, tengalan dan sebarau.

Faktor pencemaran, pembuangan sisa toksik, penyeludupan dan penggunaan bahan kimia serta bom ikan dilihat antara punca pengurangan ikan air tawar.

Penurunan ketara populasi ikan jenis ini diakui sendiri beberapa orang nelayan. Masing-masing mendakwa usaha mereka kebelakangan ini langsung tidak memberi pulangan setimpal.

Abdul Razali Hashim, 42, berkata nelayan kini amat sukar untuk mendapat ikan air tawar seperti sebarau, kelah dan jelawat.

Jarang sekali nelayan sepertinya dapat menangkap ikan yang beratnya melebihi dua kilogram kerana ikan berkenaan semakin berkurangan.

"Biasanya saya mendapat ikan sebarau, kelah dan jelawat yang beratnya dalam dua kilogram sahaja."

"Dulu, mengail seharian sangat memuaskan tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ikan yang diperoleh hanya cukup makan sahaja," katanya.

Seorang lagi nelayan, Zainuddin Abu, 45, berkata kebanyakan nelayan di Tasik Temenggor, Gerik, kini terpaksa mendapatkan pekerjaan lain kerana ikan yang ditangkap tidak lagi mendatangkan pulangan lumayan.

Pihak berkuasa khususnya Jabatan Perikanan perlu memainkan peranan dalam mengelakkan ancaman kepupusan ikan air tawar namun bagi Zainuddin, sikap tamak manusia turut menjadi punca.

"Sejak dulu saya sekali pun tidak pernah mengambil anak-anak ikan atau ikan bersaiz kecil dari tasik. Namun saya percaya tidak ramai yang sanggup melepaskan semula tangkapan mereka itu."

"Apa yang saya tahu, konsep tangkap dan lepas ikan-ikan air tawar yang kecil atau masih anak tidak dipraktikkan. Atas sebab itulah anak-anak ikan terancam dan tidak sempat membesar," katanya.

Bagi Abdullah Arbaini, 45, beliau terpaksa memastikan bekalan ikan tawar untuk restoran ikan bakarnya di Ipoh sentiasa mencukupi namun mengakui sejak setahun lalu, ia bukanlah satu tugas yang mudah.

"Sebagai sebuah restoran yang menghidangkan ikan bakar, saya perlu pastikan bekalan ikan seperti tilapia dan sebagainya mencukupi."

Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd Isa, ketika ditanya tentang isu ini mengakui kepupusan pelbagai spesies ikan air tawar di negeri ini memerlukan perhatian serius semua pihak sama ada kerajaan mahu pun orang awam.

"Pengurangan spesies ikan air tawar berpunca daripada pelbagai faktor tetapi kita tidak harus lupa permintaan yang tinggi terhadap hidupan itu turut mendorong pengurangan mendadak jumlahnya ketika ini."

"Kita juga bimbang jika ada spesies ikan yang pupus sebelum pihak berwajib berjaya menyelamatkannya," katanya kepada.

Biarpun belum dianggap kritikal namun usaha berterusan mengatasi kepupusan ikan air tawar di Perak sedang dilaksanakan.

Selain mewartakan beberapa peraturan menangkap ikan di kawasan tertentu, Jabatan Perikanan Perak secara aktif menggiatkan usaha membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih ikan air tawar melalui Pusat Perikanan Darat (PPD) di Banding.

PPD Banding yang dibina pada 1997 itu kini menjadi sebahagian daripada inisiatif dan komitmen berterusan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini.

"Banding dipilih kerana ia cukup istimewa. Tasik Temenggor yang mengelilingi kawasan ini kaya dengan lebih 30 spesies ikan air tawar yang sudah tidak ditemui di tempat lain di negara ini."

"Ia kini menjadi pusat membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih pelbagai spesies ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai," kata Sani.

PPD Banding yang beroperasi sepenuhnya pada 1 Nov 2006 juga berperanan sebagai pusat pengembangan yang memberi khidmat nasihat teknikal, pusat sumber maklumat dan rujukan.

Ia juga menggiatkan usaha memindahkan teknologi dalam pembenihan ikan selaras dengan pembangunan industri akuakultur negara.

Menurut Sani, proses pembenihan ikan di pusat ini dijalankan secara saintifik menerusi pembiakan aruhan iaitu proses yang melibatkan induk ikan yang belum matang sepenuhnya akan disuntik dengan hormon tertentu.

Jelas beliau, kaedah pembiakan aruhan biasanya digunakan untuk membiakkan ikan-ikan yang tidak dapat membiak di dalam sangkar.

"Ia bertujuan mempercepat proses kematangan dan ovulasi telur, meninggikan kemandirian (kadar hidup) anak-anak ikan, meningkat dan mempercepat pengeluaran benih ikan secara besar-besaran atau komersial serta memperoleh baka ikan berkualiti tinggi," jelasnya.

Melalui teknik ini, Sani berkeyakinan kepupusan spesies ikan air tawar yang dihadapi ketika ini mampu dikawal bahkan beliau percaya, PPD Banding akan menjadi pemangkin pengeluaran ikan-ikan air tawar dalam beberapa tahun akan datang.

Apa pun, komitmen Jabatan Perikanan Perak diteruskan dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor yang bertindak memulihara sumber perikanan selain mengelak kepupusan ikan air tawar di tasik itu.

Tasik Temenggor yang berkeluasan 152 kilometer persegi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana beberapa spesies ikan air tawar yang terdapat di tasik ini sudah tidak ditemui di tempat lain.

"Melihat kepada kelebihan tasik ini, maka Jabatan Perikanan mewujudkan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor kerana khuatir aktiviti penangkapan ikan menggunakan jaring dan pancing sekiranya tidak dikawal akan mengancam spesies ikan air tawar di sini," katanya.

Di bawah pelan ini, Jabatan Perikanan telah memperkenal Zon Pemuliharaan, Zon Perikanan Rekreasi dan Zon Komersil.

Kata Sani, pihaknya sudah mula mengguna pakai Zon Pemuliharaan merangkumi bahagian utara Tasik Temenggor meliputi kawasan seperti Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Sungai Gadong.

Pihak swasta turut memainkan peranan dalam memulihara spesies yang semakin pupus bahkan ada yang sanggup membuat pelaburan berskala besar semata-mata untuk memastikan ekosistem ikan air tawar Perak terus terpelihara.

Turut membantu usaha pemuliharaan ikan air tawar ialah konglomerat pembinaan dan hartanah terkemuka, MK Land Berhad yang sejak dua tahun lalu telah mewujudkan kawasan perlindungan bagi ikan itu.

Ini berkonsepkan penglibatan penduduk setempat, merangkumi masyarakat Orang Asli, yang akan mengawasi keseluruhan kawasan yang dikenal pasti itu.

"Dengan pertambahan jumlah spesies ikan air tawar yang kini semakin merosot populasinya, ia secara tidak langsung akan memberikan pulangan lumayan kepada penduduk setempat kerana harga pasaran ikan air tawar yang tinggi," kata pengerusi MK Land Berhad Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar pada majlis pelancaran projek berkenaan baru-baru ini.

Di samping itu, usaha mengkomersialkan spesies ikan air tawar khususnya tilapia seperti yang dilakukan sebuah syarikat usahasama Malaysia-Norway, Trapia Malaysia Sdn Bhd di Tasik Banding, wajar dijadikan contoh kerana usaha itu secara langsung meningkatkan kapasiti pembiakan ikan berkenaan.

Satu keadaan agak ironi ialah walaupun menghadapi ancaman kepupusan, Perak ialah pengeluar utama negara dalam sektor akuakultur terutama ternakan ikan dalam sangkar bagi tilapia hitam dan merah, patin dan keli.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim baru-baru ini berkata, Jabatan Perikanan mensasarkan pengeluaran hasil akuakultur negara sebanyak 507,558 tan metrik menjelang tahun 2010 dan daripada jumlah itu, sebanyak 137,400 tan metrik pengeluaran dari Perak.

Kawasan ternakan perairan Tasik Temengor sahaja dijangka akan menghasilkan pengeluaran sebanyak 40,000 tan metrik setahun daripada aktiviti ternakan ikan dalam sangkar menjelang 2013, katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, September 4, 2009

Projek Keli Azmi Morad

(Post: Bahasa Melayu)
"Graduan sains kepujian dalam bidang botani dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas tutor di universiti tersebut pada mulanya ingin mencuba. Namun rasa seronok itu membawanya lebih serius untuk mengusahakan projek pertanian."

Kawasan ladang tersebut boleh dianggap sempit dengan keluasan kira-kira tiga ekar atau 12 hektar sahaja dan kebetulannya terletaknya di tepi Sungai Langat, Bangi, Selangor.

Pada masa sama, ia merupakan kawasan yang agak kering dan dan menganjur di sepanjang sungai serta berstatus tanah lesen pendudukan sementara (TOL).

Namun itu semua tidak menghalang Azmi Morad, 46, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melayan rasa seronok menceburi bidang pertanian.

Tambahan pula pengalaman dalam kerja-kerja awam seperti dan kontraktor kecil banyak membantunya bergerak lebih mudah dan memahami bagaimana memulakan projek.

"Memang saya mulanya ingin berseronok-seronok tetapi pengalaman dalam kerja-kerja awam banyak membantu," katanya ketika ditemui di ladangnya di Bangi, baru-baru ini.

Projek tersebut katanya dimulakan tahun lepas dengan modal permulaan RM200, 000 tanpa meminjam daripada mana-mana institusi kewangan.

Beliau mendakwa antara masalah utama beliau sukar mendapat pinjaman kerana proses permohonan yang rumit yang memerlukan dokumen seperti geran.

Azmi memberitahu dia terlibat dalam projek nurseri bunga-bungaan di kawasan tersebut yang terletak di Seksyen 4 /10F Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi.

Beliau juga menternak kira-kira 1,000 ekor ayam kampung di kawasan tersebut yang bakanya dibeli daripada pihak swasta.

Namun, projek utamanya yang kian berkembang ialah penternakan ikan keli yang menggunakan sistem dan formula daripada sebuah syarikat bumiputera.

Ternakan kelinya diletakkan dalam tangki konkrit yang membiarkan keladi bunting tumbuh manakala pelet diberi sebagai makanan rumusan khas.

Dia bermula dengan empat buah kolam dengan kapasiti 10,000 ekor dan menggerakkan usaha tersebut secara cuba.

Air sungai pula dipam sebagai sumber utama projek tersebut tetapi penentu kejayaan ialah menggunakan rumusan pelet sebagai makanan ternakan ikan keli.

Perkara paling penting dalam ternakan ikan keli ialah makanannya mesti bagus. Pelet yang digunakan sesuai kerana ia organik atau tanpa bahan kimia, tekstur daging lebih bagus dan tidak busuk.

Justeru katanya, amalan memberi makan ikan keli dengan perut ayam sebagai contoh bukan sesuatu yang elok untuk ternakan dan ini boleh disahkan dengan memeriksa perut ikan yang berwarna kekuningan.

Katanya, pada masa ini, beliau mempunyai pelbagai jenis tangki konkrit mengikut saiz berbeza iaitu 10 kaki x lapan kaki yang dengan kapasiti 10,000 ekor keli, 10 kaki x 16 kaki (15,000 ekor) dan lapan kali 20 kaki (100,00 ekor) dan jumlah tangki kini meningkat kepada 50 buah dan jumlah ternakan mencecah 400,000 ekor.

Ikan keli dapat dituai untuk jualan selepas kira-kira dua bulan setengah pada harga RM4.50 sekilogram yang kebanyakannya dibeli orang individu selain dijual di pasar malam atau pasar borong.

Meskipun demikian, beliau masih mampu menjual antara 10 dan 15 kilogram sehari.

Selain keli sebagai ternakan utama, Azmi juga menternak beberapa spesies ikan lain termasuk tilapia.

Dia juga menternak kira-kira 200 ekor biri-biri sebagai satu produk sampingan selain mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Tidak cukup dengan itu, Azmi juga bercadang meluaskan projek pertaniannya dengan mengeluarkan ikan keli salai di kawasan sekarang.

Beliau kini sedang menyiapkan kertas cadangan projek tersebut, manakala projek ternakan kelinya sering dilawati pegawai dari Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, ikan keli salai mempunyai pasaran yang luas, selain mempelbagaikan produk syarikatnya selain yang segar.

Azmi juga bercadang memohon tanah di kawasan lain untuk memajukan projek pertanian berasaskan pelancongan bagi memudahkan pengunjung menikmati persekitaran sebenar projek pertanian.

Untuk jangka masa panjang, beliau akan menganjurkan kursus pembenihan ikan dan usaha tersebut akan dimasukkan dalam agenda penting syarikat.

Seramai 18 pekerja membantu beliau menggerakkan projek pertanian tersebut termasuk beberapa orang kepercayaannya yang dihantar berkursus di Pusat Komuniti Selayang bagi mendalami ilmu berkaitan.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun mengusahakan bidang ini pelbagai cabaran ditempuhinya dengan sabar sehingga dapat menyempurnakan infrastruktur ladang ini.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-89262481 (Azmi Morad)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 1, 2009

Lembu, Kambing, Itik, Keli - Zamzuree

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan."

Memang ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu.

Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

"Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh," katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

"Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali."

"Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula."

"Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan," katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India.

Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

"Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna," katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan.

Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan.

Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang.

Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran.

Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam.

Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, August 18, 2009

Dari Kelab Golf ke Penternakan Keli

(Post: Bahasa Melayu)
"Dengan menubuhkan syarikat Prestasi Agro Farm (PAF) kedua-dia usahawan muda ini mengorak langkah awal dengan memulakan projek ternakan keli dalam kanvas dan tangki poli dengan modal bersama."

Semuanya bermula dari bual-bual kosong dengan seorang pemain golf bukan Melayu yang kerap berkunjung ke kelab tempat beliau bertugas empat tahun lalu.

Cerita tentang pengalaman berjaya dalam industri ternakan ikan air tawar dengan hanya menjadi usahawan menjual benih ikan keli itu, sekali gus mencetus minat Nur Azizi Rafie, 29, untuk serius menceburi bidang ini.

"Terus terang saya rasa tercabar, kawan kita ini mampu hidup bersantai dan senang lenang dengan hanya memiliki beberapa buah kolam ikan dan sebuah pusat menjual benih ikan air tawar" jelas beliau.

Sebelum melepaskan jawatan sebagai Eksekutif Perakaunan di sebuah kelab golf terkenal di Rawang, Selangor, Nur Azizi pernah menghadiri beberapa siri kursus penternakan ikan air tawar dan bengkel teknik pembenihan ikan anjuran Jabatan Perikanan dan Perintis Agrotech Centre (PAC).

Menurut Nur Azizi, daripada tinjauan awal, kos anak benih keli berukuran tiga inci di Lembah Klang dijual dengan harga antara 10 hingga 15 sen seekor.

Memandangkan tidak ramai penternak yang arif membuat pembenihan sendiri, mereka terpaksa membelinya daripada pembekal dan pusat-pusat pembenihan.

Bagaimanapun pembekal benih keli di Lembah Klang ketika ini cukup terhad dan menjadi punca kebanyakan projek ternakan keli tertangguh. Selain kekurangan bekalan induk keli untuk dibenihkan secara aruhan, faktor asuhan benih yang agak merumitkan menjadi punca kurangnya penglibatan yang serius dalam bidang pembenihan keli ini.

Atas kesedaran inilah dengan berbekalkan ilmu dan semangat, Nur Azizi mengambil keputusan nekad dan berpakat dengan seorang rakan sekerja Mohamad Suria Sufian, 29, meninggalkan kelab golf dan menyewa sekeping tanah di kawasan hutan rekreasi Rawang, Selangor.

Keli yang diternak dalam 15 tangki poli dan 10 kolam kanvas tersebut adalah hasil pembenihan keli yang mereka lakukan sendiri. Kegagalan demi kegagalan yang mereka tempuhi dalam proses pembenihan keli ini, sedikit pun tidak mematahkan semangat penternak muda ini.

Akhirnya dengan bimbingan dari pakar pembenihan di Jabatan Perikanan dan beberapa usahawan benih keli berjaya, mereka berhasil menyelami teknik sebenar proses pembenihan keli tersebut.

Sejak itu, setiap bulan paling kurang tiga kali pembenihan akan dilakukan melibatkan lebih 50 pasang induk.

Menurut beliau lagi, sesiapa sahaja yang ingin membuat pembenihan secara komersial harus mempunyai bekalan ikan induk yang mencukupi dan berterusan.

Pemilihan induk yang kurang tepat akan mengurangkan kualiti dan kuantiti benih.

Sebelum proses pembenihan dibuat, induk yang dipilih dirawat terlebih dulu selama seminggu bagi menjamin kualiti telur yang bakal dihasilkan. Umur induk biasanya sekitar tujuh bulan hingga dua tahun.

Induk yang terlalu tua akan mengurangkan kuantiti dan kualiti benih.

Saiz yang sesuai adalah sekitar 26 sentimeter (300 gram) hingga 75 sentimeter (satu kilogram). Saiz induk betina biasanya lebih kecil daripada saiz induk jantan.

Seekor induk betina bersaiz 30 sentimeter mampu mengeluarkan telur antara 10,000 biji dan mencapai 200,000 biji telur apabila mencapai saiz 90 sentimeter.

Menurut Nur Azizi, masa yang paling sesuai untuk menjalankan pembiakan dipengaruhi kehadiran musim hujan iaitu antara bulan April hingga Disember dengan puncaknya berada antara bulan Julai dan September.

"Bekalan induk jantan paling kritikal kerana dalam proses pembenihan aruhan, induk jantan terpaksa dikorbankan bagi mengeluarkan kantung benihnya," jelas beliau lagi.

Setelah lebih dua tahun beroperasi, PAF kini mampu memasarkan lebih 500,000 ekor anak benih keli setiap bulan.

Memandangkan permintaan yang semakin bertambah, Azizi serta rakan menambah empat lagi kolam tanah bagi mempercepatkan proses pembesaran anak benih.

Menurutnya, anak benih yang berusia empat hari, lebih cepat membesar sekiranya diasuh dalam kolam tanah.

"Tiga minggu dalam kolam tanah sudah sedia untuk dijual terus kepada penternak," ujarnya.

Tegas beliau, biasanya penternak akan membeli anak benih yang berukuran tiga inci kerana risiko kematian adalah rendah.

Permintaan terhadap benih ikan keli memuncak ketika menjelang bulan puasa dan cuti sekolah kerana para penternak akan membuat persediaan awal bagi memenuhi permintaan ikan keli segar yang kebiasaanya mendapat pesanan berlipat kali ganda bagi hidangan berbuka dan majlis kenduri kahwin.

"Penternak biasanya akan memesan sebulan lebih awal sebelum ikan di kolam mereka dituai. Setakat ini permintaan paling banyak kami terima dari Lembah Klang, Selangor, Kawasan Utara dan Johor" ujarnya.

Setiap kali pembenihan dijalankan, PAF juga membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta mempelajari teknik pembenihan secara intensif.

Bengkel satu hari ini mendedahkan peserta tentang kaedah pemilihan induk, teknik pembenihan, asuhan benih dan penyediaan makanan alternatif.

Bagi mengurangkan kos makanan ternakan keli yang semakin meningkat, PAF mengamalkan penternakan teknik Pro Asli bagi meminimumkan kebergantungan kepada pelet.

Ini membuktikan bermula daripada bual-bual kosong di padang golf, mampu membawa keuntungan ribuan ringgit.

INFO:
Bagi penternak yang ingin mempelajari teknik pembenihan ikan keli atau mendapatkan bekalan anak benih atau peralatan pembenihan, bolehlah menghubungi beliau di 019-3310855 atau 016-3094950.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 22, 2009

Usahawan Ikan Air Tawar

(Post: Bahasa Melayu)
"Mempunyai kolam tanah, sangkar dalam tasik, kanvas, kolam simen dan kolam gentian kaca membolehkan beliau menghasilkan sehingga 200,000 benih keli, 70,000 hingga 80,000 tilapia dan 40,000 puyu."

Memandangkan begitu ramai penternak yang mengusahakan ternakan ikan keli, Mohd. Nazri Alauddin, 30 mula mempelbagaikan projek ternakan ikan air akuakulturnya.

Aktiviti yang dijalankan oleh ayahnya sebelum ini, kini diwariskan kepadanya.

"Saya akan mendalami bidang akuakultur ini dan tidak akan menghampakan impian ayah," kata Mohd. Nazri semasa ditemui di ladang ternakan ikannya di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang, Melaka.

Dia merupakan pengusaha projek ternakan ikan ketiga yang ditempatkan di sana selepas dua orang pengusaha tidak dapat menepati kriteria yang ditetapkan oleh syarikat subsidiari Jabatan Pertanian Melaka iaitu Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.

Mohd. Nazri merupakan peserta inkubator Jabatan Perikanan yang mengikuti pelbagai kursus anjuran jabatan berkenaan di Batu Berendam, Melaka selama tiga tahun.

"Saya mengikuti pelbagai jenis kursus selama tiga tahun termasuk pembenihan, penjagaan dan ternakan pelbagai ikan air tawar sehingga kepada membuat palet makanan ikan dan industri hiliran berkaitan ikan."

"Kursus berkenaan juga meliputi ikan puyu, keli, tilapia dan pelbagai ikan hiasan," katanya yang merancang untuk mengeluarkan makanan ternakannya sendiri dalam sedikit masa lagi.

Ditanya mengapa bidang akuakultur menjadi pilihan, Mohd. Nazri berkata, akuakultur merupakan bidang yang luas dan meliputi bidang pembenihan, ternakan dan peralatan.

"Sebagai penternak kita boleh merancang dan membangunkan arah perniagaan mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Mohd. Nazri yang mempunyai lapan orang pekerja memberitahu beliau tidak menghadapi masalah pasaran malah tidak cukup memenuhi permintaan.

Bagaimanapun dia berupaya mengeluarkan sehingga lima tan ikan tilapia sebulan, dan hanya 300 kilogram (kg) ikan puyu sebulan kerana tempat yang terhad.

Bagi satu tangki berkapasiti tiga tan air, ia boleh memuatkan sehingga 3,000 anak benih ikan keli pada satu-satu masa.

Sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti, Nazri menggunakan teknik mikroorganisme berkesan (EM) bagi mengurangkan bau busuk daripada tangki-tangki ikannya dan menyalurkan sisa air ternakan ikan ke petak tanaman sayur.

"Saya merancang untuk menanam sayur menggunakan sisa air ternakan ikan sebagai baja dan ini boleh digunakan sebagai model bagi penternak ikan lain," katanya.

Bagi memastikan ternakan ikan mencapai saiz dan berat yang dikehendaki, penggredan perlu dilakukan setiap dua minggu.

Bagi mengatasi masalah lambakan ikan keli pula, Mohd Nazri menjalankan perusahaan industri hiliran bagi produk perikanan seperti serunding dan ikan salai.

Menyentuh mengenai pasaran, Mohd Nazri berkata, permintaan adalah melebihi pasaran dan beliau dalam perancangan membuka pusat pengumpulan atau hab bagi ikan air tawar di Jabatan Perikanan, Batu Berendam.

"Dengan pembukaan pusat berkenaan bukan saja boleh membantu pembeli mendapatkan ikan segar dan produk hiliran tetapi peralatan berkenaan ternakan ikan serta khidmat nasihat."

"Selain itu penternak juga boleh menjual produk mereka sama ada benih ikan, ikan segar atau produk hiliran berasaskan ikan di sini," katanya.

Mohd. Nazri berkata, ini dapat mengatasi masalah pasaran yang dihadapi oleh penternak kecil-kecilan.

Merealisasikan saranan kerajaan pertanian adalah perniagaan, beliau juga merancang untuk membuka restoran ikan air tawar bagi mendidik dan mendedahkan orang ramai dengan ikan air tawar.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, May 13, 2009

Makanan Keli PRO ASLI

(Post: Bahasa Melayu)
"Produk ini juga dapat menghasilkan ikan super organik kualiti tinggi dan sedap, selain memperkenalkan sistem ternakan yang mudah dan mesra sebagai aktiviti sekeluarga dan sara diri."

"Saya menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu kerana minat yang mendalam," kata Mohammad Hifdzi Hamzah, seorang pengamal perubatan yang mempunyai firma guamannya sendiri, semasa ditemui di tempat ternakan ikan keli di Batu Caves, Selangor.

Justeru beliau menubuhkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dinamakan Perintis Agrotech Centre.

Selama bergiat dalam bidang pertanian, beliau telah menjadi mentor atau pakar rujuk bagi mereka yang berminat dalam pertanian.

Pemerhatian dan kajian yang dilakukan selama tiga tahun ke atas dalam ternakan ikan keli membawa kepada makanan ikan keli yang dinamakan Pro Asli.

Mohammad Hifdzi menambah, makanan ikan keli atau Pro Asli lebih dikenali sebagai magic grow dalam kalangan pengguna memandangkan ikan mendapat makanan setiap masa dengan penjimatan kos.

Beliau mendapat idea menghasilkan magic grow bagi mengurangkan kos makanan dan operasi antara 80 hingga 90 peratus. Justeru beliau menggabungkan teknologi dua negara iaitu Jepun dan Thailand.

Teknologi probiotik dari Jepun dapat mempercepatkan tumbesaran dan tempoh tuaian ikan selain mengawal kualiti air.

Manakala kaedah asli diadaptasi dari Thailand bagi menjimatkan kos melalui makanan semula jadi di dalam air seperti mineral, lumut, plankton, alga, dan protein bagi menghasilkan kualiti dan rasa seperti ikan sungai.

"Kit lengkap Pro Asli terdiri daripada tiga produk iaitu permulaan Bio-Mineral, Bio-Vita digunakan seminggu sekali dan Bio-Aqua diletakkan dua minggu sekali," katanya.

Bio-Mineral yang digunakan pada permulaan akan mengaktifkan perkembangan makanan asli untuk ikan seperti zooplankton, fitoplankton, protin dan alga.

Makanan tambahan seperti vitamin diberikan bersama-sama makanan lain seperti roti, lebihan nasi atau hampas kelapa seminggu sekali bagi mempercepatkan tumbesaran dan tuaian.

"Ini bagi memastikan tumbesaran sesuai untuk tujuan komersial iaitu 75 hingga 100 hari," katanya.

Bagi mengawal bau, kualiti air dan paling penting menukarkan najis ikan kepada lumut bagi makanan ikan, Bio-Aqua digunakan dua hingga tiga minggu sekali.

Hifdzi berkata, penggunaan magic grow amat sesuai bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan ternakannya.

"Ia amat sesuai digunakan bagi semua kolam ternakan seperti kolam tanah, simen, kanvas, gentian kaca, tangki poli dan HDPE," katanya.

"Saya juga berharap dalam melahirkan lebih ramai pengusaha atau penternak secara kecil-kecilan atau komersial melalui kaedah ternakan mudah dan menjimatkan."

Beliau menjelaskan dengan kos yang rendah, semua orang berpeluang menternak ikan keli sebagai aktiviti sekeluarga.

Bagi mengiktirafkan produk magic grow, Mohammad Hifdzi senang memohon Sijil Amalan Organik dan mendapatkan status bioteknologi.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, November 12, 2008

Keli Air Mata Air

(Post: Bahasa Melayu)
"Pada permulaan kami hanya mampu menghasilkan kira-kira 20,000 ekor anak ikan tetapi kini setiap bulan, anak ikan yang dihasilkan mampu mencecah sehingga 200,000 ekor."

Baru berjinak dalam bidang ternakan keli, Mohd, Irewan Abd. Jalil pernah hampir putus asa kerana semua anak ikan keli di kolamnya mati tanpa sebab.

"Banyak kerugian yang terpaksa ditanggung, sehingga suatu hari, rakan perniagaan di daerah lain memberitahu air yang terbaik untuk membenihkan telur ikan keli adalah air mata air."

"Selepas kami menggunakan air berkenaan, anak ikan yang terhasil kira-kira 20,000 hingga 50,000 masih mati. Apabila dikaji, ia berpunca daripada mata air di tapak berkenaan yang berwarna kemerahan dan mengandungi bahan yang tidak sesuai untuk tumbesaran anak ikan kerana kawasan itu berpaya."

"Apabila kami meninjau di kawasan sekitar kampung berkenaan, terdapat sebuah telaga yang diyakini mampu memanjangkan jangka hayat benih ikan keli."

"Akhirnya, dengan menggunakan sumber mata air yang baik dan berkualiti, maka, benih ikan keli kami mampu bertahan sehingga ia mampu dijual dengan saiz maksimum sepanjang lima sentimeter seekor."

Setiap ekor anak ikan berukuran dua inci dijual pada harga RM0.10, tiga inci (RM0.20) dan RM0.25 jika panjang anak ikan keli mencecah lima inci.

"Permintaan ikan keli di restoran atau kedai-kedai makan tidak akan putus, jadi peluang mengusahakannya seharusnya tidak boleh kami tolak begitu sahaja."

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, October 28, 2008

Teknologi Biotek Untuk Keli

(Post: Bahasa Melayu)
"Objektif utama penghasilan Bio-Aqua adalah untuk penjimatan kos makanan dan mempercepatkan tempoh tuaian dari 60 hari ke 45 hari."

Teknologi penternakan ikan keli bukan sahaja mencakupi sistem infrastruktur atau kaedah menternak tetapi kini dipertingkatkan lagi dengan pengenalan beberapa produk sampingan."

Terbaru, kumpulan penyelidik, Perintis Agrotech Centre (PATC) memperkenalkan hasil penemuan terbaru mereka, Bio-Aqua iaitu formula khas untuk pembangunan industri ternakan dan pembenihan keli tempatan.

Bio-Aqua merupakan satu usaha menjadikan campuran mikrob baik dan zat mineral yang telah diuji kesesuaiannya dan terbukti keberkesanannya sebagai bahan asas dan komposisi utama produk tersebut.

Formula khas keli ini dicipta khas bagi membantu pengusaha benih dan pengusaha ternakan keli memandangkan margin keuntungan yang kecil dan memerlukan satu formula untuk mengurangkan kos operasi serta kos makanan.

Berdasarkan testimoni dan kajian yang dibuat, Bio-Aqua sangat sesuai untuk kedua-dua industri pembenihan ikan keli serta ternakan keli.

"Penjimatan ini pasti melegakan pengusaha yang terpaksa berbelanja besar untuk kos makanan iaitu melebihi 60 peratus kos operasi."

"Pada masa sama, ia, mengurangkan kadar kematian hasil peningkatan antibodi dan pengurangan stres pada ikan dan dapat menghasilkan ikan bermutu tinggi."

Untuk yang berminat mendapatkan produk ini, penghantaran Bio-Aqua akan dibuat terus ke alamat pembeli dengan menggunakan perkhidmatan KTM bagi yang membuat tempahan melalui telefon manakala bagi pembeli di sekitar Lembah Klang, mereka boleh terus ke pusat jualan syarikat.

Kursus dan latihan juga diberikan kepada sesiapa yang berminat dalam pembenihan keli aruhan.

CONTACT INFO:
Lokasi pusat jualan: Business Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor.

Telefon: 03-61873796

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::